Category: Semasa

  • Lelaki tunggang motosikal parah terkena dua das tembakan

    Lelaki tunggang motosikal parah terkena dua das tembakan

    SEORANG lelaki parah akibat terkena sekurang-kurangnya dua das tembakan ketika menunggang motosikal di Kota Damansara, Petaling Jaya, Kuala Lumpur, pukul 8.40 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, pihak polis kemudian bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan, namun hanya menemui motosikal mangsa yang dipercayai terbabas selepas ditembak suspek.

    “Hasil siasatan mendapati mangsa berusia 40-an berjaya melarikan diri dan meminta bantuan seorang pengawal keselamatan di sebuah kawasan perumahan berhampiran.

    “Mangsa mengalami kecederaan di bahagian dada sebelah kiri serta lengan sebelah kiri dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana mencuba membunuh orang.

    “Polis meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Asisten Superintendan Mohd Maliki Bin Ariffin di talian 013-8308485,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

  • MB Perlis, Sova Ali sah bercerai talak satu

    MB Perlis, Sova Ali sah bercerai talak satu

    MENTERI Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan Sova Ali, hari ini sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat di sini, selepas melayari bahtera perkahwinan selama 12 tahun.

    Peguam Syarie Nurul Atikah Abd Rashid yang mewakili Azlan selaku defendan berkata Hakim Syarie Abdullah Zuhdee Ab Halim mengesahkan perceraian tersebut, pada prosiding yang berlangsung secara tertutup.

    “Hakim mengesahkan lafaz cerai itu mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, selepas berpuas hati dengan keterangan pihak-pihak berhubung perceraian yang dilafazkan defendan di Jakarta, Indonesia pada 23 April lalu,” katanya ketika ditemui pemberita.

    Berdasarkan Seksyen 57, seseorang yang telah menceraikan isterinya dengan lafaz talak di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah, hendaklah melaporkan kepada mahkamah dalam masa tujuh hari dari pelafazan talak itu.

    Sementara itu, Peguam Syarie Muhammad Syafiq Ibrahim yang mewakili Sova selaku plaintif berkata anak guamnya memfailkan saman berhubung pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah, pada 3 Jun lepas.

    “Setakat ini tiada apa-apa tuntutan berkenaan nafkah, harta sepencarian dan sebagainya. Saya masih menunggu arahan anak guam,” katanya dan menambah saman itu difailkan di mahkamah di sini kerana anak guamnya bermastautin di Bangi.

    Prosiding pengesahan perceraian itu sepatutnya berlangsung pada 4 Julai lalu, namun ditangguhkan ke hari ini kerana Ahli Dewan Undangan Negeri Bintong itu tidak hadir atas urusan kerja yang tidak dapat dielakkan.

    Azlan, 63, dan  Sova, 40, warganegara Indonesia berkahwin pada 21 Mac 2010 di Perlis, namun tidak dikurniakan cahaya mata.- BERNAMA

  • Najib dipenjara: ‘Datuk Seri sihat’ – Rosmah

    Najib dipenjara: ‘Datuk Seri sihat’ – Rosmah

    “Datuk Seri sihat, alhamdulillah…” kata Datin Seri Rosmah Mansor berhubung keadaan suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah memasuki hari ketiga menjalani hukuman di Penjara Kajang.

    Rosmah ketika ditemui media bagaimanapun enggan mengulas lanjut tahap kesihatan bekas Perdana Menteri itu.

    “Tak ada apa (mahu diperkatakan). Datuk Seri (Najib) sihat,” katanya kepada pemberita ketika keluar dari Kompleks Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur sekitar pukul 3.30 petang tadi.

    Terdahulu, beliau yang berbaju kurung merah jambu hadir sekitar pukul 12.25 tengah hari bagi memberikan sokongan kepada Ahli Parlimen Pekan itu pada perbicaraan kes berhubung penyelewengan dana RM2.3 bilion daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

    Mengulas lanjut, Rosmah turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada para penyokong Najib.

    “Terima kasih banyak-banyak kerana datang beri sokongan,” katanya sebagaimana dilaporkan Astro Awani.

    Kelmarin, Najib dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

  • Selangor catat 4,608 kes ‘scammer’

    Selangor catat 4,608 kes ‘scammer’

    PENIPUAN dalam talian atau scammer mencatatkan peningkatan di Selangor apabila sebanyak 4,608 kes direkodkan sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini.

    Statistik itu diperoleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi aduan dan laporan mangsa dalam tempoh berkenaan.

    Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, jumlah itu meliputi sebanyak 1,136 kes yang melibatkan transaksi dalam talian.

