Category: Semasa

  • Pemilik kelab bola sepak didakwa tipu pelaburan, 7 mangsa rugi hampir RM900,000

    Pemilik kelab bola sepak didakwa tipu pelaburan, 7 mangsa rugi hampir RM900,000

    TUJUH individu yang melabur dalam syarikat milik pemilik sebuah kelab bola sepak tempatan mendakwa kerugian RM900,000 akibat ditiupu.

    Mereka mendakwa ditipu selepas melabur dalam sebuah syarikat dimiliki ‘figura’ terbabit apabila tiada pulangan pelaburan dan dividen diberikan sejak dua tahun lalu.

    Sebelum itu mereka tertarik dengan iklan tawaran pelaburan dalam beberapa syarikat milik lelaki tersebut melalui Facebook.

    Seorang daripada mangsa yang juga pekerja sebuah syarikat swasta mendakwa dipanggil menghadiri seminar pelaburan selepas tertarik dengan iklan tawaran pelaburan di Facebook lelaki itu pada 2020.

    Lelaki berusia 44 tahun itu mendakwa dijanjikan pulangan sebanyak 50 peratus daripada keuntungan syarikat menyebabkan dia membuat pelaburan di empat syarikat dengan jumlah keseluruhan pelaburan mencecah ratusan ribu ringgit.

    “Selepas setahun melabur, saya terima laporan kewangan syarikat menyatakan rugi. Saya faham apabila melabur memang akan ada untung rugi dan ketika itu pula pandemik.

    “Tapi apa yang saya kecewa adalah sehingga kini saya tidak terima sebarang pulangan dan tiada laporan kewangan, laporan audit diberikan serta tiada mesyuarat agung tahunan (AGM) dijalankan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

    Seorang pensyarah sebuah universiti awam berusia 35 tahun pula mendakwa melabur sebanyak RM100,000 di dua syarikat milik lelaki itu selepas tertarik dengan iklan tawaran pelaburan di FB.

    “Melihat kredibilitinya sebagai usahawan dan berjaya dalam perniagaan hotel serta restoran, jadi saya yakin untuk melabur di syarikatnya. Saya juga buat carian di internet mengenainya, tiada komen negatif.

    “Saya mula melabur pada 2021 tapi sehingga kini tidak dapat apa-apa pulangan. Sebagai pelabur saya ada hak untuk tahu ke mana pelaburan, laporan kewangan dan AGM, tapi bila tanya dia beri pelbagai alasan,” katanya.

    Tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki itu, beliau yang berasa ditipu tampil membuat laporan polis pada awal bulan lalu dan berharap siasatan lanjut dijalankan.

    Sementara itu, seorang peguam, Ainur Rabiatuladawiyah Hassim berkata, pihaknya menerima aduan penipuan pelaburan membabitkan individu sama daripada tujuh mangsa dan sebuah syarikat.

    Menurutnya, mangsa mendakwa melabur selepas terpedaya dengan representasi lelaki itu bahawa syarikatnya akan disenaraikan di Bursa Malaysia dan menjadi syarikat senarai awam serta akan mendapat keuntungan tinggi hasil pelaburan itu.

    “Kebanyakan pelabur menghadiri sesi taklimat saham khas pra-IPO anjuran lelaki terbabit yang dilakukan secara atas talian atau bersemuka sebelum membuat pelaburan mereka.

    “Bagaimanapun, anak guam tidak puas hati apabila lelaki itu dikatakan gagal mengadakan AGM, jumlah saham dicatatkan dalam carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tidak selari dengan jumlah bayaran dibuat serta tiada maklumat berkaitan perkembangan syarikat.

    “Mereka juga tidak menerima laporan kewangan beraudit dan syarikat gagal untuk disenaraikan di Bursa Malaysia mengikut tempoh dijanjikan,” katanya, lapor Harian Metro.

    Berikutan itu, beliau akan mewakili mangsa bagi mengambil tindakan undang-undang dan berharap pihak berkuasa bertindak segera bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa.

  • Lelaki kurang siuman tersangkut atas pokok diselamatkan bomba

    Lelaki kurang siuman tersangkut atas pokok diselamatkan bomba

    BANTUAN anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terpaksa dipanggil bagi menyelamatkan seorang lelaki dipercayai kurang siuman tersangkut pada dahan sebatang pokok yang tinggi dalam kejadian di Seberang Jaya, Pulau Pinang semalam.

