Category: Semasa

  • Jangan perasan kuat – kata Nazri kepada MIC

    Jangan perasan kuat – kata Nazri kepada MIC

    AHLI Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menempelak sikap parti komponen Barisan Nasional (BN), MIC yang mahu kerusi selamat untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

    Mohamed Nazri menegaskan, isu pengagihan kerusi sepatutnya dibincangkan dalam mesyuarat bukan membuat kenyataan terbuka seolah-olah mengugut UMNO.

    Bercakap kepada Astro Awani Mohamed Nazri juga menggesa Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran menilai prestasi parti itu sebelum membuat tuntutan yang tidak masuk akal.

     “MIC kena sedar diri bahawa pengundi India lebih percaya kepada pemimpin kaum itu dalam DAP dan PKR berbanding parti mereka. Menuntut kerusi-kerusi yang selamat ini seolah-olah mahu mengugut UMNO, macam MIC sudah terlalu kuat untuk masuk pilihan raya.

    ”Kena ukur baju di badan sendiri, jangan perasan kuat tetapi hakikatnya masih tidak diterima oleh kaum sendiri. Jangan cuma mahu kerusi selamat tetapi tidak buat kerja dan harapkan jentera UMNO semata-mata untuk menang,” katanya.

    Baru-baru ini, Vigneswaran memberitahu, MIC bercadang untuk bertanding di 12 kerusi Parlimen pada PRU15 dan perkara itu telah diserahkan kepada kepimpinan tertinggi BN untuk dipertimbangankan.

    Beliau berkata, cadangan berkenaan melibatkan bukan hanya kerusi tradisi MIC tetapi juga kawasan yang mempunyai peratusan tinggi untuk parti itu menang.

    Mengulas lanjut, Mohamed Nazri menegaskan, MIC sudah terkubur tanpa sokongan UMNO dan pengundi Melayu di Tapah.

    Tegas beliau, disebabkan masyarakat India sudah tidak mempercayai MIC, maka kerusi yang sebelum ini milik BN kini sudah berpindah ke tangan Pakatan Harapan (PH).

    “Sepatutnya mereka (MIC) kena sedar bahawa pengemis tidak boleh memilih. Ini bukan masa untuk meminta ihsan dari mana-mana pihak tetapi kena tahu kekuatan sendiri.

    “Saya desak pemimpin BN dan UMNO tidak melayan permintaan dari MIC ini”, katanya lagi.

  • Ustaz, 3 warden ditahan kes kematian penghuni pusat pemulihan dadah

    Ustaz, 3 warden ditahan kes kematian penghuni pusat pemulihan dadah

    SEORANG penghuni sebuah pusat pemulihan dadah di Padang Rengas, Kuala Kangsar maut akibat kecederaan parah dipercayai selepas kejadian amuk, pada Rabu.

    Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata pihaknya menerima laporan mengenai kematian lelaki berusia 25 tahun yang beralamat di Shah Alam, Selangor itu daripada doktor bertugas di Hospital Kuala Kangsar.

    Beliau berkata mangsa yang dibawa dengan sebuah kereta tiba di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu pada 8.10 malam dan disahkan meninggal dunia.

    “Pesakit (mangsa) telah dibawa oleh seorang ustaz dan tiga orang warden daripada pusat pemulihan dan doktor itu difahamkan mangsa tidak sedarkan diri sejak kira-kira pukul 7 petang.

    “Mangsa kemudian dibawa ke wad kecemasan bagi ujian COVID-19 dan X-ray keseluruhan tubuh mangsa kerana terdapat kesan luka di bahagian dahi serta kesan lebam di bahagian muka, mata kiri, dada, kedua-dua belah kaki dan tangan mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata hasil temu bual dengan pengasas dan warden pusat itu mendapati mangsa telah bercakap seorang diri dan cuba melarikan diri pada tengah hari kejadian, namun berjaya ditangkap sebelum bertindak cuba mencederakan seorang warden menggunakan sebilah pisau lalu mengamuk.

    Menurut Azizi, warden telah menumbuk bahagian badan mangsa beberapa kali untuk menenangkannya, namun pada pukul 4.45 petang, mangsa cuba melarikan diri sekali lagi dan terjun dari tangga tingkat satu bangunan yang berketinggian kira-kira lapan meter.

