SEORANG lelaki ditahan selepas mengugut bapa sendiri dengan parang kerana menyangka anaknya dihalau keluar dari sebuah rumah di Kampung Kubang Lintah, mukim Lepai di sini kelmarin.
Sinar Harian melaporkan, dalam kejadian lebih kurang pukul 3 pagi itu, suspek berusia 48 tahun mengejutkan bapanya berusia 84 tahun sebelum bertanya di mana anaknya.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, suspek yang tidak berpuas hati lalu turun ke bawah rumah serta membawa sebilah parang dan mengeluarkan kata-kata ugutan.
“Warga emas itu melarikan diri ke rumah seorang lagi anaknya yang lain dan kemudian ke balai polis membuat laporan.
“Siasatan mendapati punca pertengkaran kerana suspek beranggapan mangsa telah menghalau anaknya keluar dari rumah, sedangkan anak suspek kini tinggal di rumah sewa bersama rakan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Ahmad Shukri berkata, tiada sebarang kecederaan dialami oleh mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Katanya, suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula Selasa hingga Jumaat.
PEMIMPIN yang korup boleh dianggap sebagai penjajah alaf baharu hingga boleh mengakibatkan sesebuah negara rosak dan musnah.
Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pasir Gudang, Murad Jailani berkata, mereka memenjarakan minda dan mengaburi rakyat dengan menabur sedikit imbuhan tetapi merompak seluruh kekayaan untuk diri serta kroni mereka.
Situasi ketika ini katanya, menunjukkan negara seperti ‘belum merdeka’ kerana masih terdapat segelintir pemimpin yang bukan sahja korup tetapi juga masih cuba mengongkong dan memenjara minda serta suara rakyat.
“Rakyat ditakutkan dengan pelbagai akta yang membataskan pandangan dan pendapat. Merdeka kita dapat rasakan apabila kebangkitan rakyat pada Mei 2018 dengan menghumban kerajaan Barisan Nasional (BN) yang merasakan mereka dapat lakukan sesuka hati mereka.
“Merdeka apabila suara rakyat berjaya membawa mereka yang merompak wang rakyat ke muka pengadilan dan menerima hukuman. Merdeka bila rakyat tahu kuasa melakukan perubahan untuk kesejahteraan dan kemakmuran negara berada di tangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tegas beliau, melakukan perubahan ke arah lebih baik untuk negara termasuk menolak pemimpin dan amalan korup merupakan antara pengisian kemerdekaan.
Kesedaran tersebut perlu ada dalam setiap minda rakyat supaya negara terselamat dan tidak hancur akibat rasuah, katanya.
“Rakyat Malaysia hari ini telah sedar bahawa mereka inginkan perubahan yang lebih baik untuk negara tercinta ini.
“Perubahan ke arah kebaikan demi masa depan anak cucu kita memerlukan sedikit pengorbanan. Apalah sangat hendak dibandingkan dengan pengorbanan datuk nenek kita menentang penjajah dan pengkhianat bangsa dan agama.
“Merdekakan minda, merdekakan diri daripada terus dibohongi oleh pemimpin-pemimpin yang korup. Kita mampu membuat perubahan demi negara kita yang tercinta,” katanya lagi.
Murad berkata, tanggal 31 Ogos merupakan hari bersejarah yang disambut cukup meriah oleh rakyat negara ini namun perlu disedari untuk mencapai kemerdekaan bukan sesuatu yang mudah.
“Sejarah membuktikan bahawa pejuangan untuk mencapai kemerdekaan ini memerlukan banyak pengorbanan. Sejak dari penjajahan Portugis, Belanda, British, Jepun dan British kembali banyak nyawa yang terkorban demi mempertahankan negara ini,” ujarnya.
Sehubungan itu katanya, rakyat harus sedar tanggungjawab mereka dalam mencorak perjalanan dan kejayaan negara ini.
