Category: Kemalangan / Bencana

  • Tanah runtuh Batang Kali: Identiti 21 mangsa maut belum dikenal pasti – Polis

    Tanah runtuh Batang Kali: Identiti 21 mangsa maut belum dikenal pasti – Polis

    IDENTITI kesemua 21 mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di Hulu Selangor masih belum dikenal pasti.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah berkata, mereka yang terkorban ditemukan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.

    “Seramai 21 mangsa (terkorban) yang kita jumpa itu semuanya tiada dokumen.

    “Sekarang mereka Hospital Sungai Buloh dan sedang mencari waris mangsa yang hilang untuk membuat pengecaman,” katanya dalam sidang media di Hulu Selangor hari ini seperti dilaporkan Astro Awani.

    Suffian menambah arahan bedah siasat mangsa yang terkorban telah dikeluarkan semalam.

    Terdahulu, seramai 135 petugas operasi dan menyelamat (SAR) yang pakar dengan kejadian tanah runtuh dikerah ke lokasi runtuhan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku, selain memastikan keselamatan pasukan bertugas.

    Setakat malam tadi, seramai 21 mangsa disahkan meninggal dunia dalam kejadian runtuhan tanah di Jalan Batang Kali – Gohtong Jaya, manakala 12 orang lagi masih hilang.

    Seramai 94 individu terlibat dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku pada awal pagi Jumaat.

  • Tanah runtuh: Peluang 12 mangsa ditemukan hidup tipis

    Tanah runtuh: Peluang 12 mangsa ditemukan hidup tipis

    PENGARAH Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis memaklumkan, peluang untuk 12 mangsa ditemukan dalam keadaan selamat disifatkan amat tipis.

    Jelas beliau, ini memandangkan faktor runtuhan dan jangka masa kejadian yang sudah memasuki hari kedua.

    “Secara kasarnya peluang untuk mangsa hidup amat tipis. Runtuhan melibatkan badan mangsa ditimbus dengan tanah sekali gus mengakibatkan mangsa sesak nafas berdasarkan keadaan dan lokasi kejadian.

    “Melainkan sekiranya mangsa di kawasan timbunan tanah yang mana terdapat timbunan kayu dan batu, risiko mangsa selamat mungkin ada kerana mempunyai ruang udara,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di lokasi kejadian tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya di Hulu Selangor, hari ini.

  • Tanah runtuh: Tiga warga Singapura ditemui selamat

    Tanah runtuh: Tiga warga Singapura ditemui selamat

    KEMENTERIAN Luar (Wisma Putra) mengesahkan tiga warga Singapura ditemui selamat dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, awal pagi semalam.

    Kementerian dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kerajaan Malaysia bertindak pantas dalam memastikan semua yang terjejas akibat tragedi itu diberi bantuan segera.

    “Marilah kita semua berdoa untuk keselamatan mangsa yang terjejas dan mereka yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat,” menurut kenyataan itu.

    Wisma Putra turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa dan keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam insiden tragis berkenaan.

    Kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi Jumaat melibatkan 94 individu termasuk pekerja tapak perkhemahan.

    Setakat malam tadi, 12 orang dilaporkan hilang manakala 21 disahkan terkorban daripada keseluruhan 94 mangsa dalam kejadian itu.

  • Tanah runtuh Batang Kali: Runtuhan setinggi bangunan 10 tingkat

    Tanah runtuh Batang Kali: Runtuhan setinggi bangunan 10 tingkat

    RUNTUHAN tanah yang melebihi 10 tingkat bangunan menyukarkan proses pencarian dan penyelamatan mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali.

    Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menerusi kenyataannya berkata, runtuhan tanah adalah lebih daripada 10 tingkat bangunan sehingga ia menyukarkan kerja- kerja penyelamatan dijalankan

    “Walaubagaimana pun, usaha daripada anggota bomba yang tidak berputus asa mencari mangsa yang masih hilang adalah amat dihargai.

