Category: Kemalangan / Bencana

  • Tiga maut, seorang kanak-kanak cedera kereta terbabas di LPT

    Tiga maut, seorang kanak-kanak cedera kereta terbabas di LPT

    TIGA individu maut manakala seorang kanak-kanak cedera apabila kereta dinaiki mereka terbabas di kilometer 165.8 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala Kuala Lumpur, pagi ini.

    Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 8.10 pagi mengenai nahas membabitkan sebuah Perodua Kancil di lokasi.

    Katanya, seramai lapan anggota kemudian dikerah ke lokasi kejadian.

    “Pemeriksaan mendapati dua wanita dewasa dan seorang lelaki dewasa maut di lokasi kejadian. Selain itu, seorang kanak-kanak perempuan mengalami kecederaan.

    “Bomba mengeluarkan dua mangsa yang tersepit di bahagian hadapan kereta menggunakan peralatan khas,” katanya.

    Ismail berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala kanak-kanak yang cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk rawatan susulan.

    Tambah beliau, identiti mangsa masih belum diketahui setakat ini.

  • Banjir kilat; lebih 100 penduduk Pulau Pinang dipindahkan ke PPS

    Banjir kilat; lebih 100 penduduk Pulau Pinang dipindahkan ke PPS

    LEBIH 100 penduduk di bahagian tanah besar Pulau Pinang terpaksa dipindahkan ke tiga buah pusat pemindahan sementara (PPS) akibat bencana banjir kilat sejak tengah malam tadi.

    Mereka terdiri daripada seramai 86 mangsa daripada 26 buah keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SKJC) True Light, Juru.

    Selain itu, seramai 20 penduduk lagi ditempatkan di PPS Bukit Teh, Bukit Mertajam selepas beberapa kawasan di sekitar daerah itu turut dilaporkan dinaiki air sehingga menghalang laluan kenderaan keluar masuk ke kawasan berkenaan.

    Difahamkan, terdapat sebuah lagi PPS turut dibuka di daerah Seberang Perai Utara (SPU) awal pagi ini selepas banjir kilat melanda ekoran hujan lebat dan berterusan di negeri itu sejak pukul 5 petang semalam.

    20 penduduk lagi ditempatkan di PPS Bukit Teh, Bukit Mertajam selepas beberapa kawasan di sekitar daerah itu turut dilaporkan dinaiki air sehingga menghalang laluan kenderaan keluar masuk ke kawasan berkenaan.

    Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memberitahu, air mulai surut di kebanyakan kawasan awal pagi ini dengan beberapa mangsa juga telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

    “Mungkin JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) boleh terangkan apakah langkah-langkah jangka pendek dan sederhana untuk mengawal keadaan ini (aliran air kuat hingga mengakibatkan berlakunya banjir),” katanya.

    Dalam pada itu, wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang dilaporkan berkata, pemantauan berterusan terhadap paras air semasa dilakukan hingga pagi ini.

    “Kita akan siasat dan kenal pasti punca berlakunya kejadian banjir kilat ini,” katanya.

  • Warga emas maut terperangkap kebakaran rumah

    Warga emas maut terperangkap kebakaran rumah

    SEORANG lelaki warga emas berusia 70 tahun maut dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Jalan Paya Keladi, Paya Keladi Hujung, Pulau Pinang malam tadi.

    Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian melibatkan sebuah rumah kelas B dengan anggaran keluasan 20×40 kaki persegi (6×12 meter persegi) itu kira-kira pukul 11.44 malam.

    Ujar beliau, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bertam kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian dengan dibantu BBP Kepala Batas.

    “Setibanya di lokasi, didapati terdapat sebuah rumah terlibat dalam kebakaran itu dengan anggaran peratusan kemusnahan sebanyak 60 peratus,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Jurucakap itu memberitahu, kebakaran itu berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira pukul 12.19 tengah malam tadi.

