Category: Semasa

  • Perang mulut punca bapa mentua tetak jari menantu hingga putus

    Perang mulut punca bapa mentua tetak jari menantu hingga putus

    SEORANG lelaki asal Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia bertindak memotong jari tangan menantunya sehingga putus selepas bertikam lidah dalam keadaan mabuk.

    Menurut Astro Awani yang memetik laporan DetikSumut, kejadian berlaku selepas lelaki berusia 49 tahun itu menyinggung perasaan menantunya yang tidak mempunyai pekerjaan.

    “Tidak kerja dan tidak boleh bagi makan,” ujar Ketua Hubungan Awam Polis Makassar.

    “Mangsa yang mendengar tuduhan itu memberi respons kepada si pelaku. Disebabkan hal berkenaan, pertelingkahan berlaku.

    “Mangsa pada waktu sama membalas tuduhan berkenaan dan bertanya siapakah yang dia telah singgung,” katanya.

    Pelaku kemudian mengambil parang di bawah katil dan menetak jari kiri mangsa hingga putus.

    Bahagian jari manis pula mengalami luka terkoyak.

    “Jari tengah kiri mangsa terputus serta luka robek pada jari manis,” jelasnya.

    Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Bhayangkara Makassar.

    Polis yang menerima laporan kemudian menahan pelaku tidak lama selepas kejadian itu.

    “Sekitar pukul 9.40 malam, pelaku berjaya ditahan di Jalan Malengkeri Raya dan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Tamalate,” katanya lagi.

  • Johor larang aktiviti politik, kempen di masjid, surau

    Johor larang aktiviti politik, kempen di masjid, surau

    KERAJAAN Johor melarang sebarang aktiviti politik dan kempen termasuk calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dalam masjid dan surau.

    Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, larangan itu bagaimanapun tidak membabitkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi atau pihak yang mendapat kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

    “Individu atau ahli politik bukan beragama Islam pula hendaklah mewakilkan kepada pegawai khas yang beragama Islam dalam program pengimarahan dengan syarat mematuhi garis panduan ditetapkan.

    “Antara syarat itu termasuklah mereka tidak dibenarkan sama sekali menyampaikan ucapan, menyempurnakan acara perasmian atau pelancaran, berceramah, memberi tazkirah, menjadi imam, serta memakai pakaian berlogo politik.

    “Sebaliknya, apa-apa acara membabitkan agihan bantuan atau sumbangan boleh dilaksana di luar kawasan masjid dan surau atau di tempat perhimpunan awam seperti dewan serbaguna, dataran, padang dan sebagainya.

    “Sekiranya acara tersebut perlu dilaksana di kawasan masjid dan surau, maka pembabitan adalah terhad kepada individu beragama islam dan mematuhi garis panduan ditetapkan,” katanya menerusi satu kenyataan di Johor Bahru, hari ini, lapor Harian Metro.

    Katanya, apa-apa bentuk kerja pembinaan atau kerja baik pulih masjid dan surau oleh pihak berkenaan dibenarkan dengan syarat tidak meletakkan nama parti politik dalam projek.

    Malah katanya, menggantung bendera, logo, sepanduk parti dan apa-apa simbol yang mengandungi politik kepartian atau membina fizikal bangunan yang cenderung kepada maksud sesebuah parti politik juga tidak dibenarkan.

    Penganjur dan individu yang gagal mematuhi larangan itu boleh dikenakan tindakan berdasarkan Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM3,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

  • Bersatu desak Selangor disiasat kerana skim insurans Insan

    Bersatu desak Selangor disiasat kerana skim insurans Insan

    SIASATAN perlu dilakukan terhadap kerajaan Selangor dan program Skim Insurans Am Selangor (Insan), kata Timbalan Pengerusi Biro Perlembagaan dan Undang-undang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Sasha Lyna Abdul Latif.

    Jelasnya, ini kerana kerajaan dan program tersebut sudah melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA), dakwa Bersatu.

