Category: Semasa

  • Ahli akar umbi UMNO nyatakan sokongan untuk menangkan PN – Faizal Azumu

    Ahli akar umbi UMNO nyatakan sokongan untuk menangkan PN – Faizal Azumu

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendakwa ramai pemimpin dan ahli akar umbi UMNO menzahirkan sokongan kepada PN untuk membantu memenangkan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

    Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, mereka menyatakan sokongan itu ketika bertemu dalam siri jelajah ke seluruh Negeri Sembilan sebagai persiapan menghadapi PRN, 12 Ogos depan.

    “Pemimpin dan ahli UMNO yang saya temui meminta saya supaya mencari jalan untuk memastikan PN menang ke enam-enam negeri ini.

    “Saya terkejut, mereka minta jentera PN bekerja kuat supaya menang di enam negeri. Semua lahirkan sokongan. Saya jumpa ketua UMNO cawangan, ketua wanita UMNO cawangan, ketua pemuda UMNO bahagian, mereka sedang bantu kita berkempen,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Nismilan Kito Ubah PN Rembau di Taman Senawang Perdana, di Rembau, malam tadi.

    Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi PN negeri merangkap Pesuruhjaya Pas negeri, Rafiei Mustapha; Timbalan Pengerusi PN merangkap Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin, Pengerusi PN Rembau, Nazree Mohd. Yunus dan bekas Timbalan Ketua UMNO Putrajaya yang kini ahli Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

    Ahmad Faizal berkata, potensi PN untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan pada PRN kali ini cukup tinggi.

    “Kita tidak bermusuh dengan UMNO, tetapi kita bermasalah dengan presiden dan pemimpin UMNO yang sanggup memperkudakan parti itu untuk kepentingan mereka sendiri,” dakwanya, lapor Berita Harian.

  • Polis rampas dadah bernilai RM14.4 juta, warga emas antara tiga ditahan

    Polis rampas dadah bernilai RM14.4 juta, warga emas antara tiga ditahan

    TIGA lelaki berusia dalam lingkungan 32 hingga 61 tahun dicekup selepas dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah bagi pasaran tempatan.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Mohd. Kamarudin Md Din berkata, tangkapa itu dibuat menerusi empat serbuan di sekitar Cheras, Kuala Lumpur dan Klang pada 13 Julai lalu.

    Menurut beliau, hasil daripada serbuan tersebut, pihaknya berjaya merampas dadah yang dianggarkan bernilai RM14.4 juta.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din bersama pegawainya menunjukkan pelbagai jenis dadah bernilai RM14.4 juta yang dirampas selepas berjaya menahan tiga suspek yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah sekitar lembah klang ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Antara dadah yang dirampas adalah methamphetamine (56 kg), ketamin (20 kg) dan ekstasi (154.3 kg).

    “Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah menjadikan premis kediaman dan rumah kedai sebagi tempat simpanan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.

    Sebahagian daripada dadah bernilai RM14.4 juta yang dirampas selepas polis berjaya menahan tiga suspek yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah sekitar lembah klang ketika Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Saringan awal polis terhadap ketiga-tiga suspek mendapati mereka negatif dadah,” katanya dalam sidang media hari ini, lapor Utusan TV.

    Mengulas lanjut, Mohd. Kamarudin berkata, semakan rekod jenayah mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod lampau bagi kes jenayah dan dadah.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din. GAMBAR: Warta Rakyat

    Katanya, bekalan dadah yang dirampas itu dipercayai diseludup masuk dari negara jiran dengan menggunakan jalan darat.

    Beliau menambah, JSJN turut mengambil tindakan untuk menyita aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM389,166.

    Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan suspek direman selama tujuh hari bermula 14 hingga 20 Julai bagi membantu siasatan.

