PEJABAT Peguam Negara (AGC) akan membuat keputusan secepat mungkin berhubung kes perolehan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS), membabitkan peruntukan RM9.128 bilion.
Berikutan itu, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, meminta rakyat Malaysia bersabar sementara pihaknya selesai meneliti kertas siasatan yang sudah diserahkan kepada pejabatnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“AGC akan buat keputusan `asap’ (secepat mungkin), please bear with us (minta bersabar),” katanya, lapor BH Online.
Khamis lalu, SPRM dalam satu kenyataan menyebut, pihaknya sudah mengemukakan kertas siasatan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian projek pembinaan LCS kepada Jabatan Peguam Negara.
Suruhanjaya itu juga memaklumkan, ia sudah melengkapkan kertas siasatan membabitkan beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan dakwaan berkenaan.
“Kertas siasatan sudah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dengan saranan SPRM untuk mempertimbangkan pertuduhan terhadap beberapa individu,” katanya.
Jemaah Menteri dilapor pada minggu lalu, meminta SPRM menyegerakan siasatan berhubung isu membabitkan projek LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata, mesyuarat Jemaah Menteri yang membincangkan secara terperinci perkara itu, turut meminta Peguam Negara membuat pendakwaan jika ada bukti kukuh serta membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Projek pembinaan LCS adalah perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan, dengan kos keseluruhan RM9 bilion bagi tempoh bermula 2013 dan dijangka siap dalam masa 10 tahun.
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya sebelum ini menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima setakat ini.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.
PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud yang patah kaki kanan akibat kemalangan di Mesir, kelmarin, kini dalam proses untuk dibawa pulang ke tanah air.
Setiausaha Pas Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu sedang menunggu penerbangan.
“Kita pun tidak mendapat gambaran jelas lagi keadaannya di sana, tunggu sehingga sampai di sini,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai keadaan Mohd Nassuruddin yang kini berada di Mesir.
Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Penganugerahan Pensijilan Kulinari 1.0 di H Elite Hotel di Kota Bharu, hari ini, lapor Sinar Harian.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika Mohd. Nassuruddin bersama bekas ADUN Pulai Chondong, Zulkifli Mamat dan seorang pelajar menaiki sebuah kereta sebaik tiba di negara berkenaan.
Media sebelum itu melaporkan, Mohd. Nassuruddin ke Mesir bersama rombongan beberapa pimpinan kerajaan negeri termasuk Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Rombongan berkenaan dijadualkan menghadiri Seminar Peradaban Kerajaan Negeri Kelantan di Timur Tengah 2022 (Spektrum 2022) bermula 14 hingga 16 Ogos.
DATUK Seri Najib Razak memohon rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya, ditangguh sehingga siasatan terhadap Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali selesai.
Memetik laporan Berita Harian, Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang berhujah dalam permohonan notis usul bagi memasukkan bukti tambahan berkaitan Mohd Nazlan dalam rayuan akhir kes SRC berkata, prosiding itu wajar ditangguhkan kerana bukti tambahan jelas menunjukkan wujud konflik kepentingan.
Katanya, adalah wajar siasatan terhadap Mohd Nazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan selesai dijalankan sebelum rayuan akhir didengar dan diputuskan Mahkamah Persekutuan.
Hisyam berkata, wujud bahaya nyata wujudnya berat sebelah dalam kes itu kerana konflik kepentingan berhubung peranan Mohd Nazlan.
“Mahkamah Persekutuan boleh meminta rekod siasatan dan melihat sendiri keterangan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).
“Seperti yang dijelaskan dalam afidavit pemohon (Najib), keterangan tambahan ini mengandungi bukti material yang menunjukkan konflik kepentingan dan berat sebelah membabitkan hakim yang mendengar perbicaraan kes ini (Mohd Nazlan).
“Oleh itu, kami memohon ini (memasukkan bukti tambahan) dibenarkan dan mana-mana perintah yang difikirkan sesuai serta wajar oleh mahkamah ini,” katanya.
Mohd Nazlan adalah hakim Mahkamah Tinggi yang mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC International, dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun serta didenda RM210 juta pada 28 Julai 2020.
