Category: Semasa

  • “Saya tidak tergesa-gesa” dalam soal cuti hujung minggu” – Sultan Ibrahim

    “Saya tidak tergesa-gesa” dalam soal cuti hujung minggu” – Sultan Ibrahim

    Oleh ABU UBAIDILLLAH RAHMAN

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah bahawa baginda tidak akan tergesa-gesa dalam membuat keputusan tentang cadangan kerajaan negeri untuk menukar semula cuti hari minggu negeri itu kepada Sabtu dan Ahad.

    “Saya tidak ingin gopoh dalam membuat keputusan. Cadangan kerajaan itu akan saya teliti setiap sudut baik buruknya, dan pandangan semua pihak akan diambil kira serta diperhalusi. Tidak payah kecoh-kecoh atau dipolitikkan.

    “Buat masa ini saya mahu kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi negeri Johor serta kepentingan rakyat.

    “Kerajaan Negeri boleh berikan apa jua cadangan kepada saya, dan saya akan mempertimbangkan sedalam-dalamnya sebelum memberikan apa-apa keputusan,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.

    Justeru, Sultan Ibrahim bertitah agar semua pihak tidak mengeluarkan sebarang spekulasi atau membuat gesaan supaya satu keputusan diumumkan secepat mungkin.

    “Saya akan buat pengumuman apabila saya berpuas hati dan cukup yakin keputusan yang diambil itu adalah yang terbaik untuk negeri Johor,” titah baginda.

    Bermula 1 Januari 2014, Sultan Ibrahim telah mengubah cuti mingguan Johor kepada Jumaat dan Sabtu, sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan Agama Islam sebagai agama Negeri Johor.

    Perubahan itu sebenarnya mengembalikan semula cuti hujung minggu asal (Jumaat-Sabtu) yang telah dilaksanakan dalam negeri Johor sejak sekian lama sebagai sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

    Negeri Johor hanya melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad bermula tahun 1994 apabila ia ditukar semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Besar.

  • Perkhidmatan palsu, alamat palsu antara pendedahan dalam laporan audit forensit LCS

    Perkhidmatan palsu, alamat palsu antara pendedahan dalam laporan audit forensit LCS

    BUKTI penyelewengan dan kelemahan tadbir urus berhubung program kapal tempur pesisir (LCS) telah dikumpulkan seawal 2010 lagi, menurut laporan audit forensik oleh Alliance IFA (M) Sdn Bhd bagi Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC).

    Laporan yang tidak lagi diklasifikasikan sebagai rahsia dan dimuat naik ke laman web rasmi Parlimen malam ini, menyatakan bukti-bukti mengesahkan bahawa vendor bagi program itu sudah ditentukan walaupun sebelum Surat Anugerah (LOA) dikeluarkan oleh kerajaan, memihak kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

    Laporan itu juga mendapati bahawa syarat kebanyakan LOA dan Pesanan Variasi lebih menguntungkan sebuah syarikat bernama Contraves Advanced Devices Sdn Bhd, dengan kebanyakan LOA kepada syarikat itu dikeluarkan tanpa dibentangkan terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pemandu LCS (LCSSC) untuk kelulusan mereka.

    Menurutnya keputusan utama juga diambil melalui Resolusi Pekeliling Pengarah tanpa mengadakan mesyuarat Lembaga, sekali gus tambah menjejaskan ketelusan dan peluang untuk berbincang secara terperinci dan meneliti dokumen penting tertentu sebelum resolusi diluluskan.

    Lembaga tidak mengendahkan nasihat bekas Panglima Tentera Laut yang membangkitkan bantahan pada mesyuarat Lembaga mengenai pemilihan DCNS untuk komtrak Reka Bentuk dan sokongan.

    Kontrak pembekalan enam LCS oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) menjadi isu hangat selepas didedahkan bahawa projek yang dijadualkan untuk dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun dari 3 Okt 2013 hingga 2 Okt 2023 itu, hanya 53.29 peratus siap pada 31 Mei 2019.

    Berdasarkan laporan Jawatankuasa Penyiasat Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan yang didedahkan pada Rabu, RM5.94 bilion telah dibayar Kementerian Pertahanan kepada BNS untuk projek berkenaan setakat ini.

    LOA telah diberikan kepada BNS pada 16 Dis 2011, dengan kontrak terakhir hanya ditandatangani pada 17 Julai 2014, kira-kira dua setengah tahun selepas LOA ditandatangan pada harga kontrak RM9 bilion.

    Menurut IFA, Terma Rujukan (TOR) LCSSC juga didapati berat sebelah kerana ahli jawatankuasa itu akan dipilih oleh Pengarah Urusan BHIC tanpa perundingan dengan Lembaga Pengarah, dengan MD akan menjadi Pengerusi.

