Category: Semasa

  • Sempat pesan berkaitan kematian ketika kuliah Subuh sebelum meninggal dunia

    Sempat pesan berkaitan kematian ketika kuliah Subuh sebelum meninggal dunia

    KETUA Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Mustafa Omar meninggal dunia selepas selesai memberi ceramah subuh di Masjid At-Taqwa Taman Utama Pulai Johor, semalam.

    Sinar Harian melaporkan, Pengarah JAINJ, Jamaludin A Hamid berkata, difahamkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 9 pagi, dipercayai akibat serangan jantung selepas pulang ke rumah akibat sesak nafas.

    Menurutnya, jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Bakri, Muar.

    “Allahyarham seorang yang baik keperibadiannya, masuk kerja sama dengan saya lebih kurang tahun 1997 iaitu 26 tahun berkhidmat. Beliau seorang yang berilmu dan sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal lebih kurang enam tahun, beliau mahir dalam bidangnya,” katanya ketika dihubungi.

    Terdahulu, Allahyarham sempat menyelesaikan tugas memberi ceramah subuh sempena Sambutan Maal Hijrah di masjid berkenaan yang disiarkan secara langsung dalam Facebook masjid itu.

    Pada akhir ceramahnya, Allahyarham sempat berpesan tentang kematian dengan menyatakan ia pasti berlaku.

    Katanya, manusia tidak perlu berbangga dengan harta yang dikumpul, sebaliknya meningkatkan amal ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah Taala.

  • Tindakan ke atas Sanusi hanya tambah sokongan kepada PN,Pas -Hashim

    Tindakan ke atas Sanusi hanya tambah sokongan kepada PN,Pas -Hashim

    TINDAKAN  Kerajaan Madani terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dianggap tidak melemahkan perjuangan Pas dan Perikatan Nasional (PN). 

    Malah Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, tindakan tersebut secara tidak langsung menambah sokongan rakyat terhadap PN dan Pas.

    Katanya, tindakan secara tergesa-gesa terhadap Menteri Besar Kedah dengan terus mendakwa ketika siasatan masih dilakukan dipertikaikan rakyat.

    “Apa yang berlaku itu seperti tindakan terlalu tergesa-gesa khususnya ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin menjelang tiba. Apa pun kita hormati proses perundangan dan ahli Pas diminta supaya terus bertenang dan mengelak melakukan sebarang provokasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

    “Sokongan padu rakyat akan diterjemahkan pada PRN 12 Ogos hadapan termasuk peluang terbuka luas bagi menguasai Selangor dalam pilihan raya tersebut,” katanya lapor HarakahDaily.

    Awal pagi Selasa lepas Sanusi ditahan sekumpulan pegawai dan anggota polis ketika menginap di sebuah hotel di Kuala Lumpur dan terus didakwa di mahkamah di Selayang atas dakwaan menghasut.

    Kata Hashim kejadian itu dianggap sebagai permainan politik kerajaan bagi membunuh karakter Menteri Besar Kedah terutamanya ketika hampir menjelang PRN.

    “Adakah tidak ada masa yang lebih sesuai dikenakan pendakwaan tersebut atau tunggu selepas habis PRN,” katanya.

     Hashim bagaimanapun berharap ahli dan penyokong Pas supaya memohon doa kepada Allah SWT agar memberi pertolongan kepada Sanusi.

    Media sebelum ini melaporkan ucapan Muhammad Sanusi pada satu ceramah politik di Selangor yang dikatakan menghina institusi diraja Selangor.

    Muhammad Sanusi dikatakan menghina Sultan Selangor apabila membandingkan urusan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah dan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.

    Sementara itu, Hashim berkata, sokongan terhadap Sanusi dan PN akan bertambah kuat meskipun berdepan situasi berkenaan.

    “Sokongan kuat itu akan diterjemahkan di dalam PRN termasuk kita mampu merampas Selangor dalam pilihan raya tersebut,” katanya.

    SEMENTARA ITU, Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan ke atas Sanusi membina gelombang sokongan kepada gabungan berkenaan.

    “Tinjauan umum mendapati sokongan kepada PN meningkat,” katanya kepada Berita Harian.

    Tuan Ibrahim turut mendakwa, keadaan sebaliknya pula dialami PH dan BN.

