Category: Semasa

  • Penipuan tawaran kerja dalam talian: Enam individu ditahan

    Penipuan tawaran kerja dalam talian: Enam individu ditahan

    POLIS menahan enam individu termasuk dua warga Indonesia kerana disyaki terlibat kes penipuan penawaran kerja secara dalam talian dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama di sini semalam.

    Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata kesemua yang berusia 20 hingga 31 tahun itu terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang lelaki dan wanita warga Indonesia.

    Beliau berkata sindiket yang menyasarkan warga Indonesia itu memaklumkan mangsa bahawa mangsa akan ditawarkan kerja sebagai ejen jualan dalam sebuah aplikasi jualan dalam talian dengan syarat mangsa membuat pembelian barang menerusi pautan yang diberikan.

    “Selepas beli barang, mangsa kena kongsikan pautan dan memberi ‘like’ atau tanda suka kepada produk yang dibeli dan mangsa perlu buat 10 kali pembelian barang untuk dapatkan komisen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Amihizam, selepas mangsa mematuhi semua arahan diberikan, sindiket berkenaan akan memaklumkan mangsa bahawa mereka sudah menjadi ejen aplikasi jualan dalam talian itu namun tidak diberi sebarang surat tawaran kerja.

    Beliau berkata dalam serbuan itu, polis merampas enam komputer riba, 12 telefon bimbit pelbagai jenama dan 10 keping kad sim telefon prabayar yang digunakan dalam kegiatan tersebut.

    Menurutnya sindiket berkenaan disyaki beroperasi sejak bulan lepas dan kesemua suspek dibayar antara RM3,000 hingga RM3,500 sebulan tidak termasuk empat hingga lima peratus daripada keseluruhan kutipan ‘hasil jualan’ yang dilakukan dalam tempoh sebulan.

    Amihizam berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dengan sebarang tawaran kerja secara dalam talian yang menawarkan peluang pekerjaan tidak jelas tetapi menjanjikan pulangan wang yang lumayan.- BERNAMA

  • Pesara guru terselamat daripada ditipu RM30,000

    Pesara guru terselamat daripada ditipu RM30,000

    SEORANG warga emas terselamat daripada menjadi mangsa penipuan berjumlah RM30,000 selepas anaknya meminta akaun bank bapanya disekat.

    Kejadian tersebut bermula selepas tiga lelaki tidak kenali mengunjungi rumah pesara guru berusia 82 tahun Melaka, pada Jumaat lalu.

    Suspek berkenaan membawa cerita kononnya mewakili syarikat telekomunikasi yang berminat memasang menara telekomunikasi di atas tanah warga emas itu di Kampung Paya Dalam.

    Anak mangsa yang mahu dikenali sebagai Syafik, 30, berkata, dia dihubungi ibunya pada pukul 10.39 pagi semalam memaklumkan bapanya dibawa keluar rumah oleh lelaki tidak kenali.

    Mengesyaki perkara tidak kena, Syafiq cuba mencari ayahnya di beberapa cawangan bank berkenaan tetapi gagal lalu menghubungi pegawai bank meminta supaya dua akaun bapanya disekat kerana dipercayai ada orang cuba membawanya untuk membuat urusan.

    “Ketika datang ke rumah ayah, lelaki itu mengatakan syarikatnya berminat dengan tanah ayah seluas kira-kira tiga ekar (1.2 hektar) di belakang rumah bagi projek itu.

    “Dia juga beritahu mahu letak peralatan untuk penyelenggaraan membina menara berkenaan di atas tanah ayah serta memberikan nombor telefon bimbitnya.

    “Lelaki itu datang semula pagi semalam dan berjumpa ibu saya serta menyatakan kononnya saya memberinya kebenaran untuk bawa ayah keluar bagi urusan bank dan sewaan tanah sedangkan saya langsung tidak dapat menghubunginya,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Katanya, kira-kira pukul 1 tengah hari semalam bapanya balik ke rumah dengan teksi selepas ditinggalkan tiga lelaki yang membawanya ke bank untuk keluarkan RM30,000 tetapi transaksi itu gagal kerana akaun disekat.

