Category: Kemalangan / Bencana

  • Lelaki maut tersepit dalam Myvi

    Lelaki maut tersepit dalam Myvi

    SEORANG lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Kuantan-Segamat, berhampiran Pekan, awal pagi tadi.

    Kemalangan pada pukul 1.27 pagi itu mengakibatkan mangsa tersepit dalam kereta jenis Perodua Myvi dipandu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu treler dilaporkan selamat.

    Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, susulan kejadian, enam anggota termasuk seorang pegawai bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chini ke lokasi untuk operasi menyelamat.

    “Operasi turut dibantu enam anggota bomba dari BBP Muadzam Shah. Anggota yang tiba di lokasi kejadian bertindak mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan menyelamat.

    “Mangsa berjaya dikeluarkan bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian.

    Zulfadli berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

  • Penduduk Kunak rasai gegaran gempa bumi lemah

    Penduduk Kunak rasai gegaran gempa bumi lemah

    PENDUDUK di beberapa kawasan di sini dikejutkan dengan gegaran akibat gempa bumi lemah berukuran 3.2 pada skala Richter yang dikesan berlaku kira-kira 13 kilometer barat daya dari daerah ini pada lewat malam tadi.

    Penduduk Kampung Bagiang Asmah Ali, 30, berkata gegaran pada 11.10 malam itu berlaku dalam beberapa saat sahaja tetapi mendebarkan.

    “Ketika itu, saya mahu tidur tiba-tiba rasa gegaran, rumah rasa bergegar, dengar bunyi atap, dan lepas itu saya terus buka web Jabatan Meteorologi untuk memastikan betul atau tidak ada gegaran atau perasaan saya sahaja, tetapi (web) ketika itu belum ada kemas kini lagi.

    “Saya tanya kakak masa tu, dia pun merasai perkara sama, tetapi mak pula tidak rasa (gegaran) sebab ketika kejadian itu dia sudah tidur,” katanya yang bekerja sebagai peniaga kepada Bernama.

    Bagi penduduk Kampung Getah, Idris Syamsudin, 44, pula beliau terjaga daripada tidur selepas rumahnya tiba-tiba bergegar kuat selama beberapa saat.

    “Saya sudah tidur, bila rasa gegaran tu, terus terbangun,” kata kontraktor itu.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kunak Mohamad Omarbatha berkata pihaknya tidak menerima sebarang panggilan kecemasan berkaitan kejadian gempa bumi lemah itu.

    Meskipun begitu, beliau berkata pihak bomba sentiasa mengambil langkah keselamatan dengan menjalankan rondaan pagi ini di kawasan pekan serta sasaran utama seperti di kawasan bangunan tinggi.

    “Gegaran semalam turut dirasai di kawasan balai bomba,” katanya.

    Menurut laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), pusat gempa itu berlaku di koordinat 4.6 darjah utara dan 118.2 darjah timur dengan jarak 13 kilometer barat daya dari Kunak, pada 11.10 malam.

  • Penduduk mula sediakan bot, rak tinggi sebagai persediaan hadapi banjir

    Penduduk mula sediakan bot, rak tinggi sebagai persediaan hadapi banjir

    LEBIH 100 keluarga di Kampung Padang Kijang, di Tanah Merah mula melakukan persediaan seperti menyediakan bot serta menyiapkan rak khas yang tinggi bagi menyimpan barangan mereka apabila berdepan dengan banjir semasa musim tengkujuh nanti.

    Penyelia pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Padang Kijang Mazlan Ashaari, 58, berkata kawasan kampung itu antara ‘hotspot’ banjir justeru penduduk sudah mula mengambil inisiatif membuat persiapan awal.

    “Kampung ini antara kawasan banjir apabila musim tengkujuh, malah kami perlu berpindah tiga atau empat kali ke PPS atau rumah saudara-mara dalam tempoh berkenaan.

    “Sebagai persediaan, penduduk sudah mula menyediakan bot peribadi, malah ada yang membuat stor khas (rak tinggi) bagi menyimpan barangan penting daripada ditenggelami air banjir nanti,” katanya ketika ditemui Bernama, di Tanah Merah, hari ini.

    Mazlan berkata kebiasaannya, paras air sungai di kampung itu boleh mencecah 14 meter seterusnya mengakibatkan banjir yang memaksa penduduk segera berpindah.

    “Keadaan kampung akan berubah seperti sebuah pulau apabila banjir kerana jalan perhubungan utama ditenggelami air sepanjang 800 meter dan sedalam dua meter,” katanya.