    “Ini memberikan MD kawalan mutlak dan mengakibatkan kekurangan kebebasan dalam kalangan ahli jawatankuasa yang lain. Akibatnya ahli menjadi berlebihan dan gagal melaksanakan fungsi mereka yang dipilih untuk berada di dalam LCSSC,” katanya.

    Selain itu bayaran RM23.37 juta melibatkan beberapa syarikat kerana menyediakan perkhidmatan teknikal perkhidmatan penilaian yang berkaitan dengan Kapal Peronda Generasi Kedua (SGPV), didapati ia adalah perkhidmatan palsu.

    “Invois untuk perkhidmatan yang tidak wujud itu digunakan sebagai cara untuk melarikan dana, kerana syarikat-syarikat ini telah memberikan alamat palsu pada invois mereka dan pembayaran telah dialihkan ke tempat lain.

    “Salah satu daripada syarikat itu adalah milik orang sama yang turut terlibat dalam Alizes Marine. Keseluruhan wang yang dikeluarkan untuk Alizes Marine disyaki diterima oleh sebuah syarikat yang berdaftar di Labuan,” katanya.

    Walaupun dengan pelbagai tanda amaran dibangkitkan oleh bekas pegawai serta sekutu syarikat berkenaan mengenai pelbagai penyelewengan dalam pelaksanaan program LCS, tiada langkah-langkah pembetulan diambil di pihak pengurusan mahupun Pengerusi Lembaga BHIC bagi menghentikan penyalahgunaan kuasa.

    — BERNAMA

  • ‘’Tiada persamaan kes saya dengan Najib’’ – Anwar

    ‘’Tiada persamaan kes saya dengan Najib’’ – Anwar

    DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan situasi perbicaraan kes beliau dan kes Datuk Seri Najib Razak adalah tidak sama.

    Tegas Presiden PKR itu, apa yang berlaku pada 2016, beliau tidak dibenarkan untuk menangguhkan kesnya biarpun Karpal Singh yang mengetuai pasukan pembelaan meninggal dunia dan perlu diganti.

    Selain itu kata Anwar, perkara sama berlaku ketika hari keputusan rayuan, beliau terus dihukum ke penjara tanpa ada penangguhan.

     “Semasa Datuk Seri Najib jadi perdana menteri, saya juga disumbatkan ke penjara. Masa itu kebetulan Karpal Singh ketua pasukan peguam saya meninggal dunia.

    “Jadi kita minta tangguh kerana kita terpaksa lantik… bukan soal ambil, kemudian cara taktik nak lengahkan, buang, kemudian ambil pasukan lain, kemudian ambil peguam lain, kemudian ambil taktik buang, tidak, ini memang mati, bila mati harus diganti.

    “Tidak ada penangguhan, jalan terus. Malah hari dihukum, ini boleh tanya Datuk Seri Najib, kerana esoknya itu penamaan calon untuk PRK DUN Kajang, maka selesai jam 5, hari itu juga masa rayuan pertimbangan 6.30 atau 6.45 buat keputusan,” katanya dalam satu klip video yang disiarkan di media sosialnya.

    Beliau menjelaskan ketika kesnya pada 2008 dan 2016, pasukan peguamnya tidak pernah berdolak dalih untuk menarik diri atau meninggalkan kes.

    Anwar juga menegaskan untuk penyokong Najib menganggap tidak ada apa-apa berlaku dalam kes melibatkan Ahli Parlimen Pekan itu adalah tidak munasabah.

    “Untuk menganggap tidak ada apa-apa berlaku itu tidak munasabah, wang hilang berbilion ringgit, berlian intan permata dibeli.

    “Ratusan juta ringgit, belanja di sana sini, kapal dan sebagainya… itu bukti nyata, bagaimana kita boleh kata tidak apa-apa yang berlaku,” katanya lagi.

    Najib kini di peringkat rayuan akhir bagi mengetepikan sabitan dan hukuman ke atas tujuh tuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

  • ”Peluang Najib dapat pengampunan 50-50” – Dr.Mahathir

    ”Peluang Najib dapat pengampunan 50-50” – Dr.Mahathir

    TUN Dr Mahathir Mohamad berpendapat bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak “mempunyai peluang 50-50” dan akhirnya mendapat pengampunan diraja dan kemudian membuat kemunculan semula politik.

    “Ada 50-50 peluang beliau akan berjaya mendapat pengampunan dan kembali berpolitik. Beliau akan kembali dan dia mahu menjadi Perdana Menteri sekali lagi,” kata Mahathir dalam wawancara dengan agensi berita Bloomberg hari ini, lapor FMT.

