Category: Semasa

  • ‘’Najib cuba tangguh kes supaya dilihat ‘tak bersalah’ dalam PRU’’ – Tun M

    ‘’Najib cuba tangguh kes supaya dilihat ‘tak bersalah’ dalam PRU’’ – Tun M

    TUN  Dr Mahathir Mohamad menyindir Datuk Seri Najib Tun Razak kerana cuba menangguhkan rayuan akhir perbicaraan berhubung kes penyelewengan dana RM42 juta milik Syarikat SRC International Sdn Bhd.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, apa yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Pekan itu ialah untuk memastikan beliau masih ‘tidak bersalah’ pada pilihan raya akan datang.

    “Apa dilakukan ialah untuk tangguh semuanya. Jadi pada pilihan raya (Pilihan Raya Umum Ke-15), dia masih ‘tidak bersalah’. Dia dalam rayuan,” katanya lapor Astro AWANI.

    Pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Presiden Gerakan Tanah Air (GTA) di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya, hari ini.

    Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, bagaimanapun pada masa ini semuanya terletak kepada pihak mahkamah.

    Ini kerana, dakwa Dr Mahathir, seluruh dunia tahu bahawa bekas Perdana Menteri itu didapati bersalah di Amerika Syarikat (AS).

    “Anda boleh lihat selepas empat tahun dia dihadap ke mahkamah, (Najib) masih bebas. Semua dunia tahu dan AS telah mendapati dia bersalah.

    ”Tetapi di Malaysia, dia masih memakai tie (tali leher) dan boleh pergi ke Parlimen dan beritahu kerajaan apa nak buat, macam mana nak buat, macam man nak curi duit. Dia adalah penasihat kepada kerajaan,” kata Dr Mahathir dalam nada sinis.

    Ditanya mengenai kebebasan kehakiman di Malaysia, Dr Mahathir berkata, setiap negara mengamalkan sistem kehakiman yang berbeza.

    Di Perancis misalnya, beliau berkata, seseorang itu didapati bersalah sehingga tertuduh berjaya membuktikan dia tidak bersalah.

    “Sistem British ini, anda tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan apabila anda dibuktikan bersalah pun ada perbezaan. Di negara lain walaupun anda merayu dan dibuktikan bersalah, anda masuk penjara dan boleh tunggu sampai rayuan di mahkamah sehingga kata anda tak bersalah.

    “Tetapi di Malaysia ini apabila kamu merayu saja, seolah-olah berkata dia tak bersalah tetapi dia didapati bersalah dan sepatutnya dia jalani hukuman. Tetapi entah macam mana dunia ketawa melihat banduan bukan main tinggi (diberi) layanan… dia boleh nasihat kepada kerajaan bagaimana nak memerintah,” tegas Dr Mahathir lagi.

    Dalam masa sama, Dr Mahathir berpendapat, konsep pengasingan kuasa di negara ini seolah-olah menampakkan perundangan dan eksekutif (pemerintah) adalah bersama.

    “Umpamanya kalau kita kena bayar cukai pendapatan, satu orang itu dapati perlu bayar (lambat). Tetapi kita dapati ada orang yang perlu bayar dan ditekan agar segera (bayar). Tetapi Najib tak payah bayar…,” katanya lagi.

  • Penunggang maut selepas langgar batu penghadang

    Penunggang maut selepas langgar batu penghadang

    SEORANG penunggang motosikal maut selepas melanggar batu penghadang di susur Sierra Mas, Petaling Jaya pukul 9.20 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

    “Siasatan awal mendapati mangsa sedang menunggang motosikal di lorong kiri sebelum terbabas lalu melanggar batu penghadang di tepi jalan.

    “Mangsa berusia 24 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sehubungan itu, saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor R. Navalan di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan.