Najib memohon memasukkan dalam rayuan akhirnya antaranya keterangan viva voce (lisan) pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Hussein berhubung siasatan skandal SRC International.
Keterangan itu adalah sama ada beliau (Rosli) menyedari peranan lalu dan pembabitan Mohd Nazlan sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank berhubung khidmat nasihat strategik yang diberikan oleh Maybank Investment Berhad dan Bina Fikir Sdn Bhd kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi penubuhan SRC International pada 2010/2011.
Ia juga berkaitan pinjaman RM140 juta yang diberikan oleh Maybank kepada Putra Perdana Development Berhad (anak syarikat SRC) pada tahun 2014 , iaitu sumber RM42 juta yang menjadi perkara utama dalam pertuduhan yang dikenakan ke atas Najib.
Bukti tambahan lain ialah keterangan lisan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berhubung peranannya ketika menjadi CEO 1MDB dalam urusan dan pelantikan Maybank Investment Berhad dan Bina Fikir Sdn Bhd serta pegawainya berkaitan khidmat nasihat strategik dalam penubuhan SRC International pada 2010/2011.
Notis usul memasukkan bukti tambahan itu berbangkit daripada permohonan Najib supaya Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan keseluruhan perbicaraan penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd batal dan tidak sah.
Beliau juga memohon mahkamah menimbangkan supaya diadakan perbicaraan semula.
Prosiding bersambung petang ini dengan hujahan balas pendakwaan.
SEBUAH premis kedai makan yang dipercayai beroperasi di Port Dickson, Negeri Sembilan mengenakan caj teh o ais pada harga RM5 segelas.
Caj yang dianggap keterlaluan itu dikongsikan seorang pengguna Facebook menggunakan akaun Nurul Az semalam yang memuatnaik gambar resit bayaran dan premis berkenaan.
Dalam hantarannya, Nurul Az berkata, dia terkejut apabila dikenakan caj RM5 bagi segelah minuman teh o ais.
Katanya, jika peniaga berkenaan memaparkan harga minuman di premisnya berniaga, dia boleh membuat perancangan sebelum membuat pesanan.
“Kalau makan di restoran saya faham lagi. Ini kedai majlis kot sampai teh o ais pun RM5. Dahtu tidak paparkan harga.
“Saya terkejut dengan harga sedemikian rupa,” katanya.
Nurul Az berkata, dia tidak berniat menjatuhkan perniagaan orang dengan memuatnaik resit dan premis berkenaan.
Sebaliknya katanya, dia memohon penguatkuasa agensi bertanggungjawab agar memantau harga makanan yang dijual peniaga makanan.
Berdasarkan keterangan pada resit berkenaan, selain teh o ais, peniaga premis itu mengenakan caj RM8 bagi sepinggan laksa, kepak (RM8), nescafe ais (RM6), sepinggan nasi (RM3), laici (RM6) dan bilis campur petai (RM16) dengan caj keseluruhan RM52.
Tinjauan Warta Rakyat mendapati kebanyakan pengguna nyata tidak berpuas hati dengan harga yang dikenakan dan meminta Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna menyiasat kedai berkenaan.
Menurut mereka harga dikenakan itu keterlaluan mengalahkan makanan yang dijual di kedai mamak mahu pun restoran.
DEK kerana mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan tender dari sebuah syarikat pembersihan, dua pemilik syarikat didenda sebanyak RM100,000 dan RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini.
Tertuduh pertama, Mohd. Rumzan Othman, 68, dijatuhkan hukuman sebanyak RM100,000 setelah mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan dihadapinya manakala tertuduh kedua, Anuar Abdul Aziz, 39, didenda sebanyak RM50,000 selepas mengaku bersalah untuk satu pertuduhan dihadapi.
Dalam pertuduhan pertama, Mohd. Rumzan didakwa dengan curangnya menggunakan penyata akaun syarikat MRR Enterprise bagi Oktober hingga Disember 2018 bagi mendapatkan tender dari sebuah syarikat pembersihan.