    Jurucakap JBPM Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian seorang lelaki tanpa berpakaian yang gagal turun dari sebatang pokok kira-kira pukul 8.08 pagi.

    Jelasnya, bomba dengan kekuatan enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai dengan dibantu oleh BBP Perai kemudian bergegas ke lokasi kejadian.

    Seorang lelaki dipercayai kurang siuman tersangkut pada dahan sebatang pokok yang tinggi dalam kejadian di Seberang Jaya, Pulau Pinang semalam

    “Sebaik sahaja tiba di lokasi, terdapat seorang lelaki berada di atas pokok pada ketinggian kira-kira 20 meter.

    “Kerja-kerja menurunkan mangsa kemudian dilakukan dengan menggunakan tangga milik jentera bomba,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Video kejadian itu yang memaparkan sekumpulan anggota bomba yang menyelamatkan lelaki berkenaan turut tular di laman sosial media hari ini.

    Tambah jurucakap itu, mangsa kemudian berjaya diturunkan dalam keadaan yang baik sebelum diserahkan kepada polis dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

  • Sanusi nafi ‘reject call’ IGP, dedah ada berkomunikasi dengan pegawai Bukit Aman

    Sanusi nafi ‘reject call’ IGP, dedah ada berkomunikasi dengan pegawai Bukit Aman

    Oleh BADLISHAH MAT

    DATUK Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menafikan beliau tidak memberi kerjasama baik termasuk menolak (reject) panggilan telefon untuk dimaklumkan tentang pertuduhan yang dikenakan terhadapnya seperti dinyatakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

    Menteri Besar Kedah itu berkata, beliau menerima panggilan dan kiriman mesej daripada pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman sejak pukul 10 malam kelmarin yang memaklumkan mereka mahu mengambil keterangan daripadanya.

    Tegas beliau, sejak awal-awal lagi beliau menyatakan kepada pegawai berkenaan bahawa akan memberi kerjasama untuk hadir ke Mahkamah Sesyen Selayang walaupun tidak menerima notis dan hanya mengetahuinya menerusi laporan media.

    “Depa memang nak pekena saya, sengaja cari salah yang tak ada tapi sedang direka buat tangkapan jam 3 pagi supaya menggambarkan dia ni (Sanusi) jahat pukul 3 kena tangkap. Saya nak betulkan PC (sidang akhbar) oleh Tan Sri IGP dengan penuh kehormatan saya kepada beliau yang PC dia semalam tak betul.

    “Saya ada ‘communication’ dengan pegawai Bukit Aman dari pukul 10 malam sampai 2 pagi. Ada WhatsApp pasal saya tak mahu ada tangkapan sebab saya tahu komplot ini nak tangkap ja dulu kerana tangkapan itu bagi satu naratif bahawa telah berlaku satu kesalahan. Kalau ditangkap depan orang ramai lagi syok.

    “Jadi saya elak untuk ditangkap, saya kata boleh beri kerjasama untuk hadir ke mahkamah. ‘Notis’ ke mahkamah itu saya dapat daripada Berita Harian Online, saya tak ada (terima) notis apa. Depa register kes secara ‘online’ jam 5 petang lebih. Dah lepas ‘office hour’, nampak tak komplot tu? Jaranglah orang lepas ‘office hour’ pi duk fail kes. Dia rajin, lepas tu tak dak notis apa,” katanya.

    Razarudin berkata, tindakan menahan Muhammad Sanusi pada pukul 3 pagi dibuat selepas beliau dan pegawai khasnya tidak dapat dihubungi bagi memaklumkan mengenai dua pertuduhan dihadapinya di Mahkamah Selayang.

    Tambah Muhammad Sanusi, kesemua tangkap layar mengenai perbualan bersama pegawai polis berkenaan telah dihantar kepada seorang lagi pegawai atasan Bukit Aman.

    Namun, selepas menyedari tiada pembetulan atau sebarang perubahan mengenai kenyataan KPN dibuat sehingga hari ini, beliau menyatakan perlu memberi penjelasan mengenai perkara itu.

    “Benda itu dia ‘call’ memang ada ‘call’. ‘Call’ pegawai saya apa semua. Saya ‘meeting’. Tiga ‘meeting’ hari itu. Jadi tengah ‘meeting’ itu ‘call’ masuk saya tanya siapa, dia bagitahu Bukit Aman. Saya ada semua ‘print screen’. Jangan main-main dengan saya.

