Category: Semasa

  • Wanita OKU hilang di Batang Kali ditemui di Muar

    Wanita OKU hilang di Batang Kali ditemui di Muar

    SEORANG wanita orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang dari rumah ibu saudara di Jalan Meranti, Bandar Utama, Batang Kali Selangor sejak 21 Julai lalu ditemui selamat pada Isnin.

    Memetik laporan Sinar Harian, adik mangsa, Zafiah Eni Zainuddin, 29, berkata, seorang wanita pada Ahad telah menghubunginya memberitahu mangsa, Zakiah Yusra Zainuddin, 31, atau dipanggil Kiah berada di Muar, Johor sepanjang dilaporkan hilang.

    Menurut Zafiah Eni, mangsa memberitahu dibawa seseorang ke sana untuk berjalan-jalan selain mahu mencari kerja sebelum dia diserahkan kepada pihak ketiga.

    “Pada Ahad (14 Ogos), saya dapat berita daripada seorang wanita dari Muar, Johor mengatakan terjumpa hantaran tentang kehilangan Zakiah dan menghubungi saya untuk kepastian.

    “Selama tarikh hilang 21 Julai hingga 14 Ogos, Zakiah tinggal di rumah wanita itu,” katanya kepada Sinar Harian.

    Zafiah Eni berkata, Zakiah kemudian pulang ke Kuala Lumpur menaiki bas sebelum mengambil teksi ke rumah sepupu di Selayang pada Isnin.

    “Dia tidak terus pulang ke rumah di Batang Kali kerana terlupa alamat menyebabkan dia pergi ke rumah sepupu sebelum saya datang menjemputnya.

    “Saya telah membuat pemeriksaan ke atasnya dan dia berada dalam keadaan baik serta selamat,” katanya.

    Dalam masa sama, Zafiah Eni turut mengucapkan terima kasih semua pihak yang banyak membantu dalam pencarian kakaknya itu menerusi sebaran hantaran di media sosial sehingga Zakiah berjaya ditemui dalam keadaan selamat.

  • Anggota JPJ didakwa terima rasuah RM27,600

    Anggota JPJ didakwa terima rasuah RM27,600

    SEORANG anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Muar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM27,600 sejak 2016 hingga 2019.

    Memetik laporan Berita Harian, tertuduh, Ahmad Jamil Md Rasu, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan dihadapinya selepas dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

    Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu yang juga Pembantu Penguatkuasa JPJ Cawangan Muar didakwa menerima suapan wang antara RM3,000 hingga RM11,000 secara pindahan atas talian daripada Pengurus Syarikat Sivan Sakthi Maju Enterprise, P P Vijayan sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 ke atas lori-lori milik syarikat berkenaan.

    Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan tertuduh di sebuah bank dekat Jalan Sulaiman, Muar antara 26 Januari 2016 hingga 24 Mac 2019, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

    Mengikut seksyen berkenaan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat menawarkan jaminan RM6,000 bagi semua pertuduhan itu dengan mencadangkan pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM Melaka.

    Ahmad Jamil yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan menanggung dua anak berusia 10 dan 16 tahun yang masih bersekolah.

    “Isteri saya pula hanya berniaga kecil-kecilan dan saya tinggal bersama keluarga. Saya sudah 14 tahun bertugas sebagai Pembantu Penguat kuasa JPJ,” katanya.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pendakwaan.

    Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam pada 20 September depan.

    Pada 5 Julai lalu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka atas 12 pertuduhan menerima rasuah secara bulanan berjumlah RM8,500.

    Bagi pertuduhan di Melaka, dia didakwa menerima wang suapan itu daripada syarikat yang sama bagi tujuan yang sama antara April 2020 hingga Mac 2021.

  • 2 pemandu lori ditahan, cuba seludup 17,000 liter diesel subsidi

    2 pemandu lori ditahan, cuba seludup 17,000 liter diesel subsidi

    PEJABAT Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang menahan dua pemandu lori tempatan kerana dipercayai cuba menyeludup kira-kira 17,200 liter minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Nibong Tebal, Pulau Pinang semalam.

    Ketua Pegawai Penguat Kuasa PPDNHEP Pulau Pinang , A. Mogan berkata, serbuan kira-kira pukul 7 pagi itu dilakukan empat pegawai penguat kuasa susulan risikan serta maklumat awam.

    Menurut beliau, ketika serbuan seorang daripada pemandu lori yang membawa lori tangki telah mengisi sebanyak 16,000 liter minyak diesel manakala seorang pemandu lagi yang membawa lori jenis ‘bonded’ dikesan mengisi 1,200 liter minyak diesel ke dalam lori mereka.

