Category: Kemalangan / Bencana

  • Banjir Langkawi: 37 orang dipindahkan ke PPS

    Banjir Langkawi: 37 orang dipindahkan ke PPS

    SERAMAI 37 orang daripada 10 keluarga dari Kampung Atas di Mukim Padang Mat Sirat di sini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Syifa, malam ini, berikutan banjir akibat hujan sejak jam 4 pagi tadi.

    Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi, Kapt (PA) Ahmad Shahfikri Darus ,berkata PPS berkenaan dibuka lebih kurang pukul 8 malam ini bagi menempatkan kesemua mangsa banjir itu.

    “Air mula naik sehingga memasuki rumah penduduk kampung ini sekitar pukul 6 petang tadi. Terdapat kawasan di beberapa mukim di daerah ini terjejas dengan banjir seperti Mukim Ayer Hangat dan Kuah namun setakat ini tiada PPS dibuka di mukim berkenaan berikutan air telah surut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Ahmad Shahfikri berkata pihaknya akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa paras air sungai utama serta memantau kawasan yang berpotensi untuk banjir.

    Tinjauan Bernama pada malam ini mendapati air Sungai Melaka di sini mengalir deras dan melimpah ke rumah penduduk sekitar Kampung Atas serta Pasar Awam Padang Mat Sirat di Mukim Padang Mat Sirat.

    Sementara itu, lapan rumah di Kampung Sungai Bongkok di Mukim Gurun, daerah Kuala Muda turut terjejas dengan banjir kira-kira pukul 5 petang tadi berikutan hujan lebat selama tempoh melebihi tiga jam namun tiada PPS dibuka berikutan air telah pun surut. – BERNAMA

  • Nurul Nazihah sempat capai hasrat tunai umrah

    Nurul Nazihah sempat capai hasrat tunai umrah

    NURUL Nazihah Kamalul Arifin yang maut dalam kemalangan di Kilometer 45.7 Lebuh Raya Utara Selatan malam tadi, baru kembali daripada menunaikan umrah bersama suami dan ibu bapanya minggu lepas.

    Bapa Allahyarham, Kamalul Arifin Ahmad, 66, yang masih terkejut dengan pemergian anak keempatnya itu, berkata arwah merancang untuk turut pergi menunaikan ibadah itu setelah mengetahui hasratnya dan isteri Saliah Hood, 56, yang mahu ke Tanah Suci.

    “Rasanya empat hingga lima bulan juga dia dan ibunya merancang serta menguruskan perjalanan umrah kami. Baru kini kami dapat pergi memandangkan arwah pun baru tiga tahun bekerja di sebuah kilang di Pasir Gudang. 

    “Alhamdulillah impian dia nak pergi umrah tercapai. Ketika di Tanah Suci, arwah dan suaminya paling muda jadi merekalah yang banyak membantu kami semua. Dia pun ke Tanah Suci sebagai ikhtiar dan berdoa untuk dapatkan zuriat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lukut, dekat sini hari ini.

    Menurutnya lagi Nurul Nazihah, 28, baru sahaja kembali bekerja dua hari lepas dan ada memaklumkan untuk balik ke rumahnya (Kamalul) minggu depan. 

    Kamalul berkata meskipun sedih dengan pemergiaan anaknya itu, dia reda apatah lagi apabila diberitahu jasad anaknya ditemui sempurna, seolah-olah sedang duduk antara dua sujud.

    “Apabila dimaklumkan oleh ahli keluarga bahawa keadaan jasad arwah masih sempurna, saya rasa syukur dan yakin ini mungkin berkat amalannya ketika hidup yang sangat tegas dalam bab agama,” katanya sambil menyifatkan anaknya itu seorang yang ceria dan penyayang.

    Sementara itu, sepupu kepada suami mangsa, Nurizzah Atikah Jamaluddin, 28, berkata suami mangsa, Redzuan Jamil masih trauma dengan kejadian yang berlaku sehingga mengigau bertanya tentang isterinya malam tadi.

    Katanya sepupunya itu ada bercerita bahawa ketika kejadian dia berusaha menyelamatkan Nurul Nazihah atau lebih mesra dipanggil Azi, yang tersepit tetapi gagal sehingga orang awam bertindak menyelamatkan Redzuan melalui pintu belakang kereta.

    “Saya memang tak sangka sebab Azi seorang yang periang, kelakar dan suka ambil gambar atau video” katanya.