    Bagi Lokman Zakaria, 53, mengambil kira pengalaman menghadapi banjir sebelum ini, beliau mengambil inisiatif membina rak khas di dalam rumah untuk menyimpan barangan penting.

    “Saya bina rak khas setinggi dua meter bagi menyelamatkan barangan kerana paras banjir di kawasan ini biasanya antara satu hingga dua meter.

    “Walaupun sudah terbiasa dengan kejadian banjir, saya tetap membuat persiapan bagi mengelak lebih banyak barangan mengalami kerosakan,” katanya.

    Mat Suhaimi Abdullah, 50, berkata beliau menyediakan sebuah bot fiber di rumahnya yang terletak hanya 100 meter dari sungai kampung itu.

    “Bot ini memudahkan kami sekeluarga berpindah kerana kami akan berpindah sebanyak tiga atau empat kali ke PPS sebelum musim tengkujuh berakhir,” katanya.

  • Treler terbalik, sesak kira-kira 4KM selepas Terowong Menora

    Treler terbalik, sesak kira-kira 4KM selepas Terowong Menora

    SEBUAH treler membawa muatan kayu terbalik di KM265 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Ipoh hari ini.

    Menurut laman Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), insiden itu menyebabkan kesesakan trafik sejauh 4.2 kilometer sehingga menyebabkan kesemua lorong terhalang.

    “Semua lorong masih terhalang, trafik terhenti dan sesak sebelum masuk ke Terowong Menora ke Ipoh Utara.

    “Pengguna dinasihatkan menggunakan laluan alternatif dengan melalui susur keluar ke Kuala Kangsar,” menurut LLM.

    Kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan di lokasi kejadian.

    Tular beberapa gambar dan video menunjukkan lori berkenaan terbalik dengan serpihan papan berselerak atas jalan raya sehingga menyebabkan laluan terhalang.

    Pengguna jalan raya yang berada di lokasi kejadian turut berkongsi video dan gambar mengenai kejadian tersebut menerusi media sosial.

  • Banjir melanda Johor Bahru, satu PPS dibuka

    Banjir melanda Johor Bahru, satu PPS dibuka

    HUJAN lebat lebih dua jam pada 7 malam tadi menyebabkan satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Johor melibatkan daerah Johor Bahru.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam kenyataan memaklumkan setakat 8 pagi ini, seramai 17 mangsa daripada tiga keluarga dipindahkah ke PPS selepas rumah mereka dinaiki air.

    “Kesemua mangsa dari Kampung Paya Kenangan di sini ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara yang dibuka pada 10.30 malam tadi,” menurut kenyataan itu.

    Menurut JPBD, paras air Sungai Skudai, Kampung Pasir di sini menunjukkan bacaan 0.3 m iaitu paras waspada selain cuaca di Mersing dan Kota Tinggi dilaporkan hujan, manakala lapan daerah lain mendung hari ini. 

  • Anak usia 2 tahun maut, bapa parah selepas kereta dipandu langgar lori

    Anak usia 2 tahun maut, bapa parah selepas kereta dipandu langgar lori

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut selepas kereta yang dinaiki bersama bapanya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Besar Rancangan Tanah Baharu, Bukit Changgang, Kuala Langat, pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, mangsa Muhammad Niyaz Mohd. Nizam berusia 2 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi manakala bapanya Mohd. Nizam Muhammad Zainon, 39 tahun cedera parah akibat kemalangan.

    Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada pukul 10.58 pagi dan mengerahkan sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Banting ke lokasi.

    “Bomba tiba 18 minit kemudian dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Kelisa yang melanggar lori 3 tan berhampiran persimpangan lampu isyarat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Tambahnya, seorang lelaki telah tersepit di tempat duduk pemandu manakala anaknya dipercayai telah tercampak ke ruang belakang kereta.

    Norazam berkata, mangsa yang tersepit telah dikeluarkan oleh pihaknya sebelum dihantar ke Hospital Banting bagi menerima rawatan.

    “Sementara mayat kanak-kanak tersebut diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut,” ujarnya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@ Saleh berkata, ketika kejadian mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Bukit Changgang ke Taman Langat Murni.

    Beliau berkata, sampai di lokasi kejadian, pemandu lori yang berada di hadapan kenderaan mangsa berhenti selepas lampu isyarat bertukar merah.

    “Pemandu kereta telah membrek dan mengelak ke kanan, tetapi terlanggar bucu belakang lori kerana jarak yang terlalu dekat,” ujarnya seperti dilaporkan UtusanTV.

