Category: Semasa

  • Lebih 70 rumah dipukul ribut di Dungun, Kemaman

    Lebih 70 rumah dipukul ribut di Dungun, Kemaman

    LEBIH 70 buah rumah di daerah Dungun dan Kemaman rosak dipukul ribut dalam kejadian berlaku pada pukul 4.30 petang semalam.

    Kejadian berlaku di Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) dan Bandar Bukit Besi di Dungun manakala di Kemaman pula melibatkan Bandar Baru Cheneh dan Felda Neram.

    Insiden itu berlaku selama kira-kira setengah jam itu mengakibatkan sebahagian bumbung rumah penduduk tercabut dan rosak dipukul ribut.

    Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, sebanyak 52 buah rumah di Bukit Besi dan AMBS yang dikenal pasti terlibat setakat ini.

    “Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) telah ke lokasi untuk melihat kerosakan dan bantuan atap telah dihantar ke rumah penduduk terlibat.

    “Ttiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku ekoran kejadian itu. Angin kuat dan hujan lebat menyebabkan banyak pokok tumbang namun tiada rumah penduduk yang dihempap pokok dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab. Razak Ibrahim berkata, sebanyak 27 buah rumah dihuni oleh 135 penduduk di kawasan Cheneh dan Felda Neram dikenal pasti terlibat dalam kejadian ribut tersebut.

    Menurutnya, jumlah sebenar rumah dan penduduk yang terlibat sedang dikemas kini.

    “Kita akan gunakan peruntukan Tabung Darul Iman untuk kerja-kerja pembaikan,” katanya.

  • Syarikat subkontraktor LCS baru 45 hari ditubuh tuntut RM178 juta hari pertama diberi kontrak

    Syarikat subkontraktor LCS baru 45 hari ditubuh tuntut RM178 juta hari pertama diberi kontrak

    SEBUAH syarikat subkontraktor yang baru berusia 45 hari didakwa membuat tuntutan sebanyak RM178 juta dari projek kapal tempur pesisir (LCS) yang ditempah untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

    Berita Harian melaporkan, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa, kejadian itu berlaku ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Menteri Kewangan.

    Justeru, beliau menuntut supaya Najib yang juga bekas Perdana Menteri, memberi penjelasan lantas menjawab dakwaan berhubung tuntutan yang dibuat subkontraktor berkenaan.

    “Hari ini, saya ingin mendedahkan satu lagi pembayaran yang tidak mengikut prinsip-prinsip di dalam Pekeliling Perbendaharaan.

    “Kertas siasatan dalaman projek LCS menunjukkan bahawa subkontraktor lapisan kedua (Contraves Electrodynamics Sdn Bhd atau CED) membuat tuntutan sebanyak RM178 juta sebagai yuran memulakan kerja (mobilisation fee) pada hari yang sama ia dilantik, sedangkan pada ketika itu subkontraktor ini ditubuhkan 45 hari sebelum itu.

    “Sebagai Menteri Kewangan pada ketika itu, Najib mesti menjawab bagaimana sebuah subkontraktor yang hanya berusia 45 hari boleh membuat tuntutan berjumlah RM178 juta dari projek pertahanan utama negara?

    “Penyelewengan-penyelewengan beginilah yang menyebabkan BNS akhirnya tidak mempunyai dana (walaupun telah dibayar kerajaan) dan projek tergendala sehingga tidak ada satu kapal pun siap hingga ke hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Bekas Ahli Parlimen Pandan itu juga menyenaraikan tiga peristiwa yang didakwa beliau mempunyai kaitan dengan bayaran yang melanggar prinsip urus tadbir Pekeliling Perbendaharaan.

    Rafizi mendakwa, transaksi berkenaan adalah satu penyelewengan yang melanggar peraturan pembayaran Kementerian Kewangan.

    “9 April 2012, BNS melantik Contraves Advanced Devices (CAD) sebagai subkontraktor bagi dua pakej utama bernilai RM1.2 bilion.

    “9 April 2012, CAD melantik CED sebuah syarikat yang baru berusia 45 hari sebagai subkontraktor bagi dua pakej yang dianugerahkan oleh BNS.

    “9 April 2012, CED membuat tuntutan sebanyak RM178 juta sebagai yuran memulakan kerja pada hari yang sama ia dilantik sebagai kontraktor lapisan kedua,” dakwanya.

    Menurut Rafizi, kontraktor perlu dilantik dalam kalangan pembekal yang paling layak berdasarkan keupayaan teknikal dan pada harga terbaik kepada kerajaan.

    Tambah beliau, kontraktor juga perlu mempunyai kekuatan kewangan dan aliran tunai sendiri untuk menjalankan kontrak.