Tertuduh didakwa mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara 16 Januari hingga 22 Januari 2019, di Pejabat E-Idaman Sdn. Bhd., dekat Bandar Baru Stargate, di Alor Setar.
Dalam pertuduhan kedua dihadapinya, Mohd. Rumzan didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu penyata akaun bank Hanna Niaga Enterprise bagi Oktober hingga Disember 2018, untuk memohon satu lagi tender dari syarikat sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 19 Januari 2019 di lokasi sama, dengan Hakim menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM50,000 bagi setiap pertuduhan dihadapi, serta penjara selama enam bulan jika gagal melunaskan denda tersebut.
Seorang lagi tertuduh, Anuar Abdul Aziz, 39, turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan dihadapinya kerana mengemukakan penyata akaun palsu Syarikat LJ Maju Sdn. Bhd. bagi Oktober hingga Disember 2018 untuk mendapatkan tender penswastaan pengurusan kutipan sisa pepejal serta pembersihan awam dari syarikat sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 21 Januari 2019 di pejabat sama.
Kesemua pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rehab Abdul Shukur mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
SEORANG bekas penjawat awam warga Perancis Stephanie Foray mengembara untuk melihat Asia Tenggara, mengunjungi India dan Sri Lanka, kemudian Malaysia pada 2011.
Wanita berkenaan yang berusia 30 tahun itu tiba di Melaka pada Mei, kemudian selepas beberapa hari, pergi ke Pulau Tioman di Pahang.
Namun di pulau berkenaan, Foray menemui ajalnya. Kehilangannya hanya mendapat tumpuan beberapa bulan kemudian, pada Julai, apabila laporan polis dibuat mengenainya.
Kes itu diklasifikasikan sebagai penculikan. Seminggu kemudian, mayatnya ditemukan di sebuah gua di pulau itu dan seorang peniaga tempatan didakwa atas tuduhan membunuh.
Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), kes itu menarik perhatian media antarabangsa dan ahli keluarga Foray datang selepas kehilangannya dan sekali lagi untuk perbicaraan pada 2014.
Seorang peniaga, Asni Omar, yang menyewakan rumahnya kepada Foray, didakwa membunuh wanita itu antara 8 Mei dan 12 Mei 2011, di sebuah rumah di Kampung Tekek di pulau itu.
Hakim Mahkamah Tinggi Mariana Yahya (kini hakim Mahkamah Rayuan) mendapati Asni bersalah dan menjatuhkan hukuman mati ke atasnya, selepas 44 saksi memberi keterangan bagi pihak pendakwaan.
Pegawai penyiasat Wan Fauzi Wan Ishak memberitahu mahkamah, maklumat membawanya kepada Asni, yang pada dasarnya ‘mengaku bersalah’, walaupun bukan secara jelas. Dengan panduan daripada Asri, polis kemudiannya menemukan mayat Foray dan senjata yang digunakan untuk membunuh wanita itu.
“Asni didakwa memberitahu Wan Fauzi, “Saya nak beritahu tentang seorang wanita Perancis yang ditemui di Pulau Tioman.”
Katanya, wanita itu telah meninggal dunia dan dia telah meninggalkan mayatnya di dalam sebuah gua di belakang rumahnya di Kampung Tekek.
Lelaki itu turut membawa kepada penemuan beberapa barang milik Foray yang ditanam di dalam lubang berhampiran rumahnya. Di dalam rumahnya, polis menemukan beg wanita warga Perancis itu dan beberapa barang dalam almari.
Dia menunjukkan kepada polis kad SIM Perancis milik wanita itu yang disimpannya di dapur. Dia kemudian membawa polis ke sebuah tapak pelupusan sampah di mana satu botol arak ditemukan, dipercayai digunakan untuk membunuh Foray.
Dr. Sri Marni Zainal Abidin, pakar patologi dari Hospital Tengku Ampuan Afzan memberitahu mahkamah, bedah siasat ke atas mayat Foray menunjukkan pinggang dan kakinya telah diikat dengan paip hos berwarna hijau, manakala sehelai kain diikat di lehernya.