    “Dakwaan IGP bahawa saya menolak ‘call’, ‘reject call’, tak mahu bekerjasama tidak benar. Semua WhatsApp, ‘print screen WhatsApp’ itu saya hantar kepada pegawai kanan polis untuk dia maklumkan kepada IGP kelmarin (semalam). Tapi nampak macam tak ada pembetulan. Hari ni saya habaq lah,” katanya.

    Terdahulu sebelum ditangkap, Muhammad Sanusi turut menjelaskan beliau memang mahu memberi kerjasama 100 peratus untuk berada di Mahkamah Sesyen Selayang pada pukul 9 pagi yang tidak memerlukan tangkapan terhadapnya dilakukan.

    “Saya nak lari mana? Saya kan Menteri Besar. Dia tetap nak suruh saya hadir. Saya kata tak apalah saya dah habis saya nak tidur, saya nak rehat. (Tiba-tiba) pukul 2.30 pagi dia ketuk pintu. Pukul 3 ambillah (dibawa ke balai).

    “Saya WhatsApp kepada pegawai kanan polis. Saya tak sebut namalah. Datuk Seri tolong jangan buat tangkapan malam ini kerana esok saya akan hadir ke Mahkamah Sesyen Selayang. Apa-apa proses siasatan lanjut boleh buat selepas itu,” katanya.

    Tambah Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu, beliau sama sekali memahami tugas yang perlu dilaksanakan pegawai dan anggota polis berdasarkan arahan diterima mereka dan menghargai tahap profesionalisme yang dipamerkan ketika proses itu berlaku.

    “Bahasa mereka sopan, saya tidak dikasari dan diberi peluang untuk mandi, gosok gigi serta minum, depa tunggu. Cuma mai ramai sangat, menakutkan orang di hotel itu. Tapi dah 3 pagi taklah ramai orang sangat. Jadi saya takut diserbu macam itu kalau ada orang tentulah saya (diingat) penjenayah.

    “Saya kata jangan gari (sebab) kalau gari ini (nampak) penjenayah sangat. Dia tak garilah, yang saya pi di Balai Polis Gombak tak dimasuk lokaplah. Dia letak dalam bilik mesyuarat dan saya diambil keterangan satu kes lain empat soalan saja (iaitu) adakah saya pernah mengeluarkan kenyataan dalam program Keluar Sekejap bahawa non Muslim lebih ramai mengamalkan rasuah daripada orang Muslim. Saya jawab ya (perkara itu) berdasarkan fakta dan statistik,” katanya.

  • Pasport Malaysia di tangga ke-11 dunia

    Pasport Malaysia di tangga ke-11 dunia

    PASPORT Malaysia kini di tangga ke-11 dalam ranking pasport dunia, naik dua tangga dari 2021 dan 2022.

    Menurut Indeks Pasport Henley bagi suku ketiga 2023, pasport Malaysia mempunyai skor bebas visa 180, bererti ia menyediakan akses bebas visa ke 180 daripada 227 destinasi perjalanan di seluruh dunia.

    Antara negara yang boleh diakses pemegang pasport Malaysia tanpa visa ialah Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Itali, United Kingdom, Jepun, Kanada dan Amerika Syarikat.

    Berdasarkan data sejarah dikongsi Henley, ranking tertinggi pernah dicapai pasport Malaysia ialah tangga kelapan pada 2014.

    Kedudukan pasport Malaysia merosot selepas itu dan gagal mencapai tangga 10 teratas sejak itu, lapor FMT.

    Tetapi, akses bebas visa meningkat kemudian.

    Pada 2021 dan 2022, pasport Malaysia di tangga ke-13 yang memberi akses bebas visa ke 176 negara.

    Singapura mendahului senarai itu dengan skor bebas visa 192. Thailand dan Indonesia di tangga ke-64 serta 69.

    Indeks itu menyenaraikan semua 199 pasport dunia berdasarkan data eksklusif daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), semak balas setiap satu terhadap semua 227 destinasi perjalanan di seluruh dunia, termasuk negara tidak mengeluarkan pasport mereka sendiri.