    Dalam masa sama, beliau berkata bayaran hanya boleh dibuat mengikut kemajuan projek dan dibayar secara berpatutan mengikut peratusan projek dilaksanakan, seperti yang dipersetujui mengikut dokumen kontrak yang dimeterai dengan kerajaan.

    “Umum mengetahui bahawa keseluruhan tadbir urus kewangan negara dipandu dan dikawal oleh satu set Pekeliling Perbendaharaan, yang pada prinsipnya menekankan perkara-perkara berikut,” katanya.

  • Anak sulung Tunku Abdul Rahman, Tunku Khadijah meninggal dunia 

    Anak sulung Tunku Abdul Rahman, Tunku Khadijah meninggal dunia 

    ANAK sulung kepada Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tunku Khadijah meninggal dunia pada 6.50 petang semalam akibat kanser paru-paru. 

    Anak Allahyarham, Datin Seri Sharifah Menyalara Hussein berkata ibunya meninggal dunia pada usia 89 tahun di Hospital Pantai Kuala Lumpur. 

    “Ibu meninggal selepas hanya beberapa jam dimasukkan ke hospital. Ibu sebelum ini telah didiagnos dengan kanser paru-paru tahap akhir pada awal tahun,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

    Menurutnya, jenazah Tunku Khadijah dibawa ke Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat zuhur hari ini. 

    Tunku Khadijah yang meninggalkan tiga orang anak termasuk Sharifah dan tujuh orang cucu, sepatutnya menyambut ulang tahun kelahiran ke-90 pada Oktober ini. -Bernama

  • Toreh muka rakan disebabkan enggan bayar ganti rugi

    Toreh muka rakan disebabkan enggan bayar ganti rugi

    SEORANG lelaki tergamak memukul dan menoreh muka rakan lelakinya di padang bola jaring, di Ampang Jaya, baru-baru ini, hanya kerana enggan membayar kos membaiki kerosakan kereta milik mangsa.

    Suspek yang berusia 24 tahun itu berjaya ditahan polis di Semenyih, Kajang, pukul 2 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu berlaku pada 6 petang 10 Ogos lalu apabila mangsa berusia 24 tahun dihubungi teman wanita suspek memberitahu suspek mahu bertemu di padang bola jaring itu.

    “Pertemuan tersebut untuk berbincang mengenai masalah kereta mangsa mengalami kemalangan.

    “Apabila tiba di sana mangsa dan suspek berbincang namun suspek mengatakan tidak boleh membayar ganti rugi itu dan mengajak bergaduh.

    “Secara tiba-tiba suspek terus cuba menumbuk dan menoreh muka mangsa dengan menggunakan pisau kecil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Farouk berkata, suspek menyatakan pisau lipat yang digunakan ketika kejadian dibuang di sekitar kawasan tempat kejadian ketika melarikan diri.

    “Semakan juga mendapati suspek mempunyai 11rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah.

    “Ujian awal saringan air kencing mandapati suspek disyaki positif dadah jenis THC,” katanya.

    Beliau berkata, punca kejadian adalah disebabkan selisih faham dan meninggi suara antara mangsa dan suspek serta suspek enggan membayar kos baiki kereta.

    “Suspek dibawa ke Mahkamah Ampang pagi ini bagi permohonan reman. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

  • Dewan Negara bahas usul projek LCS petang ini

    Dewan Negara bahas usul projek LCS petang ini

    DEWAN Negara akan membahaskan usul berkaitan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) pada persidangan petang ini, selepas ia mendapat persetujuan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim hari ini.

    Rais berkata usul yang dibawa Senator Lim Hui Ying itu akan dibahaskan mengikut Peraturan Mesyuarat 17 (3) kerana ia memenuhi tiga syarat iaitu bersifat tertentu, berkepentingan orang ramai dan berkehendak disegerakan.

    “Saya telah meneliti perkara ini dan mendapati perkara ini adalah perkara tertentu, kedua ia adalah bagi kepentingan orang ramai kerana melibatkan kepentingan awam dan keselamatan negara. Perkara ini telahpun disebar luas.

    “Oleh yang demikian, saya membenarkan usul ini untuk dibahaskan. Mengikut Peraturan Mesyuarat 17 (3), usul ini akan dibahaskan petang ini dalam dewan ini. Saya membenarkan pihak pencadang untuk berbahas selama 30 minit dan selepas itu pihak kerajaan akan menjawab selama tidak lebih daripada 30 minit,” katanya selepas sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

    Terdahulu, Lim mengusulkan supaya persidangan Dewan Negara merundingkan perkara berhubung laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkenaan perolehan LCS bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di bawah Kementerian Pertahanan. 

