Category: Kemalangan / Bencana

  • Campak 2 anak dari tingkat atas rumah dalam kebakaran

    Campak 2 anak dari tingkat atas rumah dalam kebakaran

    SEORANG bapa bertindak mencampak dua anak lelakinya dalam usaha menyelamatkan nyawa mangsa yang terperangkap dalam kebakaran deretan rumah kedai di Pekan Lenga, Bukit Kepong, Pagoh, Muar pukul 4.30 pagi tadi.

    Zamirul Suahimi, 30, mencampak Muhammad Firas Syahmi, 10, dan Muhammad Harith, empat tahun, dari tingkat atas premis sebelum dua beradik itu berjaya disambut dua pekerja kilang yang kebetulan berada di lokasi.

    Bagaimanapun, Zamirul yang terjun selepas itu tercedera pada tangan akibat terkena zink selain melecur di telinga, mata, mulut selain bengkak di tengkuk.

    Isteri Zamirul, S’biha Bahari, 39, berkata, sebelum kejadian dia menghubungi suaminya beberapa kali namun tiada jawapan.

    “Tidak lama kemudian dua pekerja kilang terbabit menjawab telefon suami dan memaklumkan kedai makan milik kami terbakar.

    “Menjadi kebiasaan bagi suami dan anak tidur di kedai kerana dia akan masak juadah pagi. Saya pula tidur di rumah ibu tidak jauh dari kedai makan.

    “Suami terus bangun apabila mendengar jeritan sebelum mencampakkan anak dari tingkat atas kedai,” katanya, lapor Harian Metro.

    Menurutnya lagi, suaminya itu kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.

    Dalam kejadian itu, 10 buah rumah kedai terbakar antaranya kedai runcit, kedai motosikal, kedai perkakas rumah, kedai motosikal dan sebuah rumah.

  • Tragedi kepala air: Mayat kesembilan ditemukan

    Tragedi kepala air: Mayat kesembilan ditemukan

    SATU lagi mayat ditemukan dipercayai mangsa lemas yang dihanyutkan kepala air ketika berkelah di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih, Kemaman pada Sabtu lalu.

    Menurut Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azman Alias, penemuan mayat itu menjadikan seorang lagi baki mangsa yang masih hilang.

    Jelasnya, mayat dipercayai lelaki tersebut dijumpai kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian sekitar pukul 9.20 pagi.

    “Mayat tersebut dijumpai dengan cukup sifat terdampar di atas beting pasir di sektor A.

    “Mayat dibawa naik dari sungai itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Bagaimanapun, identiti masih belum disahkan secara rasmi oleh pihak berkuasa kerana pengecaman mayat belum dibuat waris.

    Setakat ini, lapan jasad sekeluarga mangsa tragedi itu telah ditemukan sejak lima hari operasi pencarian dijalankan bermula Ahad lalu.

    Jasad Allahyarham Karim dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta empat anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya, 10, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4, ditemukan pada Ahad dan Isnin manakala Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, dan adik tirinya, Putri Alleya Maisarah, 16, ditemukan pada Selasa.

  • Bot sangkut di pokok nipah, 14 pelancong terkandas 4 jam

    Bot sangkut di pokok nipah, 14 pelancong terkandas 4 jam

    SERAMAI 16 orang termasuk 14 pelancong Korea Selatan terkandas kira-kira empat jam selepas bot yang dinaiki tersangkut pada pokok nipah di Sungai Bolong, Tuaran malam tadi.

    Kejadian berlaku kira-kira 9.30 malam ketika bot terbabit membawa pelancong yang terdiri daripada sembilan wanita dan empat lelaki dewasa bersama seorang lagi kanak-kanak lelaki serta dua jurupandu bot.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohd. Abd. Qawie Abdul Gapar berkata, mereka menerima panggilan berhubung kejadian pada 9.50 malam sebelum menghantar 10 anggota ke lokasi.

    Katanya, tempat kejadian itu terletak sejauh tujuh kilometer dari BBP Tuaran.

    “Kita memindahkan semua pelancong dan jurupandu bot ke tebing sungai menggunakan bot penduduk kampung sebelum menyerahkan kepada syarikat pelancongan bertangunggjawab untuk tindakan lanjut,” katanya menurut Sinar Harian.

    Abd Qawie berkata semua mangsa disahkan selamat.

    “Operasi kemudiannya ditamatkan pada 12.57 tengah malam selepas bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi,” katanya.

  • Hancur dari pinggang hingga kepala jatuh tingkat 41

    Hancur dari pinggang hingga kepala jatuh tingkat 41

    SEORANG lelaki ditemui mati dalam keadaan mengerikan dengan tubuhnya hancur dari pinggang hingga ke kepala, selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 41 sebuah hotel di persisiran Sungai Melaka, tengah malam tadi.

