Category: Semasa

  • Pelajar dan guru pusat tahfiz dibenar pulang

    Pelajar dan guru pusat tahfiz dibenar pulang

    PUSAT tahfiz di Jalan Cheneras di Lipis, Pahang yang tular di media sosial semalam ekoran lima lelaki memukul seorang pelajar dan seorang guru hingga cedera ditutup sementara waktu.

    Memetik laporan Astro Awani, difahamkan 25 pelajar yang majoriti dari daerah Lipis dan Gua Musang berserta tiga tenaga pengajar dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

    Menurut sumber, pusat tahfiz yang beroperasi sejak 2016 itu ditutup sehingga siasatan polis selesai dan dijangka dibuka semula sekitar bulan hadapan.

    Semalam, media melaporkan seorang ustaz menerima empat jahitan di mata kanan dan tangan serta badan lebam selepas diserang lima lelaki di sebuah pusat tahfiz di Jalan Cheneras, di Lipis.

    Kejadian pada pukul 5.10 petang Khamis lalu dipercayai berlaku ekoran tidak berpuas hati soal pembayaran makanan di pusat tahfiz terbabit.

    Suspek berusia 30-an bersama seorang pelajar tahfiz pergi ke pusat itu yang mana tiga orang menyerang mangsa berusia 30-an yang ditugaskan menjaga pusat terbabit.

    Kejadian tersebut tular di media sosial apabila satu video berdurasi 2.51 minit menunjukkan seorang lelaki yang memakai seluar pendek memarahi seorang mangsa sebelum bertindak memukulnya.

    Berdasarkan rakaman lelaki yang memakai kasut berkenaan menyatakan tidak berpuas hati apabila anak saudaranya dan pelajar lain dipukul.

    Lelaki tersebut berkenaan kemudiannya memukul mangsa sebelum mengajaknya bergaduh.

    Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, bertindak atas laporan, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis menjalankan beberapa serbuan pada awal pagi tadi di kawasan Damak, Jerantut dan menahan dua suspek.

    Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau jenayah dadah dan mereka berdua juga positif methamphetamine.

    Pusat tahfiz di Jalan Cheneras itu ditutup sementara waktu sehingga siasatan polis selesai.

    Video rakaman insiden seorang ustaz dan pelajar tahfiz diserang tular di media sosial semalam dan mencetus perbincangan dalam kalangan warga maya.

  • Pesawat TUDM, IAF terbang rendah di Kuantan

    Pesawat TUDM, IAF terbang rendah di Kuantan

    TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan eksesais bersama Indian Air Force (IAF) iaitu Eksesais Udara Shakti 2022 (EX US22) selama enam hari bermula semalam melibatkan ruang udara Kuantan dan kawasan sekitar. 

    TUDM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, pesawat TUDM dan IAF akan melaksanakan penerbangan taktikal secara rendah di kawasan tertentu yang digazetkan kawasan latihan sepanjang eksesais itu berlangsung. 

    “Orang ramai dinasihatkan agar tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat TUDM dan IAF terbang rendah di sepanjang tempoh eksesais,” menurut kenyataan itu. 

    TUDM selaku tuan rumah eksesais itu juga memaklumkan eksesais dengan konsep Field Training Exercise (FTX) dan Subject Matter Expert Exchange (SMEE) itu memperkukuhkan hubungan profesional antara dua angkatan udara Malaysia dan India. 

    Eksesais itu juga akan meningkatkan kebolehoperasian dalam melaksanakan latihan bersama di peringkat taktikal, membina dan mengukuhkan hubungan ketenteraan dua hala, perkongsian kemahiran serta pengalaman.- BERNAMA 

  • Wanita warga emas hilang selepas ke kebun

    Wanita warga emas hilang selepas ke kebun

    SEORANG wanita warga emas dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu selepas keluar dari rumahnya di Kampung Parit Kasih Sayang di Senggarang, Batu Pahat.

    Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pihaknya menerima aduan daripada anak mangsa menyatakan ibunya Painah Siwan, tidak pulang ke rumah, pada Rabu lalu pada pukul 11 malam.

    Beliau berkata, ibu pengadu yang berusia 79 tahun, keluar ke kebun kelapa sawit berhampiran rumahnya sejak pukul 3.30 petang.

    “Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan oleh polis, keluarga dan orang kampung tetapi gagal menemui mangsa,” katanya dalam kenyataan.

    Ismail berkata, operasi pencarian diteruskan pada hari kedua dan ketiga dengan 187 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi tetapi tetap gagal menemui mangsa.

    “Khidmat bantuan unit pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut digunakan, selain bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta penduduk setempat.

    “Pada hari ini, operasi mencari mangsa akan diperluas melebihi dari tempat mangsa dilaporkan hilang,” katanya.

  • 50 rumah dipukul ribut, mangsa dipindahkan ke PPS

    50 rumah dipukul ribut, mangsa dipindahkan ke PPS

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    LEBIH 50 keluarga dikejutkan dengan kejadian bumbung rumah mereka diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Rumah Pangsa Ros Merah, Johor Jaya, Johor Bahru, hari ini.

    Menurut mangsa, Rosliza Jaafar, 50, yang tinggal di Blok E berkata, semasa kejadian pada pukul 1.15 petang, dia dan suami sedang mengemas rumah sebelum tergamam melihat bumbung rumah di blok sebelah diterbangkan angin ribut.

    “Tidak lama kemudian, sebatang kayu dari bumbung sebelah masuk ke kediaman kami, sebelum bumbung rumah kami pula diterbangkan angin kencang dalam keadaan hujan lebat sebelum masuk dalam rumah.

    “Hujan terlalu lebat sehingga segala perkakasan dalam rumah rosak dan musnah akibat banjir. Masa itu hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu perasaan saya, terlalu takut,” katanya ketika ditemui.

    Ribut yang melanda menerbangkan bumbung dan mengakibatkan air hujan masuk ke dalam bilik hingga bertakung dalam kejadian di Rumah Pangsa Ros Merah

    Kejadian tersebut mengakibatkan keluarga 50 keluarga terjejas melibatkan enam daripada 10 blok iaitu blok C, D, E, F, G dan H.

    Rata-rata mangsa adalah penduduk yang di tingkat empat blok terbabit dan terdapat mereka yang dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya berikutan rumah mereka rosak teruk.

    Selain kawasan rumah pangsa tersebut, beberapa kawasan lain turut terjejas dengan insiden pokok tumbang antaranya di Jalan Surau dan Jalan Bilal, Kampung Melayu Pandan selain Jalan Balau 15, Bandar Seri Alam, Taman Megah Ria, Taman Bukit Rinting dan Taman Rinting.

    Turut dilaporkan terdapat pokok tumbang adalah Jalan Teratai 9, Rumah Pangsa Ros Merah selain Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, Kawasan Perindustrian Tebrau, Taman Molek dan Bandar Putra di Pasir Gudang.

    Rosliza berkata, kejadian tersebut disifatkan sebagai terburuk pernah berlaku di kawasan tersebut sejak 1999.

    “Tidak pernah terjadi kejadian seumpama ini. Hujan lebat melanda dalam kira-kira 30 minit beserta angin dan ribut kencang.

    “Memang tidak sempat selamatkan barang-barang. Tidak sangka duduk ditingkat empat rumah boleh banjir dan basah,” katanya.

    Seorang lagi mangsa, Nizam Maskam, 45, berkata, dia hanya ingat untuk menyelamatkan kedua ibu bapanya yang uzur dalam rumah ketika kejadian ribut melanda.

    Dia yang bekerja Kilang berkata, bapanya, Maskam Sarbini, 80, dan ibunya, Masitah Yusuf, 82, tinggal bersamanya di tingkat empat Blok H.

    “Hari ini Jumaat, jadi sebelum hendak keluar solat Jumaat, saya lihat angin kencang dengan hujan yang lebat ini lain macam.

