Category: Kemalangan / Bencana

  • Pusingan U di tempat tidak dibenarkan: Ibu maut, anak parah

    Pusingan U di tempat tidak dibenarkan: Ibu maut, anak parah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG ibu maut manakala anaknya pula cedera parah gara-gara tindakan seorang pemandu kereta membuat pusingan U di kawasan yang tidak dibenarkan, dekat Kilometer 68, Jalan Alor Setar menuju ke Butterworth di Padang Temusu, Sungai Petani, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 1.55 petang melibatkan tiga buah kenderaan terdiri daripada dua kereta dan sebuah motosikal dinaiki dua beranak terbabit.

    “Siasatan awal mendapati, kejadian itu berlaku apabila kereta Perodua Myvi dipandu seorang pembantu kedai berusia 32 tahun, membuat pusingan U di kawasan tidak dibenarkan. Difahamkan kereta itu pada mulanya berada di lorong motosikal sebelum tiba-tiba membuat pusingan U.

    “Keadaan itu menyebabkan motosikal jenis Yamaha 135 LC dinaiki dua beranak yang berada di lorong sebelah kanan, belakang kereta tersebut, gagal mengelak lalu merempuh kereta berkenaan,” katanya.

    Kemalangan itu berlaku di kawasan yang mempunyai garisan berkembar.

    Tambahnya, rempuhan itu mengakibatkan motosikal berkenaan bersama dua beranak tersebut tercampak ke laluan bertentangan.

    “Di laluan bertentangan itu, dua beranak berkenaan serta motosikal mereka dilanggar pula oleh sebuah kereta jenis Honda Civic yang tidak sempat mengelak,” katanya.

    Akibat daripada kemalangan itu katanya, penunggang motosikal terbabit yang berusia 24 tahun dan bekerja sebagai operator kilang mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan termasuk patah paha kiri.

    “Ibunya yang berusia 52 tahun pula mengalami kecederaan serius di kepala. Kedua-dua mereka terlebih dulu dikejarkan ke hospital bagi menerima rawatan namun pada pukul 3.05 petang, wanita itu disahkan meninggal dunia,” katanya.

    Menurutnya, kemalangan tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Nelayan terapung lebih 15 jam diselamatkan

    Nelayan terapung lebih 15 jam diselamatkan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG nelayan warga Indonesia terapung lebih 15 jam di laut selepas terjatuh dari bot nelayan tempatan di perairan Pulau Sibu, Mersing malam tadi.

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerima laporan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing memaklumkan kejadian tersebut pada pukul 8 malam.

    Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander (Maritim) Khairul Nizam Misran berkata, IPD berkenaan menerima aduan daripada pemilik bot nelayan warga tempatan, Kuek Ho Hwa, 66, memaklumkan seorang pekerjanya dikenali sebagai Catur, 40 tahun, terjatuh dalam laut.

    “Kali terakhir mangsa dilihat atas bot nelayan tempatan itu hanya memakai seluar hijau sebelum jatuh laut pada kedudukan 5.3 batu nautika Pulau Sibu Hujung di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Susulan itu katanya, maklumat disalurkan kepada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru sebelum operasi mencari dan menyelamat diaktifkan sekitar jam 11.50 malam.

    Nelayan warga Indonesia yangv terjatuh dalam laut pada malam tadi ditemukan selamat tetapi berada dalam keadaan lemah pada pagi tadi

    Beliau berkata, operasi berkenaan melibatkan sebuah aset bot Kilat 14 dari Zon Maritim Mersing, bot RH 32 dari Pasukan Polis Marin (PPM), bot PTL 21 dan PL 87 milik Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).

    Katanya, operasi tersebut melibatkan 30 anggota kesemuanya dengan keluasan sektor pencarian di laut adalah 86 batu nautika persegi meliputi kawasan tenggara perairan Pulau Sibu.

    “Mangsa ditemui bot Perikanan PL 87 dalam keadaan selamat dan sedang berpaut pada tong minyak plastik berwarna biru pada kedudukan lebih kurang 10 batu nautika selatan Pulau Sibu pada jam 10.30 pagi tadi,” katanya.

    Menurut beliau, mangsa seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Tanjung Sedeli, Kota Tinggi untuk rawatan dan tindakan lanjut.

    “Mangsa dipercayai jatuhdan hanyut sejauh 9.3 batu nautika dari lokasi dia dilaporkan jatuh pada jam 8 malam tadi,” katanya.

    Pihak maritim katanya, merakamkan penghargaan kepada PPM, DOF, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Maritim Tanjung Sedeli dan semua pihak yang terlibat dalam berkenaan.

    Orang ramai diminta untuk menyalurkan sebarang maklumat atau aduan mengenai kejadian dan kecemasan di laut menerusi talian kecemasan MERS 999 atau talian pusat Operasi Maritim Negeri Johor 07-2199401.

  • Banjir di Johor:Mangsa berkurangan, tinggal 3 PPS

    Banjir di Johor:Mangsa berkurangan, tinggal 3 PPS

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BILANGAN mangsa banjir di Johor semakin berkurangan kepada 113 orang daripada 37 keluarga yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 malam tadi.

    Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, bilangan tersebut berbeza dengan 264 orang daripada 76 keluarga keluarga yang dicatatkan di empat PPS pada pukul 4 petang.

    “Jumlah tersebut berkurangan selepas semua 159 orang daripada 41 keluarga di Kampung Melayu Bukit Batu, daerah Kulai dibenarkan pulang.

    “PPS yang menempatkan mereka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Batu turut ditutup pada jam 8 malam ini,” menurut kenyataan itu.

    APM Johor memberitahu, 75 mangsa banjir lagi adalah dari Kampung Tengah, Renggam dan Kampung Sungai Linau (Kluang) masih ditempatkan di dua PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kampung Renggam dan SK Sungai Linau.

    Tambah kenyataan itu, selebihnya iaitu 38 mangsa banjir adalah dari Kampung Sri Gambut, Kampung Paya Embun, Kampung Melayu Raya dan Kampung Sri Menanti (Pontian) yang ditempatkan di PPS SK Melayu Raya.

  • Kanak-kanak dua tahun lemas di air terjun

    Kanak-kanak dua tahun lemas di air terjun

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemui lemas di kawasan air terjun Lata Rek, di Kuala Krai pukul 1.40 petang tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, mangsa, Mohd. Firdaus Yusof
    ditemui pada pukul 5 petang pada jarak 1.5 kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh.

    “Pihak kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.53 petang dan seramai sembilan anggota telah ke lokasi untuk kerja-kerja mencari dan menyelamat,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • Pelajar madrasah ditemui lemas

    Pelajar madrasah ditemui lemas

    SEORANG pelajar madrasah dari Banting, Selangor ditemukan lemas di Hutan Lipur Lubuk Semilang di Langkawi hari ini.

    Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Bomba Zamani Ismail berkata mayat pelajar lelaki berusia 15 tahun itu ditemukan pada 11.40 pagi.

    Beliau berkata menurut saksi, sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang bermain air bersama tujuh rakan lelakinya berusia antara 15 dan 16 tahun sebelum dia dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai di kawasan berkenaan.

    “Beberapa rakan cuba menyelamatkan mangsa tetapi usaha mereka tidak berjaya sebelum seorang daripada saksi di situ menghubungi pihak bomba.

    “Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.55 pagi dan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi telah dikerahkan ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Zamani berkata mayat pelajar itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

  • Nelayan jatuh sampan dijumpai maut di Pulau Jerejak

    Nelayan jatuh sampan dijumpai maut di Pulau Jerejak

    SEORANG nelayan yang dikatakan terjatuh dari sampan ketika menangkap ikan di perairan Jelutong, Pulau Pinang pada petang Sabtu lalu ditemukan maut di pantai Pulau Jerejak semalam.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi melalui MERS 999 mengenai penemuan satu mayat disyaki lelaki terdampar di pantai Pulau Jerejak, pukul 12.45 tengah hari semalam.

    Hasil maklumat yang diterima jelasnya, bot ronda KILAT 26 telah diatur gerak ke lokasi dan menemukan satu mayat lengkap berpakaian terdampar di pantai Pulau Jerejak.

    “Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban seterusnya diserahkan kepada Balai Polis Sungai Nibong dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat serta siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, tular dalam media sosial mengenai seorang nelayan yang dikatakan terjatuh di laut ketika sedang keluar menangkap ikan.

    Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban seterusnya diserahkan kepada Balai Polis Sungai Nibong dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang

    Menurut Abd. Razak, siasatan awal yang diterima daripada pihak polis menyatakan mangsa disyaki Mohd. Shahrul Mansor, 37, beralamat di Simpang Empat, Pulau Pinang dipercayai terjatuh dari sampan ketika cuaca buruk di perairan Jelutong ketika keluar menangkap ikan.

    “Ini adalah berdasarkan laporan polis yang diterima oleh Balai Polis Jelutong selepas kejadian tersebut dan pihak Maritim Malaysia tidak mendapat sebarang makluman awal berhubung kejadian ini,” katanya.

    Tambahnya, Maritim Malaysia mengingatkan komuniti maritim tidak ke laut sekiranya cuaca buruk dan sekiranya keadaan mendesak, mereka dinasihatkan mengutamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini kurang baik.

    “Kita juga sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada komuniti maritim dan sebarang kecemasan di laut boleh dilaporkan terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04-2626146 atau MERS 999,” katanya.

  • Dipercayai terhidu gas ammonia, pekerja kilang tidak sedarkan diri

    Dipercayai terhidu gas ammonia, pekerja kilang tidak sedarkan diri

    SEORANG pekerja sebuah kilang di Batu 6, Jalan Kuala Kedah, Alor Setar, Kedah ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah selepas dipercayai terhidu gas ammonia yang bocor.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Kedah Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.18 pagi.

    “Komander Operasi yang membuat pemantauan mendapati terdapat bau gas ammonia yang sangat kuat di lokasi. Kesemua anggota telah diarahkan memakai alat pernafasan dan membuka aliran hos dan membuat teknik ‘water curtain’ bagi menghampiri kawasan kilang dan
    mengenal pasti punca kebocoran gas.