  • Dakwaan rumah Anwar milik tauke Cina, SPRM belum terima aduan Chegubard

    Dakwaan rumah Anwar milik tauke Cina, SPRM belum terima aduan Chegubard

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan belum menerima aduan rasmi daripada Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard berhubung dakwaannya terhadap pemilikan kediaman Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sungai Long, Kajang.

    Sumber SPRM itu berkata, Chegubard menyatakan hasrat menyerahkan memorandum Selasa lalu di pondok keselamatan SPRM Putrajaya selepas sidang media, namun enggan masuk ke dalam premis selepas diminta untuk proses penyerahan.

    “Individu tersebut enggan masuk dan maklumkan akan menyerahkan maklumat secara pos.

    “Setakat ini SPRM belum menerima sebarang aduan rasmi atau memorandum daripada individu tersebut,” menurut sumber itu, lapor FMT.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi turut mengesahkan pihaknya belum menerima aduan rasmi daripada Chegubard atau mana-mana pihak.

    Selasa lalu media melaporkan, Chegubard hadir ke pejabat SPRM Putrajaya menggesa pihak berkuasa menyiasat pemilikan kediaman mewah Perdana Menteri di Sungai Long.

    Beliau menggesa SPRM menyiasat Perdana Menteri dan mendakwa rumah yang didiami Anwar adalah milik ‘tauke Cina yang penuh misteri’.

    Dalam sidang media diadakan selepas membuat laporan di ibu pejabat SPRM, Badrul turut membangkitkan isu Anwar menggunakan beberapa kereta mewah yang didakwa bukan milik pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

    Sankara Nair, peguam kepada Anwar kemudian menjelaskan rumah di Kajang yang dikaitkan milik taikun Cina sebenarnya aset pajakan selama 10 tahun pada 2020 hingga 2030, sebelum beliau menjadi Perdana Menteri.

  • Bekas penyampai radio Ismahalil bebas, terlepas hukuman mati

    Bekas penyampai radio Ismahalil bebas, terlepas hukuman mati

    BEKAS penyampai radio, Ismahalil Hamzah terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membebaskannya daripada satu tuduhan mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 374.6 gram, dua tahun lalu.

    Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas Ismahalil, 50, berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

    Dalam kes ini, pembelaan diwakili peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar dan Adi Zulkarnain Zulkafli sementara pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad.

    Sejurus keputusan diketahui, Ismahalil yang memakai baju T dan berkopiah putih, terperosok ke bawah kerusi di kandang tertuduh, lapor Sinar Harian.

    Pada 6 September 2021, dia didakwa kali pertama di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur atas pertuduhan berkenaan.

    Pada 21 Februari tahun lalu, Ismahalil mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju di sini, pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Pada 27 Februari lalu, Ismahalil menangis sambil memandang ke arah isteri dan anak-anaknya, selepas mahkamah memerintahkan dia membela diri atas tuduhan tersebut.

  • Anwar dituntut buktikan dakwaan PN terima dana judi

    Anwar dituntut buktikan dakwaan PN terima dana judi

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dituntut mengemukakan bukti dakwaan beliau bahawa parti Perikatan Nasional (PN) menerima dana judi, demikian gesa Ketua Pemuda PN Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari  

    Beliau membidas Anwar yang masih mengulangi tuduhan sama walaupun sudah tiga kali pertanyaannya dalam Sidang Dewan Rakyat di Parlimen menunjukkan tiada bukti dapat ditampilkan serta tiada siasatan dilakukan.

    Malah menurutnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, dalam dua soalan bertulis dijawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengesahkan tiada sebarang bukti dan siasatan dilakukan atas dakwaan tersebut. 

    “PMX mencabar supaya kami menyaman beliau. Kamu bukannya cybertrooper kelas bawahan. Kamu seorang Perdana Menteri. Sebagai seorang Perdana Menteri, kenapa tidak datangkan bukti terus, dedahkan.