    Mangsa dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya berikutan rumah mereka rosak teruk

    “Apabila tiba-tiba bumbung rumah terbang, perkara pertama yang saya cari ialah mak ayah yang sedang uzur. Saya terus angkat mak dan ayah ke beranda, ini adalah kejadian paling teruk,” katanya.

    Menurutnya yang sudah menetap di situ lebih 20 tahun, tiada barang yang dapat diselamatkan kerana semuanya basah dan rosak termasuk perkakasan elektrik.

  • Wanita cedera jatuh dari tingkat 19 sambil peluk al-Quran

    Wanita cedera jatuh dari tingkat 19 sambil peluk al-Quran

    SEORANG wanita berusia 33 tahun cedera dipercayai terjatuh dari tingkat 19 sebuah pangsapuri di Sungai Ara, di Georgetown, hari ini.

    Mangsa yang juga penduduk di situ ditemukan dalam keadaan memeluk kitab dipercayai terjemahan al-Quran.

    Wanita berkenaan kemudian dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

    Menurut Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Mohd. Awis Kharni Abd. Rahman, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.05 tengah hari.

    “Ketika tiba di lokasi, mangsa terbaring di lantai dan mengalami kecederaan.

    “Anggota bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi rawatan awal, sebelum mangsa dibawa ke HPP bagi tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Difahamkan mangsa ditemukan terbaring oleh orang awam di bahagian parkir bertingkat pangsapuri berkenaan.

  • Mayat dengan kesan tembakan ditemukan di deretan rumah kedai

    Mayat dengan kesan tembakan ditemukan di deretan rumah kedai

    SEORANG lelaki ditemukan maut dengan beberapa kesan tembakan pada badan di Taman Alam Jaya, Puncak Alam, Kuala Selangor, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pukul 11.40 pagi.

    “Semasa kejadian, mangsa berusia 29 tahun ditemukan dalam keadaan tertiarap. Turut ditemukan, sebuah motosikal Yamaha LC 135 dipercayai ditunggang mangsa

    “Pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hadir ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan dan menemui beberapa kelongsong peluru.

    “Hasil pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati terdapat beberapa kesan tembakan,” katanya menerusi kenyataan, malam ini, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah deretan rumah kedai satu tingkat Pusat Industri Alam Jaya.

    Sehubungan itu katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

  • Kes saman RM1.9 juta: Najib bantah dua peguam wakili Tommy Thomas

    Kes saman RM1.9 juta: Najib bantah dua peguam wakili Tommy Thomas

    DATUK Seri Najib Tun Razak pada Jumaat membantah pelantikan dua peguam untuk mewakili Tan Sri Tommy Thomas dalam kes saman RM1.9 juta yang difailkan beliau terhadap bekas Peguam Negara itu.

    Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, yang mewakili Najib, berhujah pelantikan Alan Adrian Gomez dan Lai Wei Shiung adalah tidak sesuai kerana sukar untuk mengekalkan kebebasan profesional dan bertindak secara objektif dalam tindakan saman yang difailkan pada 22 Oktober tahun lepas.

    Beliau berkata, Thomas selaku defendan pertama merupakan pengasas dan konsultan atau rakan kongsi firma guaman itu manakala rakan kongsinya juga memiliki kepentingan kewangan.

    “Peguam daripada firma guaman yang sama tidak wajar mewakili Thomas kerana tindakan itu dilihat sesuatu yang tidak profesional,” katanya pada pendengaran bantahan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache.

    Alan pula berhujah bantahan itu wajar ditolak kerana Najib perlu membuktikan melalui afidavit sokongan bahawa peguam yang mewakili Thomas memiliki kepentingan kewangan selain gagal mengekalkan profesionalisme di mahkamah.

    “Thomas bukan rakan kongsi Tetuan Tommy Thomas, beliau hanya konsultan dan tidak mempunyai kepentingan kewangan dalam firma guaman tersebut. Thomas meninggalkan tetuan berkenaan selepas beliau dilantik sebagai Peguam Negara pada 4 Jun 2018 dan beliau kemudian memasuki semula firma guaman itu sebagai konsultan pada September 2020,” katanya.