    “Walaupun mereka cuba menafikan tindakan ini bukan bermotif politik, semua pihak sedar ia memang tindakan politik, pendakwaan terpilih dan pelanggaran janji mereka mementang Akta Hasutan sebelum ini. Tindakan ini ternyata memakan diri apabila muncul pelbagai pihak membuat kenyataan membantah dan mempertikai tindakan ke atas Datuk Seri Muhammad Sanusi selepas mereka meneliti ucapan beliau yang langsung tidak menyebut Sultan Selangor,” katanya.

  • Wei Liang diperintah bela diri tuduhan bunuh Syed Danial

    Wei Liang diperintah bela diri tuduhan bunuh Syed Danial

    MAHKAMAH  Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan Yew Wei Liang membela diri atas tuduhan membunuh Syed Muhammad Danial Syed Syakir di Lebuhraya Utara Selatan, empat tahun lalu.

    Hakim, Julia Ibrahim memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap bekas pekerja teknologi maklumat itu di akhir kes pendakwaan.

    Semasa membaca keputusan penghakimannya, Julia berkata, mahkamah mendapati tertuduh belum melunaskan beban pembuktian, kerana keterangan menunjukkan provokasi bermula apabila dia menyerang mangsa.

    “Mengenai isu mempertahankan diri, tertuduh bertindak melebihi haknya apabila berterusan melanggar mangsa walaupun ancaman telah dipatahkan dan mangsa sedang melarikan diri. Setelah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan dan eksibit yang dikemukakan dengan mengaplikasikan penilaian maksimum atas keseluruhan keterangan, pihak pendakwaan berjaya membuktikan semua elemen pertuduhan secara prima facie ke atas tertuduh,” kata hakim.

    Oleh itu beliau berkata, tertuduh diperintah membela diri terhadap pertuduhan yang dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Sejurus keputusan diketahui, Wei Liang yang hadir dengan memakai baju T berwarna putih kelihatan tenang dengan jurubahasa memberi penerangan dalam bahasa Mandarin, lapot Sinar Harian.

    Mahkamah kemudiannya memberi tiga pilihan kepada tertuduh iaitu pertama, memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi kemudian disoal balas oleh pihak pendakwaan. Pilihan kedua ialah memberi keterangan secara tidak bersumpah di kandang tertuduh tanpa disoal balas oleh pihak pembelaan atau ketiga, berdiam diri.

    Bagaimanapun, Wei Liang belum membuat sebarang pilihan dan memohon untuk berbincang dengan peguamnya terlebih dahulu. Mahkamah kemudiannya menetapkan prosiding bela diri bermula 16 dan 17 Ogos depan.

    Dalam kes ini, seramai 20 saksi dipanggil memberi keterangan dalam prosiding yang bermula 27 Oktober 2021 dengan 65 eksibit, dokumen serta barang kes dikemukakan.

    Pada Khamis, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Aidatul Azura Zainal Abidin sementara pembelaan diwakili peguam, Wee Chong Keong.

    Pada 22 Ogos 2019, Wei Liang yang bekerja dalam bidang IT, didakwa membunuh Syed Danial, yang juga pengurus bank di Kilometer 293.6, Lebuhraya Utara Selatan pada jam 1 tengah hari hingga 2 petang, pada 10 Ogos tahun sama.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

  • ‘’Itu perjanjian sukuk bukan pelupusan hutang peneroka’’ kata Dr.Marzuki kepada Anwar

    ‘’Itu perjanjian sukuk bukan pelupusan hutang peneroka’’ kata Dr.Marzuki kepada Anwar

    BEKAS Setiausaha Sulit Kanan PM, Datuk Dr.Marzuki Mohamad hari ini mendakwa dokumen yang dikemukakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan perjanjian pelupusan hutan peneroka Felda.

    Tetapi kata beliau, dokumen tersebut bukanlah perjanjian pelupusan hutang peneroka FELDA, tetapi perjanjian mengenai sukuk berjaminan kerajaan yang diterbitkan secara berperingka.

    Berikut kenyataan penuh Dr.Marzuki melalui Facebook beliau;

    Baru sekejap tadi Perdana Menteri menyiarkan sebahagian dokumen yang dikatakan perjanjian pelupusan RM8.3 bilion hutang peneroka FELDA.

