Category: Semasa

  • Atlet raih emas Sukan Komanwel, APG diberi insentif

    Atlet raih emas Sukan Komanwel, APG diberi insentif

    PEMENANG pingat emas pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 di Solo, Indonesia, baru-baru ini akan menerima insentif daripada kerajaan atas kejayaan mereka mengharumkan nama negara, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    “Tentunya kita (memberikan insentif kepada pemenang pingat emas). Kita ada insentif yang akan kita berikan melalui program ganjaran imbuhan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM),” katanya pada pemberita selepas program pelancaran sebuah produk kecantikan, malam tadi.

    Ahmad Faizal berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan pemberita sama ada kerajaan akan memberikan sebarang insentif kepada atlet negara yang meraih emas pada temasya Sukan Komanwel 2022 baru-baru ini.

    Menurut beliau, kementerian akan memastikan usaha gigih para atlet negara di pentas antarabangsa dihargai selain merancang untuk meraikan kejayaan atlet di kedua-dua sukan itu bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kelak.

    Kontinjen negara menamatkan cabaran di Sukan Komanwel 2022 yang bermula dari 28 Julai hingga 8 Ogos lepas dengan pencapaian membanggakan apabila meraih keseluruhan tujuh pingat emas, lapan perak dan lapan gangsa.

    Kejayaan itu menyamai pencapaian ketika edisi 2018 di Gold Coast, Australia apabila kem Malaysia membawa pulang tujuh pingat emas, lima perak dan 12 gangsa.

    Bagi temasya APG, Kontinjen Malaysia yang diwakili kira-kira 70 atlet menamatkan cabaran di kedudukan keempat selepas merangkul 36 pingat emas, 20 perak dan 14 gangsa pada temasya yang berlangsung bermula 30 Julai dan berakhir pada 5 Ogos lepas. – Bernama

  • Mahkamah benar Najib pinda notis usul permohonan masukkan bukti tambahan

    Mahkamah benar Najib pinda notis usul permohonan masukkan bukti tambahan

    MAHKAMAH Persekutuan membenarkan Datuk Seri Najib Razak meminda notis usul dalam permohonannya bagi memasukkan bukti tambahan berhubung keterangan beberapa individu ke dalam rayuan akhir penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

    Memetik laporan Berita Harian, antaranya ialah keterangan viva voce (lisan) pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Hussein, berhubung siasatan skandal SRC International.

    Keterangan itu adalah sama ada beliau (Rosli) menyedari peranan lalu dan pembabitan hakim perbicaraan kes SRC, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Maybank Group.

    Antaranya berhubung perkhidmatan nasihat strategik yang diberikan Maybank Investment Berhad dan Bina Fikir Sdn Bhd kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi penubuhan SRC pada 2010/2011.

    Ia juga berkaitan pemberian pinjaman RM4.7 bilion Maybank kepada 1MDB bagi perolehan Tanjong Energy Berhad pada 2012.

    Bukti tambahan lain ialah keterangan lisan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Malaysia Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, berhubung peranannya ketika menjadi CEO 1MDB dalam urusan dan pelantikan Maybank Investment Berhad dan Bina Fikir Sdn Bhd serta pegawainya berkaitan perkhidmatan nasihat strategik dalam penubuhan SRC International pada tahun 2010/2011.

    Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan berkata, mahkamah belum membuat keputusan berhubung merit substantif pada peringkat ini.

    Sehubungan itu, Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Najib mengemukakan hujahan permohonan notis usul berkenaan sebelum Mahkamah Persekutuan memberikan keputusan.

  • Ketua hakim ketuai panel lima hakim dengar rayuan Najib,kemuka bukti baharu dana SRC

    Ketua hakim ketuai panel lima hakim dengar rayuan Najib,kemuka bukti baharu dana SRC

    KETUA Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan empat hakim lain sedang mendengar permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengemukakan bukti tambahan dalam kes penyelewengan SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya bagi membatalkan perbicaraan yang menyaksikan dia disabitkan kesalahan serta dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

    Hakim Tengku Maimun mengetuai panel lima hakim Mahkamah Persekutuan semasa prosiding bermula pada 9.48 pagi.

    Hakim lain ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

    Hari ini, mahkamah dijadual mendengar permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes SRC dalam usaha bekas perdana menteri itu untuk mendapatkan perbicaraan semula.

