Category: Semasa

  • Bekas perunding unit amanah didenda RM2 juta tipu pelabur

    Bekas perunding unit amanah didenda RM2 juta tipu pelabur

    SURUHANJAYA Sekuriti (SC) menegur dan mengenakan denda sebanyak RM2 juta terhadap bekas perunding unit amanah, Harani Kamarudin, atas kesalahan menipu pelabur.

    Memetik laporan Berita Harian, Harani dikesan melakukan penipuan itu di antara November 2012 hingga November 2019, dan menyebabkan mangsa kerugian RM1.32 juta.

    Dalam kenyataannya, SC berkata, penemuan pelanggaran dan sekatan yang dikenakan terhadap Harani, dibuat selepas melalui proses sewajarnya, termasuk memberikan peluang untuk beliau menjawab mengenai kesalahan itu dan keputusan SC.

    “Sebagai sebahagian daripada penipuannya dan untuk menarik perhatian mangsa untuk melabur dengannya, Harani antara lain membuat pernyataan palsu mengenai sifat dan ciri pelaburan serta menjamin hasil pelaburan dan pulangan tertentu kepada mangsa, yang tidak menjadi kenyataan.

    “Disebabkan kelakuan dan tindakannya, dia telah melanggar seksyen 354(1)(b)(iii) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) yang dibaca bersama peruntukan Kod Etika dan Peraturan Kelakuan Profesional Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (Dana Unit Amanah),” kata SC dalam satu kenyataan, hari ini.

    Pada Jun tahun lalu, SC dalam satu kenyataan meminta bantuan orang ramai mengesan Harani, yang disyaki melakukan beberapa salah laku berkaitan pelaburan unit amanah.

    Ketika itu, SC memaklumkan pendaftaran Harani, 38, dengan Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM) juga terbatal pada 27 November 2020.

    Lelaki itu sebelum ini pernah berkhidmat dengan Eastspring Investments Berhad sebagai perunding unit amanah.

  • Sumareh umum bertunang di media sosial

    Sumareh umum bertunang di media sosial

    PEMAIN kebangsaan, Mohamadou Sumareh dipercayai sudah bertunang dengan seorang gadis pilihan hatinya.

    Menerusi perkongsian di media sosial malam tadi, pemain naturalisasi Harimau Malaya yang bermain untuk kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu memuat naik gambar dia menyarung cincin di tangan seorang gadis berserta tulisan: Mood sekarang: bertunang.

    Perkongsian itu kemudiannya menarik perhatian rakan sepasukan di JDT dan beberapa pemain lain seperti Liridon Krasniqi dan pemain Sri Pahang, Lee Tuck untuk mengucapkan tahniah kepada Sumareh.

    Untuk rekod, Sumareh, 27, merupakan pemain naturalisasi pertama negara dan mula menyarung jersi skuad Harimau Malaya pada 2018.

    Pemain sayap berusia 27 tahun itu menyertai PDRM FC pada 2013 hingga 2015 sebelum berhijrah ke pasukan Perlis pada 2016, mewakili Pahang (2017-2020), Police Tero FC (2020-2021) dan menyarung jersi JDT sejak 2021.

  • Anak penyu agar berkepala dua

    Anak penyu agar berkepala dua

    SEEKOR anak penyu agar berkepala dua ditemukan di projek konservasi Lang Tengah Turtle Watch di Tanjong Jara Resort, Terengganu.

    Memetik laporan Astro Awani, Pengurusnya Abidah Zaaba berkata, anak penyu itu dijumpai ketika proses pemeriksaan rutin pada Selasa lalu selepas telur di sarang berkenaan menetas.

    Menurut Abidah, ia adalah penemuan pertama di pusat konservasi itu bagi anak penyu berkepala dua yang masih hidup.

    “Bila tengok ada dua kepala, semua yang ada kat situ sangat teruja, excited.

    “Kejadian ini, kami rasa memang very rare, jarang berlaku. Untuk saya sendiri ini adalah yang pertama di sini yang hidup,” katanya.

    Abidah berkata, pihaknya menyerahkan reptilia marin itu di bawah jagaan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Jabatan Perikanan di Rantau Abang untuk tindakan lanjut.

    Selain penyu berkepala dua, pihaknya turut menemukan anak penyu kembar dalam sarang yang sama.

    “Apabila kami buka, ada satu telur itu kami buka kami, menemui satu pasang anak penyu. Jadi maksudnya ini datangnya daripada genetik sama ada ibu atau bapanya.

