Category: Semasa

  • Empat individu didakwa racun burung merpati

    Empat individu didakwa racun burung merpati

    EMPAT individu termasuk dua lelaki warga Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan memberikan bahan beracun kepada sekumpulan burung merpati, bulan lepas.

    Dua warga Indonesia Fathur Rosi Arsijo, 22, dan Abdul Rahman Sauji, 32, kedua-duanya pekerja pembersihan mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

    Bagaimanapun, dua pembantu tadbir wanita Noor Hazirah Masuan, 32, dan Nurul Najwa Shafikah Zukri, 22, yang turut didakwa atas pertuduhan sama mengaku tidak bersalah.

    Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama tanpa kebenaran yang sah atau sebab yang munasabah memberikan bahan beracun kepada sekumpulan burung merpati di hadapan pekarangan sebuah kilang di Batu Tiga Shah Alam pada 3.53 petang, 21 Julai lepas.

    Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

     Mahkamah kemudiannya menetapkan 12 Sept ini sebagai tarikh untuk membacakan fakta kes dan menjatuhkan hukuman terhadap Fathur Rosi dan Abdul Rahman, serta sebutan dan serahan dokumen untuk dua tertuduh wanita.

    Rasyihah juga membenarkan kedua-dua wanita warga tempatan itu diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    Kedua-dua warga Indonesia itu pula tidak ditetapkan sebarang jaminan kerana mereka kini ditahan di bawah Akta Imigresen.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Mohd Sharif Sabran manakala peguam Nur Iwani Izzaty mewakili Noor Hazirah dan Nurul Najwa Shafikah, dan dua warga Indonesia tidak diwakili peguam.

    Sebelum ini, tular di media sosial mengenai kejadian kira-kira 100 ekor burung merpati mati dan dilonggokkan di satu kawasan selepas dipercayai memakan dedak yang diberikan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

    — BERNAMA

  • RUU Larangan Tukar Parti dijangka dikuatkuasa tidak lewat pertengahan bulan depan

    RUU Larangan Tukar Parti dijangka dikuatkuasa tidak lewat pertengahan bulan depan

    RANG Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang diluluskan Dewan Negara hari ini dijangka dapat dikuatkuasakan tidak lewat daripada pertengahan September ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata jangkaan itu bersesuaian dengan garis masa yang diperlukan untuk rang undang-undang itu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    “Saya cukup yakin Tuanku peka dengan rang undang-undang ini dan kalau jangkaan saya tepat, tidak lewat pertengahan bulan September (penguatkuasaannya).

    ”Kita memang berharap (untuk dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)). Saya tidak boleh meneka tetapi apabila kita hantar ke istana, kita perlu beri masa untuk Tuanku melihat, meneliti dan mengkaji rang undang-undang ini sebelum memberi perkenan,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya jangka masa rang undang-undang itu dapat dikuatkuasakan dan adakah ia dapat dilaksanakan sebelum PRU-15 diadakan.

    Terdahulu rang undang-undang itu diluluskan di Dewan Negara selepas memperoleh masing-masing sokongan 52 daripada 60 senator selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan Ahli Dewan Negara.

    Wan Junaidi berkata selepas diluluskan, rang udang-undang berkenaan seterusnya akan melalui proses perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan sebelum undang-undang itu dapat diwarta, kemudian mula dikuatkuasakan.

    Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata implikasi cadangan untuk mengadakan pilihan raya bagi memecat wakil rakyat atau “recall election” perlu dikaji dengan lebih mendalam sebelum ia dapat dijadikan rang undang-undang.

    Katanya kerajaan akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan seperti ahli politik, badan bukan kerajaan dan masyarakat madani  bagi membincangkan cadangan itu yang bertujuan menghalang wakil rakyat yang diberikan mandat sewaktu pilihan raya daripada melompat parti.

    Beliau berkata perkara itu juga perlu diperhalusi memandangkan negara-negara yang mengamalkan undang-undang berkenaan menghadapi masalah tersendiri berhubung pelaksanaannya.