    Menurut beliau, menunjukkan kes scammer semakin meningkat berbanding tahun sebelumnya berdasarkan rekod KPDNHEP Selangor

    “Aktiviti penipuan itu kini menjadi ancaman serius kerana mengakibatkan mangsa kehilangan sehingga ratusan ribuan ringgit.

    “Keadaan itu mula berlaku sejak pandemik Covid-19 melanda terutama melibatkan transaksi wang tunai secara dalam talian,” katanya selepas merasmikan Forum Kesedaran Penipuan Dalam Talian dan Pelancaran Aplikasi Whoscall di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

    Terdahulu, media melaporkan Polis Selangor mendedahkan sebanyak 1,354 kes penipuan dengan mencatatkan kerugian RM59.6 juta dalam tempoh enam bulan tahun ini.

    Kata Mohd. Zawawi, orang ramai dinasihatkan terus peka dan berwaspada bagi mengelak menjadi mangsa penipuan itu.

    “Sebagai contoh, kita jangan terlalu obses untuk mempamerkan kemewahan atau harta di media sosial.

    “Ia berikutan perkara seumpama itu akan dipantau scammer untuk dijadikan sebagai sasaran dan mangsa mereka,” ujarnya.

    Dalam pada itu, beliau berkata, kerjasama kerajaan negeri dan Whoscall melibatkan penganjuran seminar atau kempen kesedaran mengenai aktiviti penipuan di negara ini.

    “Whoscall merupakan aplikasi yang diperkenalkan sejak 2018 bagi membantu mengesan panggilan telefon dan dapat mengesan identiti pihak tertentu terutama scammer,” ujarnya sebagaimana dilaporkan Satu Berita.

  • Doktor rugi RM1.3 juta diperdaya Macau Scam

    Doktor rugi RM1.3 juta diperdaya Macau Scam

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG doktor berputih mata apabila mengalami kerugian RM1.3 juta selepas diperdaya sindiket penipuan dalam talian yang menawarkan perkhidmatan menjual kereta potong dari Singapura tetapu sebenarnya tidak wujud.

    Mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 34 itu mula tertarik dengan iklan dalam Facebook pada hujung bulan lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mangsa kemudiannya menekan pautan iklan tersebut sebelum berinteraksi dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp untuk mengetahui lebih lanjut tawaran diberikan

    “Mangsa mungkin mahu mulakan bisnes alat ganti kenderaan, jadi dia nak beli kereta skrap dari Singapura. Dia tidak pernah jumpa secara fizikal dengan suspek, mereka berhubung secara dalam talian,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru, hari ini.

    Kamarul Zaman berkata, mangsa melakukan beberapa transaksi memindahkan wang RM1.3 juta tersebut ke akaun disyaki milik suspek bermula 1 hingga 19 Ogos lalu.

    Mangsa katanya, mula menyedari tertipu setelah suspek gagal dihubungi sebelum dia tampil membuat laporan polis pada 20 Ogos lalu.

    Dalam kes berasingan, beliau berkata, seorang mekanik kerugian kira-kira RM240,000 setelah terpedaya sindiket tiket loteri yang menjanjikan pulangan hadiah setengah juta ringgit.

    Mangsa berusia 55 tahun ujar beliau, didatangi seorang lelaki pada bulan Mei lalu menawarkan tiket loteri toto yang sudah menang hadiah RM500,000.

    “Bagi mendapatkan hadiah tersebut, suspek memaklumkan mangsa perlu membayar duit pendahuluan. Mangsa melakukan beberapa transaksi menerusi akaun bank melibatkan wang RM240,000,” katanya.

    Katanya, mangsa menyedari tertipu selepas suspek menyekat talian telefon bimbit dan gagal dihubungi sebelum mangsa membuat laporan polis pada 23 Ogos lalu.

  • PH ubai suai logo demi padam ‘cerita lama’ – Anwar

    PH ubai suai logo demi padam ‘cerita lama’ – Anwar

    PAKATAN  Harapan (PH) bersetuju mengubah suai logonya sebagai tindakan memadam “cerita lama”, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesepakatan menggunakan satu logo sahaja juga bagi menyanggah persepsi pihak luar bahawa gabungan itu “tidak bersatu” selepas beberapa siri pilihan raya negeri sebelum ini.

    “Ada orang kata kita berpecah, kalau ikut sentimen PKR (mahu) guna logo PKR tetapi kalau kita ikut perkembangan di Johor, seolah-olah kita berpecah. (Orang luar) nampak Anwar pengerusi PH tetapi mereka berpecah (soal logo), jadi saya kata baiklah kita bersetuju guna satu logo,” katanya lapor FMT.

    Katanya, lebih baik PH bersetuju menggunakan satu logo sahaja agar tidak menimbulkan kekeliruan.

    “Jadi saya kata lebih baik lah kita bersetuju kepada satu logo dan semalam juga bersetuju logo diubahsuai supaya tak melambangkan ‘cerita lama’,” katanya.

    Anwar merujuk ‘cerita lama’ berhubung kritikan ketika gabungan itu memerintah kerajaan 22 bulan, sebelum tumbang dalam Langkah Sheraton.

    Presiden PKR itu berkata, ketika gabungan berkenaan memerintah, ia tidak mewakili “pandangan reform”.

    “Seperti yang kita sebut yang memerintah itu tidak mewakili pandangan reform, jadi beberapa keputusan itu melanggar semangat reform yang kita nak bawa,” katanya.

  • Institusi kehakiman perlu dipertahan daripada campur tangan politik

    Institusi kehakiman perlu dipertahan daripada campur tangan politik

    TIDAK ada mana-mana individu di negara ini yang mengatasi undang-undang dan itulah situasi yang perlu diterima penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Badan kehakiman dan institusi politik adalah dua asas yang berbeza dan perlu ada pengasingan yang jelas antara kedua-duanya bagi mengelakkan berlakunya krisis kehakiman yang boleh memberi imej buruk terhadap negara di mata dunia.

    Sebab itu kumpulan pro-Najib khususnya ahli-ahli UMNO perlu berhati-hati dalam mendesak pembebasan Najib kerana asas yang diguna pakai mereka ketika ini hanyalah dakwaan kononnya berlaku penindasan politik semata-mata.

    Sedangkan jika mereka benar-benar memahami dan menghayati penghakiman yang dibuat oleh panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, tiada ruang untuk mempertikaikan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut.

    Sementelah proses kehakiman terhadap Najib juga sudah berlangsung kira-kira empat tahun dan banyak masa serta ruang dari sudut perundangan telah diberikan kepada barisan peguam Najib untuk membela anak guamnya itu.

    Tekanan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kononnya tidak membantu dalam kes penghakiman Najib sehinggakan wujud gerakan memecat Naib Presiden UMNO berkenaan adalah gerakan sangat tidak berasas dan boleh memakan UMNO sendiri.

    Ia hanya akan menimbulkan persepsi bahawa UMNO sekiranya mempunyai kuasa penuh di peringkat Kerajaan Pusat, boleh mengambil keputusan melangkaui badan kehakiman yang sepatutnya mempunyai kedudukan tertinggi.

    Apa yang perlu dilakukan penyokong Najib dan ahli-ahli UMNO ketika ini adalah berlapang dada dalam menerima percaturan hidup yang sudah ditetapkan oleh Allah SWT terhadap bekas Perdana Menteri berkenaan.

    Najib bukan ahli politik pertama di negara ini yang berdepan dengan hukuman penjara dan beliau sendiri sudah menyedari ia adalah antara risiko yang perlu dihadapi beliau ketika memilih untuk berkecimpung dalam dunia politik.

    Hukuman ke atas Najib itu juga tidak akan menghilangkan atau memadamkan jasa serta pengorbanan beliau sepanjang sembilan tahun mentadbir negara sebagai Perdana Menteri. Perlu juga diketahui tidak ada mana-mana pihak yang mendapat keuntungan atau kelebihan daripada keputusan terhadap kes Najib itu.

    Majoriti ahli-ahli UMNO atau BN juga tidak akan menjauh atau lari daripada parti itu kerana sokongan mereka bukan kepada pemimpin tertentu sebaliknya kepada parti itu sendiri.

    Populariti atau sokongan terhadap pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) juga tidak naik mendadak ekoran keputusan terhadap Najib itu kerana mereka juga masih berdepan krisis kepercayaan yang teruk daripada rakyat berikutan kelemahan mentadbir negara sepanjang 22 bulan selepas PRU-14.

    Apatah lagi terdapat pemimpin PH ketika ini turut mempunyai kes mahkamah termasuk rasuah yang tidak menjadikan mereka lebih baik daripada sesetengah pemimpin UMNO atau BN.

    Apa yang penting ketika ini adalah memastikan sistem kehakiman negara terus berjalan dalam ruang lingkup sepatutnya tanpa dilihat ada tekanan atau campur tangan daripada mana-mana pihak khususnya insitusi politik.

  • Wanita didakwa abai bayi hingga meninggal dunia

    Wanita didakwa abai bayi hingga meninggal dunia

    SEORANG wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan seorang bayi perempuan berusia tiga bulan hingga menyebabkan kematian, awal bulan ini.

    Nor Malisa Mansor, 39, yang ketika itu sebagai pengasuh kepada bayi itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di rumahnya di Presint 9, Putrajaya, antara 11 pagi hingga 1 tengah hari, pada 9 Ogos lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 31 (5) (b) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta serupa, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duannya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, namun Nor Malisa yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan dia mempunyai tiga anak dan seorang daripadanya masih menyusu.

    Hakim Izralizam Sanusi membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Sept ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Fasa 1 Projek Internet Tabika KEMAS bermula hujung tahun

    Fasa 1 Projek Internet Tabika KEMAS bermula hujung tahun

    PELAKSANAAN fasa satu projek naik taraf capaian Internet di premis Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dijangka bermula hujung tahun ini.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya sedang menunggu jumlah peruntukan yang akan diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

    “Keperluan untuk menyediakan kemudahan Internet terutama bagi tabika yang terletak di pedalaman merupakan usaha untuk memastikan Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika KEMAS berjalan lancar seterusnya menjadi aspirasi kepada pembangunan bakat awal kanak-kanak,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis Penutup Ekspo Buku Malaysia dan Anugerah Buku Negara 2022 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, hari ini.

    Mengulas lanjut projek naik taraf Internet Tabika Kemas itu Mahdzir menjelaskan, kementeriannya akan mengadakan sesi libat urus dengan Kementerian Kewangan bulan depan bagi membincangkan mengenai peruntukan dan kaedah pelaksanaannya.

    Mei lalu, Mahdzir dilaporkan berkata, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan menjalin kerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) bagi memastikan capaian Internet di premis Tabika KEMAS di seluruh negara lebih baik.

    Beliau juga telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini berhubung projek meningkatkan capaian Internet untuk 11 ribu premis Tabika KEMAS.

  • Hukuman mati penganggur bunuh keluarga angkat kekal

    Hukuman mati penganggur bunuh keluarga angkat kekal

    MAHKAMAH Rayuan hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap seorang penganggur kerana membunuh tiga anggota keluarga angkatnya enam tahun lalu.

    Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hashim Hamzah turut mengesahkan hukuman penjara 10 tahun, yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap Luqman Hadi Mustapa kerana cubaan membunuh dua adik-beradik.

    Nordin, yang menyampaikan keputusan mahkamah berkata bebanan terletak pada Luqman untuk membuktikan pembelaannya atas kesalahan undang-undang di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan atas imbangan kebarangkalian.

    Seksyen 84 menyatakan bahawa tiada apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang, yang pada masa melakukannya, tidak berfikiran waras, tidak dapat mengetahui sifat perbuatan itu atau dia melakukan apa yang salah atau bertentangan dengan undang-undang.

    Beliau berkata hakim perbicaraan yang perlu memutuskan sama ada pembelaan kehilangan akal dari segi undang-undang terbukti atau tidak berdasarkan fakta kes sambil menambah bahawa mahkamah mendapati Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul apabila menolak pembelaan hilang akal dalam kes itu dan ia disokong oleh undang-undang.

    Orang yang dituduh mesti menunjukkan ketaksiuman dari segi perubatan dan undang-undang untuk mengaku sebagai tidak waras.

    Hakim itu berkata sabitan Luqman bagi kesalahan itu adalah selamat dan rayuannya terhadap sabitan dan hukuman ditolak.

    Luqman, 33, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Melaka pada 16 Ogos 2019, yang menjatuhkan hukuman mati terhadapnya selepas didapati bersalah membunuh Mariah Baharim, 61, kakak ibu angkatnya, Hassan A. Wahab, 70, (suami Mariah) dan anak lelaki mereka Muhammad Taufeq Hassan, 22 tahun.

    Mahkamah Tinggi juga mendapati Luqman bersalah atas dua pertuduhan cuba membunuh anak perempuan Mariah, Noor Haslinda Diyana Hassan, 26, dan Nur Aqedah Aeina Hassan, 24 dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun, serentak, bagi setiap dua pertuduhan.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Sidang Said di Bertam Malim, Melaka antara 5.50 pagi dan 6.15 pagi pada 25 Ogos 2016.

    Dalam keputusannya, hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin (kini hakim Mahkamah Rayuan) berkata tindakan Luqman tidak konsisten dengan individu yang tidak waras, memandangkan fakta bahawa neneknya tidak cedera dalam kejadian itu dan Luqman terlebih dahulu menyerang lelaki sebelum menyerang saudara perempuannya.

    Semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi, 25 saksi memberi keterangan bagi pihak pendakwaan. Apabila mahkamah mengarahkan Luqman membela diri, dia memilih untuk berdiam diri.

    Timbalan Pengarah Hospital Permai di Johor dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan untuk mengemukakan laporan oleh pakar psikiatri yang memeriksa Luqman kerana pakar psikiatri itu sudah meninggal dunia.

    Luqman ada satu lagi peluang untuk merayu iaitu ke Mahkamah Persekutuan.

    Luqman diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork, Mohd Fahmy Sulaiman dan Azalea Nazihah Zulkifli manakala Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farhana Khalid dan Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir bagi pihak pendakwaan. – Bernama