Category: Kemalangan / Bencana

  • Kanak-kanak dua tahun antara tiga sekeluarga maut kemalangan

    Kanak-kanak dua tahun antara tiga sekeluarga maut kemalangan

    KANAK-kanak lelaki berusia dua tahun antara tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan melibatkan tiga kereta di Kilometer 44.5 Jalan Muar-Segamat, dekat sini, petang semalam. 

    Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Mohd Fadhil Minhat berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian melibatkan dua kereta Perodua Myvi berwarna hitam dan kelabu serta sebuah kereta Mazda itu pada 3.50 petang. 

    Beliau berkata Aarish Ammar Harunarashid, meninggal dunia di Hospital Tangkak manakala ibunya, Nor Haliza Hamzah, 36, dan neneknya Siti Fatimah Ladri, 71, maut di tempat kejadian.

    Bapa kanak-kanak itu, Harunarashid Ghazali, 34, cedera ringan dan dirawat di hospital sama.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi berwarna hitam dinaiki keempat-empat mangsa dari arah Tangkak menghala ke Segamat, dilanggar Perodua Myvi warna kelabu (arah bertentangan) yang mahu memotong sebuah kenderaan lain di hadapan, sebelum terbabas lalu masuk ke gaung.

    “Kereta dinaiki empat sekeluarga itu kemudian dipercayai berpusing dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Mazda yang cuba mengelak namun terlanggar bahagian belakang kereta mereka,” katanya yang dihubungi Bernama hari ini. 

    Bagaimanapun, pemandu dan penumpang kereta Myvi kelabu serta pemandu Mazda dilaporkan selamat.

    Proses bedah siasat jenazah ketiga-tiga mangsa dilakukan di Hospital Tangkak dan kes disiasat lanjut mengikut  Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Dalam kenyataan berasingan, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II K. Kumar berkata pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan Siti Fatimah yang tersepit di dalam kereta manakala Nor Haliza dikeluarkan oleh orang awam sebelum kedua-duanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan. 

    Beliau berkata operasi menyelamat yang melibatkan 15 anggota berserta dua jentera ‘Fire Rescue Tender’ (FRT) dan sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) tamat sepenuhnya kira-kira 4.40 petang. – BERNAMA 

  • Lori tangki diesel terbalik, minyak tumpah atas jalan

    Lori tangki diesel terbalik, minyak tumpah atas jalan

    SEBUAH lori tangki yang membawa muatan diesel terbalik menyebabkan tumpahan minyak di Jalan Pasir Panjang berhampiran lampu isyarat hadapan sebuah resort di Teluk Kemang, Port Dickson, hari ini.

    Memetik laporan Sinar Harian, Komander Operasi Penolong Penguasa Bomba (PPgB), Azizee Alias berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 7.20 pagi.

    “Jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) diarahkan ke lokasi.

    “Bagaimanapun sebaik tiba, mangsa iaitu pemandu lori seorang lelaki berusia 23 tahun telah dikejarkan ke Hospital Port Dickson,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

    Jelasnya lagi, kerja-kerja kawalan tumpahan minyak dan pembersihan sedang dilakukan ketika ini oleh pihak bomba serta pasukan Hazmat.

  • Jasad lelaki diserang buaya ditemukan tidak sempurna

    Jasad lelaki diserang buaya ditemukan tidak sempurna

    SEPASUKAN anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan hari ini menemukan kepala seorang mangsa lelaki yang hilang dipercayai diserang dan dibaham buaya ketika cuba menyeberang Sungai Seguntor, dekat Taman Kenari di Sandakan, Jumaat lepas.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kenyataan berkata kepala mangsa ditemukan pasukan mencari dan menyelamat pada 7.30 pagi tadi, dalam keadaan tidak sempurna kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian.

    Kes tersebut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan seorang lelaki dewasa hanya dikenali sebagai Abdul, disyaki dibaham buaya pada kira-kira 6 petang Jumaat di sungai kawasan setinggan itu.

    “Mangsa dikatakan menaiki rakit yang diperbuat daripada buluh cuba menyeberangi sungai untuk ke rumahnya yang terletak 100 meter dari tebing sungai.