    Mayat mangsa berusia 52 tahun itu ditemui oleh seorang pengangkat barang di hadapan parkir lobi hotel berkenaan sebelum menghubungi talian MERS 999.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, bertindak atas maklumat itu sepasukan sepasukan anggota polis dari Balai Polis Melaka Tengah ke lokasi kejadian pada pukul 12.15 tengah malam.

    Siasatan awal polis mendapati si mati jatuh dari tingkat 41 bangunan 42 tingkat itu.

    “Sejurus tiba pasukan mendapati seorang lelaki dengan keadaan tubuhnya dari pinggang hingga kepala hancur akibat jatuh dari bangunan tinggi.

    “Beberapa cebisan mayat turut ditemui bertaburan di sekitar kawasan,” katanya hari ini.

    Christopher berkata, saksi kejadian yang juga pekerja pengangkut barang yang berada di tingkat bawah hadapan lobi hotel ketika kejadian mendakwa terdengar bunyi seperti tayar meletup.

    “Apabila berpusing dia ternampak mangsa dalam keadaan terlangkup dengan separuh daripada badannya hancur sebelum menghubungi penyambut tetamu hotel dan talian kecemasan.

    “Terdapat dua lagi saksi warga Bangladesh mendakwa melihat mangsa dalam keadaan mencurigakan sebelum terjatuh dari bangunan itu,” katanya lapor Berita Harian.

  • Pelatih PGA yang baru melapor diri maut akibat strok haba

    Pelatih PGA yang baru melapor diri maut akibat strok haba

    SEORANG peserta kursus asas Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pusat Latihan PGA (PLPGA) Ulu Kinta, meninggal dunia dipercayai akibat strok haba, semalam.

    Muhamad Irfan Irham Badrul Hisam dari Cawangan Kompeni Demo Pusat Latihan PGA dikatakan melapor diri sebagai peserta kursus Ahad lalu.

    Kematian pelatih berusia 21 tahun itu disahkan Ketua Polis Perak, dattuk9Mohd. Yusri Hassan Basri, lapor Berita Harian.

    Bagaimanapun beliau memaklumkan punca sebenar hanya dapat diketahui selepas bedah siasat dijalankan pagi ini di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

    Komandan PLPGA Ulu Kinta, Mohammad Hafiz Kadir, ketika dihubungi berkata berdasarkan maklumat rakan si mati, pelatih itu pada mulanya mengadu mengalami kekejangan kaki kiri sejak malam kelmarin.

    Katanya, bagaimanapun ketika mengikuti kelas petang semalam pelatih itu tiba-tiba rebah dan diserang sawan serta dalam keadaan meracau.

    “Anggota perubatan memberi bantuan awal dan segera membawanya ke Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan untuk rawatan lanjut.

    “Ketika di klinik, doktor bertugas beberapa kali melakukan bantuan pernafasan (CPR), namun pelatih itu disahkan meninggal dunia kira-kira 5 petang.

    “Berdasarkan laporan awal doktor di klinik kesihatan berkenaan, punca kematian pelatih itu dipercayai akibat strok haba,” katanya.

  • Mangsa kelapan:Mayat Putri Alleya Maisarah dijumpai

    Mangsa kelapan:Mayat Putri Alleya Maisarah dijumpai

    MAYAT kelapan mangsa fenomena kepala air di Jeram Air Putih, Chukai, Kemaman ditemukan pukul 3 petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mayat Putri Alleya Maisarah, 16, ditemukan di kawasan beting.

    “Mayat mangsa ditemukan berhampiran mangsa kedua yang ditemui kelmarin,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Setakat ini, tujuh orang sudah ditemui iaitu Azizah Eiyi, 40; Karim Abdullah, 39; Muhammad Zulqarnain Haikal, 11; Muhammad Haziq Ziqree, 6; Putri Aryana Umaira, 4, Putri Nurerina Natasya, 10, dan Putri Balqis Izzati, 18.

  • Kanak-kanak maut jatuh dari tingkat 10 kondominium

    Kanak-kanak maut jatuh dari tingkat 10 kondominium

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat 10 sebuah kondominium di Labuan, awal pagi ini.

    Ketua Polis Labuan Supt Ahmad Jawila berkata mayat kanak-kanak itu ditemukan di tingkat satu oleh penduduk kondominium berkenaan.

    Beliau berkata kanak-kanak itu dipercayai terjatuh kira-kira 5.28 pagi dan kematiannya disahkan oleh pegawai perubatan yang tiba di tempat kejadian pada 7.42 pagi.

    Katanya siasatan awal mendapati kejadian tidak melibatkan unsur jenayah dan kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    “Mayat dihantar ke Hospital Labuan untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi.

  • Dua beradik melecur dalam kebakaran rumah di Pengerang

    Dua beradik melecur dalam kebakaran rumah di Pengerang

    DUA beradik melecur pada bahagian tangan dan badan ketika cuba menyelamatkan diri selepas kediaman mereka di Taman Bayu Damai, Pengerang di Kota Tinggi, terbakar semalam.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai Pegawai Bomba Tinggi II Ezam Mistorerrodin berkata kedua-dua mangsa dikenali sebagai Lim Bee Sing, 59, dan Lim Bee Hea, 70, diberi rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Sungai Rengit di Kota Tinggi untuk rawatan lanjut.