    “Buat pendedahan supaya rakyat boleh melihat. Buat apa nak mencabar PN. Membuang masa untuk menyaman sudahlah kami mempunyai rakyat untuk disantuni untuk diperhatikan nasib mereka, tiba-tiba sibuk pula nak menyaman orang? 

    “(Ia) memerlukan perbelanjaan, masa mahkamah, turun naik dan sebagainya, entah berapa tahun boleh selesai? Kenapa tidak Perdana Menteri sendiri buat pendedahan, sebut bentangkan biar rakyat boleh menilai. 

    “Kenapa sibuk nak cabar kami supaya saman, kami banyak kerja nak buat, bukan macam Perdana Menteri banyak masa kosong boleh naik helikopter ke sana ke mari,” tempelak beliau yang juga Ketua Pemuda Pas Malaysia, lapor HarakahDaily.

    Menurut Ahmad Fadhli, tindakan Anwar memainkan persepsi tersebut adalah kerana menghadapi PRN 6 negeri tidak lama lagi setelah tuduhan pertama dibuat menjelang pilihan raya kecil (PRK) Padang Serai pada Disember lalu gagal mempengaruhi rakyat.

  • Kos tinggi, pelanggan berjimat ancam masa depan restoran mamak

    Kos tinggi, pelanggan berjimat ancam masa depan restoran mamak

    RESTORAN mamak bergelut untuk pulang modal apabila pelanggan mengurangkan perbelanjaan bagi menampung kos sara hidup semakin tinggi.

    Pengurus Restoran Sultan di Taman Ehsan, Kepong, M.D. Golam Hossain berkata, kosnya jauh lebih tinggi untuk menyajikan menu biasa dan ada pelanggan mengadu kerana perlu membayar harga lebih mahal sejak awal tahun ini.

    “Kami perlu menjelaskan kepada pelanggan, harga bahan mentah meningkat, jika kami tidak menaikkan harga, bagaimana hendak menjalankan perniagaan kami?

    “Sepinggan nasi briyani dengan telur rebus dan sebungkus papadom yang berharga RM11 tahun lalu, kini naik kepada RM12,” katanya memetik laporan FMT.

    Golam terpaksa menjelaskan kepada ramai pelanggan merungut mengenai kenaikan harga.

    “Tahun lalu, 1kg ayam berharga RM6.50, kini kosnya RM9.50. Begitu juga telur, kos satu karton telur gred B atau C ialah RM7.50, kini berharga RM12.30,” katanya lagi.

    Beliau berkata, kenaikan ini ditambah tempahan berkurangan menyebabkan pihak pengurusan terpaksa menyuntik wang bagi mengekalkan perniagaan dan memecat pekerja.

    Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia, Jawahar Ali Taib Khan pula berkata, kos operasi lebih tinggi, ditambah kenaikan harga bahan mentah dan tenaga ‘membunuh perniagaan’.

    “Semua bahan, bahkan minyak masak sudah naik harga. Tetapi kami masih mengekalkan kenaikan harga pada tahap minimum.”

    Beliau berkata, pelanggan turut memilih makanan lebih ringkas seperti roti canai dan teh tarik yang disifatkannya ‘mengenyangkan perut mereka tanpa perlu kos tinggi’.

    Mengenai inisiatif Menu Rahmah, Jawhar berkata, pengusaha rugi kerana hidangan berkenaan sebenarnya berharga RM10 hingga RM11 dan hanya dijual RM5 sebagai membantu masyarakat.

    Kebimbangan Jawahar berhubung kos bertambah buruk apabila kerajaan mengumumkan ia akan menghapuskan subsidi langsung bagi bahan mentah Mac lalu seperti diumumkan

  • MyCC bantah kenaikan yuran guaman pindah hak milik

    MyCC bantah kenaikan yuran guaman pindah hak milik

    SURUHANJAYA Persaingan Malaysia (MyCC) membantah kenaikan yuran guaman membabitkan pemindahan hak milik dalam keadaan rakyat bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.

