Category: Semasa

  • Muhyiddin tuntut Anwar tarik balik kenyataan lupus hutang peneroka Felda

    Muhyiddin tuntut Anwar tarik balik kenyataan lupus hutang peneroka Felda

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataan berhubung pelupusan hutang peneroka Felda, dan memohon maaf secara terbuka kerana ia disifatkan sebagai fitnah.

    Jika tuntutan itu gagal dipenuhi dalam tempoh 24 jam, pihak peguam bekas Perdana Menteri itu berkata, mereka diarah memulakan tindakan undang-undang terhadap Anwar, menurut surat yang dilihat FMT.

    “(Anwar) telah membuat kenyataan fitnah terhadap anak guam kami (Muhyiddin) dengan niat mencemar, menjatuhkan dan/atau merosakkan reputasinya,” menurut surat itu.

    Dalam satu majlis awal bulan ini, Anwar mendakwa pentadbiran Muhyiddin mengumumkan akan melupuskan RM8.3 bilion hutang peneroka Felda, tetapi langkah itu tidak pernah dilaksanakan.

  • Ismahalil, ibu saling berpelukan, air mata tak henti mengalir

    Ismahalil, ibu saling berpelukan, air mata tak henti mengalir

    PENYAMPAI radio, Ismahalil Hamzah, 50, yang dibebaskan Mahkamah Tinggi, kelmarin bertemu ibunya, Salbiah Mat Noor, 88, di kampungnya di Sepang, Selangor, hari ini.

    Pertemuan menyayat hati dua beranak itu turut dikongsikan dalam akaun Facebook isteri Ismahalil, Nor Haslinda Abd Manaf, 48, memaparkan Ismahalil dan ibunya saling berpelukan erat bagi melepas kerinduan yang sarat dengan linangan air mata mengalir tanpa henti.

    Lebih memilukan lagi, suasana sedih dan hiba itu amat dirasai dengan latar lagu Air Mata Ibu nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza yang mana bait liriknya cukup membawa maksud mendalam dan begitu terkesan.

    Nor Haslinda dalam catatannya, mengucap syukur ke hadrat Allah SWT dan berterima kasih kepada barisan peguam yang berjuang membantu suaminya sehingga berjaya dibebaskan oleh mahkamah pada Isnin lalu.

    “Terima kasih Allah atas peluang ini. Terima kasih kepada peguam dan ‘team’ (pasukan) yang lain kerana pulangkan anak ini bertemu ibunya. Terima kasih keluarga, kawan-kawan yang sentiasa membantu dan memberi kata semangat.

    “Terima kasih untuk diri sendiri juga kerana dapat harungi dugaan ini. Selamat menyambut Maal Hijrah,” tulisnya pada kapsyen video berserta dengan tanda pagar, #tahunbarubukubaru, lapor Berita Harian.

    Ismahalil mahu mengotakan janji kepada arwah bapanya untuk menjaga ibu yang kini kurang sihat dan menetap di Sepang.

    Selepas dibebaskan Mahkamah Tinggi, kelmarin, Ismahalil yang ditemui media berkata, dia mahu mengotakan janji kepada arwah bapanya untuk menjaga ibu tercinta yang kini kurang sihat dan menetap di Sepang.

    “Perkara pertama yang ingin saya lakukan selepas dibebaskan adalah berjumpa emak di kampung yang kini sakit dan kurang sihat.

    “Saya nak balik kampung untuk jumpa emak. Saya ingin menjaganya (emak) kerana sudah berjanji pada arwah ayah. Lagipun, sudah dua tahun saya tak jumpa emak,” katanya.

    Sebelum ini, Ismahalil berdepan pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6 gram, dua tahun lalu dan keputusan pembebasan dibacakan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin, kelmarin.

    Pada 21 Februari lalu, Ismahalil mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, di Kuala Lumpur, pada pukul 5.35 petang 27 Ogos 2021.

    Terdahulu, Ismahalil didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan minimum 12 sebatan.

