Category: Semasa

  • Terowong bawah laut: Pendakwa berhujah syarikat bayar RM74.8 juta

    Terowong bawah laut: Pendakwa berhujah syarikat bayar RM74.8 juta

    PIHAK pendakwaan dalam kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, syarikat Ewein Berhad membayar sebanyak RM74.8 juta untuk pemberian dua bidang tanah yang dikaitkan dengan projek terowong bawah laut Pulau Pinang dalam tempoh antara 2012 dan 2015.

    Timbalan pendakwa raya (DPP) Ahmad Akram Gharib membangkitkan perkara itu ketika perbicaraan kes rasuah membabitkan projek infrastruktur bernilai RM6.3 bilion tersebut.

    Semasa pemeriksaan utama terhadap bekas Pengarah Tanah dan Galian Pulau Pinang, Akmar Omar, pendakwa raya bertanya soalan kepada saksi pendakwaan ke-35 itu mengenai pembayaran oleh Ewein, yang terlibat dalam projek berkenaan.

    Soalan terhadap Akram berkisar mengenai apakah dia sedar mengenai transaksi berkenaan, yang mana dia kemudian menjawab tidak tahu.

    DPP kemudian mendakwa pembayaran pertama dibuat pada 18 Nov 2013 sebanyak RM12.5 juta, manakala bayaran akhir sebanyak RM48.2 juta dan RM5 juta pada 30 Mac 2015, dengan jumlah keseluruhan pembayaran sebanyak RM74.8 juta.

    Akram: Pada masa itu, tanah itu dimiliki oleh siapa?

    Akmar: Kerajaan negeri.

    Apabila Akram bertanya kepada Akmar sama ada mana-mana syarikat lain menerima layanan istimewa sedemikian, saksi itu menjawab “sebelum kes ini, tiada”.

    Pada 5 Oktober 2021, dilaporkan bahawa pengasas dan pengerusi eksekutif Ewein, Ewe Swee Keng ditemui mati di luar apartmennya.

    Pada 16 Disember tahun yang sama, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang membicarakan kes rasuah Lim membenarkan keterangan Ewe yang direkodkan oleh SPRM sebelum kematiannya diterima sebagai bukti dalam kes itu.

    Bagaimanapun hari ini semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela utama, Gobind Singh Deo, Akmar bersetuju bahawa ia bukan layanan istimewa kerana kerajaan negeri memberi tumpuan kepada projek itu kerana ia melibatkan infrastruktur utama.

    Saksi pendakwaan itu bersetuju bahawa projek itu memerlukan perhatian khusus dan kebenaran khas kerana ia merupakan projek besar.

    Gobind: Projek ini seperti ini tidak ada projek lain (yang serupa) di Pulau Pinang?

    Akmar: Betul.

    Gobind: Memandangkan ini projek besar yang memerlukan perhatian khusus, sudah tentu kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada projek ini?

    Akmar: Betul.

    Gobind: Ini bukan layanan istimewa tetapi semata-mata untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek?

    Akmar: Ya, betul. Ia adalah untuk pembangunan oleh kerajaan.

    Perbicaraan di hadapan hakim Azura Alwi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dijangka disambung pada Khamis minggu ini.

    Empat pertuduhan rasuah

    Lim sebelum ini menghadapi empat pertuduhan rasuah.

    Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa mengikut Seksyen 16(A)(a) dan Seksyen 23 Akta SPRM kerana menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu untuk menerima suapan RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan terowong bawah laut bernilai RM6.3 bilion di negeri itu.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di TIngkat 28, Pejabat Ketua Menteri di Komtar, George Town, Pulau Pinang, antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

    Sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM.

    Bagi pertuduhan kedua, Lim didakwa atas kapasitinya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu, meminta daripada Zarul sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang diperolehi syarikat itu sebagai balasan membantu mendapatkan projek berkenaan.

    Zarul merupakan pengarah eksekutif kanan dengan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (ZCSB), yang terlibat dalam projek tersebut.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur, antara 12.30 pagi dan 2 pagi pada Mac 2011.

    Pertuduhan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

    Lim juga menghadapi dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

    Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, sebat dan denda.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

  • ‘Kali ini saya rakam’, Chegubard ke SPRM semula serah laporan

    ‘Kali ini saya rakam’, Chegubard ke SPRM semula serah laporan

    AHLI Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard sekali lagi hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya hari ini untuk menyerahkan laporan berhubung dakwaan pemilikan kediaman mewah Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sungai Long, Kajang.

    Semalam, SPRM mendedahkan belum menerima aduan rasmi daripada Chegubard selepas beliau mengadakan sidang media di ibu pejabat SPRM 11 Julai lalu.

