Category: Kemalangan / Bencana

  • Warga emas maut disengat tebuan ketika beriadah

    Warga emas maut disengat tebuan ketika beriadah

    LELAKI warga emas maut disengat tebuan ketika beriadah di Taman Bulatan Miri, Jalan Bulatan Park di Miri, hari ini.

    Chin Tet Min@ Tet Bui, 72, ditemui terbaring tidak sedarkan diri dengan badannya dikerumuni tebuan.

    Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian itu pada 2.57 petang dan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral bergerak ke lokasi.

    “Setibanya pasukan, didapati mangsa lelaki terbaring tidak sedarkan diri dikerumuni tebuan yang masih berterbangan di sekitar tubuhnya.

    “Kaedah RECEO diaplikasikan dan anggota mengalihkan mangsa menggunakan baju khas pelindung, bagi tujuan memusnah sarang serangga berbisa itu

    “Mangsa berjaya dialihkan ke kawasan jarak selamat anggaran 9.1 meter dari lokasi asal dia terbaring serta diserahkan kepada petugas kesihatan untuk tindakan lanjut.

    “Pihak perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, pemantauan di buat di sekitar lokasi dan anggota menjumpai satu sarang tebuan di atas pokok dengan anggaran ketinggian 21.3 meter.

    Katanya, perbincangan dibuat dengan pihak berkuasa tempatan untuk memusnahkan sarang itu dan perlu menggunakan jentera ‘sky lift’.

    “Tindakan memusnahkan sarang tebuan akan segera dilaksana apabila jentera tiba, atas faktor keselamatan penduduk dan orang awam yang beriadah di taman awam itu,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Lelaki maut tertimbus tanah runtuh di Cameron Highlands

    Lelaki maut tertimbus tanah runtuh di Cameron Highlands

    SEORANG lelaki maut selepas tertimbus runtuhan tanah di Blue Valley berhampiran Kampung Raja, di Cameron Highlands hari ini.

    Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, pihaknya menerima panggilan pukul 12.54 tengah hari berhubung kejadian itu.

    Susulan itu katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands dikejarkan ke lokasi.

    “Mangsa warga tempatan berusia 37 tahun itu terperangkap di dalam sebuah pengorek kaut (backhoe) yang tertimbus ketika melakukan kerja mengorek tanah di kawasan itu.

    “Anggota bomba berjaya mengeluarkan mangsa, namun telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Astro Awani.

  • Tiga beradik yatim piatu, ibu bapa dan adik bongsu maut nahas LPT1

    Tiga beradik yatim piatu, ibu bapa dan adik bongsu maut nahas LPT1

    TIGA beradik yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa dan adik bongsu mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 200 Lebuhraya Pantai Timur Fasa Satu (LPT1) hala timur, berhampiran Kampung Paya Bungor di sini hari ini. 

    Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata kejadian yang berlaku pada 4 petang, menyebabkan kontraktor Mohamad Shafiq Zailani, 33, dan isterinya Faeiznoor Mansor, 32, maut di tempat kejadian.

    Anak lelaki pasangan itu Daryan Marwa yang berusia 10 bulan pula disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini. 

    Tiga lagi anak pasangan itu Mohamad Danish Uqasha, sembilan; Dhia Medina, lima; dan Damiaa Melissa, dua; pula cedera ringan. 

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila pacuan empat roda dipandu Mohamad Shafiq dari Bandar Jengka di Maran menghala ke Kuantan terbabas lalu melanggar pokok di bahu jalan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini. 

    Mohamad Shafiq berasal dari Felda Jengka Enam, Maran manakala semua mangsa yang lain beralamat di Felda Bukit Sagu di sini.  

    Wan Mohd Zahari berkata jenazah mangsa dibawa ke HTAA untuk bedah siasat yang akan dijalankan selepas saringan COVID-19 diperoleh.

    Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • PRU-15: SPR gantung pengundian 11 saluran di Parlimen Baram

    PRU-15: SPR gantung pengundian 11 saluran di Parlimen Baram

    Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menggantung pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di 11 Pusat Mengundi di Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.220 Baram.

    Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, ini kerana keadaan cuaca yang tidak baik serta menyebabkan petugas tidak sampai ke tempat bertugas sama ada melalui udara, darat dan air.

    Menurutnya, senarai pusat mengundi dan tempat mengundi (saluran) terlibat ialah: Sekolah Kebangsaan (SK) Long Naah (saluran 1 dan 2); SK Long Luteng (saluran 2); RH TK Matthew Belulok Lalo Kpg Lepo Gah (saluran 1 dan 2) dam Sekolah Kebangsaan Long Sait (saluran 2).