  • Madrasah tahfiz antara lokasi simpan ketum, 4 lelaki ditahan

    Madrasah tahfiz antara lokasi simpan ketum, 4 lelaki ditahan

    POLIS Kelantan menahan empat lelaki dan merampas pil yaba serta ketum di dua lokasi semalam, termasuk di sebuah madrasah tahfiz di Batu 11, Ketereh dekat Kota Bharus yang disyaki menjadi tempat simpanan 100kg ketum.

    Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata, dalam serbuan pada 9.15 malam itu, 10 bungkus plastik hitam disyaki mengandungi daun ketum ditemukan di madrasah tahfiz tersebut, iaitu lokasi kedua serbuan, pada hari sama.

    “Serbuan ke madrasah tahfiz dipandu arah oleh empat suspek terbabit berusia 20-an, yang ditahan pada serbuan pertama di sebuah rumah di Jalan Tali Air Kampung But, Ketereh, pada kira-kira 9 malam,” katanya dalam kenyataan.

    Katanya, siasatan lanjut mendapati seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine, manakala seorang lagi mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

    Muhamad Zaki berkata, dalam serbuan pertama, polis merampas 20 bungkusan plastik berisi kira-kira 20 liter cecair ketum dan empat bungkusan plastik berisi daun hijau disyaki ketum dianggarkan seberat 40kg.

    “Pemeriksaan lanjut di sekitarnya turut menemukan satu kotak rokok disyaki berisi pil kuda, selain satu periuk besar berisi air rebusan ketum dianggarkan sebanyak 10 liter, dua tong gas dan sebuah dapur gas, yang turut dirampas.

    Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM4,522 dan perintah tahanan reman selama empat hari ke atas kesemua suspek berakhir 22 Julai.

    Kes disiasat bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

  • Murid Tahun Lima dakwa guru besar rotan hingga cedera

    Murid Tahun Lima dakwa guru besar rotan hingga cedera

    MURID lelaki Tahun Lima sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Segamat cedera di badan dan muka selepas didakwa dirotan guru besar sekolah itu kerana tidak menyiapkan kerja sekolah.

    Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian menerusi laman Facebook Polis Daerah Segamat kira-kira pukul 11 malam semalam.

    Susulan maklumat diterima, pihaknya meminta mangsa hadir ke balai polis bagi membuat laporan berhubung kejadian.

    “Pada pukul 12.10 tengah malam, satu laporan polis dibuat ibu mangsa mengatakan anaknya cedera di leher kiri, bahu kiri dan calar di pipi akibat dirotan guru besar wanita berusia 50-an.

    “Siasatan awal mendapati pelajar itu dirotan kerana gagal menyiapkan kerja sekolah dan bersikap sambil lewa ketika sesi pembelajaran di sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Ahmad Zamry berkata, susulan polis itu pihaknya sudah mengambil keterangan daripada guru berkenaan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

    Beliau berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya.

  • Peguam persoal mengapa Guan Eng belum didakwa lagi?

    Peguam persoal mengapa Guan Eng belum didakwa lagi?

    SEORANG peguam mempersoalkan mengapa pihak berkuasa sehingga hari ini masih belum mendakwa Lim Guan Eng ke muka pengadilan berhubung ucapan berbaur perkauman yang didedahkan media sebelum ini.

    Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali membandingkan tempoh masa yang diambil oleh pihak polis dalam kes Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dengan Guan Eng yang sehingga hari ini masih tidak didakwa.

    Beliau merujuk kepada kes siasatan Pengerusi DAP itu berhubung ucapannya yang menyentuh isu 3R (kaum, agama dan raja) dalam satu majlis di Jelutong, Pulau Pinang 7 Julai lalu.

    Beliau berkata, proses siasatan yang laju dan tidak lembab wajar dipuji dan sepatutnya dijalankan oleh pihak polis terutamanya kes Sanusi hanya perlu dinilai melalui kata-kata dalam ucapannya sama ada wujud elemen hasutan sebelum dibawa ke peringkat pertuduhan.

    Bagaimanapun, beliau menegaskan, sekiranya itulah proses siasatan yang dikenakan terhadap Sanusi ianya juga sepatutnya menjadi proses yang sama dikenakan terhadap mana-mana siasatan melibatkan ahli-ahli politik dalam anggota kerajaan campuran pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

    “Yang mengkritik dan menggunakan 3R juga harus dikenakan tindakan yang sama juga. Kalaulah telah pun dipanggil dalam masa empat hari selepas itu pun dituduh.

