Category: Semasa

  • Bertanding solo: Hashim minta Zahid rujuk kembali piagam MN

    Bertanding solo: Hashim minta Zahid rujuk kembali piagam MN

    MURSYIDUL Am Pas, Datuk Hashim Jasin hari ini meminta Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang berulag kali menyatakan UMNO akan bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) merujuk kembali piagam perjanjian bersama Muafakat Nasional (MN).

    Hashim berkata, Presiden UMNO itu sendiri bersetuju supaya kandungan perjanjian antara kedua-dua parti itu perku merujuk kepada al-Quran, sunnah dan hadis jika berlaku sebarang perselisihan.

    “Sekarang ini saya selalu bangkitkan: rujuklah, buka balik piagam… apa yang kita berselisih, keputusannya mesti ikut al-Quran dan sunnah. Tetapi kalau nak cari alasan hal remeh-temeh itu, kita tak rujuk perjanjian kita, sebab itu – walaupun UMNO nak lipat perjanjian MN ke dalam laci – kita (Pas0098) kekal terbuka.

    “Bukan sahaja dengan UMNO, sesiapa saja sampai sekarang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas ke-61 di Guar Chempedak, Kedah.

    Beliau mengulas mengenai keengganan UMNO untuk bekerjasama dengan Bersatu walaupun Pas berusaha mendamai kedua-dua parti itu.

    Bagaimanapun Hashim menegaskan,  walaupun jalan untuk perpaduan ummah itu masih jauh tapi Pas yakin dan nampak harapan untuk ia berjaya.

    “Bagi Pas saya masih ingat lagi waktu sebelum perjanjian (MN) ditandatangani di PWTC, kebetulan Zahid datang ke Kedah dan kebetulan juga jumpa dengan Pas.Jumpa dalam keadaan santai, ada Pas cadang supaya perjanjian itu diakhiri dengan merujuk al-Quran dan sunnah jika berlaku perselisihan antara parti. Zahid bersetuju, dia kata ‘bagus, bagus’ dan ia dimasukkan dalam piagam itu,” katanya.

    Hashim turut menegaskan, dalam al-Quran ada menyatakan jika ada dua golongan mukmin bergaduh maka hendaklah damaikan kedua-duanya.

    “Sekarang ini UMNO dengan Bersatu berkelahi, kedua-duanya Islam. Kita buka pintu ajak, kita tak tutup tapi tak mahu juga, UMNO tak mahu juga, kita tengok siapa yang tak mahu? Kumpulan mana dalam UMNO tak mahu (berdamai), walaupun mereka pakai baju merah, bertempik dalam dewan betulkah itu caranya? Maknanya bukan semua antara pimpinan UMNO tolak Bersatu dan PAS ke arah perpaduan ummah.

    “Kami harap sebahagiannya (UMNO) dibuka pintu hati mereka dan kita balik kepada agenda perpaduan ummah,” katanya merujuk hubungan UMNO dan Bersatu.

    Menjawab satu soalan, Hashim berkata, Pas tidak terdesak untuk bekerjasama dengan UMNO dalam menghadapi PRU-15 apatah lagi terlalu bergantung seolah-olah parti itu tidak dapat hidup tanpa UMNO.

    ‘’Pas sudah melalui pelbagai fasa dan cabaran sepanjang penubuhannya sejak 1951 dan parti sentiasa mempunyai tempat bergantung iaitu al-Quran, sunnah dan syarak yang menjadi panduan dalam berpolitik. Nak kata terdesak ertinya kita (Pas) tak boleh hidup tanpa dia (UMNO) sedangkan kita sejak 1951 sehingga sekarang sudah lalui macam-macam (bertanding solo), tekanan, seronok apa semua kita lalui.

    “Kita ada tempat kita berpandu (iaitu) al-Quran, sunnah dan syarak, maka kita rasa tenang dan lapang…kalah pun tak apa, menang lagi la. (Itulah) beza Pas dengan parti lain,” katanya.

