Category: Semasa

  • KPM laksana pemutihan tanah sekolah

    KPM laksana pemutihan tanah sekolah

    KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sedang melaksanakan proses ‘pemutihan’ untuk memindahkan milik tanah sekolah daripada kerajaan negeri kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) bagi memudahkan pembinaan sekolah pada masa hadapan.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, isu kelewatan projek pembinaan sekolah sebelum ini adalah disebabkan proses yang begitu lama bagi pengambilan tanah berkenaan.

    “Pembinaan sekolah ini isu panjang yang dah berlarutan lama. Isu kelewatan pembinaan sekolah saya sentiasa tekankan ialah tanah tapak sekolah kita selama ini bukan milik JKPTG atau kerajaan.

    “Sebab itu, bila dapat peruntukan untuk dilaksanakan pembinaan sekolah bila semak tapaknya belum milik JPTGK, maka proses pertukaran itu sungguh lama dan kita ambil tindakan proaktif ‘pemutihan’ tanah untuk kita pastikan selepas ini, semua tanah ini milik kerajaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas menghadiri Kejohanan Olahraga Tahunan Kali Ke-6 SK Putrajaya Presint 17(1) di Stadium Mini UNITEN, di Kajang, hari ini.

    Rabu lepas, Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 1 memaklumkan pengurusan projek pembinaan sekolah antara tempoh 2016 hingga 2021 di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), termasuk projek sambungan, adalah kurang cekap dan kurang berkesan.

    Laporan tersebut menyebut, masalah koordinasi antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat utiliti, serta isu ketersediaan tapak projek turut menyumbang kepada kemajuan projek yang antaranya mengalami kelewatan.

    Justeru itu, Radzi berkata, pihaknya menjalankan usaha sama dengan PBT untuk memastikan masalah pembinaan sekolah termasuk yang terbengkalai dapat dilaksanakan segera dan tidak memberi kesan kepada pembangunan infrastruktur pendidikan negara.

    “Kita tahu sekolah terbengkalai lama maka keadaannya makin teruk dan kos pembinaan yang asas itu nak kena tambah lagi sebab itu tumpuan kita nak selesaikan masalah kecil ini dahulu,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Radzi berkata, pihaknya sedang mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengenai kaji selidik yang mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu menyambung pelajaran.

    Radzi berkata, KPM terlebih dahulu perlu mengetahui sampel kajian yang dilaksanakan DOSM itu termasuk umur peserta kajian sebelum memperincikan dan menjelaskan penyelesaian kepada umum.

    “Kita nak tahu kohort umur mana yang diambil kajian itu. Kalau umur 60 ke atas pada waktu itu, mungkin akses pendidikan tak macam sekarang, jadi kita perlu perincikan kajian DOSM ini, nak tahu peratusan itu kohort umur mana,” katanya.- Bernama

  • Rokok seludup bernilai RM252,432 dirampas

    Rokok seludup bernilai RM252,432 dirampas

    POLIS merampas sebanyak 1,690 karton rokok pelbagai jenama disyaki tidak bercukai dianggarkan bernilai RM252,432 dalam satu serbuan di sebuah premis di Jalan Setia Raja, Kuching pukul 9.10 pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, serbuan dilakukan sepasukan Cawangan Risikan Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak dan turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun.

    “Suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuching untuk permohonan reman pada 6 Ogos,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d), Akta Kastam 1967.

    Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 ganda nilai barangan atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 (yang mana lebih tinggi) atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

    “Operasi berkenaan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan penyeludupan,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

  • Sukan Komanwel: Kontinjen negara menanti dua lagi pingat emas

    Sukan Komanwel: Kontinjen negara menanti dua lagi pingat emas

    BERBAKI tiga hari sebelum temasya Sukan Komanwel 2022 melabuhkan tirai pada Isnin depan, kontinjen negara masih menanti dua kilauan emas bagi mencapai sasaran enam emas di temasya sukan berkenaan.

    Pada hari kelapan temasya sukan berprestij edisi Birmingham itu berlangsung pada Jumaat, kem negara sekadar meraih dua pingat perak, masing-masing menerusi acara terjun dan boling padang.

