Category: Kemalangan / Bencana

  • Pengawal keselamatan warga asing maut tersepit di pagar automatik

    Pengawal keselamatan warga asing maut tersepit di pagar automatik

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pengawal keselamatan maut selepas tersepit di pagar automatik di tempat kerjanya di sebuah kedai perkakasan di Jalan Sri Purnama 5, Johor Bahru, hari ini.

    Kejadian tersebut dilaporkan kepada pihak bomba pada pukul 7.29 petang sebelum empat anggota dan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Mana II Khairul Azhar Abdul Aziz berkata, setibanya di lokasi terdapat seorang mangsa yang tersepit di pagar automatik.

    “Mangsa, Sami Ur Rahman, berusia 29 tahun adalah warganegara Pakistan dan merupakan pekerja keselamatan di premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, pihaknya bertindak membuka pagar automatik tersebut secara manual dengan bantuan pegawai penyelenggara kedai tersebut.

    Katanya, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian sebelul diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Khairul Azhar menambah, operasi tersebut tamat pada pukul 8 malam.

  • Dua pelajar kolej maut dalam nahas dua kenderaan

    Dua pelajar kolej maut dalam nahas dua kenderaan

    DUA pelajar Kolej Universiti Tati (TATIUC) maut dalam nahas jalan raya membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 145 jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Teluk Kalung, pukul 1.37 petang tadi

    Muhammad Ilman Waiz Ahmad Wazi, 18, maut di tempat kejadian manakala Muhammad Amirul Adli Mohd Anuar, 18, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kemaman.

    Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kemalangan membabitan perlanggaran sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dengan Perodua Kancil yang dinaiki tiga penuntut TATIUC.

    “Kemalangan membabitkan lima mangsa iaitu dua pembantu logistic SGC Petrotechnical Inspection (Malaysia) Sdn bhd yang menaiki Toyota Hilux.

    “Sementara kereta kancil dinaiki tiga pelajar TATIUC yang kesemuanya berusia 18 tahun,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Katanya, kedua-dua mangsa yang menaiki Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu Perodua kancil, Muhamad Muttaqin Zainal mengalami kecederaan dan dirawat di wad kecemasan.

    Beliau berkata, punca kejadian masih belum diketahui tetapi hasil siasatan awal mendapati ia berlaku apabila Toyota Hilux gagal mengelak Perodua Kancil yang ketika itu masuk ke simpang kanan jalan secara mengejut.

    “Kereta Kancil dikatakan masuk ke simpang kanan untuk ke Stesen Bas Geliga dan Toyota Hilux dalam perjalanan dari arah Teluk Kalong menghala ke Paka.

    “Akibat jarak terlalu dekat pacuan empat roda tidak sempat mengelak dan melanggar tepat sebelah kira kereta kancil menyebabkan kenderaan itu terseret lebih kurang 21 meter,” katanya.

    Siasatan lanjut berhubung kemalangan ini masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Kebakaran, letupan di Kompleks Bersepadu Pengerang

    Kebakaran, letupan di Kompleks Bersepadu Pengerang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENDUDUK setempat dikejutkan dengan satu letupan dan disusuli dengan kebakaran di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), Pengerang, Kota Tinggi pukul 3.40 petang tadi.

    Menurut PIC dalam satu kenyataan hari ini, anggota Central Emergency and Fire Services Response (CEFS) mereka bertindak pantas memadam kebakaran daripada merebak.

    “Kita dapat memadam kebakaran tersebut sepenuhnya pada pukul 4.50 petang.
    Tiada kemalangan jiwa dan kejadian tidak menjejaskan atau memberi ancaman kepada masyarakat sekitar,” menurut kenyataan berkenaan.

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sebana Cove, Penolong Kanan Penguasa Bomba Masri Ibrahim, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 4.12 petang.

    “Seramai tujuh anggota dengan tiga buah jentera dikejarkan ke tempat kejadian. Kebakaran melibatkan penyambungan pada saluran paip untuk projek N-OSBL.

    “Pemadaman telah dilakukan anggota CEFS sebelum pihak bomba tiba di lokasi dan dapat dikawal pada pukul 4.23 petang,” katanya.

