Category: Semasa

  • Mat rempit mungkin akan disaman antara RM5,000 hingga RM10,000

    Mat rempit mungkin akan disaman antara RM5,000 hingga RM10,000

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    NILAI saman yang dinaikkan daripada RM300 kepada antara RM5,000 hingga RM10,000 terhadap mereka yang terlibat dalam lumba haram atau mat rempit merupakan antara cadangan yang akan dimasukkan dalam pindaan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak berkata, pindaan cadangan akta itu bertujuan mengenakan hukuman yang lebih berat bagi membanteras kegiatan lumba haram terutama melibatkan mat rempit yang membahayakan nyawa sendiri serta pengguna jalan raya lain.

    Selain itu tambah beliau, pindaan itu juga akan mencadangkan supaya mereka yang terbabit dalam perlumbaan haram dikenakan hukuman penjara.

    “Malah ibu bapa kepada remaja yang berusia di bawah 18 tahun yang didapati terlibat di dalam kegiatan lumba haram dan para penyokong lumba haram juga akan dikenakan tindakan menerusi cadangan pindaan itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di George Town hari ini.

    Yang turut hadir, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain dan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim

    Selain itu menurut Isham, pindaan itu juga akan mencadangkan supaya pemilik bengkel yang didapati terlibat dalam kegiatan mengubah suai motosikal bagi tujuan lumba haram dikenakan tindakan.

    Jelas beliau, dalam usaha itu pihak berkuasa tempatan (PBT) mungkin akan diberi kuasa menyita dan menarik balik lesen bengkel yang didapati menawarkan perkhidmatan mengubah suai motosikal bagi kegiatan lumba haram.

    “Kita juga mungkin akan membenarkan syarikat insurans menyemak pangkalan data di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenai maklumat mat rempit yang telah dikenakan hukuman untuk mengenakan premium insurans yang lebih tinggi terhadap mereka,” katanya.

    Jelas beliau, pindaan akta itu dijangka dibentangkan pada sesi pertama sidang Dewan Rakyat tahun depan bagi memberi kuasa kepada PDRM dan JPJ untuk menguatkuasakan akta itu dengan lebih menyeluruh.

    Jelasnya, pasukan khas itu diberi masa tiga bulan untuk melengkapkan input-input yang diperlukan termasuk pandangan masyarakat bagi cadangan pindaan akta tersebut.

    “Sejajar dengan itu usaha ini juga, satu pasukan khas akan dibentuk antaranya melibatkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Pengangkutan Pengangkutan (JPJ); pertubuhan bukan kerajaan (NGO), anggota masyarakat dan sebagainya bagi mendapatkan input-input berhubung dengan pindaan tersebut,” katanya.

  • Lelaki warga asing diburu rogol anak angkat

    Lelaki warga asing diburu rogol anak angkat

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS sedang memburu seorang lelaki warganegara asing selepas dipercayai merogol anak angkatnya dalam beberapa kejadian di Kluang sejak awal tahun ini.

    Difahamkan remaja perempuan berusia 14 tahun itu memaklumkan kejadian tersebut kepada guru di sekolahnya.

    Susulan itu guru berkenaan membuat laporan polis sebelum suspek yang berusia 30-an tersebut diburu dan dipercayai masih berada di Johor.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan pihaknya mendapati kejadian berlaku pada jam 3 pagi, 31 Julai lalu di sebuah kediaman keluarga angkatnya di Kluang.

    “Memang kita ada terima laporan berhubung kejadian rogol ini, polis masih mengesan bapa angkat warga asing yang dipercayai telah melarikan diri.

    “Selepas terima laporan tersebut mangsa dibawa ke hospital untuk melakukan pemeriksaan sebelum disahkan terdapat kesan baharu dan lama pada alat kelamin mangsa,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Pertandingan Menembak Polis Johor Bersama Media Johor Sempena Hari Polis di Lapang sasar, Ladang REM di Kota Tinggi, hari ini.

    Pihaknya sudah menubuhkan pasukan khas untuk menjejaki kedudukan lelaki terbabit.

    Menurut, suspek bernikah dengan wanita tempatan yang juga ibu angkat mangsa namun tidak mendaftarkan perkahwinan mereka.