    “Syarikat Boustead Novel Shipyard Sdn Bhd menerima kontrak kerajaan Malaysia dengan RM9.1286 bilion untuk membina enam kapal LCS dan lima daripada kapal itu perlu siap dihantar kepada TLDM pada Ogos 2022.

    “Namun sehingga kini, tiada sebuah LCS disiapkan walaupun kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion kepada syarikat tersebut malah kos projek itu juga melebihi kos asal sebanyak RM1.4 bilion,” katanya.

    Lim berkata usul tersebut perlu dibahaskan susulan laporan PAC turut mendedahkan pelbagai kepincangan, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam keseluruhan projek perolehan LCS.

    Pada 4 Ogos lepas, PAC mendedahkan tiada satupun LCS telah disiapkan walaupun kontrak projek bernilai RM6.083 bilion itu memperuntuk lima daripada enam kapal tersebut seharusnya disiap dan diserahkan setakat Ogos 2022.

    Pada 11 Ogos lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan telah melengkapkan kertas siasatan terhadap beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian projek pembinaan LCS.- BERNAMA

  • “Mohd Nazlan kena dedahkan jawatan” – Peguam Najib

    “Mohd Nazlan kena dedahkan jawatan” – Peguam Najib

    PEGUAM utama Datuk Seri Najib Razak, Hisyam Teh Poh Teik berkata, pihaknya mengakui jawatan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank berada dalam pengetahuan awam.

    Memetik laporan Berita Harian, bagaimanapun katanya, apa yang dipertikaikan ialah Mohd Nazlan yang mendengar perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International dihadapi Najib mempunyai tanggungjawab untuk mendedahkan perkara itu kepada semua pihak dalam perbicaraan.

    Katanya, permohonan yang dikemukakan untuk memasukkan bukti tambahan berkaitan Mohd Nazlan (yang kini hakim Mahkamah Rayuan) bukan untuk mempertikaikan maklumat mengenai jawatan yang pernah dipegangnya tetapi tindakan yang sepatutnya diambil oleh hakim terbabit.

    “Apabila tindakan (mendedahkan perkara berkenaan) ini tidak dilakukan, maka akan timbul syak wasangka. Syak wasangka ini sudah cukup untuk menunjukkan terdapat bahaya berat sebelah di pihak hakim bicara.

    “Kami memohon mahkamah membenarkan permohonan kami supaya keterangan ini dibawa masuk sebagai bukti tambahan.

    “Ia akan menunjukkan kekuatan mahkamah ini bahawa ia bersedia untuk campur tangan apabila jelas di hadapannya terdapat unsur ketidakadilan kepada pemohon,” katanya.

    Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat kemudian mengumumkan panel lima hakim akan menangguhkan sebentar prosiding bagi membuat keputusan terhadap permohonan Najib.

  • Helah pekasam ikan berisi ketum tak menjadi

    Helah pekasam ikan berisi ketum tak menjadi

    Oleh BADLISHAH MAT

    TAKTIK melabel dua kotak polistrin dan sebuah beg plastik berzip tertera perkataan ‘pekasam ikan’ tidak menjadi apabila polis menemukan daun ketum yang dibawa dua lelaki di Shahab Perdana, Alor Setar malam tadi.

    Serbuan pada pukul 10.45 malam itu dilakukan polis berdasarkan maklumat yang diperolehi selain perbuatan mencurigakan dua lelaki berusia 20 dan 21 tahun yang kononnya penjual ikan pekasam.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, dua kotak polistrin dan bekas plastik itu mengandungi 290 bungkusan plastik mengandungi daun disyaki ketum.

    Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati jumlah keseluruhan daun ketum itu dianggarkan seberat 58 kilogram (kg).

    “Berikutan itu mereka ditahan untuk membantu siasatan dan dibawa ke Balai Polis Alor Setar untuk tindakan lanjut bersama daun ketum yang dirampas.

    “Siasatan masih dilakukan untuk mengetahui lebih lanjut pembabitan mereka dalam kegiatan itu,” katanya di Alor Setar hari ini.

    Ahmad Shukri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

  • Reman tiga lelaki pukul guru pusat tahfiz disambung

    Reman tiga lelaki pukul guru pusat tahfiz disambung

    REMAN tiga lelaki yang ditahan berhubung kes serangan terhadap seorang guru di sebuah pusat tahfiz di Jalan Cheneras, Kuala Lipis, Pahang, Khamis lalu, disambung dua hari lagi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, tempoh reman ketiga-tiga suspek berusia 30-an terbabit disambung sehingga Khamis ini selepas permohonan reman sebelum ini tamat, hari ini.

    “Kertas siasatan berhubung kes itu akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya pagi ini. Kita akan maklumkan semula (kepada media) tarikh pertuduhan kes terbabit,” katanya memetik laporan Harian metro.