    Di kolam renang, pasangan penerjun kebangsaan, Gabriel Gilbert Daim-Muhammad Syafiq Puteh, memenangi pingat pertama Malaysia daripada acara terjun, selepas ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong gagal melunaskan misi menyumbangkan pingat pada Khamis.

    Sementara trio boling padang negara pula terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam acara triples wanita selepas tumpas 9-17 kepada England pada aksi final.

    Kejayaan itu, bagaimanapun, sedikit sebanyak dapat mengubat kekecewaan kem boling padang apabila gandingan Siti Zalina Ahmad dan Emma Firyana Saroji, yang menjadi sandaran emas, tumpas di peringkat separuh akhir acara pairs wanita.

    Pun begitu, Siti Zalina-Emma Firyana berpeluang untuk membawa pulang pingat apabila mereka akan berdepan Selina Goddard-Katelyn Inch dari New Zealand bagi penentuan pingat gangsa, hari ini.

    Pada hari kesembilan temasya hari ini, harapan diletakkan kepada beberapa atlet bagi menyumbangkan dua pingat emas yang dinanti-nantikan kontinjen negara.

    Selepas menampilkan aksi mengecewakan, prestasi cemerlang Pandelela ditagih bagi menceriakan kontinjen negara apabila atlet kelahiran Sarawak itu akan bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri dalam acara final 10 meter (m) platform seirama.

    Nur Dhabitah juga akan turun bergandingan dengan Wendy Ng Yan Yee dalam acara final 3m papan anjal seirama.

    Kem negara turut mengharapkan prestasi terbaik daripada skuad gimnastik negara apabila mereka akan turun bersaing dalam empat acara final melibatkan Izzah Amzan dalam disiplin gelung dan belantan, Ng Joe Ee (bola dan riben) serta Koi Sie Yan (riben).

    Prestasi cemerlang Choong Javen-Karen Lyne, yang merupakan wakil tunggal Malaysia masih meneruskan cabaran dalam acara ping pong, ditagih untuk melakar kejutan apabila berdepan pasangan dari Singapura, Clarence Chew Zhe Yu-Zeng Jian di peringkat separuh akhir acara beregu campuran, hari ini.

    Aksi membanggakan atlet boling padang, Fairul Izwan Abd Muin, juga dituntut apabila turun beraksi di peringkat separuh akhir acara singles lelaki.

    Selepas tamat hari kelapan pada Jumaat, kontinjen negara meraih keseluruhan empat pingat emas, empat perak dan tiga gangsa.

    Austalia kekal sebagai pendahulu pungutan pingat dengan 50 emas, 44 perak dan 46 gangsa, diikuti rapat tuan rumah, England, 47-46-38 manakala Kanada di kedudukan ketiga dengan 19-24-24.- Bernama

  • PDRM nafi dakwaan terlibat ‘troll farm’ dalam media sosial

    PDRM nafi dakwaan terlibat ‘troll farm’ dalam media sosial

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menafikan kenyataan Meta Platform Incorporated yang mendakwa terdapat akaun-akaun palsu dalam media sosial yang mempunyai kaitan dengan agensi itu.

    Menurut PDRM menerusi satu kenyataan lewat malam tadi memaklumkan, pihaknya sedang mengumpul maklumat lanjut mengenai perkara tersebut, lapor Astro Awani hari ini.

    Syarikat konglomerat media, Meta, menyatakan bahawa ada kemungkinan campur tangan pihak polis di sebalik penutupan lebih daripada 600 akaun Facebook dan Instagram di Malaysia kerana menjadi platform ‘troll farm’.

    Istilah ‘troll farm’ merujuk kepada laman sosial yang diwujudkan untuk menjejaskan dan memanipulasi wacana awam menerusi akaun-akaun palsu.

    Laporan dari syarikat itu juga mendedahkan bahawa akaun-akaun itu dipercayai telah dipadam kerana melanggar polisi koordinasi perlakuan tidak sahih (Coordinated Inauthentic Behaviour – CIB), yang dipercayai berhubung kait dengan pasukan polis.

    Sejumlah 596 akaun, 180 laman ‘Pages’ dan 11 ‘Group’ telah dipadam daripada Facebook sementara 72 akaun telah ditutup dari Instagram kerana menjadi sebahagian daripada jaringan itu.

    Laporan berkenaan mendakwa jaringan itu berasal dari Malaysia dan menjadikan audiens domestik di negara ini sebagai sasaran.