Sri Marni menemukan keretakan pada tengkorak di kening kanan, tulang pipi kanan dan rahang kanan, dan membuat kesimpulan bahawa punca kematian Foray mungkin trauma akibat hentakan benda tumpul di kepala.
Tiada dadah atau alkohol didapati dalam badannya tetapi Sri Marni tidak dapat menolak kemungkinan rogol kerana air mani ditemui dalam farajnya.
Asni menafikan dia membunuh Foray. Katanya, Foray bertegas mahu menyewa rumah yang didiaminya. Mereka keluar makan pada malam itu tetapi Asni meninggalkan Foray seorang diri di restoran apabila teman wanitanya, dikenali sebagai Monaliza, menelefonnya.
Lelaki itu mendakwa, keesokan harinya, dia menemukan mayat Foray di dalam gua, tetapi melarikan diri kerana ‘takut’.
Mahkamah memutuskan bahawa tindakan Asni, seperti membawa polis kepada barang bukti, menunjukkan bahawa dia terlibat dalam kematian wanita itu.
Mariana yang berpendapat bahawa pembelaan Asni bersifat penafian semata-mata berkata: “Keterangannya dilihat sebagai mengakui tuduhan (bunuh).”
Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan masing-masing pada 2015 dan 2016 mengekalkan sabitan Asni dan mengesahkan hukuman mati.
KETUA Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari hari ini menegur sikap penyokong “parti tertentu” yang dilihat menyerangnya kerana mendesak isu pemerolehan kelengkapan pertahanan negara milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disiasat.
Memetik laporan Malaysiakini, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, adakah hanya kerana isu tersebut dibangkitkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dipengerusikan oleh ahli Parlimen DAP maka ia secara automatik dianggap fitnah.
“Sudah tentu ia satu kesimpulan yang sangat tidak adil. Siasatlah dulu.
“Secara logiknya, mana mungkin perjanjian berat sebelah mengakibatkan RM6 bilion duit rakyat ini dirangka dengan begitu sekali longgar jika tiada pihak membuat keuntungan?” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendiriannya agar skandal pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) gagal disiapkan mengikut jadual.
Untuk rekod, isu tersebut didedahkan dalam laporan PAC baru-baru ini.
PAC merupakan salah satu badan semak dan imbang yang ditubuhkan parlimen membabitkan anggota pelbagai parti. Ketika ini ia dipengerusikan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh.
Ahmad Fadhli adalah seorang daripada 12 anggota PAC. Seorang lagi ahli parlimen PAS dalam badan itu ialah Ahmad Tarmizi Sulaiman (Sik).
Anggota lain PAC termasuk Salim Sharif (Jempol), Mohd Nizar Zakaria (Parit), Ahmad Hassan (Papar).
Pada 8 Ogos lalu Ahmad Fadhli ada membayangkan pendedahan kelewatan LCS itu bukanlah satu-satunya isu yang akan didedahkan dalam tempoh terdekat.
“Ada lagi pendedahan-pendedahan mengejutkan selepas isu LCS.
“Jangan bimbang, satu persatu akan menyusul. Fasten your seat belt (pasang tali pinggang keledar anda),” katanya.
Menurut Ahmad Fadhli hari ini, lucu apabila ada pihak mendakwa dia membisu dalam isu-isu yang melibatkan pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebaliknya cuma ‘bising’ dalam isu yang boleh melibatkan pemimpin Umno atau BN.
Katanya PAS tidak bekerja untuk menyebarkan persepsi dan fakta yang tidak jelas.
Apa yang dituntut, katanya, ialah membawa kes-kes berkenaan agar disiasat dengan adil, telus dan mempunyai punca kuasa yang jelas.
“Apabila ia didakwa di mahkamah, serahkan kepada mahkamah. Seseorang yang belum didapati bersalah tidak boleh dikatakan bersalah, itu prinsip,” katanya.
Sebelum ini pun, tambah Ahmad Fadhli, dia pernah membangkitkan isu pemimpin PH termasuk membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
“Hairan jugalah saya, kenapa pengikut-pengikut parti tertentu sangat trigger dengan isu-isu yang melibatkan duit rakyat ini?
