Category: Kemalangan / Bencana

  • Dua anggota PGA terbunuh dalam kemalangan

    Dua anggota PGA terbunuh dalam kemalangan

    DUA anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa maut dalam kemalangan di Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas, Pasir Mas, pukul 4.25 pagi

    Anggota PGA berpangkat koperal dan lans koperal itu, Jerry Layong Anak Nyalin, 32, dan Juna Anak Jembat, 39, maut di lokasi kejadian dipercayai akibat kecederaan teruk di kepala.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, siasatan awal mendapati setiba di lokasi kejadian kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki mangsa melanggar belakang sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan.

    “Perlanggaran itu menyebabkan kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan teruk pada bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, mayat kedua-dua anggota terlibat kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.

  • Dua maut, kereta terbabas langgar tiang

    Dua maut, kereta terbabas langgar tiang

    DUA maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar tiang di Jalan Jelapang di Ipoh, awal pagi tadi.

    Jurucakap dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mangsa, lelaki dan wanita disahkan maut di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan.

    “JBPM Perak menerima panggilan memaklumkan berhubung kejadian kemalangan pada 2.13 pagi sebelum anggota bergegas ke lokasi.

    “Bomba yang tiba di tempat kejadian mendapati sebuah kereta dalam keadaan terbalik dan terdapat dua mangsa masih berada di dalam kenderaan berkenaan.

    “Komander operasi mengarahkan anggota untuk mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, kedua-dua mangsa disahkan maut oleh petugas kesihatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    “Operasi tamat sepenuhnya pada 4 pagi,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

  • Dua lelaki diselamatkan orang ramai daripada rentung

    Dua lelaki diselamatkan orang ramai daripada rentung

    DUA lelaki nyaris rentung apabila terperangkap di dalam sebuah bilik yang terbakar, di Jalan Tun Hussein Onn, Taman Kemena Raya di Bintulu pukul 8.25 malam tadi.

    Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Henderi Ardimansyah berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan, pihaknya mengatur gerak dua jentera, dengan kekuatan 21 pegawai dan anggota dari Balai Bintulu dan Balai Kidurong menuju lokasi.

    “Setibanya di lokasi, pasukannya mendapati kebakaran melibatkan sebuah bilik di tingkat bawah rumah jenis kekal dua tingkat, yang terbakar 20 peratus.

    “Terdapat dua mangsa terperangkap dalam insiden tersebut, namun telah berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Seorang mangsa, katanya, ditemui masih sedar manakala seorang mangsa lagi, sebaliknya.

    “Kedua-dua mangsa diberi bantuan kecemasan oleh paramedik EMRS sebelum diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan seterusnya.”

    Kata Henderi, pasukan bomba kemudian bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan dua aliran iaitu satu aliran salur bantu mula dan satu aliran hos hantaran 100 kaki.

    Kedua-dua mangsa katanya, dilaporkan selamat dan dirujuk ke Hospital Bintulu.

    Punca kejadian dan taksir kerugian sedang disiasat pasukan forensik bomba.

  • Wanita maut, bayi parah dalam kemalangan

    Wanita maut, bayi parah dalam kemalangan

    SEORANG wanita maut manakala bayinya dan seorang lagi penumpang cedera parah setelah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu bertembung treler di kilometer 83 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Bintang, di Setiu, pukul 4.40 petang tadi.

    Kemalangan berkenaan menyebabkan mangsa, Fatin Hazlin Dahlia Mazlam, 30, yang memandu MPV jenis Perodua Alza meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Bayinya, Sayyid Uwais Al-Qarni Mohd. Lekman dan Muhammad Arsyad Syahiran Mohd. Agil, 9 mengalami kecederaan parah.

    Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika treler yang dipandu dari arah Chiku, Gua Musang menghala ke Kuala Terengganu, manakala Perodua Alza dipandu mangsa dari arah Manir menghala ke Wakaf Che Yeh, Kota Bharu.

    “Apabila tiba di lokasi kejadian kereta dipandu mangsa yang membawa lima penumpang telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan treler.

    “Pemandu treler, Azman Ismail, 35, tidak mengalami kecederaan manakala mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurut Afandi, tiga lagi penumpang iaitu suami kepada Fatin Hazlin Dahlia, Mohd. Lekman Zakaria, 36, mengalami luka-luka sementara dua lagi anaknya iaitu Nur Qaireen Luffiya dan Sayyid Lutfi, 7, patah tangan kiri.

    Beliau berkata, lima penumpang Perodua Alza dihantar ke Hospital Setiu untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

  • Warga emas maut akibat digilis lori

    Warga emas maut akibat digilis lori

    SEORANG lelaki maut apabila digilis sebuah lori selepas terjatuh dalam kemalangan di Kilometer 2.5 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) arah Kepong ke Damansara, Petaling Jaya, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 8.02 pagi.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal Honda Wave ditunggang lelaki berusia 64 tahun itu terbabas.

    “Penunggang motosikal itu kemudian terjatuh lalu digilis sebuah lori yang melalui lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dan mayatnya dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat.

