Category: Kemalangan / Bencana

  • Pemilik bengkel maut, pekerja cedera dalam kebakaran

    Pemilik bengkel maut, pekerja cedera dalam kebakaran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pemilik bengkel lori maut, manakala pekerjanya cedera selepas premis itu di Taman Mutiara Rini, Iskandar Puteri terbakar pada malam tadi.

    Panggilan kecemasan berhubung kebakaran tersebut diterima pihak bomba pada pukul 11.36 malam.

    Kebakaran melibatkan sebuah bengkel jenis kekal – Foto ihsan bomba Johor

    Susulan itu seramai 24 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Larkin dan BBP Pekan Nanas bergegas ke lokasi kejadian.

    Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Faiz Suleiman berkata, setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian mendapati kebakaran melibatkan sebuah bengkel jenis kekal.

    Pemilik bengkel lori maut manakala pekerjanya cedera dalam kebakaran bengkel di Taman Mutiara Rini, Iskandar Puteri malam tadi. – Foto ihsan bomba Johor

    “Semasa kejadian, telah berlaku letupan dan kesan letupan tersebut telah mengakibatkan kerosakan pada cermin tingkap rumah yang berada pada jarak lebih kurang 30 meter dari bengkel tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan operasi ditamatkan pada pukul 11.39 malam.

    Kenderaan yang diletakkan di bengkel tersebut selain berlaku letupan dan mengakibatkan kerosakan pada cermin tingkap rumah berdekatan. Foto ihsan bomba Johor

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin mengesahkan kejadian dan mangsa berusia 41 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Pekerja lelaki berusia 27 tahun cedera di bahagian kaki dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru,” katanya.

  • 1 maut, 9 cedera, 10 motosikal berlanggar sesama sendiri

    1 maut, 9 cedera, 10 motosikal berlanggar sesama sendiri

    SEORANG maut manakala sembilan lagi cedera selepas 10 motosikal berlanggar sesama sendiri di KM26.9 Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) arah Seremban di Nilai malam tadi.

    Seorang penunggang motosikal berusia 19 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

    Ketua Polis Nilai, Superintendan Abdul Malek Hasim berkata, dalam kejadian 11.30 malam itu semua penunggang terbabit bergerak dari Nilai ke Seremban.

    “Apabila sampai di lokasi kejadian, salah sebuah motosikal dipercayai gagal dikawal sebelum terbabas dan berlanggar sesama sendiri.

    “Seorang penunggang berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala lima penunggang parah dan empat penunggang lain cedera ringan,” katanya menurut Sinar Harian.

    Beliau berkata, mangsa cedera yang berusia 18 hingga 20 tahun dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Video kemalangan itu tular di laman sosial memaparkan beberapa mangsa cedera terbaring di jalan raya.

  • Jejambat runtuh di Bangkok sekurang-kurangnya dua maut, 10 cedera

    Jejambat runtuh di Bangkok sekurang-kurangnya dua maut, 10 cedera

    SEKURANG-KURANGNYA dua orang maut manakala 10 lagi cedera selepas bahagian sebuah jejantas yang sedang dalam pembinaan runtuh di daerah Lat Krabang di Bangkok pada petang semalam.

    Bahagian jejambat bertingkat sepanjang 500 meter yang sedang dalam pembinaan runtuh ke atas jalan di bawahnya pada kira-kira 6 petang waktu tempatan.

    Segmen itu, yang merupakan sebahagian daripada projek jalan bertingkat On Nut-Lat Krabang sepanjang 2.2 kilometer.

    Kejadian berlaku semasa segmen itu diangkat oleh kren sebelum ia terbalik menyebabkan struktur konkrit dan keluli itu jatuh ke atas kenderaan dan bangunan komersial.

    Bekalan elektrik di kawasan itu terputus dan hanya disambung semula menjelang tengah malam.

    Pengawai pejabat daerah Krabang Chatchaya Kamjan berkata mangsa pertama terbunuh serta-merta apabila segmen itu runtuh.

    Mangsa kedua ditemui pasukan mencari dan menyelamat ketika meninjau lokasi berkenaan.

    “Mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital berhampiran untuk rawatan,” katanya.

    Siasatan awal menunjukkan kren itu mungkin mengalami tekanan berlebihan atau terdapat kerosakan pada alat pengangkat.

  • Dua pencari kepah lemas dihanyut arus deras

    Dua pencari kepah lemas dihanyut arus deras

    DUA pencari kepah lemas selepas dihanyutkan arus deras di pantai Esplanade Kampung Buntal, Kuching tengah malam tadi.

    Mayat Mohamad Amin Umar, 39, ditemui pada 3.30 pagi tadi, manakala mangsa kedua, Awang Khairul Aziq Awang Chula, 25, ditemui pada 3.42 pagi.