    Terdahulu, tinjauan Bernama di rumah keluarga mangsa di Kampung Lukut mendapati ia dipenuhi dengan ahli keluarga, sahabat handai dan jiran yang menunggu ketibaan jenazah Allahyarham dalam suasana hiba. 

    Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temenin Lama, dekat sini sebaik sahaja jenazah tiba dan disembahyangkan.

    Terdahulu, dua individu dilaporkan rentung manakala empat terselamat dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan berdekatan Sedenak pada 7.47 malam tadi.

    Nurul Nazihah ditemukan tersepit dalam Proton Wira manakala seorang lagi adalah mangsa dalam Toyota Vios tetapi belum dikenal pasti identitinya. – BERNAMA

  • Kereta rempuh kedai runcit: Remaja maut, tiga lagi selamat

    Kereta rempuh kedai runcit: Remaja maut, tiga lagi selamat

    REMAJA lelaki maut manakala tiga lagi selamat selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan merempuh kedai runcit di Kampung Morak di Tumpat, awal pagi tadi.

    Dalam kejadian 1.30 pagi itu, remaja berkenaan yang juga penumpang kereta berusia 19 tahun meninggal dunia di lokasi kerana tersepit.

    Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah dalam satu kenyataan berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika Proton Saga itu yang dipandu remaja berusia 17 tahun dalam perjalanan dari Kampung Semat Jal menghala ke Kampung Kebakat.

    Katanya, kenderaan dipercayai hilang kawalan ketika pemandu menukar gear apabila menghampiri bonggol dan ia meluru laju hingga terbabas ke kiri jalan serta melanggar kedai runcit.

    “Akibatnya empat mangsa berusia 15 hingga 19 tahun tersepit dan saksi mendakwa sempat melihat seorang penumpang keluar dari kereta itu dan melarikan diri,” katanya, lapor Harian Metro.

    Amran berkata, mangsa yang maut dihantar ke Hospital Tumpat untuk dibedah siasat, manakala tiga yang cedera dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk rawatan lanjut.

    Sementara itu, pemilik kedai runcit yang enggan dikenali berkata, dia baru hendak tidur apabila terdengar bunyi kuat dari luar rumah.

    “Hati sudah terdetik mengatakan berlaku kemalangan, namun tidak menyangka ia membabitkan kedai runcit saya yang terletak di sebelah rumah.

    “Alangkah terkejut saya apabila melihat kereta merempuh sebahagian kedai dan terperosok masuk ke dalam,” katanya yang memberitahu segera menghubungi pihak berkuasa bagi memaklumkan kejadian itu.

    Katanya, dia menganggarkan kerugian berjumlah RM80,000 akibat insiden itu kerana turut merosakkan mesin memproses santan, peti ais dan mesin air bertapis.

  • Awak keluar dulu, ungkapan terakhir isteri kepada suami

    Awak keluar dulu, ungkapan terakhir isteri kepada suami

    “Awak keluar dulu,” itu ungkapan terakhir Nurul Nazihah Kamalul Arifin kepada suaminya sejurus kemalangan di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Sedenak, malam tadi.

    Redzuan Jamil, 28, berkata, dia yang berjaya ditarik keluar orang ramai melalui tingkap bahagian penumpang belakang itu kemudian cuba menyelamatkan isterinya.

    “Namun cubaan saya menyelamatkan isteri dengan memecahkan cermin hadapan kereta dan pintu penumpang hadapan tidak berjaya malah isteri tersepit di tempat duduk hadapan.

    “Ketika itu tangki minyak kereta tiba-tiba meletup menyebabkan orang ramai menarik saya kerana api terlalu marak.

    “Walaupun api marak namun saya tidak merasa bahang panas api malah isteri juga tidak memanggil nama saya apatah lagi meraung selepas dia meminta saya keluar menyelamatkan diri dahulu,” katanya, lapor Harian Metro.

    Malam tadi tular video menyayat hati seorang suami yang menjerit dan merintih memaklumkan isterinya berada di dalam kenderaan yang sedang marak terbakar.

    Video berdurasi satu minit 37 saat itu memperlihatkan lelaki itu memanggil isterinya dan menyatakan tidak akan meninggalkan isterinya.

    Dalam kemalangan ngeri kira-kira pukul 7.45 malam tadi itu, dua individu maut dalam kenderaan yang marak terbakar selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan babitkan lima kenderaan di lebuh raya berkenaan.