    “Undang-undang yang mengawal hal insurans menyatakan persetujuan seseorang perlu sebelum mereka menyertai sesuatu kontrak.

    “Memandangkan polisi itu telahpun dikeluarkan kepada semua pengundi Selangor tanpa pengetahuan mereka, semua pendedahan prakontrak tidak dipatuhi dan ia juga dilakukan tanpa sebarang tawaran atau penerimaan kontrak insurans.

    “Skim insurans tidak pernah diumumkan dan pemegang polisi tidak pernah diberi pilihan untuk ditawarkan skim insurans apatah lagi menerima tawaran itu.

    “Secara ringkasnya, seluruh siri perbuatan jenayah yang melanggar FSA telah dilakukan. Ini mengejutkan kerana ia adalah inisiatif kerajaan Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sebelum ini, beberapa penduduk Selangor mendakwa mereka didaftarkan untuk skim insurans percuma yang disokong negeri itu tanpa pengetahuan.

    Maklumat insurans mereka juga boleh dilihat oleh sesiapa sahaja yang mempunyai nombor kad pengenalan.

    Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjelaskan kerajaan negeri hanya bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk prapendaftaran penduduk Selangor untuk program itu menggunakan maklumat daripada daftar pemilih.

    Katanya, mereka masih perlu melalui satu set prosedur untuk mengaktifkan skim berkenaan.

    “Jika anda tidak berminat (menyertai Insan), anda tidak perlu mengaktifkannya,” kata Amirudin sambil menambah, langkah keselamatan akan diperketatkan untuk melindungi maklumat peribadi.

    Sasha Lyna menegaskan mengikut FSA, sebelum sesuatu skim insurans ditawarkan, pihak yang membuat penawaran perlu mendedahkan butiran seperti nama penanggung insurans berlesen, hubungan antara penanggung insurans dan pihak yang menawarkan insurans, syarat-syarat polisi, dan amaun yang perlu dibayar.

    Jelasnya, kegagalan untuk mendedahkan perkara itu boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, denda sehingga RM10 juta, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    “Selanjutnya, FSA menetapkan bahawa tiada penanggung insurans atau broker insurans boleh mendorong seseorang untuk menyertai kontrak melalui kenyataan palsu atau mengelirukan, atau dengan menyembunyikan fakta material.

    “Oleh itu, FSA 2013 sangat jelas bahawa orang yang membuat kontrak insurans mesti mengetahui dan menerima kontrak serta identiti syarikat insurans,” katanya.

    Sasha Lyna juga mempersoalkan dakwaan kerajaan bahawa mereka kekal menjaga kerahsiaan data, dan memastikan ia tidak dikongsi dengan projek pengendali Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd yang lain seperti perkhidmatan e-dompetnya.

    Dia juga mendakwa laman web program Insan diubah hanya pada dua hari lalu untuk memaklumkan pengguna yang layak untuk skim insurans sama ada mendaftarkan diri mereka di pejabat Adun atau melalui laman web Wavpay.

    “Ini jelas satu perkara yang difikirkan semula selepas laman web dan sistemnya tersekat apabila orang ramai cuba menyemak sama ada mereka turut menjadi mangsa skandal ini,” dakwanya, lapor Malaysiakini.

  • Lembaga pengampunan tak berhak maafkan tertuduh-Hadi

    Lembaga pengampunan tak berhak maafkan tertuduh-Hadi

    PAS mendakwa cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah adalah tidak sesuai dengan apa yang diajarkan Islam.

    Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pihak yang berhak memberikan pengampunan ialah ahli keluarga seseorang yang menjadi mangsa jenayah, bukannya lembaga pengampunan.

    “Undang-undang Islam dilaksanakan untuk mendidik bukan menyeksa,” ujar Ahli Parlimen Marang itu.

    Justeru bekas Duta Khas bertaraf menteri itu lagi, Pas mahu peruntukan undang-undang yang ada sekarang ditukar kepada peraturan Islam.