    “Mohon kepada semua pihak untuk mendoakan agar segala urusan dapat dipermudahkan dan semoga keluarga mangsa yang terkorban di tragedi Father’s Organic Farm diberi kekuatan dan kesabaran,” katanya menerusi satu hantaran di Twitter hari ini.

    Setakat ini 12 lagi mangsa runtuhan ketika perkhemahan itu masih belum dijumpai.

    Jelas beliau, kerja-kerja penyelamatan masih gigih dijalankan oleh pasukan bomba serta penyelamat di tempat kejadian dan kerajaan juga akan terus berusaha sehingga semua mangsa yang hilang dapat ditemui.

    Meninjau ruangan komen, rata-rata netizen di Twitter mendoakan agar mangsa yang hilang dapat ditemui segera serta mendoakan agar ahli keluarga mangsa diberikan ketabahan untuk menghadapi dugaan tersebut.

    “Insiden ini sungguh menyayat hati. Semoga dipermudahkan segala urusan,” ciap seorang netizen, @ctkusut seperti dilaporkan SatuBerita.

    “Semoga semua ahli keluarga yang terlibat dan anggota penyelamat diberikan ketabahan mengharungi dugaan ini. Kami (rakyat Malaysia) sungguh bersimpati atas kehilangan yang anda alami,” kata @umiAuni3010 di Twitter. 

  • Wanita harap keluarga abang selamat

    Wanita harap keluarga abang selamat

    SEORANG wanita dari Machap Baru di Alor Gajah bimbang memikirkan nasib abang dan kakak iparnya yang tidak dapat dihubungi sejak insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Batang Kali, Hulu Selangor, semalam.

    Tai Yi Wei, 27, berkongsi perasaan yang menghantui mereka sekeluarga dengan memuat naik status di akaun Facebook miliknya.

    Katanya, abang keempat daripada tujuh beradik itu bekerja sebagai pengurusan mayat manakala isterinya bekerja sebagai guru pergi bercuti bersama dua orang anak mereka berusia empat serta tujuh tahun.

    “Percutian di perkemahan tersebut turut disertai keluarga rakan baik abang dari Melaka yang keseluruhan berjumlah lapan orang.

    “Sebelum insiden itu berlaku abang ada memuat naik status dalam Facebook miliknya memaklumkan dua buah keluarga itu dari Machap Baru berkhemah di Batang Kali.

    “Sehingga kini saya resah dan mengharapkan satu panggilan sahaja daripada mereka bahawa mereka selamat daripada kejadian tanah runtuh itu,” tulisnya beserta pautan berita mengenai insiden tersebut.

    Jelasnya, kawan abang yang turut bersama dalam perkhemahan itu ada menghubungi keluarganya dan memberitahu mereka telah selamat sampai di tapak perkhemahan itu di Batang Kali beberapa hari lalu.

    “Selepas insiden itu saya rasa tidak sedap hati dan cuba menghubungi mereka berulang kali.

    “Namun panggilan masih tidak dijawab, biarpun ada deringan dan mereka dijangka pulang semalam,” katanya lapor Sinar Harian, hari ini.

    Tambahnya, adik beradiknya yang lain telah ke hospital untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai mangsa terselamat, namun nama keluarganya. tidak tersenarai.

    Ujarnya, abang kelima mereka diberitahu terdapat sekumpulan lebih kurang 20 mangsa dari Melaka yang diselamatkan, namun malangnya nama keluarga abangnya tiada dalam senarai itu.

    “Kami mengharapkan keajaiban dan orang ramai tolong sama mendoakan keselamatan kedua-dua keluarga ini,” katanya.

  • Tanah runtuh Batang Kali: Operasi SAR fokus dua tapak perkhemahan, guna jentera berat

    Tanah runtuh Batang Kali: Operasi SAR fokus dua tapak perkhemahan, guna jentera berat

    OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya diteruskan dengan memberi tumpuan kepada dua kawasan di Farmview dan Riverside, dipercayai kawasan mangsa terperangkap.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan kepada lokasi mangsa terakhir ditemukan antara dua lokasi tersebut semalam.