    Penolong pengarah operasi bomba Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya dibantu dua pegawai bomba bantuan Swart serta tiga pasukan bomba sukarela Kampung Buntal diarah ke lokasi selepas panggilan diterima pada 12.47 tengah malam.

    “Setibanya di lokasi kejadian, maklumat diterima terdapat tiga lelaki mencari kepah di pantai berkenaan, dengan dua daripadanya hilang dihanyutkan arus deras, manakala seorang lagi berjaya menyelamatkan diri.

    “Operasi pencarian yang turut disertai penduduk kampung dilancarkan dalam radius 100m di sekitar lokasi terakhir kedua-dua mangsa dilihat,” katanya menurut Berita Harian.

    Beliau berkata, mangsa pertama ditemui terdampar di pantai oleh penduduk kampung kira-kira 400m dari lokasi dia hilang, manakala mangsa kedua ditemui anggota penyelamat terdampar di pantai tidak jauh dari lokasi mayat pertama.

    Katanya, mayat dua mangsa itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

  • Kemalangan : Suami isteri maut di Gopeng, warga emas terbunuh di Jerantut

    Kemalangan : Suami isteri maut di Gopeng, warga emas terbunuh di Jerantut

    SUAMI isteri maut, manakala dua lagi termasuk kanak-kanak parah apabila kereta dinaiki mereka terbabas di Jalan Kota Bharu dekat Gopeng, Ipoh.

    Pengarah Jabatan Bomba Perak Sayani Saidon berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira 4 petang oleh orang awam.

    Beliau berkata mangsa yang maut Mohd Ramddan Abd Rahim, 44 dan isterinya, Kisdalliana Saad, 43. Dia dilaporkan tersepit di tempat duduk penumpang hadapan dikeluarkan anggota bomba, manakala tiga lagi dikeluarkan orang ramai.

    “Dua mangsa yang cedera parah adalah wanita warga emas berusia 63 tahun serta kanak-kanak berusia tujuh tahun, telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya lapor Bernama.

    Menurutnya, kedua-dua mangsa yang maut telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    DI JERANTUT, seorang warga emas maut, manakala empat termasuk bayi lima bulan yang dipercayai sekeluarga parah dalam nahas di KM12, Jalan Jerantut-Maran, berdekatan Sungai Salan.

    Nahas melibatkan sebuah pelbagai guna (MPV) Proton Exora itu dikatakan gagal memotong kenderaan lain sebelum bertembung dengan lori lalu terbakar. Akibat pertembungan berkenaan, mangsa berusia 83 tahun dilaporkan maut di lokasi kejadian.

    Ketua Polis Jerantut Mazlan Hassan, berkata hasil siasatan mendapati kenderaan MPV yang dipandu suri rumah berusia 25 tahun bersama empat penumpang dipercayai sekeluarga beralamat di Felda Gelanggi Satu, Jerantut.

    “Pemandu kenderaan MPV dipercayai gagal memotong sebuah kenderaan di hadapannya menyebabkan bertembung dengan lori jenis Isuzu. Akibat kemalangan itu, MPV terbabit terbakar keseluruhannya selepas berlaku pelanggaran, semua mangsa dalam kenderaan itu berjaya dibawa keluar oleh orang awam,” katanya lampor  Berita Harian.

    Mazlan berkata, empat mangsa yang cedera parah termasuk bayi berusia lima bulan dirawat di Hospital Jerantut.

    “Kemalangan disiasat mengikut bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987. Mayat mangsa akan dibedah siasat,” katanya.

  • Dua maut, tiga parah dalam kemalangan babitkan bas dan kereta

    Dua maut, tiga parah dalam kemalangan babitkan bas dan kereta

    DUA maut manakala tiga lagi cedera parah dalam kemalangan melibatkan sebuah bas dan sebuah kereta di Kilometer 285.5 Lebuhraya Utara Selatan (Arah Utara), kira-kira 5 pagi ini.

    Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Pegawai Kanan Bomba II Shahrudin Mohd Din berkata setakat ini pihaknya mendapat maklumat terdapat 22 mangsa terlibat dalam kemalangan itu.

    Katanya mangsa yang meninggal dunia melibatkan seorang lelaki iaitu pemandu bas dan penumpang seorang wanita Indonesia manakala dua mangsa yang menaiki kereta selamat.

    “Kemalangan berlaku membabitkan sebuah bas pelancong (La Holiday) dari Singapura ke Kuala Lumpur dengan sebuah kereta Proton Wira, punca kemalangan masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Shahrudin berkata mangsa yang lain belum dikenal pasti kerana telah dibawa ke hospital dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

  • Kanak-kanak lelaki dua tahun maut dalam kebakaran

    Kanak-kanak lelaki dua tahun maut dalam kebakaran

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut dalam kebakaran di sebuah rumah flat di Taman Pantai Bersih di Butterworth, awal pagi tadi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 8.29 pagi sebelum pasukan BBP Butterworth dikejarkan ke tempat kejadian.