    “Dalam satu sarang ada juga penemuan anak penyu kembar tapi tapi yang itu sudah tak hidup, sudah mati,” jelanya lagi.

    Menurut Abidah, anak penyu kembar terbabit diawet dan dijadikan spesimen bagi tujuan pembelajaran dan pameran di pusat tersebut.

    Beliau berkata sehingga Ogos, sebanyak 278 sarang melibatkan lebih 20,000 penyu dan tuntung laut diperamkan di Pusat Konservasi Penyu Lang Tengah Turtle Watch, Tanjung Jara Resort.

  • Keputusan kes rasuah Bung Moktar, isteri diketahui hari ini

    Keputusan kes rasuah Bung Moktar, isteri diketahui hari ini

    KEPUTUSAN sama ada Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad dipanggil untuk membela diri atas pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad atau dibebaskan, akan diumumkan Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

    Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob dijadualkan memberi keputusan di akhir kes pendakwaan itu pada pukul 3 petang.

    Sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada pihak pendakwaan yang berpendapat wujud kes prima facie terhadap Bung Moktar, 64, dan Zizie Izette, 44, maka pasangan suami isteri itu akan dipanggil membela diri manakala jika sebaliknya mereka akan dilepas dan dibebaskan.

    Pada 17 Mei lepas, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 2 Jan 2020 dan pihak pendakwaan serta pembelaan selesai berhujah pada 24 Jun lepas.

    Antara saksi-saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan ialah bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, bekas Pengurus Besar Pelaburan Felcra Adnan Yusof, Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Felcra Dr Habibah Suleiman, Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norsharil Saharom, serta dua ejen pelaburan Public Mutual Madhi Abdul Hamid dan Norhaili Ahmad Mokhtar.

    Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Faridz Gohim Abdullah, Mohd Sophian Zakaria dan Law Chin How manakala peguam M. Athimulan mewakili Bung Moktar serta peguam Datuk K. Kumaraendran dan Ridha Abdah Subri bagi pihak Zizie Izette.

    Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk FELCRA Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

    Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar, yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid melalui isteri tertuduh iaitu Zizie Izette. 

    Beliau dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara 12.30 tengah hari dan 5 petang,  12 Jun 2015.

    Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan serupa.

    Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.

    Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Zizie Izette yang juga pelakon mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.- BERNAMA 

  • Rakaman audio ‘’Can I Advise You Something’’ bukti Rosmah kawal Najib – Hakim

    Rakaman audio ‘’Can I Advise You Something’’ bukti Rosmah kawal Najib – Hakim

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa Datin Seri Rosmah Mansor telah menguasai suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan mempunyai kawalan ke atas bekas Perdana Menteri itu.

    Dalam penghakiman setebal 116 halaman, Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata adalah jelas daripada rakaman audio itu bahawa tertuduh memberi arahan kepada Najib berhubung urusan kerajaan.

    Beliau merujuk kepada klip audio “Can I advise you something” antara Najib dan Rosmah yang tular sebelum ini.

    “Dalam pernyataan saksinya, tertuduh tidak menafikan bahawa suara dalam rakaman audio itu adalah milik beliau dan Najib. Tidak kurang daripada tiga saksi iaitu Datuk Rizal Mansor (bekas pembantu Rosmah), bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Setiausaha kementerian itu Tan Sri Madinah Mohamed, secara positif telah mengenal pasti suara dalam rakaman itu adalah milik Najib serta tertuduh.

    “Mereka sudah biasa mendengar suara Najib dan tertuduh. Saya tidak meragui bahawa mereka adalah betul. Tertuduh telah cuba untuk meremehkan perbualan itu dengan mengaitkannya kepada perbincangan biasa di antara suami dan isteri. Bagaimanapun, ia bukanlah perbualan biasa antara pasangan suami isteri kerana ia membabitkan urusan kerajaan,” katanya.

    Mohamed Zaini berkata nada suara tertuduh juga bersifat memerintah dan bercanggah dengan dakwaannya bahawa beliau mematuhi larangan Najib untuk tidak mencampuri urusan kerajaan.

    “Saya menyatakan perkara ini dengan penuh rasa hormat namun adalah jelas bahawa tertuduh menguasai Najib. Beliau mempunyai kawalan ke atasnya. Beliau tidak berhak untuk campur tangan dalam tugas Najib atau urusan kerajaan, tetapi beliau telah melakukannya,” kata hakim itu.