    “Operasi SAR hari ini turut menggunakan jentera berat atau jengkaut bagi mengalihkan tanah dan pokok besar yang tumbang bersama aliran tanah.

    “Setakat ini tiada pergerakan tanah dilaporkan namun masih terdapat aliran air dan keadaan tanah yang lembut dikhuatiri menyebabkan pergerakan dan gelinciran tanah,” katanya kepada pemberita di Batang Kali, hari ini.

    Semalam, tumpuan operasi diberikan kepada tiga sektor iaitu A, B dan C dengan sektor A terletak di kem Hillview, sektor B (Kem Farmview) manakala sektor C (Kem Riverside).

    Menurut Norazam, cabaran utama ketika ini adalah kestabilan runtuhan tanah berikutan terdapat aliran air dalam tanah dan kedudukan cerun pada tahap 45 darjah, selain ketebalan runtuhan tanah yang mencecah kedalaman 20 hingga 30 kaki.

    “Operasi SAR bersambung pada 8 pagi ini dengan beberapa agensi digerakkan ke lokasi insiden tanah runtuh melibatkan JBPM, Angkatan Pertahanan Awam, Pasukan Gerakan Khas dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya, lapor Astro Awani.

    Setakat malam tadi, seramai 21 mangsa disahkan meninggal dunia dalam kejadian runtuhan tanah di Jalan Batang Kali – Gohtong Jaya, manakala 12 orang lagi masih dilaporkan hilang.

    Seramai 94 individu terlibat dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku pada awal pagi semalam.

  • Tanah runtuh Batang Kali: Wisma Putra sahkan tiga warga Singapura terlibat

    Tanah runtuh Batang Kali: Wisma Putra sahkan tiga warga Singapura terlibat

    KEMENTERIAN Luar Negeri mengesahkan tiga daripada 61 mangsa yang terselamat dalam tragedi tanah runtuh merupakan warga Singapura.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra, ketiga-tiga warga Singapura itu ditemui selamat dalam usaha misi mencari dan menyelamat (SAR) yang digerakan pihak berkuasa.

    “Kerajaan Malaysia sedang berusaha sehabis baik dalam memastikan semua yang terkesan dengan tragedi tersebut diberikan bantuan segera,” katanya kenyataan itu, lapor Astro Awani.

    Wisma Putra turut mendoakan keselamatan mangsa dan mereka yang terlibat dengan operasi mencari dan menyelamat.

    Sebelum ini Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengucapkan takziah dan bersimpati kepada semua mangsa yang terjejas dalam kejadian tanah runtuh di Genting Highlands.

    Hsien Loong turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas bantuan yang diberikan kepada rakyat Singapura yang terjejas akibat tanah runtuh itu.

    “Pasukan Pertahanan Awam Singapura bersedia untuk membantu usaha mencari dan menyelamat jika perlu,” kata beliau.

    Tengah malam tadi, operasi mencari dan menyelamat 12 lagi mangsa terpaksa ditangguhkan atas faktor cuaca hujan dan disambung semula jam 8 pagi Sabtu.

    Setakat tengah malam Jumaat, 12 orang masih dilaporkan hilang manakala 21 disahkan terkorban daripada keseluruhan 94 mangsa dalam kejadian itu.

  • “Semua orang tahu saya tidak suka Pas, tapi saya puji Unit Amal Pas”

    “Semua orang tahu saya tidak suka Pas, tapi saya puji Unit Amal Pas”

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim memberi penghormatan kepada sukarelawan daripada Unit Amal Pas kerana membantu mencari mangsa dalam tragedi tanah runtuh Batang Kali semalam.