    Chegubard berkata, laporan itu diserahkan kepada Pegawai SPRM bernama Hung Heng Hong.

    “Pagi ini saya tampil sekali lagi ke SPRM untuk hantar sekali lagi laporan. Kali ini saya rakam semua dengan video dan laporan diterima oleh Penguasa Hung Heng Hong bagi pihak SPRM,” katanya dalam kenyataan, lapor FMT.

    Selasa lalu media melaporkan Chegubard hadir ke pejabat SPRM Putrajaya, menggesa pihak berkuasa menyiasat pemilikan kediaman mewah perdana menteri di Sungai Long.

    Beliau menggesa SPRM menyiasat perdana menteri dan mendakwa rumah didiami Anwar adalah milik ‘tauke Cina yang penuh misteri’.

    Dalam sidang media diadakan selepas laporan di ibu pejabat SPRM itu, Chegubard turut membangkitkan isu Anwar menggunakan beberapa kereta mewah yang didakwa bukan milik pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

    Sankara Nair, peguam kepada Anwar kemudian menjelaskan rumah di Kajang yang dikaitkan milik taikun Cina sebenarnya aset pajakan selama 10 tahun pada 2020 hingga 2030, sebelum beliau menjadi Perdana Menteri.

  • Rogol anak hingga bersalin, bapa durjana dipenjara 218 tahun dengan 75 sebatan

    Rogol anak hingga bersalin, bapa durjana dipenjara 218 tahun dengan 75 sebatan

    “KAMU tak terfikir ke masa depan dia sebelum buat? Ini anak menjadi tanggungjawab dan amanah pada kamu sebagai ayah.

    “Anak-anak adalah rezeki, malah ada orang masih belum dapat anak walaupun macam-macam buat termasuk jumpa doktor,” itulah teguran Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat sebelum menjatuhkan hukuman penjara 218 tahun serta 75 sebatan terhadap seorang bapa selepas mengaku bersalah merogol dan amang seksual anak kandung hingga bersalin, sejak 2020.

    Tertuduh berusia 41 tahun bekerja kampung membuat pengakuan bersalah terhadap kesemua lapan pertuduhan dengan tujuh daripadanya membabitkan kejadian rogol yang bermula ketika anak kandungnya berusia 12 tahun.

    Mengikut fakta kes, kejadian pertama berlaku apabila tertuduh melakukan amang seksual fizikal terhadap anaknya pada waktu malam tahun 2020.

    Selepas itu, tertuduh melakukan perbuatan jijik terhadap mangsa pada Oktober tahun sama dengan merogolnya dan kejadian terakhir berlaku pada jam 8 pagi, 5 Jun lalu.

    Mangsa yang baru melahirkan anak lelaki minggu lalu dalam laporannya, memberitahu tertuduh turut memanjat bilik selepas mangsa menukar kunci bagi mengelak dirogol namun gagal.

    Kejadian terbongkar selepas sesi pemeriksaan kesihatan dijalankan di sekolah mangsa dan mendapati berlaku perubahan fizikal pada tubuhnya.

    Mangsa ketika itu tidak mengetahui dia mengandung sebelum membuat laporan polis terhadap tertuduh.

    Tertuduh pertama kali didakwa pada 14 Jun dan mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan. Semua kejadian berlaku di sebuah rumah di Semerah, dekat Muar.

    Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan juga sebatan.

    Dia juga didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan juga 10 kali sebatan.

    Sebaik mendengar hujahan pihak pendakwaan serta rayuan tertuduh, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan serta tambahan tiga tahun dan dua sebatan untuk kesalahan amang seksual fizikal.

    Bagi kesalahan merogol pula, mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum iaitu 30 tahun penjara dan 10 kali sebatan untuk setiap pertuduhan.

    Bagaimanapun, bagi hukuman amang seksual fizikal, mahkamah mengarahkan kedua-duanya dijalankan secara berasingan manakala kesalahan merogol berjalan serentak dengan semua hukuman bermula dari tarikh ditahan 8 Jun lalu.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam, lapor Berita Harian.

    Terdahulu, Danial meminta mahkamah mempertimbangkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kelakuan tertuduh terhadap anak kandung yang masih mentah ketika kejadian serta tidak pernah menyesal malah mengulangi kesalahan hingga ditangkap.

  • Sanusi kekal pengarah pilihan raya PN

    Sanusi kekal pengarah pilihan raya PN

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kekal sebagai pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN).

    Perkara itu dimaklumkan Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyifakan pertuduhan terhadap Sanusi tidak menjejaskan kempen pilihan raya PN.