    Bagi setiap destinasi perjalanan tidak memerlukan visa atau boleh mendapat kebenaran perjalanan elektronik (ETA) atau permit pelawat semasa ketibaan, skor mobiliti pasport meningkat sebanyak satu.

    Tetapi, destinasi yang memerlukan visa atau kelulusan kerajaan untuk visa semasa ketibaan, tidak dianggap bebas visa dan tidak menyumbang kepada skor itu.

  • Kerajaan kawal harga barang, tak mungkin naik, kata menteri

    Kerajaan kawal harga barang, tak mungkin naik, kata menteri

    MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub menyangkal dakwaan mengenai kenaikan harga barang yang kerap dimainkan pembangkang menjelang pilihan raya negeri (PRN) ketika ini.

    Beliau yang juga Timbalan Presiden Amanah turut memberi jaminan langkah kerajaan mengawal penuh barangan tidak bersubsidi, tidak memungkinkan kenaikan harga barang.

    “Barangan seperti gula dan tepung sememangnya tidak naik (harga)… kerana ia dikawal penuh pihak kerajaan. Apa-apa pun barang pilihan rakyat, itu kita tidak kawal, sebab terpulang kepada rakyat untuk memilih.

    “Kerajaan kita memang mendepani isu kos sara hidup rakyat, tetapi kerajaan tidak boleh mengawal kos gaya hidup rakyat. Itu yang saya nak tegaskan, barang-barang yang jadi asas hidup rakyat setakat ini semuanya dikawal penuh kerajaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas hadir program ceramah jelajah perpaduan Madani Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk di Rumah Komuniti Teratak Desa, Gong Tok Nasek, malam tadi.

    Salahuddin berkata, menerusi inisiatif Payung Rahmah yang menyasarkan golongan B40 dan miskin tegar khususnya menerusi Jualan Rahmah, Menu Rahmah dan Pakej Rahmah, ia memberi pilihan kepada rakyat untuk membuat pembelian mengikut kemampuan.

    “… semalam diumumkan SARa (Sumbangan Asas Rahmah), rakyat boleh beli barang asas di beberapa pasar raya pilihan dengan harga Rahmah. Jadi, kita telah buat semua ini dan Alhamdulillah golongan sasaran kita ialah B40 dan miskin tegar.

    “Bagi mana-mana rakyat ingin memilih barangan mereka, kerajaan serahkan kepada rakyat yang mampu untuk membeli barangan pilihan mereka tetapi barang-barang makanan bersubsidi ini dikawal penuh oleh kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya.

    Terdahulu, kerajaan mengumumkan lebih 210,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kategori miskin tegar akan menerima SARa berjumlah RM600 mulai Isnin lepas yang membolehkan mereka membeli barangan keperluan asas tanpa tunai di 600 pasar raya dan kedai runcit di seluruh negara.

    Sementara itu, Salahuddin berkata pembahagian kerusi antara gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi mendepani PRN secara prinsipnya selesai dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

    Selain Terengganu, lima lagi negeri akan menghadapi PRN 12 Ogos ini ialah Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

  • Guna Akta Hasutan bertentangan janji reformasi Kerajaan Perpaduan – Muhyiddin

    Guna Akta Hasutan bertentangan janji reformasi Kerajaan Perpaduan – Muhyiddin

    PENDAKWAAN menggunakan Akta Hasutan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilihat bertentangan dengan janji reformasi yang pernah dilaungkan pimpinan Kerajaan Perpaduan.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan hari ini semakin galak menggunakan instrumen undang-undang menekan lawan politik mereka.

    “Inilah wajah sebenar mereka untuk ditatap oleh rakyat,” katanya sambil menzahirkan rasa simpati terhadap Muhammad Sanusi yang didakwa atas dua pertuduhan di bawah Akta Hasutan, semalam.

    Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PN dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Selayang pada Selasa, bagi menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(A) Akta Hasutan.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

    Sementara itu, Muhyiddin turut menegaskan dasar dan prinsip perjuangan PN yang utama ialah untuk menjunjung, memelihara dan mempertahankan kedaulatan dan kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan.

    “Prinsip ini akan terus dipertahankan. Dalam menjunjung semangat ini, saya juga berdoa semoga sahabat saya Muhammad Sanusi mendapat keadilan di mahkamah.

    “Saya juga mengajak seluruh rakyat supaya bersama-sama bermunajat dan mendoakan keselamatan beliau serta kekal bertenang,” ujar beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, lapor Astro Awani.

