Category: Kemalangan / Bencana

  • Dua mayat rentung dijumpai dalam pondok pengawal

    Dua mayat rentung dijumpai dalam pondok pengawal

    DUA ditemukan rentung dalam pondok pengawal keselamatan yang terbakar di Taman Bayam Indah, Lunas, Kulim, Kedah malam tadi.

    Difahamkan, mayat terbabit masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita ditemukan dalam pondok diperbuat daripada kontena di kawasan perumahan itu.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 10.56 malam memaklumkan mengenai kebakaran terbabit.

    “Ketika memadam kebakaran anggota bomba mendapati terdapat dua mangsa rentung dalam kontena terbabit.

    “Siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada dalam kontena dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya, lapor BH Online.

    Difahamkan, setakat ini polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan dan bedah siasat sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian.

  • 33 tinggal sehelai sepinggang, 5 rumah musnah dalam kebakaran

    33 tinggal sehelai sepinggang, 5 rumah musnah dalam kebakaran

    LIMA buah rumah musnah dalam kebakaran di Lorong 1, Kampung Pulo Ulu, di Kuching, awal pagi tadi.

    Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak, Hendery Ardimansyah berkata, kejadian menyebabkan 33 penghuni tinggal sehelai sepinggang.

    ‘Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Pihaknl bomba menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 1.46 pagi dan segera mengaktifkan tiga jentera dengan kekuatan 29 anggota ke lokasi dari Balai Petra Jaya, Tabuan Jaya dan Padungan.

    “Setiba di lokasi, pasukan operasi melaporkan kebakaran melibatkan lima rumah jenis tidak kekal.

    “Pasukan operasi menggunakan tiga aliran dengan tujuh nozel untuk mengepung api daripada merebak lebih luas,” katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau berkata, operasi memadam kebakaran lancar apabila tekanan air juga berfungsi baik, dengan pasukan menggunakan sumber pili, sumber terbuka dari Sungai Sarawak dan sumber air dari jentera.

    Kebakaran katanya, berjaya dikawal pada pukul 2.18 pagi, dengan pemadaman sepenuhnya berlaku pada pukul 5.51 pagi.

    Selain lima kediaman terbabit, siasatan awal mendapati sebuah kenderaan Perodua Axia dan empat motosikal berlainan jenama turut musnah, katanya.

    “Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pasukan forensik bomba,” katanya lapor Astro Awani.

  • Ajal digilis lori ketika konvoi bermotosikal

    Ajal digilis lori ketika konvoi bermotosikal

    KONVOI bermotosikal yang disertai seorang lelaki bertukar tragedi apabila motosikal ditunggangnya terbabit nahas dengan sebuah lori tanpa muatan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat Simpang Pulai, di Ipoh, tengah hari ini.

    Lebih tragis apabila mangsa berusia 47 tahun yang menunggang motosikal Yamaha MZ150 maut selepas digilis tayar lori berkenaan pada bahagian kepala.

    Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai, Mohd Sapri Yeop Mohamad berkata, kejadian turut mengakibatkan seorang lagi penunggang motosikal lain berusia 50-an yang berada di belakang cedera ringan akibat terbabas.

    “Difahamkan terdapat 40 motosikal dalam perjalanan ke Cameron Highlands kerana mengikuti konvoi itu.

    “Lori yang terbabit dalam nahas ini adalah lori 10 tan tanpa muatan. Bomba mengambil masa kira-kira lima minit bagi membawa keluar mangsa yang digilis itu,” katanya sewaktu dihubungi, lapor Harian Metro.

    Khidmat anggota bomba BBP Simpang Pulai digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pukul 1.49 tengah hari tadi dengan operasi tamat pukul 3.19 petang.

  • Banjir: 1,806 penduduk empat negeri termasuk Johor terjejas bencana

    Banjir: 1,806 penduduk empat negeri termasuk Johor terjejas bencana

    JUMLAH mangsa banjir di Kelantan dan Pahang merekodkan peningkatan petang ini, manakala Segamat menjadi daerah pertama di Johor dilanda bencana itu.

    Setakat 4 petang tadi, mangsa banjir di empat negeri yang terjejas merekodkan seramai 1,806 orang.

    Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 657 orang daripada 212 keluarga petang ini, berbanding 280 mangsa daripada 84 keluarga pagi tadi.

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kelantan memaklumkan kesemua mangsa banjir berkenaan ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Rantau Panjang, Pasir Mas.

    Seramai 450 mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, SK Gual Periok (81), SK Kubang Kual (66) dan PPS Putat Tujoh (60).

    Di PAHANG, 581 orang telah dipindahkan ke 11 PPS sehingga 4 petang tadi berbanding 537 mangsa di lapan PPS pada 8 pagi tadi.