    Beliau juga berkata Rizal bercakap benar apabila menyatakan bahawa tertuduh mempunyai sikap suka menguasai orang lain dan berupaya mempengaruhi keputusan dalam perkhidmatan awam kerana sudah lama bekerja dengannya serta mungkin telah menyaksikan sendiri perkara ini.

    “Hakikat bahawa individu seperti Mahdzir, Madinah dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Seri Alias Ahmad tidak pernah mempersoal sebarang pertanyaan atau arahan daripada tertuduh atau Rizal menambahkan keyakinan terhadap faktor ini. Tertuduh bukanlah orang yang boleh diambil kesempatan oleh Rizal.

    “Beliau memiliki perwatakan yang keras dan tidak akan teragak-agak untuk menegur sesiapa sahaja. Ia juga terbukti semasa perbicaraan apabila beliau tidak gentar ketika disoal balas oleh timbalan pendakwa raya yang bijaksana, yang saya rasakan bukan suatu perkara yang boleh dipandang enteng berdasarkan kewibawaannya. ‘’

    Mohamed Zaini juga berkata pembelaan Rosmah bahawa beliau tidak pernah campur tangan dalam mana-mana projek kerajaan hanyalah dengar cakap kerana Najib tidak memberi keterangan di mahkamah.

    Beliau berkata tertuduh dengan tegas menafikan telah campur tangan dalam mana-mana projek kerajaan terutama projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

    “Beliau berkata Najib telah mengingatkannya agar tidak terlibat dengan mana-mana kontraktor dan beliau harus taat sebagai isterinya.

    “Tertuduh berkata beliau takut Najib marah dan tidak akan sesekali cuba mempengaruhinya apatah lagi memaksa atau menasihati beliau berhubung urusan kerajaan,” katanya.

    Hakim itu berkata semua kenyataan yang dikaitkan dengan Najib adalah bersifat dengar cakap dan tidak boleh diterima sebagai bukti kerana Najib tidak memberi keterangan dan hanya beliau sahaja yang boleh mengesahkan apa yang didakwa oleh tertuduh.

    Mohamed Zaini juga berkata beliau mengakui bahawa Datuk Aazmey (Setiausaha UMNO Pekan Datuk Ahmad Aazmey Abu Talib) telah memainkan peranan penting dalam mendapatkan minit mesyuarat daripada Najib untuk kepentingan Jepak Holdings Sdn Bhd namun fakta itu turut membuktikan bahawa tertuduh turut memainkan peranan yang penting.

    “Sebagai contoh, tertuduuh telah memberitahu Madinah “You tengok sikit projek solar Jepak. Cepatkan sikit” pada satu majlis Permata. Tiada sebab untuk Madinah mengada-adakan cerita untuk mengaitkan tertuduh. Apa motif beliau? Jika ada, perkara ini tidak pernah dikemukakan kepada beliau,” katanya.

    Hakim itu juga berkata Rosmah mendakwa Mahdzir dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Seri Alias Ahmad mempunyai kepentingan dalam projek itu dan mereka telah melemparkan fitnah terhadapnya untuk melindungi salah laku mereka.

    Katanya beliau tidak menemui bukti yang boleh dipercayai bagi membuktikan Mahdzir atau Alias telah cuba mengaut keuntungan daripada projek itu dan terdapat juga banyak tuduhan yang dilemparkan terhadap mereka semasa soal balas, terutamanya Mahdzir.

    “Berdasarkan pemerhatian saya, Mahdzir dengan tegas telah menafikan semua tuduhan itu. Beliau tidak pernah menunjukkan sebarang tanda gugup atau bimbang dalam menyangkal tuduhan negatif yang dilemparkan semasa sesi soal balas,” katanya.

    Mohamed Zaini berkata pada pandangan beliau, Mahdzir cuba melakukan perkara yang betul.

    “Memandangkan Saidi Abang Samsudin, ketika itu Pengarah Urusan Jepak Holdings, adalah kawan rapat (Mahdzir), beliau boleh sahaja mendapatkan manfaat untuk Jepak dengan mudah.

    “Keterangan menunjukkan bahawa Mahdzir mahu Jepak melalui proses yang sepatutnya. Beliau tidak mahu jalan pintas diambil berkaitan prosedur Kementerian Pendidikan. Malah beliau cuba memujuk Najib sebanyak dua kali secara peribadi,” katanya.