    Kamarul Zaman menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

  • Kertas siasatan kes dera budak autisme diserah kepada DPP

    Kertas siasatan kes dera budak autisme diserah kepada DPP

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERTAS siasatan polis berhubung kes seorang kanak-kanak autisme yang disyaki didera di sebuah pusat terapi berbayar di Skudai, Johor Bahru, sudah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

    Polis Johor ketika ini sedang menunggu arahan pejabat berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan kes itu selesai selepas pihak polis menerima laporan daripada pakar perubatan berhubung kecederaan kanak-kanak berkenaan.

    “Laporan itu penting bagi mengesahkan sama ada kecederaan kanak-kanak berusia enam tahun itu akibat didera atau faktor lain.

    “Kita sudah merujuk kertas siasatan kes itu untuk mendapatkan arahan dan nasihat lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya

    mengulas perkembangan terkini kes tersebut yang sebelum ini masih menunggu laporan perubatan daripada pihak hospital.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Pertandingan Menembak Polis Johor Bersama Media Johor Sempena Peringatan Hari Polis di Ladang REM di Kota Tinggi, hari ini.

    Pada 30 Julai lalu, seorang ibu melaporkan kekesalan apabila anak istimewanya yang dihantar untuk menjalani terapi, disyaki didera ahli terapi di sebuah pusat terapi, sejak awal tahun ini.

    Nik Huzaiwati Husin, 33, dilaporkan berkata, dia menghantar anak sulungnya, Tuan Muhammad Uwais Abrisam, 6, yang didiagnosis mild autism untuk mendapatkan rawatan di pusat terbabit sejak November 2019.

    Dia mendakwa anaknya yang mesra dipanggil Abrisam sudah beberapa kali cedera tetapi setiap kali meminta penjelasan dari pihak terapi, memaklumkan kecederaan disebabkan aktiviti terapi.

    Suri rumah itu turut membuat perkongsian di laman sosial facebooknya menggunakan akaun Cik Puan Zetty.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

  • Kerani dakwa diraba, dicium pegawai polis

    Kerani dakwa diraba, dicium pegawai polis

    SEORANG wanita mendakwa dicabul seorang pegawai polis dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Sentosa dekat Kampar, Jumaat lalu.

    Mangsa, 23, yang bekerja sebagai kerani mendakwa kejadian itu berlaku sekitar pukul 10.30 malam, suspek bertindak meraba dan menciumnya.

    Menurut Sumber, kejadian berlaku ketika wanita itu menemui pegawai polis berkenaan kerana mahu mengetahui bagaimana lelaki itu mengenalinya.

    Lelaki itu yang memperkenalkan diri sebagai polis telah mengajak wanita terbabit menaiki kereta sebelum dibawa ke rumahnya.

    “Sampai di rumah lelaki itu, mangsa meminta untuk dihantar pulang, namun suspek secara tiba-tiba menghalang dan menarik wanita itu sebelum meraba dan menciumnya.

    “Mangsa berjaya menghalang perbuatan suspek dan telah dihantar pulang. Mangsa yang ketakutan kemudiannya membuat laporan polis,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah.

    Mangsa kini dikatakan dalam keadaan trauma dan ketakutan apabila suspek didakwa mengganggunya dengan memintanya menarik semula laporan polis berkenaan.

    Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

    Menurutnya, lelaki yang didakwa terlibat dalam kejadian itu telah dikenal pasti.

    “Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul Kehormatan,” katanya.

  • Lelaki letak vape pada mulut bayi direman lima hari

    Lelaki letak vape pada mulut bayi direman lima hari

    SEORANG lelaki yang dipercayai meletakkan vape pada mulut seorang bayi berusia tujuh bulan dalam kejadian di sebuah restoran di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, baru-baru ini, direman selama lima hari, bermula hari ini.

    Tempoh reman sehingga 13 Ogos terhadap peniaga berusia 23 tahun itu dikeluarkan Majistret R. Salini, di Johor Bahru hari ini.

    Perintah reman terhadap lelaki itu dikeluarkan bagi membolehkan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

    Semalam, polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) menahan lelaki terbabit di Jalan Putih, di Johor Bahru, pada pukul 12.45 tengah hari.  

    Ketua Polis Daerah JBU, ACP Rupiah Abd Wahid berkata tangkapan dibuat susulan laporan polis yang dibuat ibu kepada bayi perempuan itu pada 6 Ogos lepas.

