Category: Semasa

  • Najib berhadapan situasi sukar cabar sabitan  – Anwar

    Najib berhadapan situasi sukar cabar sabitan – Anwar

    DATUK Seri Anwar Ibrahim  menyifatkan Datuk Seri Najib Razak berhadapan situasi amat sukar untuk mencabar sabitan dan hukuman, mengambil kira pengalaman beliau terdahulu yang pernah disabit bersalah berkait kesalahan rasuah dan liwat.

    Bagaimanapun kata Ketua Pembangkang itu, Najib yang juga bekas Perdana Menteri , boleh memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

    Dalam wawancara bersama CNBC, Anwar berkata memandangkan impak kewangan berhubung skandal 1MDB, Najib akan berdepan kesukaran.

    Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman kes SRC International, dengan Najib dihantar ke Penjara Kajang, susulan keputusan mahkamah tertinggi itu.

    Keputusan itu menjadikan Najib sebagai bekas Perdana Menteri pertama dalam sejarah negara ini dipenjara.

    Anwar yang merupakan Presiden PKR dan Ketua Pembangkang percaya Najib akan ditempatkan dalam penjara lebih baik daripadanya pada awal 2000, selepas bekas Timbalan Perdana Menteri itu dinafikan mendapatkan buku dan lawatan keluarga ketika menjalani hukuman.

    “Dari apa yang saya faham daripada ‘rakan’ lama (yang juga) pegawai penjara, beliau akan diberikan layanan lebih baik, beliau akan diberi beberapa kemudahan. Namun, penjara bukan tempat yang selesa. Ia sukar, terutama nak dibandingkan gaya hidup (Najib) seperti hotel tujuh bintang. Beliau akan berdepan pengalaman sukar,” katanya.

    Awal hari ini, Jabatan Penjara menyangkal khabar angin bahawa Najib akan menerima layanan istimewa di Penjara Kajang, seperti ditularkan di media sosial.

    Pada April 1999, Anwar dihukum penjara enam tahun atas tuduhan rasuah, manakala pada Ogos 2000, beliau dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun kerana meliwat.

    Pada 2004, beliau dibebaskan selepas sabitannya digugurkan. Bagaimanapun, beliau sekali lagi dipenjara pada 2014 kerana meliwat sebelum menerima pengampunan diraja. Beliau dibebaskan, pada 2018.

  • Lelaki langgar kereta, samun wanita diburu polis

    Lelaki langgar kereta, samun wanita diburu polis

    POLIS memburu seorang lelaki selepas didakwa terlibat kejadian langgar dan samun seorang wanita di Lorong Stampin, Kuching, Sarawak hari ini.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, kejadian berlaku apabila suspek melanggar belakang kenderaan dipandu mangsa sebelum melakukan samun.

    Katanya, susulan itu polis membuka tiga kertas siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

    “Hari ini, polis mengesan satu rakaman video tular berdurasi 27 saat yang dimuat naik di media sosial dengan memaparkan seorang wanita diragut,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, gerakan memburu suspek giat dijalankan dan sehingga kini belum ada tangkapan dibuat.

    “Polis mengalu-alukan kerjasama orang awam menyalurkan maklumat berkenaan kejadian itu,” katanya.

    Terdahulu, tular di media sosial seorang lelaki yang juga penunggang motosikal dipercayai merempuh kereta dipandu seorang wanita.

    Suspek dilihat berhenti di hadapan kereta mangsa sebelum menghampirinya konon untuk memeriksa kenderaan dilanggar.

    Bagaimanapun, suspek merampas beg tangan lalu melarikan diri. Mangsa cuba mengejar namun gagal.

  • Kanak-kanak meninggal dunia ‘kali kedua’ selepas bernafas ketika majlis pengebumian

    Kanak-kanak meninggal dunia ‘kali kedua’ selepas bernafas ketika majlis pengebumian

    SEORANG kanak-kanak 3 tahun di Mexico mengejutkan saudara maranya selepas dilihat bernafas dari dalam keranda ketika majlis pengebumiannya.

    Camila Roxana Martinez Mendoza disahkan meninggal dunia oleh seorang doktor 12 jam lalu pada 17 Ogos kerana selesema perut atau stomach flu namun ia dilaporkan bahawa doktor mungkin membuat kesilapan dengan diagnosis tersebut dan ‘hidup semula’ ketika majlis pengebumiannya.

    Camila dibawa ke hospital dengan segera namun disahkan meninggal dunia ‘buat kali kedua’ oleh pihak hospital komuniti Salinas de Hidalgo, Mexico.

    Ibu Camila, Mary Jane Mendoza berkata anak perempuannya sebelum ini sakit perut dan muntah-muntahadan selepas dimasukkan ke hospital, keadaannya semakin teruk. Kanak-kanak itu  kemudiannya disahkan meninggal dunia.

    Ketika majlis pengebumian, ibu mertua Mary, Peralta berkata kepada menantunya bahawa bahagian berkaca di bahagian atas keranda cucunya berkabus, seolah-olah dia sedang bernafas namun orang ramai berkata dia berhalusinasi.

    Peralta kemudia ternampak biji mata cucunya sedang bergerak. Ahli keluarganya yang lain memeriksa nadi Camila dan mengesahkan dia masih bernyawa ketika itu.

    Namun, selepas dibawa ke hospital, Camila disahkan meninggal dunia

    Menurut Pihak Peguam Negara, Jose Luis Ruiz, mereka sedang menyiasat kes tersebut.

  • Ribut petir dijangka landa negara 27-30 Ogos

    Ribut petir dijangka landa negara 27-30 Ogos

    NEGARA dijangka menerima tiupan angin lemah dan pelbagai hala dari 27 hingga 30 Ogos ini yang berpotensi menyebabkan pembentukan awan ribut petir terutama pada sebelah petang sehingga malam.

    Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan hari ini memaklumkan antara kawasan terlibat adalah negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, Sarawak (tengah dan utara), barat Sabah serta Labuan.

    Menurut kenyataan itu, fenomena berkenaan dikesan berdasarkan analisis Model Penyelidikan dan Ramalan Cuaca MetMalaysia (MET-WRF), Pusat Ramalan Cuaca Julat-Sederhana Eropah (ECMRWF) dan Sistem Ramalan Global (GFS).

    Sehubungan itu, MetMalaysia menasihatkan orang awam supaya sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial agensi itu serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.- BERNAMA

  • ‘Biasanya banduan jalani dua pertiga hukuman sebelum diberi pengurangan’ – Abu Talib

    ‘Biasanya banduan jalani dua pertiga hukuman sebelum diberi pengurangan’ – Abu Talib

    DATUK Seri Najib Razak boleh membuat petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong dengan segera bagi mendapatkan pengampunan, menunda atau mengurangkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya.

    Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman, berkata Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan mengurangkan hukuman bagi segala kesalahan dibicara dan dilakukan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

    Katanya, Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bagi setiap negeri perlu membabitkan Peguam Negara, Ketua Menteri negeri (dalam kes Najib adalah Menteri Wilayah Persekutuan) dan tidak lebih daripada tiga anggota lain yang perlu dilantik Yang di-Pertuan Agong.

    “Bagaimanapun, mengikut Perkara 42 (9), Lembaga Pengampunan perlu menimbangkan sebarang pendapat bertulis yang dikemukakan Peguam Negara mengenai perkara itu.

    “Sekiranya Najib memohon pengampunan diraja, maka ia akan diproses mengikut peraturan dan dibentangkan Lembaga Pengampunan. Jadi, masih terdapat saluran untuk Najib mendapat keampunan atau dikurangkan hukuman,” katanya kepada BH.

    Beliau berkata, seseorang yang sudah disabitkan dengan hukuman, biasanya akan menjalani dua pertiga daripada hukuman dijatuhkan terhadapnya, manakala baki satu pertiga akan mendapat pengurangan secara automatik jika berkelakuan baik.

    Abu Talib adalah Timbalan Pendakwa Raya ketika bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris disabitkan atas kesalahan rasuah pada 1977 dan kemudian menjadi Peguam Negara ketika bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Mokhtar Hashim, disabitkan membunuh Datuk Mohamad Taha Talib iaitu Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, pada 1983.

    Harun mendapat pengampunan diraja pada 1982, manakala Mokhtar dibebaskan daripada hukuman itu pada 1991.

    Sementara itu, pengamal undang-undang, Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir, berkata mengikut Peraturan 113 Peraturan-peraturan Penjara 2000, petisyen pengampunan itu boleh dilakukan Najib, ahli keluarga atau peguam dilantik bekas Perdana Menteri itu.

    “Petisyen pengampunan itu perlu dikemukakan kepada Urus Setia Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan iaitu Seksyen Dasar, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, di Putrajaya.

    “Petisyen pertama, boleh dibuat segera yang dapat dilaksanakan oleh Najib selepas sabitannya, namun petisyen kali kedua hanya dibenarkan apabila seseorang banduan sudah menyempurnakan tiga tahun dari tarikh sabitan.

    “Bagaimanapun, berdasarkan kes sebelum ini, khususnya membabitkan Harun, Mokhtar dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka sudah menjalani sebahagian daripada hukuman sebelum suatu pengampunan diberikan,” katanya.

    Pada 16 Mei 2018, Anwar diberikan pengampunan penuh tanpa sebarang syarat oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, ketika itu.

  • Anugerah terindah yang tidak pernah saya impikan – Amy

    Anugerah terindah yang tidak pernah saya impikan – Amy

    PENYANYI rock tanah air, Amy Search dianugerahkan pingat Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk.

     Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 64, menjadi satu-satunya pengiat seni yang menerima pingat itu sempena Sambutan Hari Jadi ke-73 Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di sini hari ini.

    “Alhamdulillah, syukur kepada Ilahi yang telah memberi anugerah ini. Ia anugerah terindah, sesuatu yang tidak pernah saya impikan selama ini.

    “Sudah tentu ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Tun Ali Rustam dan kerajaan negeri,” katanya ditemui pemberita selepas istiadat penganugerahn yang diadakan di Balai Istiadat Seri Negeri, Ayer Keroh .

    Bapa kepada pelakon Nabila Huda itu juga berkata anugerah berkenaan juga dianggap sebagai satu sokongan kepadanya dalam bidang seni yang diceburi lebih 40 tahun itu.

    “Satu penghargaan juga kerana isteri saya (Norhasniza Hassan) merupakan orang Melaka dan saya sendiri sangat suka dengan seni reka bangunan di sini. Saya juga berbesar hati untuk bekerjasama dengan Melaka pada masa depan,” katanya.

    Sementara itu, Noraida Che Noh, 40, balu kepada Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh berkata beliau tidak menyangka jasa dan pengorbanan suaminya yang terkorban dalam operasi menyelamat mangsa banjir terus dihargai hingga kini

    Allahyarham Mohd Diya yang merupakan Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah, meninggal dunia selepas dibawa arus deras di Kampung Sungai Putat di sini pada 20 Okt tahun lepas.

    “Pingat yang diterima hari ini adalah anugerah tertinggi yang Allahyarham terima setakat ini dan ia akan menjadi pembakar semangat kepada anak-anak untuk meneruskan kehidupan mereka,” katanya yang mewakili Allahyarham Mohd Diya menerima pingat Bintang Gagah Perkasa (BGP). 

    Mengenai kehidupan bersama empat anak berusia 10 hingga 19 tahun selepas hampir setahun pemergian suaminya, Norida berkata beliau bersyukur kerana dikelilingi insan yang baik dan sering memudahkan urusan mereka termasuk pelajaran anak-anaknya.

    “Anak-anak sudah dapat menerima pemergian abah mereka dan anak sulung kini melanjutkan pelajaran di Kolej Komuniti Bukit Beruang dalam jurusan automotif,” katanya yang kini mengambil upah mengasuh bayi bagi menambah pendapatan.

    –BERNAMA

  • Najib boleh jelaskan denda RM210 juta sepanjang 12 tahun dipenjarakan – Peguam

    Najib boleh jelaskan denda RM210 juta sepanjang 12 tahun dipenjarakan – Peguam

    TERDAPAT ketidakpastian bila Datuk Seri Najib Tun Razak akan membayar denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya dalam kes rasuah membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

    Berkaitan hal ini, golongan peguam berpendapat bekas Perdana Menteri berusia 69 tahun itu boleh membayar jumlah denda yang besar tersebut pada bila-bila masa sepanjang tempoh 12 tahun beliau dipenjarakan.

    Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata berdasarkan prinsip undang-undang, Najib boleh membayar denda itu pada bila-bila masa namun jika beliau gagal berbuat demikian selepas hukuman penjaranya dijadualkan berakhir maka tempoh pemenjaraan akan ditambah lima tahun seperti perintah Mahkamah Persekutuan.

    Peguam Lim Wei Jiet turut berkongsi pandangan sama dan berkata tiada had masa yang dikenakan oleh Mahkamah Persekutuan berhubung tempoh pembayaran.

    “Oleh itu, beliau boleh melunaskannya pada bila-bila masa sepanjang tempoh 12 tahun pemenjaraannya,” kata peguam itu.

    Peguam M.Viswanathan pula berkata Najib boleh membuat bayaran secara ansuran atau mengeluarkan arahan untuk menjual hartanah seperti yang diperuntuk di bawah Seksyen 283 Kanun Tatacara Jenayah.

    “Kebiasaannya, tempoh masa yang munasabah diberikan untuk membuat pembayaran,” katanya.

     Semakan dengan pihak berkuasa pula mendapati adalah tidak jelas sama ada Najib sudah membayar denda itu atau sebaliknya.

    Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

    Panel lima hakim dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas beliau pada 28 Julai 2020.

    Pada 8 Dis 2021, beliau turut gagal mengetepikan sabitan dan hukuman itu di peringkat Mahkamah Rayuan.- BERNAMA

  • Nelayan hilang dua hari tanpa makan, minum ditemukan selamat

    Nelayan hilang dua hari tanpa makan, minum ditemukan selamat

    SEORANG nelayan tempatan terpaksa menahan lapar dan dahaga selama dua hari selepas bot digunakannya kehabisan minyak di laut.

    Memetik laporan Berita Harian, mangsa, R Rajah, 43, bagaimanapun bernasib baik kerana ditemukan dalam keadaan selamat oleh sekumpulan nelayan, hari ini.

    Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid, berkata mangsa ditemukan pada kedudukan 16.6 batu nautika barat daya Kuala Trong, dekat sini, pada jam 12 tengah hari tadi.

    Terdahulu, katanya pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mangsa daripada nelayan tempatan, sebelum menggerakkan sepasukan anggota menggunakan bot Benteng 3 untuk tindakan lanjut.

    Terdahulu, katanya pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mangsa daripada nelayan tempatan, sebelum menggerakkan sepasukan anggota menggunakan bot Benteng 3 untuk tindakan lanjut.

    “Menurut mangsa, bot digunakannya kehabisan minyak dan ia hanyut selama dua hari. Sepanjang tempoh itu, mangsa terpaksa bertahan di atas bot tanpa sebarang bekalan makanan, sebelum ditemukan nelayan tempatan yang melalui kawasan itu.

    “Mangsa kemudian dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Kuala Kurau untuk pengecaman dan disahkan oleh ahli keluarga sebelum dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kelmarin, satu laporan polis dibuat keluarga apabila seorang nelayan disyaki hilang ketika keluar melakukan aktiviti perikanan di perairan Kuala Gula, dekat sini.

    Susulan itu, operasi pencarian dilancarkan membabitkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Perikanan, Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta komuniti nelayan.

    Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat, mengesahkan kejadian itu termasuk penemuan mangsa.

  • Pesara kerajaan kerugian RM350,000 diperdaya ‘pegawai bank’

    Pesara kerajaan kerugian RM350,000 diperdaya ‘pegawai bank’

    SEORANG pesara kerajaan kerugian lebih RM350,000 akibat diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai bank.

    Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka, berkata wanita berusia 62 tahun itu dikatakan menerima mesej pesanan ringkas (SMS) pada pukul 9.07 pagi 17 Ogos lalu yang mendakwa mangsa ada membuat pembelian dalam talian.

    Susulan itu, beliau berkata, mangsa menghubungi nombor telefon yang disertakan dalam pesanan SMS berkenaan, sebelum suspek yang menyamar sebagai pegawai bank meminta semua maklumat akaun bank wanita terbabit.

    “Mangsa kemudian kongsikan semua maklumat akaun banknya bersama nombor kod pengesahan transaksi (TAC).

    “Pada 20 Ogos lalu, mangsa menyedari wang dalam akaun bank berjumlah RM352,050 telah dipindahkan ke dalam akaun pihak ketiga, disyaki dilakukan oleh ‘scammer’ tanpa pengetahuan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Berikutan itu, beliau berkata, mangsa yang menyedari tertipu membuat laporan polis, semalam.

    “Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

    Beliau sekali gus menasihati orang ramai supaya mengelak daripada menjawab panggilan telefon dan melayan sebarang bentuk SMS daripada pihak tidak dikenali yang mendakwa dari mana-mana jabatan kerajaan atau organisasi.

    “Sekiranya menerima panggilan sedemikian, sila hubungi balai polis berdekatan untuk pengesahan sebelum membuat apa-apa transaksi pindahan wang.

    “Orang awam juga dinasihatkan sentiasa peka dengan modus operandi terkini ‘scammer’ bagi mengelak kejadian serupa berulang,” katanya.

  • Liwat murid: Bekas guru pelatih dipenjara enam tahun, dua sebatan

    Liwat murid: Bekas guru pelatih dipenjara enam tahun, dua sebatan

    SEORANG bekas guru pelatih terpaksa menjalani hukuman penjara enam tahun selepas gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan Putrajaya untuk mengetepikan sabitan atas kesalahan meliwat seorang murid tahun enam pada 2016.

    Mohamad Harman Faiz Hassin, 30, yang dibebaskan dengan ikat jamin RM22,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuannya selesai, turut diperintah disebat dua kali.

    Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said sebulat suara menolak rayuan Mohamad Harman terhadap sabitan kesalahan liwat yang dilakukan di sebuah bilik di asrama institut perguruan di Besut, Terengganu pada kira-kira 1 tengah hari, 17 Sept 2016.

    Hakim berkata Mahkamah Sesyen telah membuat dapatan yang betul berdasarkan bukti dan sabitan Mohamad Harman bagi kesalahan itu adalah selamat.

    Bagaimanapun mahkamah membenarkan rayuan Mohamad Harman supaya hukuman penjaranya dikurangkan daripada 10 tahun kepada enam tahun.

    Dalam keputusan mahkamah, hakim itu berkata mahkamah bersetuju untuk mengurangkan hukuman penjara terhadap Mohamad Harman memandangkan perayu (Mohamad Harman) masih muda ketika melakukan kesalahan itu dan juga adalah pesalah pertama.

    Kamaludin berkata penjara enam tahun itu juga akan mengambil kira tempoh Mohamad Harman menjalani hukumam penjara sebelum dia diberi jaminan oleh Mahkamah Tinggi sementara menunggu rayuannya diselesaikan.

    Panel hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Hakim Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan, turut mengetepikan perintah Mahkamah Sesyen supaya Mohamad Harman menjalani pengawasan polis selama dua tahun selepas dia selesai menjalani hukuman penjara.

    Pada 5 Mac 2019, Mahkamah Sesyen mendapati Mohamad Harman bersalah atas tuduhan meliwat murid lelaki berusia 12 tahun ketika itu dan menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan enam sebatan.

    Dia gagal dalam rayuannya terhadap sabitan di Mahkamah Tinggi namun hukumannya dikurangkan kepada 10 tahun penjara dan dua sebatan. Dia kemudiannya memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

    Peguam Datuk Jasbeer Singh Kaura yang mewakili Mohamad Harman memberitahu media bahawa anak guamnya pernah menjalani hukuman penjara kira-kira tiga setengah bulan sebelum ini.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fauziah Daud.- BERNAMA