    “Termasuk (mengenai) pengampunan. Kes jenayah dalam Islam, yang berhak mengampun adalah mangsa jenayah. Kalau dia mati, (melibatkan) kes bunuh, adik beradik dia, ibu bapa dia atau wali dia yang berhak mengampun, bukan lembaga pengampunan.

    “Lembaga pengampunan ini ialah Yang Di-Pertuan Agong, perdana menteri, peguam negara,” katanya ketika berucap dalam Ceramah Perdana PN Johor di Markas PAS Kawasan Bakri, di Muar malam tadi.

    Katanya, selain itu Pas juga mahu waris atau mangsa sesuatu perbuatan jenayah diberikan pampasan.

    Namun, dakwa Abdul Hadi langkah tersebut mendapat tentangan pihak lawan Pas khususnya DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) dan sebahagian UMNO.

    “DAP menentang, tak setuju. Amanah juga sokong DAP. Ini yang tuan puan nak mengundi ini, sokong DAP… termasuk sebahagian UMNO.

    “Kita siasat-siasat mengapa (DAP tak setuju) rupanya, kalau undang-undang Islam diamalkan orang bukan Islam pilih undang-undang Islam.

    “Orang bukan Islam akan terpengaruh dengan undang-undang Islam,” dakwanya, lapor Malaysiakini.

  • Warga emas rentung dalam kebakaran di Tangkak

    Warga emas rentung dalam kebakaran di Tangkak

    SEORANG warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Sungai Pilah, Bukit Gambir, pagi tadi.

    Komander Operasi, Rafiah Aziz, berkata lelaki berumur 81 tahun yang dipercayai tinggal berseorangan itu ditemukan rentung di bahagian dapur rumah berkenaan.

    Beliau berkata terdahulu, satu jentera ‘Fire Rescue Tender’ (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir dan satu FRT serta satu utiliti bantuan dari BBP Tangkak dengan 16 anggota, digegaskan ke lokasi kejadian selepas Pusat Gerakan Operasi (PGO) negeri menerima panggilan kecemasan pada 6.16 pagi

    “Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati benar berlaku kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal berkeluasan 20 x 40 kaki persegi telah musnah 80%,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

  • Hadir majlis PN, ADUN Rembia gelar pihak desak keluar UMNO ‘sampah’

    Hadir majlis PN, ADUN Rembia gelar pihak desak keluar UMNO ‘sampah’

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis menggambarkan pihak mahu beliau keluar UMNO sebagai sampah susulan kehadirannya ke program Perikatan Nasional (PN) di Johor, baru-baru ini.

    Cabaran itu dilontarkan ADUN Asahan yang juga Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Fairul Nizam Roslan.

    Jailani berkata, beliau hanya akan menjawab kepada Lembaga Disiplin UMNO yang diberikan kuasa penuh dan berkecuali untuk menyiasat, memperhalusi serta mengambil tindakan atas sebarang kes pelanggaran disiplin oleh ahlinya.

    “Jadi, saya rasa saya tak perlu berurusan dengan sampah. Saya akan hanya jawab surat (tunjuk sebab) daripada majlis disiplin (Lembaga Disiplin),” katanya menurut Harian Metro.

    Kelmarin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata surat tunjuk sebab akan diberikan kepada Jailani sebelum sebarang keputusan diambil terhadapnya

    Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi berkata, beliau menunggu laporan tentang wakil rakyat parti itu menghadiri majlis berkenaan.

    Jailani yang merupakan bekas Exco Melaka menegaskan kehadirannya di majlis terbabit bukan atas kapasiti sebagai ADUN UMNO, sebaliknya mewakili NGO Muafakat Nasional (MN) diterajui bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa.

    Dalam pada itu, Jailani berharap pemimpin dan rakyat negara ini terus menyokong MN yang dilihat memberi manfaat kepada agama, bangsa, dan negara.

    “Saya masih percaya dan tidak akan menyerah kalah sehingga Melayu, Islam dan Bumiputera boleh bersatu dalam MN.