    “Ayah macam kebingungan dan tidak ingat dibawa ke cawangan bank mana. Dia juga diarah oleh tiga lelaki terbabit memberitahu pegawai bank tujuan pengeluaran wang adalah untuk ubah suai rumah.

    “Saya difahamkan buku akaun bank dan Tabung Haji turut diambil dipercayai untuk salinan sebelum dikembalikan kepada ayah,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, ketika dihubungi mengesahkan menerima dua laporan dibuat anak mangsa berkaitan kes itu di Balai Polis Tiang Dua dan di Balai Polis Bandar Hilir.

    “Anak mangsa menyatakan bapanya pulang ke rumah pada jam 1 tengah hari semalam selepas ditinggalkan oleh tiga lelaki yang membawanya ke sebuah cawangan bank untuk mengeluarkan wang RM30,000, namun gagal.

    “Di sini, saya menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan bermacam taktik penipuan kini,” katanya.

  • Najib terkejut, sangat kecewa

    Najib terkejut, sangat kecewa

    BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa “terkejut dan sangat kecewa dengan keputusan hakim” Mahkamah Persekutuan kerana tidak membenarkan permohonannya mengemukakan bukti tambahan yang dikaitkan dengan kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta.

    “Saya percaya bukti jelas menunjukkan hakim (Mohd) Nazlan (Mohd Ghazali) sangat memiliki konflik (kepentingan).

    “Dia sangat mengetahui transaksi 1MDB dan SRC dan oleh itu menganggap mempunyai pengetahuan peribadi mengenai kedua-dua entiti ini.

    “Saya percaya para penyiasat SPRM juga menyedari fakta ini, tetapi kami tidak dapat mengemukakan (bukti tambahan). Saya harap dalam rayuan terakhir, kami dapat menunjukkan kebenaran perkara itu,” kata Najib pada sidang media di Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini, lapor Malaysiakini.

    Sementara itu, peguam Datuk Zaid Ibrahim yang mewakili Najib juga meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan mengemukakan bukti baru itu dan tidak membenarkan penangguhan pendengaran rayuan utama selama tiga hingga empat bulan.

    “(Kami) simpati penuh kepada Najib dan keluarganya. Tetapi keadilan adalah jalan yang panjang. Kadang-kadang anda boleh mendapatkannya di sini, (atau) anda boleh mendapatkannya di tempat lain,” kata bekas menteri undang-undang itu.

    Terdahulu, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat (gambar, bawah) yang mengetuai panel lima hakim dalam menolak permohonan itu mengarahkan pihak pembelaan meneruskan rayuan utama mereka, Khamis ini.

  • Kes cabul kerani libat pegawai polis dirujuk Bukit Aman

    Kes cabul kerani libat pegawai polis dirujuk Bukit Aman

    KERTAS siasatan kes seorang kerani yang mendakwa dicabul seorang pegawai polis dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Sentosa di Kampar, 5 Ogos lalu akan dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud, siasatan lanjut masih diteruskan dengan merakam percakapan individu yang terlibat.

    “Kita merakam percakapan lanjut daripada pengadu. Dalam kes ini, tiada saksi bebas dikenal pasti kecuali anak suspek yang berada di lokasi kejadian.

    “Kertas siasatan akan dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak terlebih dahulu sebelum ke Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Media pada 9 Ogos lalu melaporkan seorang kerani berusia 23 tahun mendakwa dicabul seorang pegawai polis yang telah bertindak meraba dan menciumnya.

    Kejadian berlaku ketika wanita itu menemui lelaki berkenaan kerana mahu mengetahui bagaimana lelaki itu mengenalinya sebelum diajak menaiki kereta dan dibawa ke rumahnya.