“Adakah apabila dibangkitkan isu-isu seperti ini, secara automatik pemimpin parti mereka akan dianggap terlibat? Kenapa begitu?” katanya.
Menurut Ahmad Fadhli dalam isu membabitkan integriti PAS perlu bersuara dalam semua isu.
Secara sinis, dia menganggap penyokong “parti tertentu” itu tidak sempat mendesak pemimpin mereka sendiri untuk melakukan apa yang PAS buat.
“Atau mereka sedang sibuk ‘mengambil mana-mana yang sempat’ sehingga tidak sempat bercakap di Dewan Rakyat? Saya hanya sekadar bertanya,” katanya.
KADAR kebolehpasaran siswazah lulusan Insitusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) (TVET@KPLB) telah melebihi paras standard nasional yang ditetapkan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata purata kadar kebolehpasaran siswazah bagi seluruh institusi pendidikan TVET@KPLB kini mencapai 87.67 peratus, manakala kadar kebolehpasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) nasional yang ditetapkan adalah 86.7 peratus yang perlu dicapai pada 2025.
“Kadar kebolehpasaran yang melebihi paras standard nasional ini secara tidak langsung mencerminkan bahawa pendidikan TVET yang dibekalkan oleh institusi TVET di KPLB berupaya menyediakan kebolehkerjaan dan laluan kerjaya yang cerah kepada para siswazah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini bagi menjawab soalan Senator Datuk Dr Azhar Ahmad yang ingin tahu keberkesanan pendidikan TVET di KPLB dari aspek kebolehpasaran siswazah serta sumbangan kepada pembangunan negara dan melahirkan masyarakat berpendapatan tinggi.
Mahdzir memberitahu bahawa pelajar TVET aras tinggi dilengkapkan dengan lesen profesional yang diiktiraf antarabangsa dan membolehkan mereka mendapat pekerjaan di peringkat global.
Di samping itu, katanya institusi TVET juga giat menerapkan aplikasi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) seperti internet pelbagai benda (IoT), kecerdasan buatan dan sekuriti siber dalam program-program yang ditawarkan.
Beliau memaklumkan 280 institusi pendidikan TVET@KPLB menawarkan 515 program atau kursus TVET dalam 15 kluster kemahiran.- BERNAMA
RIBUAN ikan bilis mata biru dirakam terdampar di pantai Pasir Bogak, Pulau Pangkor di Perak sejak hujung minggu lalu hingga mencetuskan tanda tanya penduduk.
Video orang ramai mengutip ikan itu yang dilaporkan mula terdampar sejak Jumaat lalu mula dimuatnaik warganet, semalam.
Insiden jarang berlaku itu turut dimuatnaik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam akaun Instagram beliau.
Memetik laporan Berita Harian, seorang nelayan, Roslan Ahmad, 58, berkata, ikan bilis mata biru itu dikesan terdampar di pantai terbabit sejak Jumaat lalu.
Menurutnya, video kejadian itu turut dirakam rakannya yang bersantai di pantai berkenaan bersama keluarga pada 8.30 malam, kelmarin.
“Ketika itu ombak tidak terlalu tinggi tetapi air pasang penuh. Rakan yang melihat seperti ada kerlipan di tepi pantai terkejut mendapati ia adalah ribuan ikan bilis mata biru yang terdampar.
“Apabila sudah heboh, ramai yang datang kutip dan semalam ada yang tunggu juga tetapi tiada lagi bilis yang naik,” katanya.
Roslan berkata, fenomena itu adalah yang pertama berlaku, namun punca ia berlaku tidak diketahui dan menganggapnya ia adalah satu kebesaran Allah SWT.
“Sebagai nelayan, fenomena ini boleh dianggap petanda baik juga kerana menunjukkan ikan itu sentiasa ada, kena usaha dan bersyukur serta menginsafi apa berlaku.
