Category: Semasa

  • 40 atlet Johor raih pingat Sukan SEA, Komanwel terima insentif

    40 atlet Johor raih pingat Sukan SEA, Komanwel terima insentif

    SERAMAI 40 atlet Johor menerima insentif daripada kerajaan negeri dengan keseluruhan berjumlah RM163,000 atas kejayaan mereka meraih pingat di Sukan SEA Vietnam 2021 dan Sukan Komanwel Birmingham 2022.

    Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, insentif berkenaan diberikan sebagai pengiktirafan dan penghargaan terhadap prestasi membanggakan yang dipamerkan atlet negeri itu dalam mengharumkan nama negara.

    “Ini termasuk melihat kemungkinan meningkatkan lagi nilai pemberian insentif pada masa akan datang sebagai pengiktirafan terhadap hasil titik peluh mereka mengharumkan nama negara.

    “Kita akan tengok balik insentif tersebut supaya mereka lebih bermotivasi untuk berkecimpung dalam arena sukan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Atlet Johor Sukan SEA 2021, Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan Penyampaian Bantuan Pentadbiran Badan-Badan Gabungan MBNJ 2022 di Johor Bahru malam tadi.

    Pada Sukan SEA di Vietnam, 26 atlet Johor menyumbang tiga pingat emas, tujuh perak dan 15 gangsa dengan atlet meraih emas menerima insentif RM4,000, diikuti RM2,000 bagi perak dan RM1,500 gangsa.

    Bagi Sukan Komanwel Birmingham pula enam atlet Johor meraih dua emas, dua perak dan dua gangsa dengan insentif untuk emas berjumlah RM16,000, perak RM12,000 dan gangsa RM8,000 serta tambahan RM2,000 bagi insentif penyertaan.

    Antara penerima insentif untuk Sukan Komanwel ialah jaguh badminton muda negara, Ng Tze Yong yang memperoleh RM28,000 selepas meraih satu emas dan perak menerusi acara perseorangan dan berpasukan campuran, manakala atlet angkat berat Mohamad Aniq Kasdan menerima RM18,000.

    Sementara itu, Mohamad Aniq yang mencipta kejutan menghadiahkan pingat emas sulung negara di termasya itu, menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas pemberian insentif berkenaan yang sedikit sebanyak memberikan suntikan semangat.

    “Sokongan daripada semua termasuk kerajaan negeri menjadikan saya lebih bermotivasi untuk mencipta kejayaan. Bagi saya insentif perlu kerana atlet berlatih bertahun-tahun dan kalau dapat insentif mereka akan lebih bermotivasi,” katanya.

    Atlet berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus yang meraih gangsa acara keirin di Sukan Komanwel dan menerima insentif RM10,000, turut melahirkan rasa gembira dan berharap dapat mempamerkan prestasi lebih cemerlang pada masa akan datang.

    “Apabila atlet meraih pingat dan dapat insentif memang lebih bersemangat kerana sedikit sebanyak memberi sokongan moral. Jadi apabila (Menteri Besar Johor) mahu meningkatkan insentif (pada masa akan datang) saya bertambah semangat dan harap ia direalisasikan.

    “Tetapi bagi saya, apabila kita beri hasil yang baik perkara sebegitu (insentif) akan datang sendiri dan tidak perlu difikirkan sangat,” katanya. – Bernama

  • Pihak pendakwaan mohon afidavit dalam notis usul Najib ditolak

    Pihak pendakwaan mohon afidavit dalam notis usul Najib ditolak

    PIHAK pendakwaan memohon Mahkamah Persekutuan menolak afidavit dikemukakan Datuk Seri Najib Razak melalui permohonan notis usulnya untuk memasukkan bukti tambahan berhubung Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

    Memetik laporan Berita Harian, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram yang memulakan hujahan dalam prosiding hari ini berkata, kandungan afidavit berkenaan hanya tuduhan semata-mata yang bukan sahaja tidak berasas malah tidak disokong bukti kukuh.

    Beliau berkata, mahkamah boleh mengarahkan afidavit itu ditolak kerana ia juga tidak mengikut peraturan undang-undang, di mana kandungannya bukan berdasarkan pengetahuan peribadi pemohon tetapi hanya bukti dengar cakap semata-mata.