    “Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kebakaran dua rumah jenis struktur kekal yang masing-masing musnah 90 peratus dan 30 peratus serta terdapat dua mangsa termasuk seorang warga emas berada di sebuah rumah.

    Dua buah rumah musnah dalam kebakaran dan mengakibatkan dua lelaki melecur di Taman Bayu Damai, Pengerang, Kota Tinggi, semalam. Foto bomba Johor

    “PKO kemudian bertindak membuat pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dan satu aliran 100 kaki dua pancutan sumber pili bomba berhampiran sehingga api padam sepenuhnya,“ katanya menerusi satu kenyataan malam tadi.

    Terdahulu, Ezam berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.06 tengah hari sebelum 32 anggota dan jentera digegaskan ke tempat kejadian.

    “Bagaimanapun, punca kebakaran dan anggaran kerugian dua rumah yang bersebelahan itu masih dalam siasatan, operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira 1.54 tengah hari,“ katanya sambil menambah, kebakaran di sebuah lagi rumah tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

  • Tragedi kepala air Jeram Putih: Mayat ketujuh dijumpai pagi tadi

    Tragedi kepala air Jeram Putih: Mayat ketujuh dijumpai pagi tadi

    MAYAT seorang lagi mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih di Kemaman, ditemui kira-kira 7.45 pagi tadi.

    Ini menjadikan kesemuanya tujuh mayat telah ditemui setakat ini dan tiga masih hilang, lapor Astro AWANI.

    Mayat dipercayai remaja perempuan itu difahamkan dijumpai di belakang Masjid Dadong.

    Bagaimanapun, identiti mangsa belum disahkan berikutan pengecaman mayat belum dibuat oleh waris dan masih menunggu pengesahan pihak berkuasa.

    Setakat petang semalam, enam mayat telah ditemui dan disahkan waris serta keluarga mangsa.

    Empat mayat ditemukan semalam ialah Karim Abdullah, 39 tahun, Putri Aryana Umaira Karim, 4 tahun, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6 tahun, dan Putri Nurerina Natasya Karim, 10 tahun.

    Kelmarin, media melaporkan 10 mangsa termasuk sembilan sekeluarga dihanyutkan arus deras kepala air sewaktu berkelah di Jeram Air Putih pada Sabtu.

    Dua mayat pertama ditemukan pada Ahad iaitu, Azizah Eiyi, 40 tahun, dan anaknya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11 tahun.

    Semalam, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada pukul 5 petang atas faktor cuaca berikutan kelihatan tanda-tanda akan berlakunya hujan lebat.

    Memasuki hari ketiga, operasi diteruskan pukul 9 pagi ini dengan pencarian masih tertumpu di pecahan tiga sektor A, B dan C di sepanjang Sungai Air Putih, Sungai Teladas dan Sungai Pinang sejauh 35 kilometer dengan kekuatan 168 anggota daripada pelbagai agensi penyelamat.

    Pasukan SAR juga turut menerima penambahan dua ekor lagi anjing pengesan K9 daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

  • Tragedi kepala air bukan berpunca akibat pembalakan – Ahmad Samsuri

    Tragedi kepala air bukan berpunca akibat pembalakan – Ahmad Samsuri

    MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih di Kemaman dipercayai bukan berpunca akibat penerokaan pembalakan baharu di kawasan itu

    Menurut Dr. Ahmad Samsuri, pembalakan yang berlaku di kawasan tersebut adalah aktiviti lama yang dijalankan sebelum ini.

    “insya-Allah, kita akan mengadakan perbincangan secara menyeluruh bukan hanya risiko fenomena kepala air di daerah ini malah melibatkan kawasan lain.

    “Kepala air berlaku apabila hujan lebat berlaku pada waktu singkat dengan tertumpu pada satu kawasan.

    “Kita juga akan melihat kembali keberkesanan notis ditampalkan di sekitar kawasan perkelahan kerana kebiasaan kawasan berkenaan mempunyai papan tanda,” katanya semasa sidang akhbar di Kemaman hari ini.

    Semalam, 10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang datang berkelah di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih pada Sabtu sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.

    Susulan itu, operasi hari kedua mencari dan menyelamat (SAR) lapan lagi mangsa yang masih hilang dalam kejadian kepala air di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih di Kemaman diperluaskan ke tiga zon melibatkan pencarian radius seluas 32 kilometer (KM) persegi.

    Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan menanggung kos penghantaran jenazah mangsa pulang ke kampung halaman.

    “Terima kasih Maidam. Selain itu, kita ada juga bantuan yang akan dibantu sama ada dari segi logistik dan pengangkutan,” katanya, lapor Sinar Harian.