“Tetapi sekarang ini memang tak dinafikan ikan memang tengah banyak, rezeki tak putus bulan ini dan ikan bawal pun ada. Ikan termenung juga banyak didapati sekitar perairan Pulau Pangkor dan Lekir sejak dua minggu ini hingga ada yang dapat 200 kilogram ikan itu,” katanya.
Jabatan Perikanan Perak memaklumkan pihaknya menerima maklumat kejadian itu semalam dan Pejabat Perikanan Daerah Manjung akan turun ke lokasi hari ini untuk tindakan lanjut selain Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Kampung Acheh juga akan melakukan kajian berhubung kejadian itu.
Sementara itu, Pengarah Perikanan Perak, Noraishah Hashim ketika dihubungi berkata, pihaknya akan membuat pemerhatian dan siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar fenomena itu.
Beliau berkata, satu batu nautika dari persisiran pantai adalah zon konservasi kawasan pembiakan semua jenis ikan.
“Jadi kita tak pasti jika sumber bertambah dan setakat ini kita tidak tahu punca (fenomena ikan bilis terdampar itu tetapi meneliti serta membuat siasatan,” katanya.
KELEWATAN pembinaan enam buah kapal tempur pesisir (LCS) yang masih belum siap hingga sekarang menunjukkan Malaysia tidak berada dalam kesiapsiagaan dari segi keselamatan maritim.
Ahmad Hassan
Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan berkata, kelewatan pembinaan kesemua kapal bernilai bernilai RM9 bilion itu adalah perkara malang bagi negara.
Ahmad yang juga Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mahu kerajaan Malaysia mencontohi negara-negara lain yang sudah mula mengukuhkan aspek ketenteraan termasuk keselamatan di perairan sempadan masing-masing.
Malaysia katanya, wajar melakukan tindakan sama dengan mempertingkat dan menaiktaraf aset ketenteraan khususnya aset Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM).
“Ini (kelewatan) menunjukkan negara kita tidak berada dalam kesiapsiagaan dari segi keselamatan maritim dengan kontroversi melibatkan aset ketenteraan kita (LCS) yang amat penting itu.
“Jika Malaysia terus kelihatan lemah dalam menjaga kedaulatan di sempadan perairan, kita bakal berhadapan banyak kerugian khususnya kepentingan dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) iaitu sektor perikanan.
“Sabah dan Sarawak dilihat sebagai pihak paling rugi dalam isu ini dan akan berterusan menjadi wilayah yang ketinggalan dalam pembangunan ekonomi,” katanya katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad menegaskan, Malaysia perlu mengukuhkan aspek keselamatan di perairan sempadan Sabah dan Sarawak khususnya melibatkan pertahanan ketenteraan strategik.
Katanya, ia bagi memastikan negara ini berada dalam situasi mampu bertahan jika berlaku sebarang konflik di Laut China Selatan.
Menurutnya, siri pencerobohan di perairan Sabah dan Sarawak oleh pihak berkuasa dan ketenteraan China kebelakangan ini membuktikan kedaulatan Malaysia tidak dihormati.
“Keselamatan kita di Laut China Selatan melibatkan perairan Sabah dan Sarawak kerap dicerobohi sesuka hati oleh China walaupun pelbagai usaha telah diambil Malaysia sama ada melalui rundingan mahu pun diplomatik.
“Namun, saya lihat usaha ini tidak cukup kerana masih tidak diendahkan China, jadi kita harus lebih tegas dalam isu ini kerana ia melibatkan kedaulatan serta keselamatan rakyat khususnya di kedua-dua wilayah ini (Sabah dan Sarawak),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Ahmad, situasi sama turut dialami negara Asean lain yang menunjukkan China tidak teragak-agak mengerahkan tenteranya bertindak terhadap negara lain sekiranya merasakan hak wilayah mereka terancam.
“Sudah tiba masanya Malaysia mengambil tindakan segera dengan mengukuhkan aspek ketenteraan di sempadan perairan kita sebelum Laut China Selatan menjadi medan perang dunia ketiga.”
China tambah Ahmad, tanpa segan silu mengukuhkan kehadiran mereka di Laut China Selatan dengan mendirikan kemudahan ketenteraan di atas pulau-pulau yang masih dalam pertikaian.
