Category: Semasa

  • PRU15: PKR Perak hasrat tanding lebih 14 kerusi

    PRU15: PKR Perak hasrat tanding lebih 14 kerusi

    PKR Perak berhasrat bertanding lebih 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

    Ketua PKR negeri, Chang Lih Kang, berkata daripada jumlah itu, parti tersebut menyasarkan memenangi 10 kerusi untuk membantu Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri.

    “Kami memang berharap ada lebih banyak kerusi berbanding 14 yang ditandingi pada PRU14 lepas. Namun, segala-galanya akan diputuskan pucuk pimpinan yang dijangka bermesyuarat Khamis ini.

    “Untuk penentuan kawasan dan calon yang dipilih, kami akan muktamadkan dalam masa sebulan dua lagi,” kata ADUN Teja dan Ahli Parlimen Tanjung Malim itu dalam sidang media.

    Pada PRU14, PKR Perak bertanding di 14 kerusi DUN dan menang empat daripadanya iaitu Kuala Kurau, Teja, Simpang Pulai dan Hulu Kinta.

    Bagi Parlimen, PKR Perak bertanding lima kerusi dan memenangi tiga kerusi melibatkan Tanjung Malim, Sungai Siput dan Gopeng.

    Terdapat 59 kawasan DUN di Perak, manakala kawasan Parlimen berjumlah 24.

    Pada sidang media itu, Chang, yang juga naib presiden PKR dan dilantik sebagai ketua PKR Perak pada 11 Ogos, turut memperkenalkan barisan baharu kepimpinan negeri bagi sesi 2022-2025. – Bernama

  • Laporan siasatan isu kematian Muhammad Adib, Batu Puteh diketahui esok

    Laporan siasatan isu kematian Muhammad Adib, Batu Puteh diketahui esok

    LAPORAN penuh jawatankuasa khas melibatkan kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim akan diketahui esok.

    Pada masa sama, laporan pasukan petugas khas yang menyiasat isu serta tindakan perundangan melibatkan Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh juga akan diterima esok.

    Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar seperti dipetik BH Online.

    Menurut Wan Junaidi, kesemua laporan itu akan dibentangkan kepada Kabinet untuk tindakan selanjutnya.

    “Esok saya dua mesyuarat. Pasukan petugas khas akan serah laporan itu (laporan Allahyarham Muhammad Adib, Pulau Batu Puteh) dalam mesyuarat berkenaan.

    “Semalam, saya sudah bermesyuarat berhubung buku Tan Sri Tommy Thomas (bekas Peguam Negara) dan laporan mengenainya sudah diterima,” katanya.

    Pada 9 Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes melibatkan Allahyarham Muhammad Adib.

    Hari yang sama, Kabinet turut bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas siasatan terhadap dakwaan Tommy dan menyemak semula undang-undang berhubung permohonan semakan serta pentafsiran kes Pulau Batu Puteh.

    Sebagai rekod, Muhammad Adib parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

    Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara.

    Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

  • Tak sempat ketahui jantina anak, lelaki meninggal dunia tanpa gejala Covid-19

    Tak sempat ketahui jantina anak, lelaki meninggal dunia tanpa gejala Covid-19

    HASRAT seorang suami untuk mengetahui jantina bayi dalam kandungan isterinya tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia selepas disahkan dijangkiti Covid-19 pagi semalam.

    Lapor Harian Metro, pemergian Allahyarham Muhammad Share Selamat, 25, pada awal pagi semalam akibat Covid-19 amat mengejutkan isteri, Nazirah Zulkifli, 22, berikutan ketiadaan gejala wabak berbahaya itu.

    Nazirah berkata, arwah sempat menjamah kambing bakar ketika mereka mengadakan kenduri keluarga di kediaman di Kampung Solok Pantai Rombang, Tanjung Kling, dekat sini, pada malam Sabtu lalu.

    “Arwah tidak menunjukkan sebarang gejala menghidap Covid-19 dan memaklumkan mahu ke Port Dickson, Negeri Sembilan selepas selesai kenduri pada jam 10 malam Sabtu lalu.

    “Arwah pergi bersama beberapa rakan dengan menaiki kereta untuk menikmati makanan laut dan saya tidak menghalang hasratnya itu,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pantai Rombang, hari ini.