    Wakil rakyat DAP itu berkata, unit berkenaan terkenal dengan etika kerja mereka.

    Beliau juga menceritakan penglibatan mereka dalam beberapa perhimpunan Bersih yang pertama pada masa lalu apabila parti itu adalah sebahagian daripada gabungan Pakatan Rakyat ketika itu.

    “Semua orang tahu saya tidak suka Pas. Saya bukan diam-diam mengenai perkara itu. Tetapi apabila bercakap mengenai Unit Amal, saya sangat menghormati mereka,” katanya dalam catatan Twitter.

    Beliau mengulas catatan Twitter @fairuz_azmi83, yang berkongsi gambar anggota Unit Amal membantu dalam operasi mencari dan menyelamat di Batang Kali.

    Marina turut menasihatkan penyokong Pakatan Harapan (PH) untuk tidak menilai sukarelawan Unit Amal atau menuduh mereka hanya untuk menunjuk-nunjuk dalam membantu usaha menyelamat.

    “Jika pemimpin anda sendiri melakukan perkara yang sama, anda perlu mencari idea untuk ‘memusingkan’ dengan cara lain. Mari kita raikan apa sahaja yang baik,” katanya lapor Free Malaysia Today (FMT).

    Unit Amal, juga dikenali sebagai Jabatan Amal Malaysia, adalah salah satu unit di bawah sayap pemuda Pas dan berfungsi sebagai pertubuhan sukarela kebajikan beruniform.

    Badan sukarelawan itu diasaskan pada 1991 dan dikenali dengan kerjanya dalam membantu mangsa bencana alam dan orang ramai ketika perhimpunan Bersih di pusat bandar Kuala Lumpur.

  • Kronologi kejadian tanah runtuh sepanjang 2022

    Kronologi kejadian tanah runtuh sepanjang 2022

    BERIKUT adalah kronologi kejadian tanah runtuh di seluruh negara tahun ini.

    1 Jan 2022 : Tujuh kejadian tanah dan cerun runtuh dilaporkan berlaku pada hari pertama 2022 melibatkan enam kawasan di Selangor dan satu di Negeri Sembilan.

    2 Jan 2022 : Sebanyak 13 laluan melibatkan lima daerah di Negeri Sembilan ditutup untuk semua kenderaan susulan kejadian jalan runtuh dan dinaiki air.

    14 Feb 2022 : Seramai 31 orang daripada sembilan keluarga petugas Balai Polis Tongod, Sabah dipindahkan sebagai langkah keselamatan susulan kejadian tanah runtuh berdekatan dengan balai itu.

    8 Mac 2022 : Sebanyak tiga kejadian tanah runtuh berlaku susulan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di ibu negara. Dua kawasan itu melibatkan rizab jalan di 1/27, Taman Gembira dan Jalan Hang Tuah 4, Salak Selatan, manakala di Seksyen 6, Wangsa Maju merupakan tanah persendirian.

    10 Mac 2022 : Empat terkorban manakala seorang cedera dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang, selain 15 rumah turut rosak serta 10 kenderaan terjejas.

    10 April 2022 : Hujan lebat selama beberapa hari menyebabkan kejadian tanah runtuh dan banjir berlaku di beberapa kampung di daerah Tuaran. Sebanyak lima rumah turut dilaporkan terjejas dengan kejadian tanah runtuh di Skim Penempatan Telipok.

    15 Mei 2022 : Dua wanita maut dibawa arus deras dalam kejadian tanah runtuh dan kepala air ketika mendaki Hutan Simpanan Kekal Gunung Suku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.

    14 Jun 2022 : Hujan lebat berterusan menyebabkan kejadian tanah runtuh di Jalan Tun Dr Ismail, Taman Bukit Sentosa serta kerosakan pada sebuah pencawang Tenaga Nasional Berhad.

    24 Julai 2022 : Seorang pekerja kontraktor pembersihan pembentungan cedera selepas terperangkap kira-kira empat jam dalam tanah runtuh ketika melakukan kerja pembaikan tangki septik di Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi di Johor.