    Mangsa kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

  • KPLB capai sasaran laksana sebahagian besar projek dirancang – Mahdzir

    KPLB capai sasaran laksana sebahagian besar projek dirancang – Mahdzir

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berjaya mencapai sasaran melaksanakan sebahagian besar projek pembangunan yang dirancang tahun ini.

    Namun pada masa yang sama Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengingatkan anggota pentadbiran dan kakitangan KPLB terus bekerja keras melaksanakan tugasan yang masih ada.

    “Saya berdoa semoga kita semua diberi kekuatan bagi melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

    “Saya percaya banyak pencapaian program dan projek KPLB yang telah mencapai sasaran yang ditetapkan sehingga kini,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulan Ogos KPLB di Ibu Pejabat kementerian itu di Putrajaya hari ini.

    Turut hadir, Timbalan Menteri I KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan pengurusan tertinggi serta warga kerja pelbagai peringkat KPLB.

    Mahdzir dalam pada itu menegaskan, mana-mana program dan projek KPLB yang masih belum mencapai garis masa yang ditetapkan, langkah mengatasinya perlu dilakukan segera.

    “Saya percaya bahawa, setiap apa yang kita lakukan adalah bertujuan untuk memakmur dan memajukan rakyat khususnya masyarakat luar bandar dan negara amnya,” katanya.
     
    Dalam ucapan itu juga, Mahdzir turut mengingatkan warga kerja KPLB untuk lebih berhati-hati dengan sebaran berita palsu di media sosial yang boleh memecah-belahkan rakyat.

    “Sehingga ke hari ini masih wujud unsur-unsur negatif dalam kalangan masyarakat di negara ini yang boleh menggugat ketenteraman dan kesepakatan antara kita, terutamanya dalam era media sosial yang tiada sempadan dan terdedah kepada anasir jahat dan berita palsu.
     
    “Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, maka kita wajar menolak fahaman sempit yang boleh memecah belahkan masyarakat, dan tetap berpegang kepada prinsip bertolak-ansur dan hormat-menghormati antara satu sama lain,” tambah beliau.

    Pada majlis itu, Mahdzir turut melancarkan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

  • Hanya dua RXZ, bukan ratusan motosikal yang hilang

    Hanya dua RXZ, bukan ratusan motosikal yang hilang

    POLIS Terengganu hari ini menafikan satu berita yang tular di media sosial baru-baru ini yang mendakwa kononnya ratusan motor ‘hilang’ semasa berlangsung program RXZ Members 4.0 2022 di sini Sabtu lepas.

    Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata pihaknya hanya menerima dua laporan berhubung kehilangan motosikal pada hari berkenaan, sama sekali jauh berbeza dengan jumlah yang ditularkan oleh warga net.

    “Cuma dua buah sahaja motosikal yang (dilaporkan) hilang dan ada satu kemalangan maut melibatkan peserta program RXZ Members yang dalam perjalanan dari Selangor ke Kuala Terengganu.

    “Jangan cepat percaya dengan media sosial kerana boleh pening kita dibuatnya,” katanya selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), hari ini.

    Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bukit Aman, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin.

    Pada majlis itu seramai 668 orang penerima termasuk anggota, pegawai dan pesara polis dari negeri ini dianugerahkan pingat tersebut sebagai penghargaan di atas jasa bakti serta pengorbanan mereka kepada negara.- BERNAMA

  • Tiga lelaki berdepan hukuman gantung

    Tiga lelaki berdepan hukuman gantung

    TIGA lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Rembau, hari ini atas mengedar dadah heroin seberat 21 gram pada minggu lalu.

    Tertuduh Kamaruddin Dollah, 49; Abdul Malek Jantan, 42; dan Ahmad Fazali Jaafar, 45, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kartini Kasran.

    Harian Metro melaporkan, menurut kertas pertuduhan, ketiga-ketiga tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya heroin dengan anggaran berat 21 gram.