    “Persoalan undang-undang di sini ialah kami menyatakan bahawa kandungan afidavit ini tidak relevan sama sekali dengan rayuan akhir yang dihadapi pemohon.

    “Oleh itu, mahkamah boleh mengarahkan afidavit ini ditolak dengan alasan ia tidak berkaitan dengan pertuduhan yang dihadapinya (Najib).

    “Atas alasan ini sahaja, permohonan notis usul ini sepatutnya ditolak… Ia tidak mengemukakan bukti berat sebelah atau konflik kepentingan,” katanya.

    Dalam permohonan notis usulnya, bekas Perdana Menteri itu memohon untuk memasukkan antaranya, keterangan viva voce (lisan) pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Hussein yang menjalankan siasatan ke atas skandal SRC.

    Keterangan itu adalah sama ada beliau (Rosli) menyedari peranan lalu dan pembabitan Mohd Nazlan sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank, terutamanya dalam khidmat nasihat strategik yang diberikan Maybank Investment Berhad dan bahagian nasihat kewangan Maybank, Bina Fikir Sdn Bhd kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi penubuhan SRC pada tahun 2010/2011.

  • Dua individu gagal hidup semula saman terhadap Abdul Hadi

    Dua individu gagal hidup semula saman terhadap Abdul Hadi

    MAHKAMAH Rayuan Putrajaya menolak permohonan dua warga Sabah untuk menghidupkan semula saman yang difailkan terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang atas dakwaan serangan terhadap penganut Kristian.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera berkata, panel tiga hakim membuat kesimpulan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi tahun lepas tidak secara nyata salah di sisi undang-undang.

    “Kami bersetuju dengan Mahkamah Tinggi bahawa dua deklarasi yang dimohon (dua warga Sabah itu) tidak mampan sepenuhnya dan harus dibatalkan,” kata Vazeer, yang bersidang bersama Supang Lian dan Ghazali Cha.

    Bagaimanapun, mahkamah mengetepikan kos punitif RM50,000 yang dikenakan ke atas Maklin Masiau dan Lawrence Jomiji Kinsil @ Maximilhian.

    “Rayuan (berhubung kos) ini tiada merit kerana tiada asas untuk memberikannya,” katanya.

    Mahkamah hanya memerintahkan kedua-duanya membayar RM10,000 kepada Hadi sebagai kos untuk prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

  • Rampas diesel bersubsidi bernilai RM25,000

    Rampas diesel bersubsidi bernilai RM25,000

    POLIS menahan empat lelaki yang didapati menyimpan kira-kira 11,400 liter diesel bersubsidi bernilai hampir RM25,000 secara salah dalam serbuan di sebuah premis Chuah dan Lukut, Port Dickson, semalam.

    Serbuan pada pukul 10.30 pagi itu adalah hasil risikan dan dua suspek berusia lingkungan 18 sehingga 53 tahun ditahan.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, ketika pemeriksaan dijalankan kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang permit pemborong atau peruncit atau surat kebenaran bertulis menyimpan diesel itu.

    “Mereka tidak memiliki surat yang dikeluarkan Pengawal Bekalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

    “Dalam serbuan itu, polis turut merampas tiga lori dan 11 tangki empat segi yang dimuatkan di bahagian belakang lori itu,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Beliau berkata modus operandi digunakan adalah mengubah suai pelbagai jenis lori dan meletakkan tangki di bahagian muatan.

    Aidi Sham berkata, suspek kemudiannya akan membeli diesel di stesen minyak untuk diisikan ke dalam tangki itu menggunakan satu saluran kecil di bahagian bawah lori.

    “Apabila semua tangki itu sudah penuh, diesel berkenaan akan dibawa ke stor simpanan untuk dikumpulkan sebelum dijual pada harga industri yang membolehkan sindiket memperolehi untung ‘atas angin’,” ujarnya.

    Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

    Pada 11 Ogos lalu, KPDNHEP Negeri Sembilan berjaya menyita 17,000 liter diesel bernilai RM36,550 selepas menumpaskan satu kegiatan penyelewengan di Lukut di Port Dickson.

