Category: Semasa

  • Remaja lelaki curi wang majikan buat beli aksesori motosikal

    Remaja lelaki curi wang majikan buat beli aksesori motosikal

    SEORANG remaja lelaki ditahan kerana disyaki mencuri wang majikannya di sebuah premis cuci kereta di Ampang Waterfront, Kuala Lumpur, pada Selasa lalu.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berusia 17 tahun itu ditahan di Lembah Permai pada pukul 9.50 malam Khamis.

    “Kita menahan suspek susulan laporan yang dibuat oleh pengurus premis cuci kereta itu mendakwa wang hasil perniagaan sebanyak RM815 yang disimpan dalam bekas kotak berzip telah hilang,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Mohamad Farouk berkata, pihaknya turut merampas pakaian yang digunakan semasa kejadian serta sebuah motosikal jenis Modenas.

    “Suspek dipercayai bekerja di premis cuci kereta itu sejak dua bulan lalu. Wang curi berkenaan telah digunakan suspek untuk membeli aksesori motosikal,” katanya.

    Menurutnya, suspek telah direman selama empat hari bermula semalam hingga Isnin bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

  • Polis Johor tumpas sindiket seludup rokok, rampasan RM1.8 juta

    Polis Johor tumpas sindiket seludup rokok, rampasan RM1.8 juta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SATU sindiket penyeludupan rokok putih tumpas selepas polis menahan dua lelaki dan sebuah lori di Taman Fasa Indah, Jalan Kota Tinggi-Sungai Rengit, Kota Tinggi, pukul 3.20 pagi tadi.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sebelum ditahan dua lelaki tempatan yang ditahan itu berusia 31 dan 47 tahun berada dalam keadaan mencurigakan.

    “Seorang daripadanya cuba menghalang pihaknya semasa menjalankan pemeriksaan.

    “Hasil pemeriksaan dalam lori tersebut menemukan kotak-kotak berisi rokok seludup yang tidak dibayar cukai. Dalam serbuan itu pihak polis merampas lori berkenaan, 244 kotak mengandungi 12,200 karton rokok jenama Conept Blend.

    “Jumlah keseluruhan rampasan dalam operasi tersebut berjumlah RM1,830,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, kes disiasat di bawah 135(1) (d) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000, yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    Tambahnya, kes juga disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

    Polis Johor berharap agar masyarakat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan menerusi Urusetia Task Force Kontinjen

    Johor, Superitendan Nur Azlan M Kudus iaitu 019-2396318 atau mana-mana balai berdekatan.

  • Wanita berihram kerjakan umrah masih dicari – Idris Ahmad

    Wanita berihram kerjakan umrah masih dicari – Idris Ahmad

    SIASATAN berkaitan tindakan seorang wanita yang didakwa mengerjakan umrah dengan mengenakan pakaian ihram lengkap seperti lelaki masih dijalankan termasuk bekerjasama dengan Jabatan Imigresen.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata pihaknya tidak mendapat maklumat lengkap sama ada individu tersebut sudah pulang ke Malaysia atau belum.

    “Saya tak ada maklumat. Masih lagi semak maklumat ke mana dia pergi sebab dia ke sana (umrah) bukan dengan agensi tetapi secara DIY (diurus sendiri).

    “Kita juga nak tahu status dia ini macam mana,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan dewan besar dan upacara pecah tanah Pondok Kitab Turath di Kompleks Pendidikan Al Rahmat, Duyong di Melaka hari ini.

    Menurutnya sebelum ini pihaknya telah mendapatkan bantuan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk menyiasat kesahihan perkara tersebut sebelum tindakan tegas seterusnya diambil.

    Bantuan daripada kedua-dua kementerian tersebut adalah susulan individu tersebut didakwa menggunakan visa pelancongan dan bukan menerusi khidmat agensi umrah.

    Terdahulu, pada 12 Ogos media melaporkan tindakan tegas menanti individu wanita itu berikutan tular di Twitter mengenai dia yang berada di Mekah dalam keadaan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah lelaki.

    Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai penganjuran konsert yang silih berganti, Idris menjelaskan sepatutnya penganjuran sebegitu tidak perlu dilakukan.

    “Sepatutnya konsert tidak perlu ada. Bukan anti hiburan tetapi cukuplah dengan apa yang kita ada.

    “Kita baru saja mengalami pandemik dan Alhamdulilah, Allah tarik semula penyakit itu tetapi tiba-tiba kita buat macam ini, jadi amat malanglah. Dalam keadaan ekonomi yang teruk ini pun rasanya tidak sesuai sebab (penganjuran dan tiket) konsert itu kena bayar banyak,” katanya. – Bernama

  • Arkitek libat tuntutan palsu RM3 juta ditahan SPRM

    Arkitek libat tuntutan palsu RM3 juta ditahan SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang arkitek kerana disyaki membuat tuntutan palsu berjumlah anggaran RM3 juta berkaitan sebuah projek pembangunan di pantai timur.

    Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan susulan penahanan empat individu termasuk seorang pengurus syarikat hartanah berhubung kes sama pada 16 Jun lalu.

    Sumber berkata, lelaki tersebut ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 6 petang semalam.

    “Dia disyaki terlibat dalam tindakan mengemukakan tuntutan palsu bagi projek yang keseluruhannya bernilai lebih RM300 juta sedangkan kerja-kerja tidak dilaksanakan.

    “Suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Selasa setelah Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Sabtu,” ujarnya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

  • Sewa guna peranti kurangkan beban pentadbir sekolah

    Sewa guna peranti kurangkan beban pentadbir sekolah

    PENDEKATAN sewa guna (lease to use) bagi perolehan komputer riba dan peranti teknologi lain untuk kegunaan sekolah dilihat dapat mengurangkan beban pelbagai pihak bagi menyelenggara peralatan itu sekiranya berlaku kerosakan.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, perkara itu antara transformasi Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengoptimumkan penggunaan komputer riba dan peranti berkaitan seperti projektor dan mesin pencetak selaras dengan keperluan pendidikan digital di institusi pendidikan.

    “Pembekal akan baiki sekiranya berlaku kerosakan peranti dan ia dapat memberi satu kelegaan kepada sekolah di seluruh negara khususnya pentadbir sekolah untuk tangani masalah kerosakan komputer,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Transformasi Pendidikan: Pemerkasaan ICT di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 18(1) di Putrajaya, hari ini.

    Beliau berkata, pendekatan yang sedang giat dilaksanakan itu telah bermula awal tahun ini dengan jangkaan tamat tahun hadapan serta terbahagi kepada tiga fasa dengan fasa pertama yang melibatkan 3,910 sekolah di seluruh negara hampir 90 peratus selesai dibekalkan dan dipasang peralatan teknologi.

    Fasa kedua yang melibatkan 3,455 sekolah dijangka selesai pada awal 2023 manakala fasa ketiga akan tamat pada penghujung 2023 dengan 3,400 sekolah akan menerima manfaat menerusinya.

    Radzi berkata ketiga-tiga fasa tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM1.3 bilion manakala pembekalan peralatan dibuat secara pembahagian zon tertentu agar vendor dapat membaik pulih peranti secara pantas sekiranya terdapat kerosakan.

    Selain itu, beliau berkata, KPM juga akan melaksanakan projek rintis kelas hibrid melibatkan 110 sekolah merangkumi 550 kelas dengan menyediakan infrastruktur capaian internet berkelajuan tinggi dalam bilik darjah.

    Dengan adanya kelas hibrid, sekolah berupaya mengatur pengajian silang dengan sekolah lain dan dapat mengukuhkan penyampaian pengajaran dan pembelajaran sedia ada.

    “Kita dalam peringkat akhir proses pemilihan sekolah dan harap dapat dilaksanakan pada November depan,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Radzi berkata, KPM kini di peringkat akhir bagi menyiapkan rangka Dasar Pendidikan Digital dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan dijangka dibentangkan di kabinet dalam masa terdekat.