    “Perikatan akan mengekalkan Muhammad Sanusi sebagai pengarah pilihan raya bagi enam pilihan raya negeri. Banyak persiapan telah disiapkan.

    “Kami akan mengekalkan strategi kami dengan pendekatan mendedahkan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan (BN) di negeri yang mereka kuasai sekarang – Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

    “Perikatan memutuskan untuk menyediakan manifesto yang akan menarik sokongan daripada pengundi dan kami percaya apa yang dihadapi oleh Muhammad Sanusi (di mahkamah hari ini) tidak akan menjejaskan jentera kempen,” katanya seperti dilaporkan TheStar.

    Sanusi didakwa di mahkamah pagi ini atas dua pertuduhan berhubung ucapannya pada 11 Julai ketika ceramah PN di Selayang, Selangor.

    Kedua-dua pertuduhan dihadapinya berhubung tindakannya mengeluarkan kata-kata yang mempunyai kecenderungan untuk menimbulkan ketidaksetiaan terhadap seorang pemerintah.

    Jika sabit kesalahan, Sanusi boleh dipenjara sehingga tiga tahun, denda sehingga RM5,000, atau kedua-duanya bagi setiap kesalahan.

    Ketika perbicaraan hari ini, Sanusi bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan dan mahkamah memerintahkan dia membayar ikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

    Kedua-dua hakim juga membenarkan permohonan pihak pendakwa untuk mengenakan perintah gag ke atas Sanusi, menghalangnya daripada membincangkan perbicaraan secara terbuka.

    Sementara itu, Sanusi hari ini membayangkan yang beliau akan terus bertanding pada pilihan raya negeri Kedah bulan depan walaupun berdepan pertuduhan di mahkamah.

    Kedua-dua kes ditetapkan untuk prosiding praperbicaraan pada 4 Okt.

    “Alhamdulillah, (mahkamah menetapkan tarikh pada) Oktober, jadi saya boleh bertanding dalam pilihan raya negeri dahulu,” katanya dipetik Bernama.

  • Lepas Sanusi ditangkap pemimpin Pas ajak penyokong baca qunut nazilah

    Lepas Sanusi ditangkap pemimpin Pas ajak penyokong baca qunut nazilah

    SUSULAN penangkapan dan pendakwaan terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, seorang ahli Jawatankuasa Pas Pusat Riduan Mohamad Nor meminta orang ramai membaca qunut nazilah bagi membantu Menteri Besar Kedah itu.

    Beliau turut meminta penyokong Pas supaya berdoa kepada Allah agar ‘perancangan licik’ yang didakwanya didalangi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) digagalkan.

    Menurutnya, beliau pernah bersama-sama dengan Sanusi dalam misi mereka membantu warga Rohingya di Myanmar.

    “Teruskan membaca qunut nazilah teman-teman,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini, lapor Malaysiakini.

    Untuk rekod qunut nazilah merupakan amalan yang dibacakan ketika umat Islam didatangi bala bencana atau ditimpa musibah seperti peperangan, wabak dan kemarau.

    Terdahulu Sanusi dilaporkan ditangkap pihak polis kira-kira pukul 3 pagi di Kuala Lumpur, hari ini.

    Beliau kemudian dihadapkan di dua mahkamah sesyen berasingan di Selayang pagi atas pertuduhan menghasut.

    Sanusi bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Osman Affendi Mohd. Shalleh.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor melambaikan tangan kearah penyokong-penyokongnya selepas menghadapi pertuduhan berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja) dalam ceramah politiknya minggu lalu selepas dihadapkan ke Mahkamah Selayang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Penyandang kerusi dewan undangan negeri Jeneri, Kedah itu dituduh melakukan kedua-dua kesalahan terbabit di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara – Kampung Bendahara, Gombak dekat Kuala Lumpur pada 11 Julai lalu.

    Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Riduan mengajak penyokong parti itu tetap berdoa dan tidak terlibat dalam sebarang situasi provokasi.

    “Mohon mendoakan agar Allah patahkan perancangan licik kerajaan PH-BN ini, jangan terlibat dengan apa jua situasi provokatif.

    “Insya-Allah kita berikan kekalahan memalukan untuk semua kerusi majoriti muslim dalam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini kepada pakatan mereka,” katanya.

    Sementara itu Setiausaha Politik Sanusi, Afnan Hamimi Taib Azamudden menyifatkan tindakan terhadap bosnya itu dilakukan dengan hanya satu tujuan.

    “Tujuannya hanya satu, menghalang Sanusi daripada kembali menjadi Menteri Besar Kedah selepas PRN (pilihan raya negeri) nanti.

    “Langkah itu dimulakan denga melonggokkan segala macam persepsi buruk kepada Sanusi,” katanya dalam Facebook.

  • Bekas jurulatih Harimau Malaya Sathianathan meninggal dunia

    Bekas jurulatih Harimau Malaya Sathianathan meninggal dunia

    BEKAS pengendali skuad bola sepak kebangsaan, B. Sathianathan meninggal dunia, hari ini.

    Perkembangan itu disahkan Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang juga pengurus skuad bawah 17 tahun negara, Christopher Raj.

    “Berehatlah dengan aman, Anna. Anda sudah berjuang dengan baik,” tulis Christopher ringkas dalam ciapannya mengenai pemergian jurulatih berpangalaman itu di Twitter, lapor Berita Harian.

    Christopher ketika dihubungi memaklumkan Sathianathan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 1.25 tengah hari tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

    Musim lalu, Sathianathan, 65, dilaporkan terpaksa berehat daripada arena bola sepak bagi menjalani rawatan kesihatan selepas dinasihatkan oleh pegawai perubatan.

    Mendiang yang juga bekas pengendali beberapa pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) menjadi antara individu yang banyak memberi pandangan mengenai pembangunan bola sepak negara.

    Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) itu turut menjadi rujukan kepada media dalam mengulas pelbagai isu berkaitan bola sepak berdasarkan pengalaman dan pengetahuan luas yang dimilikinya.

  • Di Malaysia tak boleh cakap apa-apa, dakwa Sanusi

    Di Malaysia tak boleh cakap apa-apa, dakwa Sanusi

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa kerajaan menyekat kebebasan bersuara susulan dua pertuduhan menghasut terhadap raja yang dihadapinya hari ini.

    Pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan hasutan di mahkamah berasingan berkaitan ucapannya dalam sebuah ceramah di Gombak pada 11 Julai lalu.

    Kedua-dua hakim turut melaksanakan perintah larangan bersuara bagi menghalang Sanusi membuat sebarang komen berhubung kes itu.

    Bercakap di luar mahkamah, Sanusi mendakwa pertuduhan terhadapnya bermotifkan politik menjelang PRN enam negeri pada 12 Ogos ini.

    “Nampaknya di Malaysia ini tak boleh cakap apa-apa.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor melambaikan tangan kearah penyokong-penyokongnya selepas menghadapi pertuduhan berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja) dalam ceramah politiknya minggu lalu selepas dihadapkan ke Mahkamah Selayang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Kalau di medan politik, biasanya orang selesaikan masalah politik dengan memberikan hujah balas. Tetapi di Malaysia pada hari ini, kerana kita ada kerajaan yang takut, dia guna polis untuk tahan atau sekat ucapan kita.

    “Semua agensi awam akan digunakan untuk menyekat perkembangan dan kehangatan (perbincangan) rakyat.

    “Saya yakin dengan pendakwaan ini, rakyat Malaysia memahami tujuan, hasrat sebenar mereka (kerajaan),” katanya.

    Sanusi mendakwa siasatan kesnya dipercepatkan dengan hanya mengambil masa tiga hari.

    Katanya, beliau hanya tahu akan didakwa di mahkamah melalui media, selain pihak berkuasa menahannya awal pagi tadi walaupun selepas memaklumkan dirinya akan hadir ke mahkamah.

    “Saya dah maklum kepada beberapa pihak, saya akan hadir di mahkamah pagi ini, tapi mereka tetap nak buat tangkapan pada pukul 3 pagi di apartmen yang saya diami di Kuala Lumpur.

    “Saya beri kerjasama sepenuhnya daripada awal proses ini berjalan sehingga siasatan,” katanya lapor FMT.

  • Sanusi didakwa, apa cerita orang Kedah?

    Sanusi didakwa, apa cerita orang Kedah?

    Oleh BADLISHAH MAT

    PAGI ini Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948.

    Tidak mahu mengulas pendakwaan tersebut kerana menghormati sistem penghakiman dan perundangan yang diamalkan di negara ini, maka elok dibiarkan sahaja kepada pihak yang lebih arif untuk melaksanakan tugas mereka. Tetapi mahu tidak mahu, berita penahanan Menteri Besar Kedah itu pada pukul 3 pagi diakui amat mengejutkan, bukan sahaja ahli dan penyokongnya tetapi sebahagian besar rakyat Kedah.

    Sungguh pantas kes tersebut dilengkapkan siasatannya walaupun kejadian terbabit berlaku pada malam Sabtu lalu iaitu tiga hari sebelum hari pendakwaan. Syabas. Namun sedikit menghairankan apabila Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan beberapa media petang semalam bahawa polis masih melengkapkan proses siasatan terhadap laporan yang diterima terhadap Muhammad Sanusi.