    Sekreteriat JPBN Pahang memaklumkan daerah Temerloh mencatatkan bilangan mangsa tertinggi iaitu seramai 382 orang diikuti Lipis (83), Raub (48), Jerantut (39) dan Bera (29).

    Di JOHOR, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dalam satu kenyataan memaklumkan 22 mangsa daripada tujuh keluarga dipindahkan ke PPS Balai Raya Kampung Batu Badak, Segamat pada 12 tengah hari tadi susulan limpahan air dari Sungai Muar.

    Menurut kenyataan itu kesemua mangsa merupakan penduduk Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5.

    Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir menurun sedikit kepada 546 orang daripada 137 keluarga petang ini berbanding 599 mangsa daripada 154 keluarga pagi tadi.

    Sekretariat JPBN Terengganu dalam kenyataan memaklumkan setakat 3 petang tadi, tujuh PPS dibuka di empat daerah iaitu di Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Kemaman.

    Daerah Kemaman menempatkan 279 mangsa banjir, Kuala Nerus (220), Kuala Terengganu (43) dan Setiu (empat).- BERNAMA

  • Dua beradik lemas ketika mandi pantai di waktu senja

    Dua beradik lemas ketika mandi pantai di waktu senja

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA beradik maut akibat lemas ketika mandi-manda bersama seorang lagi rakan mereka di Pantai Cenang dekat Langkawi, senja semalam.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, dua beradik tersebut dikenali sebagai R. Yuvaaraj, 22, dan R. Ravishangkar, 26, difahamkan tiba di pantai tersebut bersama dua lagi rakan mereka iaitu M. Sivaprakash Naidu, 25 dan R. Jeyakumar, 24 kira-kira pukul 7 petang.

    Katanya, kesemua mereka yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang datang bercuti ke Langkawi sejak kelmarin dan sepatutnya pulang hari ini.

    “Setibanya di pantai, dua beradik itu bersama Sivaprakash turun ke laut untuk mandi manakala Jeyakumar pula tidak menyertai mereka untuk berbuat demikian. Semasa mandi, datang ombak besar yang tanpa disedari telah menarik ketiga-tiga mereka ke kawasan lebih dalam.

    “Keadaan itu menyebabkan kesemua mereka terkapai-kapai meminta tolong. Sivaprakash berjaya berenang ke tepi pantai dan diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertugas di Menara APM berhanpiran manakala dua beradik tersebut terus hilang dari pandangan,” katanya.

    Tambahnya, pencarian dilakukan pihak berwajib kemudiannya berjaya menemukan mayat Yuvaaraj kira-kira pukul 9.35 malam.

    “Mayat abangnya pula ditemukan kira-kira pukul 12.40 tengah malam tadi,” katanya.

    Katanya, mayat kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) untuk dibedah siasat.

    “Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

  • Tiga maut, tiga cedera kemalangan dua kenderaan di Sitiawan

    Tiga maut, tiga cedera kemalangan dua kenderaan di Sitiawan

    TIGA maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jambatan Permaisuri Bainun, Sitiawan, malam tadi. 

    Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan berkata mangsa yang meninggal dunia merupakan pasangan suami isteri dan seorang kanak-kanak lelaki yang menaiki kereta jenis Proton Saga.

    Beliau berkata dua lagi kanak-kanak lelaki dan perempuan dalam kenderaan yang sama serta pemandu kenderaan SUV jenis Chevrolet mengalami kecederaan.

    “Kita terima panggilan kecemasan pada 11.13 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati kenderaan jenis Chevrolet telah terbakar 80 peratus. 

    “Tiga orang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala mangsa yang cedera diberikan rawatan awal dan tiada mangsa yang tersepit,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Menurutnya kesemua mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis manakala yang cedera dibawa ke hospital oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya. 

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi memberitahu Bernama, identiti kesemua yang terlibat dalam kemalangan itu akan dimaklumkan kemudian. – BERNAMA 

  • Ops Tapis Khas:Pelajar antara tokan dadah ditahan

    Ops Tapis Khas:Pelajar antara tokan dadah ditahan

    TIGA pelajar termasuk seorang daripadanya tokan dadah antara yang ditahan dalam Op Tapis Khas Siri 7 di Felda, Felcra, Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Projek Perumahan Rakyat (PPR), jeti dan sarang penagih.

    Mereka antara 4,177 individu ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah dalam operasi yang bermula Selasa lalu hingga kelmarin oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama kontinjen membabitkan 680 pemeriksaan di seluruh negara.

    Menurut Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin, sepanjang operasi berkenaan dijalankan, seramai 4,878 ditahan dan diperiksa.

    “Daripada jumlah itu, seramai 4,177 individu berusia 13 hingga 71 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan dadah, manakala bakinya dilepaskan.

    “Mereka yang ditahan terdiri 484 tokan dadah termasuk seorang daripadanya masih belajar dan enam warga asing yang turut menjadi tokan.