    “Hasrat KPM adalah untuk melihat semua sekolah di seluruh negara dihubungkan dengan internet yang lebih laju dengan semua tempat di dalam sekolah itu mempunyai akses kepada internet, bukan hanya di bilik guru, bilik pentadbiran dan pusat sumber,” katanya.

    Pada program sama, Radzi turut menyerahkan peranti kepada 25 sekolah di Putrajaya di bawah Projek Perkhidmatan Sewaan Perkakasan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Secara Sewa Guna. – Bernama

  • Dua wanita maut tersepit

    Dua wanita maut tersepit

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA wanita maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kereta berhampiran Felcra Dusun Panti, Kota Tinggi, hari ini.

    Kemalangan kira-kira pada pukul 10.30 pagi itu melibatkan Proton Saga dinaiki empat orang dan Proton Wira dianiki tiga orang.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Ibrahim Wahid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian tersebut pada jam 10.51 pagi.

    “Susulan itu seramai 10 anggota dari BBP Kota Tinggi dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga dan kereta jenis Proton Wira.

    “Terdapat empat mangsa Proton Saga dan Proton Wira telah berjaya keluar daripada kenderaan sebelum ketibaan pihak bomba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Kedua-dua mangsa yang tersepit dikeluarkan menggunakan peralatan ‘resque tools’ sebelum disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi.

    Katanya, empat mangsa yang cedera itu ialah Mohd Fahmi Aizat Mokhtar, 24, yang berada dalam Proton Wira dan Junaidah Muhmad, 48, Liqwan Shah Nasution Lindung Saputra, 26, dan Lizwan Sharel Nasution Abdullah, 18, dalam kereta Proton Saga.

    “Sementara dua mangsa lagi iaitu Titah Abd Ghani, 58, dan Samsiah Abdullah, 21, yang berada dalam Proton Wira tersepit di tempat duduk masing-masing,” katanya.

    Pihaknya mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit menggunakan peralatan ‘resque tools’ sebelum dua wanita tersebut disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi.

    Katanya, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kota Tinggi menggunakan EMRS serta Ambulan Kementerian Kesihatan (KKM).

    Mayat pula katanya, diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut, operasi tamat pada pukul 12.15 tengah hari.

  • OKU hilang sejak semalam ditemukan lemah, kelaparan

    OKU hilang sejak semalam ditemukan lemah, kelaparan

    LELAKI Orang Kurang Upaya (OKU) yang dilaporkan hilang di hutan dekat Kampung Kituau, di Penampang, malam tadi ditemui selamat hari ini.

    Pasukan bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menemui pemuda 39 tahun itu kira-kira 200 meter dari rumahnya pada pukul 9.30 pagi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mangsa ditemui berdasarkan kesan tanah yang dipercayai dikoreknya.

    “Dia lemah dipercayai akibat kelaparan selepas tidak makan sejak tengah hari semalam.

    “Pemeriksaan kesihatan dilakukan sebelum mangsa dihantar pulang ke rumahnya dan operasi ditamatkan pada 9.45 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Mangsa disedari hilang oleh ahli keluarganya pada 3 petang semalam, yang kemudian membuat laporan untuk mencarinya.

    Usaha mencari OKU itu turut dibantu penduduk kampung namun, ditangguhkan pada 11.30 malam selepas gagal temui apa-apa. Operasi disambung semula 7.30 pagi tadi.

  • 110 sekolah laksana projek rintis kelas hibrid

    110 sekolah laksana projek rintis kelas hibrid

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan melaksanakan projek rintis membabitkan 550 kelas hibrid di 110 sekolah terpilih di seluruh negara bermula November depan.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, berkata ia adalah sebahagian pelan transformasi KPM bagi memperkasa pendidikan digital negara.

    “Sebanyak 110 sekolah di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak akan dipilih dengan setiap lima bilik darjah sekolah terbabit akan ditingkatkan sambungan internet untuk membolehkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dilaksanakan secara hidbrid.

    “Bermakna guru boleh mengajar dalam bilik darjah dan pada masa sama murid boleh terbabit sama dalam proses itu dengan aktif menerusi penggunaaan komputer riba dan skrin pintar di dalam kelas.

