Category: Semasa

  • Sanusi didakwa kerana PRN, kata Awang Hashim

    Sanusi didakwa kerana PRN, kata Awang Hashim

    AHLI Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Awang Hashim berkata, proses pendakwaan terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dilakukan kerana tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah semakin hampir.

    Menurutnya, apa yang berlaku itu adalah proses undang-undang dan pernah dihadapi parti itu sejak dahulu.

    “Kita serah kepada proses undang-undang. Tidak ada masalah. Cuma, kita nak bagi sokongan solidariti di atas pentas politik yang kita tengah hadapi PRN enam negeri ini, yang jadi klimaks.

    “Kita tengok sekarang di Kedah, punca kepada ini disebabkan oleh PRN. Bab jejas (sokongan kepada PN) atau tidak, kita tidak mahu komen, kita serah kepada proses undang-undang,” katanya.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Pendang berkata demikian ketika ditemui di luar Mahkamah Sesyen Selayang, di Selayang, hari ini.

    Katanya, dakwaan terhadap Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) yang juga Menteri Besar Kedah itu bukan berkisar kepada ‘kawal mulut’.

    “Ini bukan masalah kawal mulut atau apa. Tidak ada apa. Apabila kita bertemu dalam pentas politik, selesai cara politik. Ini biasa.
    “Dulu PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebelum jadi Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang pun sama.

    “Dia (Muhammad Sanusi) sudah minta maaf. Tetapi apabila ada tekanan… Menteri Undang-Undang boleh buat kerja Kementerian Dalam Negeri (KDN), Menteri Dalam Negeri buat kerja Menteri Undang-undang. Semua ini hanya proses.

    “Kalau kita tengok dahulu pun, PMX pernah ditarik balik pingat dia,” ujarnya, lapor Astro Awani.

    Katanya, apa yang berlaku adalah pengajaran, bukan hanya untuk Muhammad Sanusi tapi untuk orang lain juga.

    Muhammad Sanusi didakwa berhubung kenyataan yang didakwa mempertikaikan kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besarnya.

    Menerusi semakan sistem laman mahkamah, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu didakwa di dua mahkamah iaitu di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Osman Affendi Mohd. Shalleh pagi ini.

  • MB Kedah mengaku tak salah terhadap satu lagi tuduhan menghasut

    MB Kedah mengaku tak salah terhadap satu lagi tuduhan menghasut

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang di Kuala Lumpur hari ini, atas satu lagi pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu penubuhan kerajaan perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

    Bernama melaporkan Sanusi, 48, yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.

    Beliau didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

    Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Kedah itu dituduh melakukan kesalahan terbabit di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara – Kampung Bendahara, Gombak dekat Kuala Lumpur pada 11 malam, 11 Julai lalu.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Tertuduh juga dilarang membuat apa-apa komen sehingga kes selesai.

    Terdahulu, Menteri Besar Kedah mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin atas pertuduhan sama berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dalam ceramah sama.

    Kedua-dua mahkamah menetapkan masing-masing jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap Muhammad Sanusi.

    Mahkamah juga menetapkan 4 Oktober untuk sebutan semula kes.

  • Sanusi mengaku tak salah tuduhan menghasut dalam ceramah politik

    Sanusi mengaku tak salah tuduhan menghasut dalam ceramah politik

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang di Selayang hari ini atas satu pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dalam satu ceramah politik, minggu lepas.

    Muhammad Sanusi, 48, yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.

    Beliau didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

    Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Kedah itu dituduh melakukan kesalahan terbabit di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara – Kampung Bendahara, Gombak dekat Selayang pada 11 malam, 11 Julai lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Peguam Cara Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh manakala Muhammad Sanusi diwakili peguam Datuk Shaharudin Ali dan Wan Rohimi Wan Daud.

    Kes kedua Muhammad Sanusi kini disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Osman Affendi Mohd Shalleh.

    Menerusi hantaran di laman Facebook Muhammad Sanusi, beliau ditahan polis kira-kira 3 pagi tadi di sebuah hotel di Seleayang dan dibawa menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

    Media baru-baru ini melaporkan ucapan Muhammad Sanusi pada satu ceramah politik di Selangor dikatakan menghina institusi diraja Selangor.

    Muhammad Sanusi dalam video ucapannya yang tular dikatakan menghina Sultan Selangor ketika membandingkan urusan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah dan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.

    Susulan itu, pelbagai pihak tampil membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.

  • Sanusi ditahan polis, Pas minta ahli bertenang

    Sanusi ditahan polis, Pas minta ahli bertenang

    DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah ditahan oleh polis sekitar pukul 3 pagi tadi di sebuah hotel di ibu negara.

    Menteri Besar Kedah itu difahamkan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Selangor dengan menaiki sebuah kenderaan multi guna (MPV).

    Penahanan Muhammad Sanusi turut dirakamkan dalam sebuah video yang dikongsi di media sosial. Beliau dikatakan ditahan selepas beberapa jam kembali daripada mesyuarat Perikatan Nasional.