SEORANG pengurus kilang kerugian lebih RM30,000 selepas menerima ugutan penyebaran video bogelnya melalui aplikasi WhatsApp oleh kenalan wanita di Taman Langkap, di Teluk Intan, semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata mangsa, 55 tahun telah berkenalan dengan suspek wanita yang menggunakan nama panggilan “Lulu” pada 10 Ogos lepas.
Menurutnya, suspek telah mengajak lelaki itu membuat panggilan video melalui WhatsApp dan menunjukkan tubuh bogel tanpa muka lalu mengajak mangsa melakukan perkara yang sama kira-kira pukul 1 pagi lima hari kemudian.
“Suspek telah mengugut mangsa untuk memasukkan bayaran dan sekiranya tidak ditunaikan suspek akan menyebarkan gambar dan video bogel mangsa menerusi WhatsApp, Facebook dan Instagram.
“Mangsa kemudiannya telah membuat beberapa transaksi secara dalam talian mencecah sebanyak RM33,516 kerana bimbang dengan ugutan bersiri itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ahmad Adnan, mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Langkap kira-kira jam 6.54 petang semalam apabila menyedari dirinya tertipu dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan peras ugut.
Justeru, orang ramai diingatkan supaya tidak melayan sebarang mesej yang diterima dari mana-mana orang yang tidak dikenali bagi mengelakkan mereka terpedaya dengan sindiket sebegini.- BERNAMA
KEHARMONIAN Keluarga Malaysia dan keterujaan jelas terpancar di wajah ribuan individu pelbagai lapisan umur, bangsa dan latar belakang yang membanjiri Dataran Merdeka, bersama-sama meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2022.
Manifestasi tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, sambutan hari bersejarah tahun ini cukup bermakna dalam menzahirkan kesyukuran dan rasa bangga masyarakat majmuk negara ini yang beramai-ramai berhimpun di lokasi utama perarakan dan perbarisan seawal 4.30 pagi untuk menyaksikan acara itu.
Lautan manusia termasuk pelancong asing mengambil peluang menghayati tema sambutan dengan menampilkan semangat patriotisme, kebersamaan dan kesepaduan memeriahkan acara sambutan peringkat kebangsaan penuh warna-warni dan besar-besaran.
Pasukan barisan hadapan melintasi pentas tetamu kehormat pada acara perbarisan dan perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, hari ini.
Setelah dua tahun disambut dalam persekitaran norma baharu ekoran pandemik COVID-19, acara perbarisan dan perarakan oleh hampir 20,000 peserta pelbagai kontinjen tahun ini diadakan gilang-gemilang yang mempamerkan komponen kenegaraan, barisan hadapan, urus tadbir negara, ketenteraman awam, keselamatan negara, komponen Keluarga Malaysia dan pertunjukan udara.
Acara sambutan yang melibatkan sejumlah 369 aset darat dan 68 aset udara serta 76 ekor haiwan dalam perkhidmatan, turut disiarkan secara langsung di kaca televisyen dan laman media sosial, orang ramai disajikan dengan dendangan lagu-lagu patriotik, diiringi Orkestra RTM pimpinan Datuk Mokhzani Ismail, yang julung kali terlibat dalam acara bersejarah itu.
Ketibaan rasmi dif-dif kenamaan dan pemimpin negara bermula 7.30 pagi disusuli dengan kemuncak keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang menaiki Kereta Kuda Diraja, satu penampilan unik berbeza daripada kelaziman tahun-tahun sebelum ini.
Pesawat Pengangkut A400m dan C130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan lintas hormat pada sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, hari ini.
Kereta Kuda Diraja kali terakhir digunakan pada 17 tahun lepas semasa Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berangkat menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2005.
Sejurus keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di pentas diraja, lima pesawat helikopter melakukan terbang lintas diiringi dengan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku.
Seri Paduka kemudian menerima Tabik Hormat Diraja dan berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota diketuai Mejar Nurul Fauzan Md Sabri.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, empat menteri kanan dan menteri-menteri Kabinet termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, diplomat dan perwakilan asing serta dif-dif kenamaan menghadiri sambutan hari bersejarah itu.
Sebahagian daripada persembahan ketika Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, hari ini.
Mendahului acara sambutan Hari Kebangsaan 2022 itu ialah nyanyian lagu Negaraku seiring dengan acara menaikkan Jalur Gemilang. Serentak itu kedengaran 14 das tembakan kehormatan, simbolik kepada 14 negeri di Malaysia, dilaksanakan oleh 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja diketuai Lt Kol Mohamad Asri Che Wil.
Menyemarakkan suasana sambutan, hadirin disajikan dengan lagu tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, nyanyian Alif Satar & The Locos bersama kumpulan koir Keluarga Malaysia dengan iringan muzik Orkestra RTM.
Tidak sempurna acara tanpa bacaan ikrar Rukun Negara, atlet pecut muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, yang merupakan pemegang rekod acara 100 meter negara mengetuai 65 pembaca ikrar yang terdiri daripada pelbagai kaum, sekali gus menonjolkan elemen keterangkuman.
Usai lafaz ikrar, laungan keramat ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali bergema di Dataran Merdeka.
Pada sambutan kali ini, hadirin dipersembahkan dengan persembahan khas colour guard ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ oleh 600 pelajar sekolah menengah di bawah penyelarasan Unit Pembangunan Bakat Murid, Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, hari ini.
Mendahului segmen kenegaraan ialah perarakan kontinjen pembawa bendera besar bersaiz 24.3 meter x 12.2 meter oleh 60 pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan kadet pelatih dari Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia.
Ia diikuti dengan perarakan 330 pembawa Jalur Gemilang dan pembawa bendera negeri-negeri.
Bagi menggambarkan kesepakatan sinergi penyampaian perkhidmatan awam Malaysia, 27 kementerian dan jabatan daripada sektor perkhidmatan am, ekonomi, industri, keselamatan, infrastruktur, kemudahan awam dan sosial menyertai kontinjen barisan kementerian.
Turut menarik perhatian, perarakan kontinjen Persatuan Jurumasak Malaysia diketuai Presiden Khairuddin Kamarudin. Tunku Azizah merupakan penaung persatuan ini yang ditubuhkan pada 1977 dengan objektif menyatukan profesional masakan serta mewujudkan hubungan antara pemain industri serta jalinan kerjasama profesional.
Sebahagian daripada acara menaikkan Jalur Gemilang ketika Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, hari ini.
Perarakan kemudiannya dimeriahkan dengan Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia yang diketuai Sabri Said, melibatkan lima unit kenderaan pacuan empat roda daripada Jabatan Penerangan Malaysia dan 65 motosikal berkuasa tinggi BMW K16.
Bidang sukan yang menjadi elemen penyatuan rakyat Malaysia tidak ketinggalan membuat penampilan. Atlet Malaysia termasuk mereka yang mewakili negara pada temasya Sukan Komanwel Brimingham 2022 menaiki dua bas ‘hop-on hop-off’ menerima tepukan gemuruh para hadirin.
Menyerikan lagi sambutan tahun ini ialah perarakan 30 kenderaan klasik yang membawa tokoh dan karyawan seni antaranya pengarah filem Datuk Yusof Haslam serta personaliti filem pecah panggung ‘Mat Kilau’, Datuk Jalaluddin Hassan dan Shaharuddin Thamby.
Sejumlah 650 peserta daripada 33 syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan swasta serta kereta berhias yang membawa pelbagai maskot karekter animasi tempatan seperti Didi & Friends, Omar dan Hana, BoBoiBoy dan Papa Zola menceriakan perarakan dengan aksi masing-masing.
Pasukan barisan hadapan melintasi pentas tetamu kehormat pada acara perbarisan dan perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, hari ini.
Dalam segmen ketenteraman awam, kontinjen barisan hadapan menarik perhatian ramai apabila turut membariskan petugas kesihatan daripada Kementerian Kesihatan serta petugas keselamatan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang merupakan tonggak utama negara tatkala pandemik COVID-19 melanda negara.
