Category: Semasa

  • Najib dibawa ke Penjara Kajang pukul 5.44 petang

    Najib dibawa ke Penjara Kajang pukul 5.44 petang

    DATUK  Seri Najib Razak meninggalkan Istana Kehakiman dengan menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) diiringi kenderaan polis pada jam 5.44 petang tadi.

    Walaupun hujan renyai, ia tidak sedikit pun mematahkan semangat penyokong Najib yang berada di hadapan Istana Kehakiman sejak pagi tadi untuk memberi lambaian terakhir kepada bekas Perdana Menteri itu.

    Bagaimanapun, penyokong hampa apabila kenderaan yang membawa Najib itu keluar melalui laluan lain dan hanya isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dilihat keluar di pintu masuk yang ditunggu penyokongnya, lapor Berita Harian.

    Difahamkan, Najib akan dibawa ke Penjara Kajang selepas hukuman ke atasnya dibacakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat di Mahkaman Persekutuan.

    Pergerakan membawa Najib dilakukan oleh pasukan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) bagi penugasan kawalan dan lalu-lintas, Pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) dan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

  • Najib akan jalani hukuman mulai hari ini di Penjara Kajang

    Najib akan jalani hukuman mulai hari ini di Penjara Kajang

    BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menjalani hukuman penjara 12 tahun  mulai hari ini.

    Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

    Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata selepas meneliti bukti, hujahan dan rekod-rekod rayuan, adalah didapati rungutan perayu sepertimana terkandung dalam petisyen rayuan tidak mempunyai merit.

    “Mengenai keseluruhan bukti, kami mendapati sabitan ke atas semua tujuh pertuduhan ke atas perayu adalah selamat. Kami juga mendapati hukuman yang dijatuhkan adalah tidak keterlaluan.

    Oleh itu rayuan ini ditolak sebulat suara dan sabitan serta hukuman dikekalkan,” kata beliau.

    Semasa memerintahkan Najib untuk menjalani hukuman serta-merta, Tengku Maimun berkata: ”Saya keluarkan waran komital.”

    Peguam utama Najib,  Hisyam Teh Poh Teik kemudian memohon penangguhan hukuman sementara satu permohonan semakan ke atas keputusan hari ini.

    “Permohonan ditolak. Mahkamah ditangguhkan,” Tengku Maimun berkata demikian sebelum meninggalkan  mahkamah.

    Turut bersidang Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd.

    Najib dijangka menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh.

    –BERNAMA

  • Rayuan MB Kedah dalam kes saman fitnah ditangguh

    Rayuan MB Kedah dalam kes saman fitnah ditangguh

    MAHKAMAH Rayuan hari ini menangguhkan pendengaran rayuan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadap perintah Mahkamah Tinggi supaya membayar ganti rugi RM50,000 kepada Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berhubung saman berkaitan kenyataan fitnah.

    Semasa prosiding dalam talian Hakim Datuk Lee Swee Seng memberitahu peguam terlibat bahawa pihak mahkamah tidak dapat mendengar rayuan hari ini memandangkan mereka perlu menghadiri mesyuarat pada pukul 3 petang tadi.

    Terdahulu mahkamah mendengar beberapa rayuan kes lain di sebelah pagi, yang berlarutan hingga pukul 2 petang, dan mahkamah mempunyai dua lagi kes yang perlu didengar hari ini termasuk rayuan Muhammad Sanusi.

    Swee Seng bersama dua lagi panel hakim, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, kemudian mengarahkan supaya pengurusan kes diadakan esok bagi menetapkan tarikh pendengaran baharu.

    Pada 8 November lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Muhammad Sanusi membayar RM50,000 sebagai ganti rugi selepas membenarkan saman fitnah yang dikemukakan Mahfuz.

    Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Arief Emran turut memerintahkan Muhammad Sanusi menulis permohonan maaf kepada plaintif di laman Facebook milik defendan dalam tempoh 14 hari dan memerintahkan defendan membayar kos tindakan guaman kepada plaintif berjumlah RM15,000.

    Mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi yang menegah defendan atau ejen-ejennya daripada menerbitkan kata-kata fitnah terhadap plaintif pada masa hadapan.

    Pada 9 Oktober 2019, Mahfuz memfailkan saman itu berdasarkan hantaran dibuat oleh Muhammad Sanusi dalam akaun Facebooknya pada 30 Julai 2019 yang mengaitkan Mahfuz selaku wakil rakyat bagi kawasan Pokok Sena dalam isu pemindahan Sport Toto ke kawasan itu.

    Mahfuz juga mendakwa Muhammad Sanusi menerbitkan satu video berdurasi 7 minit 57 saat di akaun Facebooknya pada 27 Julai 2019 yang memaparkan sekumpulan individu membantah pembukaan Sport Toto di Pokok Sena sambil memegang sepanduk yang tertera nama plaintif.

    Peguam Yusfarizal Yussoff dan Mohd Faizi Che Abu mewakili Muhammad Sanusi, manakala Mahfuz diwakili peguam Noorazmir Zakaria. – Bernama.

  • Najib dakwa badan kehakiman bersikap tidak adil terhadapnya

    Najib dakwa badan kehakiman bersikap tidak adil terhadapnya

    DATUK  Seri Najib Tun Razak mendakwa badan kehakiman telah bersikap tidak adil terhadapnya.

    Dari kandang tertuduh di Mahkamah Persekutuan hari ini, ahli politik berusia 69 tahun itu berkata sepanjang minggu lepas, beliau menyaksikan peluangnya untuk berjaya dalam rayuan itu terhakis secara perlahan-lahan.

    “Bukan kerana ketiadaan merit tetapi kerana saya tidak diwakili. Saya mendapati keputusan Mahkamah Yang Mulia ini meskipun menghalang peguam saya menarik diri, hakikatnya saya masih tidak diwakili.

    “Yang Arif, saya merayu agar mahkamah tidak mengambil hati dengan apa yang saya luahkan, tetapi ini adalah apa yang saya rasakan. Sebagai seorang tertuduh dan perayu di peringkat akhir kes, perasaan inilah yang paling teruk, iaitu apabila menyedari badan kehakiman menentang saya dengan cara yang paling tidak adil,” kata beliau ketika membaca pernyataan 20 muka surat.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata inilah kali pertama beliau menukar peguam atas sebab yang munasabah dan ini juga kali pertama permohonan penangguhan dalam tempoh empat bulan, tidak seperti kes lain apabila penangguhan kira-kira 70 kali dibenarkan oleh mahkamah.

    “Dikatakan bahawa tertuduh adalah orang paling penting dalam mahkamah jenayah, namun saya berasa dianiaya dan saya rasa perbicaraan yang adil tidak diberikan kepada saya,” katanya.

    — BERNAMA

  • Lelaki ditemui maut depan rumah akibat diserang haiwan

    Lelaki ditemui maut depan rumah akibat diserang haiwan

    POLIS mengesahkan punca kematian seorang lelaki yang ditemui maut dengan luka pada leher di hadapan rumahnya di Kampung Merua, dekat Ipoh, semalam, akibat serangan haiwan.

    Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh hari ini mendapati mangsa mengalami kehilangan darah yang serius disebabkan luka serangan itu.

    “Selain itu lelaki berusia 58 tahun itu juga didapati positif Covid-19 dan mengalami saluran darah jantung tersumbat.

    “Sehubungan itu, kes berkenaan yang sebelum ini disiasat sebagai bunuh, diklasifikasikan semula sebagai kematian mengejut (SDR).

    “Pemeriksaan luaran si mati dapati terdapat luka di bahagian muka kiri dan leher dan beberapa helai bulu di sekeliling luka tersebut. Luka pada si mati berpadanan dengan haiwan seperti anjing atau seumpamanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, pemeriksaan dalaman pula menunjukkan dua saluran darah jantung mangsa telah tersumbat dengan keadaan yang teruk selain juga mengalami jangkitan Covid-19.

    Media sebelum ini melaporkan, mayat Norzi Jaafar ditemui dalam keadaan terlentang dengan kesan luka di leher dipercayai akibat dilibas senjata tajam.

    Siasatan mendapati lelaki itu masih bujang dan tinggal seorang diri di rumahnya.

  • Isu politik, rasuah ‘menggetarkan’ pelabur asing – Pakar

    Isu politik, rasuah ‘menggetarkan’ pelabur asing – Pakar

    KEMEROSOTAN saham bursa Malaysia selama empat hari berturut-turut memberi indikasi pelabur asing tidak yakin untuk membuat pelaburan di negara ini.

    Pakar kewangan dan saham, Dr. Wan Nazri Wan Daud berkata ketidaktentuan politik menjadi salah satu punca pelabur tidak mahu mengambil risiko untuk melabur.

    “Sedikit sebanyak, ketidaktentuan politik boleh ‘menggetarkan’ pelabur asing, seperti desakan pilihanraya oleh UMNO yang akan mengakibatkan pembubaran parlimen.

    “Ditambah lagi dengan kehadiran perikatan parti-parti politik lain, perkara ini akan membuatkan pelabur luar mempersoalkan situasi pasaran selepas pilihan raya dan akan menjejaskan sentimen pasaran,” katanya ketika dihubungi SatuBerita hari ini.

    Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Sains Pengurusan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu berpendapat kerajaan harus menjaga imej Malaysia dari terpalit dengan isu rasuah dan korupsi.

    “Untuk Malaysia, persepsi ‘berlegar’ di peringkat antarabangsa adalah rasuah, dalam indeks rasuah Malaysia berada pada tahap tinggi dan memberi gambaran negatif kepada kita.

    “Bila pelabur datang melabur, mereka inginkan negara yang mempunyai polisi jelas jadi mereka mempunyai keyakinan dan akan membuat pelaburan pada jangka masa panjang dengan membuka kilang dan mencipta peluang pekerjaan,” katanya.

    Selain itu, tindakan negara luar seperti Amerika Syarikat dan Eropah menaikkan kadar faedah demi mengekang inflasi pada negara juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada Malaysia.

    Menurutnya, hal tersebut menyebabkan berlaku pengeluaran wang kerana pelabur lebih berminat dengan negara-negara yang memberi faedah lebih tinggi jadi berlakunya kemerosotan ringgit.

    “Malaysia bergantung kepada perdagangan (eksport dan import) luar negara, apabila negara luar terjejas ia akan memberikan kesan kepada pasaran saham.

    “China merupakan rakan dagang terbesar dan sekarang mereka sedang berhadapan ‘recession’ (kemelesetan ekonomi) menyebabkan kejatuhan harga komoditi penting Malaysia iaitu minyak petrol dan minyak sawit,” katanya.

    Dalam pada itu, ketidaktentuan ekonomi semasa yang melanda dunia kini, rakyat disarankan untuk tidak berbelanja secara melulu dan mengurang pembelian jangka masa pendek.

    “Sebagai rakyat, kita kena fikir panjang sebelum berbelanja kerana kita berada dalam ‘economy uncertainty’ (ketidaktentuan ekonomi).

    “Dari segi pasaran saham, kita berada dalam keadaan tidak tahu ke mana hala tuju, dalam bahasa teknikal saham kita panggil ‘sideways’,” katanya.

    Terdahulu, Bernama melaporkan Bursa Malaysia mengalami penyusutan selama empat hari berturut-turut pada hari ini.

  • Saya minta maaf jika keputusan tidak berpihak kepada saya – Najib

    Saya minta maaf jika keputusan tidak berpihak kepada saya – Najib

    BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta maaf kepada penyokongnya sekiranya keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini tidak berpihak kepada beliau.

    Najib, 69, yang keluar berjumpa dengan penyokongnya di luar Istana Kehakiman kira-kira pukul 3.10 petang tadi mendakwa, beliau tidak mendapat keadilan yang wajar walaupun telah berusaha sedaya upaya.

    “Saya ucap terima kasih kepada semua yang hadir dan sokongan padu yang diberikan kepada saya. Saya minta maaf, saya telah berusaha sedaya upaya tetapi nampaknya setiap usaha saya mohon kepada mahkamah telah ditolak,” katanya.

    Najib berkata beliau tidak dapat diwakili oleh peguam, selain tidak mempunyai masa secukupnya untuk membuat persediaan dan tidak dapat menangguhkan kes.

    “Dalam kes lain dapat penangguhan lebih 70 kali tetapi dalam kes saya tidak diizinkan,” katanya tanpa merujuk kepada mana-mana kes secara spesifik.

    Najib yang kelihatan tenang meminta penyokongnya untuk menunggu sebarang keputusan mahkamah dan mendoakan yang terbaik untuknya. 

    Turut menemani Najib ialah dua anaknya iaitu Nooryana Najwa dan Norashman.

    Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

    Pada 8 Dis 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda.

    — BERNAMA

  • Mekanik tunggang motosikal maut diseret kereta

    Mekanik tunggang motosikal maut diseret kereta

    SEORANG mekanik maut selepas motosikal ditunggani terjatuh ke laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah kereta lalu diseret di hadapan sebuah stesen minyak di Tendong, Pasir Mas, pukul 2 pagi tadi.

    Mangsa, Muhammad Yazid Zakaria, 33, meninggal dunia di lokasi kejadian dalam kemalangan akibat cedera parah.

    Polis menerima maklumat daripada Gerakan Pasir Mas berkaitan satu kemalangan maut melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta di hadapan Caltex Tendong, Pasir Mas.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, seorang buruh lelaki yang berusia 45 tahun juga pemandu kereta yang terbabit dengan kemalangan itu bagaimanapun tidak cedera.

    “Siasatan awal mendapati pemandu kereta tersebut memandu dari arah Wakaf Bharu menghala ke Pasir Mas.

    “Sampai di tempat kejadian, penunggang motosikal itu dipercayai terjatuh lalu memasuki laluan bertentangan. Oleh sebab jarak yang dekat, pemandu tersebut tidak dapat mengelak dan terseret mangsa,” katanya memetik laporan Sinar Harian

    Menurut beliau, pemeriksaan di lokasi itu mendapati keadaan jalan basah dan gelap kerana tidak berlampu.

    “Motosikal mangsa mempunyai kesan calar di bahagian sebelah kanan, manakala kereta buruh tersebut tercabut penghadang di bahagian hadapan,” katanya.

    Mohd. Nasaruddin berkata, punca kemalangan disebabkan oleh penunggang motosikal yang hilang kawalan dan terjatuh lalu masuk ke laluan bertentangan serta diseret oleh kereta sehingga menyebabkan kematian mangsa.

    “Bedah siasat akan dijalankan dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

  • Lelaki asing serang dua anggota polis diberkas

    Lelaki asing serang dua anggota polis diberkas

    SEORANG lelaki warga Algeria ditahan selepas menyerang dua anggota polis di pondok pengawal dan menceroboh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, pukul 1.40 pagi tadi.

    Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, suspek datang ke pondok pengawal dan cuba bertanyakan sesuatu kepada salah seorang anggota polis yang bertugas.

    “Suspek tiba-tiba mengeluarkan tukul besi dan mengetuk kepala anggota terbabit sebelum mengejar seorang lagi anggota polis lain dipercayai untuk merampas senjata api jenis HK MP5 yang dibawa oleh anggota terbabit.

    “Suspek turut mengetuk belakang badan anggota polis terbabit dengan tukul besi yang dibawanya.

    “Beberapa anggota polis lain datang serta menghalang tindakan agresif suspek,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Azmi berkata, suspek berkemungkinan berada dalam keadaan mabuk atau kurang siuman itu berjaya diberkas untuk tindakan lanjut.

    “Suspek kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan akibat kecederaan semasa pergelutan, manakala dua lagi anggota juga turut dihantar ke hospital sama juga untuk rawatan lanjut,” ujarnya.

  • Mahkamah kekal Najib bersalah, bekas PM pertama dipenjara

    Mahkamah kekal Najib bersalah, bekas PM pertama dipenjara

    MAHKAMAH  Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

    Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

    Beliau berkata sabitan itu selamat bagi semua tujuh pertuduhan dan hukuman itu tidak keterlaluan. “Rayuan ini dengan sebulat suara ditolak dan sabitan dan hukuman dikekalkan. Saya dengan ini mengumumkan waran komital (perintah menjalani hukuman penjara) ,” kata Tengku Maimun memerintahkan prosiding tamat