    Identiti seorang lagi mangsa yang maut dari kereta berasingan masih belum dapat dikenal pasti.

    Redzuan yang mengalami kesan melecur di muka ketika menceritakan detik-detik kemalangan berlaku berkata, semuanya bermula selepas berlaku kesesakan di lebuh raya berikutan kemalangan yang berlaku berhampiran kawasan itu.

    “Ketika itu semua kenderaan berhenti kerana berlaku kesesakan. Namun tiba-tiba berlaku impak rempuhan dari belakang yang menyebabkan kereta saya serta dua lagi dilanggar dengan kuat.

    “Selepas beberapa ketika barulah saya menyedari sebuah lori lima tan merempuh kereta dinaiki kami sebelum orang ramai menarik saya keluar dari kereta,” katanya.

    Redzuan yang juga ejen insurans berkata, ketika kejadian malang itu, dia dan isterinya baru selesai bertemu pelanggan di Kluang.

    Katanya, beliau dan isteri dalam perjalanan ke Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri bagi menyaksikan JDT menentang Sabah FC.

    “Namun saya tidak menyangka insiden memilukan ini pula menimpa kami,” katanya.

    Redzuan berkata, dia sering membawa isterinya ke mana sahaja termasuk ketika urusan bertemu pelanggan.

    “Kami memang akan berdua ke mana sahaja sejak berkahwin tiga tahun lalu termasuk atas urusan kerja.

    “Saya tidak menyangka isteri akhirnya pergi dengan cara begini,” katanya tidak dapat menahan sebak.

  • Kepala air: 40 terperangkap di Air Terjun Telaga Tujuh

    Kepala air: 40 terperangkap di Air Terjun Telaga Tujuh

    Oleh BADLISHAH MAT

    SERAMAI 40 pendaki yang berkunjung ke kawasan rekreasi Air Terjun Telaga Tujuh, di Langkawi dilaporkan terperangkap dalam kejadian kepala air yang mengakibatkan arus deras susulan hujan lebat pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan melalui MERS 999 mengenai kejadian itu pada pukul 10.16 pagi ini.

    “PGO mengarahkan sebuah jentera K1-31 dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), serta sebuah RRV ke lokasi kejadian.

    “Pasukan Keluaran Operasi membuat ikatan tali bagi menyeberangi sungai bagi membolehkan anggota penyelamat bergerak ke lokasi mangsa terperangkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jelasnya, mangsa dipercayai berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari memaklumkan, 15 daripada mereka telah berjaya diselamatkan setakat ini.

    Sehingga kini, kerja-kerja menyelamat masih giat dilakukan.

  • Nahas 2 rentung: Nana Mahazan kongsi rakaman video, doakan mangsa

    Nahas 2 rentung: Nana Mahazan kongsi rakaman video, doakan mangsa

    PENGACARA Nana Mahazan sempat merakamkan kemalangan ngeri membabitkan lima kenderaan di Kilometer 45, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, sebelum simpang Sedenak, Kulai, Johor, malam tadi.

    Nana menerusi perkongsian TikTok menyatakan, dia ketika kejadian dalam perjalanan menuju utara bersama rakannya dan terkejut melihat sebuah kenderaan dipercayai lori, dijilat api dalam nahas itu.

    “Ya Allah… Astaghfirullahalazim. Berlanggarkah? Ada lori… Macam mana kereta hendak lalu?

    “Ya Allah, semua kerata tidak bergerak,” kata Nana seperti yang didengar dalam rakaman video itu.

    Bekas peserta musim pertama program realiti (AF) Akademi Fantasia ini menulis:”Lebuh raya menghala Johor Bahru sebelum Sedenak. Astaghfirullahalazim…. Semoga semua terbabit selamat,” katanya sambil disertakan emoji sedih.

    Sebelum itu, video kejadian tersebut berdurasi satu minit 37 saat yang menunjukkan jeritan pilu seorang lelaki yang menyatakan dia tidak akan meninggalkan isterinya yang terperangkap dalam sebuah kereta marak terbakar.

    Lelaki itu dirakam ditenangkan oleh pengguna jalan raya lain dan dibawa ke kawasan lebih jauh berikutan api marak.

    Menurut polis, kemalangan yang mengakibatkan dua individu rentung di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan, di Kulai disyaki berlaku apabila sebuah lori dari arah Ayer Hitam ke Johor Bahru menukar ke lorong kiri kerana kesesakan lebuh raya.