Bagi segmen keselamatan negara, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memulakan acara perbarisan dengan persembahan demonstrasi menyelamatkan tebusan oleh pasukan elit, Grup Gerak Khas berserta aset-aset milik ATM.
Aset pesawat udara kontinjen keselamatan negara dipertontonkan di ruang udara, antaranya melibatkan dua jenis pesawat pengangkut terbesar A400M dan C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Buat julung kalinya ruang udara Kuala Lumpur digegarkan dengan persembahan formasi mega terbang lintas udara yang dibarisi 21 pesawat helikopter pelbagai agensi ATM, Polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Agensi Penguatkuasaan Maritim.
Lagu tema ‘Keluarga Malaysia’ ciptaan Jerry dan lirik oleh Annuar, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022, mengakhiri persembahan sambutan yang memukau para hadirin.- BERNAMA
SEORANG ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) direman hingga Rabu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan memukul adik lelakinya yang juga merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) di Bandar Sri Jempol, dekat sini pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata lelaki berusia 40-an itu ditahan pada 4 petang Ahad lepas selepas pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung perkara itu.
Mangsa yang berusia 39 tahun mendakwa dipukul oleh abang kandungnya dengan menggunakan objek dan dicucuh dengan api.
“Dia kemudian dibawa ke Hospital Jempol untuk pemeriksaan doktor dan disahkan mempunyai kecederaan pada bahagian perut serta belakang badan sebelum menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hoo berkata kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan siasatan masih dijalankan.
Justeru, menurutnya orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan dan menyeru jika ada pihak yang mempunyai maklumat berkenaan kes tersebut agar tampil ke balai polis berdekatan.- BERNAMA
INSTITUT Masa Depan Malaysia (MASA) mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-65 kepada seluruh warga Malaysia.
Tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat yang mencatatkan detik bersejarah apabila pemasyhuran kemerdekaan diisytiharkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama.
Pengertian konsep kemerdekaan telah menjadi pasak perpaduan dalam proses pembinaan negara bangsa sejak sekian lama, seiring dengan aspirasi dan hasrat segenap lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang, untuk menikmati kemakmuran secara adil dan saksama.
Sebagai negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, Malaysia kekal menjadi sebuah negara yang aman dan harmoni berpaksikan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara.
Justeru, dalam menghayati erti kemerdekaan, Agenda Prihatin Rakyat perlu sentiasa menjadi keutamaan pihak kerajaan. Aspek kesejahteraan rakyat terutamanya golongan yang terpinggir harus diberi penekanan khusus ke arah mencapai matlamat menangani jurang kekayaan dan pendapatan, iaitu objektif kedua dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang menjadi aspirasi negara ketika ini.
Patriotisme tidak mungkin tumbuh daripada retorik dan slogan semata-mata. Dalam menghadapi kepelbagaian cabaran semasa dan masa depan, kepimpinan berintegriti dan beramanah perlu diangkat sebagai nilai utama yang perlu dizahirkan dan menjadi teras budaya masyarakat Malaysia yang bersatu, makmur dan bermaruah.
Hanya dengan menjunjung prinsip integriti dan beramanah, usaha membela kebajikan rakyat dan memajukan negara pasca pandemik dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan saksama.
Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini akan lebih bermakna sekiranya setiap warganegara kembali menghayati semangat pejuang kemerdekaan, bersatu hati dan membugar semula rasa cinta akan tanah air demi mencapai wawasan bersama untuk negara.
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
AZRIL MOHD AMIN adalah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia
SEORANG kanak-kanak lelaki meninggal dunia selepas kereta hilang kawalan sebelum terbabas lalu masuk gaung di Jalan Kuala Paya, Buloh Kasap, Segamat, hari ini.