    Sekali pandang saya sudah tahu. Dokumen tersebut bukanlah perjanjian pelupusan hutang peneroka FELDA, tetapi perjanjian mengenai sukuk berjaminan kerajaan yang diterbitkan secara berperingkat.

    Kabinet pada 14 Oktober 2020 (ketika Tan Sri Muhyiddin Perdana Menteri) telah MELULUSKAN Pelan Pemulihan FELDA yang di dalamnya termasuklah pelupusan 80% hutang peneroka FELDA berjumlah RM8.3 bilion, penerbitan sukuk RM9.9 bilion secara berperingkat untuk tujuan pengambilalihan FGV dan penyelesaian hutang FELDA dengan Maybank dan KWSP dan penyediaan geran tahunan RM990 juta kepada FELDA oleh Kerajaan Persekutuan.

    Dokumen yang disiarkan menerusi kenyataan media Perdana Menteri TIDAK membuktikan pelupusan hutang peneroka hanya dibuat pada bulan Jun 2023. Ia adalah berkenaan penerbitan SUKUK BERJAMINAN KERAJAAN yang memang merupakan sebahagian daripada keputusan kabinet pada tahun 2020. Sesiapapun yang menjadi Menteri Kewangan MESTI menandatangani dokumen ini. Seingat saya Tan Sri Muhyiddin tak pernah jadi Menteri Kewangan.

    Penyiaran dokumen ini mengesahkan telahan saya sebelum ini bahawa dokumen yang ditandatangani oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan bukanlah perjanjian pelupusan hutang peneroka FELDA tetapi perjanjian berkaitan sukuk berjaminan kerajaan.

    Untuk mengelakkan keraguan mengenai keputusan Kabinet pada 14 Oktober 2020 yang telah melupuskan hutang peneroka FELDA, eloklah kerajaan “declassify” minit mesyuarat kabinet tersebut untuk tatapan rakyat.

  • Anwar kemuka dokumen dakwa perjanjian hapus hutang peneroka Felda

    Anwar kemuka dokumen dakwa perjanjian hapus hutang peneroka Felda

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan dokumen perjanjian ditandatanganinya bagi penghapusan hutang peneroka Felda, kurang 24 jam selepas Muhyiddin Yassin memintanya memohon maaf berhubung isu itu.

    Anwar dalam kenyataan medianya menyertakan Akaun Rizab Perkhidmatan Kewangan (FSRA) berkait jaminan kerajaan kepada Felda yang ditandatanganinya.“

     ‘’Saya mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memohon maaf atas fitnah dilemparkan kepada saya,” katanya labor FMT.

    Semalam, Muhyiddin menuntut Anwar membuat permohonan maaf tanpa syarat dan terbuka secara bertulis susulan kenyataannya yang mendakwa hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion tidak pernah dilupuskan bawah pentadbiran bekas perdana menteri itu.

    Tuntutan itu dikemukakan dalam surat bertarikh 18 Julai menerusi firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership.

    Selain itu, dalam tempoh 24 jam dari penerimaan surat berkenaan, Anwar juga perlu mengemukakan surat atau dokumen yang ditandatangani mengatakan beliau sebagai Menteri Kewangan pada akhir Jun lalu meluluskan pelupusan hutang peneroka Felda bernilai RM8.3 bilion.

    Bagaimanapun ramai tertanya-tanya ada itu dokumen perjanjian pelupusan hutan peneroka atau ia perjanjia balik suku kerana 

    Sebelum ini Kementerian Kewangan berkata perjanjian ditandatangani Anwar diumumkan 28 Jun lalu membabitkan jaminan kerajaan RM9.9 bilion kepada Felda untuk menstruktur semula pinjamannya menerusi terbitan sukuk bagi memulihkan kedudukan kewangannya.

    “Di bawah perjanjian, kerajaan akan membiayai pembayaran balik sukuk tersebut melalui peruntukan geran RM990 juta setiap tahun untuk tempoh 10 tahun.

    “MOF ingin mengesahkan penyaluran pertama RM990 juta dilaksanakan pada 18 Julai (Selasa) selaras dengan peruntukan yang disediakan dalam Belanjawan Madani 2023,” katanya dalam kenyataan.

  • Majlis Ulama Pas kekalkan Sanusi sebagai calon PRN

    Majlis Ulama Pas kekalkan Sanusi sebagai calon PRN

    MESYUARAT Majlis Syura Ulama Pas memutuskan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dikekalkan sebagai calon pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan mengekalkan Muhammad Sanusi diputuskan dalam mesyuarat diadakan pada petang Rabu.