    “Maka, Lim pun samalah,” katanya dipetik laporan MalaysiaNow.

    Semalam, Sanusi didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan kerana membuat kenyataan berbaur hasutan mengenai pelantikan rakan sejawatnya di Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika berucap dalam ceramah politik.

    Beliau didakwa hanya selepas empat hari hadir memberi keterangan dan rakaman percakapan kepada pihak polis.

    Sanusi turut didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur hasutan berhubung penubuhan kerajaan campuran.

    Bercakap lebih lanjut, Rafique berkata perbezaan itu seolah-olah memberi bayangan terdapat layanan yang tidak sama dalam kedua-dua siasatan terhadap ahli-ahli politik tersebut.

    Perkembangan ini lebih jelas apabila seseorang yang berada dalam blok pembangkang menerima ‘kelajuan’ yang lebih cepat berbanding pemimpin yang berada dalam blok kerajaan.

    Selepas pendakwaan terhadap Sanusi, Rafique turut membangkitkan persoalan mengenai keazaman PH yang selama ini dilihat aktif memperjuangkan pemansuhan Akta Hasutan 1948 dan sering kali menggelar akta itu sebagai satu akta yang sudah lapuk.

    Namun kini, selepas berjaya membentuk kerajaan baru di Putrajaya, PH dilihat masih bergantung dengan pendakwaan terhadap musuh politik mereka menggunakan akta tersebut.

    Katanya, terdapat beberapa seksyen dalam undang-undang yang membenarkan pertuduhan meskipun melibatkan sensitiviti kesultanan dan diraja tanpa perlu menggunakan Akta Hasutan.

    Contohnya, Seksyen 499 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan mengenai kesalahan atau jenayah fitnah dan jika sabit kesalahan boleh didakwa mengikut Seksyen 500 yang membawa hukuman penjara sehingga dia tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    “Jadi, tak perlulah nak gunakan undang-undang lapuk macam Akta Hasutan 1948 yang mereka sendiri kata akan hapuskan dan mansuhkan.”

    Mengulas lanjut, Rafique juga menyedari perkembangan terbaru dalam kalangan penyokong kerajaan campuran di mana mereka juga dilihat seolah-olah meraikan penggunaan Akta Hasutan setiap kali melibatkan siasatan terhadap pemimpin pembangkang.

  • Ceramah PN bersama warga peneroka di Hulu Selangor dibatalkan

    Ceramah PN bersama warga peneroka di Hulu Selangor dibatalkan

    PROGRAM ceramah anjuran Perikatan Nasional (PN) bersama warga peneroka di Hulu Selangor yang sepatutnya diadakan malam ini terpaksa dibatalkan.

    Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun berkata, ia selepas  penarikan semula permit kebenaran daripada pihak polis apabila tidak mendapat kebenaran daripada pihak FELDA.

    “Rasa terkilan tapi apakan daya kami akur dengan arahan pihak polis yang telah menarik balik permit kebenaran yang telah diberikan kepada kami apabila pihak FELDA tidak benarkan.

    “Lebih terkilan lagi boleh dikatakan setiap pelusuk kawasan dan negeri berceramah sana sini dan PMX sendiri berkempen di Universiti-universiti. Malang sungguh tiba-tiba dikawasan kami satu-satunya ada FELDA di Selangor ini kami tidak dibenarkan.

    “Kami telah mohon permit pada hari Ahad 16 Julai 2023 kepada pihak polis. Seterusnya kami telah memohon kebenaran kepada pihak Pengurusan FELDA pada Isnin 17 Julai dan permohonan kami di tolak oleh Pengurusan FELDA Desa Maju Sungai Tengi.

    “Apabila ditolak saya telah cuba hubungi Pengurus FELDA sebanyak 2 kali dan saya tahu dia sedang online tapi tidak menjawab panggilan saya,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

    Jelasnya lagi, keputusan menarik balik kelulusan kebenaran tersebut hanya diketahui semalam walaupun persediaan sudah dibuat oleh pihak penganjur.