Kemalangan kira-kira pukul 3 petang itu melibatkan Rizz Haikal Ereyentoo berusia lima tahun yang cedera parah selain Azlin Sairi berusia 39 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Pegawai Bomba Kanan II Fuad Mohamad, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 3.06 petang.
“Susulan itu seramai lapan anggota dengan satu jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Kancil terbabas dan jatuh ke dalam gaung pada kedalaman 20 kaki,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, Rizz Haikal yang cedera itu tersepit di tempat duduk belakang sementara mangsa lain telah keluar sendiri.
Beliau berkata, kanak-kanak lelaki terbabit telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Beliau menambah, operasi menyelamatkan semua mangsa selesai pada pukul 5.29 petang.
SEORANG lelaki warga emas berputih mata apabila wang simpanan lebih RM1.8 juta lesap selepas diperdaya sindiket penipuan dalam talian melalui kaedah penghantaran barangan baru-baru ini.
Mangsa merupakan pesara swasta berusia 67 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid, mangsa memaklumkan telah mengenali seorang wanita yang mendakwa seorang warganegara Brazil dan bekerja sebagai doktor di United Kingdom melalui Facebook pada Mei lalu.
“Setelah mangsa dan wanita itu berkenalan kira-kira dua minggu, suspek berjanji untuk mengirimkan barangan dan wang tunai berjumlah USD2.8 juta kepada mangsa.
“Namun pada 13 Jun, seorang wanita lain yang mengaku sebagai ejen penghantaran barang menghubungi mangsa dan meminta bayaran cas servis penghantaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya melakukan 11 transaksi pemindahan wang dalam talian ke dalam beberapa akaun bank diberikan suspek membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM1,871,540.
Menurut Rupiah, mangsa yang merupakan seorang pesara swasta hanya menyedari ditipu setelah tidak menerimanya barang yang dijanjikan sehingga kini, selain kedua-dua wanita yang berurusan dengannya sebelum ini gagal dihubungi.
Beliau berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Pihaknya menggesa orang ramai yang menerima tawaran meragukan daripada mana-mana pihak agar berhati-hati dan melaporkan kepada polis bagi mengelak diri mereka menjadi mangsa penipuan.
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini selesai memberikan keterangan setelah 17 hari membela diri terhadap kes rasuah membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbdudi (YAB) yang dihadapinya.
Ahmad Zahid, 69, memberikan keterangan bersumpah dari tempat saksi di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bermula 13 April lepas dengan menafikan segala dakwaan terhadapnya.
Berkenaan prosiding seterusnya, peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid berkata pihak pembelaan akan mengurangkan saksi pembelaan daripada 43 saksi kepada 40.
“Pihak pembelaan akan menyediakan pernyataan saksi dan menyerahkannya kepada pendakwaan dalam tempoh 14 hari sebelum mereka memberi keterangan,” kata peguam itu.
Hakim Sequerah: Perlu ke memanggil 40 saksi lagi?
Hamidi: Ya Yang Arif, walaupun bilangannya mencecah 40 saksi, keterangan mereka tidak akan mengambil masa yang lama, malah kami akan mengikut jadual perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran mencadangkan agar 20 saksi sahaja dipanggil memberikan keterangan.
“Sebelum ini 43 saksi dikatakan akan dipanggil memberikan keterangan, sekarang turun kepada 40 saksi, namun ia masih dikira ramai. Jadi saya cadangkan mahkamah dapat menetapkan tarikh tambahan untuk prosiding akan datang,” katanya.
Peguam utama Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Poh Teik kemudian berkata tarikh tambahan tidak perlu ditetapkan pada masa ini kerana saksi-saksi ini tidak akan mengambil masa terlalu lama untuk memberikan keterangan.
Mahkamah menetapkan 40 saksi itu memberikan keterangan selama 20 hari iaitu pada 19 hingga 22 Sept, 26 hingga 29 Sept, pada Oktober iaitu 17, 18, 19, 20 dan 31 manakala November pada 1, 2, 3, 7, 8, 9 dan 10.
Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit milik dana YAB.