     Muhammad Sanusi juga difahamkan akan dihadapkan ke Mahkamah Selayang pagi ini dipercayai berkaitan kenyataan beliau menghina institusi Kesultanan Selangor dalam memilih Menteri Besar negeri itu.

    SEMENTARA itu, Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan meminta semua pihak khususnya ahli dan penyokong supaya bertenang dan menghormati proses perundangan.

    Berita lanjut menyusul

  • Sanusi didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang esok

    Sanusi didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang esok

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, akan dihadapkan ke Mahkamah Selayang, esok.

    Muhammad Sanusi yang juga Pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) dipercayai akan didakwa berhubung kenyataan yang didakwa mempertikaikan kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besarnya.

    Carian menerusi laman sesawang mahkamah, mengesahkan pendakwaan akan dibuat di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.

    Pendakwaan terhadap Sanusi ditetapkan untuk didengar pada pukul 9 pagi, lapor Berita Harian.

    Dalam ucapannya yang tular, pemimpin Pas itu dikatakan menyentuh mengenai perkenan Sultan Selangor, berkaitan pelantikan Menteri Besar Selangor.

    Susulan itu, pelbagai pihak membuat laporan polis termasuk yang menyifatkan menghina institusi beraja di Selangor.

  • Syarikat JV Berjaya, Naza saman Kementerian Kewangan

    Syarikat JV Berjaya, Naza saman Kementerian Kewangan

    SYARIKAT usaha sama (JV) Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza telah memfailkan saman terhadap Kementerian Kewangan (MoF) kerana menamatkan surat hasrat (LOI) yang ditawarkan kepada JV itu.

    Pengasas dan Penasihat Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan berkata, LOI yang berkaitan dengan kontrak untuk membekalkan kenderaan kerajaan, ditamatkan tiga bulan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Mac 2020.

    “Mereka (kerajaan) telah menamatkan perkhidmatan kami dan memberikannya kepada Spanco. Kerajaan bersetuju untuk membelanjakan RM700 juta lebih tinggi (berbanding bidaan JV).

    “Kerajaan berfikiran bahawa Berjaya dan Naza tidak cukup bagus dalam perniagaan kereta. Jadi kami telah memfailkan saman undang-undang terhadap (MoF) berhubung perkara ini dan bersedia untuk ke mahkamah mengenainya.

    “Anda akan mendengar lebih lanjut mengenai perkara ini selepas ini,” katanya pada sidang media selepas majlis perjanjian penjualan saham di antara Berjaya Corporation Bhd dengan Naza Corporation Holdings Sdn Bhd di Kuala Lumpur, hari ini.

    Menerusi perjanjian itu, Berjaya Corporation Bhd (BCorp) melupuskan 100 kepentingan dalam anak syarikat milik penuhnya, Berjaya Enviro Holdings Sdn. Bhd. (BEnviro) kepada Naza Corporation Holdings Sdn. Bhd. (Naza) untuk pertimbangan tunai RM700 juta.

    Mengulas lanjut, Tan berkata, bidaan yang dilakukan oleh JV terbabit ketika itu adalah yang paling rendah dalam kalangan semua pembida.

    Katanya, ketika itu Naza memiliki 51 peratus kepentingan di dalam JV dan 49 peratus oleh Berjaya.

    “Pegangan kepentingan dalam JV ini telah berubah, dengan Berjaya kini memegang 40 peratus kepentingan. Harapannya supaya kami akan mendapat keputusan yang memihak daripada mahkamah nanti,” katanya, lapor Berita Harian.

    Spanco menyelenggara barisan kenderaan kerajaan sejak 1994 sehingga konsesinya berakhir pada akhir 2018.

    Kerajaan ketika itu membuat tender secara terbuka dengan meminta pihak yang berminat untuk mengemukakan permohonan cadangan (RFP) mengenai konsesi berkenaan.

    Selain Spanco serta JV antara Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza, syarikat lain yang menyertai bidaan itu ialah DRB-Hicom Bhd. dan Samling Group.

  • Vape: ‘Malaysia seolah-olah sudah memasuki era ‘Wild Wild West’-KJ

    Vape: ‘Malaysia seolah-olah sudah memasuki era ‘Wild Wild West’-KJ

    BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini menyuarakan kebimbangan berhubung penjualan berleluasa vape tanpa kawalan di Malaysia.

    Dakwa beliau, keadaan tersebut sehingga menarik minat media antarabangsa menghasilkan satu laporan khas tentang isu itu.

    Melalui laman Twitter, beliau memberi reaksi mengenai laporan khas, Al Jazera dalam program berjudul, 101 East yang mempaparkan bukti produk itu mudah dibeli oleh kanak-kanak bawah 18 tahun.

    Beliau menganggap Malaysia seolah-olah sudah memasuki era ‘Wild Wild West’ selepas penjualan bahan nikotin itu didakwa tidak lagi dikawal oleh undang-undang.

    “Tiada penguatkuasaan di Malaysia kerana tiada undang-undang di Malaysia,” dakwa Khairy, lapor Astro Awani.

    Dalam laporan penyiasatan berkenaan krew Al Jazera dilaporkan mengunjungi enam buah kedai menjual vape di ibu negara.