  • Perhilitan Terengganu pantau kemunculan beruang matahari 

    Perhilitan Terengganu pantau kemunculan beruang matahari 

    JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu sedang memantau kemunculan seekor beruang matahari di kawasan sebuah rumah dipercayai di Kampung Baru Kerteh di Kemaman, seperti dalam sebuah video yang tular sejak semalam. 

    Pengarahnya Loo Kean Seong berkata hasil pemeriksaan anggota jabatan itu yang dihantar ke lokasi mendapati rumah berkenaan berdekatan dengan belukar dan terletak lebih kurang tujuh kilometer dari Hutan Simpan Rasau Kerteh. 
     

    “Semasa tinjauan dilakukan didapati tiada penghuni di dalam rumah tersebut dan kejadian merupakan kali pertama haiwan berkenaan muncul di kawasan itu. Jadi pihak Perhilitan Terengganu akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

    Sehubungan itu, Loo menasihatkan orang ramai supaya segera menghubungi pihak Perhilitan sekiranya terserempak dengan haiwan liar, tidak melakukan provokasi serta segera beredar dari lokasi bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini. 

    Sejak semalam, tular menerusi media sosial dan aplikasi WhatsApp sebuah video berdurasi 11 saat memaparkan kemunculan seekor beruang matahari yang memanjat tembok dan memasuki kawasan sebuah rumah. – Bernama

  • LCS: Rafizi dedah lebih banyak ‘penipuan’, dakwa modus operandi mirip 1MDB

    LCS: Rafizi dedah lebih banyak ‘penipuan’, dakwa modus operandi mirip 1MDB

    TIMBALAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli mengotakan janjinya untuk mendedahkan apa yang didakwa antara penipuan yang berlaku membabitkan beberapa buah syarikat dalam projek perolehan kapal tempur pesisir (LCS) hari ini.

    Menerusi perkongsiannya di beberapa platform sosial media, Rafizi mendedahkan pembabitan sebuah syarikat pesisir luar pantai, Alizes Marine Limited iaitu sebuah syarikat yang didaftarkan di Malta dengan sebuah syarikat subkontraktor dari Perancis, DCNS.

    “Syarikat yang dinamakan adalah Alizes Marine Limited, sebuah syarikat yang ditubuhkan di Malta. Syarikat ini juga dinamakan di dalam siri pendidihan Panama/Paradise Papers yang mendedahkan bagaimana syarikat-syarikat pesisir luar pantai digunakan untuk menyembunyikan wang dari aktiviti-aktiviti yang melanggar undang-undang di seluruh dunia.

    “Setelah menyemak invois-invois dari pembekal-pembekal tertentu, pasukan penyiasat menemui sejumlah bayaran palsu berjumlah RM23.37 juta. Invois dihantar kepada subkon projek LCS untuk perkhidmatan teknikal yang sebenarnya tidak wujud,” dakwa Rafizi dalam kenyataannya yang dipetik Astro Awani.

    Rafizi mendakwa, syarikat itu sebenarnya tidak wujud kerana maklumat alamat yang diberikan adalah palsu setelah dijejaki.

    “Setelah menyemak invois-invois dari pembekal-pembekal tertentu, pasukan penyiasat menemui sejumlah bayaran palsu berjumlah RM23.37 juta. Invois dihantar kepada subkon projek LCS untuk perkhidmatan teknikal yang sebenarnya tidak wujud,” dakwanya lagi.

    Rafizi juga mendakwa bahawa modus operandi yang digunakan seakan mirip dengan apa yang telah berlaku dalam skandal penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Malah jelasnya lagi, Alizes Marine Limited dilantik oleh subkon projek sebagai pembekal alat-alat gantian untuk projek tersebut atas cadangan DCNS selaku kontraktor teknikal yang menyediakan reka bentuk dan spesifikasi teknikal kapal kelas Gowind.

    Dakwa Rafizi juga, siasatan dalaman juga telah menamakan Alizes Marine Limited sebagai salah sebuah syarikat yang banyak menerima bayaran bagi perkhidmatan sedemikian.