    Katanya, selepas berjaya ditangkap semula, mangsa diikat kaki dan tangan menggunakan kain lalu ditempatkan di dalam bilik tetamu, namun mangsa beberapa kali menghentak kepalanya pada lantai dan dinding sehingga berdarah, sebelum warden mendapati mangsa tidak sedarkan diri pada 7.45 malam dan membawanya ke hospital.

    Azizi berkata bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar pagi tadi mendapati punca kematian adalah kecederaan parah pada bahagian dada serta otot-otot dan tisu badan disebabkan trauma tumpul.

    Susulan itu, katanya polis menahan ustaz dan tiga warden berusia lingkungan 20 dan 30an terbabit hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

      — BERNAMA

  • RISDA peruntuk RM800,000 setahun bantu anak pekebun kecil

    RISDA peruntuk RM800,000 setahun bantu anak pekebun kecil

    DATUK Seri Mahdzir Khalid berkata, RISDA menyediakan dana sebanyak RM800,000 untuk Skim Bantuan Pendidikan Yayasan RISDA tahun ini.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar itu, berkata, dana tersebut meliputi Skim Insentif Pelajar RM500 secara one-off, Bantuan Sara Hidup Pelajar RM450 sebulan sepanjang pengajian dan Biasiswa Pelajar RM6,800 hingga RM13,800 setahun kepada pelajar Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM).

    “Melalui yayasan yang sama, RISDA turut menyediakan Skim Bantuan komputer riba UCAM secara one-off dan Anugerah Yayasan RISDA berbentuk dermasiswa bernilai RM2,000 kepada pelajar cemerlang.

    ”Saya yakin, dengan inisiatif yang disediakan ini, ia dapat menjadi pemangkin kepada generasi muda anak-anak pekebun kecil RISDA untuk terus menyambung pelajaran ke tahap yang lebih tinggi serta dapat membantu dalam melancarkan pengajian mereka di UCAM,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) di Alor Gajah hari ini.

    Turut serta Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif, Exco Pendidikan dan Teknologi Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah Zainal.

    RISDA kata Mahdzir, memberi fokus kepada bidang pendidikan sejak 65 tahun lalu lagi dengan melalui pelbagai evolusi selaras dengan perkembangan sistem pendidikan dan keperluan tenaga kerja dalam sektor pertanian negara khususnya perladangan getah.

    ”Bermula dengan Sekolah Latihan Getah pada tahun 1957, RISDA kini mempunyai Kolej Universiti Agrosains Malaysia atau UCAM yang merupakan satu-satunya Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), khusus dalam bidang pertanian.

    “Saya difahamkan UCAM setakat ini telah berjaya melahirkan lebih daripada 10,000 graduan yang bukan hanya berkhidmat di dalam agensi pertanian dan perladangan kerajaan serta swasta, malah tidak kurangnya ada juga yang kini bergelar usahawan dan jutawan.”

    Sementara itu pada majlis yang sama, Mahdzir turut menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman antara pihak UCAM dan tiga rakan industri iaitu GrasiCili Plt, Uwais Cendawan Agrotech Enterprise dan Bitara Emas (M) Sdn. Bhd.

    MOU itu berkaitan program latihan industri dan penempatan kerja graduan UCAM, latihan profesional, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kerjasama komersial.

  • Dua peniaga didakwa tipu urusan sewa rumah dan bilik

    Dua peniaga didakwa tipu urusan sewa rumah dan bilik

    Dua peniaga dihadapkan ke lima Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas 11 pertuduhan menipu berhubung penawaran sewa rumah dan bilik membabitkan kerugian lebih RM50,000, tiga bulan lepas.

    Haslina Kiprawi, 45, dan Afif Fariehin Ramli, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin, Noorelynna Hanim Abd Halim, Nadia Othman, Wong Chai Sia dan Fardiana Haryanti Ahmad Razali.

    Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menipu 11 individu dengan memperdayakan mereka dalam urusan penawaran sewa rumah dan bilik sehingga mendorong kesemua mangsa menyerahkan wang berjumlah RM52,650 melalui pindahan wang secara dalam talian ke dalam akaun bank atas nama Afif Fariehin.

    Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Sky Suites, Pusat Bandaraya Kuala Lumpur (KLCC) di sini antara Mei hingga 13 Ogos lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Zanyuin, Nur Hafiezah Mohamed Fauzi, Nur Diana Mohamad Saad, Nidzuwan Abd Latip dan Pegawai Pendakwa ASP Nom Phot Prackdit manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Erickka Farrise Amir.

    Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM29,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali selain menetapkan 29 Sept ini untuk sebutan semula kes.

    — BERNAMA

  • Tiga remaja 15 tahun pukul rakan ditahan polis

    Tiga remaja 15 tahun pukul rakan ditahan polis

    TIGA remaja ditahan selepas bertindak ‘samseng’ memukul seorang gadis dalam kejadian di tempat letak kenderaan di Buangkok, Singapura.

    Polis telah menerima maklumat membabitkan kejadian di Blok 269 Compaccvale Link pada pukul 9.25 malam Selasa.

    Memetik laporan Channel News Asia, mangsa terbabit tidak mengalami kecederaan, tetapi dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

    Ketiga-tiga suspek masing-masing berusia 15 tahun dan siasatan dijalankan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

    “Mangsa dan suspek dipercayai mengenali antara satu sama lain,” kata polis dalam satu kenyataan, lapor Utusan TV.

    Malah, video pergaduhan terbabit telah tular di media sosial dan memaparkan aksi ketiga-tiga suspek dilihat memukul mangsa berulang kali.

    Suspek juga telah menarik rambut dan menolak mangsa ke lantai beberapa kali.

    Turut kelihatan di dalam klip video dua orang lelaki cuba menghalang perbuatan tersebut namun menerima akibat apabila ditumbuk oleh suspek beberapa kali.

  • Lelaki maut, bayi cedera motosikal dinaiki dilanggar kereta

    Lelaki maut, bayi cedera motosikal dinaiki dilanggar kereta

    SEORANG lelaki maut selepas motosikal ditunggang dilanggar kereta di Jalan Sungai Lalang-Bukit Selambau, dekat Sungai Petani, pukul 7.45 pagi tadi.

    Mangsa yang berusia 40 tahun dan berasal dari Sungai Lalang, Bedong itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Siasatan polis mendapati mangsa menunggang motosikal Honda EX5 manakala Proton Iswara dipandu lelaki warga asing berusia 40 tahun berkenaan turut membawa empat penumpang lain.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, penumpang kereta terbabit terdiri daripada isteri pemandu yang juga warga asing berusia 33 tahun serta tiga anak mereka berusia setahun hingga empat tahun.

    “Siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa dalam perjalanan dari Bukit Selambau manakala kereta terbabit pula datang dari Sungai Lalang.

    “Hasil siasatan lanjut mendapati kemalangan berlaku disebabkan pemandu kereta hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar motosikal mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Harian Metro.

    Menurutnya, penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi manakala bayi berusia setahun yang juga penumpang kereta mengalami luka di kepala.

    “Pemeriksaan mendapati pemandu kereta yang bekerja sebagai tukang rumah itu tiada lesen memandu dan pasangan suami isteri berkenaan juga tidak mempunyai dokumen.

    “Siasatan kita juga mendapati cukai jalan dan insuran kenderaan dinaiki mereka sekeluarga juga sudah tamat tempoh,” katanya.

    Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera juga dihantar ke hospital sama untuk rawatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Rayuan terakhir Najib: Pendakwaan selesai hujah, pembelaan pilih tidak berhujah

    Rayuan terakhir Najib: Pendakwaan selesai hujah, pembelaan pilih tidak berhujah

    PIHAK pendakwaan hari ini selesai mengemukakan hujahannya dalam rayuan terakhir Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara ke atasnya bagi kesalahan penyelewengan RM42 juta milik dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya.

    Timbalan Pendakwa Raya ad hoc Datuk V. Sithambaram mengakhiri hujahannya pada 4 petang di hadapan panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

    “Kami (pendakwaan) selesai mengemukakan hujahan kami,” kata Sithambaram.

    Tengku Maimun kemudian menetapkan 23 Ogos untuk meneruskan pendengaran rayuan itu.

    Ketika ini, peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik berdiri dan berkata: “Saya tidak akan membuat sebarang penghujahan.”

    Hakim Tengku Maimun: Bukan secara lisan pun?

    Hisyam: Bukan secara lisan.