    Tambahnya, kira-kira 427,000 akaun Facebook mengikuti satu atau lebih halaman terbabit dengan kira-kira 4,000 akaun mengikuti satu atau lebih kumpulan berkenaan dan hampir 15,000 akaun mengikuti satu atau lebih akaun Instagram yang dapat dikenal pasti.

    Menurutnya, sejumlah USD6,000 (hampir RM26,740) dibelanjakan bagi iklan di Facebook dan Instagram, yang dibayar terutama dalam ringgit.

  • Tiga beranak maut dalam kemalangan

    Tiga beranak maut dalam kemalangan

    TIGA beranak maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas lalu merempuh tiang jejambat di Jalan Lintas, Kota Kinabalu malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata kejadian kira-kira 11.24 malam itu meragut nyawa seorang lelaki berusia 44 tahun iaitu pemandu kenderaan berkenaan.

    “Dua lagi yang maut adalah anak lelaki pemandu terbabit dikenali Alkail, 16, serta anak perempuannya yang dikenali sebagai Sazfa berusia 11 tahun…bagaimanapun kita belum dapat mengenal pasti identiti pemandu berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Zaidi berkata seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dipercayai ahli keluarga mangsa mengalami cedera parah dan kini dirawat di hospital.

    Beliau berkata siasatan awal mendapati kenderaan dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Angkasa Apartment, Rampayan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu melalui Jalan Lintas. 

    “Apabila sampai di Jalan Lintas selepas melalui jalan berdekatan simpang Klinik Luyang, kenderaan yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas merempuh sebuah tiang besar jejambat berdekatan. 

    “Akibat perlanggaran tersebut, dua mangsa tercampak keluar daripada kenderaan, manakala pemandu dan anak lelakinya tersepit di dalam kenderaan. Ketiga-tiga anak beranak itu disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pegawai perubatan,” katanya.

    Zaidi berkata hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan disebabkan terbabas sendiri dan keadaan jalan ketika itu adalah licin akibat hujan. – Bernama

  • Polis sahkan dakwaan cubaan culik adalah palsu

    Polis sahkan dakwaan cubaan culik adalah palsu

    DAKWAAN terdapat cubaan culik seorang murid di sebuah prasekolah, Tawau pada Isnin lalu, seperti yang tular dalam media sosial adalah tidak benar.

    Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menafikan dakwaan itu selepas siasatan dilakukan sekali gus mengesahkan kenyataan yang disebarkan adalah palsu.

    “Polis juga mengambil langkah proaktif dengan mengadakan pertemuan bersama pihak sekolah, ibu bapa dan murid yang didakwa menjadi mangsa cubaan culik bagi mengetahui kejadian sebenar.

    “Selain itu, satu laporan polis juga dibuat pada 3.26 petang oleh oleh pengawal keselamatan sekolah terbabit yang menafikan berlakunya insiden terbabit.

    “Justeru, suka saya mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah mempercayai apa yang dibaca selain menyemak kesahihannya sebelum membuat kesimpulan atau menyebarkannya,” katanya menerusi kenyataan media, malam tadi, lapor Harian Metro.

    Terdahulu, tular satu hantaran dikongsikan orang ramai menerusi aplikasi WhatsApp berhubung cubaan culik murid prasekolah, di Tawau, pada petang Isnin lalu.

    Suspek dikatakan cuba mengumpan mangsa dengan memberi gula-gula dan wang namun mangsa menolak pujukan itu sebelum suspek cuba menarik tangan mangsa secara paksa.

    Bagaimanapun, cubaan culik itu gagal apabila di sedari oleh seorang guru bersama pengawal keselamatan di sekolah berkenaan.

  • Polis berkas lelaki toreh tangan kiri kenalan

    Polis berkas lelaki toreh tangan kiri kenalan

    POLIS menahan seorang lelaki selepas dipercayai menoreh tangan kiri kenalan lelakinya dengan pisau akibat perselisihan faham di hadapan sebuah salun di Batu 5, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai, pihaknya menerima laporan itu pada 9.17 malam dan siasatan mendapati ketika mangsa, 42, berselisih faham dengan seorang lelaki yang dikenalinya, 36.