    “Beri peluang untuk UMNO, Pas, dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersatu dalam MN kerana kestabilan umat Islam baik untuk negara dan perpecahan hanya merugikan semua orang,” katanya.

  • Beri peruntukan sama rata kepada pembangkang di Melaka-ADUN PN

    Beri peruntukan sama rata kepada pembangkang di Melaka-ADUN PN

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Aleef Yusof menggesa kerajaan Melaka memberi peruntukan sama rata kepada semua wakil rakyat termasuk pembangkang seperti dilakukan kerajaan negeri diperintah Perikatan Nasional (PN).

    ADUN PN itu mendakwa beliau dan ADUN Bemban, Mohd. Yadzil Yaakub tidak mendapat peruntukan sewajarnya dan jumlah yang diterima jauh lebih rendah berbanding ADUN kerajaan.

    “Sudah tiba masanya kerajaan negeri yang diketuai oleh Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh selaku Ketua Menteri Melaka baru mencontohi usaha ini supaya saya dan ADUN Bemban dapat sama-sama menyumbang dan membantu rakyat di kawasan kami,” katanya dalam satu kenyataan.

    Aleef berkata, sudah tiba masanya semua pihak mengamalkan politik matang di Melaka dan hak rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dan Bemban juga wajar dipenuhi.

    “Setiap hari begitu ramai pihak yang tampil dan menghubungi bagi memohon bantuan. Amat menyedihkan ianya tidak dapat dipenuhi,” katanya, lapor FMT.

    Terdahulu, kerajaan negeri Kelantan pada Rabu lalu mengumumkan pemberian peruntukan sama kepada Adun termasuk pihak pembangkang.

    Menteri Besarnya, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud yang dipetik Sinar Harian berkata, pihaknya akan berlaku adil kepada semua wakil rakyat sama ada kerajaan atau pembangkang.

  • Remaja tertekan pedal minyak kereta rempuh medan selera

    Remaja tertekan pedal minyak kereta rempuh medan selera

    GARA-gara tertekan pedal minyak, seorang remaja berusia 16 tahun secara tidak sengaja merempuh pelanggan di Medan Selera Tanjung Kling, Melaka, petang semalam

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata dalam kejadian 2.43 petang itu, kereta Toyota Avanza dikendalikan remaja terbabit turut melanggar kereta Proton Suprima S yang diparkir bersebelahan.

    “Sebelum kejadian itu, remaja berkenaan diarahkan ibunya untuk memanaskan enjin kereta sebelum dia tertekan pedal minyak dan menukar gear kereta berkenaan pada mod mengundur.

    “Akibat tindakan itu, kereta berkenaan mengundur secara mengejut lalu melanggar kereta yang diparkir bersebelahannya selain turut merempuh pelanggan yang sedang makan di medan selera terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya kemalangan itu menyebabkan Proton Suprima S tersebut mengalami kerosakan pada pintu dan cermin kereta namun pemandu kereta itu serta remaja tersebut tidak mengalami kecederaan.

    Bagaimanapun, katanya, polis tidak mengetahui jumlah atau keadaan pelanggan yang terlibat dalam rempuhan itu kerana tiada laporan dibuat.

    Christopher berkata kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya.

    Hari ini, satu video berdurasi 21 saat tular di media sosial, memaparkan sebuah kereta Toyota Avanza melanggar kereta diparkir bersebelahan sebelum mengundur secara laju dan merempuh pelanggan termasuk kanak-kanak dan bayi di medan selera itu

  • Ada yang pilih tolak bantuan kewangan haji

    Ada yang pilih tolak bantuan kewangan haji

    SEORANG warga emas Khatijah Ali, sanggup menolak Bantuan Kewangan Haji ditawarkan Lembaga Tabung Haji (TH) kepadanya pada tahun ini, bagi memberi peluang kepada bakal haji yang lebih memerlukan bantuan itu.