    “Siasatan mendapati lori tangki berjenama Hino itu mempunyai tangki berkapasiti 17,000 liter manakala lori ‘bonded’ seberat tujuh tan berjenama Nissan mempunyai enam tangki fiber berkapasiti 1,000 liter setiap satu yang diubah suai di dalam lori berkenaan.

    “Secara keseluruhannya, anggaran nilai rampasan ke atas barang sitaan adalah RM148,800 dan termasuk dua lori tersebut beserta enam unit tangki fiber, satu unit mesin pam motor dan dua unit hos paip,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mogan berkata, kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama untuk individu.

    Bagi kesalahan kedua dan seterusnya jelas beliau, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan kepada mana-mana individu yang disabitkan bersalah.

    “Bagi pertubuhan atau perbadanan pula, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama boleh dikenakan manakala denda RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau mengingatkan mana-mana pihak yang menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi akan diambil tindakan tegas.

    “Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang tidak mematuhi akta dan peruntukkan undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya.

    Tambah beliau, pihaknya juga mengalu-alukan kerjasama dan sebarang maklumat serta aduan berhubung aktiviti
    penyelewengan barang kawalan bersubsidi dalam usaha mengelakkan berlakunya ketirisan bekalan dalam negara.

  • Crackhouse Comedy Club disenarai hitam seumur hidup

    Crackhouse Comedy Club disenarai hitam seumur hidup

    PEMILIK Crackhouse Comedy Club disenarai hitam seumur hidup daripada mendaftarkan lesen perniagaan mana-mana premis di sekitar ibu negara ini.

    Memetik laporan Berita Harian, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata Jawatankuasa Pelesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bermesyuarat pada 29 Julai lalu, bersetuju membatalkan lesen perniagaan kelab komedi berkenaan berkuat kuasa 30 Julai lalu.

    “Malah, kita juga mengambil keputusan untuk menyenarai hitam pemilik kelab ini untuk mendaftarkan lesen perniagaan di Kuala Lumpur buat selama-lamanya.

    “Ini bermakna pemilik kelab itu tidak boleh mendaftarkan sebarang aktiviti perniagaan di Kuala Lumpur walaupun menggunakan nama dan syarikat berlainan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai Operasi Bersepadu di Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini.

    Jalaluddin berkata, pihaknya juga sedang memantau beberapa kelab yang disyaki terbabit dengan aktiviti seumpama itu di sekitar ibu negara.

    “Sebarang lesen hiburan yang kita kemuka dan keluarkan kepada setiap premis mesti mengikut peraturan ditetapkan.

    “Bagi pihak yang melanggar syarat pelesenan, maka mereka tidak akan terlepas daripada tindakan tegas.

    “Pada masa sama, tindakan, pemantauan serta pemeriksaan akan dilakukan secara berkala oleh DBKL kerana kita tidak mahu ada yang terlepas daripada tindakan kami,” katanya.

    Pada 13 Julai lalu, media melaporkan Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini, yang digantung sementara operasi oleh DBKL pada 10 Julai lalu didapati tidak mempunyai lesen hiburan sejak 2014 hingga 2017.

    Jalaluddin dilaporkan berkata, pemilik premis itu hanya diberikan lesen restoran dan minuman keras tetapi tiada lesen hiburan.

    Sebelum ini, media melaporkan pengasas dan pemilik bersama Crackhouse Comedy Club, Rizal Van Geyzel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan memuat naik video di tiga platform media sosialnya yang menyentuh isu sensitiviti perkauman pada 22 Julai lalu.

    Rizal menjadi tumpuan kontroversi selepas video yang tersebar di media sosial menyebabkan pihak tertentu tidak berpuas hati dengan persembahan komedinya.

    Terdahulu, Siti Nuramira Abdullah, 26, yang tular selepas menanggalkan baju kurung dan tudungnya di kelab komedi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni menggunakan agama di kalangan sesama Islam di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Julai lalu.

    Malah, teman lelakinya yang juga penulis bebas, Alexander Navin Vijayachandran turut didakwa di mahkamah berasingan atas tuduhan memuat naik kandungan jelik di media sosial pada hari sama.

  • 40 bot nelayan asing jadi tukun tiruan di Terengganu

    40 bot nelayan asing jadi tukun tiruan di Terengganu

    AGENSI Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu akan menenggelamkan sebanyak 40 buah bot di sepanjang perairan negeri itu untuk dijadikan tukun tiruan.

    Langkah itu dibuat selepas mendapat pelucutan hak daripada mahkamah pada tahun ini.

    Menurut Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Muhammad Suffi Mohd Ramli, penenggelaman bot nelayan asing sebagai tukun tiruan merupakan inisiatif dalam memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin.

    Beliau berkata, ia juga simbol kepada keseriusan Maritim Malaysia mengekang kemasukan nelayan asing ke perairan negara secara haram.