    “Kejadian berlaku pada 4 petang semalam di mana punca kejadian adalah disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan aduan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan penyelewengan wang yang dibuat oleh mangsa ke atas suspek.

    “Semasa pertelingkahan di tempat kejadian, suspek bertindak menoreh tangan kiri mangsa dengan menggunakan sebilah pisau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Eng Lai berkata, mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.

    “Pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami kesan luka sedalam tiga sentimeter dan perlu menjalani pembedahan.

    “Bertindak atas siasatan, jam 11.50 malam tadi, polis menangkap suspek terbabit dalam kes ini di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

    Beliau berkata, suspek yang ditangkap mempunyai tiga rekod pelbagai kesalahan jenayah lampau.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.

    “Suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membantu siasatan,” katanya.

  • 8 bahagian bubar selepas Shafie lantik ‘orang luar’ ketuai Warisan Perak

    8 bahagian bubar selepas Shafie lantik ‘orang luar’ ketuai Warisan Perak

    TINDAKAN Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal melantik “orang luar” sebagai ketua Warisan di Perak mengakibatkan lapan bahagian di negeri itu terbubar, selain 600 ahlinya bertindak keluar.

    Tidak cukup dengan itu, wakil ahli itu, Murad Abdullah, mendakwa Warisan sudah tersasar hala tuju susulan kenyataan Shafie akan bergabung dengan mana-mana parti yang menang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

    Katanya, bahagian bubar membabitkan Parit Buntar, Bagan Serai, Larut, Kuala Kangsar, Sungai Siput, Beruas, Batu Gajah dan Teluk Intan.

    Menurutnya, tindakan Shafie melantik ‘orang luar’ sebagai ketua Warisan negeri membangkitkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli.

    “Tindakan presiden itu menunjukkan seolah-olah ahli-ahli Warisan di Perak tidak berkelayakan sedangkan pengerusi sedia ada pun tidak mempunyai asas politik yang kukuh untuk meyakinkan kami yang dia layak memegang jawatan itu.

    “Kami sama sekali tidak menolak orang luar dari Perak untuk dilantik ke jawatan itu, tetapi biarlah mereka merupakan tokoh daripada kepimpinan pusat atau lain-lain jawatan utama dalam parti,” katanya lapor Sinar Harian.

    Murad yang sebelum ini penyelaras Warisan Bahagian Beruas, berkata hasrat bertemu dengan Presiden parti untuk mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan isu berkenaan seolah-olah tidak dipedulikan.

    Katanya, hala tuju parti berkenaan dilihat mengelirukan, selain tidak mendapat sambutan.

    “Kami merasakan perjuangan Warisan telah tersasar dan tidak sesuai lagi dengan pemikiran kami apabila Shafie sendiri mengeluarkan kenyataan yang Warisan akan bergabung dengan mana-mana parti yang menang pada PRU15 bagi membentuk kerajaan.

    “Kami merasakan parti tersebut sudah tidak lagi mempunyai hala tuju yang jelas dalam visi perjuangannya sama ada bersama kerajaan sedia ada atau pembangkang,” katanya.

    Kata Murad, mereka yakin Warisan gagal memperoleh sebarang kerusi sekiranya bertanding pada PRU15 tidak lama lagi.

  • Bersatu tak kan berkubur walaupun Muhyiddin bersara selepas PRU-15

    Bersatu tak kan berkubur walaupun Muhyiddin bersara selepas PRU-15

    PEMIMPIN Bersatu menolak andaiannya parti itu akan berkubur jika Tan Sri Muhyiddin YAssi tidak menjadi pemimpin utamanya.

    Ketika menegaskan perkara itu,  Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Razali Idris berkata ini dibuktikan selepas Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lagi memimpin Bersatu, kerana parti itu tidak terkubur apabila Muhyiddin mengambil alih menerajui walaupun langsung tidak menonjolkan diri sebelum itu.

    Katanya, dalam Bersatu seseorang pemimpin tidak akan menonjol selagi “bos” masih mengetuai, kerana budaya diamalkan adalah untuk kekal taat kepada ketua yang menerajui parti.

    “Kita ada sikap tertib dalam menguruskan parti atau menguruskan jawatan. Kita tidak menonjol merentasi nombor satu. Kita mempunyai pelapis, malah pelapis muda pun ramai. Ada dalam MPT Bersatu sekarang ini dari kalangan profesional yang sebelum ini tidak menyertai mana-mana parti. Kita ada doktor, ada PHD, kita ada pelbagai,” katanya lapor FMT.

