SEORANG remaja maut apabila kereta dipandunya terbakar selepas bertembung dengan sebuah lori di Kampung Jirok, Jalan Serian-Sri Aman, di Serian, malam tadi.
Mangsa, Derry Ronston Jong, 18, ditemui meninggal dunia dalam kereta jenis Perodua Alza itu dengan mengalami kesan melecur 20 peratus.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu pada pukul 10.24 malam sebelum mengerahkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi, pasukan mendapati sebuah lori 10 tan bertembung dengan sebuah kereta Perodua Alza.
“Kemalangan itu menyebabkan kereta Perodua Alza terbakar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, mangsa berkenaan kemudian ditemui mati di dalam kereta itu yang terbakar keseluruhan.
“Mangsa didapati melecur 20 peratus. Pemandu lori berusia 55 tahun serta kelindan lori berumur 49 tahun pula dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan, dan dihantar menggunakan EMRS bomba ke Hospital Serian untuk mendapat rawatan,” katanya.
Katanya, pasukan memadamkan sepenuhnya api pada kereta itu menggunakan satu aliran saluran bantu mula air dari pam jentera.
“Pasukan kemudian menyerahkan mayat mangsa kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 2 pagi,” katanya lapor BH Online.
SEORANG kanak-kanak maut, manakala dua rakannya tidak sedarkan diri akibat dihempap tiang elektrik yang dilonggok di tepi jalan di Kampung Belukar Changlun, Bukit Kayu Hitam di Kubang Pasu hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang tadi, kesemua kanak-kanak lelaki yang berusia 11 tahun itu dipercayai bermain di atas longgokan tiang tersebut yang kemudian terjatuh.
Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian disahkan oleh petugas kesihatan.
Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian disahkan oleh petugas kesihatan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saadon berkata, dua kanak-kanak yang tidak sedarkan diri itu kini menerima rawatan di Hospital Jitra.
“Komander Operasi melaporkan kejadian melibatkan tiga mangsa yang dipercayai bermain berdekatan tiang elektrik itu yang dilonggokan di tepi jalan berkenaan.
“Tiang tersebut dipercayai telah terjatuh dan menghempap mangsa. Semasa anggota tiba di lokasi ketiga-tiga mangsa telah berjaya dibawa keluar oleh orang awam dengan menggunakan jengkaut,” katanya hari ini.
Semua kanak-kanak lelaki yang berusia 11 tahun itu dipercayai bermain di atas longgokan tiang tersebut yang kemudian terjatuh.
Menurut Saayani, pasukannya membawa seorang mangsa yang tidak sedarkan diri ke Hospital Jitra, manakala seorang lagi mangsa dibawa oleh ambulan Kementerian Kesihatan.
“Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
DUA lelaki termasuk seorang warga emas cedera selepas tabung gas asli (NGV) pada sebuah lori meletup di sebuah stesen minyak dekat Kawasan Perindustrian Dato Onn, Jalan Langkasuka, Johor Bahru, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, pemandu lori berusia 64 tahun dilaporkan cedera ringan di tangan, namun pekerja stesen minyak berkenaan berusia 57 tahun cedera dan perlu dikejarkan ke hospital.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Mohd. Faiz Suleiman, kedua-dua mangsa itu cedera selepas terkena serpihan tabung NGV yang meletup itu.
Letupan tabung NGV itu turut mengakibatkan sebuah teksi yang berada di stesen minyak, bangunan stesen minyak dan sebuah asrama pasar raya berhampiran stesen minyak rosak.
Katanya, letupan tabung NGV itu turut mengakibatkan sebuah teksi yang berada di stesen minyak, bangunan stesen minyak dan sebuah asrama pasar raya berhampiran stesen minyak rosak.
“Selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.05 tengah hari, seramai 14 anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
“Letupan berlaku ketika pengisian gas ke dalam tabung tong NGV itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Pemandu lori berusia 64 tahun dilaporkan cedera ringan di tangan, namun pekerja stesen minyak berkenaan berusia 57 tahun cedera dan perlu dikejarkan ke hospital.
Beliau berkata, pihaknya kemudian memberi rawatan kepada pemandu lori yang cedera ringan dan kemudian menghantar pekerja stesen minyak ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru, untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Seorang lagi pekerja stesen minyak iaitu wanita berusia 37 tahun dilaporkan selamat, namun trauma,” katanya seperti dilaporkan BH Online.
TIGA lelaki maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah van dan kereta di Kilometer 15 Jalan Kluang-Teck Wah Hing, Kluang pada pukul 4 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan dalam keadaan hujan renyai itu melibatkan sebuah kereta Proton Wira dengan sebuah van Placer-X.