    Dr. Mahathir berkata, Yang di-Pertuan Agong boleh memberikan pengampunan kepada Najib dengan cara sama diberikan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018 apabila beliau memohon pengampunan penuh diraja untuk bekas sekutunya selepas mereka bergabung untuk memenangi pilihan raya tahun itu susulan kemarahan rakyat terhadap Najib berhubung 1MDB.

    Najib telah disabitkan bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun, dan denda RM210 juta atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah melibatkan RM42 juta dana SRC International, sebuah syarikat berkaitan 1MDB.

    Beliau telah merayu terhadap sabitan dan hukuman yang dikenakan dan kes itu sedang dibicarakan di Mahkamah Persekutuan, dengan peguam Najib diarahkan mahkamah untuk membuat hujahannya esok.

    Dr Mahathir berkata, sekiranya mahkamah mengekalkan sabitan dan hukuman penjara Najib, “sudah tentu dia akan meminta pengampunan”.

    Jika Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan Najib, beliau akan dipenjarakan dan tidak akan dapat bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, yang mesti diadakan pada September tahun depan.

    Dr. Mahathir berkata, pilihan raya umum semakin hampir dengan tiada parti yang berkemungkinan menang besar.

    Beliau berkata parti baharunya, Pejuang, boleh membentuk kerajaan minoriti dan beliau tidak menolak gabungan dengan Anwar lagi walaupun sebelum ini bertelagah mengenai rancangan mengambil alih jawatan perdana menteri.

    Bagaimanapun beliau tidak berminat menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga, kata Dr. Mahathir.

    Dr. Mahathir baru-baru ini memasang perentak jantung dan awal tahun ini memberitahu pemberita bahawa beliau tidak akan bertanding lagi kerana kesihatan dan usia yang kurang baik.

    Bagaimanapun, pemimpin Pejuang “sangat marah jika saya katakan saya tidak bertanding,” “Jadi jika saya cukup sihat – jika mereka masih mahukan saya – saya tidak boleh menafikan mereka, walaupun ia ‘membunuh’ saya,’’ katanya.

  • Hujan Lebat: 10 kenderaan rosak ditimpa pokok di ibunegara

    Hujan Lebat: 10 kenderaan rosak ditimpa pokok di ibunegara

    SEBANYAK tujuh kereta dan tiga buah motosikal rosak ditimpa pokok di lapan lokasi sekitar ibu kota susulan angin kencang dan hujan lebat yang berlaku kira-kira 4 hingga 6 petang tadi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata kejadian kereta rosak akibat pokok tumbang dilaporkan di hadapan  sebuah kondominium di Bukit Kiara melibatkan dua buah kereta.

    “Kejadian di Bukit Tunku dan Jalan Kuang masing-masing melibatkan sebuah kereta, di Kampung Kasipillay pula melibatkan sebuah kereta yang dinaiki oleh dua individu, mereka bagaimanapun tidak mengalami apa-apa kecederaan.

    “Selain itu, kejadian di Damansara Height pula melibatkan sebuah kereta manakala di Stesen Bas Jalan Duta sebuah kereta dan tiga buah motosikal rosak ditimpa pokok tumbang,” katanya ketika dihubungi malam ini.

    Menurutnya, kejadian yang sama di Taman Duta dan di Hadapan Kompleks KDN di Jalan Duta, di sini, tidak melibatkan apa-apa kerosakan kenderaan.

    — BERNAMA

  • Asyraf nafi ada desakan minta PM campurtangan urusan mahkamah

    Asyraf nafi ada desakan minta PM campurtangan urusan mahkamah

    KETUA  Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menafikan dakwaan bahawa terdapat desakan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencampuri urusan mahkamah.

    Dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Isnin, Asyraf Wajdi mendakwa, laporan yang disiarkan Astro AWANI memetik sumber dalaman yang ‘tidak berasas’ hingga mencetuskan ‘persepsi negatif’.

    “Saya turut berada dalam mesyuarat yang bermula kira-kira pukul 11.30 pagi hingga pukul 1.30 tengah hari. Tiada langsung agenda perbincangan mendesak PM mencampuri urusan mahkamah apatah lagi seolah-olah wujud pertentangan di kalangan kepimpinan Bahagian mengenainya.

    “Apakah logik untuk mendesak PM campur tangan kes SRC yang sudah sampai ke peringkat Mahkamah Persekutuan? Lagipun bukan PM yang melantik Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan yang ada hari ini, tidak sebagaimana zaman Tun (Dr) Mahathir yang terlibat dalam pemilihan hakim-hakim seperti dakwaan Tommy Thomas selaku bekas Peguam Negara dalam bukunya ‘My Story: Justice in the Wilderness.’