    Kesalahan dilakukan pada pada 1 pagi, 10 Ogos lalu di sebuah rumah di Jalan Bukit Jalor, Felda Bukit Jalor, Gemencheh, Tampin.

    Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 14 Kanun Keseksaan.

    Tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup atau disebat tidak kurang 15 sebatan.

    Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh berikutan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Prosiding kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd. Azizul Zakaria dan sebutan semula kes ditetapkan pada 29 September depan untuk kemukakan laporan kimia.

    Sementara itu di kamar sama, Kamaruddin didakwa atas pertuduhan menyalahgunakan dadah berbahaya jenis morfin pada pukul 10 malam 16 Ogos 2021 di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tampin.

    Oleh itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama.

    Tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Syuhada Mohd. Isa memohon hukuman minimum dikenakan.

    Kamarudin mengaku bersalah atas pertuduhan itu sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 11 bulan dari tarikh sabitan dan dikenakan pengawasan selama dua tahun.

  • RUU larangan tukar parti dipersembah kepada Agong dalam masa terdekat

    RUU larangan tukar parti dipersembah kepada Agong dalam masa terdekat

    RANG Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) No. 3 2022 Pindaan mengenai Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti akan dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam masa terdekat bagi mendapat perkenan.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata selepas mendapat perkenan, rang undang-undang itu akan digazetkan pelaksanaannya mengikut garis masa yang disasarkan iaitu minggu pertama September.

    Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong perlu memberi perkenannya sebanyak dua kali sebelum rang undang-undang itu digazetkan.

    “Selepas diperkenankan nanti, rang undang-undang itu akan dikembalikan semula kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk diformat sekali lagi, bagi dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sekali lagi,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

    Katanya selepas itu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membuat pemakluman melalui surat kepada semua menteri besar dan ketua menteri untuk mengesyorkan kepada semua negeri mengenai pindaan terhadap Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.

    Wan Junaidi berkata ia akan yang membolehkan semua Dewan Undangan Negeri meminda Perlembagaan Negeri masing-masing dengan memasukkan peruntukan larangan bertukar parti agar selaras dengan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

    “Kita nak dia (negeri) ikut format kita itu, Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan yang kita pinda bersama itu, supaya Persekutuan dan pihak negeri, undang-undangnya sama.

    “Kita takut kalau ada perbezaan daripada sudut perkataan, garis panduan yang disebut di undang-undang itu nanti, akan mendatangkan konflik di antara undang-undang Persekutun dan negeri,” katanya.

    Wan Junaidi berkata sesi libat urus dengan negeri-negeri akan diadakan bagi tujuan penyeragaman dengan undang-undang Persekutuan di  bawah Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan.

    Pada 28 Julai lepas, pindaan Rang Undang-undang Perlembagaan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Parlimen bertukar parti telah diluluskan dengan mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan di Dewan Rakyat.

    Pada 9 Ogos, Rang Undang-undang berkenaan turut diluluskan di Dewan Negara selepas memperoleh  sokongan 52 daripada 60 senator selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan Ahli Dewan Negara. – BERNAMA

  • Penjara, denda guna dokumen palsu untuk sertai tender terbuka

    Penjara, denda guna dokumen palsu untuk sertai tender terbuka

    PEMILIK syarikat swasta dipenjara sehari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini kerana menggunakan dokumen palsu ketika menyertai tender terbuka bagi perkhidmatan pembekalan makanan di asrama sebuah sekolah di Terengganu, berjumlah lebih RM2 juta.

    Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Hairul Nizam Hussin, 31, yang mengaku bersalah menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu penyata akaun Maybank milik syarikatnya, Azam NJ Resources bertarikh 30 Julai 2018 di Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya pada Oktober 2018.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan dipenjara 10 bulan sekiranya dia gagal membayar denda itu. Tertuduh membayar denda tersebut.

    Terdahulu, Muhammad Hairul Nizam yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda rendah dengan alasan dia menanggung keluarga serta seorang isteri yang sedang mengandung dua bulan dan menjaga dua anak arwah kakaknya.