  • Nahas 2 rentung: Lori dipercayai tukar lorong ke kiri ketika jalan sesak

    Nahas 2 rentung: Lori dipercayai tukar lorong ke kiri ketika jalan sesak

    KEMALANGAN yang mengakibatkan dua individu rentung di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan, di Kulai, malam tadi, disyaki berlaku apabila sebuah lori dari arah Ayer Hitam ke Johor Bahru menukar ke lorong kiri kerana kesesakan lebuh raya.

    Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Tok Beng Yeow berkata, kemalangan membabitkan tiga kereta dan dua lori.

    Katanya, siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan disyaki berlaku apabila lori Renault dari arah Ayer Hitam menghala ke Johor Bahru, melalui lokasi berkenaan.

    “Pemandu lori lelaki berusia 38 tahun memandu di lorong kiri kerana kesesakan jalan.

    “Pada masa sama, Proton Preve yang dipandu lelaki berusia 43 tahun dari arah sama dan gagal mengelak lalu melanggar lori itu, dari arah belakang.

    “Proton Wira dari arah sama cuba mengelak dan melanggar Proton Preve, lalu berpusing. Kenderaan keempat iaitu sebuah kereta yang tidak dikenal pasti juga datang dari arah sama melanggar Proton Wira.

    “Kemudian lori Isuzu melanggar Proton Wira dan kenderaan keempat.

    “Pelanggaran itu menyebabkan kebakaran. Keadaan jalan gelap dan tidak berlampu,” katanya hari ini, lapor Harian Metro.

    Mengulas lanjut Tok memberitahu, akibat daripada kemalangan itu, seorang penumpang Proton Wira maut terbakar di lokasi kejadian.

    Katanya, kenderaan keempat juga terdapat seorang mangsa maut yang belum dikenal pasti identitinya.

    “Kedua mangsa parah di bahagian badan dan kepala kerana kebakaran, serta meninggal dunia di tempat kemalangan.

    “Setakat ini, tiada tangkapan dibuat, namun siasatan masih berjalan.

    “Semua kenderaan terbabit akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Senai, manakala pihak berkuasa masih berusaha mengesan nombor casis dan nombor enjin kenderaan keempat,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Dua rentung nahas empat kenderaan di Kulai

    Dua rentung nahas empat kenderaan di Kulai

    BUKAN satu, tetapi dua mangsa rentung nahas empat kenderaan di Kulai malam tadi.

    Itu angka korban sebenar dalam kemalangan ngeri di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan di Kulai dengan kedua-dua mangsa maut rentung di lokasi kejadian.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Mohd Fauzi Md Nor berkata, mangsa yang maut ialah penumpang Proton Wira iaitu Nurul Nazihah Kamalul Arifin, 28.

    Katanya, seorang lagi mangsa yang maklumatnya tidak diketahui berada dalam Toyota Vios yang turut terbabit dalam kemalangan itu.

    “Kemalangan membabitkan empat kenderaan dan enam mangsa iaitu dua maut, manakala empat selamat.

    “Pihak kami menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 7.47 malam. Kemalangan membabitkan lori jenis Isuzu yang terbakar 70 peratus, Proton Wira dan Toyota Vios masing-masing 90 peratus, dan Proton Preve.

    “Terdapat seorang mangsa di bahagian tempat duduk penumpang kereta Proton Wira yang tersepit dan ditemui rentung manakala pemandu berjaya menyelamatkan diri.

    “Seorang lagi mangsa ditemui rentung dalam kereta Toyota Vios. Dua mangsa yang menaiki lori Isuzu dikenali sebagai S.Suresh, 38 dan Mok You Jian, 22, selamat dan tidak mengalami kecederaan.

    “Pemandu Proton Preve, Bunayami Yahya, 43 juga selamat,” katanya dalam kenyataan malam tadi, lapor Harian Metro.

    Mohd Fauzi berkata, ketika ini, operasi pemadaman masih berjalan yang dilakukan 18 anggota dari BBP Renggam, BBP Kulai dan BBP Ayer Hitam.

    Sejak malam tadi, tular rakaman video menyayat hati memaparkan seorang lelaki meraung sambil memaklumkan isterinya berada di dalam kereta yang terbakar dan menyatakan tidak akan meninggalkan isterinya.

  • Peserta BOTK terbunuh ketika perlumbaan, kereta terbabas

    Peserta BOTK terbunuh ketika perlumbaan, kereta terbabas

    PERLUMBAAN Battle of The King (BOTK) 2022 yang berlangsung di Litar Perlumbaan Terengganu, Gong Badak, Kuala Terengganu dihentikan serta-merta, selepas seorang pesertanya maut ketika perlumbaan.

    Kejadian itu dimaklumkan oleh penganjur BOTK 2022, MUSC Motorsport menerusi laman sosial Facebook rasminya.

    Menurut penganjur, siri perlumbaan yang sepatutnya berakhir esok ditamatkan serta-merta hari ini dan akan ditangguhkan ke suatu tarikh lain, bagi menghormati mangsa dan keluarga.

    “MUSC mengucapkan salam takziah kepada Apeh Jamal dan keluarga. Sebagai penghormatan, pihak pengurusan, semua rakan program dan pasukan drag, mengambil keputusan untuk menangguhkan acara BOTK 2022 ini ke suatu tarikh lain yg akan ditentukan kelak,” kata kenyataan itu.

    Dilaporkan seorang pelumba drag Apeh Jamal atau nama sebenarnya Muhamad Hafez Jamal Jamaludin, maut sewaktu menyertai perlumbaan drag BOTK 2022.

    Mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas kereta lumba yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas.

    Sementara abang Allahyarham yang juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia, Muammar Ghadafi Jamal memberitahu pemberita, Allahyarham pernah melahirkan kerisauan mengenai nasib dua anaknya jika dia meninggal.

    Muammar Ghadafi berkata, arwah pernah berkongsi video keakrabannya dengan dua anak, masing-masing berusia tujuh dan 11 tahun menerusi laman sosial Facebook.

    “Katanya ‘macam mana dengan anak, siapa akan jaga’ kalau dia mati. Tak sangka pula apa yang diucapkan itu jadi kenyataan hari ini,” katanya.

    Muammar Ghadafi Jamal yang ditemui media di luar Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) berkata beliau menerima berita kemalangan itu daripada rakan sepasukan arwah sebelum bergegas ke Kuala Terengganu menerusi penerbangan dan tiba jam 5.30 petang.

    “Pada awalnya, tak terfikir kemalangan itu sehingga menyebabkan kematian kerana penganjuran acara seperti ini dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang mencukupi. Namun, sudah ajalnya, kami reda. Memang sedih kerana kematiannya tidak disangka-sangka, tetapi apa yang berlaku adalah takdir dan ketentuan Ilahi dan terima dengan tabah,” katanya

    Beliau berkata, kali terakhir bertemu adiknya yang juga pengusaha restoran di Ipoh, Perak adalah pada Khamis lalu, iaitu hari arwah bertolak ke Terengganu bagi menyertai acara berkenaan.

    “Arwah adiknya sangat aktif (dalam sukan permotoran), sudah lebih 20 tahun berkecimpung sebaik sebaik tamat persekolahan Tingkatan Lima. Bukan sahaja sebagai peserta, dia juga terlibat dalam penganjuran sukan berkenaan di sekitar Perak,” katanya.

    Allahyarham yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik turut meninggalkan isteri, Norhasyimah, 37.

    Jenazah akan dibawa pulang ke Perak sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam (TPI) Meru Raya, awal pagi esok.

  • Pemandu Bezza cedera dalam kemalangan 4 kenderaan di Tambak Johor

    Pemandu Bezza cedera dalam kemalangan 4 kenderaan di Tambak Johor

    SEORANG pemandu Perodua Bezza cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di laluan Tambak Johor-Singapura, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kemalangan melibatkan sebuah lori, sebuah treler, dan dua buah kereta jenis Toyota Mark X dan Perodua Bezza.

    Beliau berkata, dalam kejadian pukul 9.07 pagi itu, sebuah lori muatan pasir dari arah Bangunan Sultan Iskandar ke Singapura telah hilang kawalan lalu melanggar Toyota Mark X.

    “Akibat kejadian itu, Toyota Mark X kemudian merempuh sebuah treler lalu menyebabkan treler terdorong ke hadapan dan melanggar Perodua Bezza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jelasnya, ekoran kejadian tersebut, pemandu Perodua Bezza telah tersepit dan berjaya dibawa keluar oleh pihak bomba.

    “Mangsa mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi menerima rawatan manakala pemandu kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.

    Tambahnya, semua kenderaan yang terlibat didaftarkan di Malaysia dan mangsa adalah warganegara tempatan.

    Katanya, kes kini disiasat dibawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Hafiz Jaafar Mad Arif di talian 017-5919208.