    Thomas telah meletak jawatan sebagai Peguam Negara pada 28 Februari 2020.

    Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan 19 Ogos ini untuk keputusan berhubung bantahan itu.

    Najib, 69, memfailkan saman itu dengan menamakan Thomas dan kerajaan sebagai defendan.

    Menurut pernyataan tuntutan, Najib berkata, beliau telah didakwa di mahkamah dalam kes membabitkan 1Malaysia Development Berhad, International Petroleum Investment Company, salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

    Beliau mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada perbuatan yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

    Justeru, Najib menuntut secara bersama dan berasingan daripada Thomas dan kerajaan satu pengisytiharan bahawa Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam serta menuntut kerugian berjumlah lebih RM1.9 juta termasuk bayaran rundingan untuk pasukan audit melakukan semakan dokumentasi bagi penyediaan fakta untuk menangani pendakwaan terhadapnya.- Bernama

  • Polis serbu pusat tipu tawaran kerja, 22 ditahan 

    Polis serbu pusat tipu tawaran kerja, 22 ditahan 

    POLIS menyerbu sebuah pusat panggilan penipuan tawaran kerja di Jalan Bangkong, Taman Bandaraya, Kuala Lumpur dan menahan 22 orang semalam.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, hasil maklumat diterima pihaknya melakukan serbuan pukul 7.45 petang di premis terbabit.

    Menurutnya, dalam serbuan itu, polis menahan 22 orang terdiri 21 tempatan dan seorang warga asing membabitkan 18 lelaki serta empat wanita berusia 19 hingga 37 tahun.

    “Mereka yang ditahan dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan tawaran kerja dalam talian di mana premis itu dijadikan tempat operasi pusat panggilan.

    “Turut dirampas 96 unit telefon telefon bimbit pelbagai jenama dan 20 set komputer pelbagaijenama,” katanya dalam kenyataan memetik laporan BH Online.

    Beliau berkata, hasil siasatan awal sindiket beroperasi selama hampir tiga bulan dan kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959,” katanya.

  • Pukul pelajar tahfiz: Dua daripada lima suspek ditahan, positif dadah

    Pukul pelajar tahfiz: Dua daripada lima suspek ditahan, positif dadah

    POLIS menahan dua daripada lima lelaki yang disyaki menyerang seorang pelajar tahfiz dan seorang ustaz di sebuah pusat tahfiz di Jalan Cheneras dekat Lipis, Pahang.

    Memetik laporan Astro Awani, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, dua lelaki yang berusia 30-an itu ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis.

    Menurutnya, pihak polis melakukan beberapa serbuan awal pagi tadi di sekitar kawasan Damak, Jerantut sebelum menahan dua suspek.

    “Baki tiga lagi suspek masih dikesan termasuk seorang suspek utama yang telah dikenal pasti butiran peribadi dan usaha menangkap suspek sedang dipergiatkan.

    “Kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan kawasan,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, kedua-dua suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis methamphetamine dan turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Dalam pada itu, Azli berkata, berdasarkan laporan kejadian dipercayai berpunca akibat suspek tidak berpuas hati terhadap penjaga pusat tahfiz berkenaan berkaitan pembayaran makanan di pusat tahfiz itu.

    Menurutnya, berdasarkan maklumat awal pada pukul 5.10 petang semalam lima lelaki bersama seorang pelajar tahfiz pergi ke pusat tahfiz berkenaan menaiki sebuah pacuan empat roda sebelum tiga suspek bertindak menyerang mangsa.

    “Dalam kejadian itu penjaga tahfiz mengalami kecederaan di bahagian mata sebelah kanan dan menerima empat jahitan, cedera di tangan dan lebam di badan, manakala pelajar tersebut sakit di bahagian badan,” katanya.

    Tular di media sosial hari ini beberapa orang lelaki membuat kecoh di hadapan pelajar dipercayai berlaku di sebuah pusat tahfiz di daerah ini.