    Difahamkan, mangsa yang berusia 70 tahun tinggal seorang diri ketika kejadian dan dan terperangkap ketika api marak hingga gagal menyelamatkan diri.

  • Feri sedang dibaiki terbakar di limbungan

    Feri sedang dibaiki terbakar di limbungan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBUAH feri penumpang yang sedang dibaiki di limbungan kapal dekat Bukit Malut, Langkawi terbakar petang tadi.

    Menurut Ketua Bomba Zon Langkawi, Penguasa Bomba Mohd. Fadzullah Mohd. Noor, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5 petang.

    “Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan bilik enjin feri tersebut yang diletakkan di atas tanjakan kerana sedang dibaiki.

    “Kerja-kerja pemadaman dilakukan dengan menggunakan air dan buih,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Sebanyak tiga jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi serta satu jentera dari BBP Persiaran Putra dikejarkan ke lokasi kejadian.

    Fadzullah menambah, pada peringkat awal sebanyak 11 tong buih digunakan sebelum jumlahnya ditambah sebanyak 12 tong lagi.

    “Kebakaran akhirnya dapat dikawal pada pukul 6.46 petang dan proses pemadaman api masih giat dijalankan,” katanya.

    Katanya, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

  • JPS keluar notis risiko banjir di 6 negeri

    JPS keluar notis risiko banjir di 6 negeri

    JABATAN Pengaliran dan Saliran Malaysia (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan yang meramalkan kemungkinan banjir di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pahang dan Sarawak jika hujan lebat berterusan.

    JPS, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan kawasan yang mungkin terjejas di Pulau Pinang adalah  di kawasan Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

    Seberang Perai Utara:

    *  Kampung Merbau Kudung

    * Taman Desa Murni

    *, Kampung Nyiur Sebatang

    * Sekolah Rendah jenis Kebangsaan Tamil (SRJK(T) Mak Mandin

    * Sekolah Kebangsaan Mak Mandin; Sekolah Menengah Kebangsaan Mak Mandin

    * Kampung Tok Jawa; Kampung Baru; Kampung Labuh Banting; Kampung Telok

    * Kampung Alor Merah; Kampung Manggis, Kampung Maklom; Kampung Lahar Yooi

    Seberang Perai Tengah:

    * Kampung Labuh Banting; Kampung Kota; Kampung Kubu; Kampung Guar Jering

    * Kampung Terus; Kampung Pertama; Kampung Kubang Semang; Taman Siakap

    * Taman Makok; Taman Tembikai (Taman Mutiara); Taman Sri Rambai; Taman Belimbing

    * Taman Janggus; Kampung Permatang Rawa; Taman Guru; Kampung Tanah Liat;

    * Kampung Permatang Ara; Kampung Baru Alma; Kampung Alma; Taman Alma

    * Taman Permai Jaya; Kampung Kijang; Taman Nangka; Kampung Kebun Sireh

    * Kampung Siam; Taman Binjai; Kampung Kebun Nenas; Jalan Tembikai

    * Taman Cempedak; Taman Mangga; Kampung Juru; Taman Pinang; Taman Sentul

    * Taman Sentul Jaya; Kampung Tok Panjang; Kampung Tok Subuh; Taman Sukun

    * Taman Amra; Taman Murni; Kampung Sungai Permatang Rawa; Taman Desa Damai

    Seberang Perai Selatan:

    *Kampung Masjid

    Timur Laut Pulau Pinang – George Town dan sekitar

    Lembah Klang:

    Petaling

    * Kampung Tengah A; Kampung Kuala Sungai Baru; Kampung Bersatu Batu 13

    *Kampung Melayu Subang; TTDI Jaya; Kampung Aman Bestari; Kampung Sri Aman Berkat

    *Kampung Bukit Lanchong; KTM Batu 3; Seksyen 13 Shah Alam; Kampung Kenangan Puchong

    * Taman Mesra, Shah Alam, Seksyen 13 Shah Alam;  Lebuhraya BESRAYA

    * Kompleks Jabatan Pertanian Serdang; Sri Kembangan

    Klang

    *Kampung Delek; Jalan Kebun Nenas; Kampung Jawa; Taman Melawis; Teluk Pulai

    *Taman Petaling; Taman Sentosa; Taman Saujana; Taman Rashna; Kampung Bukit Naga

    * Batu 8; Jalan Bukit Kemuning; Pandamaran dan sekitar.