    28 Julai 2022 : Dua kanak-kanak maut manakala dua individu dewasa cedera selepas rumah yang didiami Taman Elok, Jalan Bukit Nenas di Kota Kinabalu, ditimbus tanah runtuh.

    29 Ogos 2022 : Enam kediaman di Rumah Rakyat Batang Benar di Nilai runtuh dan mengalami keretakan akibat pemendapan tanah ekoran hujan lebat.

    1 Nov 2022 : Enam lelaki terperangkap dalam insiden tanah runtuh di kawasan Empangan Hidro Tenom Pangi di Tenom, Sabah.

    15 Nov 2022 : Tiga sekeluarga berdepan detik cemas apabila banglo didiami mereka di Taman Halaman di Ampang ditimpa tanah runtuh menyebabkan sebahagian dinding bahagian belakang rumah itu roboh.

    16 Nov 2022 : Beberapa rumah Orang Asli di Kampung Kerawat, Simpang Pulai di Ipoh tertimbus akibat kejadian tanah runtuh bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku.

    17 Nov 2022 : Tanah runtuh dan pokok tumbang di Jalan Mantin Batu 8 mengakibatkan laluan Mantin-Seremban bagi kedua-dua arah terpaksa ditutup sementara bagi kerja pembersihan.

    17 Nov 2022 : Seramai 25 penduduk daripada lima keluarga Kampung Orang Asli Sungai Raya di Mantin, Negeri Sembilan terputus hubungan apabila laluan yang menghubungkan kampung terbabit dengan jalan utama tidak dapat dilalui akibat tanah runtuh dan pokok tumbang.

    26 Nov 2022 : Seorang lelaki maut dalam insiden tanah runtuh di Blue Valley, Kampung Raja, Cameron Highlands.

    2 Dis 2022 : Bahagian hadapan sebuah rumah teres di Taman Sri Anggerik di Rantau, Negeri Sembilan roboh akibat kejadian tanah runtuh berikutan hujan berterusan. 

    9 Dis 2022 : Enam individu terselamat dalam insiden tanah runtuh di Taman Halaman, Ampang. Dalam kejadian itu, rumah yang didiami mereka turut mengalami kerosakan.

    10 Dis 2022 : Penghuni di tiga buah rumah di Taman Halaman, Ampang diarah mengosongkan kediaman mereka kerana pergerakan tanah berlaku susulan hujan lebat berterusan.

    16 Dis 2022 : Seramai 94 individu terlibat dalam kejadian tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, awal pagi ini.

    Setakat 5 petang tadi, bomba mengesahkan seramai 19 orang terkorban, 14 orang masih hilang manakala 61 lagi berjaya diselamatkan. – BERNAMA

  • Tanah runtuh: Lima orang guru masih hilang

    Tanah runtuh: Lima orang guru masih hilang

    TUJUH orang guru wanita Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong dilaporkan terbabit dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor awal pagi tadi.

    Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), SJKC Mun Choong, U Chin Ong berkata, dua daripada tujuh orang guru itu ditemui selamat.

    “Nasib lima orang lagi guru masih belum diketahui dan masih dicari,” katanya di sini hari ini.

    Chin Ong berkata, kumpulan 23 orang itu membabitkan orang guru dan keluarga mereka berada di tapak perkhemahan sejak Rabu lalu.

    “Mereka sepatutnya pulang pagi ini,” katanya, lapor Berita Harian.

    Chin Ong berkata, antara peserta perkhemahan dan mangsa bencana ialah waris petugas sekolah, termasuk pengusaha kantin.

    Mengulas lanjut, Chin Ong berkata,  aktiviti perkhemahan di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm itu bukan aktiviti rasmi sekolah.

    Sebaliknya kata beliau, ia hanya aktiviti bersama guru dan rakan-rakan mereka sendiri.