    Hakim itu berkata pada kali pertama, Mahdzir cuba meyakinkan Najib menggunakan tender terbuka bagi projek tersebut dan bukan melalui rundingan terus dengan Jepak.

    “Najib bertegas dan menyuruh beliau melaksanakan arahannya. Pada kesempatan kedua, Mahdzir menasihati Najib untuk menangguhkan pengeluaran surat penganugerahan kontrak kepada Jepak kerana syarikat itu tidak memenuhi kebanyakan syarat kementerian itu,” katanya.

    Beliau berkata Mahdzir juga mengadu kepada Najib berkaitan gangguan berterusan Saidi dan rakan niaganya Rayyan Radzwill Abdullah serta sikap tidak hormat mereka kepadanya sebagai seorang Menteri.

    “Bagaimanapun, Najib sekali lagi tidak mengendahkan rayuannya dan mengarahkan beliau agar mengikut arahannya. Sungguh menakjubkan bahawa kontrak bernilai RM1.25 bilion boleh diberikan hanya dengan mencatat minit tanpa melalui prosedur sewajarnya yang diharap dapat berfungsi sebagai semak dan imbang,” katanya.

    Mohamed Zaini juga berkata terdapat dua insiden yang begitu menonjol dan membuktikan terdapat campur tangan aktif daripada tertuduh dalam projek itu.

    “Pertama, terdapat insiden yang menyaksikan Datuk Othman Semali daripada Kementerian Kewangan memarahi Datuk Rizal Mansor, pada masa itu adalah pegawai khas di Pejabat Perdana Menteri dan Saidi ketika mereka datang berjumpa beliau dengan membawa surat mengandungi minit yang menyatakan persetujuan Najib agar Kementerian Pendidikan berunding terus dengan Jepak.

    “Ketika memarahi kedua-dua individu, Othman memberitahu mereka bahawa beliau berkhidmat untuk orang ramai dan bukannya ahli politik. Apabila mereka mengadu kepada Rizal, beliau memaklumkan perkara itu kepada tertuduh yang kemudiannya memberitahu Rizal: “Aku dah cakap dengan laki aku dah.” Beberapa  hari kemudian, kelulusan daripada Kementerian Kewangan dikeluarkan,” katanya.

    –BERNAMA

  • Azalina hantar surat peletakan jawatan Penasihat Khas PM

    Azalina hantar surat peletakan jawatan Penasihat Khas PM

    AHLI Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia) bertarikh 29 Ogos lepas.

    Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menerima peletakan jawatan itu.

    “Notis sebulan diberikan bertujuan menyelesaikan kerja-kerja yang berkaitan dengan kakitangan beliau namun dalam tempoh itu, Azalina tidak lagi bertugas di Pejabat Perdana Menteri kerana diberi cuti mulai 1 Sept hingga tamat notis pada akhir September,” menurut kenyataan itu.

    Perdana Menteri menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas perkhidmatan yang telah diberikan sepanjang tempoh beliau berkhidmat.

    Azalina dilantik ke jawatan itu pada 2 Okt 2021. Sebelum itu pada 23 Ogos tahun sama, beliau meletak jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

    — BERNAMA

  • Polis tahan 2 lelaki samun pelajar di kedai dobi

    Polis tahan 2 lelaki samun pelajar di kedai dobi

    POLIS menahan dua lelaki selepas menyamun seorang pelajar perempuan di sebuah kedai dobi di Taman Mawar, Sandalan pada Isnin lalu.

    Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, kedua-dua suspek ditahan kurang 24 jam selepas melakukan jenayah tersebut pada pukul 10.30 malam Selasa lalu selepas mangsa melaporkan kejadian itu kepada polis.

    Beliau berkata, laporan dibuat mangsa iaitu pelajar perempuan berusia 16 tahun terhadap suspek masing-masing berusia 24 dan 25 tahun.

    “Dalam kejadian samun itu, telefon bimbit mangsa telah dilarikan oleh dua suspek yang menaiki motosikal.

    “Kejadian itu turut dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dan video berdurasi 71 saat itu turut tersebar di media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Berikutan kejadian itu, beliau berkata, kedua-dua suspek berjaya dikesan dan ditahan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sandakan di perkampungan setinggan Kampung Sundang Laut di Sandakan.

    “Ketika tangkapan dilakukan, turut dirampas sebuah motosikal yang dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah samun berkenaan.