    Laporan itu menyebut, tiada satu kedai yang meminta kad pengenalan bagi pengesahan umur walaupun terdapat notis yang memaparkan bahan itu hanya boleh dibeli pada usia 18 tahun ke atas.

    Khairy turut memohon maaf kerana penjualan vape tanpa kawalan sehingga orang ramai, terutama ibu bapa terpaksa berhadapan dengan situasi seperti itu.

  • Insiden KLIA: Polis serah kertas siasatan dalam masa terdekat

    Insiden KLIA: Polis serah kertas siasatan dalam masa terdekat

    POLIS akan menyerahkan kertas siasatan berhubung kes kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membabitkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.

    Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, kertas siasatan telah lengkap.

    “Kita akan serahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam masa terdekat ini untuk tindakan lanjut.

    “Kes diklasifikasikan bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana tidak memberi kerjasama kepada penjawat awam,” katanya, lapor Utusan Malaysia.

    Dilaporkan pada 2 Julai bahawa polis telah membuka kertas enkuiri polis (KEP) untuk menentukan sama ada wujud sebarang kesalahan oleh mana-mana pihak terbabit dalam kejadian itu.

    Polis juga merakam percakapan 22 saksi, terdiri daripada empat pengadu, 12 pegawai imigresen, empat pegawai polis bantuan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan pekerja syarikat ejen pelancongan.

    Dalam kejadian bulan lepas itu, Tiong dikatakan mencetuskan kekecohan di KLIA bagi membantu seorang warga China yang ditahan daripada memasuki Malaysia.

    Menteri itu juga dilaporkan memarahi polis bantuan KLIA dan pegawai imigresen ketika beliau cuba membantu wanita terbabit.

    Beliau mendakwa wujud budaya rasuah membabitkan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa ‘kronik’ di pintu masuk negara.

  • Bekas eksekutif didenda RM100,000 kesalahan kemuka dokumen palsu

    Bekas eksekutif didenda RM100,000 kesalahan kemuka dokumen palsu

    SEORANG bekas eksekutif bahagian keselamatan dan kebakaran Petronas Chemicals MTBE didenda RM100,000 di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas tuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi pembekalan peralatan keselamatan kebakaran bernilai RM41,760 kira-kira dua tahun lalu.

    Mohd. Hafez Manap, 38, yang menghadapi 10 pertuduhan pilihan berdepan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal menjelaskan denda yang diputuskan Hakim Ahmad Zamzani Mohd. Zain.

    Berdasarkan kertas pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd. Zamry, tertuduh didakwa secara curang menggunakan invois sebut harga atas nama sebuah syarikat yang diketahui sebagai palsu di Petronas Chemicals MTBE, Kawasan Perindustrian Gebeng di sini pada 11 Mac 2021.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh dituduh di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

    Sementara itu, sembilan lagi pertuduhan pilihan di bawah seksyen sama dikemukakan pihak pendakwaan yang diakui tertuduh telah dipertimbang dan direkodkan mahkamah di bawah Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.

    Bagi sembilan tuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di lokasi sama antara 26 Januari hingga 21 September 2021 membabitkan nilai invois keseluruhan RM278,383.

    Sebelum itu, peguam, Ridha Abdah Subri yang mewakili tertuduh memohon agar mahkamah menetapkan denda RM80,000 mengikut kemampuan anak guamnya.

    Menurutnya, pengakuan bersalah tertuduh membuktikan anak guamnya telah mengakui dan insaf atas kesalahan dilakukan.

    “Pada masa sama, pengakuan bersalah tertuduh juga menjimatkan kos dan masa semua pihak termasuk mahkamah.

    “Selain itu, mahkamah juga perlu pertimbangan kesalahan itu adalah yang pertama selain keadaan ekonomi tertuduh yang terjejas selepas dibuang kerja,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Bagaimanapun, Mohamad Fadhly memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM100,000 terhadap tertuduh memandangkan kerugian besar RM320,143 yang ditanggung syarikat.

    “Selain mengambil kira kepentingan awam, denda yang lebih tinggi satu pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama,” katanya.

  • Polis siasat video tular penduduk pangsapuri bergaduh

    Polis siasat video tular penduduk pangsapuri bergaduh

    POLIS menjalankan siasatan berhubung penyebaran video pergaduhan melibatkan penduduk di sebuah pangsapuri di Tampoi di Johor Bahru, Jumaat lepas.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh berkata semakan mendapati kes itu mempunyai kaitan dengan dua laporan yang diterima daripada individu terlibat, dalam kejadian tiga hari lepas.

    “Keterangan daripada pihak terlibat dan saksi bebas yang merupakan penduduk di pangsapuri itu telah diambil dan punca pergaduhan masih dalam siasatan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 160 KK dan Seksyen 427 KK.

    “Kita menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini agar menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Shazril Salim di talian 016-3425316,“ katanya.

    Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 2 minit 17 saat yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun media sosial yang memaparkan mengenai kejadian pergaduhan melibatkan beberapa penduduk di pangsapuri berkenaan.