    “Siasatan dalaman projek LCS, dalam menamakan Alizes Marine Limited sebagai syarikat yang memindahkan wang dari projek LCS.

    “Alizes Marine Limited dicadangkan untuk menjadi pembekal atas alasan ia sebuah syarikat pembekal pertahanan dari Perancis (menggunakan Alizes Marine France),” dakwanya lagi.

    Pengurusan projek LCS jelas Rafizi, dimaklumkan bahawa Alizes Marine France mempunyai lesen eksport sedunia (global export license) yang memberi kelebihan kepadanya untuk membekalkan alat-alat ganti pertahanan.

    Pengurusan projek LCS turut melantik Alizes Marine atas pertimbangan ia mempunyai lesen eksport sedunia.

    “Maklumat itu sebenarnya palsu kerana Alizes Marine Limited tidak mempunyai sebarang lesen, sebaliknya hanyalah sebuah syarikat pesisir luar pantai tanpa operasi.

    “Walaupun projek LCS menerima invois yang nampak seolah-olah terbit dari Alizes Marine France, bayaran-bayaran sebenarnya dibuat akaun di Singapura yang dimiliki sebuah lagi syarikat lain yang menggunakan nama Alizes Marine Limited (hampir sama tetapi berlainan). Kesimpulan siasatan dalaman secara terang-terang menamakan penglibatan DCNS dalam skim menyelewengkan dana ini,” dakwanya lagi.

    Penyiasat-penyiasat dakwanya turut menyimpulkan bahawa DCNS dan sebuah lagi syarikat dari Perancis adalah sebahagian dari skim yang memindahkan wang dari projek ini yang melanggar Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA).

    Sepanjang tempoh itu juga, jelas Rafizi, subkontraktor projek LCS membayar 43.69 juta Euro (bersamaan sekitar RM210 juta) kepada Alizes Marine France (berdasarkan invois-invois yang dihantar tetapi dibayar ke akaun-akaun lain di bawah Alizes Marine Limited) bagi pembelian alat-alat ganti.

    Sebaliknya, jumlah perolehan yang dilaporkan di dalam penyata kewangan Alizes Marine France yang dikemukakan kepada pihak berkuasa Perancis hanya 3.53 juta Euro (bersamaan sekitar RM18 juta), tambah Rafizi.

    Ini bermakna, sejumlah RM192 juta telah dipindahkan ke akaun syarikat-syarikat pesisir luar pantai yang tidak dapat dijejaki.

    Di akhir kenyataanya juga, Rafizi menuntut agar tiga individu yang perlu bertanggungjawab iaitu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Presiden UMNO yang juga mantan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan (pada ketika itu) Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein untuk menjawab segala persoalan yang telah dikemukakan.

  • Bapa pukul, pijak kepala anak perempuan ditahan

    Bapa pukul, pijak kepala anak perempuan ditahan

    POLIS hari ini menahan seorang lelaki selepas memijak kepala anak perempuannya yang berusia 16 tahun gara-gara enggan mengikut arahan untuk meminjam wang daripada saudara mereka.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sebelum kejadian, berlaku pertengkaran antara suspek dan isterinya di kediaman mereka di Pansapuri Sagaria, Taman Saga, di Ampang, semalam.

    Menurutnya, suspek telah menyuruh ibu mangsa meminta duit dari ahli keluarga lain namun dia enggan menyebabkan suspek marah dan menarik rambut isterinya.

    “Kemudiannya, suspek telah meminta mangsa menemani ibunya namun mangsa enggan menemani ibunya ke rumah ahli keluarga lain untuk meminta wang menyebabkan suspek berang.

    “Akibat berang, suspek mengeluarkan kata-kata kesat terhadap mangsa dan bertindak memukul, menampar serta memijak kepala anaknya itu dalam kejadian sekitar pukul 7.55 malam di kediaman mereka.