    “Oleh demikian, kita perlu belajar daripada apa yang mereka hadapi serta alami dan daripada itu nanti kita akan kaji. Buat masa ini,  ia belum dibentangkan kepada jemaah menteri,” katanya.

    — BERNAMA

  • Muzium Seni Kraf Orang Asli tarik perhatian Menteri Luar New Zealand

    Muzium Seni Kraf Orang Asli tarik perhatian Menteri Luar New Zealand

    MUZIUM Seni Kraf Orang Asli yang terletak di Taman Botanik, Tasik Perdana di Ibu Negara, menarik perhatian Menteri Luar New Zealand, Nanaia Mahuta.

    Beliau yang juga suku kaum Orang Asli Maori, New Zealand, dalam rangka lawatan rasmi ke negara ini sempena sambutan Hari Orang Asli Sedunia yang disambut hari ini.

    Mahuta meluangkan masa lebih 30 minit di muzium diiringi Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Sapiah Mohd Noor serta pegawai Jabatan Muzium Negara, Wisma Putra dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar, (KPLB).

    Turut serta, Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, Pam Chong Dunn. Paling mencuri tumpuan Mahuta sepanjang lawatan itu adalah persembahan tarian Orang Asli Mahmeri.

    Lawatan itu adalah anjuran bersama Jabatan Muzium Negara, JAKOA dan Wisma Putra.

    Semalam Mahuta dan delegasinya turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Putrajaya.

    Kedua-dua Menteri itu bertukar-tukar pandangan selain berkongsi pengalaman negara masing-masing dalam pengurusan, pembangunan dan kebajikan Orang Asli.

    Mahuta mengadakan lawatan kerja selama tiga hari ke Malaysia dari 6 hingga 9 Ogos.

  • Pas tidak akan sertai Gerakan Tanah Air

    Pas tidak akan sertai Gerakan Tanah Air

    PAS tidak akan menyertai Gerakan Tanah Air (GTA), kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Menyifatkan penubuhan GTA tidak memberi kesan kepada PAS, beliau berkata gabungan itu, yang dipelopori Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) bukanlah terdiri daripada parti-parti dominan.

    “Malah saya ingin seru kepada GTA supaya bergabung dengan parti yang memberi kepentingan serta membela rakyat untuk kestabilan negara kerana perpecahan tidak akan membawa manfaat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail di Kota Bharu hari ini.

    PAS ketika ini adalah sekutu Bersatu yang membentuk Perikatan Nasional bersama Gerakan dan dua parti berpangkalan di Sabah.

    Pada Khamis lepas, Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan GTA iaitu sebuah gabungan bertujuan memperkasa kaum Melayu terutama dalam bidang ekonomi.

    — BERNAMA

  • Felcra laksana projek Mega ternakan ayam sistem tertutup bernilai RM60 juta

    Felcra laksana projek Mega ternakan ayam sistem tertutup bernilai RM60 juta

    FELCRA Berhad mengorak langkah dalam aktiviti perniagaannya dengan melaksanakan projek mega ternakan ayam sistem tertutup bernilai RM60 juta.

    Projek yang dilaksanakan di Kampung Tanjung Seratus, Rompin,itu adalah sebahagian inisiatif FELCRA dalam menyokong Dasar Jaminan Keselamatan Makanan Negara.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kementeriannya menyalurkan peruntukan projek mega itu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

    “Kebenaran merancang projek ini telah dimohon kepada Majlis Daerah Rompin dengan tatacara ataupun peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak majlis, jadi saya fikir bahawa Majlis Daerah Rompin dan kerajaan negeri Pahang tidak ada masalah untuk meluluskan kerana apa yang dipohon itu telah mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

    ”Projek ini akan membantu menambah bekalan ayam di pasaran dalam negara selain membuka peluang pekerjaan kepada peserta FELCRA,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas Lawatan Kerja ke Tapak Kompleks Ladang Ayam Pedaging Sistem Tertutup FELCRA Berhad di Tanjung Seratus hari ini.

