Category: Kemalangan / Bencana

  • Laluan keluar dinaiki air, 30 kru filem terperangkap di Gua Tempurung

    Laluan keluar dinaiki air, 30 kru filem terperangkap di Gua Tempurung

    SEKURANG-kurangnya 30 individu dilaporkan terperangkap dalam Gua Tempurung dekat Kampung Gunung Mesah dekat Gopeng selepas laluan keluar gua itu dinaiki air disebabkan hujan lebat, hari ini.

    Maklumat awal memaklumkan, kesemua mereka merupakan kru penggambaran filem yang sedang menjalankan aktiviti penggambaran di kawasan itu.

    Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

    Menurutnya, kejadian berlaku disebabkan air naik mendadak di laluan keluar gua berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak pukul 3 petang.

    “Pihak bomba telah dimaklumkan akan kejadian itu dan pasukan itu bersama polis telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, panggilan kecemasan berhubung kejadian diterima Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng pada pukul 4.04 petang.

    BERITA LANJUT MENYUSUL

  • Helikopter bawa lima petugas kesihatan terhempas, tiga cedera

    Helikopter bawa lima petugas kesihatan terhempas, tiga cedera

    TIGA cedera apabila helikopter dinaiki lima anggota pasukan perubatan serta juruterbang terhempas berhampiran Tanah Rata, Cameron Highlands, bersempadan Perak dan Pahang, 1.05 tengah hari tadi.

    Semua mangsa dilaporkan selamat namun mengalami kecederaan susulan pendaratan cemas yang terpaksa dilakukan juruterbang akibat cuaca buruk.

    helikopter jenis Airbus AS 355 F2 itu dikendalikan Layang Layang Aerospace Sdn Bhd,

    Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa menghubungi pasukan keselamatan memaklumkan kejadian dan pasukan penyelamat diatur gerak ke lokasi untuk menyelamatkan mereka.

    Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, kejadian berpunca apabila helikopter dinaiki mereka mengalami masalah akibat cuaca buruk di lokasi sehingga memaksa juruterbangnya mengambil keputusan untuk melakukan pendaratan.

    “Bagaimanapun, difahamkan ketika cuba melakukan pendaratan, helikopter tersebut tersangkut pada pokok di hutan tersebut.

    “Setakat ini maklumat awal yang kami perolehi adalah semua mangsa selamat, hanya mengalami kecederaan namun tidak serius,”katanya, lapor Harian Metro, hari ini.

    Mohd Yusri berkata, kejadian berlaku ketika helikopter yang membawa pasukan perubatan terbabit dalam perjalanan pulang ke Ipoh, Perak daripada Lojing, Kelantan.

    “Lokasi sebenar keberadaan mereka masih belum dapat dipastikan setakat ini namun pasukan penyelamat sudah memulakan operasi mencari dan menyelamatkan semua mangsa,”katanya.

    Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan menerima maklumat berhubung kemalangan udara membabitkan sebuah helikopter jenis Airbus AS 355 F2.

    Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Chester Voo berkata, helikopter berkenaan yang dikendalikan oleh Layang Layang Aerospace Sdn Bhd.

    “Unit mencari dan menyelamat pertama melalui jalan darat sudah digerakkan ke lokasi kejadian 19 minit kemudian dan usaha mencari dan menyelamat masih dijalankan.

    “Siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara,” katanya.

  • Helikopter bawa lima anggota perubatan mendarat cemas di Cameron Highlands

    Helikopter bawa lima anggota perubatan mendarat cemas di Cameron Highlands

    SEBUAH helikopter membawa enam penumpang termasuk lima anggota perubatan membuat pendaratan cemas di sebuah kawasan hutan berhampiran Tanah Rata di Cameron Highlands tengah hari tadi.

    Kesemua mangsa terlibat dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu dilaporkan selamat dengan seorang daripadanya cedera ringan.

    Pesawat mendarat cemas berikutan cuaca buruk.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa berjaya menghubungi pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sementara menunggu diselamatkan.