    “Ketika sedang menyeberangi sungai, mangsa disyaki disambar oleh seekor buaya dan sempat menjerit meminta tolong, namun hilang daripada pandangan saksi,” katanya.- BERNAMA

  • Bas terbakar, 44 pelajar Kolej Matrikulasi Kedah selamat

    Bas terbakar, 44 pelajar Kolej Matrikulasi Kedah selamat

    SERAMAI  44 pelajar Kolej Matrikulasi  Kedah (KMK), Changlun, Kedah terselamat apabila bas persiaran yang dinaiki terbakar di Kilometer 39.5 Jalan Raya Timur Barat dekat Tasik Banding di sini hari ini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata sebuah jentera dengan pegawai dan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.05 petang.

    “Setibanya anggota di lokasi kejadian mendapati api sudah marak dan memusnahkan 80 peratus daripada bas persiaran itu.

    “Bagaimanapun, semua penumpang termasuk pemandu bas tidak mengalami sebarang kecederaan apabila berjaya keluar sendiri dari kenderaan itu dan berada di jarak yang selamat sebelum api marak,” katanya dalam satu kenyataan.

    Katanya api berjaya dipadamkan dan operasi ditamatkan pada 3.48 petang.

    Dalam kejadian itu, bas terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Kelantan menghala ke KMK untuk menghantar pelajar pulang.

    — BERNAMA

  • Penunggang motosikal maut dihempap pokok di LPT

    Penunggang motosikal maut dihempap pokok di LPT

     

    SEORANG penunggang motosikal maut dihempap pokok yang tumbang di Kilometer 67.4 Lebuhraya Pantai Timur menghala ke Kuantan hari ini.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.17 malam sebelum tujuh anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong bergegas ke lokasi kejadian.

    Beliau berkata sejurus tiba pasukan bomba telah menjalankan operasi mengeluarkan Muhammad Mustaqim Noor Azhar, 21, daripada timbunan pokok, yang kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.

    “Mayat mangsa yang beralamat di Taman Hijau, Karak diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam tadi. 

    ,

  • Lelaki hilang disambar buaya ketika seberang sungai dengan rakit

    Lelaki hilang disambar buaya ketika seberang sungai dengan rakit

    SEORANG lelaki hilang dipercayai disambar buaya ketika menyeberangi sungai berhampiran Taman Kenari Batu 7, di Sandakan, semalam.

    Ketika kejadian, mangsa berusia 50 tahun itu dikatakan cuba untuk menyeberang dengan menggunakan rakit di sungai berkenaan.

    Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 8.57 malam.

    Jurucakap PGO JBPM Sabah berkata, seramai lapan anggota termasuk pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

    “Menurut saksi, mangsa yang cuba untuk menyeberang sungai menggunakan rakit telah disambar buaya.

    “Operasi SAR dijalankan sepanjang sungai di kawasan mangsa dilaporkan dibaham buaya namun mangsa belum ditemui,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Menurutnya, operasi SAR ditangguh pada 10.28 malam dan disambung semula hari ini.

    “Operasi SAR akan disambung semula pada jam 6 pagi esok. Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

  • Wanita warga Indonesia rentung dalam kebakaran

    Wanita warga Indonesia rentung dalam kebakaran

    SEORANG pekerja wanita warga Indonesia rentung apabila bilik didiaminya di sebuah blok rumah pekerja di kilang papan lapis di Jalan Kemena, Bintulu, kira-kira 200 kilometer dari Sibu, terbakar awal pagi tadi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, ketika kejadian, hanya wanita berusia 24 tahun itu berada di bilik berkenaan manakala dua rakan sebiliknya sedang bekerja.

    Beliau berkata, seramai 11 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu digerakkan ke lokasi kejadian sejurus bomba menerima panggilan kebakaran pada 2.59 pagi.

    “Kebakaran hanya melibatkan sebuah bilik nombor lima (daripada tujuh pintu) dan terbakar 100 peratus.

    “Kebakaran berjaya dikawal pada 3.20 pagi dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 5.30 pagi,” katanya dalam kenyataan.

    Menurut jurucakap itu, mayat wanita tersebut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat.

  • Mayat remaja perempuan ditemukan tersangkut celah batu

    Mayat remaja perempuan ditemukan tersangkut celah batu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    REMAJA perempuan yang hilang semasa mandi bersama-sama lima rakannya di Pantai Tanjung Balau, Bandar Penawar, Kota Tinggi pagi tadi sudah dtemukan mayatnya di celah batu.

    Mayat Nurish Qhalisya Suhailizam yang berusia 13 tahun ditemukan pada pukul 2.37 petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, mangsa ditemui pasukan penyelamat pada jarak kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa yang berusia 13 tahun itu dilaporkan lemas.

    “Mayat dijumpai tersangkut di celah batuan di kawasan lokasi penemuan. Untuk makluman, lokasi kejadian ini ada terdapat kawasan berbatu.

    “Mangsa telah dicamkan oleh ahli keluarga dan kini dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) bagi proses bedah siasat dan operasi mencari serta menyelamat sudah dihentikan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

    Dalam kejadian itu, selain Nurish Qhalisya, dua beradik, Mohd. Asyraf Syazwan Mohd. Fairuz, 7, dan Nur Azrin Syazwani, 13, dilaporkan kritikal dan kini dibawah pemantauan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKT.

    Tiga lagi mangsa, Siti Alesya Qistina Mustafa, Siti Nur Alysya Abdullah dan Nur Zurin Hafeeza Mohd Azhari yang semuanya berusia 13 tahun dilaporkan selamat.

    Hussin berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan lima yang lain datang ke pantai berkenaan untuk beriadah dan bermandi-manda.

    “Mereka yang terbabit dalam tragedi tersebut mendapat izin daripada ahli keluarga dan ketika kejadian, cuaca mendung dan air tenang, namun dipercayai sedang mulai surut,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai yang hadir ke kawasan rekreasi khususnya kawasan pantai, supaya berhati-hati dan menjaga keselamatan ahli keluarga agar musibah seperti ini tidak berulang.

  • Dua maut, satu parah kereta masuk longkang

    Dua maut, satu parah kereta masuk longkang

    DUA remaja maut sementara seorang lagi rakan mereka parah apabila kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam longkang di Jalan Pondok Labu-Taman Selasih, dekat Kulim, pukul 3.51 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Mohd. Redzuan Salleh, semua mangsa menaiki kereta jenis Perodua Viva datang dari arah pekan Kulim ke Taman Selasih.

    Sebaik tiba di satu selekoh katanya, pemandu kenderaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke longkang di bahu kanan jalan.

    “Pemandu dan penumpang hadapan berusia 18 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang di bahagian belakang mengalami kecederaan parah di muka dan kepala.

    “Mayat kedua-dua mangsa yang maut dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat sementara mangsa yang cedera dirujuk ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Mohd. Redzuan berkata, polis masih menyiasat dan mengenal pasti identiti ketiga-tiga mangsa.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • 1 remaja dikhuatiri lemas, 2 tidak sedarkan diri, 3 terselamat mandi di pantai

    1 remaja dikhuatiri lemas, 2 tidak sedarkan diri, 3 terselamat mandi di pantai

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEGEMBIRAAN sekumpulan remaja mandi di Pantai Tanjung Balau, Bandar Penawar, Kota Tinggi, pagi ini berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka hilang, dua tidak sedarkan diri dan tiga terselamat.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar,
    Penguasa Bomba Kanan II Mohd. Hazmi Zulkafli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.39 pagi.

    “Susulan itu seramai 10 anggota dengan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Ketika kejadian mereka sedang mandi di pantai. Tiga remaja perempuan semuanya berusia 13 tahun diselamatkan orang awam sebelum pihak bomba sampai manakala dua mangsa dijumpai pihak bomba dalam keadaan tidak sedarkan diri.

    “Dua mangsa itu merupakan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dan seorang budak lelaki berusia 12 tahun. Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun masih hilang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, dua mangsa yang tidak sedarkan diri itu dibawa naik dan pihaknya memberikan rawatan awal dan bantuan pernafasan sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Penawar menaiki EMRS.

    Sementara tiga mangsa yang selamat dibawa ke klinik berkenaan dengan menaiki ambulans, katanya.

    Mohd. Hazmi memberitahu, pihak bomba masih melakukan pencarian seorang mangsa yang masih belum dijumpai dengan menggunakan kaedah ‘surface searching’ pada jarak 80 meter dari persisir pantai.

    “Semua mangsa berasal dari daerah ini,” katanya lagi.