Category: Kemalangan / Bencana

  • Lori bawa muatan 90 gas amonia terbalik, enam tong bocor

    Lori bawa muatan 90 gas amonia terbalik, enam tong bocor

    SEBUAH lori yang membawa muatan 90 tong gas amonia terbalik di jalan utama Sungai Timun-Lubuk China di sini, pagi tadi, sehingga menyebabkan laluan tersebut ditutup di kedua-dua arah bagi tempoh lebih tiga jam.

    Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Bakarya Mohd. Salleh berkata, Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sembilan menerima panggilan kebocoran bahan kimia pada pukul 9.57 pagi.

    Menurutnya, pasukan dari tiga buah Balai Bomba dan Penyelamat iaitu Kota, Seremban 2 dan Masjid Tanah (Melaka) bersama pasukan khas Unit Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari Masjid Tanah serta Seremban 2 dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Setibanya di lokasi kejadian, didapati benar berlaku tumpuhan bahan kimia jenis amonia yang terjatuh daripada lori tersebut. Enam dari tong berisi gas amonia dengan berat 68 kilogram bagi setiap satunya didapati telah mengalami kebocoran.

    “Pasukan khas Hazmat telah mengambil bacaan, pada peringkat awalnya bacaan adalah melebihi 500 ppm (bahagian setiap juta). Setelah dibuat kerja-kerja menutup tumpahan tersebut, bacaan pada lokasi kejadian telah menurun kepada 40 ppm,” katanya lapor Utusan Malaysia.

    Ujar Bakarya, pihaknya kini sedang memantau dari sudut bacaan bahan kimia di lokasi kejadian serta menunggu pihak kren dari Tekno Gas bagi mengangkat tong-tong yang mengalami kebocoran.

    Dalam pada itu menurutnya, pemandu berusia lingkungan 30an yang membawa lori treler tersebut dari Melaka ke Sungai Buloh, Selangor tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan menerima rawatan awal dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

    Menurutnya, operasi tamat bergantung kepada kerja-kerja memindahkan tong gas yang bocor oleh syarikat Tekno Gas.

  • Pelajar perempuan maut jatuh bangunan sekolah

    Pelajar perempuan maut jatuh bangunan sekolah

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di Alor Setar ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh di bangunan setinggi empat tingkat pagi ini.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, mangsa yang berusia 15 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian berlaku ketika pelajar-pelajar sekolah terbabit belum memasuki kelas masing-masing kerana menghadiri perhimpunan.

    “Siasatan awal di tempat kejadian mendapati bangunan sekolah itu setinggi empat tingkat yang menempatkan perpustakaan di aras bawah dan kelas bagi tingkatan enam di tingkat tiga.

    “Namun, tingkat dua dan tingkat empat di bangunan itu kosong. Menurut saksi, ketika kejadian keseluruhan bangunan itu tidak berpenghuni kerana para pelajar menghadiri majlis perhimpunan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut Ahmad Shukri, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk proses bedah siasat.

    Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis dan kes terbabit diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

  • Lebih 6,000 PPS siap siaga hadapi banjir – Rina

    Lebih 6,000 PPS siap siaga hadapi banjir – Rina

    SEBANYAK 6,010 pusat pemindahan sementara (PPS) dikenal pasti di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlaku bencana banjir sepanjang musim tengkujuh atau monsun timur laut.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata pihaknya, melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, telah siap siaga mendepani bencana itu dengan semua barangan keperluan bagi kegunaan mangsa banjir ditempatkan di depoh simpanan seluruh negara dan hanya menunggu arahan untuk dihantar ke PPS yang memerlukan.

    Beliau berkata bagaimanapun, timbul sedikit kegusaran apabila 35 peratus PPS yang dikenal pasti adalah pusat pengundian untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov ini. 

    “Jadi kita sama-sama berdoa agar banjir tidak berlaku dalam masa terdekat atau pada masa yang sama dengan hari mengundi nanti,” katanya kepada pemberita di Pentas PRU15 Perikatan Nasional (PN) untuk Parlimen Kuala Langat di sini hari ini.

    Turut hadir calon PN bagi Parlimen Kuala Langat iaitu Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, Pengarah Pilihan Raya PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Terdahulu, Jabatan Pengairan dan Saliran mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat bagi empat negeri iaitu Pahang, Selangor, Johor serta Sarawak. – BERNAMA

  • Bas kitaran UPSI terbabas, 11 pelajar cedera

    Bas kitaran UPSI terbabas, 11 pelajar cedera

    SEBANYAK 11 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) cedera apabila sebuah bas kitaran milik institusi pendidikan tinggi berkenaan terbabas dan masuk ke dalam longkang di Proton City, Tanjong Malim, malam ini.

    Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) (TNCHEPA0 sedang menyantuni pelajar terlibat di Hospital Slim River.

    Dalam kejadian pukul 7.13 malam itu, bas kitaran dengan muatan kira-kira 54 pelajar dikatakan dalam perjalanan membawa pulang para pelajar ke kediaman mereka.

    Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff dalam kenyataan di Facebook berkata, sehingga kini, tiada sebarang kecederaan serius dialami penumpang.

    “Seramai 11 orang pelajar mengalami cedera ringan dan dibawa ke Hospital Slim untuk pemeriksaan lanjut,” katanya

    Mengulas lanjut, Dr Md Amin berkata, buat masa ini Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) (TNCHEPA0 sedang menyantuni pelajar terlibat di Hospital Slim River.

    Katanya, sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

    “Jutaan terima kasih atas ingatan dan iringan doa dari semua pihak.
    Sama-sama kita doakan kesejahteraan pelajar tercinta ini,” tambah beliau.

  • 3 penghuni perempuan cedera bumbung asrama anak yatim runtuh

    3 penghuni perempuan cedera bumbung asrama anak yatim runtuh

    SERAMAI tiga penghuni Wisma Anak Yatim Perempuan (Islam) di Jalan Scotland, George Town, Pulau Pinang cedera apabila bumbung di asrama itu runtuh dalam kejadian kira-kira pukul 9.42 malam tadi.

    Mangsa masing-masing berusia 8, 10, dan 13, tahun itu cedera di beberapa bahagian badan namun keadaan mereka dilaporkan stabil dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, runtuhan bumbung itu melibatkan bahagian asrama iaitu tempat tidur yang berkeluasan kira-kira 15 meter persegi panjang dan 12 meter persegi lebar.

    Menurut beliau, asrama itu menempatkan seramai 30 penguni, namun ketika kejadian hanya tiga pelajar berada di dalam asrama terbabit manakala pelajar lain ada yang sedang mengambil makanan dan mengikuti kelas tuisyen.

    “Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini dan daripada penerangan doktor, penghuni yang berusia 13 tahun mengadu sakit belakang, 10 tahun sakit di bahagian tengkuk manakala 8 tahun cuma mengalami kecederaan ringan.

    “Dua daripada mereka yang mengadu sakit belakang dan tengkuk akan menjalani pemeriksaan lanjut bagi mengetahui sama ada berlaku kecederaan dalaman atau sebaliknya,” tambahnya.

    Tambahnya, seramai 27 penghuni lain yang terselamat akan ditempatkan di Wisma Anak Yatim Lelaki (Islam) di Jalan Air Itam, Georgetown.

    Jelas beliau, pihaknya akan menutup lokasi itu untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

    Sementara itu, Ketua Zon 1 Pulau Pinang, Penguasa Kanan Bomba I Jamil Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.42 malam berhubung kejadian tersebut.

    Menurutnya, seramai 33 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak dan Paya Terubong bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja menyelamat.

    “Ketika kita sampai, mangsa sudah dibawa keluar ke lokasi lebih selamat. Pemeriksaan di tingkat satu mendapati, memang benar bumbung di bahagian asrama telah runtuh,” katanya.

  • 30 murid, 10 guru selisih maut bas rombongan terbabas ke ladang kelapa sawit

    30 murid, 10 guru selisih maut bas rombongan terbabas ke ladang kelapa sawit

    SERAMAI 30 murid dan 10 guru dari sebuah sekolah rendah di Pasir Puteh berdepan detik cemas apabila bas yang dinaiki terbabas di Kilometer (km) 44 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, pukul 6.15 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, bas berkenaan dalam perjalanan dari Zoo Negara, Kuala Lumpur untuk pulang ke Pasir Puteh.

    “Siasatan lanjut mendapati kemalangan berlaku apabila stereng bas berkenaan tidak berfungsi dan menyebabkan pemandu gagal mengawal sebelum terbabas ke semak ladang kelapa sawit.

    “Semua penumpang hanya cedera ringan. Semua mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Chiku 3 untuk rawatan awal,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959 kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

  • Wanita maut, kenderaan dinaiki langgar tiang lampu jalan

    Wanita maut, kenderaan dinaiki langgar tiang lampu jalan

    Oleh ABU UBAIDILLLAH RAHMAN

    SEORANG wanita terbunuh selepas kenderaan dinaiki melanggar tiang lampu jalan dalam kejadian di kilometer 12 Jalan Batu Pahat-Kluang, Batu Pahat pukul 9.15 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mangsa, Mahani Mahfool, 26, cedera parah dan tersepit di tempat duduk penumpang hadapan dan disahkan meninggal dilokasi kejadian.