  • Lima termasuk dua beradik didakwa edar lebih 100 kilogram dadah

    Lima termasuk dua beradik didakwa edar lebih 100 kilogram dadah

    DUA beradik dan tiga rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tapah hari ini atas pertuduhan mengedar lebih 100 kilogram dadah di sebuah bangsal di Chenderiang di sini bulan lepas.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada dua beradik, R. Sivaraj, 29, dan R. Sathiswaran, 30, serta tiga lagi tertuduh iaitu L. Vichnesh, 30, A. Tanabalan, 31, dan R. Suresraj, 33, yang hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan secara serentak di hadapan Majistret Siti Hanum Mohmad Sah.

    Kesemua lelaki itu didakwa mengedar dadah berbahaya berat kasar iaitu 111,326 gram (g) disyaki methamphetamine dan kesalahan itu dilakukan di sebuah bangsal berkanvas hijau dan oren di Lot 11876 Mukim Chenderiang di sini pada 9.45 pagi, 26 Ogos lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Tanabalan turut didakwa mengedar dadah berat kasar iaitu 2,075g disyaki methamphetamine mengikut Seksyen 39B(1)(a) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, pada masa dan tempat sama.

     Kedua-dua pertuduhan memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup dan hendaklah jika tidak dihukum mati, dihukum dengan minimum 15 sebatan jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hidayu Zakaria manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Charan Singh.

    Mahkamah kemudian menetapkan 3 Nov depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

    Pada 26 Ogos, polis menahan mereka dalam serbuan melibatkan rampasan bernilai RM6.7 juta di sebuah bangsal di Chenderiang dan dipercayai sudah mula aktif menjalankan aktiviti itu sejak Jun lepas.- BERNAMA

  • Tuduhan rasuah RM2.8 juta: Bung Moktar, Zizie Izette diperintah bela diri

    Tuduhan rasuah RM2.8 juta: Bung Moktar, Zizie Izette diperintah bela diri

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta melibatkan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad, tujuh tahun lepas.

    Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Bung Moktar, 64, dan Zizie Izette, 44, di akhir kes pendakwaan.

    Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk FELCRA Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad manakala Zizie Izette pula dituduh bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama.

    Bung Moktar, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA, dituduh menerima rasuah tersebut daripada ejen pelaburan melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini pada 12 Jun dan 19 Jun 2015.  – BERNAMA

  • Bapa ‘bomba cilik’ mohon maaf, minta netizen padam video

    Bapa ‘bomba cilik’ mohon maaf, minta netizen padam video

    BAPA kepada kanak-kanak lelaki yang tular selepas tersilap menunjukkan isyarat ‘mini love’ ketika perarakan Hari Kebangsaan ke-65 di ibu negara, kelmarin memohon maaf atas keterlanjuran anaknya menunjukkan isyarat jari tengah tanpa sengaja.

    Memetik laporan Harian Metro, lelaki itu membuat permohonan maaf itu menerusi hantaran di Facebook (FB) miliknya, semalam.

    Katanya, beliau memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia selaku bapa kepada kanak-kanak yang tersilap menunjukkan isyarat ‘mini love’ itu.

    “Dia sebagai peminat bomba memang excited (teruja) sangat dapat terlibat dalam perbarisan kemerdekaan walaupun bangun pukul 5 pagi. Dari semalam (kelmarin) excited sangat dapat pakai baju bomba.

    “Saya sebagai bapa tetap bangga akan keberaniannya turut serta walaupun bidan terjun,” tulisnya.

    Menerusi hantaran berasingan, beliau turut memohon jasa baik netizen supaya memadam video dimuat naik di laman sosial dan menghentikan kecaman dilemparkan terhadap anaknya.

    “Saya memohon sepuluh jari agar video itu dapat diturunkan agar tidak lagi dikecam dan menjadi asbab masalah psikologi kepada anak saya.

    “Mungkin dengan jasa baik sebesar ini Allah Taala memuliakan serta menambah rezeki yang nampak dan tidak nampak dimata. Amin Ya Rabb,” tulisnya.

    Sejak kelmarin, tular video kanak-kanak lelaki menunjukkan isyarat jari tengah dan bukan ‘mini love’ seperti yang sepatutnya ketika perarakan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-65 di Dataran Merdeka.