    “Pada pukul 4 pagi tadi sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ampang Jaya telah membuat serbuan di tepi Jalan Saga 6A, Taman Saga dan menangkap suspek yang disyaki terlibat kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, semakan mendapati suspek yang berusia lingkungan 50-an tersebut mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan narkotik.

    Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan dan motif kejadian dipercayai akibat salah faham berkenaan masalah kewangan.

    Suspek telah dibawa ke Mahkamah Ampang pagi ini bagi permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, katanya.

    “Kes disiasat bawah Seksyen 323 Kanun keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 yang merujuk kepada sengaja menyebabkan kecederaan,” ujarnya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

  • Bekas peguam dipenjara rakam video wanita mandi

    Bekas peguam dipenjara rakam video wanita mandi

    MAHKAMAH Singapura hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 minggu terhadap bekas peguam selepas mengaku bersalah merakam video seorang wanita yang sedang mandi.

    Timbalan Pendakwa Raya, Yvonne Poon, berkata dalam kejadian 23 November 2020, lelaki berusia 32 tahun itu dikatakan memanjat balkoni jirannya untuk merakam video mangsa mandi melalui tingkap tandasnya.

    Bagaimanapun, sebelum sempat lelaki itu merakam video, mangsa menyedarinya dan menjerit.

    Menurut Berita Harian yang memetik laporan Agensi, akibatnya, lelaki itu melarikan diri ke rumahnya tanpa sempat melakukan rakaman.

    Mangsa memberitahu suaminya dan mereka bersemuka dengan lelaki terbabit, sebelum suspek meminta maaf dan merayu supaya perkara itu tidak diperbesarkan.

    Suami mangsa memeriksa kandungan telefon lelaki itu dan mendapati tiada rakaman lain di dalam telefonnya, namun tetap melaporkan kepada pihak polis.

    Berdasarkan siasatan polis, lelaki itu mengakui sudah merakam video mangsa yang sedang mandi sejak beberapa bulan lalu dan kemudian memadamnya.

    Tindakan dilakukan itu disebabkan tekanan kerja sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

    Sementara itu, peguam bela tertuduh, Shashi Nathan, berkata anak guamnya sudah meninggalkan profesion guaman dan kini bekerja di sebuah syarikat swasta.

    Nama lelaki itu tidak didedahkan atas sebab tertentu dan kini turut menghadapi dua lagi pertuduhan pencerobohan jenayah dan sedang dipertimbangkan untuk dijatuhkan hukuman.

  • Jelajah Kedah, Pulau Pinang untuk ‘kaut’ diesel subsidi

    Jelajah Kedah, Pulau Pinang untuk ‘kaut’ diesel subsidi

    Oleh BADLISHAH MAT

    PERBUATAN seorang pemandu lori yang sering membeli minyak diesel di stesen-stesen minyak sehingga ke Seberang Perai Utara di Pulau Pinang akhirnya terbongkar apabila dia dicekup di Padang Serai, Kulim di Kedah, semalam.

    Lelaki berusia 40 tahun itu juga memandu kenderaan seberat 16 tan itu yang turut memuatkan tangki tambahan berkapasiti sehingga 4,000 liter untuk sekali isian.

    Ketika diperiksa di sebuah stesen minyak di Taman Mahsuri, Padang Serai, pemandu terbabit sudah berjaya mengepam sebanyak 2,719 liter diesel dengan nilai RM5,573.

    Pengarah Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, Affendi Rajini Kanth memaklumkan, minyak yang diisi melalui tangki asal kenderaan itu akan disedut naik menggunakan pam ke tangki tambahan tersebut.

    “Hasil pemeriksaan mendapati pemandu kenderaan gagal mengemukakan permit khas iaitu satu surat kebenaran bertulis yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan KPDNHEP.