    “Suami mangsa, Mohammad Rahmat Amin, 31, yang turut tersepit di tempat duduk pemandu mengalami kecederaan parah manakala anak pasangan ini yang berusia empat tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

    “Hasil siasatan mendapati kereta jenis Honda Ferior yang dinaiki keluarga ini dalam perjalanan dari arah Sri Gading ke Bandar Batu Pahat.

    “Sebaik tiba dilokasi kejadian, kenderaan dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar tiang lampu diatas pembahagi jalan sebelum memasuki laluan bertentangan,” Katanya melalui kenyataan hari ini.

    Ismail berkata, kemalangan tidak melibatkan kenderaan lain dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 untuk mengenal pasti punca kejadian sebenar.

    Menurutnya, semua mangsa dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk rawatan dan proses bedah siasat.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram, Timbalan Penguasa Bomba II Firdaus Ahmad berkata, 13 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Uni Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Katanya, anggota pasukan menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan pasangan suami isteri itu selepas kedua-duanya didapati tersepit di tempat duduk masing-masing.

    Tambah beliau. mangsa disahkan meninggal dilokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala suami dan anak mangsa dirujuk ke hospital menggunakan ambulan yang datang membantu.

  • 13 kedai musnah dalam kebakaran

    13 kedai musnah dalam kebakaran

    SEBANYAK 13 deretan kedai musnah dalam kejadian kebakaran di Serdang, pada awal pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.15 pagi dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.

    “Kebakaran melibatkan sebuah kedai emas sebelum merebak ke 12 lagi kedai bersebelahan.

    “Bomba berjaya memadam kebakaran pada jam 5.30 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Astro Awani.

    Norazam turut memaklumkan tiada mangsa terlibat dalam kejadian tersebut.

  • Ceroboh perairan negara, bot nelayan asing Indonesia ditahan

    Ceroboh perairan negara, bot nelayan asing Indonesia ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah  bot nelayan Indonesia bersama empat kru pada kedudukan kira-kira 29 batu nautika barat daya Pulau Kendi, pukul 1.10 tengah hari kelmarin.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot tersebut dikesan Kapal Maritim (KM) SIKUATI sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dalam perairan negara semasa rondaan rutin Op Tanjung. 

    Menurut beliau, ketika pemeriksaan dilakukan, bot yang dikendalikan empat kru warga Indonesia termasuk tekong kesemua lelaki berumur sekitar 27 hingga 47 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Kesemua mereka ditahan dan akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu tambah beliau, KM SIKUATI turut mengusir tiga bot nelayan asing Indonesia pada awal pagi kelmarin sekitar pukul 7 hingga 8 pagi yang dikesan berada di kawasan “Unresolved Maritime Boundary” iaitu kira-kira 80 batu nautika dari barat Pulau Kendi kawasan perairan yang dituntut oleh Malaysia dan Indonesia.

    Jelasnya, bot bersama kru termasuk tekong dibawa masuk ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.  

    “Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti pencerobohan bot nelayan asing di sempadan perairan negara bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan perairan negara sentiasa terjamin,” katanya.

    Tambah beliau, sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Malaysia Pulau Pinang di talian 04-2626146.

  • Pekerja maut dihempap jentolak di tapak pelupusan sampah

    Pekerja maut dihempap jentolak di tapak pelupusan sampah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pekerja meninggal dunia selepas dihempap sebuah jentolak di sebuah tapak pelupusan sampah Tanjung Langsat, Jalan Rumbia 4, Pasir Gudang, hari ini.

    Difahamkan semasa kejadiaan lelaki berkenaan yang berusia 51 tahun sedang bekerja di tapak pelupusan tersebut.

    Mangsa merupakan pekerja luar yang datang untuk membaiki jentolak tersebut dan semasa membaikinya, jentolak tersebut terjatuh dan menghempab mangsa.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan I Shahrol Suboh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.02 pagi.

    Susulan itu katanya, seramai sembilan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Seorang lelaki maut selepas dihempap sebuah jentolak ketika bekerja di sebuah tapak pelupusan sampah Tanjung Langsat, Pasir Gudang, hari ini

    “Setibanya di lokasi, anggota mendapati seorang pekerja telah dihempap sebuah jentolak. Mangsa dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas dibantu sebuah jengkaut.

    “Mangsa bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan yang hadir,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya diserah kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    Jelas beliau, operasi berkenaan tamat pada pukul 11.27 pagi.