  • PM kelirukan orang ramai atas pertuduhan Sanusi – LFL

    PM kelirukan orang ramai atas pertuduhan Sanusi – LFL

    PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO) Lawyers for Liberty (LFL) menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kenyataan palsu dan mengelirukan berhubung pertuduhan menghasut terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

    Pengarah LFL Zaid Malek berkata, walaupun Anwar mendakwa pertuduhan itu perlu untuk melindungi institusi diraja namun Perdana Menteri mempunyai kepentingan langsung dalam salah satu pertuduhan itu.

    Katanya, pemeriksaan terhadap pertuduhan kedua mendedahkan bahawa tidak berkaitan dengan sebarang kritikan terhadap seorang raja atau Agong.

    “Ia sebenarnya adalah kritikan terhadap Perdana Menteri Anwar berhubung pembentukan kerajaan perpaduan, mempersoalkan dakwaan yang dibuatnya pada masa itu.

    “Oleh itu dakwaan Anwar bahawa Akta Hasutan 1948 telah digunakan hanya kerana ia menyentuh ‘kedudukan, maruah Raja-Raja Melayu’ adalah tidak benar.

    “Ringkasnya, dalam pertuduhan kedua Akta Hasutan digunakan ke atas Sanusi, seteru politik yang lantang itu, tidak lebih daripada mengkritik Perdana Menteri.

    “Ini adalah salah guna kuasa dan penindasan, jelas dan mudah,” kata Zaid dalam satu kenyataan hari ini.

    Pertuduhan pertama menuduh Sanusi mengulas tentang bagaimana salasilah keluarga diraja Kedah menunjukkan jalur keturunannya tidak pernah putus seperti keluarga diraja lain.

    Pertuduhan kedua terhadap Sanusi berkaitan keraguannya berhubung dakwaan Anwar bahawa Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan bahawa kerajaan perpaduan perlu dibentuk pada November 2022.

    Kedua-dua pertuduhan itu berdasarkan ucapan Sanusi pada 11 Julai di Selayang, Selangor semasa perhimpunan Perikatan Nasional.

    Bahagian transkrip ucapan yang berkaitan yang dilampirkan pada helaian pertuduhan diterbitkan semula pada penghujung laporan ini.

    Sementara itu, Zaid berhujah bahawa institusi diraja memainkan peranan dalam pemilihan Menteri Besar dan Perdana Menteri.

    Katanya lagi, memang wajar sebarang persoalan atau kritikan yang timbul berhubung pelantikan menteri besar dan perdana menteri akan menyentuh peranan institusi diraja.

    “Ini menuju kemerosotan untuk membenarkan Akta Hasutan digunakan dengan berselindung atas nama menjaga kemuliaan institusi diraja kerana kerajaan boleh memanjangkan hujah yang sama ini kepada perkara lain, termasuk kaum atau agama.

    “Kelayakan baru, licik, berbelit-belit ala Anwar ini hanya akan membawa kepada penggunaan tanpa batasan Akta Hasutan 1948,” hujah Zaid.

    Zaid berkata, Akta Hasutan 1948 adalah undang-undang yang mempunyai ‘kuasa berlebihan’ yang akhirnya menyekat kebebasan bersuara dan kebebasan politik.

    “Anwar kini mempertahankan undang-undang ini dengan tiba-tiba mengubah pendiriannya mengenai penggunaan Akta Hasutan dengan mendakwa boleh diterima menggunakannya kononnya untuk menjaga institusi diraja.

    “Gesaan supaya pemansuhannya oleh Anwar dan PH semasa pembangkang tidak pernah mempunyai kelayakan seperti itu, dan adalah menipu dan tidak jujur untuk mencadangkan sekarang ada perbezaan harus dibuat,” kata Zaid, lapor Malaysiakini.

    Sehubungan itu, Zaid menggesa kerajaan mengenakan moratorium terhadap penggunaan Akta Hasutan 1948 dan memansuhkannya secara langsung dalam sidang parlimen akan datang.