    Berdasarkan fakta kes, syarikat Azam NJ Resources merupakan syarikat milikan tunggal yang didaftarkan atas nama tertuduh dan dia telah menyertai tender secara terbuka untuk perkhidmatan membekal makanan bermasak ke asrama di sebuah sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu berjumlah RM2,793,369.60.

    Muhammad Hairul Nizam kemudian telah memuat naik beberapa dokumen iaitu keterangan mengenai petender, kepatuhan terhadap kelayakan pengurus dan penyelia asrama, borang sumber kewangan, jadual harga mengikut sajian, senarai jenama bahan-bahan makanan yang digunakan serta penyata akaun bank syarikat itu bertarikh 30 Julai, 31 Ogos dan 30 Sept 2018.

    Berikutan itu, tertuduh telah hadir ke Kementerian Pendidikan Malaysia dan menerima Surat Setuju Terima bagi pelantikan tersebut dan telah mengemukakan dokumen palsu iaitu penyata akaun bank syarikat miliknya.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh

  • Menghendap secara maya berulang kali juga satu jenayah

    Menghendap secara maya berulang kali juga satu jenayah

    BUKAN sahaja menghendap secara fizikal, malah perbuatan menghendap secara maya berulang kali juga adalah satu jenayah menurut Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022, Akta Kanun Keseksaan (Akta 574).

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata walaupun perbuatan menghendap secara maya tidak melibatkan sentuhan atau mendatangkan kecederaan, tetapi ia boleh mengganggu mental dan emosi mangsa.

    “Sebagai contoh, berlaku insiden A telah berpisah dengan B, namun B sering mengganggu A dengan pelbagai mesej dan sebagainya.

    “Apabila A tukar nombor telefon, B masih lagi menghubungi A di media sosial dengan mengubah pelbagai nama samaran sehinggga ada sampai 10 ke 20 akaun (media sosial) hanya untuk memastikan hidup A tidak tenteram.

    “Apabila (mangsa) pergi ke balai polis untuk membuat laporan, polis tidak boleh ambil tindakan… sebab tidak mendatangkan kecederaan kepada mangsa. Sebab itu (ada) mangsa yang sampai berhenti kerja dan sanggup keluar negara kerana khuatir diekori lagi,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Justeru Mas Ermieyati berkata adalah penting dan tepat pada masanya untuk meluluskan rang undang-undang ‘anti menghendap’ itu untuk melindungi mangsa secara menyeluruh dan bukan hanya daripada yang mendatangkan kecederaan semata-mata.

    “… kalau tidak ada satu undang-undang yang benar-benar melindungi mangsa, saya khuatir akan (berlaku) lebih banyak (kes menghendap) sehingga mendatangkan kecederaan (pada masa akan datang),” katanya.

    Sementara itu Mas Ermieyati berkata beliau juga optimis rang undang-undang yang dijangka akan dibacakan kali kedua dan ketiga pada Mesyuarat Ketiga mulai Oktober depan itu, akan diluluskan di Parlimen pada hujung tahun ini.

    Pada 4 Ogos lepas, pindaan Akta 574 bagi memasukkan perbuatan menghendap sebagai satu jenayah telah dibentang di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama.

    Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022 itu bertujuan memasukkan seksyen baharu 507a ke dalam Akta 574 untuk mengadakan peruntukan bagi kesalahan menghendap.

    Menurut rang undang-undang itu, sesiapa yang berulang kali dengan apa-apa tindakan gangguan, berniat untuk menyebabkan, atau mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa perbuatan itu berkemungkinan menyebabkan, merisaukan, menakutkan atau mencemaskan akan keselamatan orang itu, melakukan kesalahan menghendap.

    Rang undang-undang itu juga menyatakan sesiapa yang melakukan kesalahan menghendap hendaklah dihukum penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.- BERNAMA