“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati van dari arah Renggam menghala ke Kluang manakala kereta pula dari arah bertentangan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta itu disyaki telah hilang kawalan dan masuk laluan van lalu berlanggar.
“Akibat daripada perlanggaran itu, pemandu kereta tersebut, Muhammad Haziq Haiqal Mohd. Faizal, 20 cedera teruk di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Pemandu dan semua penumpang yang menaiki van cedera dan dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang
Katanya, penumpang belakang kereta berkenaan, Muhammad Khairil Rosli, 17, juga cedera teruk di bahagian kepala sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara seorang penumpang hadapan kereta itu katanya, Ariffudin Khairum Ab. Ghafar, 21, cedera dalaman dan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.
Menurutnya, seorang lagi penumpang belakang kereta berkenaan, Muhd. Haziq Kamarul Azhar, 17, patah kaki kiri serta masih menerima rawatan Zon kuning di HEBHK.
Bahrin berkata, pemandu van pula, Ariffin Othman, 43, cedera di kepala, tangan kiri dan kanan serta kaki sebelah kanan, masih menerima rawatan zon hijau di HEBHK.
“Isterinya iaitu penumpang hadapan van tersebut, Zalinda Mohamad, 42, cedera di mata sebelah kiri serta masih menerima rawatan zon hijau di HEBHK.
Pemandu dan penumpang belakang kereta Proton Wira maut di tempat kejadian manakala seorang penumpang hadapan meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital
“Sementara anaknya yang merupakan penumpang belakang, Mohamad Hazriq Saufi Ariffin, 15, cedera di kaki kanan patah serta masih menerima rawatan zon kuning di HEBHK.
“Begitu juga dengan seorang lagi anak mereka iaitu penumpang belakang van berkenaan, Nur Elsta Soffiya Ariffin, 11, cedera di kaki kanan serta masih menerima rawatan zon hijau di hospital sama,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Shoromi Salih berkata, sebuah jentera Fier Rescue Tedner (FRT) bersama lapan anggota ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 4.29 petang.
Anggota bomba membersihkan laluan tersebut dan operasi tamat pada jam 5.14 petang tadi
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian didapati berlaku kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah kereta dan van berkenaan.
“Terdapat empat mangsa yang tersepit dalam kereta tersebut dengan dua daripadanya iaitu di bahagian tempat duduk pemandu dan penumpang kereta disahkan maut di lokasi kejadian oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“PKO bertindak mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan memotong manakala seterusnya empat mangsa cedera diserahkan kepada pihak ambulan KKM.
“Mangsa yang maut di serahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada 5.14 petang tadi,” katanya.
SERAMAI 16 penumpang cedera ringan apabila bas ekspres dinaiki mereka merempuh sebuah treler di Kilometer 179.2 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) di Jasin pada pagi Isnin.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari, Pegawai Bomba Kanan II Azman Md Dawam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.57 pagi dan seramai 17 pegawai serta anggota daripada BBP Jasin Bestari dan Tangkak digegaskan ke lokasi.
“Sejurus tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati sebuah bas ekspres membawa 27 penumpang telah melanggar sebuah treler membawa muatan barangan kitar semula.
“Kejadian tidak membabitkan kemalangan jiwa dan kesemua 16 penumpang itu telah diberi rawatan awal,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, kesemua penumpang terlibat adalah warga Singapura dan bas tersebut dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.
Beliau berkata bas ekspres dipandu lelaki berusia 42 tahun itu dipercayai hilang kawalan dan melanggar belakang treler berkenaan di lorong paling kiri.
Katanya kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
SEORANG remaja lelaki maut selepas tercampak dari sebuah jambatan setelah motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Besar Nilai-Pajam, Nilai, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata dalam kejadian pada 1.57 pagi itu, mangsa berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederan parah di badan dan kepala setelah tercampak dari jambatan berketinggian 30 meter.
“Siasatan awal mendapati, kereta tersebut yang sedang dalam perjalanan dari arah Bandar Baru Nilai menghala ke arah Pajam, telah bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa dari arah bertentangan yang secara tiba-tiba masuk ke laluan kereta berkenaan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak dari jambatan manakala pemandu kereta iaitu lelaki berusia 29 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
SEORANG lelaki berusia lingkungan 50-an ditemukan lemas di sungai berhampiran Pandamaran Jaya, Klang, tengah hari tadi.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 10.34 pagi daripada seorang individu yang memberitahu ternampak seorang lelaki terkapai-kapai meminta tolong sebelum tenggelam di sungai berkenaan.