    Difahamkan sepasukan penguat kuasa KPDNHEP bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, menyerbu sebuah lokasi terpencil di Kampung Sri Parit Lukut, Port Dickson dan menahan dua suspek.

  • LCS: Lebih baik beli siap daripada tiris, ahli akademik tegur kerajaan

    LCS: Lebih baik beli siap daripada tiris, ahli akademik tegur kerajaan

    SEORANG ahli akademik menyarankan kerajaan membeli siap aset pertahanan daripada pembekal berbanding membangunkan teknologi tanpa kemampuan, bagi mengelak ketirisan.

    Cadangan itu susulan kontroversi projek kapal tempur pesisir (LCS) yang masih belum siap walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6 bilion untuk projek berkenaan.

    “Lebih baik kita beli terus kapal siap daripada membangunkan teknologi jika kita tak ada kemampuan.

    “Kerajaan juga harus pastikan isu ketirisan dalam perolehan aset tidak berulang,” kata pakar kajian strategik dan antikeganasan, Prof Madya Dr Mohd Mizan Mohd Aslam kepada Free Malaysia Today.

    Projek LCS menarik perhatian negara selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) melaporkan tiada satu kapal pun berjaya disiapkan selepas 10 tahun projek itu dilaksanakan.

    Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, mendedahkan Kementerian Pertahanan dan kontraktor, Boustead Naval Shipyard telah mengabaikan pandangan tentera laut mengenai projek itu.

    Mohd Mizan dalam pada itu menyarankan kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas yang telus untuk menilai perbincangan terbuka mengenai projek ketenteraan seperti LCS, dan tafsiran rahsia kontrak-kontrak terlibat.

    “Jika tafsiran itu tidak dilakukan dengan betul, ditakuti akan disalah guna oleh pihak tertentu sebagai alasan untuk mengelak dituduh salah guna kuasa.

    “Alasan itu tidak boleh dibuat hanya untuk melindungi pihak tertentu,” katanya.

    Beliau menambah kerajaan harus menunjukkan ia tidak akan bertolak-ansur dengan kelemahan yang didakwa berlaku dan mana-mana pihak yang menyebabkan negara kerugian, “dengan mengenakan hukuman setimpal”.

    “Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas kepada pihak berkaitan,” katanya.

    Di samping itu, Mohd Mizan menegaskan sudah sampai masa kerajaan membina kemampuan membangun teknologi pertahanan menerusi universiti awam.

    “Kita mempunyai 21 universiti awam dengan pelbagai kepakaran yang boleh bangunkan teknologi berdasar keperluan keselamatan kita sendiri,” katanya.

  • Dua lelaki rempuh SJR diberkas selepas lari sejauh 36 kilometer

    Dua lelaki rempuh SJR diberkas selepas lari sejauh 36 kilometer

    POLIS menahan dua lelaki selepas dikejar sejauh kira-kira 36 kilometer kerana ingkar arahan berhentikan kereta ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Sungai Dua Utara pada pukul 11.45 malam tadi.

    Suspek berusia 21 dan 23 tahun yang menaiki kereta jenis Perodua Alza itu memecut biarpun arahan berhenti dengan membunyikan wisel dan menunjukkan isyarat tangan yang mudah difahami ke arah pemandu telah dibuat.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, polis bertindak mengejar kenderaan tersebut dari Plaza Tol Sungai Dua Pulau Pinang hingga ke Plaza Tol Sungai Petani Selatan, Kedah selain membunyikan siren dan speaker suara ke arah suspek.

    “Arahan berhenti dan menggunakan lampu beacon tidak diendahkan sehingga suspek dilihat memecut dan melakukan aksi zig-zag sepanjang lebuh raya dari Kilometer 113 sehingga Kilometer 108 susur keluar Sungai Petani yang membahayakan pengguna jalan raya lain.

    “Semasa sampai di Plaza Tol Sungai Petani, kenderaan tersebut telah melanggar palang di plaza tol di Lorong K06,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Zaidy berkata, selepas melanggar palang tol, kenderaan suspek terus memecut ke Jalan Lencongan Barat sehingga lampu isyarat Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani.

    Katanya, semasa hendak menahan kenderaan tersebut di lampu isyarat, suspek telah melanggar arahan lampu isyarat merah serta merempuh sebuah kereta jenis Honda Accord.

