IMPIAN ‘wartawan cilik’ Muhammad Haziq Mohd Asyraf untuk menyediakan donat untuk dihidangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akhirnya menjadi kenyataan hari ini.
Ini setelah Haziq, 12, menyampaikan sendiri hidangan itu kepada Perdana Menteri semasa program ‘Kenuri Rakyat’ di Padang Terap, Kedah.
Ismail Sabri menerusi catatan Facebook malam ini berkata, sudah banyak kali beliau
terserempak dengan Haziq, kanak-kanak berbakat besar yang tular dengan video ‘ulaq besar’. Menurutnya, dalam pertemuan sebelum ini,
Haziq berjanji mahu masak donat untuknya kerana dia sangat gemar memasak dan bercita-cita nak jadi chef.
“Akhirnya dalam program ‘Kenuri Rakyat’ di Padang Terap, sekali lagi saya bertemu dengan Haziq dan kali ini Haziq bawakan saya donat yang dia masak sendiri.
“Terima kasih Haziq…sangat sedap donatnya,” kata beliau.
Ismail Sabri dalam pada itu turut mendoakan Haziq diberikan kejayaan di dunia akhirat.
“Semoga Haziq diberikan kejayaan di dunia dan akhirat,” katanya.
Haziq semasa ditemubual Bernama Februari lalu menyatakan hasratnya untuk menyediakan donat dan roti yang dibuatnua sendiri untuk dihidangkan kepada Ismail Sabri.Dia
meraih perhatian netizen dan menjadi popular selepas videonya melaporkan tentang penemuan seekor ular sawa di sebuah pasar awam di Bukit Selambau, Sungai Petani, tular.
Sementara itu, laman Facebook Pak Mat Western yang kerap mengadakan kerjasama dengan Haziq berkongsikan video detik manis berkenaan.
Video itu turut disertakan kapsyen:”Impian jadi kenyataan..akhirnya PM dapat rasai air tangan adik Haziq 😁”.
TIMBALAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada jam 4.45 petang tadi.
Kehadiran beliau adalah bagi memberi keterangan berhubung dakwaannya mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS) membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad.
“Telefon bimbit saya dirampas pihak polis bagi membantu siasatan dan menurutnya, ini merupakan telefon bimbit saya yang kelima dirampas polis sejak tahun 2009.
“Polis merampas telefon untuk siasatan, itu proses biasa. Selalunya kalau ada kes bersabit dengan akta MCMC, selaunya polis akan ambil telefon sebagai bahan bukti,” katanya ketika ditemui selepas selesai memberi keterangan.
Terdahulu, Rafizi berharap proses dilaluinya adalah permulaan kepada siasatan mendalam terhadap isu dibangkitkan beliau. Jelasnya, isu siapakah Zainab Mohd Salleh yang hangat dibincangkan akan terbongkar sendiri selepas siasatan daripada pihak berkuasa.
“Saya berharap proses ini adalah permulaan kepada siasatan mendalam oleh semua pihak berkuasa bukan saja polis tapi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana kita telah melalui proses ini semasa 1MDB, SRC dan lain-lain.
“Apabila ia mula-mula dikeluarkan, memanglah semua orang menafikan tapi apabila pihak berkuasa, pihak polis, SPRM mula menyiasat, dengan bidang kuasa yang ada, mereka kemudian boleh menjejaki akaun dan sebagainya.
“Akhirnya, soal siapa Zainab itu akan terjawab sendiri,” ujarnya memetik laporan Astro Awani.
Dalam pada itu, Rafizi berkata pihaknya memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis yang mengambil masa satu jam setengah merakam keterangan beliau.
Menurut peguamnya, Hadi Zulkarnain Zulkafli, Rafizi disiasat di bawah dua akta iaitu Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 iaitu menyebarkan kenyataan jelik.
MENTERI Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin memberi jaminan kerajaan akan berlaku seadilnya dalam kes membabitkan seorang pembantu rumah (amah) Indonesia yang mendakwa didera oleh majikannya Selasa lalu.