    Bukti tambahan yang cuba dikemukakan oleh Najib adalah berkaitan penemuan baru-baru ini bahawa hakim perbicaraan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali adalah peguam dan setiausaha syarikat bagi Kumpulan Maybank pada 2006, yang mempunyai tanggungjawab keseluruhan muktamad dalam pengurusan dan pentadbiran semua jabatan undang-undang dalam seluruh kumpulan.

    Sekiranya Najib gagal dalam permohonan ini, Mahkamah Persekutuan dijangka meneruskan pendengaran rayuan Najib terhadap sabitan kesalahan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atasnya oleh Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Mohd Nazlan pada 28 Julai, 2020.

    Najib, 69, diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat dan M. Rueben, manakala pasukan pendakwaan diketuai oleh Pendakwa Raya ad hoc Datuk V. Sithambaram dengan dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Donald Joseph Franklin, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Mohd Ashrof Adrin Kamarul dan Manjira Vasudevan.- BERNAMA

  • MB Kelantan imamkan solat jenazah pelajar Malaysia lemas di Mesir

    MB Kelantan imamkan solat jenazah pelajar Malaysia lemas di Mesir

    MUHAMMAD FIRDAUS

    MENTERI Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob semalam mengimamkan solat jenazah pelajar Universiti Al-Azhar, Muhammad Firdaus Ab Rais yang mati lemas dalam satu kejadian di Mesir kelmarin.

    Allahyarham, 25, meninggal dunia semasa mandi di sebatang sungai di al-Qanathir Al-Khairiyah, Mesir.

    Ahmad berkongsikan perkembangan itu menerusi satu hantaran di akaun rasmi Facebook beliau malam tadi.

    Menurutnya, beliau bersama Duta Besar Malaysia Ke Mesir sempa bersuia dengan ahli keluarga Allahyarham yang baru tiba di negara itu.

    “Sama-sama kita doakan moga Allah SWT cucuri rahmat keatas roh Allahyarham,” katanya.

    Pelajar berusia 25 tahun jurusan Syariah itu dikatakan pergi berkelah bersama 10 rakan lain di sebuah sungai pada Jumaat tetapi ditemui lemas kira-kira pukul 10 pagi Sabtu.

    Kejadian itu turut mengorbankan seorang lagi rakannya yang berasal dari Patani, Thailand.

    Memetik laporan Sinar Harian, ibu Muhammad Firdaus, Siti Azlina Mohamad, 46, tidak menyangka dengan kejadian yang menimpa anaknya.

    Siti Azlina ketika ditemui mengakui masih terkejut dengan kejadian yang berlaku ke atas anak sulungnya itu tetapi reda dan sedang membuat persiapan untuk bertolak ke Mesir petang Ahad.

    Menurutnya, kali terakhir dia bertemu Muhammad Firdaus ketika majlis perkahwinan anaknya itu tahun lalu.

    “Selepas itu arwah dan isterinya pulang semula ke Mesir untuk menyambung pelajaran.

    “Saya terkejut apabila menerima panggilan daripada mertua arwah Jumaat lalu kira-kira jam 11 pagi yang memaklumkan mengenai kehilangannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kubang Kerian, semalam.

    Menurut Siti Azlina, Muhammad Firdaus seorang anak yang baik dan peramah serta sentiasa memaklumkan kepada orang tua jika hendak melakukan sesuatu.

    “Bagaimanapun, kali ini arwah tidak memberitahu saya untuk pergi berkelah di sungai itu,” katanya.

  • Lelaki rogol wanita OKU, paksa lakukan hubungan luar tabii

    Lelaki rogol wanita OKU, paksa lakukan hubungan luar tabii

    SEORANG lelaki yang merogol rakan sekerjanya dalam sebuah tandas di sebuah restoran terkenal di Bandar Raya Alor Setar bulan lalu, kini direman di penjara sehingga menunggu tarikh perbicaraan akan datang.

    Suspek, 21, ditahan susulan laporan polis yang dibuat ibu kepada wanita orang kurang upaya (OKU) berusia 22 tahun itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada 1 Ogos lalu.

    Difahamkan mangsa dipercayai tidak tahan dengan perbuatan lelaki itu dan menceritakan kejadian berkenaan kepada ibunya sebelum laporan polis itu dibuat.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, lelaki itu ditahan di sekitar bandar raya itu sejurus laporan dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol.

    “Jika sabit kesalahan, individu itu boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan sebatan.

