Category: Semasa

  • Tun M dakwa larangan sentuh isu 3R menidakkan kebebasan bersuara

    Tun M dakwa larangan sentuh isu 3R menidakkan kebebasan bersuara

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahatir Mohamad mendakwa tindakan menghalang perbincangan menyentuh isu berkait 3R (agama, kaum dan raja) sebagai menafikan kebebasan bersuara di negara ini.

    Katanya, jika hendak menjadikan tindakan seseorang yang menyentuh isu itu sebagai jenayah maka ia perlu dibahas dan kemudian mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

    Beliau berkata, ini termasuk perlu mendapatkan tandatangan Yang di-Pertuan Agong atau diluluskan selepas dua bulan.

    “Ia amat serius. Jika ini tidak dilakukan, kerajaan mungkin didakwa kerana melakukan sesuatu yang tidak mengikut undang-undang negara,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di Facebook, hari ini.

    Dalam kenyataan sama, Dr. Mahathir mendakwa ada pihak yang menyentuh isu kaum antaranya seperti berbilang kaum tetapi dibolehkan, sambil mempersoalkan mengapa tidak boleh menyentuh perbincangan mengenai orang Melayu.

    Mengenai isu agama, dakwanya berlaku ‘layanan’ dwistandard kerana ada saja pihak yang menyentuh isu sekularisme yang membawa makna tidak boleh ada agama rasmi.

    “Sekularisme bermakna tidak boleh ada agama rasmi. Ini bermakna kita bercakap berkenaan agama rasmi. Kenapa menolak agama rasmi boleh disentuh tetapi mengekal agama rasmi tidak boleh disentuh.

    “Akhir sekali soal institusi raja. Raja seperti rakyat, tertakluk kepada undang-undang. Sebuah mahkamah diadakan untuk raja. Bermakna jika raja melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang, tindakan boleh diambil.

    “Perundangan ini diadakan kerana kes tertentu. Jikalau kes-kes yang sama berlaku atau kes yang lebih buruk berlaku dan dakwaan tidak boleh dibuat, maka raja akan jadi raja yang berkuasa mutlak.

    “Sebaliknya Perlembagaan menjadikan raja kita sebagai Raja Berperlembagaan. Apakah kita sudah gugur sistem raja berperlembagaan kepada raja berkuasa mutlak,” soalnya lapor Berita Harian.

  • Orang gila kuasa sanggup buat apa saja pertahan kuasa – Sanusi

    Orang gila kuasa sanggup buat apa saja pertahan kuasa – Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi mendakwa terdapat orang gila kuasa yang sanggup berbuat apa saja untuk mempertahankan kuasa mereka ketika ini.

    Menurutnya, kerajaan ‘Madanon’ yang wujud hari ini sedang menggunakan apa yang ada bagi menyekat kemaraan mereka.

    Justeru katanya, beliau amat menghargai sokongan serta kerjasama dari semua pihak untuk Perikatan Nasional (PN) mempertahankan Kedah.

    “Dari orang yang gila kuasa, mereka sanggup buat apa saja untuk pertahankan kuasa yang ada tetapi kena ingat, orang Kedah takkan terpengaruh dengan segala propaganda dan cubaan untuk memfitnah kita atas perkawa yang sengaja diada-adakan.

    “Kalau tuan-tuan dapat saksikan sehari dua ini memang dibuat usaha bersungguh-sungguh untuk mengada-adakan, termasuklah benda yang kita tak tahu apa di bawah kementerian dia (Kementerian Dalam Negeri) berkaitan Imigresen. Semua di bawah kementerian dia, tiba-tiba persoalan itu ditanya dan suruh kita jawab.

    “Kita mana tahu hal kementerian dia tetapi suruh kita jawab. Jadi itulah gilanya ‘Madanon’ ini,” katanya ketika berucap di depan para penyokong PN yang berhimpun di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon, Alor Setar bagi menyambut kepulangannya setelah dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang, pagi tadi.