    “Seramai 1,982 individu ditahan kerana menagih dadah membabitkan lima penjawat awam dan seorang lagi masih belajar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Noorsiah berkata, seramai 307 individu ditahan kerana dikehendaki polis atas pelbagai kesalahan dadah dan 1,404 atas kesalahan lain-lain dan daripada jumlah itu 177 warga asing serta seorang pelajar.

    Jelasnya, pecahan tangkapan mengikut siasatan pula adalah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (136), Seksyen 39A (2) ADB 1952 (83), Seksyen 39A(1) ADB 1952 (265), Seksyen 39C ADB 1952 (243) dan Seksyen 12(2) ADB 1952 (831).

    “Bagi Seksyen 6 ADB 1952 pula seramai 51 tangkapan, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 (279), Seksyen 15(1)(a) ADB 1952(1,912) Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Dadah 1983 (70) dan orang dikehendaki seramai 307 tangkapan,” katanya.

    Beliau berkata, dalam operasi itu seberat 181.84 kilogram (kg) dan 1,003.12 liter pelbagai jenis dadah berjaya dirampas yang dianggarkan bernilai RM3,634,566

    “Turut dirampas adalah senjata api, dua laras senapang buatan sendiri dan lima butir peluru hidup.

    “Selain itu, tindakan juga diambil mengikut ADB (Perlucuthakan Harta) 1988. JSJN menyita pelbagai aset yang dianggarkan bernilai RM612,563.00 antaranya wang tunai berjumlah RM32,663, barang kemas bernilai RM49,600 dan kenderaan bernilai RM530,300,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Kanak-kanak 7 tahun lemas jatuh tali air

    Kanak-kanak 7 tahun lemas jatuh tali air

    SEORANG budak lelaki berusia tujuh tahun lemas di tali air di Kampung Jambu Merah, Melor, Kota. Bharu, semalam.

    Kanak-kanak berkenaan, Muhammad Uwais Arsyad Mohd. Safwan disahkan meninggal dunia pada pukul 6.50 petang.

    Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama keluarganya ke tali air itu pada pukul 5 petang kerana bapanya yang berusia 33 tahun ingin memukat dan memancing ikan.

    “Sampai di lokasi kejadian, mangsa meminta kebenaran bapanya untuk turun bermain di tali air berkenaan.

    “Lelaki itu membenarkannya sebelum terus memancing ikan di kawasan petak sawah,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di Kota Bharu hari ini.

    Menurutnya, selang beberapa minit kemudian, bapanya mendapati anak lelakinya tiada dan cuba mencari di sekitar kawasan berkenaan.

    Lelaki tersebut katanya, mencari anaknya termasuk hingga dalam tali air dan mendapati mangsa berada di dasar tali air.

    “Mangsa dibawa naik ke tebing dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Mahligai, Bachok namun disahkan meninggal dunia,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Tambah beliau, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.

    “Hasil bedah siasat mendapati sebab-sebab kematian mangsa akibat lemas. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

  • Remaja maut kemalangan dengan treler

    Remaja maut kemalangan dengan treler

    SEORANG ramaja meninggal dunia selepas motosikal yang ditungganginya dilanggar treler di simpang tiga kawasan perindustrian Bukit Kayu Hitam, Bukit Kayu Hitam, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada pukul 2.20 petang tadi.

    “Kemalangan tersebut membabitkan treler dan motosikal Y15Z, yang ditunggangi pelajar sekolah berusia 16 tahun.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila treler dipandu lelaki berusia 48 tahun itu, yang bergerak dari arah jalan utama menghala ke Temin, membelok secara tiba-tiba untuk ke simpang sebelah kanan dan melanggar motosikal mangsa yang bergerak dari arah bertentangan.

    “Akibat pelanggaran itu, remaja lelaki terbabit cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jitra (HJ) untuk mengenal pasti punca kematian,” katanya lapor BH Online.

    Rodzi berkata, hasil siasatan mendapati, kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu treler ketika memasuki simpang.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987 dan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu ditahan untuk pemeriksaan Puspakom Sdn Bhd (Puspakom).

    Beliau juga meminta saksi kejadian untuk tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi IPD Kubang Pasu di talian 04-9172222.

  • Kebakaran di Kementerian Kewangan

    Kebakaran di Kementerian Kewangan

    KEBAKARAN yang berlaku di Kementerian Kewangan hari ini sudah dipadamkan, kata laporan.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Putrajaya berkata, kebakaran di Kementerian Kewangan itu berlaku pada 2.30 petang tadi.

    “Kebakaran itu berpunca daripada sisa pepejal di tapak pelupusan. Ia berjaya dikawal dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” kata sumber JBPM Putrajaya kepada Free Malaysia Today.

    Visual kebakaran itu turut tular di media sosial.

    Jurucakap Kementerian Kewangan mengesahkan kebakaran itu dan memaklumkan kenyataan media akan dikeluarkan tidak lama lagi.