    “Hasil siasatan mendapati, kejadian berlaku tanpa kerelaan mangsa yang mana wanita itu dipaksa dengan ditarik ke dalam tandas lelaki di restoran berkenaan.

    “Mangsa kemudian dirogol dan dipaksa melakukan hubungan luar tabii,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Ahmad Shukri berkata, suspek sudah pun dituduh di Mahkamah Sesyen Alor Setar semalam dan ditahan reman sehingga tarikh perbicaraan akan datang.

  • Kanak-kanak rentung, lima melecur dalam kebakaran

    Kanak-kanak rentung, lima melecur dalam kebakaran

    SEORANG kanak-kanak lelaki rentung, lima individu lagi melecur dalam satu kebakaran di Kampung Perpaduan, Kinabatangan, pada pukul 12.35 tengah malam tadi.

    Kanak-kanak berkenaan dikenal pasti sebagai Mohd. Adlinsyah Mohd. Adsni yang berusia enam tahun.

    Sementara lima lagi mangsa iaitu ibu bapa dan adik-beradik kanak-kanak berkenaan berusia tiga hingga 43 tahun.

    Dalam pada itu, dua lagi penghuni rumah berkenaan dilaporkan selamat.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.40 tengah malam.

    “Sejurus itu enam anggota dihantar ke lokasi kejadian dan sebaik tiba operasi memadamkan api segera dijalankan.

    “Selepas api berjaya dikawal pada 2.04 pagi, pemeriksaan menemui seorang kanak-kanak rentung di bilik.

    “Lima lagi mangsa yang berjaya menyelamatkan diri dilaporkan melecur lima hingga 70 peratus di badan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, semua mangsa cedera dihantar Hospital Kinabatangan dan mayat mangsa rentung diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    Menurutnya, sebuah motosikal turut musnah dan rumah berkenaan hangus sepenuhnya.

    “Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 3.56 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

  • Peninju Thailand maut dalam pertarungan muaythai di Kota Bharu

    Peninju Thailand maut dalam pertarungan muaythai di Kota Bharu

    SEORANG peninju Thailand meninggal dunia ketika mendapat rawatan kecemasan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) pagi semalam, akibat pendarahan otak yang dialami dalam pertarungan yang disertainya di Kota Bharu, kelmarin.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata mangsa, Kittichai Chaengkhao, 28, dilaporkan tidak sedarkan diri selepas diserang lawan ketika menyertai perlawanan Muaythai Ambang Merdeka 2022 di Kampung Che Deris, Badang.

    Katanya, mangsa pada mulanya dihantar ke Klinik Kesihatan Badang pada pukul 1 pagi semalam, sebelum dirujuk ke HRPZ II tetapi disahkan meninggal dunia pada jam 10.57 pagi, selepas beberapa jam bertarung nyawa akibat berlaku pendarahan di dalam otak.

    “Ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Chumpong, Thailand, berlawan dengan seorang peserta dari Kuala Lumpur, tetapi kemudian tewas dan jatuh sebelum tidak sedarkan diri dan dibawa mendapatkan rawatan.

    “Sebaik segala urusan siasatan dilakukan, jenazah dibawa pulang untuk diserahkan kepada waris melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

    “Siasatan mendapati insiden ini tidak membabitkan sebarang unsur jenayah sebaliknya kemalangan ketika bersukan selain penganjur pertandingan juga mempunyai permit lengkap,” katanya lapor Berita Harian.

    .

  • Serpihan konkrit LRT 3 jatuh, tiada kemalangan jiwa

    Serpihan konkrit LRT 3 jatuh, tiada kemalangan jiwa

    MAJLIS  Perbandaran Klang (MPK) memaklumkan berlaku kejadian serpihan batu konkrit jejambat landasan pembinaan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) terjatuh ke khemah peniaga berdekatan Pasar Besar Meru, Klang, hari ini.

    MPK menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

    “Gerai peniaga yang terlibat telah diarahkan tutup serta-merta bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. Pihak pengurusan LRT3 turut memberhentikan kerja secara serta-merta.

    “Pemeriksaan mendapati serpihan konkrit itu terjatuh atas khemah di pasar tersebut. Pembinaan telah dihentikan dan pembersihan turut dilakukan di lokasi berkenaan. Peniaga juga telah diarahkan berpindah,” menurut hantaran itu.

    — BERNAMA

  • KPM akan umum data pelajar lepasan SPM tidak lanjutkan pelajaran

    KPM akan umum data pelajar lepasan SPM tidak lanjutkan pelajaran

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan mengumumkan data sebenar jumlah pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak melanjutkan pelajaran dalam tempoh terdekat.

    Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata ketika ini kementeriannya sedang mengumpulkan rekod dan data baharu mengenai hala tuju pelajar berkenaan selepas tamat menduduki peperiksaan tersebut.

    “KPM akan perincikan data-data (pelajar), kita akan kongsikan data ini dalam masa terdekat dan kita akan terangkan (ke mana pelajar) berdasarkan data yang kita dapat,” katanya kepada pemberita selepas program Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan-Guru Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

    Turut hadir Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Tah Nia Jaman.

    Baru-baru ini media melaporkan kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan SPM membuat keputusan untuk tidak menyambung pelajaran mereka.

    Mengulas angka dilaporkan itu, Radzi berkata kajian itu dibuat tidak menyeluruh dan merekodkan ‘ex cohort’ atau tidak mempunyai situasi sama misalnya generasi lepas yang kini berusia 70 hingga 80 tahun mempunyai sebab berbeza tidak melanjutkan pelajaran berbanding generasi muda masa kini.

    “Sebab itu kita kena lihat secara lebih mendalam. Saya tidak mahu mengulas mengenai 72 peratus, biar kita jelaskan hal itu berdasarkan data yang kita dapat mengenai pelajar yang menamatkan SPM,” katanya.

    Dalam pada itu, Radzi berkata kementeriannya sentiasa bekerjasama dengan agensi lain dalam usaha membantu pelajar yang mengalami kesukaran untuk ke sekolah di Sabah.

    Beliau berkata sekiranya perkara itu melibatkan isu infrastruktur, KPM akan mencari pendekatan untuk membantu pelajar berkenaan supaya mendapat akses pendidikan yang terbaik.

    Mengenai program itu, Radzi berkata ia adalah usaha transformasi KPM untuk menyampaikan mesej secara menyeluruh dalam ekosistem pendidikan supaya dapat melihat arah pembangunan sistem pendidikan negara.

    Beliau berkata pada program bersama kira-kira 1,000 warga pendidik itu, banyak perkara yang  disampaikan tentang aspek pendidikan yang telah dan akan dilaksanakan selain memberi ruang kepada guru untuk menyampaikan pandangan serta cadangan masing-masing bagi penambahbaikan sistem pendidikan.

    — BERNAMA

  • ‘’Lawatan Hishammuddin satu sandiwara’’- Mat Sabu, Chin Tong

    ‘’Lawatan Hishammuddin satu sandiwara’’- Mat Sabu, Chin Tong

    BEKAS  Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan timbalannya, Liew Chin Tong menyifatkan lawatan Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam sebagai satu “sandiwara”.

    Mohamad dan Chin Tong berkata, Hishammuddin dilihat tidak bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan kes kapal tempur pesisir (LCS).

    “Semalam, pihak Kementerian Pertahanan membawa wakil media lawat ke tapak pembinaan LCS di Lumut dengan niat untuk meyakinkan rakyat bahawa LCS memang wujud dan projek ini masih berlangsung.

    “Menurut rakan daripada pihak media, lawatan semalam seperti ‘tikus baiki labu’, media dibawa ke ‘hull’ (badan kapal) LCS 1 dan badan kapal LCS 2 hanya boleh dilihat dari jauh. Kapal-kapal yang lain tidak kelihatan,” kata mereka dalam kenyataan hari ini.

    Hishammuddin tegas mereka cuba membuktikan bahawa kapal dan badan kapal memang wujud seperti diperkatakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    “Seperti Najib Razak, Hishammuddin cuba membuktikan bahawa kapal dan badan kapal memang wujud.

    “Najib cuba menuding jari dan menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan untuk kelewatan projek LCS. Pakatan Harapan berkuasa 22 bulan tetapi Barisan Nasional yang memegang tampuk kuasa sebelum dan selepas itu melebihi 60 tahun,” tegas mereka.

    Sehubungan itu Mohamad dan Chin Tong mengingatkan Hishammuddin untuk tidak menyorokkan kebenaran bahawa projek LCS adalah projek sakit sebalik harus memberi jalan penyelesaian bagi isu terbabit.

     Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya baru-baru mendedahkan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard (BNS), yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal diterima.

    Pengerusi PAC, Wong Kah Who juag, mendedahkan bagaimana lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengemukakan kertas siasatan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian LCS kepada Jabatan Peguam Negara.