    “Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Sebelum itu, dalam rakaman video CCTV memaparkan seorang suspek lelaki yang memakai helmet dilihat berlegar-legar di hadapan kedai dobi layan diri sebelum bertindak melakukan samun terhadap seorang remaja perempuan yang sedang menggunakan telefon bimbitnya ketika itu.

  • Shila Amzah mohon maaf ‘buat perangai’ atas pentas

    Shila Amzah mohon maaf ‘buat perangai’ atas pentas

    PENYANYI Shila Amzah tampil membuat permohonan maaf selepas video memperlihatkan beliau membuang gula-gula daripada mulut ketika membuat persembahan menerusi konsert Merdeka ke-65 yang disiarkan secara langsung pada malam kelmarin.

    Shila atau nama sebenarnya Nushahila Amir Hamzah, 32, menjelaskan, ketika persembahan itu beliau berada dalam keadaan kurang sihat.

    “Minta maaf sebab buang gula-gula sekali lagi. Kesan selepas demam, makan buat batuk, selesema dan panadol, kemudian minum kopi pukul 11.30 malam,” katanya menerusi instagram, memetik laporan portal MStar, hari ini.

    Menerusi video yang tular itu, Shila memusingkan badan sebelum mengeluarkan gula-gula dalam mulutnya dan melemparkan ke belakang pentas.

    Pada masa itu Shila memakai Busana merah sedang asyik menyampaikan lagu berjudul Khilaf Asmara.

    Susulan itu ramai peminat melahirkan rasa kurang senang dengan tindakan tersebut apatah lagi bukan kali pertama berbuat demikian.

  • Pasangan penuntut IPT ditahan khalwat di hotel bajet

    Pasangan penuntut IPT ditahan khalwat di hotel bajet

    PENUNTUT institusi pengajian tinggi (IPT) antara dua pasangan yang dicekup kerana disyaki berkhalwat di hotel bajet di Bukit Beruang dan Bachang, Melaka.

    Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat berkata, penuntut masing-masing berusia 19 tahun itu ditangkap dalam operasi Ambang Merdeka yang bermula pukul 11.30 malam kelmarin hingga 3 pagi semalam.

    Menurutnya, mereka ditahan dalam serbuan pertama pada jam 12.30 tengah malam selepas gagal menunjukkan sebarang bukti hubungan mahram atau suami isteri ketika disoal siasat pegawai JAIM.

    Katanya, ketika serbuan, lelaki terbabit tidak memakai baju manakala kekasihnya berbaju tidur.

    “Mereka mengaku menginap bersama dengan si lelaki mendakwa mahu berehat selepas penat bermain futsal sambil menemani teman wanitanya itu menyelesaikan tugasan universiti.

    “Namun, tiada pakaian sukan ditemui ketika pemeriksaan di bilik hotel terbabit sebelum kedua-dua mereka dibawa ke pejabat JAIM untuk tindakan lanjut kerana disyaki berkhalwat,” katanya, lapor Harian Metro.

    Che Sukri berkata, dalam serbuan kedua di sebuah hotel bajet di Bachang, pihaknya menahan lelaki berusia 25 tahun dan pasangannya berumur 22 tahun pada pukul 2.45 pagi.

    Menurut beliau, pasangan itu memberi alasan berehat di situ selepas kepenatan walaupun lelaki terbabit hanya tinggal di Cheng manakala teman wanitanya menetap di Jasin.

    “Kedua-dua pasangan disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu bersekediaman atau berkurung (khalwat) yang mendatangkan syak melakukan maksiat sebelum dibebaskan dengan jaminan.

    “Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

  • Polis tahan pengawal peribadi miliki senjata api tiruan

    Polis tahan pengawal peribadi miliki senjata api tiruan

    POLIS menahan seorang pengawal peribadi di sebuah stesen minyak di Ukay Perdana di Ampang dan merampas senjata tajam termasuk senjata api tiruan, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata lelaki berumur 21 tahun itu yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan ditahan pada 1.56 pagi.

    Beliau berkata pemeriksaan ke atas suspek menemukan sebilah kerambit, sebuah objek menyerupai pistol dan satu walkie-talkie di dalam beg silang miliknya.

    “Suspek dipercayai menyimpan senjata berkenaan untuk kegunaan pekerjaannya sebagai pengawal peribadi kepada seorang individu berstatus Datuk,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

    Mohamad Farouk berkata siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau atas kesalahan dadah dan hasil ujian air kencing bagaimanapun negatif.

    Beliau berkata suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 36 Akta Senjata 1960.