“Sesiapapun yang terlibat dengan kesalahan termasuk kes penderaan terhadap pembantu rumah akan diambil tindakan tanpa kompromi.
“Ya betul, siapa saja yang melakukan kesalahan kita akan ambil tindakan. Ini adalah satu perkara yang telahpun kita buktikan.
“Sesiapa sahaja akan kita ambil tindakan. Begitu juga mereka yang menjadi pembantu rumah, kedua-dua juga bertanggungjawab antara majikan dan mereka sendiri kerana supaya semua ini berlaku adil kepada semua pihak,” katanya selepas hadir merasmikan Program Belia Prihatin Negara di Serdang hari ini.
Menurutnya lagi kedua-dua pihak iaitu majikan dan juga pembantu rumah juga telah menandatangani perjanjian bagi menjamin hak masing-masing.
Justeru katanya, kerajaan akan sentiasa memastikan keadilan itu dinikmati oleh kedua-dua pihak, lapor Astro Awani.
Semalam Astro Awani mendedahkan secara eksklusif satu kes yang membabitkan seorang amah wanita berusia 46 tahun yang bukan sahaja ‘dikurung’ dan dipantau ketat, malah ditampar dan dicederakan menggunakan kayu di muka sehingga mengakibatkan lebam.
Dia juga mendakwa bekerja secara ‘percuma’, tanpa dibayar.
Mangsa turut mendakwa disimbah air panas sehingga melecur teruk di belakang badannya selain berat badannya menyusut sehingga 30 kilogram akibat kekurangan zat.
Kes tersebut mendapat perhatian Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono semalam yang mahukan tindakan tegas diambil dan mengenakan hukuman mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migrain (ATIPSOM) 2007.
SEORANG wanita warga emas maut selepas dilanggar kereta yang bergerak ketika suaminya menghidupkan enjin dalam keadaan bergear di hadapan sebuah rumah di Kampung Bukit Tukang Jusoh, Sungai Petani, pukul 3.10 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, insiden itu menyebabkan mangsa yang berusia 69 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian kerana kecederaan dalam badan.
“Pasangan suami isteri warga emas terbabit pada mulanya menghadiri majlis kenduri kahwin di kampung berkenaan.
“Sebaik tiba, suami mangsa meletakkan kereta di hadapan sebuah rumah penduduk dan selepas selesai menghadiri kenduri mereka bersiap untuk pulang ke rumah di Kampung Telok Amboi, di Sungai Petani.
“Suami mangsa yang berusia 76 tahun kemudian menghidupkan enjin kereta yang masih dalam keadaan bergear menyebabkan kenderaan terbabit bergerak ke hadapan dan melanggar isterinya,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat dan polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pemeriksaan mendapati Proton Iswara Aeroback yang dinaiki pasangan itu mengalami kerosakan di bahagian hadapan kiri dan pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Difahamkan, suami isteri warga emas itu dikenali ramai kerana menjalankan perniagaan menjual pulut udang di kawasan kampung mereka.
LULUH hati seorang ibu apabila tidak berjaya menyelamatkan dua anaknya yang terperangkap dalam kebakaran sebelum rentung di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri, Johor Bahru, hari ini.
Menurut bapa mangsa, Muhammad Fikri, 20-an, isterinya, Nurul Ain Najihah, 20-an masuk ke rumah untuk menyelamatkan dua anaknya semasa kebakaran tetapi tidak berjaya kerana api sudah marak.
Menurutnya, isterinya cedera di bahagian kaki ketika cuba menyelamatkan anak-anaknya sebelum dibawa ke klinik untuk rawatan.
Muhammad Zafran Muhammad Fikri yang berusia 3 tahun dan Nurul Hawa Zafira Muhammad Fikri berumur 2 tahun rentung dalam kebakaran itu.