    Selain itu katanya, penangguhan juga melibatkan SK Long Tungan (saluran 1 dan 2); SK Long Moh (saluran 1 dan 2); SK Long Mekabar (saluran 1); SK LOng Jekitan (saluran 1 dan 2); SK Long Lamei (saluran 2); SK Lio Mato (saluran 1 dan 2) dan SK Long Banga (saluran 1 dan 2).

    Beliau berkata, tarikh baharu pengundian bagi pusat mengundi dan tempat mengundi (saluran) akan dimaklumkan kelak.

    Tambah beliau, ini setelah keadaan selamat untuk petugas dan pengundi sampai ke pusat mengundi bagi menjalankan pengundian.

    Pada PRU-15, kerusi Parlimen Baram menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan Anyi Ngau (GPS); Roland Engan (PH) dan Wilfred Entika (Bebas).

  • Lebih 100 penduduk terjejas ribut ‘badai’ Kulai

    Lebih 100 penduduk terjejas ribut ‘badai’ Kulai

    LEBIH 100 penduduk terjejas di Felda Bukit Permai dan kawasan sekitar Kulai, Johor akibat ribut bersama hujan dan angin kencang, awal pagi tadi.

    Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata kejadian yang berlaku antara 8 hingga 9 pagi itu melibatkan 19 rumah dan tiga premis kedai.

    “Kita kenal pasti sebanyak 17 rumah dan tiga kedai rosak akibat pokok tumbang dan bumbung terbang dan rosak di kawasan Felda ini.

    “… terdapat dua rumah terjejas, masing-masing satu di Kampung Sungai Besoi dan Kampung Sri Muar yang terletak berdekatan di sini hari ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Permai kepada pemberita di Felda itu, hari ini.

    Mohd Jafni berkata ini merupakan kejadian ribut kali ketiga dan terburuk di kawasan Felda berkenaan selepas Mac dan April lepas, memandangkan lokasinya yang terletak di laluan angin.

    Beliau berkata buat masa ini semua keluarga yang terjejas akan dibantu menerusi Tabung Bencana Felda, selain bantuan kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) serta bantuan segera RM500 dan bakul makanan daripada pejabat Dewan Undangan Negeri Bukit Permai.

    “Kebiasaannya bantuan daripada MAINJ lebih kurang RM1,000 untuk setiap keluarga,” katanya dan menambah kerajaan negeri juga akan melihat kepada bantuan tambahan seperti keperluan persekolahan anak-anak. – BERNAMA

  • PRU-15: Pengundi Limbang, Baram redah banjir mengundi

    PRU-15: Pengundi Limbang, Baram redah banjir mengundi

    PENGUNDI di empat pusat pengundian di Limbang dan Baram terpaksa meredah banjir untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan empat pusat pengundian yang terkesan akibat banjir itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Telahak dan SK Meritam di Limbang serta SK Dato Sarif, Kampung Narum, Marudi dan SK Long Bemang di Baram.

    Maklumat daripada Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak menyatakan trend air meningkat dilaporkan di SK Meritam setinggi satu meter dan SK Telahak (0.6 meter), sementara trend menurun dicatatkan di SK Long Bemang (0.33 meter).

    Turut dilaporkan keadaan banjir yang melibatkan laluan menuju ke SK Dato Sarif dengan paras air berada 0.08 meter dari paras jalan raya.

    Di sebalik keadaan bencana alam ini, proses pengundian untuk PRU15 di kawasan berkenaan berjalan lancar.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Azman Ahmad Sapri yang ditemui pemberita di sini hari ini berkata Ketua Polis Daerah di kawasan terkesan banjir berkenaan melaporkan proses pengundian berlangsung lancar setakat ini.

    Katanya, Polis Sarawak bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memastikan keadaan banjir itu tidak menjejaskan perjalanan proses berkenaan.

    “Sehingga kini saya tidak menerima sebarang (laporan) permasalahan (namun), kita akan sentiasa kemas kini (perkembangan terkini). Nanti petang kita akan keluarkan (kenyataan) selepas proses pengundian tutup (selesai),” tambahnya.

    Semalam, media tempatan melaporkan SPR akan membuat keputusan sama ada pengundian di Parlimen Baram diteruskan hari ini atau ditangguhkan selepas cuaca buruk menghalang usaha menghantar petugas pilihan raya ke 24 daripada 194 pusat mengundi di kawasan Parlimen itu. – BERNAMA

  • 2 maut terkena renjatan elektrik di Papar

    2 maut terkena renjatan elektrik di Papar

    DUA lelaki dipercayai kontraktor maut akibat terkena renjatan elektrik ketika sedang membaiki lampu jalan dalam kejadian di Apartment Bukit Melinsung, Papar, Kota Kinabalu, pagi tadi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah ketika dihubungi berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pukul 8.25 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Papar ke tempat kejadian.