    Tengku Maimun: Tidak mengapa. Kami akan tunggu… pada Selasa (23 Ogos) dan kita tengok macam mana. Kamu ada tiga hari (Sabtu, Ahad dan Isnin). Jangan beritahu kami bahawa kamu tidak bersedia untuk berhujah bagi mana-mana 94 alasan dalam petisyen rayuan. Tidak mengapa jika tidak bersedia untuk memfailkan hujahan bertulis. Boleh berhujah secara lisan.

    Hisyam: Saya tidak akan membuat hujahan.

    Tengku Maimun: Terpulang kepada kamu. Dalam rekod kamu adalah peguam. Kita tunggu Selasa ini.

    Sebelum pihak pendakwaan menyelesaikan hujahannya, Hisyam memohon penangguhan prosiding rayuan itu sehingga Khamis ini kerana mempunyai kes lain pada Selasa dan Rabu.

    Ketua Hakim Negara itu sekali lagi dengan tegas berkata seperti yang telah dinyatakan berkali-kali, tiada penangguhan ke atas rayuan itu.

    “Kita akan meneruskan seperti yang dijadualkan,” katanya.

  • Pemandu lori ditahan, cubaan seleweng 1,000 liter diesel gagal

    Pemandu lori ditahan, cubaan seleweng 1,000 liter diesel gagal

    SEORANG lelaki ditahan bersama sebuah lori yang ditutup dengan kanvas dipercayai terbabit dalam kegiatan penyelewengan diesel di sebuah stesen minyak Jalan Sultan Iskandar Shah, Ipoh, pada petang semalam.

    Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Perak (KPDNHEP), Saifullizan Kamarul Zaman berkata pemandu lori berusia 24 tahun itu ditahan ketika sedang mengisi minyak diesel di stesen minyak tersebut pada 2.30 petang.

    Menurutnya, operasi itu adalah hasil pemantauan harian yang dijalankan oleh anggota penguat kuasa di stesen minyak sekitar Ipoh.

    “Hasil pemeriksaan mendapati sebuah lori bertutup kanvas sedang mengisi minyak diesel di stesen minyak tersebut, terdapat empat tangki fiber yang disyaki berisi minyak diesel disimpan di dalam lori berkenaan.

    “Pemeriksaan lanjut juga mendapati saluran tangki asal minyak lori itu telah diubah suai dan disambungkan dengan empat buah tangki fiber berkenaan.

    “Semakan juga mendapati pemandu lori itu tidak mempunyai sebarang dokumen atau permit yang sah bagi membeli minyak diesel,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat, lapor Astro Awani.

    Oleh itu, pasukan pegawai KPDNHEP Perak telah mengambil tindakan dengan menyita hampir 1,000 liter minyak diesel dari lori berkenaan di lokasi tersebut.

    Saifullizan berkata kesemua barang rampasan ini dianggarkan bernilai RM45,850 manakala pemandu lori itu telah ditahan untuk diambil keterangan dan siasatan lanjut.

    “Pemandu kenderaan ini tidak mempunyai sebarang kebenaran bertulis untuk membeli barang kawalan petrol/diesel dalam kuantiti yang banyak daripada Pengawal Bekalan Malaysia.

    “Dianggarkan hampir 1,000 liter disyaki diesel telah diisi ke dalam tangki-tangki berkenaan.

    “Selain itu lori berkenaan dipercayai mengumpul minyak diesel dengan mengisi di beberapa stesen sebelum dijual kepada pihak industri,” katanya lagi.

    Tambahnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

    Beliau turut menegaskan Kementerian melarang pembelian diesel dan petrol menggunakan tong, botol plastik atau mana-mana bekas melebihi 20 liter tanpa kebenaran Pegawai Bekalan.

  • Isu tuntutan harta pusaka Jamaludin Jarjis diteruskan

    Isu tuntutan harta pusaka Jamaludin Jarjis diteruskan

    MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan ibu Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Mohd Jarjis untuk memasukkan tiga juta saham syarikat Rantai Wawasan Sdn Bhd dalam senarai harta pusaka peninggalan anaknya.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Azizah Nawawi, Datuk P. Ravinthran dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali juga mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Aminah Abdullah untuk mengisytiharkan bahawa enam juta saham dalam syarikat Alpine Motion Sdn Bhd dan dua saham dalam syarikat Ivory Insight Sdn Bhd adalah sebahagian daripada harta pusaka peninggalan Allahyarham.

