Category: Kemalangan / Bencana

  • Lebih 60 premis di Jertih, Hulu Besut rosak dilanda ribut

    Lebih 60 premis di Jertih, Hulu Besut rosak dilanda ribut

    LEBIH 60 premis termasuk kediaman dan kedai makan di sekitar Jertih dan Hulu Besut dekat sini, mengalami kerosakan akibat dilanda ribut dalam kejadian petang semalam.

    Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu kebanyakan premis mengalami kerosakan pada bahagian bumbung, akibat diterbangkan angin kuat.

    Seorang pemilik kedai Wan Yuslina Wan Yusof, 48, berkata kejadian berlaku dalam keadaan hujan lebat ketika dia sedang mengemas warungnya, selepas menutup operasi.

    “Saya berada seorang diri di bahagian dapur kedai, tiba-tiba terdengar bunyi sesuatu di atas bumbung dapur sebelum ia terangkat diterbangkan angin, keadaan berlaku sangat pantas.

    “Saya keluar menyelamatkan diri dan kedai makan yang terletak bersebelahan turut mengalami nasib sama,” katanya yang menyewa premis Majlis Daerah Besut (MDB) di bandar ini, kepada Bernama hari ini.

    Sementara itu, menurut Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut Mat Daik Mohamad, lebih 50 buah rumah di beberapa kampung di kawasan Hulu Besut mengalami kerosakan dalam kejadian sama.

    “Dua kampung yang paling banyak mengalami kerosakan ialah rumah di Kampung Darau dan Lepan Kejor. Kebanyakan rumah mengalami kerosakan bahagian bumbung, namun tidak ada kecederaan dilaporkan,” katanya.

    Mat Daik berkata lagi, pihaknya telah turun padang meninjau kerosakkan rumah dan kedai terlibat dan kerajaan negeri akan mengambil tindakan susulan untuk membaiki kerosakan premis tersebut.

    Katanya, kejadian semalam adalah kali kedua dan yang terburuk berlaku di Hulu Besut pada tahun ini, selepas kali pertama kejadian pada Julai lalu menyebabkan lebih 20 buah rumah mengalami kerosakan.- BERNAMA

  • Lelaki maut tersepit, kereta rempuh pembahagi jalan dan terbalik

    Lelaki maut tersepit, kereta rempuh pembahagi jalan dan terbalik

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik di Kilometer 86.6 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara, Ayer Hitam, Kluang tengah malam tadi.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Ramli Said berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.19 tengah malam.

    “Seramai enam anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Kemalangan melibatkan kereta sebuah kereta Proton Wira. Mangsa yang merupakan seorang lelaki, R Karthig berusia 37 Tahun didapati tersepit di bahagian pemandu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, PGO Negeri Johor PKO bertindak menggunakan ‘rescue cutter’ bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

    Bagaimanapun katanya, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis.

  • Isteri juruterbang helikopter terhempas tuntut mayat di HRPB

    Isteri juruterbang helikopter terhempas tuntut mayat di HRPB

    ISTERI kepada juruterbang yang maut dalam nahas helikopter terhempas di Hutan Simpan Chikus, Bidor baru-baru ini, telah menuntut mayat mendiang di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh hari ini.

    Isteri mangsa yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard tiba kira-kira 10.40 pagi dengan ditemani seorang wanita, manakala mayat mendiang dibawa keluar dari jabatan forensik tersebut pada 11.15 pagi.

    Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Leung berkata pihaknya akan mengadakan pembakaran mayat Tsz Kin Richard Chan di Ipoh dan abu mayat mendiang akan dibawa pulang ke Hong Kong sebelum disemadikan mengikut upacara keagamaan.

    Leung yang bertutur dalam Bahasa Kantonis bagaimanapun enggan mendedahkan lebih lanjut lokasi pembakaran mayat.

    Dalam kejadian 11 Sept lepas, juruterbang warganegara Hong Kong berusia 58 tahun itu maut apabila helikopter yang dipandunya dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh, terhempas di hutan tersebut.

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong dilaporkan berkata pesawat jenis Eurocopter EC120B milik syarikat swasta itu gagal dihubungi selepas berlepas dari Subang dan terputus hubungan radio dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada 12.16 tengah hari.

  • Nampak mangsa disambar, diheret buaya ke dalam sungai sebelum hilang

    Nampak mangsa disambar, diheret buaya ke dalam sungai sebelum hilang

    SEORANG Lelaki Indonesia dipercayai maut disambar buaya ketika sedang memancing di Sungai Semba di kawasan Taman Perindustrian Samalaju di Jalan Pesisir Pantai Bintulu-Miri, Sarawak malam tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju Hashim Norshidi dalam kenyataannya hari ini berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung insiden berkenaan pada 10.20 malam.

    “Sejurus sampai di lokasi, pasukan bomba bertindak menjalankan pemantauan serta pencarian awal secara permukaan di lokasi terakhir mangsa dilihat selama satu jam, namun gagal menemui mangsa,” ujarnya, lapor Harian Metro.

    Selepas itu katanya, operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan disebabkan sudah lewat malam dan disambung pada pagi ini.

    Menurut beliau, maklumat awal yang diterima dari pengadu mengatakan mangsa dikenali sebagai Hermanto, 40.

    Semasa kejadian, rakan mangsa yang juga pengadu berusia 27 tahun turut berada di lokasi sama dan ternampak mangsa disambar buaya dan diseret ke dalam air.

    Difahamkan, semasa kejadian, mangsa memakai baju lengan panjang berwarna kelabu dan seluar jeans.

  • Deretan rumah kedai di Kampung Cina K.Terengganu terbakar

    Deretan rumah kedai di Kampung Cina K.Terengganu terbakar

    DERETAN 12 buah rumah kedai termasuk sebuah kedai emas di Jalan Kampung Cina di Kuala Terengganu, musnah dalam kebakaran malam ini.

    Pemilik Kedai Emas Seri Cahaya Mohd Ridzuan Mohd Yasin, 39, berkata dia mengetahui mengenai kejadian itu pada 8.15 malam setelah dimaklumkan oleh rakannya.

    “Saya tutup kedai 5 petang tadi dan pulang ke rumah di Hiliran (di sini)… Selepas tahu kedai terbakar saya bergegas ke kedai tapi masa sampai api dah marak dan bomba tak benarkan saya masuk.

    “Saya tak sempat nak selamatkan apa-apa dan tak tahu setakat mana tahap kerosakan barang kemas yang ada dalam kedai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di Kuala Terengganu.

    Katanya, kedai milik keluarganya itu telah beroperasi sejak 25 tahun lepas dan terdapat peti besi untuk menyimpan stok barangan kemas selain beberapa mesin dan peralatan pertukangan emas.

    Menurut Mohd Ridzuan, dia dimaklumkan kebakaran bermula dari sebuah kedai kain, menyebabkan api marak dengan cepat ke kedai bersebelahan.

    Dalam kejadian itu juga, difahamkan empat keluarga yang menginap di deretan rumah kedai berkenaan tinggal sehelai sepinggang.

    Seorang daripada ahli keluarga mangsa, Cham Lau Wee, 53, berkata dia yang sedang makan di medan selera berhampiran, bergegas ke tempat kejadian setelah diberitahu mengenai kebakaran itu.

    “Ada empat orang keluarga tinggal di rumah keluarga (pusaka) kami ini, tapi semua tak ada di rumah masa kejadian. Abang dan kakak ipar pergi Melaka, dua lagi kakak keluar bersenam, saya tinggal di rumah berasingan di Jalan Sultan Sulaiman.

    “Saya tak sempat selamatkan apa-apa termasuk tiga motosikal dalam rumah sebab masa sampai api dah besar,” katanya yang memberitahu bahawa rumah berstruktur papan berkenaan sudah didiami keluarganya lebih 60 tahun.

    Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan Bomba 1 Mohd Khairiri Mat Rasad @ Arshad berkata pihaknya menerima panggilan pada 8.42 malam namun pasukannya telah berada di tempat kejadian lebih awal.

    Katanya, oleh kerana jarak balai bomba dari tempat kejadian hanya 800 meter dan pihaknya telah mengetahui tentang kebakaran itu daripada orang awam yang datang terus ke balai.

    “Lima buah rumah kedai musnah 100 peratus, manakala selebihnya ada yang musnah 90, 50 dan ada yang hanya 30 peratus,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

    Beliau berkata 60 anggota dan pegawai bomba terlibat dalam operasi dengan empat jentera, dua lori tangki serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

    “Api berjaya dikawal dalam 45 minit manakala punca kebakaran masih dalam siasatan. Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

  • Pemandu maut tercampak dari treler berhampiran Terowong Menora

    Pemandu maut tercampak dari treler berhampiran Terowong Menora

    SEORANG pemandu maut selepas tercampak keluar dari treler yang terbabas di Kilometer 257 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, berhampiran Terowong Menora, pukul 5.30 pagi tadi.

    Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mangsa, Budi Abd Rahman, 52, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

    “Pihak bomba menerima panggilan mengenai kemalangan ini pada 5.40 pagi yang melibatkan sebuah lori treler jenis Volvo dengan muatan sampah telah terbabas ke bahu jalan.

    “Kemalangan menyebabkan pemandu lori tercampak keluar dari lori dan tersepit di antara pembahagi jalan,” katanya dalam kenyataanm lapor Astro Awani.

    Keadaan kenderaan mangsa yang terlibat dalam nahas di Kilometer 257 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, berhampiran Terowong Menora. – Foto JBPM

    Katanya, anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Shauki Che Darus tamat pukul 7.38 pagi.

    Sementara itu, menurut Twitter plustrafik, kemalangan itu menyebabkan semua lorong terhalang dan pemandu diminta menggunakan laluan alternatif.

    Bagaimanapun, berdasarkan maklumat yang sama, pukul 8.48 pagi, lorong kanan telah dibuka dan laluan kontra masih dibuka.

    Trafik arah utara perlahan sepanjang 3.5 kilometer manakala trafik arah selatan masih terkawal.

  • Lelaki Singapura hilang ditemukan selamat

    Lelaki Singapura hilang ditemukan selamat

    LELAKI warga Singapura yang dilaporkan hilang ketika mendaki bersama rakannya di Hutan Simpan Panti Timur, Kota Tinggi, semalam, ditemukan selamat petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata Jason Ren Jie berusia 30-an ditemukan selamat oleh orang awam setelah mangsa berjaya keluar sendiri dari hutan kira-kira 2.20 petang.

    Beliau berkata pihaknya menerima panggilan telefon dari orang awam pada 2.22 petang memaklumkan telah menemui seorang lelaki di Kilometer 52, Jalan Kota Tinggi – Mersing berhampiran Kubu Jepun (Batu 15). 

    “Bertindak atas maklumat tersebut, pasukan Response Team telah digerakkan ke lokasi penemuan dan mangsa dalam keadaan selamat dengan hanya mengalami luka-luka kecil. Dia dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Operasi mencari dan memyelamat mangsa yang masuk hari kedua di Hutan Simpan Panti Timur, Kota Tinggi, dimulakan 10 pagi tadi, melibatkan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Perhutanan Wilayah Johor Selatan (Kota Tinggi) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Kota Tinggi.

    Sementara itu, Hussin berkata mangsa dan rakannya akan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan untuk tindakan lanjut memandangkan mereka tidak mendapatkan kebenaran dan permohonan permit bagi memasuki Kawasan Hutan Simpanan Kekal.

    Beliau menasihati orang ramai yang berhasrat untuk melakukan aktiviti pendakian terutama di kawasan Hutan Simpan agar mendapatkan permit kebenaran terlebih dahulu dari Pejabat Perhutanan Daerah Kota Tinggi, mendapatkan khidmat malim gunung dan memaklumkan pergerakan masuk serta keluar kepada Balai Polis yang terdekat bagi mengelak kejadian sebegini berulang lagi.

    Dalam kejadian semalam, lelaki berkenaan dilaporkan hilang kira-kira 1 tengah hari selepas mendaki bersama rakan lelakinya yang juga warga tempatan.- BERNAMA

  • Bot karam: Nelayan hilang ditemukan lemas

    Bot karam: Nelayan hilang ditemukan lemas

    SEORANG nelayan tempatan yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaikinya karam di perairan Bagan Lipas dekat Lumut semalam ditemukan lemas. 

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak Kapten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata mayat lelaki itu ditemukan terapung pada kira-kira pukul 11.30 pagi oleh nelayan setempat. 

    “Kita telah terima laporan insiden bot karam pagi semalam pada kedudukan 1.9 batu nautika timur laut perairan Bagan Lipas dan telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat). 

    “Operasi yang bersambung hari ini berjaya menemukan mangsa dan Op Carilamat telah ditamatkan 12.40 tengah hari tadi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

    Beliau berkata mangsa berusia 56 tahun dan berasal dari Kuantan, Pahang bekerja sebagai nelayan sebuah syarikat perikanan dekat Hutan Melintang.

    Katanya dalam kejadian pada kira-kira 3 pagi itu, bot nelayan dinaiki tiga lelaki dimasuki air dan ketiga-tiga mereka terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan diri. 

    Dua daripada mereka yang merupakan warga Indonesia sempat mencapai tong air untuk terapung manakala mangsa gagal menyelamatkan diri dan dihanyutkan arus deras.

    Susulan itu, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan Op Carilamat dan Bot Petir 83 daripada MN Selangor telah diatur gerak ke lokasi bagi melaksanakan penugasan operasi. 

    Beliau berkata Op Carilamat turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut, Balai Polis Rungkup dan Komander Operasi Komponen Maritim (MCOC).

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri dalam kenyataan berkata bot terbabit dikatakan berlabuh di muara Bagan Lipas bagi tujuan rehat sebelum kembali ke pelantar di Hutan Melintang.

    “Mereka keluar menangkap ikan pada 13 Sept lepas di lima batu nautika dari kawasan pelantar dan bot mereka tenggelam sekitar pukul 3 pagi. 

    “Operasi menyelamat telah dilakukan pada hari sama pada 12 tengah hari namun terpaksa memberhentikan operasi pada 7 malam akibat cuaca gelap sebelum disambung hari ini,” katanya. 

    Beliau berkata mayat mangsa ditemukan tersangkut pada tiang sebuah kelong di Muara Sungai Bagan Lipas dan mayat telah dikenal pasti oleh waris mangsa sebelum dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat.- BERNAMA

  • Dua remaja disyaki berlumba maut bergesel sesama sendiri

    Dua remaja disyaki berlumba maut bergesel sesama sendiri

    Oleh BADLISHAH MAT

    DUA remaja lelaki termasuk seorang pelajar sekolah maut selepas motosikal mereka bergesel sesama sendiri dipercayai ketika berlumba di Kilometer 102.2 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) berhampiran Sungai Petani, pagi ini.

    Kedua-dua mangsa berusia 15 dan 22 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

    Lima lagi penunggang motosikal yang terbabit dalam lumba haram pada pukul 3.06 pagi itu dilaporkan turut cedera dan kini sedang diberikan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mangsa berumur 15 tahun itu adalah pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di Jeneri, Sik

    “Mangsa kedua yang meninggal dunia pula bekerja kampung dan tinggal di Kampung Pondok Hampar, Merbok di sini.

    “Ketujuh-tujuh mereka yang berumur antara 15 hingga 22 tahun dipercayai menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dan Honda Ex5 secara beriringan dalam kelajuan tinggi dari arah utara ke selatan di lebuh raya itu.

    “Ketika menghampiri lokasi kejadian beberapa penunggang dikatakan hilang kawalan dan berlanggar sesama sendiri. Impak pelanggaran menyebabkan dua daripada mereka maut di lokasi akibat parah di bahagian kepala,” katanya di sini, hari ini.

    Menurut Zaidy, kesemua motosikal terbabit turut mengalami kerosakan teruk dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk siasatan lanjut.

    “Semakan mendapati pelajar itu dan dua lagi rakannya yang cedera tidak mempunyai lesen memandu yang sah,” katanya.

    Mayat dibawa ke HSAH untuk proses saringan Covid-19 dan bedah siasat akan dilakukan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Empat sekeluarga terbunuh nahas babit lima kenderaan dekat PLUS

    Empat sekeluarga terbunuh nahas babit lima kenderaan dekat PLUS

    EMPAT sekeluarga maut, seorang cedera manakala dua yang lain selamat dalam kemalangan melibatkan lima buah kenderaan di Kilometer 70.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Kluang hari ini.

    Kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu melibatkan kereta Perodua Myvi, Toyota Corolla, Toyota Hiace, treler jenis Volvo dan motosikal Honda RSX150.

    Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian pada kira-kira pukul 7 pagi itu melibatkan kesemua jenis kenderaan, yang dipercayai dari arah yang sama iaitu dari arah Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru.

    Beliau berkata mereka yang maut terdiri daripada pemandu kereta Toyota Altis, Goh Tiong Seng berusia 50-an; penumpang hadapan, Hong May Yin (50an) dan dua anak mereka Goh Pei Chiew serta Goh Xuan Ting, keduanya berusia 20-an.

    “Kereta Perodua Myvi dipercayai terlanggar lopak air dan hilang kawalan lalu berpusing dan terbabas ke tengah jalan sebelum melanggar besi pembahagi jalan di tengah jalan. Ketika itu, sebuah van dari arah belakang cuba mengelak kereta Myvi, lalu terbabas dan berpusing sehingga melanggar besi pembahagi jalan dan terus ke bahu kiri jalan. 

    “Sebuah lori trailer dari arah belakang di lorong kiri bertindak memperlahankan lorinya untuk mengelak melanggar van yang berada di bahu lorong kiri itu, bagaimanapun, kereta Toyota Altis terlanggar belakang lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Bahrin berkata Goh serta dua anaknya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Hong meninggal dunia di Hospital Kluang ketika mendapatkan rawatan,

    Bagaimanapun pemandu perodua Myvi dan pemandu lori trailer tidak mengalami kecederaan manakala pemandu van Hiace yang cedera di bawa ke Hospital Kluang untuk rawatan lanjut.

    “Kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital  Kluang untuk bedah siasat,” kata beliau, dan menambah Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penguasa Bomba Kanan II Rahim Razali, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 6.35 pagi.

    Katanya, bomba dengan kekuatan seramai tujuh anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke lokasi.