Malah China juga katanya, baru-baru ini menambah peruntukan ketenteraan mereka untuk kawasan itu yang sekaligus menimbulkan ketegangan di rantau Asean.
Menurutnya lagi, Filipina baru-baru ini buat pertama kalinya telah diberi amaran langsung oleh China apabila menjalankan aktiviti yang disifatkan sebagai provokasi ketenteraan walaupun di dalam kawasan perairan sendiri.
“Lihat apa berlaku di Taiwan ketika ini apabila tentera China melakukan latihan secara besar-besaran di sekitar perairan Taiwan sebagai bantahan susulan lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, Nancy Pelosi ke pulau itu, baru-baru ini.
“Jika berlaku konflik di Laut China Selatan, tentunya Sabah dan Sarawak akan menjadi barisan hadapan sekiranya Malaysia terus lemah dan tidak bertegas dalam menjaga kedaulatan serta keselamatan perairan kita,” tegasnya.
Sementara itu, Ahmad turut mempersoalkan tindakan Kementerian Pertahanan yang didakwa hanya menumpukan keberadaan ketiga-tiga aset tentera di sempadan perairan Sarawak, tetapi tidak di Sabah.
Tindakan sama katanya harus dilaksanakan di Sabah yang turut berhadapan ancaman maritim malah kawasannya lebih meluas kerana berdekatan dengan negara jiran Filipina.
“Kenapa Sabah dianaktirikan dan kenapa Menteri Pertahanan hanya berjanji kepada Premier Sarawak untuk tingkat keberadaan tentera tetapi tidak kepada Ketua Menteri Sabah? atau kerana Sabah tidak sepenting Sarawak?.
“Atau keselamatan rakyat di Sabah tidak penting hingga tidak perlu tingkatkan keberadaan tentera di negeri ini sedangkan semua maklum sempadan perairan Sabah bukan saja berhadapan ancaman China tetapi juga isu tuntutan Sulu.
“Kementerian Pertahanan dan kerajaan persekutuan harus bertindak adil tanpa terus bersikap berat sebelah terhadap kepentingan rakyat Sabah kerana kami juga sebahagian daripada Malaysia,” tegasnya.
Dalam pada itu, Ahmad turut meminta Malaysia supaya mengambil peluang kesediaan China yang baru-baru ini mahu bekerjasama dengan negara-negara Asean bagi menyelesaikan pertikaian kawasan di Laut China Selatan.
Malaysia katanya, harus bersuara lantang bagi memastikan rundingan itu tidak berat sebelah atau memihak China dan pada masa sama menunjukkan Malaysia adalah negara Asean yang kuat.
“China mesti melihat Malaysia sebagai sebuah negara Asean yang kuat serta tidak akan mengambil mudah terhadap tuntutan mereka di Laut China Selatan dan kekal tegas bahawa wilayah kita mesti kekal berdaulat.
“Sebarang tindakan mengganggu-gugat keselamatan perairan negara tidak akan diterima begitu sahaja, jika China mahu kekal mesra dengan negara-negara Asean yang lain, mereka harus setuju dengan syarat-syarat yang kita ada.
“China mesti hormat kedaulatan kita sebagaimana kita hormati kedaulatan wilayah mereka dan sebarang senario yang boleh mengakibatkan perang di rantau ini tidak akan beri manfaat kepada kita atau mana-mana negara Asean lain,” katanya.
Malaysia juga jelas beliau, perlu berdiri teguh bersama negara Asean lain untuk mempertahankan kedaulatan negara agar tidak mengalami nasib sama seperti Ukraine yang diceroboh Rusia sebagai sekutu kuat China.
Tindakan Rusia yang mendapat sokongan langsung China itu memberi bayangan bahawa mereka cenderung mengambil tindakan sama sekiranya menghadapi senario serupa di rantau Asean ini.
“Justeru, aspek keselamatan perairan kita harus diperkukuhkan termasuk meningkatkan aset ketenteraan bagi memastikan Malaysia tidak kelihatan lemah pada persepsi negara lain,” kata Ahmad.