    Aksi kanak-kanak itu disedari anggota bomba berdiri di sebelahnya yang bertindak pantas menutup tangan dan menegurnya.

    Pengunjung yang hadir turut menyedarinya malah sempat merakam video aksi berkenaan.

    Rakaman video itu dimuat naik di pelbagai platform laman sosial dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang rata-ratanya terhibur dengan gelagat kanak-kanak berkenaan.

    Lebih mencuit hati netizen adalah apabila melihat satu lagi rakaman video menunjukkan kanak-kanak itu terbaring di atas bot JBPM dipercayai kerana kepenatan.

  • Banjir besar diramal penghujung November – MetMalaysia

    Banjir besar diramal penghujung November – MetMalaysia

    JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan, negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini, yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

    Memetik laporan Berita Harian, cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, di mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.

    Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah, berkata fenomena La Nina yang masih berterusan dan dijangka sehingga awal tahun depan, menyebabkan peningkatan taburan hujan.

    Beliau berkata, METMalaysia meramalkan, sepanjang Oktober risiko bencana cuaca hanya membabitkan fenomena hujan ribut petir yang berpotensi menghasilkan angin kencang, hujan lebat dan banjir kilat dalam tempoh yang singkat dan berskala kecil.

    Katanya, kebanyakan tempat dijangka menerima taburan hujan yang normal sahaja dalam tempoh itu.

    “Sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) dilaksanakan pada awal November, kemungkinan banjir besar berlaku adalah kurang. Bagaimanapun, mulai pertengahan November ada kemungkinan banjir besar berlaku terutamanya penghujung November.

    “Namun begitu, jika pilihan raya dilaksanakan pada Disember, cuaca yang berlaku dijangka memberi impak yang lebih signifikan kerana angin Monsun Timur Laut adalah aktif pada tempoh itu, di mana risiko untuk berlaku hujan lebat berterusan dan banjir besar berskala besar adalah tinggi,” katanya kepada BH hari ini.

    Beliau berkata, kebiasaannya bermula akhir September hingga awal November negara akan mengalami fasa peralihan monsun.

    “Dalam tempoh ini lazimnya cuaca di seluruh negara adalah baik pada waktu pagi. Manakala pada sebelah petang hingga awal malam, ribut petir akan lebih kerap berlaku terutama di negeri-negeri pantai barat serta pedalaman Semenanjung, Sarawak (barat dan tengah) dan barat Sabah.

    “Risiko untuk berlaku banjir kilat adalah tinggi dalam tempoh ini terutama di kawasan rendah di pantai barat Semenanjung,” katanya.

    Muhammad Helmi berkata, Monsun Timur Laut pula kebiasaannya akan bermula pada pertengahan November

    “Jadi dalam tempoh November hingga Disember, cuaca adalah lebih lembap terutama di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah.

    “Lazimnya cuaca adalah hujan pada sebelah pagi di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah.

    “Pada sebelah petang, ribut petir atau hujan akan berlaku di negeri-negeri pantai barat Semenanjung, pedalaman Sarawak dan barat Sabah,” katanya

    Beliau berkata, namun begitu perkara yang perlu dibimbangkan ialah jika berlaku luruan monsun atau kemunculan sistem tekanan rendah, menyebabkan hujan berterusan akan berlaku di negeri-negeri berkenaan yang berpotensi menyebabkan banjir.

    “Jika berlaku luruan monsun yang kuat dan serentak dengan kemunculan sistem tekanan rendah, maka risiko untuk berlaku banjir besar adalah tinggi. Luruan monsun yang signifikan biasanya akan bermula pada Disember,” katanya.

    Ditanya mengenai perubahan cuaca yang kerap hujan dan ribut petir ketika ini, Muhammad Helmi berkata, keadaan cuaca yang lebih lembap ketika ini adalah disebabkan Monsun Barat Daya yang lemah.