    Kata beliau, ia berikutan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu belum hilang kelayakan untuk bertanding dan hanya baru berdepan proses pertuduhan di mahkamah.

    “Kita telah putuskan bahawa beliau (Muhammad Sanusi) dikekalkan sebagai (calon) pilihan pertama. Tak ada masalah sebab dia akan bicara pun pada Oktober nanti. Setakat ini kita tak meletakkan sebarang syarat kepada beliau sebab apa yang kita lihat, pertuduhan terhadap beliau itu lebih bersifat kepada usaha untuk menggugat (kedudukan) beliau. Kita akan lihat bagaimana proses pendakwaan ke atas beliau nanti, ” katanya.

    Tuan Ibrahim berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas menghadiri ceramah pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang di Kuala Terengganu, malam tadı, rapor SINAR HARIAN.

    Beliau memberitahu, Pas juga bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan berhubung keputusan yang akan dibuat mahkamah selepas proses perbicaraan ke atas Muhammad Sanusi.

    “Kita ready (sedia) dengan apa-apa (kemungkinan) yang bakal berlaku sebab keputusan itu mengambil masa yang panjang. Kita akan tunggu dululah perbicaraan dia dan keputusan dia nanti. Selepas itu baru parti akan buat keputusan. Pertuduhan ke atas beliau (Muhammad Sanusi) pun lebih bersifat usaha untuk menekan. Tapi saya nak kata, beliau dianggap menghina raja, saya berulang kali dengar (ucapan) tak ada disebut pun (penghinaan) institusi diraja Selangor.

    “Secara peribadi kalau berlaku kesilapan dalam ucapan beliau, mungkin tak ada sebarang sekatan kepada beliau dan beliau lebih tahu apa yang beliau perlu ucap dan sebagainya,” ujarnya.

    Dalam perkembangan sama, Tuan Ibrahim berkata, isu melanda Muhammad Sanusi menambahkan lagi sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN) sekali gus mendapat simpati termasuk dalam kalangan ahli UMNO sendiri.

    “Saya nampak gelombang kemarahan dan kekecewaaan rakyat itu sangat tinggi terutamanya bila dia ditangkap pukul 3 pagi padahal dia dah buat keputusan akan hadir ke mahkamah. Dia menteri besar. Dia bukan ahli biasa, dia pemimpin, ketua negeri dan dia beritahu dia akan hadir ke mhkamah. Tiba-tiba pukul 3 pagi dia diserbu, ditangkap dan itu menimbulkan kemarahan. Apapun isu-isu berkaitan mahkamah ini kita serahkan kepada mahkamah untuk buat keputusan. Insya-Allah kita harapkan keadilan buat beliau, ” katanya.

    Selasa lalu, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Selayang atas dua pertuduhan menghasut.

    Beliau dituduh mengikut Seksyen 4(1)(A) Akta Hasutan iaitu mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam ceramah politik minggu lalu.

    Pemimpin itu juga dituduh melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja. 

  • Pendakwaan ke atas Sanusi ancaman besar untuk PH dalam PRN

    Pendakwaan ke atas Sanusi ancaman besar untuk PH dalam PRN

    PENDAKWAAN Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor dilihat satu ancaman terbesar Pakatan Harapan (PH) terhadap beliau menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

    Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, walaupun pendakwaan itu adalah dibuat oleh sistem perundangan tetapi dalam konteks PRN, ia tidak boleh dipisahkan kesan politik daripada apa yang berlaku.

    Malah katanya dalam konteks PRN, Pas turut mengakui Muhammad Sanusi adalah ‘panglima’ hadapan.

    “Kalau sudah sampai nak heret Sanusi ke mahkamah, nak tuduh dia di mahkamah, ini adalah serius. Kalau kita nak letakkan konteks ini, konteks adalah Sanusi untuk PRN ini adalah ancaman terbesar PH. Saya rasa kita setuju dengan sokongan penonton di YouTube Keluar Sekejap hingga 600,000 tontonan. Jadi dia adalah antara ancaman terbesar,” katanya dalam Podcast Keluar Sekejap bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan semalam.