    “Apa yang boleh saya kongsikan secara umum, perbincangan tadi lebih kepada isu-isu mengenai PRU15 )(Pilihan Raya Umum ke-15). Saya berharap AWANI lebih bertanggung-jawab dalam penglaporan berita dan berpegang kepada etika kewartawanan yang tinggi bukan seperti media-media pojok murahan yang lain,” katanya.

      Terdahulu, Astro AWANI melaporkan mesyuarat tergempar melibatkan Ketua-Ketua Bahagian UMNO yang berlangsung di ibu pejabat parti itu di Menara Dato’ Onn, di ibu negara, pada Isnin gagal mencapai kata sepakat untuk mendesak Perdana Menteri campur tangan dalam kes mahkamah melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Sumber dalaman memberitahu Astro AWANI, ramai dalam kalangan Ketua-Ketua Bahagian yang hadir mesyuarat tersebut tidak bersetuju dengan arahan yang dikeluarkan pemimpin utama UMNO.

    Menurut sumber itu lagi, ada dalam kalangan kalangan Ketua Bahagian yang terpaksa datang selepas dipercayai diberi kata dua, tidak akan diberi watikah untuk bertanding dalam PRU15

  • Baharuddin dilantik Pemangku Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman

    Baharuddin dilantik Pemangku Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman

    DATUK Baharuddin Ahmad dilantik sebagai pemangku jawatan Pengarah Cawangan Khas berkuat kuasa mulai esok, menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

    Menerusi kenyataan hari ini, Acryl Sani berkata lantikan itu bagi menggantikan Datuk Seri Zamri Yahya yang akan bersara wajib selepas 36 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    “PDRM yakin Baharuddin mampu memikul amanah yang diberikan dengan cemerlang berdasarkan pengalamannya yang luas dalam bidang penugasan Cawangan Khas,” katanya.

    Acryl Sani turut merakamkan penghargaan kepada Zamry sepanjang kepimpinan beliau yang cemerlang dan kesetiaan serta khidmat baktinya dalam PDRM.

    Majlis serah tugas yang berlangsung itu antara lain turut menyaksikan penyerahan jawatan Pengerusi Perkep Cawangan Khas Datin Seri Dr Sazilah Tun Ahmad Sarji kepada pemangkunya Datin Hasimah Yon Mohd Isa.

    — BERNAMA

  • Bekas TMB Kelantan meninggal dunia, dikebumi malam ini

    Bekas TMB Kelantan meninggal dunia, dikebumi malam ini

    BEKAS Timbalan Menteri Besar (TMB) Kelantan, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman meninggal dunia kira-kira pukul 3.40 petang tadi di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

    Menyampaikan perkhabaran itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata, Allahyarham, 83, merupakan tokoh yang banyak berjasa kepada negeri itu.

    “Almarhum merupakan tokoh yang sangat berjasa kepada negeri Kelantan khususnya sebagai antara tokoh penting bermula pentadbiran kerajaan negeri di bawah Dasar Membangun Bersama Islam.

    “Bagi pihak kerajaan negeri, saya mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Almarhum. Semoga Allah SWT mengampunkan dan merahmati serta mengangkat darjatnya dalam kalangan orang-orang yang beramal soleh.

    “Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

    Ahmad pada masa sama berkongsi perjalanan kerjaya politik Abdul Halim yang dilantik Timbalan Menteri Besar Kelantan bermula pada 1990 sehingga 2004.

    Allahyarham juga berkhidmat sebagai wakil rakyat bermula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Banggol pada 1986 hingga 1995, diikuti Adun Kijang (1995-2004) seterusnya Ahli Parlimen Pengkalan Chepa (2004-2013).

    “Almarhum juga merupakan mantan Bendahari PAS Pusat,” katanya.

    Sementara itu, memetik laporan Harakahdaily, menantu Allahyarham Zuraidin Abdullah bapa mertuanya baru-baru ini mendapat jangkitan kuman di paru-paru dan pernah menghidap penyakit kencing manis dan pelbagai penyakit kronik lain.

    “InsyaAllah solat jenazah akan diadakan di Masjid Kampung Banggol selepas solat Isyak, dan akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol.

    “Saya bagi pihak keluarga menjemput orang ramai hadir menunaikan solat jenazah di Masjid Banggol selepas solat Isyak malam ini,” katanya yang juga Adun Chetok.

    Allahyarham meninggalkan seorang isteri Datin Aminah Abdullah dan lima anak.