    Menerusi video yang dikongsikan oleh pemilik akaun Facebook menggunakan nama Shah Ahmad, kelihatan seorang lelaki berseluar pendek dan memakai kasut telah masuk ke madrasah sebelum memanggil beberapa orang pelajar tahfiz berkenaan.

    Lelaki terbabit dalam keadaan marah kemudiannya dilihat bertindak memukul pelajar tahfiz sebelum seorang tenaga pengajar cuba masuk campur bagi meleraikan pergaduhan itu.

    Namun begitu, malang menimpa tenaga pengajar berkenaan apabila dia turut di pegang oleh beberapa orang lelaki lain sebelum dipukul.

    Berdasarkan rakaman lelaki yang memakai kasut berkenaan menyatakan tidak berpuas hati apabila anak saudaranya dan pelajar lain dipukul.

    Lelaki tersebut berkenaan kemudiannya memukul mangsa sebelum mengajaknya bergaduh.

  • Pengkid didakwa tunai umrah pakai ihram

    Pengkid didakwa tunai umrah pakai ihram

    TULAR satu bebenang ciapan mendakwa seorang wanita tanpa silu mengerjakan ibadah umrah dengan berpakaian ihram seperti seorang lelaki.

    Memetik laporan UtusanTV, perkara tersebut didedahkan menerusi satu ciapan yang ditulis oleh seorang pengguna Twitter dikenali sebagai Aliya Mansor.

    Difahamkan, Aliya Mansor merupakan “bekas teman wanita” kepada pengkid tersebut.

    “Berita tergempar, pengkid pergi umrah pakai ihram. Mampus kau lah sana semoga kena panah petir tak pun lumpuh sebelum balik.

    “Main-main dengan hukum Allah,” ciap wanita itu.

    Malah, wanita terbabit mendakwa dia bertindak membongkar kegiatan pengkid terbabit kerana sudah tidak tahan melihat kemungkaran yang dilakukan dan mengharapkan agar “bekas kekasihnya” insaf.

    “Kau tak insaf Nur Syazwani Mohamad Resad. Kau tak pernah insaf malah kau makin buat gila.

    Bukan itu sahaja, menerusi tangkap layar perbualan yang dikongsikan, wanita terbabit juga pernah mengajak Aliya berkahwin.

    Malah, Aliya juga berkongsi sebuah video yang memaparkan wanita terbabit berpakaian ihram mengerjakan umrah dengan dikelilingi jemaah lain.

    Berani eh. Sesak nafas rasa. Aku harap kau bertaubah la Nur Syazwani. Berapa ramai lelaki batal wuduk,” katanya.

    Mengulas lanjut, Aliya mula meragui status jantina “bekas kekasih” apabila diberitahu oleh orang ramai.

    “Mulanya saya 50-5 bila ramai beritahu boyfriend kau tu perempuan.

    “Sebenarnya ada banyak lagi saksi tampil dari TikTok dan sebagainya.

    “Memang dia bukan lelaki dan data dia pun terang-terang perempuan. Dia tipu saya dengan bagi nombor kad pengenalan lain.

    “Tapi kad pengenalan rupanya nombor genap dan ya gambar dia,” katanya.

    Tinjauan UtusanTV di ruangan komen mendapati rata-rata warganet turut berang akan tindakan pengkid terbabit yang seakan-akan mencabar Allah.

    “Meremang bulu roma aku , rumah Allah boleh bawa main. dia pakai ihram. aurat dia tak cover bagai , kalau ada yg bersentuh dgn dia auto batal air wuduk,” tulis @ezallafrizal.

    “Harap orang macamni Allah bagi balasan setimpal. Tengoklah sajat sekarang. Sejak balik dari Mekah pakai telekung, hidup dia bala memanjang. Dari rumah agam sekarang duduk apartment je. Hidup tak tenang hutang keliling pinggang sampai kena lari luar negara,” komen @appl3bloom.