    Minyak yang diisi melalui tangki asal kenderaan itu akan disedut naik menggunakan pam ke tangki tambahan tersebut

    “Siasatan lanjut mendapati minyak tersebut dibeli daripada stesen-stesen minyak sekitar Seberang Perai Utara di Pulau Pinang dan Padang Serai di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Affendi, minyak diesel tersebut dipercayai akan dijual semula dengan harga industri kepada pembeli daripada sektor industri atau diseludup ke negara jiran untuk mendapatkan hasil yang lebih lumayan.

    Katanya, kesemua minyak tersebut dirampas termasuk lori terbabit yang membabitkan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM30,573.

    “Kes akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan.

    “Kes turut dibaca bersama di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 iaitu tiada siapa boleh berniaga dengan cara jual borong atau jual runcit apa-apa barang berjadual atau mengilang kecuali di bawah satu lesen yang dikeluarkan di bawah Peraturan 4,” ujarnya.

  • Layanan UMNO terhadap tentera dikesali – Pakatan Harapan

    Layanan UMNO terhadap tentera dikesali – Pakatan Harapan

    PAKATAN Harapan (PH) hari ini menyatakan kekesalan dengan sikap kepimpinan UMNO yang mentadbir kerajaan kerana dikatakan melayan tentera secara ‘take it or leave it’ dengan membuat pesanan kelengkapan ketenteraan tanpa mengambil kira keperluan anggotanya.

    PH dalam kenyataan yang dilapor Berita Harian mendakwa apa yang dipentingkan pimpinan kerajaan diterajui UMNO adalah mendapat projek untuk kroni mereka dan bukannya memenuhi keperluan tentera.

    Menurut PH, pendedahan laporan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) bahawa Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarah reka bentuk kapal tempur pesisir (LCS) ditukar daripada Sigma yang diperlukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kepada Gowind yang dicadang pembekal Perancis adalah contoh jelas tragedi ‘take it or leave it’ yang berlaku.

    “Dengan terdedahnya apa yang berlaku kepada LCS, kami yakin pihak yang paling sedih dengan skandal ini adalah penggunanya iaitu warga TLDM sendiri di samping rakyat negara ini.

    “Kami kesal sikap kepimpinan UMNO sebelum ini yang melayan tentera secara ‘take it or leave it’ apabila mereka memesan kelengkapan ketenteraan tanpa mengambil kira keperluan penggunanya iaitu anggota tentera kita,” kata kenyataan itu.

    Kenyataan bersama itu dikeluarkan Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil; Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching dan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Samad.

    Tambah kenyataan itu jika rakyat memberikan mandat semula kepada PH dalam pilihan raya umum akan datang, gabungan itu berjanji akan menyambung kembali siasatan yang dihentikan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) selepas PH dijatuhkan.

    “Kita juga akan melaksanakan segala strategi yang dikemukakan melalui Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang telah dibentangkan sebelum ini.

    “Kami akan memastikan tentera kita mendapat layanan terbaik dan warganya dibekalkan dengan kelengkapan yang sesuai dan terbaik bagi menjalankan tugas mereka untuk negara,” katanya.

    Kenyataan itu berkata, dalam KPP yang dibentang oleh Menteri Pertahanan ketika PH mentadbir kerajaan, TLDM mengharapkan mereka mempunyai LCS dilengkapi helikopter yang memiliki keupayaan peperangan anti-udara, anti-permukaan dan anti-kapal selam.

    “LCS juga diharapkan dapat menggantikan kapal frigat dan korvet yang telah berusia,” kata kenyataan itu.

    TLDM juga perlu dalam keadaan siap-siaga sepanjang masa untuk mendepani ancaman maritim termasuk daripada sudut kelengkapan dan keupayaan aset-asetnya.

    “Malaysia adalah sebuah negara maritim yang dikelilingi lautan dan sentiasa terdedah kepada ancaman rompakan di laut, pelanunan, penculikan untuk tebusan, penyeludupan barang terlarang, pencerobohan migran dan kecurian hasil laut oleh nelayan asing.