    Turut hadir, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun, Pengerusi FELCRA, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Datuk Mat Roni Zakaria.

    Jelas Mahdzir, projek tersebut adalah sebahagian daripada Pelan Transformasi FELCRA 2.0 untuk mempelbagaikan bidang perniagaannya dan tidak hanya bergantung kepada sektor perladangan kelapa sawit semata-mata.

    Beliau berkata, pembinaan kompleks ternakan ayam di atas tanah seluas 20 hektar itu mula dibina bulan ini dan dijangka siap bulan Januari tahun depan.

    ”Ia dijangka mampu membekalkan sebanyak 600,000 ekor ayam bagi satu pusingan 35 hari atau 3.6 juta ekor pada tahun pertama operasinya.

    “FELCRA menjangkakan dalam satu tahun dapat sebanyak enam kali pusingan dan ini adalah permulaan (projek) dan pihak FELCRA telah membuat ‘engagement’ dengan pihak-pihak yang ada kepakaran dan teknologi selain FELCRA juga ada pegawai-pegawai dalam bidang itu (penternakan ayam),” katanya.

    Ketika ini, kata beliau keperluan ayam dalam negara adalah berjumlah 2.09 juta ekor sehari atau 62.9 juta ekor ayam sebulan berbanding pengeluaran semasa ayam sebanyak 1.6 juta ekor sehari iaitu kekurangan kira-kira 409,000 ekor ayam sehari.

    “Ini adalah sebahagian daripada program dalam FELCRA yang saya jangka FELCRA juga akan mengadakan kawasan ataupun tapak di negeri lain pula selepas ini untuk menambah jumlah bilangan ayam,” kata Mahdzir.

  • Najib tarik balik dakwaan rasuah terhadap Hakim Mohd Nazlan

    Najib tarik balik dakwaan rasuah terhadap Hakim Mohd Nazlan

    DATUK Seri Najib Tun Razak telah menarik balik dakwaan rasuah terhadap Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mensabitkan serta menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas bekas Perdana Menteri itu bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Bhd.

    Najib, 69, menarik balik dakwaan itu melalui afidavit jawapan lanjutan yang difailkan beliau di Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lepas menerusi Tetuan Zaid Ibrahim Suflan T H Liew & Partners.

    “Untuk rekod, saya secara mutlak menarik balik sebarang tafsiran mengenai apa yang saya telah katakan yang boleh dianggap bermaksud bahawa Hakim Mohd Nazlan telah disiasat kerana kemungkinan rasuah,” katanya.

    Bagaimanapun, beliau berkata terdapat bukti tambahan yang akan menunjukkan konflik kepentingan yang serius membabitkan hakim tersebut dan ini adalah sebab beliau memohon agar kes itu dibicarakan semula.

    Najib berkata demikian ketika menjawab afidavit pendakwaan pada 21 Julai, yang mengatakan pengetahuan peribadi Najib mengenai siasatan SPRM ke atas Mohd Nazlan tidak semestinya benar kerana agensi penguatkuasa bebas itu tidak akan mendedahkan maklumat sulit berkaitan siasatan yang sedang dijalankan.

    Najib berkata demikian ketika menjawab afidavit pendakwaan pada 21 Julai lepas yang menyebut pengetahuan peribadi beliau mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Mohd Nazlan adalah tidak benar kerana agensi itu tidak akan mendedahkan maklumat sulit mengenai siasatan yang sedang berlangsung.

    Pendakwaan baru-baru ini menyatakan bahawa dakwaan Najib terhadap Mohd Nazlan, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, adalah percubaan terdesak untuk membatalkan perbicaraan kes itu.

    Pada 21 April lepas, Mohd Nazlan membuat laporan polis berhubung artikel yang disiarkan oleh sebuah portal berita bertajuk ‘Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account’ yang mendakwa bahawa beliau telah disiasat berkaitan wang yang dipindahkan ke akaun banknya.