    Menurutnya, suspek turut melanggar pembahagi jalan dan tiang lampu isyarat menyebabkan kenderaan tersebut berpusing satu kali serta tayar bahagian hadapan kiri dan bahagian belakang kiri meletup.

    “Suspek keluar dari kereta dan melarikan diri ketika cuba ditangkap sehingga berlaku pergelutan, namun kedua-duanya berjaya ditahan.

    “Pemeriksaan ke atas kenderaan suspek tidak menemui apa-apa barang salah bagaimanapun pemandu kenderaan berusia 23 tahun tidak mempunyai lesen memandu,” ujarnya.

    Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Bekas pengarah urusan BNS didakwa pecah amanah RM21.08 juta

    Bekas pengarah urusan BNS didakwa pecah amanah RM21.08 juta

    BEKAS pengarah urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan RM21.08 juta.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Ahmad Ramli, 78, yang juga bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussain.

    Sebelum itu, Ahmad Ramli yang memakai kot hitam dan berkemeja putih tiba di mahkamah kira-kira pukul 8 pagi, sebelum masuk mahkamah diiringi ahli keluarga.

    Ahmad Ramli dilantik sebagai Panglima TLDM pada 1996 sebelum bersara wajib pada 1998 selepas berkhidmat selama 35 tahun dalam pasukan itu.

    BNS ditugaskan untuk membina enam kapal tentera laut dalam projek kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion yang bermasalah.

    Projek itu di bawah penelitian Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara berhubung kos dan kelewatan pembinaan.

    Kapal pertama yang dilancarkan pada 2017 dijadualkan untuk penghantaran pada 2019, dengan selebihnya dihantar selang enam bulan. Tetapi, tiada sebuah pun disiapkan sehingga kini.

  • Van sekolah bawa 16 murid terbabas ke parit

    Van sekolah bawa 16 murid terbabas ke parit

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SERAMAI 16 pelajar berdepan pengalaman menakutkan apabila van sekolah dinaiki mereka terbabas dan termasuk ke dalam sebuah parit di jalan berdekatan Taman Rhu, Tikam Batu dekat Sungai Petani di Kedah, pagi tadi.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7.40 pagi tadi.

    Setibanya di lokasi katanya, didapati terdapat 17 individu terdiri daripada seorang pemandu van dan 16 pelajar terlibat dalam kemalangan itu.

    “Pemandu van tersebut yang berusia kira-kira 50-an cedera ringan di kepala manakala 15 pelajar lain turut mengalami kecederaan ringan di beberapa anggota badan.

    Van tersebut dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas sendiri ke bahu jalan

    “Namun terdapat seorang pelajar perempuan dianggarkan berusia antara 8 hingga 10 tahun patah tangan kanan. Pemeriksaan dijalankan mendapati tiada mangsa yang tersepit,” katanya.

    Tambahnya, van tersebut dikatakan terbabas sendiri ke bahu jalan.

    “Pihak kami kemudiannya menghantar tiga mangsa terdiri daripada dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan.

    “Selebihnya, mereka dibawa ke hospital oleh ambulans,” katanya.

  • Murid tahun enam maut terkena renjatan elektrik ketika guna telefon bimbit

    Murid tahun enam maut terkena renjatan elektrik ketika guna telefon bimbit

    SEORANG murid tahun enam maut dipercayai terkena renjatan elektrik semasa panahan petir berlaku di Kampung Sungai Raya Luar di Gua Musang pada pukul 4.50 petang semalam.

    Nur Asyqin Qistina M. Nor Zawawi,12, ditemukan dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di atas tilam dalam bilik tidurnya.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati terdapat kesan lecur pada tangan kanan mangsa dan terbakar di bahagian tilam tempat tidurnya.

    “Menurut maklumat daripada pengadu yang merupakan bapa kepada kanak-kanak itu mendapati terdapat telefon bimbit dan pengecas berdekatan anaknya semasa kejadian.

    “Semasa kejadian bapa mangsa baharu selesai menunaikan solat Asar di surau hadapan rumahnya dan terdengar bunyi petir.