    “Pada Selasa 18 Julai 2023 kami telah mulakan pembelian barang‐barang yang diperlukan serta pemasangan khemah dan ‘stage’…pada sebelah petangnya kami juga telah menerima surat kelulusan dari pihak polis walaupun salah tarikh tapi surat permohonan kami jelas tarikh ceramah adalah pada 19 Julai 2023.

    “Selepas solat Isyak pada 18 Julai 2023 ketika di surau saya terima panggilan dari PA saya menyatakan pihak polis terpaksa menarik balik surat kelulusan atas sebab pihak FELDA tidak beri kelulusan,” katanya, lapor Agenda Daily.

  • Polis buru Ah Long upah RM1,500 bakar rumah peminjam

    Polis buru Ah Long upah RM1,500 bakar rumah peminjam

    POLIS kini giat mengesan rangkaian sindiket Ah Long yang mengupah individu untuk membakar dan membaling cat ke rumah peminjam mereka melalui tawaran kerja di media sosial.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak, Mohd Azman Ahmad Sapri, berkata ini susulan laporan diterima pihaknya pada 7 Julai lalu, di mana seorang mangsa memaklumkan rumah miliknya di Kota Samarahan telah dibakar selain menerima kiriman video insiden tersebut melalui aplikasi WhatsApp.

    “Selain itu, terdapat tiga lagi kejadian simbah cat di kedai perabot dan rumah mangsa. Susulan itu, sebanyak empat kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Azman berkata susulan itu, tujuh suspek warga tempatan berjaya ditahan dan direman selama tujuh hari bermula 17 Julai lalu.

    “Hasil soal siasat mendapati mereka telah menerima tawaran melakukan kerja itu di media sosial dengan pembayaran upah sebanyak RM1,500,” katanya.

    Azman berkata orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta untuk menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Insp Mustapha Ramli di talian 019-8145090.

  • SPRM tahan CEO MBI, pengarah syarikat berkait rasuah REE

    SPRM tahan CEO MBI, pengarah syarikat berkait rasuah REE

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Ketua Pegawai Eksekutif di Perbadanan Menteri Besar (MBI) dan seorang pengarah syarikat berkait kes rasuah dan salah guna kuasa perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah membabitkan rasuah lebih RM13 juta.

    Menurut sumber, suspek lelaki dan wanita berusia 63 dan 40 tahun itu dibenarkan ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini oleh Majistret Alor Setar dan Majistret Shah Alam.

    Katanya, kedua-dua suspek ditahan lewat petang, semalam di Alor Setar, Kedah dan di ibu negara, lapor FMT.

    Tambah sumber itu, aktiviti perlombongan yang dijalankan secara haram oleh syarikat terbabit mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa tertentu sejak tahun 2020.

  • ‘Jawablah dengan hujah, bukan fitnah’, kata Idris Ahmad

    ‘Jawablah dengan hujah, bukan fitnah’, kata Idris Ahmad

    PAS menyelar tindakan pengguna media sosial menggunakan nama ‘Ismadi Ayob’ yang memuat naik hantaran di Facebook memfitnah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan membawa imej Perikatan Nasional (PN).

    Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad berkata, hantaran tersebut dibuat menggunakan identiti palsu selain kenyataan kononnya menyokong kepimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

    “Hantaran tersebut adalah palsu dan mendakwa ada pihak yang ingin memburuk-burukkan imej Pas.

    “Jawablah dengan hujah, bukan dengan fitnah. Jangan biarkan kamu dan anak isteri kamu makan dengan upahan fitnah.

    “Kerja kamu dan orang yang sewaktu dengan kamu adalah paling hina atas dunia ini. Mungkin kami ada kelemahan sebagai manusia biasa, maka kamu boleh kritik kembali dengan fakta bukan auta,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook hari ini.

    Beliau turut meminta penyokong Pas dan PN untuk memantau atau melaporkan pengguna media sosial yang menggunakan akaun palsu dengan niat cuba mencemarkan nama baik parti kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

    Dakwanya lagi, terdapat banyak akaun palsu yang kononnya mengaku sebagai ahli atau mewakili Pas, namun hakikatnya mengambil upah semata-mata untuk menabur fitnah di media sosial.