    Beliau berkata wanita berusia 29 tahun itu mengatakan bahawa lelaki terbabit adalah kenalan adik perempuannya dan kejadian berlaku ketika dia bersama bayinya, adik perempuan serta lelaki terbabit berada di sebuah restoran.

    Terdahulu, tular video berdurasi 17 saat yang memaparkan seorang lelaki meletakkan vape pada mulut bayi yang sedang dipangkunya itu di media sosial. – Bernama

  • Pengamal perubatan tradisional didakwa membunuh

    Pengamal perubatan tradisional didakwa membunuh

    SEORANG pengamal perubatan tradisional didakwa di Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas tuduhan membunuh seorang wanita yang mendapatkan rawatan di rumahnya, dua minggu lalu.

    Tertuduh, Che Hong Chiew, 51, yang hadir ke mahkamah memakai baju kelabu, hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md. Top.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, Hong Chiew didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Lim Sin Lue, 41, di ruang tamu di sebuah rumah di Jalan Perdana 2/20, Pandan Perdana di Ampang, antara pukul 4.45 hingga 5 petang, pada 27 Julai lalu.

    Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

    Mahkamah kemudian menetapkan 13 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia.

    Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Pada 28 Julai lalu, media melaporkan seorang pengamal perubatan tradisional ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kematian seorang wanita di sebuah rumah di Pandan Perdana di Ampang.

    Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, seorang wanita menghubungi pihak polis, memaklumkan anaknya berusia 41 tahun meninggal dunia pada pukul 6.35 petang.

    Katanya, mangsa ditemui dalam keadaan berbaring dan tidak sedarkan diri di ruang tamu rumah pengamal perubatan tradisional itu, lapor BH Online.

  • 1,496kg minyak masak, 297kg gula di kedai runcit dirampas

    1,496kg minyak masak, 297kg gula di kedai runcit dirampas

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Labuan merampas 1,496 peket minyak masak bersubsidi satu kilogram (kg) dan 297kg gula dari sebuah kedai runcit di Kampung Sungai Keling di Labuan, semalam.

    Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain berkata, rampasan dengan nilai keseluruhan RM4,586.45 itu dilakukan oleh pasukan penguat kuasa semasa pemeriksaan rutin mengenai pematuhan penjualan barangan kawalan bersubsidi oleh peniaga pada jam 4.30 petang.

    Katanya, pemilik kedai runcit tersebut tidak memiliki lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk menjual barangan kawalan tersebut.

    “Lesen untuk menjual barang kawalan tersebut hanya RM10 setahun dan masih ada peniaga gagal memohon lesen tersebut daripada KPDNHEP,” katanya.

    Menurutnya, operasi pemeriksaan pematuhan syarat lesen akan dijalankan di semua kedai runcit di kawasan perkampungan dan kawasan penempatan.- Bernama

  • Iklan pakej haji Furada tanpa lesen sah, pengarah agensi pelancongan didakwa

    Iklan pakej haji Furada tanpa lesen sah, pengarah agensi pelancongan didakwa

    SEORANG pengarah syarikat agensi pelancongan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan mengiklankan perkhidmatan pakej haji furada tanpa lesen pengelola jemaah haji yang sah daripada Lembaga Tabung Haji, Mei lepas.

    Agus Rizal Mat Ali, 50, pengarah syarikat UC Travel Sdn Bhd, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengiklankan perkhidmatan pakej haji furada bagi musim 2022M/1443H dengan memuat naik di media sosial Facebook milik syarikat itu, bahawa dia boleh menjalankan atau membuat transaksi perniagaan sebagai pengelola perjalanan haji ke tanah suci.

    Perbuatan itu bagi tujuan menunaikan haji sedangkan syarikat tersebut tidak mempunyai lesen pengelola jemaah haji secara sah daripada Lembaga Tabung Haji.

    Agus Rizal didakwa melakukan perbuatan itu di pejabatnya di Platinum Walk, Jalan Langkawi 2, Danau Kota Kuala Lumpur pada 9 Mei lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 27 (1) (b) Akta Tabung Haji 1995 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 27 (2) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pada prosiding di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Ishak dan Hanis Anisha Jamilludin manakala peguam Datuk Dhanaraj Vasudevan dan Ho Cheng En mewakili tertuduh.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 8 Sept ini untuk sebutan semula kes.