    Nazirah berkata, dia amat terkejut apabila abang iparnya, Azmi hadir di kediamannya pada jam 5 pagi semalam memaklumkan suaminya sudah meninggal dunia akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya.

    Menurutnya, dunia tiba-tiba menjadi gelap sebaik saja menerima berita itu tetapi dia menguatkan semangat untuk ke Hospital Port Dickson bagi menguruskan jenazah.

    “Apabila kami tiba di hospital itu, barulah kami mendapat cerita sebenar daripada rakan arwah yang menyatakan ketika mereka makan, arwah tiba-tiba rebah dan pengsan, lalu mereka membawanya ke hospital.

    “Doktor mengesahkan arwah meninggal dunia pada jam 3.30 pagi semalam kerana Covid-19 dan bukan akibat kemalangan jalan raya,” katanya.

    Nazirah berkata, arwah sebelum itu begitu teruja untuk mengetahui jantina bayi pertama hasil pernikahan mereka pada Mac lalu.

    “Kami merancang membuat imbasan kerana kandungan saya sudah mencapai lima bulan sekarang tetapi arwah tidak sempat tahu jantina anaknya, apatah lagi menatap wajah anak.

    “Walaupun pemergian arwah amat mengejutkan saya dan anggota keluarga yang lain, saya reda dengan kehendak Allah yang lebih menyayanginya,” katanya.

    Jenazah dibawa dari Rumah Mayat Hospital Port Dickson pada jam 10 pagi ke tanah perkuburan dengan menggunakan perkhidmatan percuma van jenazah Persatuan Kemanusiaan Tangga Batu (PeKeTB).

    Jenazah dikebumikan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang lengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) pada jam 12.30 tengah hari tadi.

    Anggota keluarga arwah dan anak kariah kampung hanya dibenarkan berada di pagar tanah kubur ketika pengebumian dijalankan.

    Sementara itu, Pengerusi PeKeTB, Rahiman Abu Hassan, 53, berkata, ketika membawa jenazah arwah, dia dan anaknya, Nor Iman, 22, serta ahli jawatankuasa persatuan itu, Mohd Yusri Rojan, 48, turut memakai PPE.

    “Kami doakan semoga Allah mengampunkan dosa arwah dan mencucuri rohnya dengan rahmat dan rahim-Nya,” katanya.

  • Polis tahan 2 individu kes tular gaduh berebut tapak niaga

    Polis tahan 2 individu kes tular gaduh berebut tapak niaga

    POLIS menahan dua individu bagi membantu siasatan berhubung satu video tular didakwa perselisihan faham di tapak pasar pagi di Taman OUG, Kuala Lumpur, semalam.

    Video berdurasi satu minit 24 saat itu memaparkan perbuatan individu meletakkan beberapa bakul plastik berisi sayuran di atas bonet dan bumbung kereta serta mencampakkan besi payung khemah di bahagian hadapan kereta Perodua Bezza menyebabkan cermin hadapannya retak dan bercalar.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara dua peniaga yang berebut tapak niaga di situ.

    “Ketika kejadian anggota dari Balai Polis Petaling ke lokasi dan mendapati perselisihan faham sudah diselesaikan.

    “Susulan itu, laporan polis dan tangkapan dibuat terhadap seorang lelaki dan wanita,” katanya dalam kenyataan hari ini memetik laporan Berita Harian.

    Amihizam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan 506 Kanun Keseksaan kerana membuat khianat dan ugutan jenayah.

    “Polis mengalu-alukan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini tampil memberi keterangan.

    “Maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai berdekatan,” katanya.

  • Kes basikal lajak: Pengurusan kes bagi rayuan kerani ditetapkan 13 Oktober

    Kes basikal lajak: Pengurusan kes bagi rayuan kerani ditetapkan 13 Oktober

    MAHKAMAH Rayuan menetapkan 13 Okt bagi pengurusan kes selanjutnya dalam rayuan kerani Sam Ke Ting terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak pada 2017.

    Peguam Harvinderjit Singh, seorang daripada peguam yang mewakili Sam, apabila dihubungi berkata tarikh baharu itu ditetapkan selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Norkamilah Aziz hari ini.