    Khairy, berkata, walaupun laporan polis dibuat oleh Majlis Diraja Selangor terhadap Muhammad Sanusi tiada kaitan dengan politik tetapi kuasa pendakwaan adalah di bawah Pejabat Peguam Negara (AGC).

    Beliau berkata, sebarang keputusan pendakwaan penting seperti ini yang ada implikasi politik pasti akan dimaklumkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebelum ia dilaksanakan.

    “Perdana Menteri boleh kata, saya tiada pilihan sebab AGC mengesyorkan dan sebagainya, tetapi mesti ada pertimbangan politik,” kata Khairy.

    Sementara itu, Khairy dan Shahril juga setuju dengan keputusan AGC berkenaan tindakan yang dikenakan kepada individu termasuk pemimpin yang disiasat melibatkan isu 3R (Bangsa, Agama dan Institusi Diraja).

    Shahril mendakwa, persoalan yang sah juga diutarakan terhadap beberapa ucapan 3R termasuk oleh Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang turut disiasat walaupun Guan Eng tidak bercakap soal menghina raja tetapi dikaitkan berunsur agama dan kaum.

    “Saya rasa ini pun termasuk dalam 3R yang patut juga mendapat layanan serupa (siasatan dan pendakwaan),” katanya.

    Dalam pandangan sama, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau berkata, Pengerusi DAP itu telah melanggar dua daripada tiga isu 3R iaitu bangsa dan agama.

    “Sehubungan itu, kita nak melihat tindakan konsisten dari segi siasatan dan pertuduhan daripada AGC,” katanya lagi.

  • Polis tumpaskan sindiket judi online sasar pelanggan dari Nepal

    Polis tumpaskan sindiket judi online sasar pelanggan dari Nepal

    SATU sindiket judi ‘online’ yang menyasarkan pelanggan dari Nepal berjaya ditumpaskan polis Pulau Pinang dalam tiga serbuan berasingan di sekitar George Town, Pulau Pinang semalam.

    Dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Barat Daya dan Timur Laut itu, lima suspek lelaki termasuk seorang warga asing berusia 30 hingga 41 tahun turut ditahan.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Suprintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, serbuan pertama dilakukan pukul 7.30 petang semalam di sebuah rumah di kawasan Persiaran Pantai Jerejak, Bayan Lepas.

    Menurutnya, pemeriksaan awal di premis itu mendapati terdapat aktiviti pelaburan dan perjudian online menggunakan pautan ‘bwc88nep.com’ dan ‘merc.adminbwc88ags.com’.

    Jelasnya, hasil serbuan itu, polis melakukan serbuan kedua kira-kira pukul 10.35 malam di sebuah rumah di kawasan Jelutong yang mana seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun ditahan sebelum serbuan ketiga di sebuah pejabat di kawasan sama kira-kira sejam kemudian.

    “Premis ini dipercayai dijadikan lokasi untuk untuk operasi mencipta iklan (graphic designing), pengedaran iklan (flashing dalam media sosial Facebook), penyediaan platform perjudian ‘bwc88nep.com’ dan ‘merc.adminbwc88ags.com’ ke negara seperti Nepal, Singapura dan Malaysia,” katanya kepada pemberita malam ini.

    Tambahnya, pemeriksaan di permis tersebut turut menjumpai pelbagai peralatan antaranya satu set mesin disyaki digunakan untuk melombong mata wang kripto; komputer riba pelbagai jenama; CPU komputer pelbagai jenama; monitor komputer pelbagai jenama, telefon bimbit pelbagai jenama dan banyak lagi.

    Dalam pada itu, katanya, sindiket terbabit dipercayai beroperasi sejak September 2021 sehingga sekarang dan bertukar-tukar lokasi dalam tempoh sebulan hingga enam bulan bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

    “Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 22 Julai depan.

    “Kes disiasat antaranya di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan; Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan sebagainya,” katanya.

  • 3 bekas pelajar menang saman guru tak hadir kelas 7 bulan

    3 bekas pelajar menang saman guru tak hadir kelas 7 bulan

    MAHKAMAH Tinggi Kota Kinabalu mengarahkan tiga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi, Kota Belud, dibayar pampasan masing-masing RM50,000 atas kegagalan guru Bahasa Inggeris hadir ke kelas selama tujuh bulan pada 2017.

    Hakim Leonard David Shim membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan Rusiah Sabdarin, Nur Natasha Allisya Hamali dan Calvina Angayung yang semua berusia 22 tahun.