Dia berkata, kali terakhir berjumpa anak-anaknya itu pada sebelah pagi sebelum keluar bekerja di Kampung Melayu di Johor Bahru.
“Kedua-dua anak saya nampak okay sebelum saya mendapat panggilan telefon daripada isteri, memaklumkan kejadian itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Dalam kejadian pada pukul 1.40 petang tadi, dua beradik tersebut rentung semasa tinggal berdua dalam rumah tersebut sementara Nurul Ain berada di rumah jiran semasa rumah mereka terbakar.
Dua beradik rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri, Johor Bahru, hari ini
Sementara itu, datuk saudara kepada dua kanak-kanak tersebut terkilan kerana tida dapat menyelamatkan dua beradik itu.
Ismail Saad, 55, yang tinggal kira-kira lima meter dari rumah keluarga mangsa merupakan individu paling awal menyedari kejadian tersebut.
“Saya ada bau hangit, bila keluar dari rumah tengok ada asap tebal dari rumah mangsa. Saya redah masuk dalam rumah, tengok di dapur tak jumpa budak-budak ni, saya tarik selimut, tak ada, susah cari sebab tak nampak, keadaan gelap, api juga sudah marak.
“Saya memang cuba nak selamatkan mereka, tetapi tidak dapat, dah takdir. Saya tidak mendengar sebarang jeritan mangsa. Saya sedih apabila tidak berjaya menyelamatkan mereka sedangkan saya orang terawal yang menyedari kebakaran berlaku,” katanya ditemui di tempat kejadian.
Ismail berkata, dua beradik itu ditemui berada di tepi pintu bilik selepas api dipadamkan bomba dalam keadaan pintu yang tidak berkunci.
“Mereka memang selalu keluar masuk bilik. Lepas api padam, saya nampak mereka ada tepi pintu, mungkin cuba nak keluar. Kanak-kanak mungkin panik masa tu.
Dua beradik rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri, Johor Bahru, hari ini
“Kali terakhir saya jumpa mereka pagi tadi, mereka ceria sahaja bermain macam selalu,” katanya dan memberitahu keluarga mangsa menyewa di situ hampir dua tahun dan sangat rapat dengan kedua-dua mangsa.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Lim Jit Huey berkata, dua beradik itu tinggal berdua dalam rumah ketika kebakaran berlaku.
Jelasnya, bapa mangsa keluar bekerja manakala ibu mereka berada di rumah jiran yang berada kira-kira lima meter dari lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati rumah ini dihuni suami isteri bersama dua anak, tetapi ketika kejadian, kanak-kanak hanya tinggal berdua sebelum dilaporkan terkorban,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Beliau berkata, setakat ini, pihaknya masih menjalankan siasatan mengikut laporan mati mengejut (SDR), selain dibantu pihak bomba dalam menjalankan siasatan forensik kebakaran bagi mengetahui punca sebenar kejadian.
“Kita juga tidak dapat memastikan sama ada kanak-kanak ini tidur ketika kejadian, siasatan masih dijalankan,” katanya dan jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru untuk siasatan lanjut.
TIMBALAN Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan membayangkan akan bertanding di kedua-dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15.
Penyandang kerusi DUN Rantau sejak tahun 2004 itu optimis mahu mempertahankannya dan yakin pengundi di situ, yang mencerminkan imbangan penduduk berbilang kaum di Malaysia, akan terus memberi sokongan kepada BN.
“Pengundi Melayu di Rembau setakat 51 peratus sahaja jadi ia perlu diurus dengan baik, insya-Allah saya akan terus mempertahan kerusi DUN Rantau pada PRU15.
“Memandangkan saya Timbalan Presiden UMNO, saya juga perlu bertanding di kawasan Parlimen bagi memainkan peranan di peringkat kebangsaan,” katanya kepada pemberita selepas program Semarak Merdeka di Rembau.
Bagaimanapun, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan Ketua UMNO Bahagian Rembau itu tidak menyatakan kawasan Parlimen yang bakal ditandinginya.