    Mohd Nazlan telah menafikan dakwaan itu serta niat jahat untuk menjejaskan kredibiliti beliau sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dan mengganggu sistem keadilan selain institusi kehakiman melalui artikel tersebut.

    Pada Julai 2020, Mohd Nazlan telah menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapati beliau bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC.

    Kes itu akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak rayuan Najib.

    Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 10 hari bermula 15 Ogos ini untuk mendengar rayuan terakhir bekas Perdana Menteri itu.

    — BERNAMA

  • Bersatu gesa sidang tergempar Dewan Rakyat, bentang kertas putih skandal kapal LCS

    Bersatu gesa sidang tergempar Dewan Rakyat, bentang kertas putih skandal kapal LCS

    Oleh DATUK JASRI JAMALUDIN

    LAPORAN Jawatankuasa kira kira Wang Negara (PAC) berkenaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) bagi kegunaan TLDM amat mengejutkan.

    Setelah membaca rumusan laporan PAC tersebut saya percaya rakyat sama sekali tidak dapat menerima skandal perolehan yang merosakan perancangan TLDM serta rancangan menjaga kedaulatan Negara juga terancam.

    Ketirisan yang berlaku sudah tentu memberi gambaran buruk kepada negara,  terutama setelah skandal kewangan terburuk di dunia 1MDB yang merosakan imej negara. Jumlah RM6.083 Billion bukan sikit dan sehingga kini satu pun kapal masih tidak diserahkan kepada pihak TLDM. Ke mana wang berbilion ini hilang?

    Walaubagaimanapun perolehan ini perlu diteruskan kerana ia kritikal demi memelihara kedaulatan dan keselamatan negara.

    Saya dengan ini menyeru supaya sisatan menyeluruh dapat dilakukan dan usul tergempar dapat dibawa keParlimen kerana skandal ini melibatkan penipuan berbilion wang rakyat.

    Bukan sahaja penyelewengan berlaku tetapi ia juga memberi gambaran yang tidak baik kepada Sultan Perak yang melancarkan kapal separa siap pada 2017 lalu.

    Kita juga tidak jelas dengan jalan penyelesaian kepada skandal ini. Kenyataan terbaru Menteri Pertahanan bahawa kapal akan diserahkan dalam masa 1-2 tahun adalah bercanggah kerana kapal berlainan yang disebut.

    Oleh itu saya berpandangan usul tergempar di Dewan Rakyat harus dibentangkan segera, termasuk membentangkan kertas putih berkaitan penyelewengan yang berlaku. Rakyat berhak mengetahui perkara sebenar terutama melibatkan wang rakyat dan kedaulatan negara kita.

    • Datuk Jasri Jamaludin adalah Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Maran.
  • Tangki air sekolah pecah: 2 pelajar masih terima rawatan

    Tangki air sekolah pecah: 2 pelajar masih terima rawatan

    DUA daripada lima pelajar perempuan tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor di Kuala Lumpur, yang terbabit dengan insiden tangki air utama pecah pada 10.05 pagi hari ini, masih menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

    Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, sebelum ini empat pelajar dihantar ke HUSM untuk rawatan, manakala seorang lagi ke Klinik Kesihatan Mahligai.

    “Seorang daripada pelajar berkenaan mengalami luka di bahagian kepala dan menerima dua jahitan, manakala seorang lagi mengalami sakit di leher.

    “Tiga lagi pelajar bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dan sudah dibenarkan pulang ke rumah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Muhamad Zaki berkata, laporan mengenai kejadian itu sudah dibuat oleh guru Penolong Kanan SMK Melor.

    “Beliau menyatakan terdengar satu letupan yang kuat di bahagian belakang bangunan pejabat.

    “Pengadu terus pergi ke arah bunyi itu serta mendapati tangki air utama pecah dan kejadian berlaku ketika waktu rehat pelajar tingkatan satu, dua dan tiga,” katanya.