  • “Saya tidak guna sumbangan politik RM6 juta untuk kepentingan peribadi” – Ahmad Zahid

    “Saya tidak guna sumbangan politik RM6 juta untuk kepentingan peribadi” – Ahmad Zahid

    BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau tidak pernah menggunakan wang RM6 juta yang didakwa sumbangan politik daripada Timbalan Pengarah Urusan Datasonic Group Berhad (DGB), Chew Ben Ben untuk kepentingan peribadinya.

    Beliau juga berulang kali menegaskan, beliau memilih untuk tidak memasukkan wang RM6 juta tersebut ke dalam akaun peribadinya atau digunakan untuk kepentingan peribadinya.

    “Walaupun pada ketika itu saya memegang jawatan Timbalan Presiden parti (UMNO) dan wang terbabit boleh digunakan bagi tujuan politik, saya tidak menggunakannya untuk tujuan politik dan peribadi, sebaliknya disalurkan untuk amal jariah, wakaf dan aktiviti keagamaan,” katanya ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob.

    Beliau berkata demikian semasa membela diri atas 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit milik dana YAB.

    Kepada soalan Abdul Malik mengapa wang RM6 juta yang didakwa beliau sebagai sumbangan politik tidak dimasukkan ke dalam akaun parti politik UMNO atau Barisan Nasional, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menjawab ‘tidak semestinya’.

    “Sekiranya mana-mana ahli politik menerima sumbangan politik, tidak semestinya wang tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun parti politik, kerana pada cek tersebut tidak dinyatakan ‘sumbangan kepada parti politik’

    “Tetapi sekiranya wang diberikan kepada mana-mana ahli politik, beliau mempunyai budi bicara untuk memasukkannya ke dalam akaun peribadinya atau ke dalam mana-mana akaun yang difikirkan sesuai,” katanya.

    Ahmad Zahid juga tidak bersetuju dengan cadangan Abdul Malik bahawa wang RM6 juta yang diterimanya daripada Chew merupakan wang rasuah atas usahanya kerana menyokong pemberian kontrak kepada Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB), yang mempunyai prestasi tidak baik dalam melaksanakan projek cip pasport Biodata Polycarbonate Pasport Malaysia.

    Berdasarkan pertuduhan ke-14 dan 15 yang dihadapinya, Ahmad Zahid didakwa menerima dua suapan berjumlah RM6 juta daripada Chew sebagai upah melantik syarikat DTSB, melaksanakan projek cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman
    Biodata Polycarbonate Pasport Malaysia, untuk Jabatan Imigresen secara rundingan terus di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung pukul 2 petang. – BERNAMA

  • Musnah kolam di Gunung Inas, Azeez jangan ikut sentimen orang tidak berilmu

    Musnah kolam di Gunung Inas, Azeez jangan ikut sentimen orang tidak berilmu

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menasihatkan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim agar tidak terikut-ikut sentimen orang tidak berilmu sehingga mahu memusnahkan kolam takungan di Gunung Inas, Baling begitu sahaja.

    Muhammad Sanusi berkata, tiga kolam yang menjadi sumber air untuk tanaman durian Musang King di gunung itu tidak boleh dimusnahkan sewenang-wenangnya kerana ia dimiliki oleh pihak tertentu.

    Katanya, sesiapa sahaja perlu membaca laporan daripada jawatankuasa khas ditubuhkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KetSA) yang menyatakan bahawa kolam tersebut bukanlah punca kepada kejadian aliran puing serta banjir lumpur pada 4 Julai lalu.

    “Kolam itu ada pemiliknya jadi tak bolehlah senang-senang nak musnahkan orang punya. Selain itu, perlu juga baca laporan jawatankuasa khas ditubuhkan KetSA terdiri daripada ratusan pakar yang menyatakan kolam tersebut bukan punca kejadian banjir.

    “Menurut pakar geologis, kalau tiga kolam itu pecah serentak pun tanpa ada hujan, air itu tidak akan sampai ke bawah gunung sebab tak cukup kapasiti. Air dari kolam tersebut akan hilang di ‘jalan’ macam itu saja.

    “Sebagai pemimpin, beliau (Abdul Azeez) perlu bersandarkan kepada pakar geologi,” katanya selepas merasmikan mesin Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan mammografi digital di pusat perubatan swasta tersebut, hari ini.

    Semalam, Abdul Azeez memaklumkan tiga kolam takungan air bersaiz gelanggang futsal di puncak gunung tersebut akan dimusnahkan dalam tempoh terdekat kerana dikatakan boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk setempat.

    Menurut Abdul Azeez, beliau sudah merujuk masalah itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berjanji akan menyelesaikannya segera.