    “Dianggarkan kerajaan rugi hampir RM6 bilion setahun akibat kegiatan perikanan haram dan jenayah lain di domain maritim kita.

    “TLDM berperanan penting menjaga keselamatan di kawasan lautan yang kaya dengan sumber semulajadi dan hidrokarbon yang juga penyumbang utama kepada pendapatan negara,” katanya.

    Semalam Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) mendapati, tadbir urus Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam menguruskan kontrak pembekalan LCS adalah lemah dengan sebahagian klausa kontrak tidak mengambil kira kepentingan kerajaan.

    JKSTUPKK menerusi laporan siasatan yang dinyahklasifikasikan, mendedahkan tadbir urus itu juga tidak mengambil kira peraturan dan prosedur yang sedang berkuat kuasa.

  • Pemandu e-hailing dakwa direman tanpa sebab, diminta bayar duit ‘kawtim’ RM20,000

    Pemandu e-hailing dakwa direman tanpa sebab, diminta bayar duit ‘kawtim’ RM20,000

    SEORANG pemandu e-hailing mendakwa direman 10 hari dan diminta membayar wang ‘kautim’ RM20,000 selepas ditahan polis kerana didakwa membawa dua penumpang pendatang asing tanpa izin (PATI) secara salah pada Mei lalu.

    Kamarul Ariffin Basirun, 49, yang menjadi pemandu e-hailing sejak 2019, mendakwa kenderaannya serta telefon bimbitnya turut disita pihak polis selama 41 hari sehingga menyebabkan beliau hilang punca pendapatan sepanjang tempoh itu.

    Mengimbas kejadian itu, Kamarul Ariffin yang menetap di Semenyih, Selangor, berkata kejadian berlaku pada 18 Mei lalu ketika beliau menghantar dua penumpang terbabit ke Long Beach Resort, Banting.

    “Saya menerima pesanan menerusi aplikasi dikendalikan pengendali e-hailing (EHO) untuk mengambil penumpang di Seksyen 9, Bangi pada pukul 1.40 pagi, tanpa saya mengetahui status mereka PATI atau sebaliknya.

    “Apabila saya sampai ke Long Beach Resort kira-kira jam 2.50 pagi, salah seorang penumpang beritahu mereka tidak cukup wang untuk bayar tambang kerana mereka tidak gunakan kemudahan e-wallet (e-dompet) dan perlu menunggu isterinya datang bersama wang tambang.

    “Kami menunggu dalam kereta kira-kira 10 minit sebelum isterinya sampai dan masuk ke dalam kereta untuk buat bayaran. Bagaimanapun, sepasukan anggota polis menyerbu kenderaan saya, seterusnya menahan saya serta dua penumpang dan wanita terbabit,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Biro Pergerakan Masyarakat Sivil dan Koordinasi MCA di Wisma MCA di Kuala Lumpur, hari ini.

    Kamarul Ariffin mendakwa, walaupun sudah menjelaskan dan menunjukkan bukti bahawa beliau seorang pemandu e-hailing dan menerima pesanan penumpang menerusi aplikasi EHO, pihak polis tetap menangkapnya.

    Seterusnya beliau direman selama 10 hari dan kesnya disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007

    “Bagaimanapun, saya dibebaskan selepas tamat direman dan pada 9 Jun lalu, pegawai penyiasat menelefon dan meminta saya datang ke balai untuk berbincang mengenai kes itu dan saya pergi berjumpanya bersama isteri.

    “Pegawai terbabit membuat tawaran sekiranya saya membayar RM20,000, kes berkenaan tidak akan dibawa ke mahkamah dan menyatakan wang itu untuk dibayar kepada Ketua Balai, Bukit Aman, pendakwaraya dan majistret iaitu RM5,000 setiap seorang.

    “Kami beritahu tidak cukup wang dan pegawai itu ‘kurangkan’ bayaran kepada RM12,000 pakej bermain golf, namun saya menolak tawarannya itu dan beritahu saya bersedia dihadapkan ke mahkamah kerana tahu saya tidak membuat apa-apa kesalahan,” katanya memetik laporan BH Online.

    Kamarul Ariffin berkata, pihaknya dimaklumkan kes itu tidak akan dibawa ke mahkamah dan sudah mendapat kembali kenderaan serta telefon bimbitnya setelah disita selama 41 hari.

    Beliau berkata kejadian itu memberi kesan trauma kepada diri serta isterinya dan berasa dirinya teraniaya.

    “Saya tidak mahu kejadian ini berulang dan menimpa kepada pemandu e-hailing yang lain, justeru saya tampil membuat aduan kepada Biro Aduan MCA agar perkara ini menjadi tauladan kepada orang lain.

    “Ada yang menuduh saya mencari ‘wang tepi’ dengan bersekongkol dengan penyeludup PATI, sedangkan perkara itu tidak benar,” katanya.

    Sementara itu, jurucakap Biro Pergerakan Masyarakat Sivil dan Koordinasi MCA, Ng Kian Nam, berkata tangkapan dan reman dibuat polis ke atas Kamarul Ariffin adalah tidak munasabah dan keterlaluan, walaupun sudah jelas dia hanya menerima pesanan penumpang menerusi aplikasi disediakan EHO.

    “Pemandu e-hailing tiada kuasa untuk memeriksa dokumen pengenalan penumpang yang menaiki kenderaan mereka, mereka tidak sewajarnya dibebankan dengan perkara itu kerana sepatutnya yang perlu meneliti pendaftaran penumpang adalah EHO.

    “Salah laku pegawai penyiasat yang meminta sogokan untuk tidak membawa kes ke mahkamah juga jelas menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Peguam Negara dan badan kehakiman kita,” katanya.

    Kian Nam berkata, pihaknya akan menghantar satu surat kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM mengenai perkara ini dan meminta pegawai penyiasat terbabit disiasat.

    “Kita juga akan bantu Kamarul Ariffin membuat tindakan sivil terhadap PDRM serta syarikat EHO terbabit bagi menuntut pampasan atas kehilangan pendapatan serta trauma yang dihadapinya.

    “Kita juga akan meminta pihak EHO terbabit memberi satu kenyataan rasmi mengenai kejadian itu,” katanya.

  • Kes SRC: Peguam Najib kemuka hujahan bertulis

    Kes SRC: Peguam Najib kemuka hujahan bertulis

    PEGUAM utama Datuk Seri Najib Razak memutuskan untuk mengemukakan hujahan bertulis dalam rayuan akhir bekas Perdana Menteri itu bagi mengetepikan sabitan dan hukuman membabitkan tujuh tuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

    Memetik laporan Berita Harian, sejurus prosiding di Mahkamah Persekutuan bermula pada sebelah petang, peguam Najib, Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan kepada mahkamah, beliau berhasrat mengemukakan hujahan bertulis bagi pihak anak guamnya.

    “Pada prosiding sebelah pagi apabila Yang Amat Arif (Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat) bertanya sama ada saya akan bersandarkan kepada hujahan di peringkat Mahkamah Rayuan dan saya menyatakan ‘ya’.

    “Pada peringkat ini, saya mahu ia direkodkan bahawa saya berhasrat mengemukakan hujahan secara bertulis,” katanya.

    Prosiding rayuan akhir bermula hari ini dengan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram, mengemukakan hujahannya selepas mahkamah diberitahu bahawa Hisyam memilih untuk tidak berhujah, sebaliknya hanya bersandarkan hujahan Najib yang dikemukakan ketika di Mahkamah Rayuan.

    Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, yang mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa serta pengubahan wang haram dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun dan didenda RM210 juta.