    Pada 2 Ogos lepas, media melaporkan, sebanyak 132 laporan polis berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji dan umrah menggunakan visa furada direkodkan setakat 31 Julai lalu membabitkan kerugian lebih RM5.6 juta.

    Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh TH. – Bernama

  • Kapal LCS: Jangan guna alasan keselamatan negara halang PAC – Kah Wong

    Kapal LCS: Jangan guna alasan keselamatan negara halang PAC – Kah Wong

    PENGERUSI Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh mengingatkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak menggunakan alasan keselamatan negara bagi menghalang pihaknya mendedahkan hasil laporan berkaitan kapal tempur pesisir (LCS).

    Wong yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, rakyat tidak boleh disekat daripada mengetahui maklumat sebenar bagaimana kerajaan membelanjakan wang mereka.

    “Saya tidak pasti apa dimaksudkan beliau yang didapati tidak sensitif apabila PAC yang bipartisan sekadar melaksanakan tanggungjawab kami yang diamanahkan oleh Dewan Rakyat kepada jawatankuasa ini dalam memastikan perbelanjaan wang rakyat adalah terpelihara.

    “PAC mempunyai tugas dan tanggungjawab seperti diperuntukkan bawah Peraturan Mesyuarat (PM) 77(1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PPMMDR) untuk memeriksa segala kira-kira kerajaan termasuk apa-apa perkara lain yang difikirkan patut diperiksa oleh jawatankuasa ini,” katanya dalam kenyataan, lapr FMT.

    Beliau menjelaskan, segala maklumat dinyatakan oleh saksi dalam prosiding PAC akan direkod ke dalam hansard manakala laporan PAC yang dikeluarkan pula berpandukan kepada segala keterangan diberikan semasa prosiding itu.

    “Ahmad Zahid selaku bekas Menteri Pertahanan telah hadir di hadapan PAC pada 25 Oktober 2021 bersama Muez Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan. Hansard beliau diserahkan kepadanya melalui pos berdaftar 4 Januari 2022 dan beliau diberikan tempoh masa tujuh hari untuk membuat sebarang pembetulan pada kenyataan yang diberikan.

    “Untuk rekod, beliau tidak membuat sebarang pindaan, pembetulan atau pemotongan terhadap mana-mana maklumat yang diberikan dalam prosiding yang dihadiri,” katanya.

    Katanya, dalam prosiding kapal LCS, tidak ada mana-mana saksi yang mengemukakan permohonan bagi meminda keterangan itu sedangkan ia boleh dilakukan jika ada isu sensitif melibatkan kepentingan keselamatan negara.

    “Sekiranya mana-mana hansard yang mempunyai sebarang isu sensitif melibatkan kepentingan keselamatan negara dan dicadangkan untuk pindaan atau pemotongan oleh saksi, PAC akan berbincang sama ada hendak membenarkan permohonan tersebut,” katanya.

    Semalam, Ahmad Zahid menyatakan kebimbangannya terhadap pendedahan lebih banyak berhubung projek LCS menjejaskan rahsia keselamatan negara.

    Beliau berkata, PAC seharusnya lebih sensitif dalam mengendalikan keseluruhan proses siasatan, khususnya isu keselamatan negara kerana ia masih di peringkat siasatan.

  • Hasanah bebas tuduhan pecah amanah AS$12.1 juta

    Hasanah bebas tuduhan pecah amanah AS$12.1 juta

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Ab. Hamid daripada tuduhan pecah amanah wang AS$12.1 juta (RM50.4 juta).

    Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas mendapati tidak adil untuk wanita itu dibiarkan terus tergantung dengan pertuduhan berkenaan lebih daripada setahun.

    Menurutnya, keadilan tidak dilaksanakan dengan cara sedemikian.

    “Mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah, mahkamah mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.

    “Berdasarkan fakta bahawa pihak pendakwaan tidak lagi mempunyai keinginan untuk meneruskan kes, maka mahkamah mempunyai kuasa dengan memberikan perintah lepas bebas,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Pada 12 April lalu, media melaporkan, Hasanah dilepas tanpa dibebaskan (DNA) oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada tuduhan itu.

    Hakim Ahmad Shahrir Mohd. Salleh menetapkan perkara itu selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap wanita berkenaan.

    Pada 25 Oktober 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

    Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kompleks JPM,
    Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya, antara 30 April hingga 9 Mei 2018, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.