    Pesara sektor swasta berusia 63 tahun dari Melaka itu menganggap, tindakan berkenaan sebagai sumbangan atau sedekahnya supaya lebih ramai individu yang ingin menunaikan haji mendapat manfaat daripada bantuan berkenaan.

    Khatijah mengambil pendekatan membuat bayaran penuh kos haji sebanyak RM30,850 sekali gus menolak tawaran Bantuan Kewangan Haji disediakan TH untuknya berjumlah RM19,870.

    “Saya mula menabung di Tabung Haji pada 2 Februari 2007 dan daftar haji pada 7 Januari 2009. Simpanan saya di TH mencukupi dan saya menolak bantuan diberikan untuk bantu yang lain,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

    Bantuan Kewangan Haji adalah usaha TH sebagai institusi kewangan Islam untuk membantu kumpulan B40 dan M40 yang kali pertama menunaikan ibadah haji.

    Pada tahun ini, TH memperuntukkan RM400 juta bagi menampung kos jemaah haji kumpulan berkenaan dan akan terus membiayai bantuan itu secara bersasar walaupun kos haji ke Tanah Suci meningkat kepada RM30,850 berbanding RM28,632 tahun lepas.

    Bagi seorang pengusaha projek pertanian di Perak yang hanya ingin dikenali sebagai Saleh, 48, dia berpegang kepada syarat istita’ah atau kemampuan dalam kewajipan menunaikan ibadah itu.

    “Saya memilih menggunakan wang tabungan sendiri yang mula disimpan ibu bapa saya di Tabung Haji sejak awal 80-an dan saya menyambung menyimpannya setelah dewasa. Walaupun ditawarkan Bantuan Kewangan Haji, saya beranggapan adalah lebih afdal menanggung keseluruhan kos mengerjakan haji di Tanah Suci sendiri.

    “Tambahan pula wang yang disimpan mencukupi untuk menanggung keseluruhan kos. Apabila tidak mengambilnya (Bantuan Kewangan Haji), sekurang-kurangnya ia boleh disalurkan kepada mereka yang lebih memerlukan,” katanya.

    Saleh yang sepatutnya menunaikan haji pada 2022 namun tertangguh akibat Covid-19, tersenarai dalam giliran haji dengan tawaran Bantuan Kewangan Haji bagi kumpulan B40 sebanyak RM10,850 untuk mengerjakan haji pada Jun lepas.

    Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Nur Hafizah Mohammad Ismail berkata, Bantuan Kewangan Haji secara bersasar akan meringankan beban jemaah haji yang mungkin menghadapi kesukaran kewangan menunaikan ibadah haji kali pertama.

    Beliau berkata, bantuan itu bersifat inklusif dan adil kepada pelaksanaan haji, dengan setiap jemaah haji yang mempunyai pelbagai latar belakang kewangan akan memiliki peluang menunaikan haji.

    Mengenai tindakan segelitir penerima Bantuan Kewangan Haji yang memilih untuk membayar kos haji penuh, Nur Hafizah berkata, dana bantuan yang tidak digunakan itu boleh diagihkan semula kepada pendeposit TH dalam bentuk dividen pada tahun berikutnya.

  • ‘Penjawat awam masih sokong PN kerana tersinggung sikap kerajaan kini’ – Ilham Centre

    ‘Penjawat awam masih sokong PN kerana tersinggung sikap kerajaan kini’ – Ilham Centre

    SENTIMEN Melayu dan Islam terancam, selain tidak memahami konsep Malaysia Madani, menyebabkan penjawat awam di enam negeri masih ‘terperangkap’ dalam pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

    Dapatan itu diperoleh membabitkan kajian melalui kaedah kualitatif dengan 200 penjawat awam ditemubual secara mendalam berhubung sentimen mereka.

    Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Muhamad Hisommudin Bakar berkata, penjawat awam yang ditemui di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan membabitkan pelbagai segmen antaranya guru, polis, tentera serta pegawai pentadbir.