    Kuala Lumpur:

    * Bulatan Dato Onn – Bank Rakyat; Jalan Chow Sow Lin; Pekan Salak Selatan

    * Razak Mansion; Jalan Loke Yew; Jalan Raja Chulan; Jalan Sultan Ismail; Jalan Pudu

    *Jalan Tun Perak; Masjid Jamek; Universiti Malaya; Kampung Pantai Dalam

    *Jalan Dang Wangi; Jalan Maarof; Jalan Kia Peng; Jalan Leboh Pasar dan sekitar

    Kuantan (Pahang)

    *Kampung Cherating; Taman Balok Damai dan sekitar

    Temerloh:

    *Kampung Pangkalan Manggis; Kampung Loyang, pusat bandar Temerloh dan sekitar

    Sarawak:

    *Pusat bandaraya Kuching dan sekitar

    *Samarahan – *Kampung Ensika; Kampung Sekitong: Kampung Lubok Manta; Pekan Sebuyau.

    Orang ramai boleh melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut dari semasa ke semasa. – BERNAMA

  • Banjir: Muhyiddin seru jentera parti politik kerjasama, ketepi soal politik

    Banjir: Muhyiddin seru jentera parti politik kerjasama, ketepi soal politik

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru jentera parti-parti politik dan badan-badan sukarela untuk bekerjasama dan tolong memastikan keselamatan rakyat berikutan hujan lebat dan paras air sungai di beberapa negeri semakin naik yang mungkin mengakibatkan banjir.

    Malah menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), empat daerah di Selangor, Kelantan dan Johor terjejas banjir setakat 12 tengah hari tadi dengan 731 mangsa daripada 175 ketua isi rumah (KIR) ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS).

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, beliau amat bimbang dengan hujan lebat di beberapa kawasan dan paras air yang semakin menaik di sungai-sungai utama.

    Menurutnya, agensi-agensi kerajaan yang berkaitan diharap sentiasa bersiap-siaga untuk menghadapi situasi banjir dan membantu mangsa-mangsa.

    “Saya amat bimbang dengan keadaan hujan yang lebat di beberapa kawasan dan paras air yang semakin menaik di sungai-sungai utama di Pahang, Perlis, Sarawak, Selangor dan juga beberapa kawasan di Johor, seperti yang telah diramalkan sebelum ini.

    “Saya juga menyeru jentera parti-parti politik dan badan-badan sukarela untuk bekerjasama, tolong membantu memastikan rakyat selamat. Ketepikan soal politik, apa yang penting nyawa rakyat selamat,” katanya menerusi catatan Facebook.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara berkata, beliau mengerahkan jentera Perikatan Nasional agar mengutamakan bantuan kepada rakyat di kawasan masing-masing.

    “Semoga usaha kita semua diberkati. Saya mendoakan agar penduduk di kawasan-kawasan yang dilanda banjir terselamat dan kita semua dilindungi dari musibah banjir ini, insyaAllah,” katanya.

    Dalam perkembangan berkaitan, NADMA dalam satu kenyataan memaklumkan, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) semalam mengeluarkan amaran hujan berterusan (buruk), iaitu sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di lembangan Sungai Besut dan Sungai Setiu di Terengganu, Sungai Golok (Kelantan) serta Sungai Endau (Johor/Pahang), kejadian banjir boleh berlaku.