    “Pada pukul 7.06 pagi, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja menemukan mangsa yang berusia 40-an dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan kilang berkenaan akibat terhidu gas yang bocor di dalam kilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata mangsa berjaya dikeluarkan dan telah diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, Kedah untuk tindakan lanjut.

    “Kawalan keselamatan telah dilakukan di lokasi kejadian bersama pasukan Hazmat dan telah berjaya menemui injap gas yang bocor dan menutup injap berkenaan.

    “Pasukan Hazmat melakukan pengesanan gas di sekitar kawasan berkenaan bagi memastikan ia selamat dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 10.19 pagi,” katanya.

  • Ular sawa 20kg telan kucing dalam sangkar

    Ular sawa 20kg telan kucing dalam sangkar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEEKOR ular sawa berjaya ditangkap selepas menelan seekor kucing dalam sangkar di Taman Damai Jaya, Johor Bahru, hari ini.

    Ular sawa sepanjang 1.5 meter dan seberat 20 kilogram itu ditangkap dalam sangkar yang menempatkan kucing.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Pegawai Bomba Kanan II, Faisal Ismail berkata, sembilan anggota dan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 7.04 pagi,

    Ular sawa sepanjang 1.5 meter dan seberat 20 kilogram itu ditangkap dalam sangkar yang menempatkan kucing.

    “Sebaik tiba di tempat kejadian, terdapat seekor ular sawa berada dalam sangkar kucing di rumah pemanggil.

    “Anggota bomba bertindak menangkap ular tersebut dengan menggunakan alat penjerut dan dilepaskan di kawasan yang jauh dari kawasan penempatan orang awam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

  • Ular sawa seberat 20 kilogram ditemui dalam mesin basuh

    Ular sawa seberat 20 kilogram ditemui dalam mesin basuh

    SEORANG pelanggan pusat dobi layan diri menemui seekor ular sawa berukuran 1.8 meter seberat 20 kilogram dalam mesin basuh di premis berkenaan di Taman Impian Emas, Johor Bahru semalam.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Suhaimi Mohd. Jamal berkata, pelanggan melaporkan kejadian itu kepada pemilik premis yang kemudian menghubungi anggota bomba.

    Katanya, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan itu pada pukul 9.41 pagi.

    “Menurut komander operasi, mereka menemukan seekor ular sawa berukuran 1.8 meter seberat 20 kilogram yang berada di dalam mesin basuh di kedai itu.

    “Anggota di lokasi menangkap ular berkenaan dengan menggunakan penjerut dan dilepaskan di kawasan jauh dari penempatan orang awam,” katanya, lapor BH Online.

    Menurut Suhaimi, reptilia yang ditemui itu tidak berada dalam keadaan agresif ketika cuba ditangkap.

  • Dua beradik maut terkena renjatan elektrik ketika bermain di luar rumah

    Dua beradik maut terkena renjatan elektrik ketika bermain di luar rumah

    DUA kanak-kanak lelaki maut akibat terkena renjatan elektrik ketika bermain di luar rumahnya di Kampung Teras Jernang, Kajang dalam kejadian petang semalam.

    Lapor Sinar Harian, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Bangi, Norazlin Syahidah Ali berkata, tragedi menimpa dua beradik berumur 10 dan 11 tahun itu disaksikan oleh adik bongsu kepada mangsa.

    Menurutnya, kejadian berlaku semasa kedua-dua murid sekolah terbabit sedang bermain air di luar rumah selepas bapanya pergi ke kedai yang jaraknya kira-kira 1 hingga 2 kilometer.

    “Ada wayar elektrik pada tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB) terputus dan terjatuh atas bumbung rumah.

    “Ketika mereka bermain di luar rumah, mangsa (berumur 11 tahun) terpegang besi ampaian baju dalam keadaan basah dan terkena renjatan elektrik.

    “Adiknya cuba bantu selamatkan abangnya, tapi turut terkena renjatan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian hari ini,

    Dalam pada itu, Norazlin Syahidah memaklumkan kedua-dua mangsa ketika ini masih berada di Hospital Serdang untuk bedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teras Jernang dekat sini.

    Ujarnya, buat masa ini, pihak sekolah sedang melaksanakan kutipan derma kilat untuk membantu keluarga tersebut yang dikatakan asnaf tanpa pendapatan tetap.

    “Kutipan ini dilakukan bagi meringankan beban keluarga mangsa. Ibu bapa mangsa hanya bekerja sendiri, kutip botol, tin, tangkap ikan di sungai untuk dijual,” katanya.

    Orang ramai yang ingin membantu keluarga mangsa boleh menyalurkan sumbangan ke akaun PIBG SK Bandar Baru Bangi iaitu 12100000758712 (Bank Muamalat Malaysia Berhad) sehingga 5 Oktober.

    Transaksi tersebut kemudiannya perlu dihantar kepada Norazlin Syahidah di talian 016746818 untuk pengesahan penerimaan dan rekod.