Beliau berkata sepasukan 10 anggota termasuk pegawai dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang dikerah dalam operasi berkenaan.
“Anggota Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) kemudian melakukan selaman di dasar sungai dan berjaya menemukan mangsa.
“Mangsa dibawa ke darat sebelum pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi mengesahkannya sudah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan.
Norazam berkata pihak polis juga tidak menjumpai sebarang identiti pada mangsa.
SEORANG pelajar tingkatan tiga maut, manakala rakannya cedera apabila motosikal dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah lori di simpang tiga Gajah Puteh, Mukim Jeneri di Sik pada pukul 7.45 malam, semalam.
Mangsa, Muhammad Naufal Muhammad Lutfi, 15, meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Hospital Daerah Sik.
Rakannya, Muhammad Alif Ikmal Abdul Razak yang turut berusia 15 tahun dan penunggang motosikal itu cedera di beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, kemalangan membabitkan kedua-dua pelajar yang menaiki motosikal jenis Honda C100 dengan sebuah lori dipandu lelaki berusia 36 tahun.
Katanya, lori tersebut datang dari arah Pendang menghala ke Sungai Petani, manakala motosikal terbabit datang dari arah Dewan Teratai di Gajah Puteh menghala ke Kampung Betong.
“Apabila tiba di tempat kejadian, pemandu lori tersebut telah nampak kedua-dua mangsa yang sedang menunggang motosikal dan telah membunyikan hon beberapa kali sebelum mereka memberhentikan motosikalnya.
“Malangnya, tiba-tiba mangsa membelok ke kanan jalan menyebabkan pemandu lori tidak sempat menekan brek dan mengelak, lalu terlanggar motosikal mangsa di bahagian sebelah kirinya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Difahamkan mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Agama Irsyadiah, Pondok Ampang di Jeneri, Sik tercampak dan mengalami kecederaan.
Kedua-dua mereka kemudian dibawa ke hospital oleh ambulan Pasukan Briged Sukarelawan Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM) untuk mendapatkan rawatan.
Namun, mangsa meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan kerana kecederaan parah di bahagian kepala, sementara rakannya mengalami luka di lutut sebelah kanan, calar di ibu jari kaki sebelah kanan serta sakit-sakit badan.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik hospital terbabit untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
SEORANG pemandu lori warga emas maut selepas kenderaan itu terbabas dan terbalik di Kilometer 15, Jalan Kampung Budu-Tualang Padang, Benta, dekat Lipis pukul 4.35 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, mangsa, Johari Md Jali, 70, yang beralamat di Kampung Sementeh, Lanchang, meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan mendapati kemalangan itu berlaku apabila lori dipandu mangsa telah hilang kawalan semasa melalui jalan yang berselekoh serta menuruni bukit.
“Ketika kejadian, mangsa yang memandu lori dalam perjalanan dari Lanchang membawa muatan tar untuk dihantar ke Kampung Kemahang, Benta.
“Ketika menuruni bukit yang berselekoh, lori yang dipandunya telah hilang kawalan lalu telah terbabas ke sebelah kanan jalan dan terbalik,” katanya dalam kenyataan di Lipis malam ini.
Katanya, mangsa yang tersepit dalam bahagian kepala lori telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan akibat cedera parah di kepala.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Ketua Zon Tiga, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Shahrul Nizam Nasir berkata, seramai lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lipis dikejarkan ke lokasi kemalangan dengan menaiki dua jentera.
“Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.
SEORANG kanak-kanak berusia sembilan tahun maut, selepas kereta dinaiki empat sekeluarga terbabit kemalangan di Munggu Tapang, Bukit Bangunan di Sri Aman, hari ini.
Dalam kejadian itu, budak tersebut lelaki berkenaan menaiki kenderaan terbabit bersama bapanya yang juga pemandu, ibu dan seorang lagi adiknya berusia enam tahun.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu pukul 5.15 petang dengan menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman ke lokasi kejadian.
“Kemalangan membabitkan sebuah kereta yang terbabas akibat hilang kawalan.
“Terdapat empat orang mangsa yang terbabit di dalam kemalangan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, semua mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum Bomba sampai lokasi kejadian.
Menurutnya, pemandu kenderaan terbabit mengalami cedera ringan, manakala seorang anak mangsa yang berumur sembilan tahun tidak sedarkan diri dan disahkan maut oleh petugas Kementerian Kesihatan.
“Ibu mangsa dan seorang lagi anak mangsa yang berumur enam tahun yang selamat dan dibawa ke Klinik Pantu,” katanya, lapor Berita Harian.