    Menurut Pengerusi MyCC, Hishamudin Yunus, walaupun Seksyen 13, Akta Persaingan 2010 mengecualikan perintah pindaan daripada pemakaian akta itu, tindakan yang diambil oleh Majlis Peguam adalah bertentangan prinsip persaingan.

    Jelasnya, kenaikan yuran guaman itu bukan yang pertama kerana Majlis Peguam sebelum ini pernah meningkatkan yuran guaman untuk pemindahan hak milik melalui Perintah Saraan Peguam Cara (Pindaan) 2017

    Katanya, MyCC juga mengambil tindakan proaktif dalam menangani isu membabitkan isu yuran tetap oleh badan profesional sejak 2013.

    Selain itu pihaknya mahu memberi tumpuan kepada Majlis Peguam yang dilihat boleh menjadi ikutan kepada badan profesional lain jika mereka setuju menghapuskan penetapan yuran guaman bagi pemindahan hak milik.

    “Pendekatan diambil MyCC sejajar dengan amalan negara maju seperti United Kingdom, Singapura, dan Australia, di mana badan profesional termasuk Majlis Peguam mereka tidak lagi mengamalkan penetapan yuran.

    “Pandangan MyCC ini juga disokong oleh Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) yang sebelum ini pernah beberapa kali membincangkan isu berkenaan penetapan yuran guaman dalam mesyuarat mereka yang lepas,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, penetapan yuran guaman itu dilihat tidak konsisten, terutama apabila mengambil kira yuran litigasi di Malaysia tidak tertakluk kepada kadar tetap.

    Tindakan tersebut juga ujarnya, dilihat bertentangan dengan usaha kerajaan membantu rakyat mampu memiliki rumah sendiri.

    “Inisiatif kerajaan melalui Memorandum Pemindahan (MOT) dan pelepasan atau diskaun cukai setem, pelepasan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT), dan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), selain dari dilaksanakan untuk menggalakkan industri perumahan, ia juga bertujuan mengurangkan impak kenaikan kos sara hidup kumpulan yang disasarkan,” katanya.

    Hishamudin berkata, MyCC juga mengimpikan untuk mewujudkan struktur yuran lebih fleksibel bertepatan amalan terbaik antarabangsa dan percaya pengguna akan dilindungi dengan lebih baik apabila variasi terhadap dasar industri mengambil kira prinsip persaingan.

    Pihaknya mengakui bahawa usaha MyCC sebelum ini untuk memujuk Majlis Peguam tidak berjaya.

    “Namun, kami ingin menyeru Majlis Peguam dengan penuh hormat untuk mempertimbangkan semula, atau sekurang-kurangnya, menangguhkan pelaksanaan perintah pindaan ini dan meneruskan balik perbincangan dengan kami,” katanya, lapor FMT.

  • Shahidan Kassim sahkan tidak tanding PRN

    Shahidan Kassim sahkan tidak tanding PRN

    AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mengesahkan tidak akan bertanding sebagai calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, bulan depan.

    Sebelum ini tokoh politik berusia 71 tahun itu dilaporkan tidak menolak kemungkinan akan bertanding sebagai calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

    Katanya, ia bagi memberi laluan kepada calon muda untuk bertanding di negeri berkenaan.

    “PN perlu mengetengahkan lebih ramai calon muda untuk bertanding di Selangor.

    “Apa yang paling penting sekarang ini, kita dapat memerintah Selangor,” katanya ketika ditemui selepas ceramah pasca bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Kambing, di Kuala Terengganu, malam tadi.

    Shahidan yang juga bekas Menteri Besar Perlis berkata, beliau tidak berhasrat untuk bertanding pada pilihan raya itu nanti dan akan berbincang dengan parti sekiranya beliau dipilih sebagai calon di Selangor.