    Katanya, tindakan Muhyiddin memberi bayangan akan berundur selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) membuktikan bahawa dalam Bersatu tidak boleh “tongkat langit” untuk kekal menjadi ketua sampai bila-bila, selain menjadi isyarat supaya parti bersiap sedia menyusun pelapis.

    “Kita Bersatu tak macam parti lain, pegang jawatan tak nak lepas sampai bila-bila… Tengok parti lain macam mana? Ada Presiden PKR kata nak berhenti? Ada pemimpin (presiden) Umno kata nak berhenti? Presiden Amanah, Mohamad Sabu nak berhenti?

    “Tidak ada. Tapi kita Bersatu tertib akan beri peluang kepada generasi penerus menerajui parti, bukannya nak jadi ‘bos’ sampai bila-bila,” katanya.

    Beliau juga mengakui Muhyiddin sebelum ini pernah beberapa kali menyatakan hasrat untuk bersara dari politik, namun pucuk pimpinan yang mahukannya kekal mengetuai PRU15.

    Katanya, ramai pemimpin pelapis ada dalam Bersatu yang mampu kelak menarajui parti, antaranya Timbalan Presiden Ahmad Faizal Azumu; Naib Presiden Radzi Md Jidin; Ronald Kiandee; Mohd Rafiq Naizamohideen; serta Ketua Penerangan Wan Saiful Wan Jan sekalipun mereka mungkin berdepan pelbagai kritikan dalam memantapkan pengalaman.

    “Mereka sekarang sedang merintis pengalaman, jadi kita akui ada kelemahan dalam proses itu, tapi itu semua proses untuk lebih baik. Malah dalam Bersatu juga kita ada pemimpin pelapis lain yang mempunyai pengalaman politik, seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Hamzah Zainudin.”

    Seorang lagi ahli MPT Muhammad Faiz Na’aman pula, jika Bersatu rapuh dan tiada watak yang mampu meneruskan kepimpinan parti pasca-Muhyiddin, mengapa pula UMNO “panik” menjadikan Bersatu sasaran musuh politik utama.

    “Persoalan sama ada ‘ori’ atau tidak itu sekadar persepsi sesama orang politik sahaja, sedangkan mereka di luar tetap akan memandang kami sebagai orang BersatU selagi menjunjung logo parti ini,” katanya, dengan menambah sekalipun Muhyiddin bersara beliau tetap diperlukan sebagai penasihat politik.

  • Nurul Izzah selamat diijabkabulkan dengan Ying Shao Loong

    Nurul Izzah selamat diijabkabulkan dengan Ying Shao Loong

    AHLI  Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar selamat diijab kabul pada petang semalam dengan pilihan hatinya, Yin Shao Loong dalam sebuah majlis yang dihadiri ahli keluarga dan kenalan terdekat, di ibu negara.

    Pengumuman tersebut disampaikan dalam satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan pada Jumaat malam.

    Nurul Izzah dan suaminya memaklumkan pernikahan mereka berwalikan ayahanda pengantin perempuan.

      “Kami telah selamat diijabkabulkan di samping keluarga terdekat. Kami memohon doa kalian semua… agar kita sentiasa di bawah perlindungan Allah SWT,” jelas mereka dalam kenyataan itu, lapor Astro AWANI.

    Kenyataan itu disertakan bersama gambar pasangan pengantin baharu itu, yang diapit ayah dan ibu Nurul Izzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

    Shao Loong merupakan seorang Penyelidik Kanan di Institut Penyelidikan Khazanah, yang antara tumpuan bidangnya adalah dalam hal dasar industri, perubahan iklim dan teknologi masa depan.

    Portal The Vibes melaporkan, beliau pernah bertugas sebagai Pengarah Komunikasi Strategk di Pejabat Menteri Besar Selangor ketika Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjadi Menteri Besar.

    Shao Long mempunyai seorang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu dengan penerbit file Tan Chui Mui

    Nurul Izzah pernah mengahwini Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim pada tahun 2003, bagaimanapun pernikahan mereka berakhir pada 2015. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata.