Category: Semasa

  • Tiga lelaki ditahan, rokok RM2.8 juta dirampas

    Tiga lelaki ditahan, rokok RM2.8 juta dirampas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menahan tiga lelaki dan merampas barangan kontraban, minuman keras dan rokok dianggarkan bernilai lebih RM2.8 juta menerusi enam serbuan bermula 9 Jun hingga 2 Ogos lalu.

    Pengarah Kastam Johor, Sazali Mohamad berkata, semua rampasan dan tangkapan dilakukan di enam lokasi termasuk gudang dan pelabuhan di sekitar negeri itu dan Selangor.

    “Rampasan pertama membabitkan 9,240 liter minuman keras dalam kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas pada 9 Jun lalu.

    “Rampasan kedua pada hari dan lokasi yang sama melibatkan 10,048 liter minuman keras di dalam kontena yang diimport dari luar negara dengan mengikrarkan urusan import dipercayai tidak benar,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KDRM Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Katanya, rampasan ketiga pula melibatkan 3,020 liter minuman keras dalam kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas pada 22 Jun lalu.

    Jelasnya, sindiket menggunakan modus operandi menyeludup minuman keras dipercayai dari China dengan menyembunyikannya di bahagian tengah kontena bersama dagangan lain seperti kabinet, beg, lampu, kasut dan mesin basuh.

    Menurut Sazali, rampasan keempat pula melibatkan 5,594 liter minuman keras dan 33,600 batang rokok membabitkan nilai cukai RM22,600.

    Rampasan kelima pula katanya, melibatkan sebuah premis tempat penyimpanan minuman keras pelbagai jenama di Jalan Bukit Kemuning, Shah Alam, Selangor pada 1 Ogos lalu.

    Hasil pemeriksaan ke atas premis yang tidak berpenghuni itu katanya, terdapat 33,125 liter minuman keras pelbagai jenama disembunyikan di dalam sebuah lori kontena dan dua buah lori.

    “Seterusnya, rampasan keenam pada 2 Ogos lalu pula, 9,223 liter minuman keras berjaya dirampas hasil serbuan di sebuah gudang di kawasan Zon Bebas di Pelabuhan Johor Pasir Gudang,” ujarnya.

    Tambah beliau, tiga lelaki yang ditahan merupakan wakil pengimport dan ejen penghantar berusia 32 hingga 36 tahun.

    “Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967,” katanya.

  • PRU15: PBM tanding empat kerusi Parlimen

    PRU15: PBM tanding empat kerusi Parlimen

    PARTI Bangsa Malaysia (PBM) akan bertanding di empat kerusi yang dimiliki parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Presidennya, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, kerusi tersebut melibatkan Parlimen Ampang, Tebrau, Julau dan Lahad Datu.

    “Ada empat dan ada ahli Parlimen lain akan sertai dan tambahan ahli Parlimen ini akan jadikan kerusi negeri (DUN) bukan hanya di Selangor dan Perak,” katanya pada sidang akhbar di Kota Kinabalu hari ini.

    Dalam sidang akhbar itu Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi hari ini mengumumkan menyertai PBM.

    Wei Shien berkata, keputusan itu dibuat sebelum ini dengan mengekalkan semua kerusi ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sedia ada untuk bertanding dalam PRU-15.

    “Dalam PBM kita sudah buat keputusan terdahulu untuk mengekalkan kerusi ahli Parlimen dan ADUN yang sedia ada dalam PRU-15. Jadi bila Mohamaddin sertai PBM dan ahli Parlimen lain (sertai), semua kawasan itu akan bertanding dalam PRU-15.

    Sementara itu, Mohamaddin turut menjelaskan bahawa kerusi yang disandangnya itu akan kekal menjadi milik PBM bagi berhadapan dengan pilihan raya akan datang.

    “Tentu sekali, kalau saya sudah menyertai PBM bermakna calon itu akan bertanding atas logo PBM, namun untuk bertanding atau tidak, sayatidak boleh cakap kerana ini bergantung kepada keadaan.

    “Kalau hati mahu bertanding tetapi masa itu kurang sihat mungkin tidak tanding tetapi semuanya bergantung kepada keadaan. Kita akan lihat apabila sudah sampai masanya,” katanya.

    Bercakap mengenai kerjasama dengan Parti Kuasa Rakyat, Larry berkata, PBM menjadikan Parti Kuasa Rakyat sebagai rakan strategik dalam menghadapi PRU-15.

    “Dalam perlembagaan parti juga PBM akan buat satu komuniti untuk menukar perlembagaan parti supaya lebih kuasa kepada Sabah dan Sarawak berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Saya rasa ini perkembangan yang positif kepada PBM untuk mengalu-alukan Parti Kuasa Rakyat.

    “Kita juga memberi sokongan yang penuh kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dan kerajaan demi pembangunan Sabah, Sarawak dan Semenanjung,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • Aaron-Soh Wooi Yik juara dunia

    Aaron-Soh Wooi Yik juara dunia

    BEREGU utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kini juara dunia selepas menumpaskan wakil Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan pada aksi final Kejohanan Badminton Dunia di Jepun, sebentar tadi.

    Pada saingan sengit di Gimnasium Metropolitan Tokyo itu, wakil negara yang juga pilihan keenam kejohanan menang 21-19, 21-14 dalam masa 40 minit, lapor BH Online.

  • Bukan lumba haram, tapi tunggang motosikal dalam kumpulan besar

    Bukan lumba haram, tapi tunggang motosikal dalam kumpulan besar

    POLIS Pulau Pinang menafikan berlakunya kegiatan lumba haram membabitkan beberapa kumpulan motosikal di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dan Padang Kota Lama seperti yang tular dalam media sosial hari ini.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kumpulan membabitkan lebih 200 penunggang motosikal dari Johor, Kedah dan Pulau Pinang itu hanya bersantai dan bersiar-siar.

    Menurut beliau, pergerakan kumpulan-kumpulan bermotosikal itu turut dipantau sepasukan polis daerah Timur Laut selepas mengesan mereka memasuki bahagian pulau bermula pukul 12 tengah malam.

    “Polis telah mengekori pergerakan kumpulan motosikal ini dan mendapati mereka bergerak ke arah Padang Kota Lama dan kemudian memasuki sebuah stesen minyak di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu kira-kira pukul 1.30 pagi,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut hari ini.

    Terdahulu awal hari ini beberapa gambar dan video kumpulan penunggang motosikal itu tular di media sosial dan mendakwa mereka mahu berlumba haram.

    Kehadiran mereka mengundang rasa bimbang dan gusar dalam kalangan orang ramai selepas insiden lima penunggang motosikal maut dalam kemalangan melibatkan beberapa buah motosikal dan dua buah kereta di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu pada 17 Julai lalu.

    Dalam pada itu Soffian berkata, polis bagaimanapun menahan seramai 23 penunggang motosikal berusia 16 hingga 25 tahun dan mengeluarkan 48 saman termasuk menyita sembilan buah motosikal atas pelbagai kesalahan.

    Kesalah itu menurut beliau, termasuk mengubah suai eksos; tidak mempunyai lesen; tidak mempamerkan plat motosikal; tidak mempunyai cermin sisi dan sebagainya.

    “Kumpulan motosikal itu juga didapati menganggu pengguna jalan raya lain kerana menunggang dalam satu kumpulan yang ramai di semua lorong,” katanya.

  • Gajah rosakkan kebun penduduk Kampung Pulau Setelu

    Gajah rosakkan kebun penduduk Kampung Pulau Setelu

    KIRA-kira 32 pekebun di Kampung Pulau Setelu di Gua Musang mengalami kerugian ribuan ringgit selepas kawasan tanaman getah, kelapa sawit, pisang dan buah-buahan mereka musnah angkara seekor gajah liar sejak Jumaat lepas. 

    Seorang pekebun Mulim Ahmad, 56, berkata kehadiran gajah tersebut menimbulkan kegusaran dalam kalangan pekebun untuk keluar bekerja kerana takut akan terserempak haiwan itu.

    “Sebelum ini hanya babi hutan yang selalu menimbulkan masalah apabila memusnahkan pelbagai jenis tanaman penduduk.

    “Kini gajah pula datang mengganggu kebun-kebun penduduk, malah 30 anak sawit yang saya tanam baru enam bulan dirosakkan gajah tersebut,” katanya kepada pemberita, di Gua Musang hari ini.

    Seorang lagi pekebun, Salamah Hamad, 55, berkata dia mengalami kerugian apabila 100 pokok pisang dan kelapa sawitnya dirosakkan gajah liar tersebut.

    “Saya tinggal di kampung ini sudah lebih 50 tahun, kejadian ini pertama kali berlaku.

    “Penduduk sudah membuat laporan kepada Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) kami harap gajah itu dapat ditangkap secepat mungkin dan dipindahkan ke habitat yang sesuai secepat mungkin bagi mengelak kejadian yang tidak diingini,” katanya.–Bernama

  • Sumbangan PN dalam politik, pembangunan negara sangat besar-Muhyiddin

    Sumbangan PN dalam politik, pembangunan negara sangat besar-Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, peranan serta sumbangan Perikatan Nasional (PN) dalam politik dan pembangunan negara sangat besar terutama ketika berhadapan dengan pandemik Covid-19.

    Pengerusi PN itu berkata, sebagai sebuah pemerintah yang prihatin rakyat, kerajaan PN ketika itu mengambil beberapa tindakan drastik bagi menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat.

    “Seluruh rakyat Malaysia pasti akan mengingati apa yang telah kita lakukan ketika itu antaranya menguat kuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian Covid-19 dan menyediakan pakej bantuan bernilai lebih RM530 bilion.

    “Ini termasuk memperkenalkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang menyaksikan hampir 100 peratus rakyat dewasa di negara ini sudah menerima suntikan vaksin.

    “Tindakan pantas itu berjaya membawa Malaysia keluar daripada pandemik sekali gus mengembalikan semula kehidupan rakyat seperti hari ini,” katanya dalam hantaran terbaharu menerusi Facebook beliau, hari ini.

    Beliau percaya dengan rekod baik sewaktu PN menjadi kerajaan ditambah dengan dasar ekonomi prihatin rakyat serta prinsip politik berintegriti bebas rasuah, rakyat akan memberi sokongan kepada gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15.

    Mengenai Konvensyen PN 2022 di MAEPS Serdang, semalam, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu melahirkan rasa syukur dengan sambutan dan kehadiran perwakilan yang hadir.

    Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bergambar bersama pemimpin-pemimpin tertinggi Perikatan Nasional pada Konvensyen Perikatan Nasional 2022 di Serdang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Sepanjang konvensyen ini saya mengikuti perbahasan setiap perwakilan dan merasa kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh mereka terutama apabila menyentuh mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15.

    “Seperti yang saya sebut ketika menyampaikan ucaptama, PN sudah bersedia untuk memasuki gelanggang pilihan raya justeru kita kena mempersiapkan bala tentera dengan segala kekuatan untuk menentang lawan kita.

    Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Konvensyen Perikatan Nasional 2022 di Serdang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin dan ahli parti komponen PN yang hadir pada hari ini seperti Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden Gerakan Datuk Dr. Dominic Lau How Chai, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee dan Presiden Star Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan.

    “Tahniah juga kepada Pengerusi Jawatankuasa Induk Konvensyen PN 2022, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kerana berjaya menganjurkan konvensyen ini dengan jayanya,” katanya.

  • Peniaga dihukum gantung atas kesalahan edar dadah

    Peniaga dihukum gantung atas kesalahan edar dadah

    MAHKAMAH Tinggi di Kota Bharu hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap peniaga atas tuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 97 gram di Tanah Merah pada November 2018.

    Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Abazafree Mohd. Abbas menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Noor Hesham Hamid, 42, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan di akhir pembelaan.

    Mohamad Abazafree berkata, mahkamah mendapati keterangan tertuduh adalah penafian semata-mata, tidak konsisten, bersifat rekaan termasuk soal pemilikan dadah yang dirampas.

    “Sebagai contoh, ketika serbuan dilakukan di sebuah rumah, tertuduh mendakwa terdapat dua individu lain bersamanya, namun sehingga kini tiada bukti sah selain tiada pengenalan diri dua individu yang didakwa itu.

    “Justeru, kita mendapati tertuduh sengaja mereka cerita dan kecurigaan itu nyata. Mahkamah tiada pilihan dan tertuduh dihukum dengan hukuman mati dan akan ditahan sehingga satu tarikh sebelum digantung,” katanya dalam penghakiman, lapor Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis berbahaya iaitu 97 gram Methamphetamine di tepi jalan di Taman Manal Jaya, Tanah Merah pada 8.30 malam, 26 November 2018.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd Arshad dan tertuduh diwakili peguam, Ridzuan Mohamad.

    Terdahulu, Ridzuan memohon hukuman diringankan terhadap anak guamnya memandangkan tertuduh perlu menyara ibu yang uzur serta sakit selain anak guamnya tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

    Bagaimanapun, Norazlinawati memohon hukuman berat dan setimpal dikenakan terhadap tertuduh supaya menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat luar.

  • PM umum elaun pembantu Kemas naik RM800

    PM umum elaun pembantu Kemas naik RM800

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan elaun bulanan Pembantu Pemaju Masyarakat Sukarela (PPMS) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan dinaikkan kepada RM800 berbanding dengan RM500 sebelum ini.

    “Elaun PPMS yang hanya RM500 akan dinaikkan kepada RM800, melibatkan 9,439 kakitangan,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Perdana Sempena Sambutan 60 Tahun Kemas di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, hari ini.

    Selain itu, tambahnya, kerajaan juga bersetuju untuk menaikkan kadar bantuan sara hidup ahli Persatuan Bekas Anggota Kemas (PBKAM) daripada RM300 kepada RM500.

    Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM8 juta bagi program digitalisasi di 800 tabika Kemas di seluruh negara.

    Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, kerajaan bersetuju memendekkan tempoh kelayakan pegawai kontrak perkhidmatan ke lantikan jawatan tetap dari 15 tahun kepada 10 tahun, melibatkan kira-kira 4,322 orang.

    “Keputusan ini dibuat bagi menunjukkan penghargaan terhadap jasa, sumbangan dan tenaga anggota Kemas,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today (FMT).

    Kerajaan turut meluluskan kelonggaran syarat pegawai lantikan kontrak perkhidmatan yang berkhidmat lebih 10 tahun tetapi kurang dari 15 tahun untuk dilantik dalam jawatan tetap.

  • Pesara tentera mati terkena 13 das ditembak rakan sendiri

    Pesara tentera mati terkena 13 das ditembak rakan sendiri

    PESARA tentera maut dipercayai ditembak rakan sendiri ketika keluar memburu babi hutan di kawasan hutan perkuburan lama Kampung Giam, di Kuching, semalam.

    Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa, Gadin ak Gambong, 64, maut di tempat kejadian selepas terkena 13 das tembakan.

    “Mangsa bersama-sama adiknya serta dua rakan keluar berburu pada 8 pagi di hutan itu dengan membawa anjing.

    “Pada pukul 11.30 pagi, mereka mengesan babi hutan pada jarak satu kilometer dan mengejarnya dengan bantuan anjing itu.

    “Dua pemburu membawa anjing bagi mengepung binatang tersebut, manakala mangsa dan seorang lagi rakan menunggu di tempat jangkaan binatang buruan akan keluar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, pada pukul 11.45 pagi, suspek berusia 70 tahun ternampak pergerakan seperti binatang dan dalam jarak 20 meter dan melepaskan tembakan.

    “Menyangka binatang tersebut seperti mahu melarikan diri, suspek sekali lagi melepaskan tembakan kedua,” katanya.

    Abang Zainal Abidin berkata, apabila suspek menghampiri dia mendapati bahawa telah tertembak rakannya dan menjerit bagi memanggil rakan lain untuk memaklumkan kejadian.

    “Seorang rakan berlari keluar dari hutan itu dan menghubungi anak mangsa untuk memaklumkan perkara itu kepada polis,” katanya.

    Menurutnya, siasatan mendapati suspek mempunyai lesen sah membeli dan memiliki senjata itu, namun ia telah tamat tempoh sejak 30 Jun 2012.

    Katanya, suspek dan dua rakan ditahan untuk siasatan lanjut dan tiga laras senapang patah, dua kelongsong peluru telah digunakan tertera GB Buckshot dan sebutir peluru jenama Sellier dan Bellot 12 dirampas.

    “Pemeriksaan awal forensik mendapati jarak suspek dengan mangsa dalam tembakan pertama adalah kira-kira 16 meter, manakala tembakan kedua dilepaskan daripada jarak tiga meter.

    “Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak(HUS) untuk tindakan lanjut, sementara kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya memetik laporan Harian Metro.

  • Kantoi sorok 82 PATI bawah timbunan barangan syarikat kurier

    Kantoi sorok 82 PATI bawah timbunan barangan syarikat kurier

    JABATAN Imigresen Selangor berjaya mematahkan cubaan menyorok pendatang asing tanpa izin (PATI) di bawah timbunan barangan terbongkar dalam serbuan di sebuah syarikat kurier di Shah Alam, Rabu lalu.

    Jabatan Imigresen Selangor dalam satu kenyataabn memberitahu, seramai 106 individu yang bekerja sebagai pekerja am dan tukang susun barangan untuk penghantaran di syarikat berkenaan telah diperiksa dalam operasi pada jam 11.40 pagi.

    “Hasil pemeriksaan seramai 71 lelaki dan 10 wanita warga Myanmar serta seorang lelaki warga India berusia 17 hingga 50 tahun telah ditahan dalam operasi tersebut,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Tambah kenyataan itu, berkemungkinan ada ejen yang menyeludup PATI dari Myanmar melalui utara tanah air untuk dijadikan sebagai pekerja kilang.

    “Kesemua 82 PATI telah ditahan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat mengikut seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) akta yang sama dan Peraturan 39(B), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.