    Beliau dipercayai merujuk kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mempersoalkan siapa lelaki warga China ditahan di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik, berhubung kecurian unsur nadir bumi (REE).

    Mengulas lanjut Muhammad Sanusi turut menzahirkan harapan agar semua pihak menjaga disiplin agar kekal sihat dan dapat menunaikan tanggungjawab mengundi pada 12 Ogos nanti.

    “Banyak lagi program yang sedang kita atur. InsyaAllah banyak program-program besar dan utama yang akan memberi impak tinggi kepada diri kita.

    “Kalaulah negeri ini terlepas ke tangan orang gila, orang yang tak tahu apa-apa. Dah lapan bulan, kita tak nampak apa-apa lagi. Sebab itu sekarang ini telah dipopularkan istilah kakistokrasi iaitu sebuah kerajaan oleh orang lemah dan tidak berkemampuan mentadbir,” katanya.

    Tambahnya, ketika ini semua pihak dapat melihat seorang pemimpin yang bercakap berdegar-degar selama puluhan tahun untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi tidak mampu berbuat apa-apa.

    “Inilah peluang yang Allah bagi. Kalau dia tak jadi PM, kita pun tak tahu. Hang duduk ‘gelembung’ saja, selama 20 tahun ‘gelembung’ kami.

    “Dan hari ini Allah tunjuk… Dan dia nak pertahankan ‘gelembung’ itu, dia guna semua akta ‘draconian’ ini untuk mengenakan kita,” katanya.

  • Susulan pendakwaan Sanusi, Muda dan PSM gesa mansuh Akta Hasutan

    Susulan pendakwaan Sanusi, Muda dan PSM gesa mansuh Akta Hasutan

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini menyuarakan gesaan agar Akta Hasutan 1948 dimansuhkan.

    Gesaan itu dibuat menerusi kenyataan bersama Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Pengerusi PSM, Michael Jeyakumar Devaraj susulan pendakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor di bawah akta itu.

    “Pertamanya kami menolak kenyataan yang dibuat Sanusi, ianya amat tidak matang dan dangkal yang dibuat di atas pentas ceramah politik.

    “MUDA dan PSM menjunjung Perlembagaan Persekutuan yang menjadi batu asas kepada sistem demokrasi Malaysia.

    “Bagaimanapun, kami menolak akan pengunaan Akta Hasutan ke atasnya serta menggesa untuk akta ini dimansuhkan.

    “Sudah terdapat peruntukan lain untuk menguruskan isu-isu berbangkit yang berkait dengan perihal ini,” kata mereka.

    Terdahulu Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PN dihadapkan di Mahkamah Sesyen Selayang pagi tadi bagi menghadapi dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan menteri besar Selangor dan penubuhan kerajaan perpaduan.

    Dakwaan itu dibuatnya dalam satu ceramah politik di Selayang, Selangor, minggu lepas.

    Sanusi, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan.

    Di tengah kontroversi itu, Sanusi telah mengutus surat memohon maaf kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan mendakwa kenyataannya diputar-belit.

    Bagaimanapun semalam Sultan Sharafuddin menitahkan isu tersebut ‘belum selesai’, bahkan menzahirkan penghargaan kepada pelbagai pihak yang membuat laporan polis ke atas Sanusi.

    Sementara itu, Syed Saddiq dan Jeyakumar turut mempersoalkan penahanan pemimpin Pas itu yang dilakukan sekitar pukul 3 pagi tadi sedangkan beliau boleh diarah untuk hadir sendiri ke balai polis.

    “Kerajaan Madani hari ini yang ditunjangi Pakatan Harapan (PH) telah lama memperjuangkan untuk memansuhkan akta ini, malah ia tertulis dalam manifesto PH.

    “Kita tidak boleh hanya menjadi idealis ketika dalam pembangkang, kemudian meninggalkan prinsip bila mendapat kuasa,” kata mereka lagi, lapor Malaysiakini.

    Berkenaan waktu penahanan Sanusi, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata, tindakan itu selepas beberapa panggilan telefon yang dibuat kepada Sanusi ditolak.

  • MB disiasat SPRM berkait perlombongan nadir bumi

    MB disiasat SPRM berkait perlombongan nadir bumi

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa melibatkan seorang Menteri Besar dalam isu perlombongan unsur nadir bumi (REE).

    Sumber berkata, perlombongan itu dipercayai dilakukan secara tidak sah serta menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri.

    Menurutnya, SPRM menerima aduan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan termasuk penduduk di kawasan Bukit Enggang Sik, Kedah, berhubung isu perlombongan haram dan kerugian hasil bumi di kawasan tersebut.

    Baru-baru ini beberapa individu juga tampil dan membuat aduan rasmi kepada SPRM bagi menyiasat isu salah guna kuasa dan rasuah melibatkan seorang Menteri Besar.

    Ia susulan satu surat tular berkaitan permohonan kuota pekerja asing kepada Kementerian Dalam Negeri, kononnya bagi projek usahasama antara kerajaan negeri dengan sebuah syarikat tempatan dan syarikat dari China.

    UMNO pada Januari lalu pernah menggesa SPRM menyiasat dan mendedahkan hasil siasatan sama ada terdapat campur tangan politik dalam isu kecurian REE.

    Sumber itu berkata, SPRM pernah membuka kertas siasatan berhubung isu itu pada awal 2023 dan dikatakan memanggil beberapa saksi namun tidak diketahui sejauh mana kertas siasatan tersebut.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan beberapa kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

    “Ini termasuk kertas siasatan yang dibuka oleh SPRM Kedah pada Mac lalu,” katanya, lapor FMT.

    Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut ketika ditanya adakah SPRM akan memanggil Menteri Besar itu dalam masa terdekat.

  • Sanusi disambut bagai hero oleh penyokong

    Sanusi disambut bagai hero oleh penyokong

    Oleh BADLISHAH MAT

    KEPULANGAN Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ke negeri Kedah disambut ibarat hero selepas beliau dikenakan pendakwaan di Mahkamah Sesyen Selayang, pagi tadi.

    Lebih 1,000 penyokong berhimpun di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Halim (LTSAH), di Alor Setar bagi menyambut Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu.

    Ketibaan Muhammad Sanusi kira-kira pukul 4.30 petang disambut dengan laungan takbir serta ‘Hidup Sanusi’ selain para penyokong dan ahli Pas berebut-rebut untuk bersalam dengannya.

    Selain menunggu di balai ketibaan LTSAH, terdapat penyokong yang turut memenuhi bahu jalan di sepanjang laluan ke lapangan terbang itu bagi menyatakan sokongam.

    Terdahulu, Muhammad Sanusi disambut oleh isterinya, Tok Puan Jusmalailani Jusoh yang hadir bersama anak-anaknya.

    Beberapa kepimpinan Pas Kedah turut hadir antaranya Pesuruhjaya Pas, Datuk Ahmad Yahaya; Setiausahanya, Musoddak Ahmad dan Ketua Penerangan, Mohd. Azam Abd. Samat.

    Muhammad Sanusi bagaimanapun sekadar bersalaman dengan para penyokongnya tanpa membuat sebarang ucapan.  

    Terdahulu di Mahkamah Sesyen Selayang, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan berkaitan pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan.

    Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Simpang Simpang 4, Taman Selayang Mutiara, Kampung Bendahara di Kuala Lumpur pada 11 Julai lalu.

    Dalam sidang akhbarnya selepas dituduh pagi tadi, Muhammad Sanusi berkata pendakwaan itu bermotifkan politik dan menunjukkan kerajaan berada dalam ketakutan.

  • Lelaki didakwa bakar isteri sampai mati

    Lelaki didakwa bakar isteri sampai mati

    SEORANG pengawal kelab hiburan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Manjung atas pertuduhan membunuh isterinya dengan membakar mangsa hingga mati pada minggu lalu.

    S Gabriel, 28, menggangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret T Kavitha.

    Mengikut pertuduhan Gabriel dituduh menyebabkan kematian E Komathy, 33, di sebuah rumah di Ladang Waldbrook, Sitiawan pada 6.30 petang sehingga 7 malam, 10 Julai lepas.

    Tiada pengakuan direkodkan kerana pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan, di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rishan Kumar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan 18 Sept ini untuk sebutan semula kes.

    Sementara itu, di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis methamphetamine dan amphetamine ke dalam badan.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Ibu Pejabat Polis Pantai Remis pada 12 Julai.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39C (1) akta sama yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum tujuh tahun selain sebatan tidak melebihi tiga kali jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 25 Okt untuk sebutan semula kes.

  • Penahanan, pendakwaan Sanusi tak gugat sokongan rakyat pada PN

    Penahanan, pendakwaan Sanusi tak gugat sokongan rakyat pada PN

    PENAHANAN dan pendakwaaan yang dibuat terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pada Selasa tidak menggugat sokongan rakyat kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dijadualkan Ogos depan.

    Ketua Penerangan Pas Pahang, Mohd. Tarmizi Yahya berkata, malahan tindakan tersebut juga tidak melumpuhkan kepimpinan dan jentera PN untuk berkempen bagi memastikan kemenangan kepada parti gabungan itu.

    Pihaknya kata beliau, menghormati undang-undang dan pendakwaan yang sudah dikenakan terhadap Sanusi dan pastinya semua ahli Pas bertenang dalam isu ini.

    “Fokus kita pada PRN, kita yakin penahanan dan pendakwaan ini sebenarnya akan menambahkan dan meningkatkan lagi sokongan (rakyat) terhadap MB Kedah, seterusnya kepada PN pada PRN nanti,” katanya hari ini.

    Pada awal pagi tadi, Pengarah Pilihan Raya Pas itu ditahan polis di satu lokasi di ibu negara dan perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

    Sanusi didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang dan mengaku tidak bersalah pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

    Beliau sebelum itu, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin atas pertuduhan sama berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dalam ceramah sama.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.

    Mohd. Tarmizi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching mendakwa, tindakan itu dibuat bagi memberi persepsi dan imej buruk kepada Sanusi dan PN.

    Beliau yakin rakyat mengetahui bahawa isu tersebut hanyalah mainan persepsi yang dimainkan oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang tidak mempunyai isu untuk diketengahkan dalam PRN di enam negeri.

    Jelasnya, rakyat melihat perbuatan ini adalah tindakan mundur dan ke belakang kerana menyekat kebebasan bersuara rakyat.

    “Jadi, kita yakin sokongan tidak akan menurun bahkan kita melihat hari ini semakin ramai rakyat mula melihat bahawa PH terutamanya yang memperjuangkan keadilan kebebasan bersuara dan itu semua adalah retorik semata- mata,” jelas beliau lagi.

    Ditanya mengenai persiapan PN Pahang pada PRN enam negeri, Mohd. Tarmizi yang merupakan Ketua Penerangan PN Pahang memberitahu parti gabungan itu sudah menghantar sukarelawan untuk membantu kempen PRN di Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

    Tambahnya, semua kawasan untuk mereka berkempen sudah diaturkan di beberapa kawasan di tiga negeri terbabit.

    “Semangat yang kita dapat dalam PRU (Pilihan Raya Umum) yang lalu akan digunakan dalam PRN ini bagi memastikan peluang untuk PN menang,’ katanya, lapor Sinar Harian.

  • Pendakwaan sekadar jadikan Sanusi wira, mangsa penganiayaan’

    Pendakwaan sekadar jadikan Sanusi wira, mangsa penganiayaan’

    PENAHANAN dan pendakwaan ke atas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor dilihat memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN) terutama sokongan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

    Penganalisis politik, Prof Wong Chin Huat berkata, di mata penyokong Sanusi, beliau dilihat sebagai wira dengan populariti pemimpin itu terutama dalam kalangan penyokong PN dijangka terus melonjak.

    Katanya, karakter Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu yang berani dan lantang bersuara turut menonjolkan lagi auranya untuk diterima dalam kalangan pengundi Melayu.

    “Ucapan beliau sememangnya kesat dan tidak menghormati institusi Raja dan Kesultanan Selangor, malah permohonan maaf (dilakukannya) juga kurang jujur. Namun saya tak melihat keperluan untuk beliau ditahan pada awal pagi.

    “Saya rasa tindakan ini akan ‘back fire’, beri kesan kepada perkembangan seterusnya (termasuk PRN akan datang). Ia mungkin akan membantu PN, beliau akan dilihat sebagai seorang pejuang syahid di mata penyokong beliau.

    “Jadi mereka akan lihat beliau sebagai mangsa penganiayaan, bukan melemahkan PN tetapi menyebabkan lebih banyak sokongan diberikan (kepada PN),” katanya dalam satu wawancara bersama Astro Awani hari ini.

    Pagi tadi, Muhammad Sanusi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Selayang, bagi menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(A) Akta Hasutan.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

    Chin Huat berkata, pendakwaan ke atas Muhammad Sanusi mungkin sedikit sebanyak membuatkan PN lebih berhati-hati terutama ketika berkempen, namun persoalan yang lebih besar adalah kemungkinan pemimpin itu berjaya menawan hati pengundi atas pagar.

    “Saya tak lihat pendakwaan ini akan melemahkan populariti Sanusi dalam kalangan penyokong tegarnya, persoalannya, apakah ini akan mengubah pandangan pengundi di medan tengah (atas pagar).

    “Kita perlu lihat kemunculan populariti Sanusi ini dalam konteks seperti Donald Trump di Amerika Syarikat dan Rodrigo Duterte, bekas presiden Filipina. Beliau merupakan populis yang menggunakan kata kesat. Ini sebenarnya agak berbeza daripada ciri bangsa Melayu yang terkenal dengan sopan santun dan budi pekerti.

    “Bagaimanapun, ciri yang beliau tonjolkan ini (lari daripada sifat orang Melayu), kita lihat agak popular dalam kalangan pengundi Melayu akar umbi, kerana mereka lihat ini sebagai satu bentuk keberanian dan ketelusan,” katanya.

    Ditanya sama ada pendakwaan ke atas Muhammad Sanusi akan menyekat peluangnya bertanding pada PRN, Chin Huat berkata ia tidak langsung memberi kesan.

    “Sudah tentu beliau boleh bertanding kerana ini hanya pendakwaan di peringkat permulaan dan bukan sabitan yang muktamad.

    “Apa yang saya jangkakan, Sanusi akan menggunakan isu seperti penahanannya pada waktu lewat malam sebagai penganiayaan politik. Ini akan dijadikan modal politiknya… bukan di Kedah tetapi di luar negeri itu.

    “Sungguhpun begitu, kita masih ada empat minggu dari hari mengundi, banyak perkara boleh berlaku,” katanya yang turut memuji saranan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang meminta ahli Pas menghormati proses perundangan yang sedang berjalan.

    Jelasnya, Takiyuddin memberikan mesej yang jelas kepada pengundi Pas dan PN supaya tidak mengambil tindakan melulu atau berlebihan susulan pendakwaan ke atas pemimpin parti itu.

  • Tahanan lelaki lolos ketika dirawat di hospital diberkas semula kurang 24 jam

    Tahanan lelaki lolos ketika dirawat di hospital diberkas semula kurang 24 jam

    DALAM tempoh kurang 24 jam, seorang tahanan yang melarikan diri ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Bakap (HKB), Pulau Pinang berjaya diberkas semula di Jalan Pantai Bersih, Butterworth pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintenden Ng Ah Thiam berkata, suspek itu ditahan kira-kira pukul 8.45 pagi tadi dengan bantuan anggota dari Penjara Seberang Perai.

    “Pihak polis berterima kasih kepada orang awam yang telah memberi kerjasama,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Semalam, polis menerima laporan kira-kira pukul 3.56 petang daripada warden penjara yang memaklumkan seorang tahanan lelaki warga tempatan telah melarikan diri.

    Ah Tiam berkata, tahanan terbabit iaitu Nordin Ahmad, 54, dikatakan meloloskan diri ketika berada di Wad Kuarantin Tibi (Wad 5) hospital terbabit.

    “Ketika itu, tahanan berkenaan memakai baju- t berwarna kelabu dan berseluar pendek berwarna hitam.

    “Susulan laporan itu, usaha mengesan tahanan giat dijalankan menerusi ‘Op Tutup’,” katanya.

  • Mitra: Bekas pengerusi, bendahari PWBSM didenda guna baucar bayaran palsu

    Mitra: Bekas pengerusi, bendahari PWBSM didenda guna baucar bayaran palsu

    BEKAS Pengerusi Persatuan Wanita Berjaya Sejati Malaysia (PWBSM) dan bekas bendaharinya didenda masing-masing RM3,500 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas kesalahan menggunakan dua baucar bayaran palsu bagi peruntukan dana di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) berjumlah RM1,600.

    J. Lalitha Mani, 48, (pengerusi) dan B. Shivaranjani, 42, (bendahari) dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi.

    Mahkamah memerintahkan kedua-dua wanita itu dikenakan hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

    Mengikut dua pertuduhan itu, mereka didakwa bersama-sama menggunakan dua dokumen palsu iaitu baucar ‘Volunteer Services For Program Pemerkasaan Wanita India’ bagi peruntukan dana di bawah Mitra bertarikh 11 Oktober yang dikeluarkan oleh PWBSM masing-masing bernilai RM800.

    Dokumen itu kemudiannya diberi kepada Priscilla Rachael, 27, dan G.Govindan, 44, di Mitra, Kementerian Perpaduan Negara di Putrajaya pada 26 Oktober 2020.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Berdasarkan fakta kes, pada 28 Julai 2020, Lalitha Mani yang merupakan setiausaha merangkap Pengerusi PWBSM manakala Shivaranjani bendahari persatuan berkenaan ketika itu, telah menandatangani satu perjanjian antara kerajaan (Mitra) dan PWBSM di bawah Program Pembangunan Keusahawanan dan Kerjaya Masyarakat India bagi tahun 2020 untuk mendapatkan geran kewangan Mitra berjumlah RM1.1 juta.

    Pihak Mitra telah membayar keseluruhan jumlah geran tersebut antara 12 Ogos 2020 hingga 19 Januari 2021 secara berperingkat sementara pihak PWBSM menyediakan laporan berkala berkaitan program terbabit.

    Pada 26 Oktober 2020, Shivaranjani telah menghantar Laporan Berkala Prestasi Pelaksanaan Program Pemerkasaan Wanita anjuran PWBSM bertarikh 20 Oktober 2020 yang mengandungi dua baucar bayaran palsu kepada pihak Mitra.

    Hasil siasatan mendapati, penerima baucar bayaran iaitu Priscilla dan Govindan tidak pernah menerima bayaran atau menandatangani baucar berkenaan pada 11 Oktober 2020.

    Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Noor Syafina Mohd. Radzuan memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal dengan mengambil kira kes yang menggunakan dokumen palsu ini kerap berlaku.

    Bagaimanapun, peguam, Devanandan S.Subramaniam yang mewakili kedua-dua tertuduh, merayu agar Lalitha dan Shivaranjani dikenakan hukuman minimum.

    “Lalitha kini bekerja sebagai guru tuisyen, perlu menanggung tiga anak manakala Shivaranjani baharu sahaja bekerja sebagai seorang eksekutif perolehan tenaga kerja,” katanya, lapor Sinar Harian.