    “Banyak (akaun palsu) yang kita akan temui, dan semakin galak bertebaran terutama menjelang pilihan raya negeri (PRN) nanti.

    “Jangan lupa doa kepada Allah supaya memberi pembalasan yang setimpal ke atas kelakuan jahat ini,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Plot besar sedang dirancang untuk burukkan imej saya – Sanusi

    Plot besar sedang dirancang untuk burukkan imej saya – Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menzahirkan rasa hairan bagaimana terdapat laporan berita menyatakan beliau kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) sedangkan tiada seorang pun pegawai agensi tersebut mengunjunginya sebelum ini.

    Menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu, beliau merasakan terdapat satu plot besar yang sedang dirancang untuk memburukkan imejnya dan memberi gambaran seolah-olah beliau seorang yang bermasalah hingga perlu disiasat pelbagai agensi.

    “Hakikatnya benda itu tak berlaku kerana saya difahamkan SPRM sebenarnya menyiasat Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI Kedah) dan bukannya MB (Menteri Besar). Satu-satunya perkara yang dibuat ‘brain storm’ untuk mengaitkan salah laku di Kedah ini adalah isu REE walaupun sebenarnya tiada masalah tentang hal itu.

    “REE ini isunya kecurian dan kalau saya tahu siapa mencuri, tentulah saya tangkap. Tetapi naratif yang sedang dibina ini kononnya kecurian tersebut melibatkan Menteri Besar.

    “Keluar saja tajuk (laporan media) semalam saya dah tahu. Proses (siasatan) tak berlaku tetapi perintah keluar (laporan). Kenapa? Tentu ada sesuatu.

    “Saya harap benda-benda ini dapat dihentikan kerana Allah akan menggagalkan semua rancangan jahat ini,” katanya.

    Beliau dalam pada itu turut menempelak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang didakwanya bersungguh-sungguh untuk menggembar-gemburkan isu REE.

    “Sebenarnya proses dah selesai kerana orang yang terlibat dah dikompaun. Tiba-tiba beliau (Saifuddin) timbulkan persoalan mengapa orang (pekerja) masuk dapat Visa sedangkan hal berkaitan visa, kemasukan semua di bawah kementerian beliau, mengapa nak tanya kita?

    “Kemudian tular kononnya ada surat dari Menteri Besar untuk sokong pekerja China masuk. Saya dah jelaskan perkara ini bahawa dalam usaha kita nak ekstrak REE, telah berlaku satu usaha sama antara MBI Kedah dengan syarikat Prospek Suria sebelum saya jadi Menteri Besar.

    “Apabila saya jadi Menteri Besar, kita teruskan dan mereka nak bawa masuk pakar untuk memulakan proses tersebut. Masa itu Covid-19 dan tiada siapa boleh masuk kerana pintu sempadan kita tutup, begitu juga dengan China.

    “Jadi untuk memastikan boleh berlaku kemasukan pakar itu, perlu kepada surat sokongan. Dia minta sokongan kita dan kita sokong melalui surat tuju kepada Menteri Dalam Negeri waktu itu dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang buat keputusan, bukan saya.

    “Kita hanya sokong syarikat itu saja yang ada usaha sama dengan MBI Kedah. Bukanlah kerana surat itu saya jadi pencuri dan takkanlah sampai begitu kaitannya?” katanya.

    Menurutnya, ketika ini terdapat komplot jahat sedang dimainkan, melibatkan tokoh tertinggi negara untuk mengenakan pihak-pihak tertentu di Kedah.

    “Saya ingat berhentilah setakat itu saja kerana semua orang dah tahu. Ketika ini semua ada kerana saya difahamkan ada SB (Cawangan khas), unit hasil daripada aktiviti haram (AMLA) serta SPRM masuk pejabat macam-macam untuk selongkar. Saya rasa kerja kerajaan Madani ini adalah mencari salah orang.

    “Isu berkaitan REE ini sudah dikompaun, ditangkap dan didakwa. Tetapi seakan ada satu lagi proses untuk mengaitkan kegiatan ini dengan saya, depa memang nak pekena saya.

    “Cari salah tak ada, tetapi sedang direka,” katanya.