    Tarikh baharu itu ditetapkan kerana rekod rayuan belum siap, kata peguam itu.

    Pada 28 Okt 2018, Mahkamah Majistret Johor Bahru membebaskan Sam tanpa memerintahkan membela diri terhadap pertuduhan memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian lapan remaja di Jalan Lingkaran Dalam pada 3.20 pagi, 18 Feb 2017.

    Lapan remaja yang maut dalam tragedi itu ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16. 

    Pada 2019, Hakim Mahkamah Tinggi Dr Shahnaz Sulaiman membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengembalikan semula kes itu ke Mahkamah Majistret dan mengarahkan Sam untuk membela diri bagi pertuduhan tersebut.

    Majistret Siti Hajar Ali yang mendengar kes itu pada 2019, sekali lagi melepas dan membebaskan Sam di akhir kes pembelaan, menyebabkan pihak pendakwaan memfailkan rayuan kedua ke Mahkamah Tinggi.

    Pada 13 April tahun ini, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Katar membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mensabitkan kesalahan memandu secara melulu dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000.

    Sam mendapat kebenaran daripada Mahkamah Rayuan pada 18 April lepas untuk merayu terhadap sabitan dan hukumannya.

    Mahkamah Rayuan juga membenarkan permohonan Sam untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman dan membebaskannya dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu pendengaran rayuannya.–Bernama

  • Lelaki warga asing ditahan cabul wanita

    Lelaki warga asing ditahan cabul wanita

    POLIS menahan seorang lelaki warga asing ditahan kerana disyaki mencabul seorang wanita di tepi jalan di sebuah kondominium di Kota Damansara di Petaling Jaya, malam tadi.

    Sebelum itu kejadian berlaku pada pukul 9.30 malam semasa mangsa yang berusia lewat 30-an sedang berjalan kaki ke arah kenderaan rakannya yang sedang menunggu di tepi jalan.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa mendakwa seorang lelaki warga asing telah memegang dan meramas punggungnya.

    “Mangsa telah menjerit, kemudian suspek berjaya melarikan diri dari tempat kejadian.

    “Bertindak atas maklumat, suspek berusia awal 30-an ditahan berhampiran pondok pengawal sebuah kondominium di Kota Damansara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Fakhrudin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana telah mencabul kehormatan.

    “Orang awam yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil atau menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya sebagaimana laporan Sinar Harian.

  • Mayat remaja perempuan ditemukan di bumbung parkir kondominium

    Mayat remaja perempuan ditemukan di bumbung parkir kondominium

    SEORANG remaja perempuan ditemukan maut dipercayai terjatuh dari kediamannya di tingkat 11 sebuah kondominium di Persiaran Bayan Indah, Bayan Lepas, hari ini.

    Mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap di bumbung parkir di kondominium berkenaan.

    Kejadian itu dikatakan disedari ibu mangsa pada jam 6.30 pagi sebelum menghubungi polis.

    Mangsa yang berusia 13 tahun seorang yang pasif dan suka bersendirian sejak kebelakangan ini.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohd. Hafiz Hafizal Timaradin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian pada pukul 6.48 pagi.

    “Seramai sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru diketuai Mohd. Awis Kharni Abdul Rahman bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan.

    “Ketika tiba di lokasi, mangsa ditemukan terbaring di bumbung selepas terjatuh dari tingkat 11 kediamannya,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Mohd Hafiz berkata, anggota kemudian menurunkan mangsa menggunakan tangga jentera pada ketinggian kira-kira lima meter.

    “Mayat diserah kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya jam 11.45 pagi,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

  • Inflasi Malaysia melonjak 4.4 peratus pada Julai

    Inflasi Malaysia melonjak 4.4 peratus pada Julai

    INFLASI Malaysia meningkat 4.4 peratus kepada 127.9 pada Julai 2022 berbanding 122.5 pada bulan yang sama pada tahun sebelumnya, kata Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

    Beliau berkata Indeks Makanan yang meningkat 6.9 peratus kekal menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi pada bulan itu.