    “Didapati tiga mangsa terlibat dalam kejadian itu, seorang mangsa terselamat dan dua orang lagi disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan.

    “Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa selepas bekalan elektrik diputuskan oleh pihak SESB (Sabah Electricity Sdn Bhd). Operasi ditamatkan pada 9.51 pagi,” katanya lapor FMT.

    Menurut jurucakap itu, mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Abdul Rauf Manda, 61, dan Asnan Ab Wahid, 54, manakala mangsa yang selamat ialah Albrayan Binga, 27.

  • PRU-15: ‘Dah banjir macam mana nak mengundi?’

    PRU-15: ‘Dah banjir macam mana nak mengundi?’

    SETIAP kali apabila hujan berterusan, banjir besar terus menghantui penduduk sekitar Dengkil, Selangor.

    Bagi penduduk Kampung Chemperai, Shamsul Bahrin berkata, pernah suatu ketika penduduk berdepan kejadian banjir sebanyak 12 kali dalam tempoh 11 tahun akibat ban yang pecah.

    Menurutnya yang juga mangsa banjir, air mula naik mendadak pada 7 pagi Khamis menyebabkan kawasan rumah tenggelam.

    “Hujan berterusan malam tadi dan air mula naik pukul 2 pagi tapi hanya paras kaki, namun pada pukul 7 pagi, air naik dengan mendadak,” jelas Shamsul.

    Dia berkata ini merupakan kali ke-12 banjir berlaku sepanjang menetap di situ.

    “Saya duduk sini dah 11 tahun, tapi ini dah 12 kali terjadi. Banjir berpunca daripada air sungai dan ban yang pecah.

    “Barang-barang dalam rumah ni semua pakai buang, sebab tahu akan jadi banjir lagi.

    “Kalau dah banjir, macam mana nak mengundi?” katanya lapor Astro Awani.

    Menurut portal Jabatan Saliran dan Pengairan setakat pukul 10.30 pagi paras air Sungai Langat di Dengkil Sepang berada pada paras 8.4 meter iaitu paras bahaya.

  • Letupan paip gas: Seorang maut, tiga melecur

    Letupan paip gas: Seorang maut, tiga melecur

    SEORANG maut manakala tiga lagi melecur apabila paip gas Petronas di jajaran Long Ugui ke Long Sukang dekat Lawas, Sarawak meletup selepas dipercayai mengalami kebocoran.

    Mangsa yang maut merupakan pemandu jentera jengkaut warganegara Indonesia manakala tiga yang cedera adalah warga tempatan.

    Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Sila Kadong ketika mengesahkan kejadian berkata, insiden dipercayai berlaku sekitar pukul 2.10 petang.

    “Mangsa pertama berada di dalam jengkaut, dan jarak dia dengan tiga mangsa lain sekitar 200 meter,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

    Siasatan awal mendapati, pihaknya tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada kebocoran paip.

    Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Hendery Ardimanshah berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kejadian tersebut sekitar pukul 2.49 petang.

    “Pihak kita telah mengatur gerak sebuah jentera dan sebuah pacuan empat roda dengan kekuatan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lawas ke lokasi,” katanya dalam satu kenyataan.

    Mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Lawas oleh kakitangan kontraktor pembinaan, di mana paip itu meletup.

    Sementara itu, Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pihaknya sedih dengan tragedi yang berlaku.

    “Saya menyeru pihak Petronas supaya memastikan perkara seperti ini tidak berlaku lagi.

    “Ini adalah sesuatu yang pernah berlaku dahulu, dan saya telah meminta pihak Petronas mengambil tindakan sewajarnya agar tidak berulang.

    Pengerusi Jawatankuasa Bencana Bahaguan Limbang, Sebi Abang berkata, pihaknya telah mengarahkan pihak bomba dan Petronas untuk menyediakan laporan awal yang berlaku pada kadar segera.

    “Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menghampiri kawasan kejadian,” tambahnya lagi.

    Ketika ini katanya, insiden tersebut telah terkawal dan pihaknya menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi.