    “Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704 untuk membantu siasatan.

  • Pelajar maut motosikal bertembung lori

    Pelajar maut motosikal bertembung lori

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG pelajar tingkatan tiga maut setelah motosikal dinaikinya bertembung sebuah lori dalam kemalangan kira-kira pukul 6.30 petang di Kampung Tanjung Kepala Bukit, Baling, semalam.

    Mangsa, Muhammad Ajwad Zuraimi, 15, yang tinggal di Kampung Bukit, Kuala Kuang, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai.

    Menurut Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat, mangsa yang didapati tidak memakai topi kaledar meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

    “Siasatan mendapati ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal jenis Honda RS-X dari arah Kampung Sadek menghala ke Kampung Pisang.

    “Apabila sampai di lokasi kejadian, sebuah lori jenis Mitsubishi Fusi datang dari arah bertentangan dan memasuki laluan motosikal terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Shamsudin berkata, mangsa telah merempuh bahagian hadapan sebelah kanan lori tersebut ketika melalui jalan yang berselekoh.

    Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Suami isteri, bayi maut dalam nahas tiga kenderaan

    Suami isteri, bayi maut dalam nahas tiga kenderaan

    SEPASANG suami isteri dan bayi berusia setahun maut dalam kemalangan di Kilometer 216, Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) Simpang Ampat di Alor Gajah, pukul 11 pagi tadi.

    Nahas itu mengakibatkan pasangan masing-masing berusia 28 tahun dan bayi mereka meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Komander Operasi Pengawai Kanan Bomba (PBK) ll KUP, Ezanee Hamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.02 pagi sebelum tiga jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, BBP Ayer Keroh dan BBP Tampin dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Setiba di lokasi kejadian pihaknya mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Honda Jazz dan lori dua tan jenis Isuzu.

    “Mangsa tiga beranak menaiki kereta terbabit dan kedua-dua kenderaan dipercayai dari arah sama iaitu selatan.

    “Operasi terkawal pada pukul 12.31 tengah hari sebelum operasi menyelamat tamat pukul 1.09 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, bagaimanapun pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat ketiga-tiga mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Kemalangan maut itu turut menyebabkan laluan trafik sesak lebih satu kilometer.

  • Dua beranak maut dalam perjalanan ke sekolah

    Dua beranak maut dalam perjalanan ke sekolah

    DUA beranak maut selepas motosikal yang ditunggang mereka terbabas dalam perjalanan ke sekolah dalam kejadian di Jalan Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang pagi tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, mangsa yang berusia 46 tahun dalam perjalanan menghantar anak lelakinya, 15, ke sekolah.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, sebaik tiba di lokasi, motosikal yang ditunggang dua beranak itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh ke laluan bertentangan.

    Menurut beliau, pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) yang memandu dari arah Penanti ke Kepala Batas cuba mengelak bagaimanapun terlanggar motosikal mangsa.

    “Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) dan bedah siasat akan dijalankan selepas menerima keputusan ujian calitan Covid-19.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Pengerusi majlis belia maut dirempuh pacuan empat roda

    Pengerusi majlis belia maut dirempuh pacuan empat roda

    LELAKI maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di KM49 Jalan Felda Triang 1-Tembangau, Bera, pukul 5.50 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Bera, Suprintendan Mansor Samsudin berkata, mangsa, Mohd. Imran Ismail, 27 tahun, dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Tembangau 1 sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Mangsa yang juga Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Tembangau 1, dikatakan bersama rakan-rakan lain menunggang motosikal secara konvoi selepas menghadiri Majlis Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran serta Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) di Dataran Kerayong, pada hari yang sama.

    “Siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda itu hilang kawalan lalu memasuki laluan motosikal dan merempuh mangsa sehingga mengakibatkan kemalangan.

    “Akibat kemalangan tersebut,mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kenderaan jenis Mitsubishi itu tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mansor berkata, semasa kejadian, cuaca hujan dan jalan basah semasa di lokasi kejadian.

    Katanya lagi, hasil siasatan awal juga mendapati kemalangan berlaku di atas kecuaian pemandu pacuan empat roda yang telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan hingga menyebabkan kemalangan berlaku.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya, lapor Astro Awani.

  • Pemandu rentung, kereta terbakar di Kabong, Sarawak

    Pemandu rentung, kereta terbakar di Kabong, Sarawak

    SEORANG rentung apabila kereta dipandunya terbakar di Jalan Nyabor, Kabong kira-kira 100 kilometer (KM) dari bandar raya Sibu, lewat malam tadi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memaklumkan satu pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok telah digerakkan ke lokasi kejadian pada 11 malam.

    “Setibanya di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati sebuah kereta jenis Kia telah terbakar 100 peratus dan bomba dapat mengawal kebakaran pada 11.40 malam.

    “Terdapat seorang mangsa telah rentung di dalam kereta tersebut dan identiti mangsa masih belum dapat dipastikan,” katanya.

    Jelasnya operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 11.50 malam dan pihak bomba telah menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.