    “Pada masa sama juga, murid di sekolah lain dapat akses kepada pengajaran yang dilaksanakan oleh guru terbabit.

    “Dalam konteks ini ia memudahkan perkongsian pengajaran ini, yang mana guru di sekolah tertentu ingin membawa murid mereka mengikuti pembelajaran atau topik tertentu dengan guru lain di sekolah lain,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Transformasi Pendidikan: Pemerkasaan ICT di SMK Putrajaya Presint 18(1), Putrajaya, hari ini, lapor BH Online.

  • Rais Yatim sifatkan ancaman kepada hakim tindakan melampau

    Rais Yatim sifatkan ancaman kepada hakim tindakan melampau

    YANG Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim menyifatkan tindakan memberi ancaman kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat baru-baru ini merupakan perkara amat menggerunkan.

    Tindakan itu jgua katanya, disifatkan sebagai melampau dan belum pernah berlaku dalam sejarah negara.

    “Ancaman sebegitu tidak pernah wujud sebelum ini termasuk dalam kes yang membawa pesalah ke tali gantung.

    “Berita tentang adanya pihak mengugut hakim amat menggerunkan.

    “Tak pernah dalam sejarah negara ini gertak dan ancaman dihalakan kepada hakim walaupun dalam kes-kes tali gantung.

    “Yang berlaku kini sudah melampau,” ciap beliau di Twitternya, lapro Astro Awani, hari ini.

    Beliau yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Jelebu menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat.

    Terdahulu, media melaporkan sebarang elemen ugutan atau ancaman terhadap Tengku Maimun akan dijalankan siasatan dengan segera.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, biarpun belum terdapat sebarang laporan yang dibuat namun perkara itu adalah satu isu yang serius.

    Beliau berkata, pihaknya menerusi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) akan mengesan sebarang ancaman atau ugutan terhadap Tengku Maimun di dalam pelbagai medium laman sosial termasuk aplikasi Twitter dan Facebook.

  • Hentikan serangan peribadi terhadap badan kehakiman – Faizal Azumu

    Hentikan serangan peribadi terhadap badan kehakiman – Faizal Azumu

    DATUK Seri Ahmad Faizal Azumu menggesa agar dihentikan serangan peribadi terhadap Hakim Mahkamah Persekutuan yang mengendalikan prosiding rayuan melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes penyelewangan dana SRC International Sdn Bhd.

    Menurut Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, tindakan tersebut tidak beretika dan mengganggu badan kehakiman serta mengundang persepsi negatif selain memalukan nama baik negara.

    Katanya, serangan peribadi terhadap para hakim dan ahli keluarga mereka turut dibimbangi mewujudkan keadaan tidak tenteram termasuk mengancam kedaulatan undang-undang.

    “Saya yakin, serangan ini sengaja dilakukan bagi mengganggu kebebasan badan kehakiman negara dan secara peribadi saya berpandangan badan kehakiman perlu berfungsi sebagai benteng terakhir dalam menegakkan keadilan.

    “Maka, adalah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia untuk memastikan maruah institusi kehakiman dipelihara dengan rapi.

    “Walaupun demokrasi tidak menghalang hak rakyat daripada bersuara dan memberi kritikan, namun ia tidak bererti mana-mana individu boleh melakukan serangan secara peribadi, apatah lagi disulami dengan niat jahat untuk kepentingan pihak tertentu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Ancaman terhadap Hakim Mahkamah Persekutuan Tengku Maimun Tuan Mat dikesan dalam pelbagai platform media sosial, termasuk aplikasi Twitter dan Facebook sejak tengah malam tadi.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani sudah pun mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menyiasat sebarang elemen ancaman dan ugutan terhadap Tengku Maimun.

    Mengulas lanjut, Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, badan kehakiman seharusnya diberi ruang dan masa bagi memastikan keadilan serta kebenaran dapat dilaksanakan demi kedaulatan undang-undang yang dijunjung.

    “Setiap daripada rakyat negara ini juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan integriti institusi badan kehakiman senantiasa dipertahankan,” ujarnya sebagaimana dilaporkan SatuBerita.