    Kesemua suspek terbabit ditahan polis dalam tiga serbuan berasingan di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu, Terengganu serta Bandar Jengka, Pahang, bermula 1 pagi hingga 8 pagi, Sabtu lalu.

    Ia susulan kes tular seorang guru yang cedera selepas diserang lima lelaki kerana tidak berpuas hati soal pembayaran makanan.

    Dalam kejadian kira-kira 5.10 petang Khamis lalu, suspek berusia 30-an bersama seorang pelajar tahfiz pergi ke pusat tahfiz berkenaan yang mana tiga suspek menyerang mangsa berusia 30-an yang ditugaskan menjaga premis terbabit.

  • KPDNHEP gagalkan cubaan seleweng 900 liter diesel

    KPDNHEP gagalkan cubaan seleweng 900 liter diesel

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang menahan seorang lelaki ditahan bersama lori muatan tiga tan dipercayai terbabit dalam kegiatan penyelewengan diesel di sebuah stesen minyak di Jalan Beserah, Kuantan semalam.

    Menerusi serbuan KPDNHEP pada pukul 12.30 tengah hari itu, lelaki berumur 48 tahun ditahan ketika mengisi diesel di stesen terbabit.

    Pengarah KPDNHEP Pahang, Datuk Mark Ujin berkata, penahanan dilakukan selepas lori terbabit didapati mengisi diesel dalam keadaan mencurigakan.

    “Pemeriksaan lanjut ke atas lori itu menemukan satu tangki keluli tambahan yang diubah suai di dalam bahagian kabin belakang kenderaan itu.

    “Turut ditemukan sebuah pam yang dipercayai digunakan untuk menyedut diesel yang dibeli di stesen minyak ke dalam tangki keluli yang telah diubah suai itu,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Katanya, KPDNHEP Pahang bertindak menyita lori itu bersama diesel yang dianggarkan 900 liter dan menahan seorang lelaki yang juga pemandu lori untuk tujuan siasatan lanjut.

    Menurutnya, kertas siasatan dibuka dan kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

    Kes penyelewengan diesel itu adalah kes kedua bulan ini selepas dikesan di sebuah stesen minyak di Indera Mahkota, di Kuantan pada 2 Ogos lalu.

    Kes itu membabitkan dua lelaki ditahan bersama sebuah lori muatan tujuh tan membabitkan 1,000 liter sudah diisi ke dalam tangki.

    Mark berkata, anggota penguat kuasa KPDNHEP Pahang sentiasa menjalankan pemantauan di stesen minyak di negeri ini, termasuk sekitar Kuantan.

    Katanya, langkah itu dalam usaha mencegah aktiviti penyelewengan minyak petrol dan diesel sekali gus mencegah ketirisan subsidi kerajaan.

    “Oleh itu, KPDNHEP meminta orang ramai yang mempunyai maklumat sebarang aktiviti mencurigakan melaporkan kepada kementerian,” katanya.

  • Ambil nasi ayam kedai Cina, JHEAINPP belum terima aduan rasmi

    Ambil nasi ayam kedai Cina, JHEAINPP belum terima aduan rasmi

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) belum menerima aduan daripada mana-mana pihak berhubung dakwaan sebuah kedai menjual nasi ayam milik orang Melayu mengambil bahan masakan daripada sebuah restoran bukan Islam seperti yang tular di dalam media sosial.

    Bagaimanapun, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, jabatan itu sudah diarahkan menjalankan siasatan rapi dan terperinci berhubung dakwaan tersebut kerana ia melibatkan sensitiviti orang Islam.

    Ujar beliau, JHEAINPP dan beberapa agensi berkaitan sudah melakukan siasatan awal namun hanya berdasarkan kepada dakwaan seperti yang tular di dalam media sosial.

    “Saya difahamkan setakat ini tiada aduan rasmi dibuat oleh mana-mana pihak. Maka, tiada individu termasuk pemilik kedai dipanggil untuk siasatan lanjut.

    “Namun, pemilik dan pekerja kedai serta beberapa individu yang didakwa terlibat sudah dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

    Sejak semalam, satu video berdurasi 2 minit 38 saat yang memaparkan dua lelaki Melayu dilihat memasuki sebuah restoran bukan Islam di Paya Terubong dipercayai untuk mengambil nasi ayam dan menjualnya di gerai milik orang Melayu di Sungai Ara tular di dalam media sosial.

    Tindakan itu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang Muslim terutama pelanggan kedai terbabit yang menggesa pemilik restoran tampil menjelaskan situasi sebenar dan mendesak pihak berkuasa berkaitan menjalankan siasatan.