    “Berrdasarkan maklumat awal, helikopter itu terkandas di dalam hutan susulan pendaratan cemas itu.

    Bagaimanapun kesemua mangsa selamat dengan hanya seorang cedera ringan,” katanya kepada portal The Vibes.

    Tambahnya, kedudukan sebenar helikopter itu sedang ditentukan manakala pasukan SAR sudah dikerah ke lokasi.

    Helikopter itu sedang dalam perjalanan dari Ipoh ke Lojing, Kelantan

  • Penunggang maut dalam kemalangan dua motosikal

    Penunggang maut dalam kemalangan dua motosikal

    SEORANG penunggang maut selepas motosikal yang dinaiki dilanggar oleh sebuah lagu motosikal di Jalan Pulau Carey, Kuala Langat, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@ Saleh berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan membabitkan motosikal jenis Honda Dash dan Yamaha Lagenda pada pukul 9 malam.

    Beliau berkata, mangsa yang menunggang Honda Dash dalam perjalanan dari arah Pulau Carey ke Banting manakala penunggang Yamaha Lagenda dari arah bertentangan.

    “Penunggang Yamaha Lagenda telah masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar motosikal mangsa.

    “Akibat kejadian itu, mangsa berusia 46 tahun cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jelasnya, pembonceng Honda Dash berusia 47 tahun mengalami cedera parah di kepala dan badan manakala penunggang serta pembonceng Yamaha Lagenda masing-masing berusia 23 tahun mengalami cedera di muka dan kaki.

    Ahmad Ridhwan berkata, kesemua mangsa yang terlibat telah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Banting.

    “Kes kini disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya, lapor Utusan TV.

    Saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mazrol Mohd Din di talian 0111-8539115 atau 03-31872222.

  • Suami isteri maut, remaja parah dalam kemalangan

    Suami isteri maut, remaja parah dalam kemalangan

    PASANGAN Suami isteri maut apabila motosikal dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer 32.3 Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu, Lenggong, dekat Kota Tampan, Lenggong, pukul 6.15 petang semalam.

    Mangsa berusia 42 tahun yang juga penunggang motosikal terbabit meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya yang membonceng motosikal itu, 44, meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Lenggong.

    Difahamkan, identiti lelaki itu dikenal pasti sebagai Azranawi Radzi, manakala isterinya dikenali sebagai Rosnah Damha.

    Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, nahas itu turut mengakibatkan seorang remaja lelaki yang parah akibat patah betis kiri dan bahu kanan.

    “Siasatan awal mendapati nahas dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang Azranawi gagal mengelak sebuah kereta yang ingin memasuki jalan utama dari sebuah stesen minyak.

    “Ketika kejadian, suami isteri terbabit dalam perjalanan dari arah Gerik menghala Kuala Kangsar sebelum kereta berkenaan tiba-tiba keluar ke arah jalan utama (Jalan lama Kota Tampan-Lenggong) secara mengejut.

    “Kejadian berlaku apabila kereta itu keluar secara mengejut dari simpang sebuah stesen minyak. Oleh kerana jarak terlalu dekat, motosikal dinaiki pasangan itu tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian sisi belakang sebelah kiri kereta,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, mangsa parah adalah penumpang kereta terbabit iaitu remaja lelaki berusia 14 tahun, manakala pemandu kenderaan terbabit iaitu lelaki berusia 47 tahun tidak mengalami kecederaan.

    Zulkifli berkata, susulan kejadian, pihaknya kini menahan pemandu kereta berkenaan bagi meneruskan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Katanya lagi, bedah siasat mayat akan dijalankan di Unit Forensik Hospital Gerik.

  • Pemandu maut kepala terhentak selepas terjun keluar dari lori

    Pemandu maut kepala terhentak selepas terjun keluar dari lori

    SEORANG lelaki maut akibat cedera di bahagian kepala selepas terjun keluar dari lori yang dipandunya ketika sedang terbabas di Kilometer 56 Jalan Gua Musang-Lojing, di Gua Musang malam tadi.

    Mangsa dikenali sebagai Badrul Hisham Kamaruddin, 24, berasal dari Machang.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata kejadian berlaku kira-kira 9.15 malam ketika mangsa memandu lori yang membawa muatan buah sawit.

    “Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu dipercayai hilang kawalan semasa menuruni bukit. Mangsa yang dikatakan cuba menyelamatkan diri dengan melompat keluar dari kenderaan terbabit dipercayai telah terhentak kepala pada permukaan jalan dan mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sik berkata mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan jenazah telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

    — BERNAMA

  • Dua terbunuh, MPV rempuh tiang MRT

    Dua terbunuh, MPV rempuh tiang MRT

    DUA  lelaki maut, manakala tiga lagi cedera apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki terbabas sebelum merempuh tiang Transit Aliran Massa (MRT), berhampiran Eco Cheras Mall, di Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

    Komander Operasi Bomba Cheras Mohd Rizuan Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 6.42 pagi sebelum tujuh anggota tiba di lokasi kejadian sembilan minit kemudian.

    Beliau berkata, kelima-lima mangsa yang tersepit dalam kenderaan jenis Toyota Innova itu berjaya dikeluarkan pada 7.06 pagi.

    “Pemandu dan penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan, manakala tiga lagi cedera serta berada dalam keadaan separuh sedar,” katanya ketika dihubungi.

    Menurutnya, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menerima rawatan sementara mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    Identiti kesemua mangsa serta punca kemalangan masih dalam siasatan, katanya.

  • Wanita warga emas maut kereta dirempuh lori air batu

    Wanita warga emas maut kereta dirempuh lori air batu

    Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

    SEORANG wanita maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori air batu di Kilometer 47 Jalan Batu Pahat-Mersing, dekat sini Kluang, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Nor berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 1.45 petang melibatkan kereta Proton Waja dan lori berkenaan.

    “Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati Proton Waja dari arah Batu Pahat menghala ke Kluang dan lori pula dari arah bertentangan. Apabila sampai di tempat kejadian, lori itu disyaki hilang kawalan dan masuk laluan Proton Waja.

    “Akibat perlanggaran itu, wanita yang berada di tempat duduk penumpang hadapan Proton Waja, Ungku Zaidah Mansor, 72, berasal dari Mersing meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, pemandu Proton Waja, Md. Yunus Dhal, 70, juga beralamat di Mersing cedera di bahagian kepala dan tangan.

    Beliau memberitahu, pemandu lori, Wong Soon Hing , 61, pula cedera ringan dan seorang kanak-kanak lelaki, Afif Imran Shamsul, 2, yang berada di tempat duduk belakang Proton Waja luka di bawah dagu dan leher.

    Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Fauzi Mohd Nor berkata, sembilan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescua Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Sebaik sampai ke lokasi kemalangan, Ketua Operasi dari BBP Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Mohamad Norhakim Mohamad Nordin mendapati kemalangan melibatkan kereta Proton Waja dan lori berkenaan.

    “Pemeriksaan mendapati tiga mangsa berada dalam kereta Proton Waja manakala seorang lagi ditemui dalam lori berkenaan. Kerja-kerja mengeluarkan mangsa Protan Waja dilakukan menggunakan peralatan khas,” katanya.

    Menurut Mohd Fauzi, semua mangsa yang cedera dihantar menggunakan EMRS dan ambulan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang untuk rawatan.

  • Feri bawa 547 penumpang terkandas di Kuala Kedah

    Feri bawa 547 penumpang terkandas di Kuala Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBUAH feri yang membawa seramai 547 penumpang, terkandas di alur pelayaran Kuala Kedah, berhampiran Jeti Penumpang Kuala Kedah sejak kira-kira pukul 4.15 petang tadi.

    Menurut Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bh., Kapten Baharin Baharom, ketika ini pihaknya masih menanti laporan daripada kapten Feri Bahagia 98 yang terkandas itu.

    Mengikut laporan awal diterimanya, Baharin memaklumkan kejadian itu berlaku ketika air laut berada pada paras 1.7 meter iaitu paras yang masih selamat untuk feri belayar.

    “Kejadian itu boleh disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya feri tidak mengikut laluan asal atau laluan tersebut dihalang oleh kerja-kerja pengerukan laut yang masih berjalan.

    “Kami masih menanti laporan lanjut mengenai kejadian itu,” katanya.

    Feri tersebut yang tersangkut di beting lumpur

    Sementara itu Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 4.55 petang tadi.

    “Laporan awal diterima menyatakan feri tersebut yang tersangkut di beting lumpur,” katanya.

    Dalam pada itu Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak memaklumkan, feri itu terkandas di lokasi kejadian akibat air surut.

    Menurut maklumat ditrima, terdapat beberapa penumpang mengalami sesak nafas dan bantuan perubatan berjaya diberikan terhadap penumpang terlibat.

    Sehingga kini katanya, proses membawa keluar semua penumpang masih giat dijalankan.

  • Wanita cemas lipan bara tumpang tidur bawah bantal

    Wanita cemas lipan bara tumpang tidur bawah bantal

    LENA seorang wanita bertukar cemas selepas seekor lipan bara ditemui menumpang tidur di bawah bantal ketika bangun untuk menyusukan anak.

    Dalam kejadian 5.30 pagi Jumaat lalu, Nursyahieda Zainal Asri, 32, terjaga selepas anak perempuannya, Nashreen Nelissa Hirul Faizi, 11 bulan, menangis kelaparan.

    Katanya yang menetap di Kluang, Johor, ketika bangun dalam samar-samar cahaya lampu bilik, tiba-tiba Nursyahieda merasakan ada sesuatu merayap di belakang badan sehingga ke kepala.

    “Saya berhenti sekejap susukan anak dan melihat sekeliling, tetapi tidak nampak apa-apa.

    “Sekali bila angkat bawah bantal, ada seekor lipan bara bersaiz besar,” ceritanya ketika dihubungi UtusanTV, hari ini.

    Nursyahieda berkata, dalam situasi cemas itu dia terus kejutkan suaminya.

    “Saya minta suami amik gunting, tapi dia nak guna penyepit.

    “Tiba-tiba lipan terlepas sebelum berjaya ditangkap dan suami kemudian membunuhnya,” ujarnya.

    Ceritanya lagi, dia tidak dapat meneruskan tidur dan akhirnya terpaksa duduk di sofa dekat ruang tamu kerana trauma akan kejadian tersebut.

    Malah, Nursyahieda sudah membersihkan kawasan rumahnya namun masih tidak menemui punca dari mana datangnya lipan itu.

    Katanya, ia insiden ini pertama berlaku.

    “Lepas kejadian itu, saya jadi susah nak tidur. Sekejap-sekejap terjaga dan periksa anak-anak serta suami sekiranya ada lagi kewujudan lipan tersebut,” katanya.

    Kejadian tersebut turut dikongsikan dalam laman TikToknya dan sehingga kini ditonton lebih 1.5 juta kali.

    Tinjauan UtusanTV di ruangan komen mendapati rata-rata warganet berkongsi pengalaman yang sama berdepan serangga berbisa itu.

    “Sy baru je kena camni. Tidur depan tv layan movie. Pastu rase bergerak kt leher. Bangun2 besar cmtu lah atas bantal. Dgn baby kt sebelah duk tdur,” kata Fatinsofia7000.

    “Srs dh fobia kena lipan dulu smpai masuk hospital sebab malam tk nampak pegi pijak lipan tu smpai kaki bengkak, smpai jdi fobia dh skrng,” tulis Anis.

    “Jangan mcam tu bang…dia boleh terbang taw..Sya pernah kena dh…nasib Allah lindung Sya elak sikit ja …tkot tngok pun,” komen Nurul Eyda.