    Dalam penghakimannya, mahkamah memerintahkan pampasan dibayar kepada tiga bekas pelajar itu akibat trauma yang dialami mereka.

    Ketiga-tiganya dalam saman yang difailkan pada 7 Disember 2020, menamakan bekas guru mereka, Mohd Jainal Jamran sebagai defendan pertama.

    Pengetua SMK Taun Gusi ketika itu, Suid Hanapi; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia; Menteri Pendidikan; dan Kerajaan Malaysia pula masing-masing sebagai defendan kedua, ketiga, keempat serta kelima.

    Dalam penghakiman setebal 74 muka surat, mahkamah mendapati plaintif berjaya membuktikan kes berdasarkan imbangan kebarangkalian, selepas mempertimbang keterangan kedua-dua pihak dan kesemua bukti yang dikemukakan.

    Mahkamah mendapati kes itu membabitkan persoalan berhubung hak perlembagaan kepada pendidikan, selain isu yang mempunyai kepentingan awam.

    “Defendan melanggar hak perlembagaan plaintif bawah Perkara 5 yang dibaca bersama Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan.

    “Defendan juga melanggar hak perlembagaan kepada pendidikan dan hak untuk disediakan guru yang menghadiri kelas bagi mengajar serta mempersiapkan plaintif untuk peperiksaan Bahasa Inggeris,” katanya, lapor Berita Harian.

    Malah, mahkamah mendapati bukti juga menunjukkan tarikh defendan pertama tidak hadir itu adalah sama dengan rekod Jabatan Pendidikan Sabah (JPNS).

    Mahkamah turut mendapati tiada bukti menunjukkan defendan pertama sedang bercuti atau terbabit aktiviti sekolah yang lain sepanjang tempoh ketidakhadiran itu.

    Dalam perbicaraan yang bermula pada 5 September 2022, seramai 10 saksi dipanggil memberi keterangan bagi pihak plaintif.

    Perbicaraan yang tamat pada Januari 2023 itu turut menampilkan tiga saksi hadir memberi keterangan bagi pihak defendan.

    Ketiga-tiga plaintif diwakili oleh peguam, Sherzali Herza Asli.

    Peguam Kanan Persekutuan, Mohd. Hafizi Abd Halim, bersama Peguam Persekutuan, Fazrul Fardiansyah Abdul Kadir pula bertindak bagi pihak defendan.

  • Jabatan Peguam Negara nafi pendakwaan terpilih motif politik

    Jabatan Peguam Negara nafi pendakwaan terpilih motif politik

    JABATAN Peguam Negara menafikan dakwaan wujudnya pendakwaan terpilih bermotifkan politik dan penganiayaan terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang.

    Justeru, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menegaskan bahawa keputusan untuk mengenakan pertuduhan itu berdasarkan keterangan dan fakta hasil daripada penyiasatan dan bukannya atas desakan mana-mana pihak atau faktor yang lain.

    “Keputusan itu dibuat berdasarkan keterangan dalam kertas siasatan, tidak memihak kepada sesiapa berlandaskan teras integriti bagi memastikan mangsa, saksi, tertuduh dan orang awam memperolehi keadilan yang sewajarnya.

    “Ia selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara yang diperuntukkan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Idris berkata, sekiranya terdapat keterangan dan bukti kukuh bahawa mana-mana individu telah melakukan kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang, orang berkenaan akan didakwa oleh Jabatan Peguam Negara.

    Jelasnya, ini berdasarkan peruntukan undang-undang tanpa mengira status dan latar belakang orang yang didakwa.

    Hari ini, media melaporkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin membidas tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dengan menyifatkannya sebagai pendakwaan terpilih.

    Sebelum itu, Sanusi ditahan di sebuah hotel di Mont Kiara, Kuala Lumpur awal pagi kelmarin dan didakwa atas dua pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948, berhubung isu pelantikan menteri besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu, polis bertindak untuk menahan Sanusi selepas beberapa panggilan telefon yang dibuat kepadanya namun pegawainya ditolak serta kesukaran untuk mengenal pasti lokasinya.

    Bagaimanapun Sanusi menafikan dakwaan Razarudin dan memaklumkan sentiasa bekerjasama selain mendedahkan ada berhubung dengan pegawai pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman.