Category: Kemalangan / Bencana

  • Tragedi kuari: Waris dipanggil jalani ujian DNA

    Tragedi kuari: Waris dipanggil jalani ujian DNA

    AHLI keluarga kepada dua mangsa yang tertimbus dalam tragedi runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai, Mac lalu akan dipanggil menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi tujuan pengesahan identiti.

    Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, proses pengesahan berkenaan akan dilakukan dalam masa terdekat sebaik semua cebisan tulang dan rangka kedua-dua mangsa dibawa keluar dari lokasi runtuhan.

    “Setakat ini waris belum hadir untuk berikan sampel, tetapi kita akan panggil mereka sebaik proses membawa keluar semua rangka selesai,” katanya kepada Sinar Harian.

    Mohd Yusri berkata, operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan di lokasi pada Selasa dan Rabu telah menemukan dua cebisan rangka manusia dipercayai milik kedua-dua mangsa.

    Menurutnya, semua hasil penemuan itu telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat dan ujian DNA.

    “Operasi pada Rabu telah berjaya menemui cebisan tulang manusia, stoking dan kasut dipercayai milik mangsa kedua.

    “Kesemua itu ditemukan dari serpihan jentera yang masih tertimbus di bawah timbunan batu,” katanya.

  • Ganjaran tunai RM150,000 jika temui Chong Loong hidup

    Ganjaran tunai RM150,000 jika temui Chong Loong hidup

    AHLI keluarga kepada lelaki yang hilang ketika melakukan pandu uji jet ski di perairan berdekatan Pulau Talang-Talang, Sematan dekat Kuching menawarkan ganjaran sehingga RM150,000 kepada mereka yang berjaya menemukan mangsa.

    Memetik laporan Harian Metro, berdasarkan satu poster yang tular semalam, keluarga Lee Chong Loong menawarkan ganjaran RM30,000 dan jika mangsa ditemukan masih hidup pula ganjaran RM150,000 akan diberikan.

    “Jika anda mempunyai sebarang maklumat, sila hubungi 019-8553333 atau 016-8872000. Kami merayu kepada orang awam untuk membantu mencari Lee yang dilaporkan hilang semasa menaiki jet ski dari Pulau Talang Talang ke jeti Santubong.

    “Pertolongan dalam pencarian Lee amat diperlukan secepat mungkin,” kata keluarga mangsa dalam poster itu.

    Chong Loong, 46, kali terakhir dilihat memakai baju lengan panjang dan seluar panjang berwarna hitam dilaporkan hilang pada sekitar pukul 4 petang Jumaat lalu.

    Mangsa juga dikatakan mempunyai tatu SED di badannya.

    Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu, Pegawai Bomba Kanan 1, Jaree Mohamad berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kelima semalam masih gagal mengesan mangsa.

    Menurutnya, anggota SAR dari BBP Lundu sudah melakukan pencarian menggunakan sebuah bot penyelamat di sekitar Pulau Talang-Talang dan seterusnya di Muara Sungai Lundu.

    Operasi juga disertai anggota SAR dari BBP Petra Jaya yang menjalankan pencarian menggunakan dua buah bot penyelamat di persisiran pantai dari Tanjung Serpan sehingga kawasan Pulau Talang-Talang selain sekitar Pantai Trombol dan Muara Sungai Buntal.

    Namun mangsa masih belum dijumpai dan operasi SAR disambung hari ini.

  • Lima graduan wanita UiTM kemalangan dalam perjalanan ke majlis konvokesyen

    Lima graduan wanita UiTM kemalangan dalam perjalanan ke majlis konvokesyen

    LIMA graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang dalam perjalanan menghadiri majlis konvokesyen terlibat kemalangan di Kilometer 396 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Ulu Bernam, awal pagi ini.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 5.35 pagi dan mengerahkan anggota ke lokasi kejadian.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Noor Azam Khamis berkata, kemalangan melibatkan sebuah Proton Saga yang dinaiki lima graduan wanita berusia 21 tahun, telah terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

    “Akibat kemalangan tersebut seorang daripada mereka tersepit di bahagian hadapan dan mengalami kecederaan parah.

    “Empat lagi rakan mangsa pula mengalami kecederaaan ringan dan kesemua mereka telah dibawa ke Hospital Slim River untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Noor Azam berkata, kesemua mangsa dipercayai akan menghadiri Majlis Konvokesyen di UiTM Shah Alam.

    “Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Astro Awani.

  • Dua pemancing selamat, sembilan hilang selepas bot karam

    Dua pemancing selamat, sembilan hilang selepas bot karam

    SEMBILAN pemancing hilang dan dua lagi selamat selepas ditemukan terapung, apabila bot yang mereka naiki karam di perairan Mukah.

    Menurut sumber, bot yang membawa 11 orang pemancing itu dipercayai keluar ke laut pada Isnin lalu dan karam 8.30 malam Selasa lalu.

    “Dua daripada pemancing itu ditemukan hanyut di perairan Mukah pada 5 petang semalam oleh kru kapal tunda, Capella yang dalam perjalanan dari Bintulu ke Kuching,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Jurucakap Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) pula ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan sedang mengumpul maklumat lanjut mengenainya.

    “Untuk makluman awal, MRSC Kuching menerima maklumat insiden sebuah bot bernombor pendaftaran SF2- 2837 karam bersama 11 mangsa di kedudukan lebih kurang 34 batu nautika dari barat laut Mukah.

    “Sehingga kini, hanya dua mangsa ditemukan selamat, manakala sembilan masih hilang. Sebarang perkembangan mengenainya akan kami maklumkan dari masa ke masa,” katanya.

  • Kereta melayang, ‘terbang’ depan rumah peneroka

    Kereta melayang, ‘terbang’ depan rumah peneroka

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH kereta terbabas sebelum ‘terbang’ lalu menjunam ke halaman sebuah rumah di cerun bukit dalam kejadian di Jalan Aman, Felda Lok Heng Selatan, Kota Tinggi semalam.

    Pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan melalui media sosial pada pukul 7.30 petang.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora, siasatan mendapati sebuah kereta Nissan Sentra itu hilang kawalan yang dipandu seorang pemuda Felda tersebut berusia 22 tahun.

    “Semasa dalam perjalanan pulang ke rumah di jalan tersebut kereta ituterjunam dan menghentam bumbung sebuah rumah sebelum jatuh ke halaman rumah.

    “Akibat kemalangan tersebut pemandu berkenaan mengalami kecederaan kecil di dahi. Kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu yang gagal mengawal keretanya dengan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, semasa kemalangan keadaan cuaca cerah manakala lalu lintas pula tidak sibuk.

    Menurutnya, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan semasa memandu hingga menyebabkan kemalangan.

  • Cecair kimia tumpah, pembantu makmal sekolah dikejarkan ke klinik

    Cecair kimia tumpah, pembantu makmal sekolah dikejarkan ke klinik

    SEORANG pembantu makmal sains Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Udang di Melaka dikejarkan ke sebuah klinik selepas cecair dipercayai jenis asid nitrik terpercik mengenai kakinya dalam kejadian pagi ini.

    Pegawai Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Zulkhairani Ramli berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.33 pagi, sebelum tiga jentera bomba dengan 17 anggota termasuk Pasukan Khas Bahan Kimia (Hazmat) diarahkan ke lokasi kejadian.

    “Wanita berusia 37 tahun itu ketika kejadian sedang dalam proses memindahkan bahan kimia tersebut ke dalam bekas yang lain sebelum botol berisi cecair kimia dianggarkan 2.5 liter itu jatuh lalu terpercik ke kakinya.

    “Mangsa dinyahcemar oleh pasukan Hazmat sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Sungai Undang walaupun tidak mengalami kecederaan bagi pemeriksaan lanjut dengan menggunakan kenderaan EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Jelasnya tiada pelajar ketika insiden berlaku dan kemalangan terjadi disebabkan bekas bahan kimia tersebut reput lalu pecah ketika proses pencairan dilakukan, menyebabkan cecair tersebut tumpah. 

    “Kerja-kerja pembersihan tamat sekitar 2.11 petang tadi,” katanya. – BERNAMA

  • Lagi cebisan tulang ditemukan di tapak kuari

    Lagi cebisan tulang ditemukan di tapak kuari

    PASUKAN penyelamat menemukan lagi beberapa cebisan tulang dipercayai milik seorang lagi mangsa dalam insiden runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai- Cameron Highlands, dekat Ipoh, tengah hari ini.

    Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris, cebisan tulang itu ditemukan berhampiran dengan lokasi kedua bangkai jengkaut yang dijumpai semalam.

    “Ketika kerja-kerja pencarian di lokasi runtuhan batu itu dilakukan bersama pihak kuari, kita telah menemukan cebisan tulang di lokasi bangkai jengkaut kedua sekitar pukul 12 tengah hari.

    “Operasi pencarian hari ini telah dimulakan pada jam 8 pagi dengan kekuatan 10 anggota termasuk seorang pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai,” katanya kepada Astro Awani.

    Bagaimanapun, beliau berkata, kerja-kerja penggalian bagi melebarkan kawasan carian terpaksa ditangguhkan sementara pada pukul 12.45 tengah hari ekoran hujan lebat, namun, bersambung semula sejam selepas itu selepas hujan mulai reda.

    Semalam, media melaporkan, dua bangkai jengkaut dijumpai di lokasi dua mangsa tertimbus dalam insiden runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai di sini sejak Mac lalu.

    Turut ditemukan berhampiran bangkai jengkaut adalah rangka tulang, rambut dan pakaian disyaki milik salah seorang mangsa.

    Kejadian runtuhan batu di tapak kuari pada 8 Mac lalu sekitar pukul 9.15 pagi mengakibatkan dua mangsa tertimbus iaitu Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

  • Warga emas maut nahas empat kenderaan

    Warga emas maut nahas empat kenderaan

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG lelaki maut, manakala lima termasuk seorang bayi lelaki berusia setahun cedera dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Jalan Sidam Kiri, Kampung Banggol, di Sungai Petani, petang semalam.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa yang berusia 63 tahun dan berasal dari Taman Angsana, Kulim, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

    Difahamkan, mangsa sedang meriba cucunya itu di kerusi penumpang belakang ketika kejadian.

    Empat mangsa lain yang dilaporkan mengalami luka dan kecederaan ringan termasuk bayi terbabit, manakala pemandu lori berusia 51 tahun tidak cedera.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan membabitkan empat buah kenderaan iaitu dua kereta, sebuah lori dan sebuah motosikal.

    Menurut beliau, ketika kejadian kereta jenis Toyota Corolla dalam perjalanan dari arah Sungai Petani ke Sidam Kiri manakala tiga kenderaan lain dipandu dari arah bertentangan.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Toyota Corolla yang dipandu laju seorang wanita berusia 25 tahun hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori dan kereta Proton Saga.

    “Dalam pada itu, sebuah motosikal yang berada di belakang lori tersebut tidak sempat mengelak sebelum hilang kawalan dan terjatuh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Zaidy berkata, akibat kemalangan itu mangsa yang merupakan penumpang belakang kereta Toyota Corolla disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di Sungai Petani bagi tujuan bedah siasat

    “Lima lagi yang cedera menerima rawatan di hospital sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. 

  • Cebisan tulang, baju ditemukan di lokasi 2 pekerja kuari dikhuatiri tertimbus

    Cebisan tulang, baju ditemukan di lokasi 2 pekerja kuari dikhuatiri tertimbus

    CEBISAN tulang dan baju serta bangkai jengkaut ditemukan hari ini di lokasi dua pekerja kuari yang dikhuatiri tertimbus pada Mac lepas di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak Azmi Osman berkata bangkai jengkaut itu ditemukan pasukan pencari dan penyelamat melibatkan pihaknya, polis dan juga pasukan Jabatan Mineral dan Geosains pada 11.45 pagi tadi manakala cebisan tulang dan baju ditemukan kira-kira setengah jam kemudian.

    “Bangkai jengkaut serta cebisan baju tulang dan baju pada kedalaman 10 hingga 15 kaki (3.05 hingga 4.6 meter) pada jarak titik pencarian sebelum ini.

    “Cebisan tulang dan baju yang ditemukan itu masih belum dapat dipastikan milik siapa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Dalam kejadian pada 8 Mac lepas, dua pekerja kuari yang dipercayai tertimbus runtuhan batu dikenali sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

    Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati kerja-kerja pencarian sedang dijalankan oleh pasukan mencari dan menyelamat ketika ini. – BERNAMA

  • Pelajar 16 tahun maut dalam perjalanan menonton wayang

    Pelajar 16 tahun maut dalam perjalanan menonton wayang

    SEORANG pelajar Tingkatan 4 menimggal dunia maut selepas motosikal ditunggangi terbabit kemalangan di Jalan Pokok Mangga di Melaka malam tadi, semasa mahu menonton wayang.

    Dalam kejadian pukul 9.16 malam itu, mangsa, Muhammad Ammar Syahmi Rosli, 16, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di badan dan kepala.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, nahas membabitkan motosikal dan tiga kereta.

    “Kemalangan berlaku apabila mangsa dari arah Malim menghala ke Dataran Pahlawan untuk menonton wayang dipercayai berlanggar dengan Mercedes-Benz E230 dari arah Klebang yang hendak masuk ke simpang Taman Sri Pandan.

    “Rempuhan mengakibatkan mangsa maut di tempat kejadian sebelum kereta dipandu lelaki berusia 67 tahun itu kemudian merempuh Honda Accord dan Proton Aeroback.

    “Pemandu ketiga-tiga kereta bagaimanapun tidak cedera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut Christopher, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca kemalangan.

    “Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.