    Akibat kemalangan itu, anak pemandu yang berada di hadapan maut selepas terhentak di papan pemuka manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Jelasnya, mayat kanak-kanak tersebut telah dibawa ke Bilik Mayat Hospital Banting bagi tujuan bedah siasat dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sehubungan itu, saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspekto Fatin Husna Khairuzzaman di talian 017 3012621 atau 03-31872222 bagi membantu siasatan.

  • Ibu, bayi maut kemalangan dua kenderaan

    Ibu, bayi maut kemalangan dua kenderaan

    IBU dan bayinya maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan yang bertembung di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di Ipoh, tengah hari tadi.

    Wanita berusia 23 tahun dan bayinya berusia tiga bulan yang menaiki kereta Perodua Myvi disahkan maut di lokasi kejadian.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan berhubung kejadian pada pukul 12.46 tengah hari sebelum anggota bergegas ke lokasi.

    “Kemalangan membabitkan kereta Perodua Myvi dan Mercedes Benz yang bertembung.

    “Terdapat tiga mangsa di dalam Perodua Myvi, seorang lelaki berusia 23 tahun cedera parah tersepit di bahagian pemandu, manakala dua mangsa lagi disahkan maut di lokasi kejadian oleh kakitangan perubatan yang tiba,” katanya dalam laporan Harian Metro.

    Jurucakap itu berkata, seorang mangsa lelaki dari kereta Mercedes Benz mengalami cedera ringan.

    Katanya, anggota bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas dan anggota (EMRS) memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera sebelum diserahkan kepada pihak kesihatan.

    “Manakala mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    “Keseluruhan operasi tamat pada pukul 2.54 petang,” katanya.

  • Lelaki rentung dalam Perodua Kancil

    Lelaki rentung dalam Perodua Kancil

    SEORANG lelaki ditemui rentung di dalam sebuah kereta di Jalan BK 5/1 Bandar Kinrara, malam tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.35 malam.

    Beliau berkata, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

    “Bomba tiba sembilan minit kemudian dan mendapati sebuah kereta jenis Perodua Kancil terbakar sepenuhnya dan terdapat seorang mangsa disyaki berbangsa Cina rentung di tempat duduk pemandu,” katanya dalam satu kenyataan awal pagi tadi, lapor Utusan TV.

    Jelasnya, pihak bomba bertindak melakukan pemadam dengan menggunakan hos bomba.

  • 43 rumah hangus, 200 penduduk di Kudat hilang tempat tinggal

    43 rumah hangus, 200 penduduk di Kudat hilang tempat tinggal

    KIRA-KIRA 200 penduduk Kampung Tanjung Kapur di Kudat hilang tempat tinggal selepas 43 rumah jenis tidak kekal hangus dalam kebakaran awal pagi ini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah berkata 21 anggota bersama tiga jentera memadam kebakaran bergegas ke tempat kejadian selepas pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran itu pada pukul 2.28 pagi.

    “Pemadaman dijalankan menggunakan dua saluran daripada sumber air pili bomba. Kebakaran dapat dikawal pada pukul 4.21 pagi sebelum operasi ditamatkan pada 6.43 pagi ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Operasi oleh abggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat dan BBP Kota Marudu itu turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam, Pasukan Bomba Sukarela Kampung Air dan Sabah Electricity Sdn Bhd.

    Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, manakala jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

  • Lelaki autistik hilang, SAR gagal menemui sebarang petunjuk

    Lelaki autistik hilang, SAR gagal menemui sebarang petunjuk

    SEORANG lelaki autistik yang hilang sejak minggu lepas di sekitar hutan Gunung Bajo di Lundu, Sarawak, masih lagi tidak ditemukan.

    Operasik mencari dan menyelamat (SAR) individu yang dikenal pasti sebagai IIyas IIIyasa Bujang masih lagi dilakukan sehingga kini.

    Puluhan anggota beruniform serta penduduk kampung digerakkan di sekitar hutan berkenaan bagi mengesan mangsa yang berusia 21 tahun.

    Ketua Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Henderi Ardimansyah berkata, SAR dilakukan secara bersepadu melibatkan anggota Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam.

    “Tumpuan adalah di kawasan tiga kilometer persegi, dengan pasukan polis turut menggunakan khidmat anjing pengesan K9 dan dron.

    “Bagaimanapun sehingga pukul 6 petang semalam, pasukan SAR masih gagal menemui sebarang petunjuk, katanya, lapor Astro Awani.

    Terdahulu, bomba pada pukul 10.09 malam Rabu lalu telah dimaklumkan tentang kehilangan Illias, di sekitar kawasan tersebut.

    Kata Henderi, pencarian pada hari Ahad dilakukan oleh sembilan kumpulan pencari, termasuk sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am.