Category: Semasa

  • Kurang 24 jam, TikTok baru Sanusi raih lebih 160,000 pengikut

    Kurang 24 jam, TikTok baru Sanusi raih lebih 160,000 pengikut

    AKAUN  terbaru aplikasi TikTok milik Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor sudah meraih lebih 160,000 pengikut dalam tempoh kurang 24 jam, sebagai tanda populariti ahli politik PAS itu susulan serangan terhadapnya oleh pemimpin Pakatan Harapan dan Umno.

    Semakan portal MalaysiaNow di aplikasi itu mendapati akaun dengan nama @sanusimdnor74 itu kini mempunyai lapan klip video dengan 164,300 pengikut dengan hampir 100,000 sukaan setakat ini. 

    Akaun baharu itu diwujudkan bagi menggantikan akaun asalnya di bawah nama pengguna @sanusimdnor yang nampaknya disekat, mendorong Sanusi menuding jari kepada kerajaan yang katanya cuba menutup mulutnya menjelang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

    “Kalau mereka betul anak jantan, pulangkan TikTok saya,” katanya dipetik dalam satu ceramah di Baling, Sabtu lalu. 

    Akaun asal TikTok Muhammad Sanusi Md.Nor

    Difahamkan bahawa akaun TikTok asal telah dipulihkan dan boleh diakses semula pagi ini.

    “Yang (akaun baru) dibuat semalam apabila TikTok asal disekat.  Tapi yang asal pun dah okay balik dah pagi ni. Depa takut,” kata Setiausaha Akhbar Sanusi, Muhamad Mat Yakim kepada MalaysiaNow.

    Kerajaan menafikan bahawa telah menyekat akaun TikTok Sanusi, mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai kuasa untuk mengharamkan mana-mana akaun pengguna di negara ini kerana platform media sosial itu dimiliki oleh firma teknologi China, Bytedance Ltd. 

    Bagaimanapun, sejurus selepas gabungan PH-BN membentuk kerajaan tahun lalu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengadakan pertemuan dengan TikTok kerana aplikasi itu dikatakan memberi manfaat kepada Perikatan Nasional semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15. 

    Dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah menulis surat kepada syarikat media sosial meminta kerjasama untuk menghapuskan siaran oleh pengkritik kerajaan.

    Sekurang-kurangnya dua permintaan sedemikian kepada Twitter telah ditolak oleh platform itu dalam tempoh dua minggu lalu. 

    Twitter berkata ia tidak dapat memenuhi permintaan sedemikian oleh agensi kerajaan kerana platform itu mempunyai dasar untuk melindungi hak kebebasan bersuara.

  • Mahkamah tiada kuasa bicarakan saman berkaitan projek HSR – Peguam Cara Negara

    Mahkamah tiada kuasa bicarakan saman berkaitan projek HSR – Peguam Cara Negara

    MAHKAMAH tidak mempunyai kuasa untuk membicarakan saman berhubung keputusan Jemaah Menteri yang membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) kerana ia suatu keputusan dasar awam Kabinet.

    Peguam Cara Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkata demikian melalui afidavit sokongan dalam permohonan kerajaan dan empat tokoh politik untuk membatalkan saman difailkan Mohd Hatta Sanuri, berhubung pembatalan projek infrastruktur itu membabitkan negara ini dan Singapura.

    Ahmad Terrirudin menerusi affidavit difailkan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 7 April, mendakwa isu itu tidak wajar (bukan dalam bidang kuasa mahkamah) kerana keputusan Kabinet adalah berdasarkan rundingan dengan Singapura serta kajian mengenai kepentingan dan kos ekonomi negara.

    Mohd Hatta, 47, selaku plaintif memfailkan saman itu pada 30 Disember lalu, dengan menamakan dua bekas Perdana Menteri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, bekas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan kerajaan selaku defendan pertama hingga kelima.

    Ahmad Terriudin mendakwa kelima-lima defendan itu menggunakan kuasa mereka dengan betul berhubung keputusan Kabinet yang pada mulanya untuk menangguhkan projek berkenaan dan kemudian membatalkannya.

    “Saya sesungguhnya percaya dan menegaskan tindakan plaintif adalah sangat jelas tidak dapat dipertahankan kerana plaintif tidak tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan tindakan ini dan keputusan defendan adalah keputusan dasar awam yang tidak boleh dibicarakan oleh mana-mana mahkamah.

    “Dengan itu, saya sesungguhnya percaya dan menyatakan tindakan ini mengaibkan, remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah yang mulia ini.

    “Selain itu, plaintif juga tidak mempunyai kepentingan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam perkara itu, malah dia tidak mempunyai hak undang-undang untuk memfailkan tindakan sivil bagi pihak semua rakyat Malaysia yang lain,” dakwa Ahmad Terrirudin.

    Pada 1 Januari 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan projek HSR sepanjang 350 kilometer kerana kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020.

    Sehubungan itu, Malaysia membayar S$102.8 juta (RM320.27 juta) kepada Singapura untuk kos yang ditanggung bagi pembangunan projek HSR dan berkaitan dengan pelanjutan penggantungannya.

    Projek berkenaan dijangka menyediakan tiga perkhidmatan utama iaitu perjalanan secara terus antara Malaysia dan Singapura dalam tempoh 90 minit, perkhidmatan domestik di Malaysia dan perkhidmatan ulang-alik dari Iskandar Puteri (Johor) sehingga Singapura.

  • Isu Sanusi belum selesai, titah Sultan Selangor

    Isu Sanusi belum selesai, titah Sultan Selangor

    PERKARA berhubung kenyataan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang dianggap menghina institusi diraja dengan memperlekeh pelantikan Menteri Besar masih belum selesai, walaupun beliau sudah memohon ampun, titah Sultan Selangor.

    Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah demikian selepas pertemuan berasingan bersama Pesuruhjaya Pas Selangor, Ahmad Yunus Hairi dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, hari ini.

    “Pertemuan secara berasingan ini membincangkan mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor dalam satu ceramah beliau di Selangor baru-baru ini, yang dianggap menghina institusi diraja Selangor.

    “Baginda bertitah bahawa perkara ini masih belum selesai,” menurut kenyataan Istana Selangor di Facebook, lapor FMT.

  • SPRM kenal pasti penguat kuasa sekongkol seludup sisik tenggiling

    SPRM kenal pasti penguat kuasa sekongkol seludup sisik tenggiling

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti pegawai penguat kuasa bersekongkol dengan sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling serta terbabit aktiviti pengubahan wang haram.

    SPRM menerusi kenyataan memberitahu, pihaknya giat memperoleh maklumat dalam siasatan kes itu dan menahan seorang lagi individu menjadikan jumlah ditahan setakat ini seramai lapan orang.

    “Dalam perkembangan terkini berhubung Ops Jaguar, SPRM merakam pernyataan individu dan membuat penggeledahan di kediaman serta premis terlibat,” katanya.

    Sehubungan itu, SPRM juga mengesan seorang lelaki, Sheikh Biman Sheikh Ahmad, 43, beralamat terakhir di Pelabuhan Klang bagi membantu siasatan.

    “Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Siti Norazirah Ramli di talian 03 88700249 atau 019 8557290,” katanya, lapor FMT.

    Pada 15 Julai lalu empat lelaki direman SPRM selepas disyaki menyogok penguat kuasa bagi menyeludup dan melupuskan sisik tenggiling serta terlibat aktiviti pengubahan wang haram.

  • Kes kurang duti kereta mewah:Tujuh ejen kastam dibebaskan dengan jaminan

    Kes kurang duti kereta mewah:Tujuh ejen kastam dibebaskan dengan jaminan

    TUJUH ejen kastam yang ditahan terbabit sindiket kereta mewah mengurangkan duti secara tidak sah dibebaskan dengan jaminan oleh Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini.

    Mahkamah mengarahkan tiga orang membayar wang jaminan RM5,000 manakala empat lagi perlu membayar wang jaminan RM10,000 setiap seorang.

    Menurut sumber, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat kes ini dan perlu menyemak beberapa dokumen yang dirampas dalam operasi itu.

    “Setakat ini sindiket kereta mewah mengurangkan duti secara tidak sah sehingga mengakibatkan ketirisan cukai kerajaan sehingga RM33 juta.

    “SPRM juga sedang mengesan individu lain yang terbabit dalam sindiket ini,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Sumber berkata, kereta mewah itu semuanya datang dari Langkawi, Kedah yang dibawa keluar sebelum dikurangkan duti secara tidak sah.

    “Mereka ini ditahan kerana bersubahat mengemukakan maklumat palsu sedangkan kenderaan mewah itu tidak layak mendapat pengurangan penilaian duti kastam,” ujarnya.

    Antara jenis kenderaan mewah yang terbabit dan dirampas setakat ini adalah jenis McLaren dan Ferrari, namun difahamkan terdapat banyak lagi kenderaan mewah lain.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai, ketika dihubungi mengesahkan tujuh individu terbabit dibebaskan dengan jaminan oleh mahkamah selepas tamat tempoh tahanan reman hari ini.

    Menurutnya, mereka perlu melaporkan diri ke Pejabat SPRM sebulan sekali.

  • PRN:Bekas ADUN Dengkil nafi tak dicalon kerana isu dadah

    PRN:Bekas ADUN Dengkil nafi tak dicalon kerana isu dadah

    BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah menafikan beliau tidak dicalonkan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) kerana terpalit dakwaan penyalahgunaan dadah tiga tahun lalu.

    Jelasnya, beliau sendiri menyatakan hasrat berundur kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana mahu memberi tumpuan kepada anak dan ibunya yang kurang sihat.

    Kata bekas ketua Pemuda Bersatu Selangor itu, kes berlaku Januari 2020 itu telah selesai dan diklasifikasikan tiada tindakan lanjut selepas ujian mendapati beliau tidak mengambil sebarang bahan terlarang.

    “Cuma saya nak fokus kepada keluarga sebab anak tak berapa sihat, mak pun tak berapa sihat jadi tanggungjawab itu berat bagi saya.

    “Tan Sri (Muhyiddin) pada mulanya berat dan tak setuju, tetapi lepas saya terangkan situasi saya beliau izinkan (berundur),” katanya memetik laporan FMT, hari ini.

    Misi mempertahankan Dengkil untuk PN akan digalas bekas ketua setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jamil Salleh yang diumumkan Muhyiddin malam tadi.

    Bersara daripada perkhidmatan awam empat tahun lalu, Jamil menggantikan Adhif yang menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil dengan majoriti 6,934 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    Adhif berharap pengalaman Jamil memimpin kementerian besar seperti KPDNHEP mampu memberi kelebihan kepada parti untuk mengekalkan kemenangan di DUN berkenaan.

    “Beliau bekas penjawat awam dan faham bagaimana proses pentadbiran berjalan. Saya yakin beliau mampu galas tanggungjawab berat menjaga hampir 100,000 pengundi Dengkil,” katanya yang akan membantu kempen parti pada PRN bulan depan.

    “Ini kampung saya, tempat membesar dan bekerja, saya takkan berhenti membantu parti dan rakyat di kawasan ini.”

    Beliau tidak menolak akan kembali ke arena politik pada PRU16, selain merancang melanjutkan pelajaran dalam tempoh ‘berehat’ itu.

  • Boy Iman, pengurus syarikat akan kemuka representasi gugur pertuduhan

    Boy Iman, pengurus syarikat akan kemuka representasi gugur pertuduhan

    PELAKON dan penerbit Boy Iman serta seorang pengurus syarikat yang didakwa atas pertuduhan menipu seorang wanita berhubung urusan penjualan tapak festival Hooray X Fest Raya, akan mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan itu.

    Peguam Johan Ariff Salim Khan yang mewakili Boy Iman atau nama sebenarnya Noruliman A Rahman, 43, dan Nor Azmi Jantan, 49, memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memfailkan representasi tersebut kepada pihak pendakwaan dalam masa terdekat.

    “Pihak kami baharu sahaja dilantik dan akan memasukkan representasi untuk kedua-dua anak guam kami. Oleh itu, mohon satu tarikh sebutan ditetapkan oleh mahkamah,” katanya ketika sebutan kes di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim, yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Noraisyah Mohamed Zanyuin.

    Sementara itu, peguam Muhamad Izhar Azmi mewakili Norazah Sahud dan Norzana Rapie @ Rafie, masing-masing berusia 51 tahun, yang turut berdepan pertuduhan sama, berkata pihaknya mengemukakan representasi kepada pendakwaan pada 13 Julai lepas berkaitan pertuduhan itu.

    Mahkamah kemudian menetapkan 28 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

    Pada 25 April lepas, Boy Iman dan tiga individu terbabit mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu Siti Wardina Basir dengan memperdayakannya dalam urusan penjualan ‘booth’ atau penyewaan tapak Hooray X Fest Raya di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur, sehingga menyerahkan RM1,500 di WTC pada 2.34 pagi, 19 April lepas.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

  • Waris tuntut keadilan nahas MH17

    Waris tuntut keadilan nahas MH17

    SELEPAS sembilan tahun tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh, waris serta keluarga mangsa nahas itu masih mengharapkan keadilan.

    Biarpun Mahkamah Daerah The Hague pada tahun lalu sudah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas dua warga Russia dan seorang warga Ukraine selepas didapati bersalah menembak jatuh pesawat malang itu pada 2014, keadilan yang diharapkan masih belum terlaksana.

    Bagi Munirah Mustafa, kakak kepada pramugari MH17, Allahyarham Mastura Mustafa berkata, dia bersama beberapa waris lain masih sabar menunggu supaya mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan dan menjalani hukuman di atas perbuatan mereka.

    “Hari ini kami dalam kalangan waris mangsa MH17 berkomunikasi sesama sendiri sempena memperingati tragedi MH17 yang ditembak jatuh pada 2014.

    “Namun, sehingga ke hari ini, sudah memasuki sembilan tahun, kami tetap sabar menunggu, mengharapkan akan ada keadilan sepenuhnya kepada semua mangsa,” katanya kepada Berita Harian, hari ini.

    Munirah berkata, apa yang keluarganya harapkan adalah supaya kes terbabit dapat diselesaikan sepenuhnya secepat mungkin.

    “Tempoh hari kata sudah selesai tetapi sampai sekarang masih tergantung, malah proses (mahkamah) sudah dijalankan, siapa yang salah pun sudah diketahui tetapi masih tetap belum selesai.

    “Kami sebagai waris hanya mahu kes ini selesai secepat mungkin, sudah bertahun kami menunggu,” katanya.

    MH17 ditembak jatuh ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di ruang udara timur Ukraine pada 17 Julai 2014 menyebabkan semua 298 penumpang, sebahagian besarnya rakyat Belanda serta anak kapal terbunuh.

    Penumpang lain membabitkan rakyat Australia, Britain, Malaysia dan Indonesia.

    Tahun lalu, Mahkamah Daerah The Hague menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas dua warga Russia dan seorang warga Ukraine selepas didapati bersalah menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014.

    Dua warga Russia, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky serta warga Ukraine, Leonid Kharchenko, turut didakwa menyebabkan semua 298 penumpang dan krunya terbunuh.

    Hakim Hendrik Steenhuis yang membacakan ringkasan penghakiman turut memerintahkan ketiga-tiga lelaki itu membayar pampasan kepada ahli keluarga mangsa.

    Beliau berkata, peluru berpandu Buk Telar dibawa ke Ukraine atas inisiatif Dubinsky, selaku pegawai memerintah dalam Republik Rakyat Donetsk (DPR) dan pegawai memerintah dalam DPR.

  • Pejabat MB Kelantan buat laporan polis dakwaan salah guna peruntukan projek khas

    Pejabat MB Kelantan buat laporan polis dakwaan salah guna peruntukan projek khas

    PEJABAT Menteri Besar Kelantan hari ini memandang serius tindakan Pemuda Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membuat laposan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM terhadap dakwaan menyalahguna  peruntukan prjek khas RM30 juta.

    Dalam kenyataan hari ini, Pejabat itu memaklumkan setiap peruntukan dalam Belanjawan 2023 diluluskan dengan penuh teratur, telus dan berintegriti.

    Berikutan kenyataan penuh tersebut;

    Pejabat Menteri Besar Kelantan mengambil serius berkaitan laporan media mengenai Pemuda Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada 16 Julai 2023 yang telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan menyalahguna peruntukan projek-projek khas RM 30 juta bagi tujuan Pilihan Raya Dewan Negeri Kelantan.