    “Peningkatan inflasi Malaysia pada bulan itu turut disebabkan oleh kesan asas yang lebih rendah pada tahun lalu berikutan pemberian diskaun bil elektrik dari lima hingga 40 peratus mengikut jumlah penggunaan kepada pengguna domestik di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada Julai hingga September 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata terdapat item makanan yang menunjukkan momentum peningkatan yang lebih perlahan berbanding Jun 2022. Antaranya ialah subkumpulan Ikan dan Makanan Laut (4.2 peratus) dan Sayur-sayuran (7.1 peratus).

    Selain daripada kumpulan Makanan, Mohd Uzir berkata kesemua kumpulan lain juga terus merekodkan peningkatan kecuali Komunikasi yang kekal tidak berubah berbanding pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

    Restoran dan Hotel meningkat 5.8 peratus diikuti Pengangkutan (5.6 peratus); Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah (4.0 peratus) serta Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain (3.8 peratus).

    Sementara itu, Perkhidmatan Rekreasi dan Kebudayaan turut mencatatkan peningkatan sebanyak 2.5 peratus, Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan (2.1 peratus) dan Pendidikan (1.2 peratus).

    Inflasi bagi tempoh Januari hingga Julai 2022 meningkat 2.8 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

    Bagi perbandingan bulanan, inflasi meningkat 0.4 peratus berbanding Jun 2022.

    Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh Restoran dan Hotel (0.8 peratus) serta Makanan dan Minuman Bukan Alkohol (0.7 peratus). Ini diikuti Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah (0.6 peratus) dan Pengangkutan (0.5 peratus).

    Inflasi teras dan inflasi tanpa bahan api, masing-masing mencatatkan peningkatan 3.4 peratus dan 4.2 peratus pada Julai 2022 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

    Kesemua negeri menunjukkan peningkatan dalam inflasi dengan tiga negeri meningkat melepasi paras inflasi nasional 4.4 peratus. – BERNAMA

  • Kes remaja lelaki maut dalam kebakaran tandas awam kini dalam siasatan – KP Selangor

    Kes remaja lelaki maut dalam kebakaran tandas awam kini dalam siasatan – KP Selangor

    KES kematian remaja lelaki dalam insiden kebakaran tandas awam terbiar di Bandar Puncak Alam Fasa 3, semalam, disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan iaitu kematian tanpa niat.

    Sehubungan itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kedua-dua rakan mangsa yang berusia 15 dan 16 tahun sudah ditahan bagi membantu siasatan.

    Menurut laporan Astro Awani, Arjunaidi berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas kedua-dua remaja itu juga mendapati negatif dadah.

    Dalam masa sama, kata beliau, permohonan reman terhadap mereka juga dilakukan pagi ini.

    Arjunaidi turut memberitahu, polis juga belum mendapat laporan patologi bagi mengetahui punca kematian remaja berusia 16 tahun itu.

    Semalam, Warta Rakyat melaporkan tindakan dua remaja bermain api mengundang padah apabila seorang rakan mereka maut selepas terperangkap dalam tandas awam di Bandar Puncak Alam Fasa 3.

    Polis menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 2.38 petang.

    Menurut rakan mangsa iaitu dua remaja lelaki masing-masing berusia 15 dan 16 tahun, ketika kejadian mereka sedang baring di sofa di dalam tandas berkenaan.

    Kebakaran bermula apabila dua rakan mangsa bermain api di hadapan pintu tandas berkenaan sebelum api menjadi tidak terkawal.

  • 8 termasuk wanita ditahan bantu siasatan kes jumpa mayat lelaki

    8 termasuk wanita ditahan bantu siasatan kes jumpa mayat lelaki

    POLIS menahan tujuh lelaki dan seorang wanita tempatan ditahan susulan penemuan mayat seorang lelaki di sebuah rumah kosong di Permyjaya, di Kuching, semalam.

    Penahanan kesemua suspek dibuat sejurus pihak polis menerima laporan awam mengenai penemuan mayat mangsa kira-kira pukul 4.30 petang.

    Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, sebelum itu sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri bergegas ke tempat kejadian sebelum menemukan mayat mangsa terbaring dengan hanya memakai seluar pendek.

    “Punca kematian belum dapat dikenal pasti dan mayat dibawa ke Hospital Umum Miri untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, semua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, lapor Harian Metro.

    Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi kerana akan mengganggu siasatan dan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Noor Asri Ibrahim di talian 085-427093 untuk menyalurkan maklumat.