    Pada awalnya orang ramai menyangka Muhammad Sanusi hanya perlu ke mahkamah selepas dilaporkan oleh sebuah surat khabar juga pada petang semalam bahawa beliau akan dikenakan pertuduhan. Tetapi tindakan mengetuk pintu bilik hotel penginapan yang didiami Muhammad Sanusi ketika orang lain sedang lena diulit mimpi menimbulkan rasa simpati daripada rakyat Kedah.

    Bagaimanapun, rakyat Kedah kekal tenang dan tidak beremosi dengan kejadian tersebut kerana mereka sememangnya memahami apa yang sedang berlaku dan apa yang sedang dilakukan.

    Tidak ada himpunan atau bantahan di mana-mana tempat yang dikesan berlaku di negeri ini setakat ini walaupun sejak awal pagi tadi penduduk sekitar Alor Setar hairan mendengar deruman enjin helikopter yang berlegar-legar. Tidak tahu apa sebabnya tetapi mungkin ia langkah berjaga-jaga pihak berkuasa tetapi usah risau orang Kedah tidak seperti yang disangka kerana mereka juga seperti Muhammad Sanusi iaitu kekal tenang dan tidak beremosi.

    Mereka cuma berharap kes di bawah 3R yang turut melibatkan Ahli Parlimen DAP, Lim Guan Eng dan Ketua Penerangan Keadilan Irwardy Morni turut diselesaikan sepantas kes Muhammad Sanusi juga agar berlaku keadilan dan tidak menimbulkan syak wasangka.

    Kesan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah pada 12 Ogos ini susulan pendakwaan terhadap Muhammad Sanusi sudah tentu memang ada. Paling ketara adalah lonjakan sokongan pengundi terhadap Menteri Besar Kedah itu dan Perikatan Nasional (PN) amnya. Seperti kata Muhammad Sanusi pendakwaan ke atasnya dibuat bagi menjejaskan peluang beliau bertanding dalam PRN, tetapi beliau yakin orang ramai memahami langkah berkenaan.

  • Bekas calon BN Parlimen Kuala Terengganu sedia tanding semula

    Bekas calon BN Parlimen Kuala Terengganu sedia tanding semula

    BEKAS calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Mohd. Zuber Embong menyatakan kesediaan bertanding semula pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu, 12 Ogos depan.

    Bagaimanapun, katanya, keputusan itu diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    “Jika diputuskan bertanding, kita akan bertanding, jika keputusan sebaliknya, kita akan turun padang membantu calon yang dipilih bagi memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

    “Kita sudah menang petisyen untuk membatalkan kemenangan calon PAS, Datuk Ahmad Amzad Hashim pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu bagi membolehkan PRK diadakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Berita Harian.

    Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani mengumumkan PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak dengan PRN pada 12 Ogos depan.

    Pada PRU15 November lalu, Ahmad Amzad yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan memperolehi majoriti sebanyak 40,907 undi.

    Ahmad Amzad memperolehi undi sebanyak 63,026, manakala Mohd Zuber (22,109), Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (AMANAH) mendapat 10,946 undi manakala calon PEJUANG, Mohamad Abu Bakar Muda (481).

  • Ahmad Samsuri: Tiada calon import untuk PRK Kuala Terengganu

    Ahmad Samsuri: Tiada calon import untuk PRK Kuala Terengganu

    TIADA senarai calon ‘import’ yang akan diketengahkan oleh Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu yang akan diadakan serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS berkata bagaimanapun, perkara itu masih belum dimuktamadkan dan tidak menolak kemungkinan keputusan itu boleh berubah.

    “Calon ramai buat masa ini, keputusan akhir kita tengah perhalusi lagi. Nama penyandang ketika ini iaitu Datuk Ahmad Amzad Hashim ada dalam senarai buat masa ini … sehari dua lagi kita putuskan,“ katanya selepas hadir ke Majlis Pecah Tanah Kompleks Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu di sini hari ini.

    Pada 27 Jun lepas, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas pihak pempetisyen, Datuk Mohd Zubir Embong yang juga calon Barisan Nasional (BN) berjaya membuktikan wujudnya elemen rasuah ketika kempen Ahmad Amzad pada pilihan raya itu.

    PAS memutuskan tidak membuat rayuan terhadap keputusan petisyen berkenaan.

    Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dijalankan serentak dengan PRN di enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor pada 12 Ogos.

    Dalam PRU14, PAS membentuk Kerajaan Negeri Terengganu setelah memenangi 22 kerusi DUN, manakala 10 lagi kerusi dimenangi BN.