    Beliau berkata, istilah ‘terperangkap’ yang dimaksudkan ialah penjawat awam yang ditemubual masih memilih untuk menyokong era pentadbiran Muhyiddin yang juga Perdana Menteri ke-lapan.

    “Dalam kalangan kira-kira 217 responden, lebih 90 peratus menyokong Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Muhyiddin.

    “Saya sendiri menemubual 60 daripadanya, dan mereka mengakui selesa dengan kepimpinan Muhyiddin yang dilihat membela Melayu serta Islam.

    “Penjawat awam berasa mereka diberi kepercayaan oleh kerajaan ketika itu, tanpa kontroversi dan persepsi diganggu gugat dalam menjalankan tugas,” katanya kepada Berita Harian.

    Pada masa sama, Muhamad Hisommudin berkata, sebaliknya dalam pentadbiran kini, penjawat awam ditemui mengakui ‘tersinggung’ dengan tindakan kepimpinan kini yang seolah-olah menyalahkan golongan itu dalam aspek rasuah.

    Katanya, walaupun wujudnya usaha daripada kerajaan sedia ada dalam menjaga kebajikan penjawat awam termasuk aspek gaji, namun persepsi mereka mengatasi inisiatif terbabit.

    Malah beliau berkata, penjawat awam yang ditemui juga mengakui sebahagian menteri dilihat tidak kompeten, malah menyumbang kepada defisit sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

    Katanya, imej menteri khususnya yang menjaga aspek keselamatan kebiasaannya dilihat sebagai pemimpin ‘bermulut emas’ dan sangat berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

    “Namun ada tindakan menteri tertentu yang didakwa berlebihan menjadi jurukempen dalam menyerang pembangkang, dianggap penjawat awam sebagai tindakan bersifat canggung selain ada yang dianggap tidak mampu menyampaikan dasar Malaysia Madani dan menangkis naratif dimainkan pembangkang..

    “Bagi penjawat yang ditemui dalam kajian itu, mereka berasa tawar hati, malah ada sebahagiannya yang menganggap tindakan sebegitu memalukan pihak keselamatan berkenaan,” katanya.

    Muhamad Hisommudin berkata, keselesaan penjawat awam pada pentadbiran Muhyiddin yang mengetuai parti komponen PN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut didorong oleh ‘memori hitam’ ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018 lalu.

    Katanya, kenyataan dibuat pemimpin ketika pentadbiran PH, lima tahun lalu, yang ingin mengurangkan penjawat awam, selain melihat kedudukan Melayu dan Islam terancam ketika itu, menghantui mereka.

    “Penjawat awam berasa tidak selamat ketika itu, sehinggalah mereka berada pada pentadbiran Muhyiddin selepas jatuhnya kerajaan PH pada 2020.

    “Namun pada pentadbiran kini mereka kembali pada fasa sama, selepas wujudnya beberapa kenyataan yang mengaitkan penjawat awam ini terbabit rasuah dan sebagainya,” katanya.

    Beliau berkata, sudah tiba masanya pentadbiran kini berbuat sesuatu dengan memahamkan penjawat awam berkaitan hala tuju dasar kerajaan khususnya melalui konsep Madani dan meyakinkan bahawa kedudukan mereka tidak tergugat.

    Katanya, ini kerana jika sentimen ini berterusan, ia dikhuatiri boleh menimbulkan daulah terpendam (rasa tidak puas hati) kepada pentadbiran dalam kalangan penjawat awam, sekaligus merencatkan usaha dilakukan kerajaan.

    “Ini kerana, apa yang dilaksanakan penjawat awam tidak sepenuh hati kerana ada sebahagian mereka mengkritik dasar Malaysia Madani yang dilihat kabur, akhirnya menyebabkan mereka lebih terasing untuk menyokong kerajaan.

    “Jika tiada usaha dilaksanakan, saya yakin pola sokongan terhadap Muhyiddin akan berterusan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) kelak,” katanya.