Category: Semasa

  • Wanita pakai ihram memang berpakaian lelaki sepanjang masa

    Wanita pakai ihram memang berpakaian lelaki sepanjang masa

    WANITA yang memakai ihram ketika mengerjakan umrah baru-baru ini memang berperwatakan tomboi dan berpakaian lelaki sepanjang masa.

    Perkara itu dimaklumkan oleh seorang penduduk di salah satu kawasan perumahan di Titi Gantong, Bota.

    ‘’ “Dia memang perempuan tetapi sejak dulu berperwatakan tomboi dan berpakaian lelaki sepanjang masa,” katanya  tinggal di kawasan perumahan sama dengan keluarga seorang wanita mengaku lelaki dikenali sebagai ‘Mohd Syahid’ atau ‘Ayid’.

    Wanita berperwatakan lelaki itu mencetuskan kontroversi  apabila memakai ihram ketika mengerjakan  umrah baru-baru ini.

    Memetikan laporan Berita Harian, penduduk yang enggan dikenali itu berkata,  keluarga wanita yang dikenali sebagai Ayid itu sudah belasan tahun tinggal di kawasan tersebut dan mendakwa ketika berpindah ke situ, Ayid berusia kira-kira 13 tahun.

    Katanya, sejak itu dia melihat Ayid tidak pernah memakai pakaian wanita, melainkan memakai selendang tanpa menutup rambut pada hari pengebumian seorang daripada ahli keluarganya.

    “Dari dulu lagi dia tidak pernah berpakaian wanita, sebaliknya hanya memakai seluar dan t-shirt (seperti lelaki). Ketika hari raya juga dia balik ke kampung, tetapi tetap berpakaian seperti lelaki,” katanya.

    Katanya, sejak kes mengenai Ayid tular, keluarganya meninggalkan rumah itu dan mengesahkan ibunya sedih dengan kejadian tersebut.

  • Tiga anggota buskers ditahan miliki, tanam ganja dalam pasu

    Tiga anggota buskers ditahan miliki, tanam ganja dalam pasu

    DUA lelaki dan seorang wanita yang juga ahli sebuah kumpulan pemuzik jalanan (busker) ditahan atas kesalahan memiliki pokok ganja dan mengambil ganja.

    Ketiga-tiga mereka ditahan dalam serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi di Kampung Lembu dekat Kedawang sekitar pukul 1.30 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari, berkata ketiga-tiga suspek berusia antara 24 hingga 26 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Langkawi pada pukul 1.30 pagi.

    “Hasil pemeriksaan di bahagian ruang tamu rumah itu telah menjumpai satu beg yang mengandungi 17 peket plastik lut sinar berisi ketulan mampat daun kering dipercayai dadah jenis ganja seberat 178.14 gram dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk menghisap dadah.

    “Turut dijumpai tiga pasu yang ditanam tumbuhan disyaki pokok ganja di kawasan hadapan rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol (THC).

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2), Seksyen 6B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.– Bernama

  • Treler jatuh dari jejambat

    Treler jatuh dari jejambat

    PENGGUNA jalan raya di Jalan Kuala Kangsar di Ipoh dikejutkan dengan kejadian sebuah treler yang jatuh dari jejambat ke jalan di bawahnya, menyebabkan laluan dari arah pekan Ipoh menghala ke Tasek, terhalang tengah hari tadi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada kira-kira pukul 12.27 tengah hari.

    “Kita segera mengerahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh bagi pemantauan dan sebaik tiba pemandu lori sudah keluar dari kenderaan itu dengan sendirinya,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Beliau berkata, kerja-kerja pengalihan lori dan besi jejambat yang menghalang laluan di kedua-dua arah telah diserahkan kepada pihak yang berkaitan dan tiada kemalangan jiwa atau sebarang kecederaan dilaporkan setakat ini.

    Kedua-dua arah sesak akibat besi jejambat yang menghalang laluan dan tiada kenderan lain yang terlibat dalam kejadian itu.

    Tinjauan Bernama mendapati laluan di kedua-dua arah sesak akibat besi jejambat yang menghalang laluan dan tiada kenderan lain yang terlibat dalam kejadian itu.

    Terdahulu, tular beberapa gambar dan video yang menunjukkan lori terjatuh dari atas jejambat secara melintang dan kenderaan yang melalui jalan berkenaan sempat memberhentikan kenderaan dan terselamat dari dihempap lori serta besi jambatan yang jatuh.

    Warganet yang berada di lokasi ketika kejadian turut berkongsi video dan gambar mengenai kejadian tersebut menerusi media sosial. – Bernama

  • Arak tidak bercukai bernilai lebih RM1 juta dirampas

    Arak tidak bercukai bernilai lebih RM1 juta dirampas

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menahan empat buah kontena berisi minuman keras yang disyaki cuba diseludup masuk ke negeri itu melalui di Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu.

    Menurut Penolong Ketua Pengarah Kastam, Zon Sabah Cheong Yu Min, semua rampasan dianggarkan bernilai RM1,136,413 itu melibatkan tiga kes tahanan minuman keras sejak 11 Ogos lalu.

    Rampasan pertama katanya, dilakukan pada 11 Ogos 2022, kira-kira 9.45 pagi selepas bertindak berdasarkan penemuan imej imbasan mesin pengimbas yang meragukan dan penahanan terhadap sebuah kontena berisi minuman keras yang disyaki cuba diseludup.

    “Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kontena yang ditahan tersebut mendapati sejumlah lebih kurang 18,236 liter minuman keras yang disyaki tidak berkastam dengan anggaran nilai harga sebanyak RM69,458.88, manakala anggaran duti dan cukai sebanyak RM284,139.95.

    “Rampasan kedua pada 16 Ogos 2022, lebih kurang 9.05 pagi, mendapati kedua-dua buah kontena tersebut mengandungi minuman keras pelbagai jenama dengan nilai RM594,410.86.

    “Sementara rampasan ketiga pada 17 Ogos lalu kira-kira 11.10 pagi selepas pihaknya menahan sebuah kontena disyaki digunakan untuk menyeludup masuk minuman keras dengan penemuan 16,632 liter berjumlah RM267,882.63,” katanya dalam sidang media JKDM Zon Sabah, hari ini.

    Beliau berkata, modus operandi bagi ketiga-tiga kes berkenaan adalah mengikrar dagangan import dengan barang lain untuk tujuan menyeludup bagi mengaburi pihak berkuasa.

    “Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (a) Akta Kastam 1967,” katanya memetik laporan Astro Awani.

  • KPN arah siasat ancaman terhadap Ketua Hakim Negara

    KPN arah siasat ancaman terhadap Ketua Hakim Negara

    KETUA Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menyiasat sebarang elemen ancaman dan ugutan terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

    Ancaman terhadap Tengku Maimun dikesan dalam pelbagai medium laman sosial, termasuk aplikasi Twitter dan Facebook sejak tengah malam tadi.

    Acryl Sani berkata, perkara itu adalah satu isu yang serius dan siasatan terhadap kes ancaman berkenaan sedang dilaksanakan walaupun tiada sebarang laporan polis dibuat.

    “Saya sudah mengarahkan JSJ Bukit Aman memulakan siasatan dengan meneliti segala ancaman serta ugutan terhadap Ketua Hakim Negara dan siasatan sama turut membabitkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).

    “Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah semestinya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perkara membabitkan isu keselamatan dan ketenteraman awam yang boleh mengganggu-gugat keamanan,” katanya kepada Berita Harian.

    SEMENTARA itu, Pengerusi Biro Media Sosial DAP Syahredzan Johan menempelak kempen Internet yang menyerang Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

    “Lihatlah betapa terdesaknya mereka?  Serang keluarga ketua hakim dan buat ancaman jelas tentang pertumpahan darah,” tulisnya di Facebook sebentar tadi.

    Syahredzan turut berkongsi tulisan pengguna maya berkaitan ancaman itu serta yang mengaitkan keputusannya dengan suaminya.

  • Pekerja syarikat pembekal cederakan bekas kekasih dihukum penjara, sebat

    Pekerja syarikat pembekal cederakan bekas kekasih dihukum penjara, sebat

    SEORANG pekerja syarikat pembekal dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini, selepas mengaku bersalah mencederakan dua wanita termasuk bekas kekasihnya, Julai lalu.

    Muhammad Syazwan Mohd. Nasir, 26, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan tersebut atas dua pertuduhan di hadapan Hakim Nariman Badruddin, lapor Astro Awani.

    Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas kekasihnya yang berusia 23 tahun dengan menggunakan senjata pisau.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

    Sementara pertuduhan kedua, dia turut didapati sengaja mendatangkan cedera terhadap rakan wanita bekas kekasihnya yang berusia 25 tahun.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda, atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

    Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam mengakui menyesal dengan perbuatan yang dilakukan serta merayu hukumannya diringankan dengan alasan ingin berubah menjadi insan yang lebih baik.

    Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kecederaan yang dialami kedua-dua mangsa adalah serius.

    Hakim Nariman pada penghukumannya kemudian menetapkan hukuman penjara empat tahun dari tarikh ditangkap pada 30 Julai lalu serta satu sebatan bagi Seksyen 326 Kanun kKseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah kepada bekas kekasihnya.

    Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara dua tahun enam bulan bagi satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

    Kedua-dua hukuman bagaimanapun diperintah berjalan serentak daripada tarikh ditangkap.

  • Pensyarah USM, adik dipenjara 3 tahun, denda lebih RM800,000 kes salah guna kedudukan

    Pensyarah USM, adik dipenjara 3 tahun, denda lebih RM800,000 kes salah guna kedudukan

    SEORANG pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) dan adiknya masing-masing dipenjara selama tiga tahun dan didenda sebanyak RM807,475 selepas didapati bersalah atas sembilan pertuduhan membabitkan salah guna kedudukan kira-kira 10 tahun lalu.

    Tertuduh iaitu Prof. Badaruddin Mohamed, 56, dan adiknya, Mustafa Kamal Mohamed, 50, dijatuhi hukuman itu oleh Hakim Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, Zulhazmi Abdullah hari ini selepas pihak pembelaan gagal membuktikan wujudnya keraguan munasabah pada akhir pembelaan terhadap kedua-dua

    Mahkamah turut mengarahkan mereka dipenjara antara satu hingga enam bulan mengikut pertuduhan yang dikenakan jika gagal membayar denda berkenaan.

    Bagaimanapun, Zulhazmi membenarkan hukuman itu ditangguhkan dan kedua-dua tertuduh dibenar diikat jamin sebanyak RM8,000 setiap seorang.

    Ia susulan peguam tertuduh, Shamsul Sulaiman mengemukakan rayuan untuk pihaknya memfailkan notis rayuan bagi kes itu di Mahkamah Rayuan.

    Mahkamah kemudian turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport selain melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan sehingga kes rayuan mereka selesai.

    Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azlan Basri.

    Badaruddin sebelum ini mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama pada Oktober 2018 atas sembilan pertuduhan salah guna kuasa dan kedudukan yang dimilikinya.

    Ia bertujuan mendapatkan suapan dengan meluluskan syarikat milik adik kandungnya iaitu MK Urusniaga (M) Sdn. Bhd. bagi membekalkan pelbagai barangan untuk jabatan tempat dia bekerja membabitkan pembelian barangan seperti kamera dan barangan pejabat yang keseluruhannya bernilai RM160,163.

    Badaruddin didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Komunikasi Strategik dan Sustainable Tourism Research Cluster, USM di Georgetown dekat sini antara September 2011 hingga November 2012.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

    Sementara itu, Mustafa Kamal pula didakwa atas pertuduhan bersubahat di tempat dan lokasi sama mengikut Seksyen 28(1)(c) akta sama.

  • Guru besar tidak mengaku salah tuntut bayaran guna dokumen palsu

    Guru besar tidak mengaku salah tuntut bayaran guna dokumen palsu

    SEORANG guru besar sebuah sekolah di Raub mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini atas tuduhan mengemukakan dokumen palsu dalam tuntutan bayaran pembekalan makanan untuk satu program sekolah, kira-kira lima tahun lalu.

    Tertuduh, Lee Wai Teng, 58, membuat pengakuan tersebut dan minta dibicarakan terhadap tuduhan itu, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu didakwa mengemukakan dokumen tuntutan bayaran pembekalan makanan Program Klinik Sukan Prasekolah bertarikh 21 Oktober 2017 mengandungi butiran matan palsu mengenai pembekalan makan bagi program itu yang sebenarnya tidak dilakukan.

    Tertuduh didakwa menyerahkan dokumen itu pada 6 Disember 2017 melalui seorang pembantu tadbir di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Lui, Raub.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 13 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

    Jika disabitkan kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir mata palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

    Pendakwaan dikemukakan Pegawai Pendakwa SPRM, Kamariah Seman di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

    Tertuduh yang diwakili peguam, Chuah Shyue Chien ditawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

    Dalam rayuan mewakili anak guamnya, Shyue Chien merayu agar jumlah jaminan itu dikurangkan memandangkan tertuduh masih menyara lima anak termasuk ibu yang sudah uzur.

    Menurutnya tertuduh juga memberi kerjasama sepanjang proses siasatan sejak tahun lalu.

    Mengambil kira rayuan tertuduh, Ahmad Zamzani membenarkan jumlah jaminan dikurangkan kepada RM8,000 dengan seorang penjamin.

    Mahkamah turut mengarahkan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM Raub bermula September sehingga selesai perbicaraan kes itu selain perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga selesai bicara.

    Sebutan semula kes itu ditetapkan pada 15 September depan.

  • Tun Dr Mahathir saman Ahmad Zahid berhubung isu ‘kutty’

    Tun Dr Mahathir saman Ahmad Zahid berhubung isu ‘kutty’

    TUN Dr Mahathir Mohamad memfailkan saman terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung isu ‘kutty’ membabitkan bekas perdana menteri itu.

    Dr Mahathir, 97, selaku plaintif memfailkan saman fitnah itu menerusi Tetuan Haidir & Co pada 20 Julai lepas di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Ahmad Zahid, 69, sebagai defendan tunggal.

    Dalam pernyataan tuntutannya, Dr Mahathir mendakwa Ahmad Zahid telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017 yang kenyataan itu diterbitkan semula di YouTube Astro Awani dan beberapa portal berita dalam talian, yang boleh diakses oleh pengguna Internet tanpa sebarang sekatan.

    Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa, kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau bukan dilahirkan sebagai seorang Melayu atau Islam dengan nama asal yang didakwa sebagai ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ dan menggunakan orang Melayu semasa menjadi Perdana Menteri untuk mendapatkan keuntungan politik dan peribadinya selain memperkecilkan rakyat Malaysia berketurunan India Muslim.

    Dakwa plaintif, kenyataan fitnah itu telah menjatuhkan reputasinya sebagai ahli politik yang bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat dan memberi tanggapan bahawa plaintif seorang yang tidak jujur dan amanah, mementingkan diri sendiri, licik dan penuh tipu helah demi mencapai kepentingan peribadi.

    Dr Mahathir menuntut ganti rugi am, teladan dan keterlaluan selain memohon injunksi bagi menghalang defendan atau ejen-ejennya memberi komen, mengulangi atau menyebabkan penerbitan kenyataan fitnah itu selain memohon perintah mahkamah supaya defendan menerbitkan permohonan maaf tanpa syarat secara lisan dan bertulis terhadap plaintif, kos dan relif lain yang sesuai.

    Sementara itu, Ahmad Zahid dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 17 Ogos lepas menerusi Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq, menafikan kenyataan yang dibuat pada 30 Julai 2017 adalah berniat jahat untuk memfitnah dan merendahkan reputasi plaintif di khalayak umum.

    Dakwa Presiden UMNO itu, nama “Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty” merujuk kepada seorang individu berdasarkan maklumat dalam salinan kad pengenalan yang lama selain mendakwa beliau juga tidak mempunyai kawalan ke atas sebarang penerbitan video berhubung kenyataannya di platform media.

    Peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Dr Mahathir ketika dihubungi Bernama hari ini memaklumkan, pada prosiding di hadapan Timbalan Pendaftar Nor Afidah Idris secara e-Review, mahkamah menetapkan 13 Sept ini untuk pengurusan kes selanjutnya.

    “Plaintif juga perlu memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan defendan sebelum atau pada 8 Sept ini,” kata peguam itu.

    — BERNAMA

  • Lelaki ugut bunuh isteri fail cerai ditahan

    Lelaki ugut bunuh isteri fail cerai ditahan

    POLIS menahan seorang lelaki yang mengugut mahu membunuh dan menjadikan isterinya  cacat seumur hidup dalam satu serbuan, semalam.

    Suspek berusia 35 tahun itu ditahan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas Ampang pada pukul 9 malam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak,  lelaki yang mempunyai satu rekod lampau dadah itu ditahan selepas polis menerima laporan daripada wanita terbabit.

    Katanya, sebelum itu, suspek menghubungi mangsa menyatakan ketidakpuashatiannya dengan tindakan wanita tersebut memfailkan cerai.

    “Lelaki itu mengugut mahu membunuh dan menjadikan isterinya cacat seumur hidup. Mangsa yang ketakutan kemudiannya membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohamad Farouk berkata, suspek dibawa ke Mahkamah Ampang hari ini bagi permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. 

    “Jika disabitkan kesalahan suspek boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.