    “Sebaik sahaja pulang ke rumah pengadu telah dimaklumkan bahawa bekalan elektrik telah tiada dan kemudian dia menghubungi pihak invertor solar,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Katanya, selang 15 minit kemudian, isterinya memaklumkan bahawa Nur Asyqin Qistina telah pengsan di tempat tidurnya dan mendapati terdapat telefon bimbit serta pengecas berdekatan mangsa.

    Bapanya telah membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Kuala Betis dan mangsa telah disahkan meninggal dunia, katanya.

    “Hasil siasatan tempat kejadian didapati tiada terdapat keterangan yang boleh mengaitkan sebab kematian simati adalah disebabkan

    perlakuan jenayah dan dipercayai kesan renjatan elektrik daripada kejadian panahan petir terhadap invertor solar rumah pengadu,” katanya.

    Tambah beliau, jenazah mangsa telah dibawa ke Hospital Gua Musang pukul 8 malam tadi untuk tindakan selanjutnya.

  • Shafie menang tanpa bertanding jawatan Presiden Warisan

    Shafie menang tanpa bertanding jawatan Presiden Warisan

    AHLI Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden Parti Warisan (Warisan), kata Setiausaha Agung parti itu Loretto Padua Jr.

    Beliau yang mengesahkan perkara itu berkata Mohd Shafie satu-satunya nama yang dicalonkan bagi jawatan Presiden untuk pemilihan parti yang dijadual diadakan pada Perhimpunan Agung Tahunan Warisan 2021 pada 26 hingga 27 Ogos ini.

    Loretto berkata dalam pencalonan yang ditutup pada 7 Ogos lepas, Ahli Parlimen Penampang Datuk  Darell Leiking juga menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden Warisan apabila menjadi satu-satunya calon bagi jawatan itu.

    “Dalam perlembagaan parti kita ada tiga jawatan Naib Presiden, dan hanya tiga orang menghantar pencalonan jadi mereka juga menang tanpa bertanding,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Warisan di Kota Kinabalu hari ini.

    Beliau berkata tiga naib presiden parti itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan Datuk Dr Jaujan Sambakong, ADUN Tanjong Aru Datuk Junz Wong dan Bendahari Agung Warisan Terrence Siambun.

    Loretto berkata 20 jawatan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) akan dipertandingkan pada perhimpunan itu dan pihaknya telah menerima 50 pencalonan untuk jawatan berkenaan, namun hanya 40 calon layak bertanding jawatan berkenaan.

    “Jawatan dilantik pula kita ada Setiausaha Agung, Bendahari Agung, Ketua Penerangan, dua Naib Presiden dan 11 AMT akan dilantik,” katanya.

    Sementara itu, Mohd Shafie berkata mesyuarat AMT hari ini memutuskan untuk menggantung tiga bahagian parti itu iaitu Lahad Datu, Kota Marudu dan Beaufort berikutan beberapa isu berlaku pada mesyuarat agung dan pemilihan peringkat bahagian parti berkenaan pada awal bulan ini.

     “Lahad Datu dan Kota Marudu kita gantung mereka kerana dalam menganjurkan mesyuarat agung itu ada beberapa perkara agak bercanggah dengan peraturan yang ada, kekecohan dan pergeseran berlaku tetapi kita boleh kawal ketenteraman di dua bahagian ini.

    Dua bahagian ini kita gantung pentadbirannya dan diurus secara terus daripada ibu pejabat. Beaufort tidak mengadakan mesyuarat agung mereka setelah didapati ada perkata-perkara yang tidak lengkap di bahagian tersebut,” katanya menambah Warisan mempunyai 25 bahagian di Sabah dan satu bahagian di Labuan.

    Beliau berkata tiga bahagian itu dijangka mengadakan mesyuarat agung selepas Perhimpunan Agung Tahunan Warisan 2021 nanti, dan perwakilan daripada tiga bahagian itu akan hadir sebagai pemerhati pada perhimpunan berkenaan yang dijangka dihadiri 5,000 orang ahli parti.

    Mengenai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15, Mohd Shafie berkata Warisan telah menyusun perancangan dan jentera, namun sehingga kini masih belum memutuskan kerusi Dewan Undangan Negeri atau Parlimen yang akan ditandingi kelak.

    — BERNAMA