“Ini kerana sebagai Timbalan Presiden dan kepimpinan kanan parti, kita perlu berada di peringkat kebangsaan untuk menguruskan parti dan insya-Allah, kalau diberikan keyakinan oleh pengundi… menubuhkan kerajaan di peringkat pusat,” katanya.
Ketika ini, kerusi Parlimen Rembau disandang oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Mengulas senarai calon BN di Negeri Sembilan, beliau berkata sehingga kini perkara itu masih belum dibincangkan dan fokus gabungan politik itu ialah memperkuat jentera parti bagi menghadapi PRU15.
“Saya turun ke negeri-negeri termasuk Negeri Sembilan untuk melihat kesiapsiagaan parti dan keperluan kita menggerakkan jentera di peringkat akar umbi… soal calon masih belum dibincangkan atau belum lagi sampai ke tahap itu,” katanya.
AHLI Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa mendedahkan, bahawa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pernah membuat ketetapan untuk menggantung jawatan pemimpin parti itu jika menghadapi pendakwaan kes di mahkamah.
“Keputusan itu dilakukan oleh pimpinan tertinggi parti tersebut ketika Datuk Seri Najib Tun Razak dipilih sebagai Presiden UMNO dan baharu dilantik menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009.
“Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tidak pernah buat keputusan itu kecuali pada tahun 2009, MKT ada buat keputusan sewaktu Najib baru mengambil alih (menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO).
“Ada satu ketetapan dibuat iaitu kalau ada (pemimpin) didakwa di mahkamah kena digantung dari jawatan masing-masing.
“Namun, ketika ini MKT UMNO tidak kuatkuasakan perkara berikut. Saya sebagai anggota akan mematuhi parti. Hal dasar ini diputuskan oleh MKT dan PAU,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, hari ini.
Dewan Ulama Pas sebelum ini mencadangkan kerajaan melarang mana-mana individu yang sedang berdepan perbicaraan mahkamah berhubung kes salah laku, penyelewengan dan rasuah bertanding dalam pilihan raya umum (PRU).
Menurut Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya, usul itu bertujuan mengelakkan mereka yang terpalit kes mahkamah menggunakan kedudukan mereka daripada dikenakan tindakan.
Ahmad juga menyarankan mereka yang pernah mengeluarkan kenyataan menggugat keharmonian negara tidak dibenarkan bertanding.
Dalam pada itu Annuar yang merupakan bekas Setiausaha Agung UMNO berkata, pihaknya tidak mengetahui secara terperinci sekiranya ketetapan itu masih terpakai di peringkat parti.
Kata beliau, penguatkuasaan peraturan itu perlu diajukan kepada pimpinan tertinggi UMNO yang diketuai oleh Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Memang ada keputusan itu pada 2009. Ini sudah tahun 2022 dan untuk menjawab perkara itu, saya tiada suara mahupun kuasa.
“Tidak wajar untuk saya komen. Saya sebagai bekas Setiausaha Agung tiada kuasa. Saya hanya ‘bekas’, elok dirujuk kepada penjawat jawatan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
MISTERI pesawat Malaysia Airlines, MH370 yang hilang sejak 8 Mac 2014 kembali mendapat perhatian warganet ekoran tular satu video yang memaparkan wajah terkini mangsa-mangsa yang terlibat dalam insiden berkenaan.
Antara yang tular seorang lelaki yang dipercayai Kapten, Zaharie Ahmad Shah, pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid dan Andrew Nari.
Perkembangan itu membuatkan Maira Elizabeth Nari, anak perempuan kepada ketua pramugara pesawat itu, Andrew Nari tampil mengesahkan bahawa gambar yang tular terbabit bukanlah bapanya.
Maira Elizabeth mengakui dirinya dihujani mesej yang memaklumkan mengenai seorang lelaki yang dipercayai mirip bapanya dalam video tersebut.