    “Sejak 2010 sehingga kini sebanyak 144 bot nelayan asing yang dilucut hak telah dilupuskan dengan dijadikan tukun tiruan.

    “Pelupusan itu melibatkan anggaran jumlah rampasan RM216 juta dengan majoritinya adalah bot Vietnam,” katanya sebagaimana lapor Astro Awani.

    Muhammad Suffi memberitahu, jumlah bot ditenggelamkan itu termasuk 17 buah bot yang telah dilupuskan tahun ini dengan cara sama dan musnah hancur di sekitar Pulau Kapas, Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Bidong.

    Justeru, pihaknya akan terus melaksanakan rondaan untuk mengesan kegiatan pencerobohan nelayan asing dan juga aktiviti-aktiviti yang melanggar undang-undang di sekitar perairan Terengganu.

    Maritim Malaysia meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat perlakuan melanggar undang-undang dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999.

  • Pengasas DAP meninggal dunia

    Pengasas DAP meninggal dunia

    PENGASAS parti DAP, Dr Chen Man Hin, 98, meninggal dunia di rumahnya di Seremban, Negeri Sembilan hari ini.

    Memetik laporan Sinar Harian, perkara itu dikongsi Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin di laman Facebooknya.

    Beliau ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan berita sedih itu diterima daripada ahli keluarga mendiang.

    “Mendiang mempunyai lima orang anak dan difahamkan meninggal dunia di samping keluargnya,” katanya.

    Man Hin merupakan Pengerusi DAP sejak 1966 hingga 1999 dan telah dilantik sebagai penasihat seumur hidup yang pertama bagi parti itu.

  • Pengasuh disyaki dera sampai mati kanak-kanak berusia 3 tahun ditahan

    Pengasuh disyaki dera sampai mati kanak-kanak berusia 3 tahun ditahan

    POLIs menahan pengasuh berumur 40 tahun ditahan kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki warga tempatan yang berumur 3 tahun di Mutiara Magna, Kepong semalam.

    Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Sistem MERS 999 berhubung kematian kanak-kanak lelaki tersebut kira-kira pukul 12.01 tengah hari.

    Kematian kanak-kanak itu,kata beliau disahkan oleh pegawai paramedik Hospital Kuala Lumpur yang berada di tempat kejadian.

    “Kanak-kanak itu terbaring di dalam katil kanak-kanak lengkap berpakaian. Pemeriksaan lanjut ke atas fizikal mangsa mendapati terdapat kesan luka di dahi, mulut dan hidung, kesan merah di bawah mata kiri, calar dan lebam pada bahagian belakang badan dan siku tangan kanan.

    “Polis telah melakukan tangkapan ke atas seorang suspek berumur 40 tahun yang merupakan pengasuh kepada mangsa semenjak mangsa dilahirkan untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

    Beh berkata, suspek kini direman selama 5 hari sehingga 20 Ogos untuk siasatan lanjut dan kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

    Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes itu boleh tampil menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul.

  • Pekerja kontrak maut dihempap dinding batu

    Pekerja kontrak maut dihempap dinding batu

    SEORANG pekerja kontrak maut akibat dihempap dinding batu ketika sedang melakukan kerja-kerja pengubahsuaian bangunan di ladang kelapa sawit Jemima & Sungai Sendayan Estate Sdn Bhd, Springhill Port Dickson, petang ini.

    Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson Mohamad Rosman Md Nor berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian pada pukul 3.55 petang sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.

    “Pekerja kontrak itu sedang memecahkan dinding dan kerja-kerja itu juga hampir siap, namun dia tidak sempat melarikan diri, lalu kakinya terhempap runtuhan dinding. Pasukan kami membantu mengeluarkannya daripada runtuhan,” katanya ketika dihubungi.

    Katanya lelaki berusia 53 tahun berstatus pemastautin tetap itu disahkan meninggal di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM), dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    —  BERNAMA

  • LCS: Cadangan penubuhan RCI dibawa ke Kabinet esok

    LCS: Cadangan penubuhan RCI dibawa ke Kabinet esok

    CADANGAN  penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat isu projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) bagi perolehan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan dibawa ke Kabinet, esok.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, ketika menggulung perbahasan usul berkaitan isu itu di Dewan Negara hari ini, berkata beliau memberikan jaminan akan membawa sendiri perkara itu untuk mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

    “Ini tanggungjawab saya untuk bawa ke Kabinet esok dan saya akan lakukan. Kabinet juga perlu persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai penubuhan sesuatu RCI,” katanya.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab cadangan beberapa Ahli Dewan Negara hari ini yang menggesa kerajaan menubuhkan RCI untuk menyiasat isu LCS bagi meneliti segala aspek agar tidak ada pihak yang bersalah terlepas daripada dakwaan.