    “Kalau nama saya naik pun (menjadi calon), saya nak bincang (dengan pimpinan PN). Tumpuan saya kini adalah untuk membantu berkempen bagi calon PN di enam negeri menjelang PRN ini,” katanya, lapor Berita Harian.

    Bulan lalu Shahidan dilaporkan berkata beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan PN untuk meletakkannya sebagai calon pada PRN.

    “Itu terpulang kepada kepemimpinan. Saya tiada masalah (bertanding dalam PRN). Saya yang nak tolong supaya enam negeri ini, PN mencapai kejayaan,” kata Shahidan.

  • Lelaki ditahan menyamar polis

    Lelaki ditahan menyamar polis

    PERBUATAN seorang lelaki menyamar sebagai anggota polis mengundang padah, apabila dia ditahan polis di sekitar bandar Keningau, semalam.

    Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, suspek warga tempatan berusia 22 tahun ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

    “Suspek ditahan ketika menjalani penugasan Op Samseng Jalanan, pada pukul 2 petang. Suspek ditahan menggunakan pakaian preman dan vest warna hijau tertera tulisan ‘polis’.

    “Ketika diminta untuk menunjukkan identiti polis dan MyKad bagi tujuan pemeriksaan dan pengesahan, suspek gagal kemukakan kepada polis.

    “Suspek kemudian dibawa ke IPD Keningau untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Menurutnya, pasukan polis turut membuat rampasan beberapa barangan lain serta motosikal yang ditunggang suspek.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Human Rights Watch dakwa aktivis pelarian Myanmar diculik di Malaysia

    Human Rights Watch dakwa aktivis pelarian Myanmar diculik di Malaysia

    HUMAN Rights Watch (HRW) mendakwa seorang aktivis pelarian Myanmar dan keluarganya diculik beberapa lelaki tidak dikenali di rumah mereka di Malaysia.

    Kumpulan hak asasi manusia antarabangsa itu berkata, Thuzar Maung dan suami Saw Than Tin Win serta tiga anak mereka diculik dari rumah di Ampang Jaya pada 4 Julai lalu.

    HRW memetik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan keterangan saksi, sambil menambah Thuzar merupakan penyokong lantang gerakan pro-demokrasi di Myanmar.

    “Kami bimbang dengan keselamatan Thuzar dan keluarganya yang diculik dalam operasi terancang. Kerajaan Malaysia perlu bertindak segera mencari keluarga itu dan memastikan keselamatan mereka,” kata Pengarah Asia HRW, Elaine Pearson dalam kenyataan.

    Kumpulan itu mendakwa sebuah kereta memasuki komuniti berpagar mereka kira-kira 4.30 petang 4 Julai lalu dan memberitahu pengawal keselamatan mereka kononnya polis.

    “Dua jam kemudian, Thuzar ketika bercakap telefon dengan kawannya, yang terdengar Thuzar menjerit kepada suaminya, lelaki tidak dikenali memasuki rumah mereka sebelum panggilan terputus.

    “Kemudian, kereta sama dan dua kereta milik keluarga Thuzar dilihat meninggalkan kawasan itu,” dakwa HRW, lapor FMT.

    Menurutnya, rakaman CCTV dari pondok keselamatan merakam nombor plat kereta ‘polis’ itu dan mendakwa polis tempatan mengenal pastinya sebagai palsu.

    Thuzar menyokong demokrasi di Myanmar serta hak pelarian dan migran di Malaysia sejak sekian lama.

    Beliau mempengerusikan Komuniti Pelarian Islam Myanmar dan Jawatankuasa Pekerja Migran Myanmar, selain bekerjasama rapat dengan pembangkang Myanmar, Kerajaan Perpaduan Nasional Myanmar.

    Thuzar melarikan diri dari Myanmar pada 2015. Beliau dan keluarganya diiktiraf Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebagai pelarian di Malaysia.

    FMT sudah menghubungi Kementerian Dalam Negeri dan polis untuk mengulas.