    Komen berbaur hasutan yang didakwa dibuat oleh Muhammad Sanusi Md Nor mengikut kertas pertuduhan:

    Pertuduhan pertama

    Sultan, satu-satunya Sultan yang ada susur galur daripada hari pertama kerajaan Kedah ditubuh sampai sekarang ini Sultan tu dari satu susur jalur tak pernah putus, Kedah Darul Aman. Haa.. hebatnya Sultan Kedah nih.. bukan koman-koman, Sultan tara tu, hangpa bayangkan tengok Menteri Besaq. Sultan hebat macam tu tak akan pilih Menteri Besaq cokia macam Amir tuh. Inci pon tak berapa cukup.. hahaha. Tarik balik pasal inci.

    Pertuduhan kedua

    Pada Ketika, Anwar Ibrahim dia rasa nak untung dia, dia akan guna titah Diraja nih habis-habisan walaupun orang lain tak dengaq. Tuan-tuan dengaq tak kata Agong kata tubuh Kerajaan Perpaduan, Tuan-tuan dengaq tak? Takdak sapa di dunia ini dengaq dia sorang ja. Takdak.. takdak sapa dengaq. Dalam vid dalam video takdak, dalam tv takdak, dalam surat habaq takdak, takdak sapa dengaq, Anwar Ibrahim sorang dengaq. Satu Malaysia percaya kat dia. Dia habaq kata Agong titah tubuh kerajaan perpaduan, ada sapa pi tanya Agong Tuanku titah ka Tuanku? Takdak haaa.. dia guna titah diraja tu di kata untuk tubuhkan kerajaan perpaduan himpunkan segala hoi ya.

  • 3 maut di RnR:Tidur dengan penghawa dingin terbuka punca kematian

    3 maut di RnR:Tidur dengan penghawa dingin terbuka punca kematian

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS memaklumkan punca kematian dua lelaki dan seorang wanita warga Myanmar di Kawasan Rawat dan Rehat (RnR) Yong Peng, dekat Batu Pahat malam tadi adalah kerana tidur terlalu lama dengan penghawa dingin kereta dibuka.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa berusia 23 hingga 27 dalam perjalanan dari Genting Highlands ke Taman Air Biru, Pasir Gudang.

    “Kereta Perodua Alza yang digunakan dipinjam dari seorang rakan di Johor Bahru dan dipercayai telah berhenti rehat seterusnya tidur dalam kereta di tempat kejadian.

    “Hasil temubual beberapa saksi, kereta mangsa didapati telah diletakkan dalam tempoh masa agak lama di RnR berkenaan.

    “Mangsa didapati tidak bergerak namun enjin kereta dihidupkan manakala tingkap tertutup rapat serta pintu dalam keadaan berkunci,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, apabila semua mangsa tidak memberikan sebarang tindak balas selepas orang awam mengetuk cermin tingkap dan memanggil dari luar, mereka kemudiannya terpaksa memecahkan cermin tingkap di bahagian pemandu untuk membuka pintu kereta dan memberi bantuan.

    “Selepas pintu berjaya dibuka didapati kesemua mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tidak memberikan sebarang tindak balas.

    Menurutnya, selepas pemeriksaan daripada pasukan perubatan mendapati ketiga-tiga mangsa kemudiannya telah disahkan meninggal dunia dilokasi kejadian.

    Mayat mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Siasatan Mati Mengejut (SDR), katanya.

  • Doa Sultan Nazrin, hijrah bersengketa kepada berdamai

    Doa Sultan Nazrin, hijrah bersengketa kepada berdamai

    SULTAN Perak menitipkan doa agar ummah khususnya di negara ini melakukan penghijrahan minda daripada budaya yang memilih untuk bermusuh kepada berkawan.

    Doa Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Sambutan Maal Hijrah 1445 peringkat Negeri Perak memohon agar budaya yang cenderung bersengketa berubah kepada berdamai; berdendam kepada bermaaf-maafan; menabur janji kepada mengotakan kata; mencari kelemahan kepada menggabungkan kekuatan.

    “Bersempena hari pertama tahun Hijrah 1445 ini, kepada Mu Ya Allah, kami yang lemah ini mohon mendapat bimbingan dan petunjuk agar ummah khususnya ummah Mu di bumi ini melakukan penghijrahan minda.

    “Daripada budaya menyemarakkan fitnah kepada menegakkan kebenaran; daripada budaya berjiwa kecil kepada berjiwa besar; daripada ummah yang bersifat munafik kepada ummah yang bertakwa.