    Sementara itu, Hishammuddin memaklumkan bahawa Jabatan Perdana Menteri telah memulakan proses menyahklasifikasikan Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) dan dijangka selesai dalam masa terdekat.

    Berhubung laporan pengauditan forensik LCS, katanya, Jemaah Menteri sedang menunggu maklum balas Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Audit Negara memandangkan audit forensik berkenaan dimiliki BNS dan bukannya milik kerajaan.

    Selain itu, beliau juga memaklumkan empat kapal Kapal Misi Pesisir (LMS) telah diterima dan berkemungkinan kumpulan kedua kapal LMS akan dibekalkan dengan senjata supaya isu LCS tidak menjejaskan kedaulatan dan keselamatan pertahanan perairan negara.

  • “Tidak terlintas di hati kecil nak lari daripada mewarisi dosa orang lain” – Hishammuddin

    “Tidak terlintas di hati kecil nak lari daripada mewarisi dosa orang lain” – Hishammuddin

    MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tidak pernah terlintas di hatinya untuk lari daripada tanggungjawab menguruskan kontroversi kes perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS).

    Sehubungan itu beliau menegaskan, mana-mana individu termasuk ahli politik dan beliau sendiri, jika didapati terlibat dengan salah laku tetap akan dihadapkan ke muka pengadilan.

    Tegas Hishammuddin, selaku Menteri Pertahanan ketika ini, beliau komited untuk memastikan isu perolehan LCS diselesaikan dan menyedari keperluan TLDM untuk mendapatkan kapal tempur tersebut.

    “Tidak terlintas di hati kecil saya bahawa nak lari daripada mewarisi dosa orang lain. (Apa yang saya lakukan) ketika ini datangnya daripada tanggungjawab yang saya pikul (sebagai Menteri Pertahanan).

    “Saya telah nyatakan kepada dewan yang mulia ini, bahawa saya memberi fokus tanpa segan silu, pertamanya sama ada projek perlu diteruskan dan hari ini perbahasan di Dewan Negara tidak ada mana-mana pihak yang menyatakan projek ini perlu dibatalkan.

    “Kedua, saya telah menyatakan bahawa siapa yang salah adalah tetap salah,” kata beliau di Dewan Negara, hari ini, lapor Astro AWANI.

    Hishammuddin menjawab usul berkaitan projek pembinaan LCS yang dibawa oleh Senator Lim Hui Ying.

     Hishammuddin berkata, pendakwaan yang dibuat terhadap individu yang terlibat dengan kes perolehan LCS tidak hanya melibatkan pegawai bawahan atau ‘ikan bilis’ sahaja.

    “Nak kata tindakan yang diambi terhadap bekas Panglima TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia), Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor ini merupakan perkara kecil, bukan mudah dan tetap diambil kerana Jawatankuasa Kira-Kira (PAC) sendiri (yang didedahkan dalam laporan).

    “Saya tahu kalau tengok pertimbangan politik, ahli-ahli politikus ini (yang diharapkan) didakwa… yang ‘jerung-jerung’ ini.

    “Tetapi ini tidak bermakna yang didakwa sekarang adalah ‘ikan bilis’ dan ia telah diperakui oleh PAC. Berdasarkan laporan PAC di muka surat 151, di mana disebut semakan dan analisa dokumen dan sejarah transaksi berkaitan menunjukkan wujud penyelewengan, penipuan, dan salah urus tadbir yang melibatkan pegawai-pegawai dan beberapa pegawai-pegawai bawahan BHIC (Boustead Heavy Industries Corporation Bhd),” tegas beliau lagi.

    Hari ini, Ahmad Ramli dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) berkaitan dana syarikat pembuat kapal, Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd.

    Ahmad Ramli, 78, yang juga bekas Pengarah Urusan BNS, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan dan minta dibicarakan

    Dalam masa yang sama, Hishammuddin berkata, dalam tempoh enam bulan ini Mindef akan giat melakukan rundingan dengan pihak pengilang peralatan asal (OEM), vendor serta perbankan sebagai pelan mobilisasi bagi memastikan LCS dapat disiapkan.

    Tegas Hishammuddin, pelan mobilisasi yang dirancang tidak akan melibatkan tambahan kos ketika ini.

    “Dalam LCS pertama melalui pelan kita melihat ke hadapan, saya rasa peruntukan sedia ada mencukupi untuk mereka meyakinkan pada saya, Mindef dan kerajaan bahawa mereka mampu (menyiapkan LCS).

    “Kalau sekiranya dengan 67 peratus kapal dah siap dia tak boleh siapkan, bermakna bagaimana dia boleh yakinkan kepada kita (untuk siapkan) empat buah kapal lagi,” katanya.