    Jelasnya, kebakaran itu melibatkan bilik di sebuah rumah flat di tingkat dua dengan anggaran kemusnahan 20 peratus.

    “Kebakaran sudah dipadamkan sebelum pasukan bomba tiba dan terdapat seorang mangsa yang berada di dalam bilik berkenaan telah meninggal dunia,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Tambah beliau, proses ‘overhaul’ masih berlangsung sehingga pagi ini bagi memastikan tiada lagi risiko api menyala semula dan merebak ke tempat lain.

  • Bayi perempuan maut dilanggar 4×4 dipandu sepupu

    Bayi perempuan maut dilanggar 4×4 dipandu sepupu

    BAYI perempuan berusia setahun lima bulan maut dilanggar pacuan empat roda dipandu sepupunya di Kampung Darat Kolam, Kerteh, malam tadi.

    Mangsa Syaza Syazwina Zahra Mohd. Sazali yang parah di kepala disahkan meninggal di tempat kejadian.

    Ketua Polis Kemaman, Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 10.30 malam.

    Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dilanggar kenderaan dipandu sepupunya iaitu wanita berusia 19 tahun.

    “Sebelum kejadian, kenderaan itu diparkir di hadapan sebuah rumah dan pemandu kemudian memasuki kenderaan untuk bergerak ke rumah bapa mentua di Rasau, Dungun.

    “Mangsa pula yang tinggal di rumah bersebelahan keluar tanpa pengetahuan ibunya dan berada di belakang kenderaan itu ketika ia sedang mengundur.

    “Pemandu dikatakan terlanggar mangsa yang menyebabkan dia parah dan meninggal dunia,” katanya menurut Harian Metro.

    Beliau berkata, mangsa terkena tayar sebelah kiri kenderaan dan mayat dihantar ke Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Pahamin Rajab meninggal dunia dalam penerbangan selepas alami serangan jantung

    Pahamin Rajab meninggal dunia dalam penerbangan selepas alami serangan jantung

    BEKAS Pengerusi AirAsia Berhad, Datuk Pahamin Rajab meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dalam penerbangan ke London, United Kingdom (UK), malam tadi.

    Berita duka itu dikongsi menantunya, pelakon, Azhar Sulaiman melalui hantaran Instagram (IG), awal pagi tadi.

    Azhar berkata, Pahamin, 77, dalam perjalanan menghadiri majlis graduasi anaknya di London.

    “Dukacita saya hendak maklumkan bapa mentua saya, Datuk Pahamin Rajab baru meninggal dunia.

    “Beliau baru sampai London kena serangan jantung dalam penerbangan. Sekarang ibu mentua dan anak lelaki saya, Rees ada di London,” katanya dalam video yang dimuat naik.

    Azhar berkata, beliau dan ahli keluarga yang lain akan berangkat ke London, esok, lapor Sinar Harian.

    Allahyarham Pahamin yang juga Pengasas Bersama AirAsia pernah berkhidmat dalam kementerian dan agensi kerajaan di Malaysia dalam tempoh lebih 30 tahun.

    Allahyarham Pahamin pernah menyandang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bermula 1998 hingga 2001 dan dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1974 hingga 1998.

    Allahyarham Pahamin juga memegang jawatan penting dalam beberapa syarikat termasuk LNG Resources Bhd, Forlife Research Sdn. Bhd. dan Mediscreen Sdn. Bhd.

  • Kanak-kanak terlepas dari pegangan bapa maut dibawa arus sungai

    Kanak-kanak terlepas dari pegangan bapa maut dibawa arus sungai

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG kanak-kanak berusia dua tahun maut setelah dibawa arus Sungai Pedati, di Baling, Kedah akibat terlepas dari pegangan bapanya yang tergelincir.

    Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, mayat mangsa, Adryan Mikhael Mohamad Afiq ditemukan di Kampung Sungai Limau kira-kira sejam selepas kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11.50 pagi tadi.

    Menurutnya, ketika kejadian mangsa dipegang bapanya, Mohamad Afiq Kasim, 30, ketika mereka sekeluarga berkelah di lokasi berkenaan bersama beberapa kenalan lain.

    “Bapa mangsa dikatakan tergelincir menyebabkan kanak-kanak tersebut terlepas dari pegangannya. Disebabkan itu, mangsa terus dibawa arus sungai berkenaan. Jasad mangsa kemudiannya ditemukan kira-kira pukul 12.45 petang di Kampung Sungai Limau. Dia bagaimanapun disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.

    Difahamkan mangsa merupakan anak sulung kepada sebuah keluarga yang berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang dan jenazahnya dibawa ke hospital untuk dibedah siasat.