    Sebagai rekod, Belanjawan Kelantan 2023 telah dibentang, dibahas dan diluluskan dengan sokongan semua Ahli Dewan Negeri Kelantan dalam Persidangan Kali Ke-3 (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Yang Ke-14 pada 27 November 2022. Justeru, setiap peruntukan dalam Belanjawan 2023 diluluskan dengan penuh teratur, telus dan berintegriti.

    Berkaitan Projek-Projek Khas sebanyak RM30 Juta adalah bagi peruntukan Jaminan Bekalan Makanan sebanyak RM 10 Juta. RM 8 juta bagi projek-projek kecil, RM 5 Juta bagi Projek Menangani Banjir Kilat, RM 3 juta bagi peruntukan Pinjaman Mikro Kredit dan RM 4 juta bagi Projek Air Komuniti dibawah Bekalan Sumber Air dan Bekalan Air Alternatif.

    Dengan penjelasan ini, satu laporan polis akan dibuat terhadap individu terbabit untuk pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut. Orang ramai dinasihatkan tidak terpengaruh dengan tohmahan dan fitnah tersebut yang bermotif bagi memburukkan imej YAB Menteri Besar Pejabat MB Kelantan buat laporan polis dakwaan salah guna peruntukan projek khas(Datuk Ahmad Yaakob) dan Kerajaan Negeri menjelang Pilihan Raya Dewan Negeri Kelantan Ke-15.

  • ‘Saya mahu jumpa emak saya’, kata Ismahalil selepas dibebaskan

    ‘Saya mahu jumpa emak saya’, kata Ismahalil selepas dibebaskan

    BEKAS penyampai radio, Ismahalil Hamzah meluahkan hasrat untuk bertemu dengan ibunya yang sedang sakit selepas dilepaskan dan dibebaskan atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis, hari ini.

    Katanya, niatnya itu menjadi keutamaan apabila dia ingin kembali memikul tanggungjawab untuk menjaga ibu kesayangannya itu selepas hampir dua tahun di dalam penjara.

    Pengasas Bapakku FM itu turut menzahirkan rasa syukur apabila berkesempatan untuk menjadi wali kepada anak sulungnya, Saidatul Nadia, 27, yang akan berkahwin dalam masa terdekat.

    “Mak saya sedang sakit. itu adalah keutamaan saya. Anak saya juga akan menikah (dalam masa terdekat), Alhamdulillah saya dapat menjadi wali.

    “Saya nak balik kampung dan saya mahu jaga ibu saya buat seketika. Saya dah berjanji dengan arwah ayah saya untuk jaga ibu saya,” katanya.

    Ismahalil berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas prosiding keputusan di akhir pembelaan bagi kes pertuduhan yang dihadapi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selesai, tengah hari tadi.

    Menurut Ismahalil, dua tahun di dalam penjara cukup memberi pengajaran terhadapnya apabila menyifatkan kehidupan di penjara seolah-olah ‘mati namun masih bernafas’.

    “Dua tahun ini banyak memberi pengajaran kepada saya. Banyak sangat saya belajar. Terima kasih kepada semua.

    “Bila di dalam penjara sebenarnya kita seperti mati namun masih bernafas. Tiada hubungan luar, tiada apa-apa, seperti kita mati.

    “Namun Alhamdulillah hari ini Allah bagi kita ‘bernafas’ kembali. Pengalaman itu sangat memberikan pengajaran kepada saya,” luahnya.

    Dalam pada itu, lelaki berusia 52 tahun itu memberitahu akan kembali sebagai penyampai radio selepas Bapakku FM ditutup sejak dia ditahan, dua tahun lalu.

    “Insyallah dengan semangat yang ada, saya akan buka kembali radio Bapakku FM. Namun bagi saya masa. Saya akan teruskan kembali sebagai penyampai radio kerana ia merupakan nyawa dan kehidupan saya.

    “Bagi saya waktu untuk berehat. Saya telah berehat dalam ‘mati’ selama dua tahun, bagi saya masa untuk berehat dalam hidup pula buat seketika,” ujarnya, lapor Utusan TV.

    Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan bekas penyampai radio Ismahalil Hamzah daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 374.6 gram, dua tahun lalu.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

    Mengikut kertas pertuduhan,Ismahalil didakwa mengedar kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju pukul 5.35 petang pada 27 Ogos 2021.

    Pendakwaan mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.