  • Banjir ubah corak kempen PRU-15

    Banjir ubah corak kempen PRU-15

    BANJIR yang melanda lebih awal dari jangkaan di beberapa kawasan di sekurang-kurangnya enam negeri memaksa perubahan corak berkempen di situ bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Setakat pagi ini, seramai 3,196 mangsa banjir berada di 28 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri, iaitu Perak, Selangor, Johor, Kelantan, Melaka dan Pulau Pinang.

    Berikutan situasi itu, kempen beberapa calon serta ceramah politik membabitkan parti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) serta Pakatan Harapan (PH) dilaporkan terpaksa ditangguhkan seketika hingga memaksa gerak kerja kempen kini disesuaikan mengikut keadaan semasa dengan mendahulukan bantuan kepada rakyat yang terjejas.

    Beberapa calon dilihat mengharungi air banjir untuk bertemu dan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir. Seorang daripadanya calon PH Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang Nurul Izzah Anwar yang berbaju kurung dan baju hujan.

    Malah beberapa calon di Selangor terpaksa menangguhkan dan beralih kepada misi menyantuni mangsa banjir. Antaranya, Parlimen Sungai Buloh yang merupakan kerusi tumpuan turut menyaksikan calon BN Khairy Jamaluddin sanggup menangguhkan kempennya seketika untuk bertemu penduduk terkesan dengan banjir.

    Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang juga calon PH bagi Parlimen Gombak dan calon PN bagi Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali juga antara yang dilihat membatalkan aktiviti kempen untuk meninjau keadaan banjir di kawasan terlibat.

    Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Monsun Timur Laut bermula pertengahan November dan berlanjutan sehingga Mac tahun depan yang berisiko berlakunya hujan lebat sehingga boleh menyebabkan banjir terutama di kawasan rendah selain fenomena air pasang besar boleh melanda kawasan pantai antara November dan Januari tahun depan.

    Situasi cuaca tidak menentu menyebabkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor bersiap siaga meletakkan anggota bersama aset bantuan di beberapa lokasi bencana untuk memantau keadaan semasa terutama di persisiran pantai dan sungai.

    “Bomba akan siap siaga berdasarkan keadaan cuaca seperti air hujan bertakung atau kenaikan paras air. Kita akan gunakan aset seperti bot dan lori pengangkut untuk sebarang kemungkinan,” kata Pengarah JBPM negeri Norazam Khamis ketika dihubungi Bernama.

    Di Pahang, calon BN bagi Parlimen Raub Datuk Chong Sin Woon berkata MCA mempunyai pasukan khas yang bersiap sedia untuk digerakkan pada bila-bila masa bagi membantu masyarakat di kawasan berisiko banjir, menunaikan kewajipan itu.

    Beliau mengakui situasi banjir atau hujan lebat pada hari pengundian 19 Nov ini, sedikit sebanyak akan mempengaruhi pengundi untuk keluar mengundi. 

    “… untuk mereka yang bukan penyokong tegar mana-mana parti, kalau hujan lebat tak adalah kesegeraan untuk mereka mengundi. Bagaimanapun untuk menarik pengundi, kita boleh hantar kenderaan dan menyediakan peralatan seperti payung dan sebagainya. Kita dah siap sedia perkara itu,” katanya.

    Calon PH-DAP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari di Pahang, Thomas Su Keong Siong, juga berpandangan peratusan keluar mengundi akan turun dengan mendadak jika banjir, dan bagi meringankan beban rakyat, PH, menurut beliau akan mengutamakan aspek membantu mangsa banjir terlebih dahulu. 

    “Saya berharap tak ada banjir walaupun sekarang kerap hujan. Kalau banjir, peratusan keluar (mengundi) tidak tinggi… bayangkan kalau rumah sendiri sudah dinaiki air, mana ada ‘mood’ untuk mengundi. Kalau kita tidak membantu sebaliknya suruh mereka mengundi, itu mementingkan diri,” katanya.

    Di Kelantan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata jentera BN Kelantan bersedia dengan peralatan seperti bot, keperluan makanan dan sebagainya bagi membantu pihak berkuasa dalam operasi penyelamatan dan perpindahan mangsa banjir.

    Turut menyatakan kesediaan, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan Kolonel (PA) Mohd Adzhar Mujab yang menjelaskan bahawa seramai 1,349 anggota APM bersama logistik seperti 14 buah lori dan 78 buah bot sedia untuk digerakkan sekiranya berlaku banjir termasuk pada hari pengundian.

    Di Terengganu, 30 lokasi berisiko banjir telah dikenal pasti di empat daerah iaitu Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Besut.

    Setiausaha Kerajaan Negeri Tengku Datuk Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan bagi penyediaan barangan keperluan dan makanan buat mangsa banjir kali ini. – BERNAMA