    “Agar ummah di bumi ini menjadi ummah yang dihormati lagi disegani sesama manusia dan dipandang mulia di sisi Mu,” doa baginda diaminkan sekalian rakyat yang hadir di Pusat Konvensyen Casuarina Meru di Ipoh, hari ini.

    Sementara itu, dalam ucapannya Sultan Nazrin bertitah, umat Islam hendaklah bersedia malah wajib melakukan penghijrahan minda dan budaya.

    Titah baginda, penghijrahan itu membolehkan ummah berupaya memahami dan mentafsirkan isu-isu semasa daripada pelbagai dimensi serta bertenaga menangani dan menguasai situasi semasa terutama revolusi teknologi yang sedang pesat berlaku.

    “Cabaran yang semakin rencam dan rumit memerlukan perubahan minda-perubahan budaya yang dapat disesuaikan mengikut tuntutan masa, namun tetap memenuhi nilai tauhid agar manusia tidak terpesong daripada tafsiran hidup sebenar,” titah baginda.

    Sultan Nazrin turut menekankan bahawa penghijrahan minda dan budaya bukan semudah yang digambarkan kerana perlu bersandarkan ilmu dan bertiangkan pengetahuan.

    Seperti penghijrahan minda kata baginda, memerlukan minda yang bersedia keluar daripada kepompong kejahilan dan zon keselesaan, berani menerokai pengetahuan, kemahiran, medium dan kaedah baharu, dirintis selari dengan keperluan zaman.

    “Penghijrahan minda memerlukan minda yang dahagakan kemajuan, minda bijaksana, rasional, merdeka yang tidak berjiwa hamba dan minda yang tidak gentar pada perubahan.

    “Penghijrahan budaya (pula) merupakan kesediaan meninggalkan budaya usang dan lapuk digantikan dengan budaya lebih dinamik yang mencerminkan keluhuran budi, mengamalkan disiplin, memiliki maruah dan harga diri, bersifat amanah, jujur, ikhlas bertunjangkan prinsip dan nilai Islam,” titah baginda, lapor Sinar Harian.

    Dalam majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak bagi tahun 1445 Hijrah kepada Jurij Sulaiman.

    Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

    Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.

    Keberangkatan tiba Sultan Nazrin sekitar pukul 10 pagi itu disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

    Hadir sama, Mufti Perak, Datuk Dr. Wan Zahidi Wan Teh; Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim.

  • Sultan Kedah ingatkan umat Islam usah bangkit isu boleh gugat perpaduan ummah

    Sultan Kedah ingatkan umat Islam usah bangkit isu boleh gugat perpaduan ummah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SULTAN Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menggesa umat Islam agar tidak membangkitkan isu yang boleh menggugat perpaduan ummah di negeri dan negara ini.

    Selain itu, Sultan Sallehuddin turut tidak bersetuju dengan segelintir golongan tidak bertanggungjawab yang menggunakan platform masjid sebagai tempat berpolitik sekali gus menimbulkan kegawatan dan perpecahan dalam kalangan umat Islam.

    Baginda juga dalam masa sama turut mengharapkan agar umat Islam di negeri ini sentiasa hidup bersatu padu dan menjaga keharmonian.

    “Antara sebab perpecahan yang melanda masyarakat adalah ketidakmampuan mengendalikan hawa nafsu selain tidak matang dalam memberikan tindak balas berkaitan perbezaan pendapat hingga mudah melenting, lalu bergaduh sesama sendiri.

    “Walhal pergaduhan itu ada yang berpunca dari isu remeh-temeh,” titah baginda.

    Sultan Sallehuddin bertitah demikian sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri di sebuah hotel di Alor Setar, hari ini.

    Sultan Sallehuddin mencemar duli bersalaman dengan orang ramai dalam Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri di sebuah hotel di Alor Setar, hari ini.

    Baginda menambah, bibit-bibit perpecahan dapat diatasi apabila semua pihak kembali kepada ajaran paling asas iaitu berpegang kepada roh al-Quran.

    “Hayatilah peringatan Allah menerusi surah Ali Imran ayat 105 yang bermaksud: Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.

    “Oleh itu beta menyeru agar kita semua menghayati setiap inci iktibar dari kehidupan Rasulullah serta berusaha sedaya-upaya menyerap tingkah laku dan akhlak baginda agar tercerna dalam hidup kita uswah dan qudwah baginda yang sangat mulia itu,” titah baginda.