  • Mahkamah Tinggi buat keputusan betul – Anak Rosmah

    Mahkamah Tinggi buat keputusan betul – Anak Rosmah

    MAHKAMAH Tinggi membuat keputusan betul dalam mensabitkan Datin Seri Rosmah Mansor atas tuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

    Anak perempuan Rosmah daripada perkahwinan terdahulu, Azrene Ahmad, yang sebelum ini dilaporkan mempunyai hubungan “dingin” dengan ibunya berkata, keputusan mahkamah perlu dihormati.

    “Biarlah perkara itu habis sehingga ke Mahkamah Persekutuan jika perlu. Kita perlu mempercayai fakta dan keupayaan badan kehakiman kita untuk mencapai penghakimannya tanpa halangan dan tanpa rasa takut.

    “Sebagai seorang anak, ia sentiasa mudah untuk berfikir hanya secara subjektif. Ia sentiasa sukar untuk menjadi objektif dalam pemikiran dan tindakan kita, memandangkan keadaan sosio-teologi yang telah kita terima sejak lahir.

    “Walaupun banyak ‘white noise’ (kebisingan) subjektif oleh masyarakat kita, budaya dan penerapan agamanya, saya tetap objektif. Betul adalah betul, salah adalah salah – terutama apabila ia berkaitan dengan pemimpin (termasuk pasangan); walaupun mereka adalah keluarga,” katanya di Instagram, lapor FMT.

    Azrene yang berkahwin dengan cef selebriti Fazley Yaakob berkata, dia menerima pelbagai teguran sejak empat tahun lalu, sejak kejatuhan kerajaan Barisan Nasional.

    Beliau menegaskan akan terus memperjuangkan kepentingan negara kerana ia adalah tanggungjawabnya sebagai manusia dan rakyat Malaysia, walaupun kapasitinya terhad.

    “Sebagai seorang anak, saya hanya boleh terus mendoakan mereka (ibu bapa) dan mengharapkan yang terbaik walaupun saya menjangkakan yang paling teruk,” katanya.

    Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Rosmah bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar sekolah Sarawak.

    Hakim Mahkamah Tinggi Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu.

    Hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan Rosmah di Mahkamah Rayuan.

  • ‘FBI’ buat solat istikharah sebelum kembali ke radio

    ‘FBI’ buat solat istikharah sebelum kembali ke radio

    PENYAMPAI Zayan Pagi, Faizal Ismail mendedahkan bahawa dia melakukan solat sunat istikharah sebelum membuat kata putus untuk menerima tawaran ke stesen radio tersebut.

    Portal Gempak melaporkan, Faizal atau lebih mesra disapa FBI berkata, keputusan untuk kembali ke stesen radio turut dibantu oleh isteri dan keluarganya.

    “Pertama kali pihak Zayan datang dan tawarkan kepada saya sebagai penyampai, saya agak tertarik dengan visi dan misi Zayan yang ingin menyampaikan dakwah melalui radio.

    “Namun ketika itu saya masih belum beri keputusan lagi, saya pulang ke rumah buat solat istikarah, saya minta pendapat isteri dan keluarga berkenaan tawaran itu.

    “Alhamdulillah, tidak lama kemudian hati saya terbuka dan saya melihat stesen Zayan boleh membantu saya secara halus dalam menyampaikan dakwah selari dengan matlamat Zayan itu sendiri,” ujarnya kepada Gempak.

    Lapor portal itu lagi, selain FBI, Zayan Pagi yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 6 pagi hingga 10 pagi, turut ditemani dua lagi penyampai iaitu Mawi dan Anas.

    Dalam pada itu, FBI turut menjelaskan dia menerima sebanyak lima kali tawaran yang datang daripada pelbagai stesen radio.

    Bagaimanapun, hatinya terbuka untuk menerima Zayan disebabkan kandungan yang berbentuk islamik selari dengan pendirian dirinya yang ingin menyampaikan dakwah kepada masyarakat.

    “Saya menerima tawaran ini kerana saya lihat Zayan boleh menjadi satu platform untuk saya menyampaikan dakwah dan membantu memberi nasihat kepada orang ramai.

    “Saya juga ada menerima sebanyak lima kali tawaran untuk kembali ke konti radio, namun tidak sekali pun saya tergerak hati untuk menerima tawaran tersebut.

    “Namun tidak pada Zayan kerana pengisian yang disajikan membuatkan saya tertarik seperti segmen kelas tajwid, segmen kuliah dan pelbagai lagi perkongsian positif. Malah ini turut menjadi ruang yang terbaik bagi saya sampaikan dakwah,” tambahnya.

    Sementara itu, peminat Zayan boleh menikmati perkongsian menarik di Zayan Pagi dengan pengisian-pengisian menarik seperti Motivasi Pagi, Takzirah Pagi, Hadith of The Day, Mahir Bahasa Arab, Kelas Tajwid, Topik Pagi Zayan dan Aura Zayan.

    Peminat Zayan juga boleh strim Zayan dan mendengarkan Zayan Pagi menerusi aplikasi SYOK.

    Untuk maklumat lanjut tentang personaliti Zayan yang lain dan kempen-kempen yang menarik, ikuti Zayan di platform rasmi media sosial Facebook, Instagram dan Twitter.

  • Tukang cuci Bangladesh didakwa bunuh rakan senegara

    Tukang cuci Bangladesh didakwa bunuh rakan senegara

    SEORANG warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya dalam kejadian dua minggu lalu.

    Tertuduh, Mohammad Imran Miah, 31, yang bekerja sebagai tukang cuci mengangguk faham sebaik sahaja pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.

    Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh yang tinggal di negara ini sejak enam tahun lalu didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian seorang kenalan lelaki berusia 32 tahun di hadapan pintu masuk Kompleks Astaka Bukit Gedung, Bayan Baru antara pukul 9.30 hingga 11.17 malam, pada 21 Ogos lalu.

    Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan membawa hukuman mati.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atiqah Asharaf Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 23 November ini untuk laporan bedah siasat.

    Pada 21 Ogos lalu, akhbar melaporkan seorang warga Bangladesh ditemukan maut dipercayai ditikam menggunakan pisau pada bahagian kiri perut di pekarangan Astaka Bukit Gedung.

    Susulan kejadian itu, polis menahan empat lelaki warga asing berusia 31 hingga 45 tahun di sekitar lokasi kejadian dan mengesahkan kejadian berkenaan dipercayai bermotifkan dendam.

  • Kongsi lokasi di WhatsApp, 3 pendaki sesat ditemui selamat

    Kongsi lokasi di WhatsApp, 3 pendaki sesat ditemui selamat

    DUA lelaki dan seorang wanita yang dilaporkan sesat ketika mendaki Gunung Panti di sini semalam, ditemukan selamat selepas memaklumkan lokasi mereka melalui aplikasi WhatsApp, malam tadi. 

    Pegawai Bomba Kanan II Mohd Syukri Mohd Yusoff berkata kesemua mangsa Gan Chen Yang, 23, Yong Chin Cheng, 25, dan Wong Zao Yi (wanita), 22, ditemukan kira-kira pukul 10 malam, 300 meter dari ‘check point’ kedua gunung berkenaan, sebelum dibawa turun pasukan keselamatan itu. 

    “Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak melakukan pencarian bersama bantuan agensi lain dengan kaedah mengesan lokasi yang telah diberikan oleh mangsa melalui aplikasi WhatsApp,” katanya. 

    “Kesemua mangsa berjaya ditemukan dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan awal pagi ini. 

    Terdahulu, laporan dibuat sendiri oleh mangsa yang memaklumkan menerusi telefon bahawa mereka tersesat ketika dalam perjalanan turun dari gunung tersebut, pada 4.53 petang. 

    Susulan itu, seramai 10 anggota PKO dihantar ke lokasi kejadian dan difahamkan mereka yang memulakan pendakian pada 7 pagi dan dipercayai sudah biasa dengan aktiviti tersebut, masih boleh dihubungi cuma tidak menemukan jalan keluar. – BERNAMA 

  • Cadang larang individu berdepan kes mahkamah tanding pilihan raya

    Cadang larang individu berdepan kes mahkamah tanding pilihan raya

    DEWAN Ulama PAS mencadangkan kerajaan meminda undang-undang bagi melarang individu berdepan perbicaraan mahkamah dalam kes salah laku, penyelewengan dan rasuah daripada bertanding pilihan raya umum (PRU).