    NADMA memaklumkan sekretariat JPBN Kelantan melaporkan beberapa kawasan di negeri itu mula dinaiki air, bagaimanapun keadaan terkawal dan selamat dengan semua penduduk yang terkesan dalam keadaan siap siaga dan akan berpindah jika diarahkan pihak berkuasa.

    Pada masa sama, NADMA memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Penyelarasan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) secara maya pada 11.45 malam tadi.

    Menurut kenyataan itu, mesyuarat berkenaan membincangkan situasi terkini pengurusan banjir sejak bermulanya monsun timur laut pada 7 Nov lepas serta negeri-negeri yang terlibat.

    “Persediaan awal di pihak JPBN dan Jawatankuasa Pengurusan Banjir Daerah dari aspek sokongan aset, sumber manusia dan fasiliti PPS melancarkan lagi tindak balas menyelamat serta pemberian bantuan kepada mangsa yang terkesan,” menurut kenyataan itu.

    Sementara itu, NADMA memaklumkan penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa selain boleh mendapatkan maklumat dan amaran semasa menerusi laman web publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook: PubliclnfoBanjir dan Twitter @JPS InfoBanjir.

    Orang ramai juga boleh muat turun aplikasi myCuaca di Google Play dan App Store bagi mendapatkan maklumat cuaca yang terkini serta sahih daripada MetMalaysia, selain diingatkan supaya peka dan patuh kepada arahan dikeluarkan pihak berkuasa untuk berpindah sekiranya diarahkan.

  • Pemandu treler maut kemalangan babit lima kenderaan

    Pemandu treler maut kemalangan babit lima kenderaan

    SEORANG lelaki terbunuh dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Kilometer 280, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) yang menyaksikan sebuah treler melintang menghalang trafik ke selatan pagi tadi.

    Kejadian kira-kira pukul 11.35 pagi selepas susur Nilai itu turut mengakibatkan empat lagi mangsa cedera dan kini tular di media sosial.

    Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan, sepasukan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.43 pagi.

    Katanya, lima buah kenderaan iaitu dua treler, dua kereta jenis Mitsubishi XPander dan sebuah BMW serta sebuah motosikal terlibat dalam kemalangan itu.

    “Seramai 10 mangsa terlibat yang mana seorang lelaki berusia 43 tahun yang juga pemandu lori treler maut di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

    Kenyataan itu menambah, kesemua mangsa yang maut dan cedera telah dibawa ke hospital menaiki ambulan dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) JBPM.

    Menurut Lembaga Lebuh Raya Malaysia, kemalangan itu mengakibatkan kesesakan arah selatan sejauh tujuh kilometer dan trafik terpaksa dilencongkan di susur Tol Nilai.

    Nahas yang mengakibatkan treler melintang di atas lebuhr aya itu turut mengakibatkan kesesakan lebih lima kilometer menuju ke arah selatan.

  • Pelakon Syazlin Zainal maut dipercayai jatuh dari tingkat 22 pangsapuri

    Pelakon Syazlin Zainal maut dipercayai jatuh dari tingkat 22 pangsapuri

    PELAKON drama Oh My Hantaran, Syazlin Zainal maut dipercayai akibat jatuh dari tingkat 22 sebuah pangsapuri di Taman Iskandar, Johor Bahru, semalam.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat wanita berusia 26 tahun itu di bahagian bawah pangsapuri tersebut pada 12.50 tengah hari.

    “Hasil siasatan mendapati mangsa merupakan seorang wanita yang bekerja sebagai pelakon sambilan.

    “Sebab kematian adalah jatuh dari tingkat 22 pangsapuri dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Sultanah Aminah (HSA),” katanya dalam kenyataan hari ini lapor Bernama.

    Beliau berkata menerusi siasatan awal, pihaknya tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    Raub meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Balai Polis Taman Pelangi atau Pegawai Penyiasat ASP Mat Nawi Ab Rahman di talian 016-5050808.

  • Budak 9 tahun lemas ketika mandi sungai

    Budak 9 tahun lemas ketika mandi sungai

    Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di alur sungai Kampung Batu 9, Chukai, Terengganu petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata kejadian berlaku ketika mangsa, Muhammad Aman A. Suhimi sedang mandi bersama dua rakannya.

    “Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman menerima panggilan pada 5.37 petang daripada MERS999 memaklumkan berlaku kejadian lemas di Kampung Batu 9 lbok.

    “Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.


    Sementara itu, bapa mangsa, A. Suhimi Salleh, 58, berkata jenazah anaknya ditemukan pekebun di ladang kelapa sawit, kira-kira 100 meter dari lokasi anaknya mandi sekitar 5.15 petang.


    “Saya tidur selepas solat zohor. Kira-kira 3 petang, anak saya balik dari sekolah dan terus pergi main air (di alur sungai Kampung Batu 9) dengan kawan-kawan. Pagi itu, dia ada sukan di sekolah dan kemudian pada petang, kawannya datang (ke rumah) memberitahu Aman
    (Muhammad Aman) lemas,” katanya kepada pemberita di Unit Forensik Hospital Kemaman, malam tadi.


    A. Suhimi berkata anaknya sering mandi di alur sungai tersebut bersama rakan-rakannya namun semalam paras sungai tersebut meningkat kira-kira dua meter susulan hujan.


    Beliau berkata Muhammad Aman yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik juga berkelakuan agak berbeza daripada kebiasaan sejak kebelakangan ini.

    “Perangai anak saya memang berbeza sedikit, dia memang mahu saya bersama isteri pergi ke sekolah untuk melihat dia bersukan. Masa pergi ke sekolah itu (Sekolah Kebangsaan Ibok),memang dia suka, di sekolah pun hari ini (semalam), semua cikgu dia salam,” katanya.

  • Kempen calon PRU-15 di Selangor jadi misi santuni mangsa banjir

    Kempen calon PRU-15 di Selangor jadi misi santuni mangsa banjir

    KEMPEN Pilihan Raya Umum ke-15 beberapa calon di Selangor terpaksa ditangguhkan dan beralih kepada misi menyantuni mangsa banjir di Meru, Klang, Kapar dan Shah Alam. 

    Pusat Operasi Smart Selangor memaklumkan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat 9 malam ini termasuk di Sekolah Kebangsaan Johan Setia, Klang yang menempatkan 147 mangsa banjir kilat.

    Bagaimanapun, jumlah mangsa di dua PPS yang baharu dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai di Meru dan Dewan Orang Ramai Kampung Budiman dekat sini masih dalam bancian.

    Halimah turun padang melihat penduduk Meru terjejas banjir

    Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Gombak dan calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Kapar Dr Halimah Ali antara yang membatalkan aktiviti kempen untuk meninjau keadaan banjir di kawasan terlibat. 

    Pihak sekretariat bagi calon PH di Gombak itu memaklumkan Amirudin membatalkan kempennya selepas solat Isyak dan akan ke kawasan terkesan serta menyelaras agensi kerajaan bagi menyegerakan bantuan kepada mangsa.

    Wakil calon PN di Kapar pula memaklumkan media bahawa aktiviti Dr Halimah ditangguhkan bagi membolehkan beliau menyantuni mangsa banjir di Meru.  

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, yang juga calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sungai Buloh, melalui perkongsiannya di laman Twitter turun ke Taman Setia Warisan dekat sini petang tadi bagi meninjau keadaan banjir yang berlaku akibat limpahan dari sungai berdekatan.

    Presiden Amanah Mohamad Sabu, yang juga calon PH di Parlimen Kota Raja, turut melawat PPS Sekolah Kebangsaan Johan Setia.

    Semalam, calon BN di Parlimen Kota Raja D. Kajendran melawat kediaman yang terjejas akibat ribut di Taman Desawan. – BERNAMA