“Saya diberitahu bahawa orang ini (gambar yang tular) ialah bapa saya atau kelihatan sepertinya.
“Saya hanya ingin menjelaskan dia bukan (bapa saya). Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang menghubungi saya melalui ‘direct message’ (DM) dan ingin memohon maaf kerana saya tidak dapat membalas setiap satu mesej kerana terlalu ramai.
“Namun, saya menghargainya dan amat berterima kasih atas ingatan kalian,”” katanya menerusi satu hantaran di ‘InstaStory’ di Instagramnya hari ini, lapor Sinar Harian.
Baru-baru ini, misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 kembali menjadi hangat apabila tular satu video yang memaparkan beberapa wajah terkini dipercayai mangsa-mangsa yang terlibat dalam kehilangan pesawat tersebut.
Video itu mendakwa mangsa kini berada di sebuah pulau batu karang kecil di tengah-tengah Lautan Hindi yang dinamakan Diego Garcia.
LIMA pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia diberkas dalam satu serbuan di kawasan pinggir hutan di Jalan Teluk Ramunia, Kota Tinggi, hari ini.
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan memberitahu, kesemua PATI itu terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 25 hingga 43 tahun.
“Pada jam 7.45 pagi, tim Quick Reaction Force (QRF) telah mengesan pendaratan PATI tersebut yang sedang bersembunyi di pinggir hutan.
“Tim QRF berjaya menahan dua PATI yang tidak memiliki dokumen yang sah. Semasa penggeledahan, tim QRF menahan tiga lagi individu di lokasi berhampiran.
“Tim QRF mendapati ketiga-tiga individu tersebut merupakan warganegara Indonesia yang ingin kembali pulang ke Indonesia tanpa memiliki dokumen yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujian Covid-19 dilakukan ke atas semua PATI di Klinik Kesihatan Sungai Rengit, Batu Pahat pada pukul 11.30 pagi dan hasil ujian saringan mendapati kesemua PATI berkenaan negatif
Menurut beliau, ujian Covid-19 dilakukan ke atas mereka di Klinik Kesihatan Sungai Rengit, Batu Pahat pada jam 11.30 pagi dan hasil ujian saringan mendapati kesemua PATI berkenaan negatif.
Katanya, laporan kemudian dibuat di Balai Polis Bayu Damai dekat sini sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia di Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru pada jam 2 petang.
Nilai keseluruhan rampasan katanya, dianggarkan berjumlah RM9,380 selain melibatkan mata wang Indonesia, Singapura dan China.
Pihaknya turut merampas tiga utas jam tangan termasuk tujuh buah telefon bimbit daripada pelbagai jenama.
“Pasukan meneruskan atur gerak pasukan QRF dan pasukan Dron ATM serta dibantu pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan,” ujarnya.
RAFIZI Ramli akan menjawab cabaran Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi supaya membongkarkan penyelewengan projek terowong Pulau Pinang yang melibatkan Lim Guan Eng, pada minggu depan.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sepatutnya menjawab mengenai perkara tersebut pada Jumaat lalu, namun terpaksa menangguhkannya kerana jadualnya penuh.
“Pihak polis telah memanggil saya untuk dirakam keterangan susulan laporan polis dibuat terhadap saya berkaitan dakwaan mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS) membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di Kuala Lumpur, hari ini, lapor Sinar Harian.
Rafizi akan menjawab cabaran tersebut selepas memberi keutamaan terhadap kes LCS.
Pada Khamis, media melaporkan ciapan di Twitter bekas Ahli Parlimen Pandan itu yang menyifatkan bahawa UMNO memberikannya ‘bola tanggung’ mengenai isu terbabit.
Tambah Rafizi, UMNO juga tidak tahu untuk menjawab mengenai semua pendedahan yang dilakukannya sebelum ini.
Menurut beliau, antara pendedahan yang dilakukannya ialah 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd, Tabung Haji, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Felda, Bank Pembangunan, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan LCS.