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Ketuanya, Ahmad Yahya membuat cadangan itu kerana bimbang mereka yang terpalit kes mahkamah akan menggunakan kedudukan sebagai wakil rakyat dan pemimpin selepas menang pilihan raya untuk “mengelak” dikenakan tindakan atas kesalahan itu.

    “Mereka yang dalam perbicaraan mahkamah dalam kes salah laku, penyelewengan dan rasuah juga tidak wajar diberi peluang untuk bertanding kerana kita bimbang mereka akan menggunakan kedudukan untuk mengelak dikenakan tindakan.

    “Dalam aspek ini, kita mengharapkan agar kes melibatkan rasuah dan salah laku pemimpin parti politik dapat disegerakan perbicaraannya di mahkamah supaya proses pembersihan pemimpin politik dapat dilakukan dengan efektif.

    “Kita perlu mengangkat semula maruah demokrasi dalam negara selaras prinsip Islam,” katanya ketika ucaptama sempena Muktamar Dewan ulama PAS Pusat kali ke-61 di Dewan Serbaguna Guar Chempedak.

    Kata laporan itu lagi, Yahya turut mencadangkan kepada kerajaan, individu yang pernah mengeluarkan kenyataan menggugat keharmonian negara dan mempertikaikan hak keistimewaan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan perlu digugurkan kelayakan bertanding pilihan raya.

    Katanya, cadangan pindaan itu bagi memperkasa perkara berkaitan soal integriti calon dan parti politik yang bertanding pilihan raya bergerak ke arah kematangan demokrasi.

    “Kita mengharapkan agar amalan demokrasi terus subur dan bersih daripada budaya rasuah dan salah laku sehingga akhirnya mengorbankan kepentingan rakyat,” katanya.

    Cadangan itu menyusul keputusan Parlimen meluluskan pindaan Perlembagaan bagi menyediakan ruang peruntukan berkenaan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

    Yahya berkata, ulama juga mencadangkan kerajaan menggubal akta pendanaan politik bagi membanteras budaya politik wang dalam kalangan parti politik.

    Beliau berkata, syarat mengetatkan kelayakan bertanding pilihan raya sama ada di peringkat DUN mahupun Parlimen juga perlu ditambah baik memandangkan peraturan sedia ada masih longgar.

    “Syarat yang menggugurkan kelayakan seseorang menjadi calon adalah kesalahan bagi hukuman satu tahun ke atas serta denda melebihi RM2,000 atau seseorang itu telah mengisytiharkan kesetiaannya kepada negara lain. Perkara ini kelihatan masih longgar tidak sejajar dengan ketegasan yang dipamerkan dalam pindaan Perlembagaan tersebut,” katanya.

    Pertahan konsep pengasingan kuasa

    Sementara itu, Yahaya dalam laporan Harakahdaily dipetik sebagai berkata, konsep pengasingan kuasa antara eksekutif, judikatif dan legislatif hendaklah terus dipertahan bagi memastikan sistem keadilan di negara ini terus dijunjung.

    Menurutnya, Dewan Ulamak mengharapkan agar kes-kes berprofil tinggi melibatkan ahli-ahli politik dan wakil rakyat dapat diadili di mahkamah dengan penuh kebebasan.

    Katanya pendirian kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk tidak campur tangan urusan institusi kehakiman negara terutama kes berprofil tinggi wajar mendapat pujian tinggi.

    “Baru-baru ini seorang bekas pemimpin negara telah disabitkan kesalahan tuduhan pecah amanah, menyalahguna kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC International Shn Bhd,” katanya pada ucapan dasar Muktamar Dewan Ulamak PAS kaki ke-61 hari ini.

    Menurutnya Dewan Ulamak PAS Pusat berpendirian semua pihak perlu akur dan menerima keputusan penghakiman tersebut serta menjunjung prinsip kedaulatan undang undang yang terkandung dalam Rukun Negara.

    Baru-baru ini Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas dakwaan penyelewengan dana SRC.