    Muhamad Zaki berkata, insiden itu menyebabkan kerosakan teruk kepada tangki utama, rumah enjin, laluan pejalan kaki, papan kenyataan, musala dan longkang. – Bernama

  • Polis tahan 4 Geng Mamat curi peralatan ECRL

    Polis tahan 4 Geng Mamat curi peralatan ECRL

    POLIS menahan empat suspek termasuk seorang wanita anggota sindiket ‘Geng Mamat’ kerana mencuri pelbagai peralatan pembinaan bernilai RM30,000 di enam tapak pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Maran, sejak April tahun lalu.

    Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superitendan Norzamri Abd. Rahman berkata, kesemua suspek berjaya ditahan bersama peralatan hasil operasi khas dijalankan oleh polis.

    “Menerusi serbuan pertama, pihak polis menahan sepasang penganggur masing-masing berusia 21 dan 25 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sungai Ling, Maran.

    “Susulan serbuan itu, polis menahan seorang lagi suspek lelaki berusia 32 tahun, yang bekerja sebagai buruh ladang di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Paya Pasir,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Katanya, seorang lagi pemuda berusia 19 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori pula ditahan di sebuah rumah di Jalan Kampung Pertanian, Pekan Tajau.

    Kata Norzamri, hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket tersebut melakukan kegiatan mencuri pada waktu malam di tapak pembinaan yang tidak mempunyai pengawal keselamatan.

    Selain menahan empat suspek itu, polis juga, katanya, turut merampas sebuah kereta Proton Iswara, selaras senapang angin dan sepasang gari yang disyaki digunakan untuk aktiviti penyamaran atau peras ugut pekerja asing.

    Tidak ketinggalan, kata beliau, sepeket plastik mengandungi dadah jenis syabu seberat 2.13 gram turut dirampas dipercayai bagi kegunaan ahli sindiket itu sendiri.

    Kesemua suspek, jelas Norzamri, didapati positif dadah jenis metamfetamin hasil ujian saringan air kencing selain dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

    Dalam masa sama, beliau berkata, terdapat dua suspek lagi yang masih bebas dan polis sedang giat mengesan mereka.

    Beliau berkata, kesemua suspek telah ditahan reman selama empat hari bermula Sabtu lalu sehingga Selasa sebelum disambung reman untuk siasatan lanjut.

  • Suspek khianat, pecah mesin ATM ditahan tak sampai 24 jam

    Suspek khianat, pecah mesin ATM ditahan tak sampai 24 jam

    SEORANG suspek yang bertindak melakukan khianat dengan memecahkan mesin bank ATM di Bandar Bukit Tinggi, Klang ditahan polis malam tadi.

    Suspek ditahan kurang dari 24 jam selepas pengurus bank bertindak membuat laporan polis memaklumkan terdapat dua buah skrin mesin teler automatik (ATM) mengalami kerosakan pada pukul 10.52 pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, siasatan awal mendapati terdapat dua buah mesin ATM, enam mesin deposit tunai (CDM) dan sebuah mesin deposit cek di tempat kejadian.

    “Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, suspek telah masuk melalui pintu utama yang tidak berkunci dan tiada pengawal keselamatan pada pukul 4 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Mengulas lanjut, suspek difahamkan cuba untuk mengeluarkan wang dari mesin ATM sebelum tiba-tiba bertindak menendang skrin sehingga rosak lalu melarikan diri.

    Jelasnya, sepasukan Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor telah menjalankan pemeriksaan di mesin ATM tersebut dan menemui beberapa barangan yang boleh membantu siasatan.

    “Polis kini membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Beliau berkata, suspek berusia 25 tahun berjaya ditahan di kawasan Jalan Dato Dagang 6, Taman Sentosa, Klang pada pukul 8.45 malam hari yang sama.

    Hasil semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah.

    “Turut dirampas ialah pakaian yang digunakan suspek semasa kejadian,” tambahnya.

    Hoong Fong berkata, Majistret Mahkamah Klang telah meluluskan reman ke atas suspek selama tiga hari sehingga Khamis.