    Hakim Mohd Nazlan yang membacakan keputusan sebulat suara pada prosiding dalam talian hari ini, menolak rayuan yang dikemukakan oleh dua anak Jamaluddin, Ikhwan Hafiz Jamaludin dan Nur Anis Jamaludin serta rayuan balas oleh Aminah.

    Panel itu yang diketuai Hakim Azizah memerintahkan kedua-dua pihak menanggung kos masing-masing.

    Aminah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk memasukkan saham Alpine Motion dan Ivory Insights sebagai sebahagian daripada harta pusaka anaknya manakala cucunya merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memasukkan saham Rantai Wawasan dalam senarai harta pusaka bapa mereka.

    Hakim Mohd Nazlan yang membacakan alasan penghakiman berkata, saham Rantai Wawasan harus dimasukkan ke dalam harta pusaka Jamaluddin sebagai surat ikatan amanah yang diwujudkan pada 2009 ketika Allahyarham masih hidup adalah sah manakala surat ikatan amanah yang diwujudkan pada 2015 oleh anak-anak Jamaluddin selepas kematian arwah, adalah terbatal dan tidak sah.

    Mengenai saham Alpine motion dan Ivory Insights, beliau berkata bukti menunjukkan saham berkenaan tidak pernah menjadi milik Jamaluddin dan tidak ada bukti pembayaran yang dibuat oleh Allahyarham untuk saham itu.

    Dalam saman yang difailkan pada 3 Januari 2019, Aminah, 87, mendakwa Nur Anis dan Ikwan Hafiz sebagai pentadbir bersama harta pusaka peninggalan Jamaludin, sudah gagal memasukkan saham ketiga-tiga syarikat sebagai harta pusaka dalam senarai aset di dalam surat kuasa mentadbir selepas Allahyarham meninggal dunia pada 4 April 2015, dan juga gagal memasukkan saham itu sebagai liabiliti sejak 6 Julai 2017.

    Aminah menuntut tiga juta saham Rantai Wawasan bernilai RM1.44 bilion, enam juta saham Alpine Motion bernilai RM233 juta dan dua saham Ivory Insights bernilai RM80 juta untuk dimasukkan ke dalam harta pusaka anaknya.

    Dalam pernyataan tuntutannya, Aminah mendakwa cucunya gagal memasukkan saham tiga syarikat – Rantai Wawasan, Alpine Motion dan Ivory Insight – sebagai sebahagian daripada harta pusaka si mati dengan niat untuk menafikan hak dan kepentingannya sebagai benefisiari.

    Jamaluddin yang lebih dikenali sebagai JJ, adalah bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, terbunuh dalam nahas helikopter pada 4 April 2015.

    Peguam Wan Zafran Pawancheek dan Pawancheek Marican mewakili Aminah manakala sepasukan peguam diketuai Saheran Suhendran mewakili Nur Anis dan Ikhwan Hafiz. – Bernama

  • Sampan hanyut berisi dadah ditemukan

    Sampan hanyut berisi dadah ditemukan

    PASUKAN Polis Marin (PPM) Langkawi Wilayah Satu menemukan satu sampan kayu hanyut di perairan Kuala Perlis, Kangar, pada pukul 2 pagi tadi.

    Penemuan itu sekali gus membongkar cubaan sindiket pengedaran dadah menyeludup tujuh bungkusan ketulan dadah jenis ganja bernilai RM17,500.

    Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata, PPM tersebut mengesan sebuah sampan kayu tidak bernombor pendaftaran sedang hanyut tanpa dikemudi di kedudukan 0.5 batu nautika dari Pulau Brasmana di sempadan maritim Malaysia-Thailand.

    “Pemeriksaan dilakukan mendapati terdapat satu bungkusan guni berwarna putih dalam sampan itu.

    “Anggota polis marin kemudian menjumpai tujuh bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 7,000 gram disimpan dalam guni putih berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

    Katanya, selepas dipastikan tiada sesiapa sekitar kawasan perairan itu, sampan kayu berkenaan ditunda pulang ke Jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Kuala Perlis untuk siasatan lanjut sekitar pukul 2.30 pagi.

    “Jumlah keseluruhan anggaran harga rampasan dadah adalah bernilai RM17,500.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Surina menyeru kepada orang ramai mempunyai sebarang pertanyaan dan maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Perlis di talian04-987 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.