  • Dua sahabat terperangkap kepala air ‘ditemani’ beruang

    Dua sahabat terperangkap kepala air ‘ditemani’ beruang

    Oleh BADLISHAH MAT

    DUA lelaki yang terperangkap akibat kepala air berdepan detik cemas apabila mereka turut ‘ditemani’ sepasang beruang di Bukit Wang Perah, Jitra di Kubang Pasu, malam tadi.

    Kejadian berlaku ketika Badrul Hisham Badri, 50, dan Abdul Halim Ibrahim, 35, terkandas selama 15 jam di lokasi terbabit.

    Badrul Hisham berkata, mereka pada mulanya masuk ke hutan tersebut kira-kira pukul 3 petang untuk menjala ikan sebelum cuaca tiba-tiba berubah.

    “Kira-kira pukul 5 petang kemudian, aliran air bertukar menjadi deras dan kami mengambil keputusan mendaki bukit bagi mendapatkan isyarat telefon untuk meminta bantuan.

    “Apabila sampai ke puncak bukit, kami kemudiannya mensalai anak ikan yang diperolehi untuk mengalas perut. Sesudah mengalas perut, sepasang beruang setinggi saya ke hadir ke kawasan tersebut.

    “Ketika itu kami berlindung di bawah jala yang diletakkan daun-daun di atasnya tanpa bergerak. Pasangan beruang itu berada di kawasan berhampiran sejak pukul 9 malam hingga pukul 1 pagi menyebabkan kami tidak tidur dan berada dalam keadaan berjaga-jaga,” katanya ketika ditemui.

    Menurutnya, mereka bersyukur kerana pasangan beruang terbabit tidak mengapa-apakan mereka.

    Kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan selamat tanpa ada kecederaan

    “Selepas itu apabila melihat keadaan agak tenang, kami membuat keputusan untuk bergerak turun. Dalam perjalanan turun tersebut, saya sekali ternampak beruang terbabit di kawasan sungai.

    “Kami kemudiannya meneruskan perjalanan sebelum ditemui pasukan penyelamat,” katanya.

    Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.50 pagi tadi.  

    “Setibanya di lokasi, kami berpecah kepada dua pasukan untuk melaksanakan kerja-kerja mencari dan menyelamat. Namun keadaan hujan lebat dan berisiko menyebabkan kerja-kerja tersebut ditangguh hingga hari cerah.

    “Alhamdulillah kira-kira pukul 8.20 pagi, kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan selamat tanpa ada kecederaan,” katanya.

  • Juruterbang helikopter terhempas mohon maaf, kongsi detik cemas

    Juruterbang helikopter terhempas mohon maaf, kongsi detik cemas

    JURUTERBANG sebuah helikopter yang terhempas ketika pendaratan cemas di Brinchang, Cameron Highlands semalam bersyukur kerana masih selamat walaupun kejadian itu hampir meragut nyawanya dan lima penumpang lain.

    Menurut Kapten Fedzrol Norazam, 43, kejadian itu bagaimanapun, tidak sedikit pun menggoyahkan perasaannya untuk kembali ‘ke udara’ dengan mengemudi helikopter.

    Namun begitu, di sebalik perasaan itu, bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, dia tetap mahu memohon maaf atas nahas udara yang berlaku itu.

    “Saya ingin memohon maaf atas apa yang telah terjadi. Walaupun ini ketentuan Tuhan, mungkin ia juga terjadi akibat kesilapan saya.

    “Kita tak tahu bagaimana ia boleh terjadi. Namun apa yang penting, semua berada dalam keadaan selamat,” katanya, lapor Astro Awani di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, hari ini.

    Terdahulu Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut menziarahi beliau dan lima mangsa lain yang terlibat dalam nahas helikopter di Brinchang pada tengah hari semalam.

    Dalam pada itu, Fedzrol turut menceritakan detik-detik cemas sebelum helikopter yang dikemudikan itu terpaksa membuat pendaratan cemas sebelum terhempas.

    Katanya ketika dalam perjalanan pulang dari Kampung Gawin, Gua Musang menuju ke Ipoh, mereka berdepan dengan cuaca buruk yang memaksanya untuk menggunakan laluan udara alternatif.

    Menurutnya lagi, nasib tidak menyebelahinya apabila seolah-olah berlaku ganguan udara di laluan alternatif tersebut sehingga Fedzrol gagal mengawal helikopter yang dipandu.

    “Apabila tiba di ruangan laluan udara alternatif itu,saya terpaksa membuat pendaratan kecemasan dengan menggunakan teknik ‘pitch-up altitude’ supaya hentaman ke darat bermula pada ekor helikopter.

    “Itu yang saya lakukan, namun ketika itu keadaan atau faktor angin tidak baik dan mungkin disebabkan itu juga hentaman helikopter telah menyebabkan saya tidak sedarkan diri sementara,” katanya lagi.

    Fedzrol berkata beliau kembali tersedar selepas namanya dipanggil salah seorang petugas perubatan selepas helikopter itu terhempas dan menjadi yang terakhir keluar daripada bangkai kenderaan udara berkenaan.

    Dalam kejadian pukul 1.15 tengah hari Rabu lalu, helikopter berkenaan terhempas ketika cuba melakukan pendaratan cemas di kawasan hutan berhampiran Brinchang.

    Helikopter yang membawa enam penumpang termasuk juruterbang itu dalam perjalanan dari Kampung Gawin ke Ipoh, selepas selesai membuat lawatan berkala ke perkampungan Orang Asli berkenaan.

    Akibat insiden itu, semua mangsa bagaimanapun terselamat dan berjaya dibawa keluar oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari lokasi nahas secara berperingkat sehingga pukul 9.07 malam.

  • Wanita maut dalam kemalangan enam buah kenderaan dekat Pagoh

    Wanita maut dalam kemalangan enam buah kenderaan dekat Pagoh

    SEORANG wanita maut selepas terlibat dalam kejadian kemalangan membabitkan enam buah kenderaan di Kilometer 129.5 Lebuhraya Utara-Selatan, di Pagoh, Muar, 6 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, mangsa Ang Zi Yan, 28, maut di tempat kejadian akibat kecederaan di muka dan pendarahan di kepala.

    Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku semasa Proton Saga yang dipandu suami mangsa dalam perjalanan dari arah Kota Tinggi ke Kuala Lumpur.

    “Sampai di lokasi kejadian, mangsa telah dilanggar oleh sebuah treler bermuatan bahan cecair kimia.

    “Ekoran kemalangan itu, berlaku perlanggaran berturutan antara kenderaan di belakang iaitu kereta Toyota Yaris, sebuah lori tidak bermuatan, kereta Nissan Almera dan sebuah lori bermuatan tembikai,” katanya dalam satu kenyataan.

    Jelasnya, pemandu treler berusia 45 tahun itu mengalami kecederaan parah di kepala, patah kaki kiri dan sedang menerima rawatan di Zon Merah manakala mayat wanita terbabit di bawa ke Unit Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar bagi tujuan bedah siasat.

    Katanya, pemandu Proton Saga, pemandu dan penumpang Toyota Yaris turut mengalami kecederaan ringan akibat kemalangan.

    Raiz Mukhliz berkata, kesemua kenderaan yang terlibat mengalami kerosakan akibat kemalangan.

    Sehubungan itu, kes kini disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sebarang maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Rosnizam Rosli di talian 013- 2224067.

  • Budak perempuan meninggal dunia diserang sawan dalam bilik air

    Budak perempuan meninggal dunia diserang sawan dalam bilik air

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun meninggal dunia selepas dipercayai diserang sawan di dalam bilik air rumah neneknya di Kampung Telok Wang Besar, Sungai Pasir, Sungai Petani, pada Isnin.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mangsa Nur Arisa Qaisara Abdullah, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kepalanya berada di dalam besen.

    Katanya, badan kanak-kanak itu pula berada di mangkuk tandas dalam keadaan membuang air besar.

    Beliau berkata, mangsa tinggal bersama neneknya kerana mangsa kerap diserang sawan sewaktu ketiadaan ibunya keluar bekerja.

    “Difahamkan, nenek mangsa merasa tidak selesa dan menolak pintu bilik air sebelum mendapati kepala mangsa berada di dalam besen air.

    “Ibu mangsa menerima makluman mengenai kejadian daripada neneknya dan menghubungi jiran untuk membantu,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Utusan TV hari ini.

    Jelasnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan tiada unsur jenayah berlaku.

    Hasil semakan rekod mendapati mangsa mempunyai rekod sawan sejak beberapa tahun dan diberikan ubat.

    Dalam pada itu, jenazah adik Nur Arisa Qaisara selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Wang semalam.

  • Remaja lelaki lemas dibawa arus deras ketika seberang sungai

    Remaja lelaki lemas dibawa arus deras ketika seberang sungai

    SEORANG remaja lelaki berusia 16 tahun ditemui meninggal dunia selepas dibawa arus deras ketika cuba menyeberangi Sungai Gong, Rawang, malam kelmarin.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian pada pukul 8.07 malam.

    Beliau berkata, sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

    “Bomba tiba 11 minit kemudian dan mendapati kejadian berlaku ketika tiga beranak cuba menyeberangi sungai selepas selesai aktiviti memancing.

    “Bapa dan adik mangsa berjaya diselamatkan oleh pemancing lain, manakala mangsa, Muhammad Alif Fahmi Abdullah, hilang dibawa arus deras,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, pencarian mangsa diteruskan sehingga ke perangkap sampah kira-kira 800 meter dari lokasi dilaporkan hilang.

    “Mayat mangsa ditemui di kawasan perangkap sampah Fruit Valley Bestari Jaya, pada pukul 2.30 petang tadi,” katanya, lapor Utusan TV.

    Norazam berkata, mayat dibawa naik ke darat sebelum diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut.

    Tambahnya, operasi tamat sepenuhnya pada pukul 3 petang tadi.

  • 30 kru filem terperangkap di Gua Tempurung diselamatkan

    30 kru filem terperangkap di Gua Tempurung diselamatkan

    SEBANYAK 30 kru penggambaran yang dilaporkan terperangkap di belakang Gua Tempurung di Gopeng berjaya diselamatkan dan dibawa keluar petang ini.

    Bagaimanapun tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat pada pukul 4.10 petang yang memaklumkan ada orang awam terperangkap di belakang Gua Tempurung berikutan peningkatan paras air.

    Menurutnya, keseluruhan kru berkenaan berjumlah 80 orang dan 30 yang terperangkap adalah warga tempatan serta Singapura.

    “Pihak Bomba dimaklumkan mengenai kejadian itu dan operasi menyelamat dijalankan bersama,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

    Mengulas lanjut Mohd Yusri berkata, beliau bersama sepasukan anggota Task Force dari Balai Polis Gopeng dan Kota Bharu melawat tempat kejadian di kawasan belakang Gua Tempurung.

    Katanya, siasatan awal mendapati insiden bermula susulan hujan lebat berterusan sejak pukul 4 petang.

    “Semua mangsa terperangkap kerana air naik secara mendadak ke kawasan alur air di dalam gua dengan kedalaman kira-kira 1.5 meter.

    “Mangsa terbabit adalah kru penggambaran filem ‘Bursting Point’ membabitkan syarikat perfileman antarabangsa dari Singapura yang menjalankan penggambaran,” katanya.

    Kejadian itu turut menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berharap operasi menyelamat berjalan lancar dan dipermudahkan.

  • 4 mangsa helikopter terhempas dihantar ke hospital

    4 mangsa helikopter terhempas dihantar ke hospital

    EMPAT mangsa helikopter terhempas di Cameron Highlands hari ini sudah berjaya dibawa keluar dan dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di sini.

    Difahamkan, dua lagi mangsa dalam perjalanan untuk dibawa keluar dari kawasan nahas yang terletak di dalam hutan dan berbukit oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

    Berdasarkan pemerhatian Astro AWANI, ambulans membawa mangsa keempat dilihat keluar dari lokasi kejadian kira-kira pukul 7.15 malam tadi.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan dalam satu kenyataan berkata, helikopter membawa enam penumpang termasuk juruterbang itu terhempas di kawasan sempadan negeri Perak-Pahang berhampiran Cameron Highlands pukul 1.15 tengah hari.

    “Semasa kejadian, pesawat ini dalam perjalanan pulang dari Kampung Gawin, Gua Musang ke Pangkalan PDU di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak setelah menjalankan tugas perkhidmatan perubatan masyarakat.

    “Siasatan akan dijalankan oleh pihak Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia,” katanya dalam kenyataan tersebut.